terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 5, 2010

Manusia Semakin bernilai selepas mati...


MANUSIA seumur hidupnya akan senantiasa dinilai sama ada berdasarkan kejayaan, kemampuan, kekayaan, karakter dan pelbagai alasan lagi. Mungkin ada yang tidak bersetuju namun perkara penilaian kini sudah menjadi norma dan asas penting bagi mengukur kemampuan dan kejayaan yang dimiliki.

Sama ada setuju atau tidak apa yang dicapai oleh seseorang itu banyak bergantung kepada penilaian yang diberikan oleh orang lain. Itulah realiti yang berlaku dalam kehidupan, paling tidak pun sebagai seorang yang makan gaji kita akan dinilai berdasarkan prestasi dan kesungguhan kerja.

Sejak dari zaman persekolahan hinggalah kini sudah menjawat jawatan yang tinggi kita akan berterusan dinilai. Lebih menyedihkan dalam beberapa urusan pun kena melalui proses penilaian yang adakalanya menyulitkan. Lihat sahaja jika kita berurusan dengan bank misalnya, mereka akan menilai pula kemampuan kita terutama dalam membayar balik pinjaman yang dipinta.

Oleh itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan manusia dalam perkara berkaitan menilai dan dinilai. Mahu atau tidak ia adalah satu perkara lumrah yang akhirnya jika tidak diperhalusi dengan baik mampu memberi kesan yang bukan sedikit dalam hidup.

Namun adalah perkara biasa jika dinilai ketika kita masih hidup, namun ada perkara yang jika seseorang itu bersungguh-sungguh melakukannya akan turut memberi kesan walaupun setelah ketiadaan mereka di dunia.

Malah terdapat di antara yang akan terus kaya dan berharta walaupun setelah kematiannya. Perkara ini berlaku, juga akibat dari penilaian yang dibuat oleh mereka yang masih hidup mungkin sebagai menghargai dan menyokong usaha dan hasil yang dilakukan ketika mereka masih hidup.

Melihat kepada senarai terbaru majalah Forbes tentang mereka yang memperoleh pendapatan yang tinggi selepas kematian, memang benarlah pepatah, manusia mati meninggalkan nama.

Lebih menarik lagi bukan sahaja nama mereka harum seantero alam malah mereka menjadi lebih kaya berbanding ketika hidupnya.

Kekayaan yang mereka peroleh ini sama ada melalui karya muzik, novel dan buku yang dihasilkan, lesen melalui imej dan ketokohan atau pun melalui pelbagai idea dan penciptaan yang pernah dihasilkan.

Mendahului senarai, Michael Jackson menjadi orang paling banyak memperoleh pendapatan tahun lepas walau jika dibanding artis-artis lain yang masih hidup.

Selepas genap 16 bulan kematiannya pada 25 Oktober lepas, Jackson memperoleh pendapatan sebanyak AS$275 juta (RM852 juta). Beliau yang tidak pernah sekalipun memasuki senarai Forbes 100 selebriti terkaya, hanya mampu menempatkan diri setelah kematiannya.

Pendapatan utama Jackson banyak diperoleh melalui royalti lagu-lagunya, penghasilan filem, This Is It dan melalui penjualan memorabilia beliau. Kematian Jackson ini sememangnya telah dijangka akan membuatkan beliau menjadi lebih kaya berbanding ketika masih hidup seperti mana yang dilalui oleh mendiang John Lennon dan Elvis Presley. Dalam erti kata lain, kematian mereka telah memberi fokus bagaimana nilai kematian seseorang memungkinkan lebih banyak kekayaan diperoleh.

Begitu juga yang berlaku kepada selebriti yang menduduki tempat kedua, Elvis Presley. Kematian beliau ketika zaman kegemilangannya semakin menurun 33 tahun lepas telah memungkinkan hasil karyanya terus diingati sehingga kini.

Royalti

Tahun lepas sahaja beliau memperoleh pendapatan besar melalui royalti muzik dan melalui pertunjukan di Cirque du Soleil Show, Las Vegas. Selain itu rumah agamnya, Graceland di Memphis, Tennessee mencatat jumlah kedua tertinggi pengunjung selepas White House, iaitu lebih 600,000 orang setahun. Dianggarkan beliau memperoleh pendapatan sebanyak AS$60 juta (RM186 juta) tahun lepas.

Hasil karyanya sememangnya mencipta nama dan kemuncak dengan gayanya yang tersendiri. Penulis terkenal John Ronald Reuel Tolkien, atau lebih dikenali dengan nama J.R.R. Tolkien menduduki tempat ketiga hasil jualannya karya yang diiktiraf antara terbaik pernah dihasilkan.

