terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 12, 2010

Pihak berkuasa tolonglah perketat kawalan sempadan negara..


AMAT memalukan Malaysia apabila dengan mudahnya dua beranak yang berasal dari Australia dan seorang lelaki yang berasal dari Hong Kong telah berjaya membawa keluar hampir 170 kilogram dadah bernilai hampir RM1 bilion daripada kawalan pintu keluar negara kita ke Australia. Oleh kerana kawalan sempadan di Australia amat ketat dan sukar berlakunya pencerobohan bahan terlarang, maka penyeludupan dadah sebesar itu dapat dihalang oleh pihak berkuasa Australia dengan tertangkapnya tiga penyeludup itu.

Yang menghairankan, kenapa mudahnya dadah begitu besar jumlahnya dapat melepasi jangkauan pemeriksaan pihak berkuasa negara kita? Apakah pihak berkuasa Malaysia tidak berjaya mengesan sindiket pengedaran ini? Pengedaran dadah yang dibuat secara kecil-kecilan dapat pula diberkas.

Apakah Malaysia sudah menjadi negara pembekal dan penghasilan dadah? Soalan inilah yang sedang bermain di fikiran saya, kerana kita sudah sedia maklum Malaysia bukanlah negara yang menghasilkan dadah namun sendikit penyeludupan masih berjaya mengeksport sejumlah dadah dengan jumlah yang besar ke negara luar?

Apakah 'benar' Malaysia menjadi hub sementara pengedaran dadah ke seluruh dunia? Apakah pegawai-pegawai kita di bahagian keselamatan (terutamanya yang bertugas di pintu-pintu masuk dan keluar negara) tidak nampak berlakunya pengedaran dadah atau apa jua cubaan penyeludupan haram yang masuk atau keluar dari negara kita?

Ini baru penyeludupan dadah yang berjaya 'ditangkap' oleh pihak berkuasa negara luar, bagaimana pula yang tidak berjaya ditangkap?

Saya yakin banyak penyeludupan masih berleluasa berlaku di setiap pintu masuk negara baik di darat mahupun di laut ataupun di udara, yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang tidak amanah dan beretika ini.

Cuba kita lihat contoh terdekat iaitu mengenai penjualan rokok kretek (dari Indonesia) yang diharamkan oleh kerajaan, malah penjualannya masih berleluasa di dalam negara kita. Apakah mustahil tidak ada penyeludupan atau penyelewengan di kalangan pegawai kerajaan sedangkan penjualan rokok tersebut masih lagi banyak dan mudah untuk didapati di kedai-kedai runcit? Siapa dalangnya?

Ini belum lagi penyeludupan keluar seperti penyeludupan kertas-kertas yang tak terpakai (kertas 'kelas 3' atau kertas hancur) yang saya difahamkan tidak ada permit (AP) diberikan kepada mana-mana syarikat namun ia masih juga berlaku hampir lima tahun sehingga kini. Namun, tiada apa jua tindakan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Kastam dan Eksais di pelabuhan-pelabuhan negara.

Ada syarikat ingin memohon AP (eksport kertas 'kelas 3') dan sudah tentu kerajaan akan mendapat mengenakan cukai namun ia ditolak (oleh MITI) atas alasan syarikat monopoli pembekal kertas memaklumkan yang keperluan kertas di dalam negara tidak mencukupi maka tidak boleh dieksport.

Tapi penyeludupan keluar kertas 'kelas 3' masih juga berlaku dan saya yakin ada kerjasama haram yang dipersetujui oleh beberapa pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di jabatan yang berkaitan.

Saya tidak menuduh dan mereka-reka fitnah, malah saya yakin ia masih berlaku sejak sekian lama kerana mereka ini mengejar keuntungan yang mudah tetapi kerajaan yang mengalami kerugian. Cuba kita fikir sejenak, negara kita bukanlah pengguna kertas 'kelas 3' malah mesin pembuat untuk menjadikan kertas boleh guna itu juga tidak ada. Oleh itu, ke mana perginya kertas-kertas 'kelas 3' ini jika ia tidak diseludup ke luar negara seperti ke Indonesia dan China?

Oleh itu, pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia segeralah memantau setiap pergerakan pegawai kerajaan yang tidak amanah (kekayaan melampaui pendapatan) ini daripada terus melakukan penyelewengan. Jika ia berterusan maka ia boleh menjatuhkan maruah negara serta memberikan pandangan buruk negara luar terhadap isu keselamatan negara kita yang digembar-gemburkan antara yang terbaik di rantau ini.

Janganlah sehingga ada pengganas di dalam negara berjaya menyeludup senjata-senjata berat sehingga boleh membuat huru-hara, ketika itu baru kerajaan hendak bertindak.

Bertindaklah segera terhadap kawalan dan keselamatan di setiap inci pintu masuk negara baik di darat, di laut mahupun melalui udara dengan memperhebatkan kawalan, menaik taraf sistem keselamatan yang ada serta meletakkan anggota yang benar-benar ingin menjaga negara, bukan yang ingin menjual negara.

Di sini, saya tidaklah menuduh keseluruhan pegawai kerajaan yang bertugas di kawasan sempadan negara baik pihak polis mahupun Jabatan Kastam atau Imigresen, tidak amanah atau ingin merosakkan negara tetapi kerana segelintir pegawai yang melakukannya maka nama satu jabatan terpalit lumpur.

Oleh itu, para pegawai kerajaan yang mengetahui ada berlakunya penyelewengan di jabatan masing-masing, segera buat aduan dan tindakan agar ia dapat dibanteras dengan segera.

Siti Nuraisyah Umirah,

Tanjung Kling, Melaka.

1 comment:

  1. kena ada sikp konsisten dalam tugas.. kdg2 mcam lalang je

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...