terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 5, 2010

Ibu bapa jangan bezakan anak2..


SAYA setuju benar dengan paparan kisah minggu lalu ''sebab emak saya pun sama, tetapi bukanlah suruh kami bergaduh adik-beradik, sebaliknya suka membandingkan kemewahan dan kesusahan hidup kami.

''Anak yang lebih mewah menjadi kesayangan emak, menjadi sebutan, dan namanya dijaja satu kampung, sebab nak beritahu orang anaknya kaya dan hidup mewah.'' Demikian cerita Norhanis dalam emelnya.

''Tetapi anak-anak yang kurang mampu, yang hidup tak seberapa mulalah emak pinggirkan. Sebab emak suka anak-anaknya hidup mewah, ada kereta besar, rumah besar dan ada perabut serba mewah. Bila ada semua itu barulah emak puas hati, kerana pandai mendidik anak-anaknya berjaya dalam kehidupan.

''Saya lima beradik, seorang lelaki dan empat perempuan. Emak didik kami supaya rajin belajar maka ada antara kami yang berjaya dalam pelajaran. Ada yang tidak. Sesiapa yang pandai belajar pasti jadi anak kesayangan emak.

''Tapi emak lupa. Pandai belajar tak semestinya bila bekerja dapat pangkat tinggi dan bergaji lumayan, kerana ada kalanya orang yang tak pandai belajar lebih besar pendapatanhya. Bukankah rezeki ketentuan Allah juga. Tapi emak macam tak faham.

''Dulu masa sekolah saya dan adik menjadi anak kesayangan emak, sebab masuk sekolah asrama. Kami dapat masuk kolej. Nama kami emak jaja satu kampung. Bukan main kembang dan gah hati emak, kamilah anak harapan emak, konon bila kami dapat kerja pasti gaji kami besar.

''Nak jadikan cerita, dua orang kakak kami cuma lulus SPM, walaupun pandai, zaman kakak nak sambung belajar memang susah, peluang belajar tak banyak macam zaman kami, jadi kakak bekerja sebagai kerani.

''Emak langsung tak menaruh harapan pada kakak-kakak kami, maklum gaji kerani berapa sangat. Bila kahwin suami mereka pun kerani jugak. Abang pulak jadi tentera paling tinggi pangkatnya satu ketika itu cuma jadi sarjan. Jadi kami berdua sajalah jadi harapan emak. Ketika itu kami dipuji melangit kerana kami pandai sekolah. Kami pun macam tak sedar diri bila kena puji, buat kerja rumah memang tak tahu langsung.

Tawaran

''Bila kakak dan abang kahwin emak buat kenduri ala kadar saja. Alasan emak kena simpan duit untuk kami belajar nanti. Manalah tahu kami dapat tawaran sambung belajar luar negara! Harapan emak tinggi nama kami dicanang satu kampung.

''Tetapi emak lupa rezeki itu ketentuan Allah. Nak jadikan cerita walaupun lulus SPM tetapi kakak cari peluang sambung belajar. Dan lebih penting suami mereka menyokong hasrat isterinya sambung belajar dengan membantu mereka jaga anak-anak ketika kakak pergi belajar.

''Kak long bersemangat nak sambung belajar sebab suaminya dah dapat diploma. Kak ngah pulak suaminya dah berhenti kerja, buat bisnes dan berjaya pulak. Saya pulak ketika itu walaupun ada diploma susah pulak nak cari kerja sebab ekonomi meleset, begitu jugak dengan adik walaupun ada ijazah. Kerja masih belum ada dapat.

''Akhirnya saya terima tawaran kerajaan bekerja dengan gaji kecil. Terkial-kial jugaklah kami nak sambung hidup. Maklum kerja di bandar besar dengan gaji kecil mana nak cukup. Dua tahun lepas tu baru dapat kerja yang sesuai, tapi gaji masih kecil lagi, adik pun sama. Bila kami mengeluh dan mengadu pada emak tentang gaji kami, emak jadi lemah semangat. Anak-anak yang menjadi harapan mengeciwakannya.

''Ketika itu dua orang kakak dan abang mula hidup mewah, emak mula melihat perubahan hidup mereka, mula-mula emak lihat kereta mereka dah bertukar yang mahal, dah pindah rumah teres dua tingkat dari rumah flat, kak ngah dan suaminya pakai kereta mewah. Abang pun sama ketika itu dah ikut suami kak ngah buat bisnes.

''Setiap kali mereka balik kampung emak terbeliak mata. Ada ada saja perubahan diri mereka yang emak lihat. Tentang pakaiannya, kereta, barang kemas, beg tangan dan macam-macam lagi yang membanggakan emak. Berbanding kami berkereta kecil.

''Kerana emak jenis suka membangga diri, dia tetap puji anak-anaknya yang hidup mewah pada orang kampung, walaupun dulu emak tak pernah yakin kejayaan mereka dulu sebab tidak pandai sekolah dan tidak berkelulusan tinggi.

''Selepas ayah meninggal dunia, emak semakin rajin bertandang ke rumah anak-anak, lepas rumah kak long, rumah kak ngah dan abang. Ada-ada sajalah cerita emak bila balik kampung dan bila datang ke rumah kami.

''Bila orang kampung dah meluat dengar cerita emak yang membanggakan kemewahan anak-anaknya. Itu menurut cerita dari saudara mara kami di kampung kepada saya, kemudian emak tukar taktik lain. Kali ini saya dan adik jadi target tempat emak bercerita memuji kakak hingga menyakitkan hati kami mendengarnya.

''Emak mula tanya berapa gaji saya dan suami saya. Kenapa saya tak beli sofa mewah macam kak long, rumah besar macam kak ngah atau beli kereta mewah macam suami kak ngah. Kenapa suami saya tak buat bisnes nanti boleh jadi kaya.

''Saya kata pada emak setiap orang ada rezeki yang diberikan Allah, walaupun mereka tak masuk kolej atau universiti dulu, tapi rezeki mereka ada di tempat lain yang lebih baik.

''Bila saya terangkan pada emak, dia mengaku faham, tetapi dia faham untuk sebulan dua aja, lepas tu dia buat peel balik.

''Walaupun perbuatan emak bukan bertujuan melaga-lagakan kami, tetapi secara tidak langsung telah membuat kami rasa rendah diri kerana tidak berkemampuan, berbanding kakak-kakak dan abang kami yang lebih senang dan mewah hidupnya. Sikap emak juga membuat kami rasa kecil hati.

''Tujuan saya bercerita di ruangan ini bukan mahu mengaibkan emak, tetapi saya mahu mengingatkan diri saya dan pembaca semua janganlah jadi macam emak saya suka membeza-bezakan kemampuan anak-anak sama ada anak yang pandai ataupun tidak, apa lagi kalau ada antara anak-anak yang kurang berkemampuan. - UM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...