terima kasih buat kalian semua..

Saturday, November 13, 2010

Kakitangan awam bukan 'lubuk emas'!!


Bekerja sebagai penjawat awam merupakan impian emas ramai orang kerana faktor kestabilan pendapatan bulanan dan faedah-faedah yang diterima berbanding kerjaya dalam bidang swasta atau bekerja sendiri. Gaji bulanan yang tetap dianggap sebagai satu jaminan untuk kehidupan yang sejahtera. Justeru, ramai ibu bapa berharap agar anak-anak mereka dapat menjadi polis, tentera, pegawai kerajaan, atau sekurang-kurangnya kerani di mana-mana jabatan.

Namun, sesetengah pihak yang panjang akal melihat hal ini sebagai satu kesempatan untuk menjana pendapatan mereka dengan cara tersendiri, atau untuk mengaut keuntungan seolah-olah penjawat awam adalah lubuk emas. Hal ini dapat dilihat apabila banyak golongan terutama yang berorientasikan perniagaan menyasarkan penjawat awam sebagai pasaran utama mereka. Bermula dengan pelbagai syarikat insurans, pinjaman peribadi, ah long, pakej percutian, alatan komputer dan telefon bimbit, serta tidak ketinggalan aksesori kenderaan. Banyak daripada mereka menjadikan penjawat awam sebagai pelanggan nombor satu mereka.

Benar, banyak transaksi boleh berlaku dengan hanya menggunakan skim 'potong gaji' atau skim ansuran. Namun, kita dapat melihat ramai penjawat awam yang merungut kerana berasa terperdaya dengan produk yang tidak berkualiti, lebih mahal daripada harga sebenar di pasaran, khidmat pascajualan yang tidak memuaskan dan kemudian di hujung bulan, mereka merungut kerana lebih banyak hutang berbanding pendapatan bulanan.

Lebih teruk apabila penjawat awam ini mengambil sikap melulu dalam membeli sesuatu produk atau perkhidmatan tanpa membuat kajian kualiti terhadap produk atau perkhidmatan tersebut. Ini ditambah dengan sikap sesetengah daripada mereka yang membeli dengan alasan 'kerana boleh berhutang' walaupun produk tersebut bukan keperluan mereka.

Saya menyeru kepada pihak yang terlibat dalam memanipulasi penjawat awam ini agar berhenti daripada menjadikan kakitangan awam sebagai lubuk emas mereka. Berniagalah dengan adil dan tawarkanlah produk atau perkhidmatan yang benar-benar berkualiti, bukan semata-mata untuk keuntungan peribadi.

Para penjawat awam pula hendaklah tidak sewenang-wenang membuat sebarang 'hutang' atau pembelian produk dan perkhidmatan yang bukan keperluan mereka. Banyak saluran boleh digunakan oleh penjawat awam untuk mendapatkan nasihat atau pandangan kedua sebelum membeli sesuatu. Sekurang-kurangnya, mereka boleh merujuk kepada majikan masing-masing, atau lebih baik, mencari maklumat lanjut daripada Persatuan Pengguna atau di Internet.

Mohd `Adlan,

Lahad Datu, Sabah

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...