terima kasih buat kalian semua..

Thursday, November 18, 2010

Kecemerlangan bukan hanya di SBP..


MULAI tahun depan, hanya pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah diterima belajar di sekolah berasrama penuh (SBP). Inilah sebenarnya matlamat penubuhan SBP.

Namun, sejak kebelakangan ini, entah di mana silapnya ramai pelajar SBP terdiri daripada keluarga berada. Ini sudah terpesong daripada tujuan asal SBP ditubuhkan

Oleh itu, dasar pengurusan SBP jangan terikut-ikut seperti sekolah elit, sebaliknya harus bersifat mesra pelanggan supaya bersesuaian dengan murid yang datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Jika yuran tahunan termasuk bayaran tambahan dan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah harian biasa dalam lingkungan RM300, tidak wajar di SBP yurannya mencecah hingga RM1,000.

SBP harus memikirkan program amal dan kebajikan untuk tabung dana bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa murid yang dikenal pasti sangat miskin.

Ibu bapa pula perlu menyedari bahawa dengan menghantar anak ke SBP belanja sekolah turut meningkat. Walaupun keadaan serba kekurangan mereka perlu berusaha untuk memenuhi tuntutan terbabit.

Contohnya, kos pengangkutan untuk melawat anak di asrama, terutama jika kedudukan SBP jauh dari rumah. Kunjungan sebegini penting supaya ibu bapa tidak hanya menyerahkan kepada pihak sekolah, sebaliknya mereka dapat memantau perkembangan pelajaran anak, memberi bimbingan dan mengeratkan kemesraan hubungan kekeluargaan.
Ibu bapa perlu mendidik anak supaya berdikari, menguasai kemahiran mengurus diri dan menyelesaikan masalah supaya anak mereka mampu menghadapi cabaran hidup di SBP untuk terus cemerlang.

Kita tidak mahu ibu bapa beriya-iya mahu anak belajar di SBP, tetapi anak sebenarnya tidak berminat dan gagal menyesuaikan diri dengan budaya hidup di asrama.

Manakala, pelajar daripada keluarga susah terpaksa ditarik keluar dari SBP, selepas ibu bapa berkorban wang ringgit.

Perkara ini penting difikirkan supaya ibu bapa yang terlalu ghairah ingin anak belajar di SBP membuat pilihan tepat.

Jika ada murid keluarga miskin yang cemerlang gagal ke SBP kerana tempat terhad, usah kecewa kerana mereka akan ditawarkan ke sekolah kawalan yang juga cemerlang dan ada di setiap daerah.

Perlu ingat, sekolah berprestasi tinggi bukan saja terdiri daripada SBP, tetapi dianugerahkan juga kepada sekolah kawalan dan sekolah harian biasa.

Malah, sekolah harian biasa bukan saja memiliki kualiti guru setaraf guru SBP, tetapi terbukti berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), walaupun mereka kurang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

ZIN MARKAM,
Pontian, Johor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...