terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 26, 2010

Kerajaan wajar rancang program hadapi krisis makanan mulai sekarang..


STATISTIK terbaru Bank Dunia menunjukkan berlaku kenaikan ketara harga barang makanan global antara 80 hingga 90 peratus sejak 1995. Kadar ini dijangka terus meningkat hingga 2030 tetapi sukar diramal peratusan kenaikannya. Pastinya unjuran ini cukup membimbangkan kita. Mahu atau tidak, negara kita perlu menempuh realiti ini dengan membuat persediaan mencukupi. Amaran Bank Dunia ini perlu diberikan perhatian serius dan harus menjadi isyarat kepada semua pihak, termasuk kerajaan supaya membuat perancangan mulai sekarang bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kita menyambut baik gesaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, kelmarin supaya kerajaan membuat persediaan rapi dan strategik bagi menghadapi kemungkinan berlaku krisis bekalan makanan dunia pada 2030. Keprihatinan beliau membuktikan kerajaan sentiasa bersiap sedia menghadapi keadaan itu. Antara langkah yang dilaksanakan ialah kerajaan membelanjakan RM4 bilion membiayai program penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) bagi meningkatkan jaminan bekalan dan keselamatan bahan makanan di negara ini. Malah, Ongkili mengakui kementeriannya sendiri membelanjakan RM2.7 bilion sebagai persediaan menghadapi krisis bekalan makanan pada tempoh berkenaan untuk menjayakan program R&D, tanaman komersial berasaskan bioteknologi, 18 projek di bawah Dana Tekno, 305 projek di bawah Dana Sains dan lima projek di bawah Dana Inovasi. Pembabitan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan sektor swasta amat diperlukan dalam menyokong program ini, terutama meningkatkan nilai tambah sektor pertanian bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Ketika ini penduduk dunia berjumlah hampir tujuh bilion dan daripada jumlah itu, kira-kira 27 juta adalah penduduk Malaysia. Dengan jangkaan keperluan makanan semakin meningkat dengan jumlah sumber semakin meruncing, penduduk dunia pada 2025 dianggar lapan bilion dan akan mencecah 9.4 bilion pada 2050. Pertambahan penduduk bermakna dunia memerlukan jumlah makanan yang lebih banyak dan pastinya timbul krisis kemanusiaan jika bekalan tidak mencukupi. Dengan unjuran rakyat negara ini pada 2060 berjumlah 70 juta, timbul persoalan berhubung kemampuan Malaysia menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk rakyatnya. Seiring pengenalan lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) sebagai pelengkap Model Baru Ekonomi (MBE) oleh kerajaan bagi memacu Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi pada 6 September lalu, sewajarnya kerajaan menimbang untuk menubuhkan makmal khas melaksanakan transformasi pertanian nasional dalam usaha memenuhi keperluan makanan untuk tempoh 2020 dan tahun berikutnya. Ini adalah tugas berat kerajaan yang memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, khususnya sektor swasta bagi menggerakkannya. Serentak itu, perancangan, kaedah, teknologi dan pelaksanaan program pertanian berskala besar mesti dikaji semula. Malah, dasar baru pertanian komoditi dan makanan perlu digubal bagi menggariskan tindakan atau program segera membangunkan sektor itu bagi memenuhi keperluan masa depan negara. Dasar ini mesti memasukkan pelan penyelesaian jangka panjang, termasuk mengatasi ancaman semula jadi atau bencana yang menjejas atau memusnahkan hasil pertanian termasuk tanaman padi yang menjadi sumber utama makanan. - BH

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...