terima kasih buat kalian semua..

Sunday, November 14, 2010

Ketahui cara sembelih haiwan ikut peradaban Islam..


Binatang korban tak boleh dizalimi, diseksa

TANGGAL 10 Zulhijah yang bakal menjelang tidak lama lagi sentiasa dinanti umat Islam di seluruh dunia kerana bermula hari itu diikuti tiga hari tasyrik, ibadat korban dilakukan dengan penyembelihan haiwan seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara paling sempurna, tajamkan pisau kamu supaya haiwan itu cepat dan mudah mati. (Hadis riwayat Muslim)

Islam ialah agama peradaban yang bukan hanya menggariskan prinsip moral dalam interaksi sesama manusia malah mencakupi interaksi dengan makhluk lain termasuk haiwan.
Menjelang ibadat korban yang bakal dilakukan nanti, sudah tentu ribuan atau jutaan haiwan korban akan dikeluarkan dari ladang serta pusat penternakan haiwan bagi memenuhi kehendak pasaran melalui darat, udara, air menggunakan kenderaan seperti lori, kapal terbang dan kapal laut.

Islam menitikberatkan kebajikan haiwan sewaktu dibawa menempuh perjalanan. Haiwan yang dibawa menaiki kenderaan perlu dipastikan keselamatannya. Haiwan tidak boleh dibiarkan dalam kenderaan bersesak-sesak hingga menimbulkan ketidakselesaan yang membawa kecederaan.

Jika perjalanan itu menempuh masa panjang, haiwan itu perlu diberi makan dan minum secukupnya. Begitulah indahnya adab dan ihsan dalam ajaran Islam walaupun kepada haiwan.

Amalan mengambil berat kebajikan dan melayani haiwan secara wajar ini dijanjikan pahala oleh Allah. Sahabat bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah, adakah kami mendapat pahala dengan melayani dan menyayangi haiwan ini? Rasulullah menjawab: Menyayangi setiap makhluk hidup itu berpahala. (Hadis riwayat Muslim)
Sementara itu, dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan kemurkaan Allah terhadap perbuatan seorang wanita yang menganiaya seekor kucing dengan mengurungnya serta tidak memberi makan, minum dan tidak dilepaskan untuk mencari makanan sendiri. (Hadis riwayat Muslim)

Islam menetapkan adab sembelihan yang melambangkan kemurnian Islam sebagai agama kasih sayang. Rasulullah SAW melarang sahabat menajamkan pisau di hadapan haiwan yang hendak disembelih.

Dalam satu riwayat lain, Saidina Ali melarang penyembelihan seekor biri-biri di hadapan sekumpulan biri-biri lain. Peristiwa ini membuktikan ajaran Islam mengambil berat kebajikan haiwan dengan menjaga emosi mereka daripada ketidakselesaan walaupun di saat akhir hayat.

Penyembelihan dalam Islam juga ialah untuk mematikan haiwan dengan cara yang meminimumkan kesakitan. Kajian saintifik diketuai Profesor Wilhelm Schulze dari Jerman mendapati kaedah sembelihan dalam Islam terbaik kerana haiwan tidak mengalami kesakitan sewaktu disembelih berbanding kaedah stunning yang digunakan beberapa negara Barat.

Hasil pemerhatian Profesor Temple Grandin dari Universiti Negeri Colorado, juga mendapati haiwan yang disembelih menggunakan pisau yang tajam dengan kaedah betul memberikan reaksi tenang dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika sedang disembelih.

Hikmah di sebalik amalan sunat sewaktu penyembelihan juga menunjukkan ihsan ajaran Islam terhadap haiwan. Amalan memalingkan haiwan sembelihan ke arah kiblat serta bacaan bismillah dan selawat ke atas nabi ialah penghormatan diberikan Islam kepada makhluk Allah.

Oleh Arif Fahmi Md Yusof


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...