terima kasih buat kalian semua..

Thursday, November 4, 2010

Motosikal besar bermaharajalela di lebuh raya..ganggu dan membahayakan pengguna jalan raya lain...


SEBAGAI pengguna lebuh raya yang prihatin, saya ingin menegur sikap segelintir penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi secara berkumpulan untuk ke destinasi yang mereka ingin tuju.

Pada 27 Oktober 2010 sekitar pukul 3 petang, saya telah berjuang dengan konvoi motosikal yang menuju ke arah utara selepas rehat dan rawat Sungai Perak. Mereka ini diiringi anggota polis yang mengarahkan pengguna lebuh raya supaya ke bahu jalan bagi memberi laluan kepada konvoi tersebut.

Apa yang saya dapat lihat dari jauh, satu kemalangan nyaris berlaku kerana kenderaan yang memandu laju di laluan kanan menghimpit kenderaan yang berada di sebelah kiri kerana ingin ke bahu jalan dengan segera tanpa memandang ke belakang disebabkan panik dengan siren polis.

Kenderaan polis juga dilihat memandu laju dan secara melulu tanpa menghiraukan pengguna lebuh raya yang lain.

Setelah semua motosikal beredar, saya meneruskan perjalanan dalam keadaan trafik yang penuh sesak kerana semua kenderaan mula bergerak pada masa yang sama.

Selepas lebih kurang 20 minit memandu, saya dipintas dari tengah oleh sebuah motosikal yang penunggangnya memakai jaket bertulis "Marshall" ketika saya sedang memotong sebuah kereta di sebelah kiri saya.

Ketika inilah saya nyaris melanggar motosikal tersebut kerana dengan tiba-tiba penunggang tersebut memperlahankan motosikalnya betul-betul di depan kenderaan saya kerana ingin membantu rakannya yang sedang berhenti di bahu lebuh raya.

Saya ingin menasihati semua penunggang motosikal yang sering berkonvoi supaya sentiasa mematuhi undang-undang ketika memandu dan ingatlah bahawa ada pengguna lain di lebuh raya dan mereka ini membayar tol sedangkan motosikal tidak dikenakan sebarang bayaran tol.

Perlu diingatkan bahawa jalan raya bukan hanya milik mereka dan kepada pihak polis saya menyeru agar sentiasa memikirkan pemandu lain dan tidak "menghalau" mereka dengan siren yang ada.

Othman Zakaria

Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...