terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, November 17, 2010

Penduduk Bonor tuntut janji!!


Penduduk Kampung Bonor menarik sebuah kenderaan yang tersangkut dalam lumpur ketika cuba melepasi jalan yang menghubungkan kampung itu dengan pekan Keningau, baru-baru ini.


KENINGAU - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Begitulah nasib yang menimpa penduduk Kampung Bonor dan sembilan kampung lain dekat sini yang terpaksa bergelut dengan lumpur akibat jalan rosak.

Jurucakap penduduk, Palimon Kamunsing berkata, kerosakan jalan yang dibina oleh syarikat pembalakan itu menyukarkan penduduk kampung keluar menjalankan urusan harian termasuk memasarkan hasil tanaman di pekan berhampiran seperti Keningau, Sook dan Nabawan.

Menurutnya, penduduk terpaksa meredah jalan berlumpur tersebut kerana ia merupakan satu-satunya jalan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan dunia luar.

"Kami tidak ada pilihan lain walaupun terpaksa mengerah kudrat menolak atau menarik kenderaan yang tersangkut dalam lumpur" katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Palimon berkata, selain penduduk kampung, masalah tersebut turut menjejaskan warga pendidik di beberapa Sekolah Kebangsaan (SK) berhampiran seperti SK Bonor, SK Pengaraan, SK. Pohon Batu, SK. Binanun, SK. Nangkawangan dan SK. Mamagun.

Katanya, guru-guru sukar membawa keperluan dan peralatan mengajar kerana kenderaan pengangkutan awam enggan masuk ke kawasan itu.

"Perkhidmatan Jabatan Kesihatan Bergerak yang sebelum ini mengunjungi kampung itu mengikut jadual kini tidak lagi dapat menjalankan perkhidmatan," tambahnya.

Amat menyedihkan lagi, katanya, apabila ada penduduk yang sakit tenat dan memerlukan rawatan di hospital Keningau tidak dapat dibawa keluar dengan cepat.

Palimon memberitahu, beberapa tahun yang lalu semasa aktiviti pembalakan masih aktif di kawasan itu jalan raya berkenaan sentiasa diselenggara.

Namun katanya, apabila pembalakan tidak lagi aktif, jalan raya yang menjadi laluan utama penduduk kampung semakin teruk dan kini sukar dilalui oleh kenderaan.

Katanya, pada masa ini terdapat syarikat yang menjalankan kegiatan pembalakan di kawasan itu tetapi tidak menyelenggara jalan raya tersebut.

''Sudah banyak janji kami dengar tetapi sampai hari ini masalah ini tidak dapat diatasi," katanya.

Oleh Sapurah Liyunan

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...