terima kasih buat kalian semua..

Saturday, November 13, 2010

Malu nak mengaku Islam???


LANJUTAN daripada rencana minggu lepas tentang rungutan seorang bekas tentera yang sekian lama tidak dapat lesen untuk memiliki sebuah teksi, saya dimaklumkan yang keutamaan diberikan kepada ahli persatuan veteran untuk mendapatkan lesen memiliki teksi dengan pembiayaan diberikan oleh EON Bank sepenuhnya.

Tak tahulah apa pula kriteria yang digunakan untuk seseorang itu layak menerima layanan sedemikian. Kepada pemandu teksi tersebut bolehlah mencuba nasib. Mana tahu ada rezeki.

Selain daripada cerita menarik minggu ini tentulah tentang ejaan salah yang berlaku pada brosur (risalah) yang kita edarkan di ekspo antarabangsa Shanghai.

Penerangan yang diberikan oleh Menteri Pelancongan ialah brosur tersebut atas sebab-sebab hendak mengurangkan kos cetak di China dan tidak di Malaysia. Jadi yang salah bukanlah pegawai-pegawai Kementerian Pelancongan atau mereka yang terbabit dengan pengelolaan pameran negara kita itu tetapi mereka yang mencetak brosur itu.

Tak kiralah sama ada ejaan-ejaan dalam brosur itu salah dan diedarkan kepada pengunjung. Pada saya biarlah kita bayar lebih sikit tetapi tidak ada salah sepatah perkataan pun daripada murah tetapi penuh dengan kesalahan.

Lagi pun kalau kita hendak mencetak berjuta-juta brosur bukankah lebih baik untuk mengelakkan pengaliran keluar wang kita, kita gunakan pencetak kita sendiri daripada orang luar.

Kalau sebuah syarikat tidak mampu, kita gunakanlah dua tiga syarikat, apa salahnya.

Pencetak kita hari ini sudah mencapai taraf kecanggihan bertaraf antarabangsa dan ramai yang terbabit bukan saja dengan penerbitan buku, majalah, brosur tetapi juga label dan pembungkusan untuk syarikat-syarikat pasar raya gergasi dan syarikat makanan segera seperti McDonalds dan KFC.

Seperkara lagi, kita juga difahamkan bahawa pavilion kita di ekspo antarabangsa tersebut tidak melambangkan agama rasmi negara kita ialah agama Islam. Sebaliknya banyak bahan yang dipamerkan menengahkan agama-agama lain.

Tidak ada salahnya kalau kita menunjukkan kepelbagaian agama di negara kita tetapi kenapa meninggalkan agama rasmi negara kita?

Ada pihak-pihak yang mengatakan kita bimbang kalau-kalau menunjukkan yang agama rasmi kita agama Islam, pengunjung akan membentuk sesuatu persepsi yang kurang baik tentang negara kita.

Anggapan sebegini kurang tepat kerana pavilion Arab Saudi yang jauh lebih mahal daripada kita dan sudah tentu menunjukkan contoh kegemilangan negara Islam menjadi salah sebuah pavilion negara yang paling ramai dikunjungi.

Kita berharap di masa-masa akan datang sekiranya kita turut serta dalam mana-mana pameran antarabangsa yang membabitkan penerangan tentang negara kita, perkara-perkara yang dipamerkan mestilah menunjukkan fakta yang tepat tentang Malaysia.

Tidak ada gunanya kita berbelanja berjuta ringgit untuk membina pavilion dengan tidak melambangkan ciri-ciri penting tentang negara kita disusuli pula oleh ejaan-ejaan yang salah dalam brosur yang kita edarkan kepada pengunjung antarabangsa yang bakal menjadi pelancong negara kita.

Bercakap tentang pelancong, siapa dia pelancong? Pelancong ialah mereka yang datang ke negara kita, tinggal beberapa hari di sini, pergi ke sana sini, berbelanja dan balik ke negara asal mereka.

Tetapi hari ini kita dapati ramai yang kita kira sebagai pelancong tetapi mereka bukannya pelancong tetapi pelacur.

Ini diakui oleh seorang usahawan dari China yang pada suatu masa kebetulan duduk bersama kawan saya dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Hong Kong. Dia bertanyakan kawan saya, rakyat Malaysia, tahukah berapa ramai perempuan dari China yang ‘melancong’ ke Malaysia setiap hari?

Kawan saya mengagak kasar saja. Usahawan China tersebut mengatakan seribu orang sehari dan dalam setahun 500,000 ribu orang perempuan dari China ‘mengunjungi’ Malaysia.

Kawan saya memanglah terkejut, tetapi melihat begitu banyak serbuan yang dilakukan oleh pihak polis dan pihak berkuasa ke tempat-tempat maksiat di seluruh negara yang berlaku saban hari, sampai ada yang menyuruk di atas loteng, dalam stor dan bilik-bilik tersorok, fakta ini mungkin tidak dapat disangkal.

Banyak tempat maksiat ini berselindung dengan nama-nama yang dipandang baik seperti pusat kesihatan dan spa dan banyak juga yang walau diserbu berpuluh kali pun masih berani menjalankan operasi.Tentulah ada sindiket-sindiket besar antarabangsa yang menjalankan operasi ini.

Selain daripada mereka yang ‘berniaga’ tubuh dan membawa keluar mata wang ringgit kita. Kita juga terbaca cerita ‘pelajar’ yang bukannya pelajar yang datang ke negara kita ini, terutama sekali daripada negara-negara Afrika dan tinggal di kawasan-kawasan tertentu seperti Cheras dan Kepong sebagai suatu komuniti mereka dan menimbulkan masalah kepada masyarakat tempatan.

Walaupun kita akui sektor pelancongan ini suatu sektor yang menyumbang sebahagian besar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar, kita patut mewujudkan suatu sistem saringan yang boleh mengenal pasti mereka yang hanya ‘berlegar’ dalam negara kita atau melanggar tempoh yang dibenarkan mereka berada di negara kita dan mereka yang bukan hendak melancong.

Sudahlah kita dibanjiri dengan pekerja asing yang angkanya mencecah berjuta orang dan tidak kurang masalah sosial yang timbul dengan kehadiran mereka, kini kita berdepan dengan mereka yang zahirnya macam pelancong tetapi mereka bukan pelancong.

Sesiapa yang pernah pergi ke Hong Kong dan Jepun akan sedar bahawa sebelum masuk ke negara mereka, seseorang pelawat itu akan ditanya bermacam soalan sebelum dibenarkan masuk.

Pegawai imigresen mereka begitu teliti sebelum membenarkan seseorang itu memasuki negara mereka.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden

Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...