Pastinya semua orang akan mengingati trilogi filem Lord of The Ring, yang mencatat rekod sebagai antara paling laku dipasaran. Beliau yang meninggal dunia pada tahun 1973 memperoleh kekayaan sebanyak AS$50 juta (RM155 juta) tahun lepas.

Kekayaan beliau ini adalah sesuatu yang sangat berbaloi memandangkan kreativiti dan imaginasi beliau yang sangat tinggi melayakkan dirinya digelar sebagai "Bapa Kesusasteraan Fantasi Moden".

Tempat keempat pula diduduki kartunis tersohor, Charles M. Schulz yang terkenal melalui karyanya Peanut yang masih terus mekar sehingga hari ini. Karyanya ini telah menjadi legenda dan jenama kartun terkenal di seluruh dunia dengan lebih 2,200 akhbar di 75 negara terus mengeluarkan watak itu sehingga sekarang. Schulz yang meninggal pada 2000 ketika berusia 77 tahun memperoleh kekayaan sebanyak AS$33 juta (RM102 juta) pada tahun lepas.

Sememangnya karya seni orang seterusnya telah menyemarakkan lagi dunia hiburan antarabangsa dan kerana itu nama beliau masih lagi harum sehingga sekarang. Siapa yang tidak kenal dengan nama John Lennon yang juga antara pengasas kumpulan The Beatles.

Namun kematiannya akibat dibunuh pada 30 tahun lepas di New York telah melonjakkan lagi karya-karyanya untuk terus dihayati sehingga kini. Pastinya dengan kekayaan yang diperoleh sebanyak AS$17 juta (RM53 juta) sudah cukup untuk membuktikan karyanya adalah antara koleksi terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah muzik moden.

Nasib berbeza berlaku bagi orang yang menduduki tempat keenam Stieg Larsson. Beliau yang juga penulis buku The Girl with the Dragon Tattoo memasuki senarai ini buat kali pertama selepas meninggal dunia pada 2004.

Penulis kelahiran Sweden ini meninggal dunia ketika berusia 50 tahun tanpa sempat sebarang bukunya di bawah syarikat Millennium Trilogy diterbitkan.

Namun selepas kematiannya, bukunya terjual sebanyak 40 juta naskah dan dialih bahasa ke 44 bahasa. Namun kekayaan sebenarnya yang bernilai AS$15 juta (RM46 juta) tahun lepas diperoleh hasil dari royalti filem The Girl with the Dragon Tattoo yang bakal ditayangkan pada Disember depan. Malangnya kekayaannya itu kini menjadi rebutan antara bekas kekasih, bapa dan adiknya.

Seorang lagi kartunis yang mengekalkan kekayaan selepas kematian adalah Dr. Seuss atau nama sebenar Theodor Seuss Geisel. Beliau juga merupakan penulis buku kanak-kanak yang mencatat sejarah penjualan tertinggi dalam sejarah.

Antara karyanya yang terkenal adalah The Grinch, The Cat in the Hat, dan Horton Hears a Who! Melihat senarai ini adalah tidak menghairankan beliau mencatat kekayaan sebanyak AS$11 juta (RM34 juta) walaupun telah meninggal dunia 19 tahun lepas.

Pastinya nama seorang ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Saintis terkenal Albert Einstein yang terkenal melalui teori relativiti dan pelbagai lagi mencatat nama antara orang yang berterusan menerima wang yang banyak.

Beliau memperoleh AS$10 juta (RM31 juta) tahun lepas. hasil royalti yang diterima dari syarikat yang menggunakan imejnya. Antara produk berkenaan adalah Baby Einstein, cermin mata A.J Morgan "geek chic" dan juga melalui pelbagai permainan video keluaran Nintendo DS.

Berdasarkan apa yang berlaku kepada mereka ini maka perlu difahami betapa besarnya pengaruh penilaian yang dilakukan seseorang. Ini kerana hasil penilaian yang diberikan telah memungkinkan seseorang tetap kaya, dihormati dan dipuja walaupun setelah ketiadaan mereka.

Tidak semestinya sesuatu penilaian itu betul atau jujur apatah lagi jika ia dilakukan secara bias, ala kadar atau jika terlalu bersandarkan pandangan atau persepsi pihak ketiga.

Namun adalah lumrah bahawa manusia sememangnya gemar membuat penilaian namun cuba mengelak dari dinilai. Namun bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, mungkin itu cara terbaik dalam bagaimana kita mahu dinilai.

Ini kerana manusia selepas ketiadaannya akan dinilai dan dihargai berdasarkan sumbangan dan jasa walaupun mungkin ketika hidupnya tidaklah begitu sempurna.

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...