terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, November 23, 2010

Laman web sosial, komersial atau syok sendiri..jangan suka2 simply TAG orang..


‘‘HAIR clip 4 tudung, arab STYLE 2 ENHANCE ur tudung’ ditag kat gua, apa gua nak jawab?” tulis bekas rakan sepejabat yang kini bergelar seniman sepenuh masa, Pyanhabib baru-baru ini dalam facebook. Memang lawak apatah lagi Pyanhabib merungut sebegitu. Jelas ada di kalangan temannya dalam facebook menyangka beliau yang berjanggut lebat dan berambut panjang, memerlukan klip rambut.

Bukan Pyanhabib sahaja yang ditawarkan produk seumpamanya dalam facebook. Setiap daripada anda yang memiliki akaun pasti pernah kena ‘tag’. Kalau produk yang sememangnya kita cari, tidak mengapa juga. Yang membosankan bila produk yang ditawar itu nyata bertentangan, malah ada yang menjolok mata seperti barangan untuk ‘membesarkan anggota tertentu badan’. Mana dia tahu anggota badan anda itu tidak besar?

Ada yang mempersoalkan sama ada wajar atau tidak para usahawan menjadikan facebook sebagai platform untuk menjual produk. Bukankah facebook adalah ‘laman web sosial’. Mana ada sebut ‘laman web komersial’? Inikan platform untuk rakan taulan membuat pernyataan peribadi, mengomel, melahirkan perasaan, mengisytiharkan kebanggaan diri dan sebagainya yang ada kalanya, sukar dimengertikan antara ‘wajar diterbitkan’ atau ‘patut simpan sendiri’.

Firma penganalisis Gartner baru-baru ini mengunjurkan 20 peratus pekerja akan menggunakan rangkaian sosial sebagai mood komunikasi pilihan utama mereka menjelang tahun 2014, dengan trend yang dipacu oleh kemudahan yang semakin banyak bagi perkhidmatan rangkaian sosial yang memenuhi keperluan sesuatu perniagaan, selain perubahan demografik dan amalan kerja.

Ketua media sosial firma komputer Dell, Manish Mehta berkata, ketua pegawai maklumat (CIO) sesebuah syarikat perlu bersiap sedia apabila tiba harinya untuk laman web seperti facebook menjadi saluran perolehan untuk perniagaan.

“Media sosial mungkin tidak memacu jualan seperti kaedah konvensional setakat ini tetapi langkah logik seterusnya ialah menerusi media sosial, yang kini mengalami perubahan. Apabila anda boleh membeli produk menerusi facebook, dan bukan sekadar menekan butang ‘LIKE’ (suka), kita akan mula melihat peralihan dalam peranan media sosial dalam perniagaan,” katanya.

Hindari

Tatkala industri IT hangat membincangkan aspek perniagaan yang boleh diwujudkan menerusi facebook, apakah kes seperti Pyanhabib itu merupakan bibit-bibit permulaan satu trend perniagaan yang kita tidak sedari dan pada masa yang sama, kita cuba hindari.

Secara umumnya, facebook sendiri menyedari potensi perniagaan yang boleh wujudkan dalam laman sosial itu. Tetapi facebook masih dalam peringkat ujian dan memantau sentimen para penggunanya. Maka itulah pengguna diberi pilihan untuk ‘memadamkan’ iklan tersebut dan kemudian satu set soalan ditanya mengapa kita memadamkannya.

Selain gangguan iklan yang tidak dikehendaki itu, facebook semakin rancak digunakan oleh parti politik atau blogger yang cenderung kepada politik kepartian untuk turut serta. Trend ini juga sesuatu yang berubah mengikut masa.

Blogger yang dimaksudkan ini rata-ratanya boleh dianggap bonafide iaitu memiliki sumber tersendiri (bukan pungut dari media lain untuk mengulas sesuatu isu hangat), ada juga yang menulis ikut suka hati mereka. Yang letihnya, golongan ini menggunakan facebook untuk melahirkan manifestasi politik mereka. Seandainya hujah yang diketengahkan itu ada intipati, bolehlah ia diterima dan dihormati. Masalahnya, mereka ini menulis macam sedang berucap di hadapan ahli-ahli satu parti. Hentam dan kutuk semberono. Walhal, rakan-rakan yang dalam himpunan akaun facebooknya itu terdiri daripada pelbagai aliran fahaman dan parti. Sekurang-kurangnya hormatilah sentimen orang lain. - UM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...