terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, November 2, 2010

Mana satu pilihan lelaki? Si putih gebu atau si hitam manis?


SETIAP kali ada saja Shidah, berkulit putih gebu lalu melintasi meja makan, segelintir mata lelaki yang sedang asyik duduk bersembang mula jadi 'juling'. Macam hendak tersembul biji mata melihat lenggok gerak wanita itu.

Mulut pun mulalah terkumat-kamit, dengan pandangan mata yang masih tidak dilepaskan. Entah apalah yang diceritakan lelaki apabila melihat perempuan yang gebu lagi mengancam seperti Shidah.
Insiden itu membuatkan penulis mula tertanya-tanya, kenapa mesti wanita yang berkulit gebu dan cerah macam Angelina Jolie menjadi perhatian pandangan mata kasar umum? Kalau dilahirkan gelap tapi tahu bergaya, adakah ia masih tidak memadai?

Berkulit hitam manis pun ada kelebihannya dan daya tarikan mereka yang tersendiri. Tengok macam Beyonce, dia tidak putih, tapi tetap anggun dan elegan dalam setiap penampilannya malah sering mendapat perhatian.

Adakah warna kulit begitu menjadi kepentingan dalam pemilihan pasangan? Ramai mengatakan rupa paras dan warna kulit bukan ukuran sebenar, tapi budi pekerti dan hati yang menjadi keutamaan dalam menjalinkan hubungan, betulkah semua itu?

Pilihan dan minat seseorang itu memang subjektif. Setiap orang mempunyai selera mata dan pendapat yang berbeza selain memiliki alasan yang kukuh bagi menyokong kenyataan diberikan. Karut atau tidak sebab diberikan, tak perlu dipersoalkan.
Hasil kajian rambang dilakukan menerusi laman sosial Facebook menunjukkan warna kulit bukan kayu pengukur, tapi hati budi mencerminkan putih atau hitamnya seseorang itu.

Amar Syafiq Johari, 25 tahun, memberitahu pada pandangan matanya wanita yang berkulit putih gebu mempunyai daya tarikan yang sukar untuk diungkap atau diperjelaskan.

“Susah hendak dijelaskan kenapa saya begitu tertarik dengan wanita yang berkulit putih gebu. Bagi saya mereka kelihatan sungguh bersih dan cantik dalam setiap keterampilan. Memang sikap semula jadi manusia, kita sememangnya sukakan kebersihan.

“Tidak terkecuali, gadis yang berkulit putih juga senang bagi mereka bersiap atau menggayakan pakaian dipadankan. Apa saja gaya atau trend, mereka pastinya nampak menonjol.

“Saya juga rasa sangat selesa dengan gadis berkulit cerah mungkin kerana mereka menepati cita rasa pandangan saya,” katanya sambil tertawa kecil.

Apa pun, jurutera itu menjelaskan dia tetap menyelitkan pandangan terhadap soal budi pekerti individu dikenalinya. Dia juga tidak menolak terus gadis berkulit gelap, cuma memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan ‘warna’ kulit sedemikian.

Maza Yusman, 29 tahun pula memberitahu dia tidak menyangkal pandangan dan minat ramai lelaki terhadap cita rasa pemilihan mereka dan adalah perkara normal manusia menganggap putih itu bersih dan cantik.

“Adalah normal jika lelaki akan memandang tajam terhadap kehadiran wanita yang berkulit gebu. Perkara itu tidak perlu diperbesar-besarkan atau menipu diri sendiri untuk menyejukkan hati pihak lain.

“Putih atau hitam itu adalah pemilihan individu dan kegemaran masing-masing. Bagi saya, apa yang menjadi keutamaan adalah jarak warna kulit antara pasangan itu tidaklah terlalu berbeza hingga menampakkan kejanggalan di situ.

“Lagi satu, dengan adanya teknologi canggih sekarang, warna kulit boleh jadi cerah atau digelapkan mengikut kesukaan individu. Jadi, apa yang penting adalah keserasian antara pasangan itu yang patut dikaji dulu supaya hubungan itu berjalan lancar,” jelas perunding perbankan itu.

Berbeza pula dengan Irwan Reza Muhd Nur yang juga seorang eksekutif syarikat, apabila ditanya mengenai pilihan warna kulit idaman. Katanya, apa pun dicerminkan indah secara lahiriah, tidak semestinya mencerminkan perkara di dalam.

“Terpulang pada sikap dan pendapat individu. Kita tidak boleh paksa orang untuk menuruti pandangan mata kita. Apa pun, biarlah pilihan kita itu sedap mata memandang, bijak, baik dan sentiasa tahu menyayangi kita sekali gus berpegang kuat kepada agamanya.

“Jodoh pertemuan hanya Dia yang menentukannya. Sebagai manusia, kita perlu terima pemberian-Nya. Sama ada ia menepati cita rasa mahu pun tidak, pastinya ada kebaikan dan kelebihan dalam setiap insan itu. Hargailah setiap kehadiran yang terdapat di sekeliling kita,” jelasnya.

Begitulah pendapat di mata jejaka mengenai warna kulit wanita idaman mereka. Mungkin perkara itu juga tidak berbeza bagi wanita, lebih-lebih lagi sememangnya sering kali dikaitkan dengan sikap cerewet mereka dalam pemilihan mahupun kecantikan.

Putih gebu atau hitam manis? Anda sendiri yang membuat pilihan, kerana nescaya setiap yang gelap itu tidak semestinya hodoh dan yang putih itu tidak bersih selalu. Berbalik, hati juga yang menjadi keutamaan selain sikap dan perangai menjadi bonus kepada keperibadian.

Apa pun, wanita di luar sana janganlah terlalu tertekan dengan warna kulit yang sering menjadi isu perbandingan. Percayalah, kulit bukan segala-galanya. Kulit boleh berubah warna, tapi hati yang bersih bakal dikenang dan disanjung sampai ke hujung nyawa.

Bercerita mengenai hati, jangan pula nada melupakan terus penjagaan penampilan. Cuba berani sedikit dan memberikan penekanan kepada pemilihan persalinan. Keterampilan yang bersih dan anggun, pastinya dapat membuatkan jejaka idaman anda menoleh dua kali apabila kamu berdua bertembung nanti.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...