terima kasih buat kalian semua..

Thursday, November 18, 2010

Prestasi skuad bola sepak Sukan SEA, Asia tiada beza..


DENGAN kekalahan ke atas Iran 3-1 berakhir sudah perjuangan skuad bola sepak kebangsaan di temasya Sukan Asia Guongzhou, China. Seperti dijangka tiada apa yang boleh diharapkan, jauh sekali untuk melakar kejutan kerana skuad ini sememangnya sebelum bermulanya kejohanan ditimpa musibah dengan ramai pemain utama dilanda kecederaan.

Dan tanpa diduga juga skuad ini terus menyaksikan kecederaan ke atas pemain-pemain yang lain ketika saingan baru bermula, ditambah pula keputusan pengadil yang berat sebelah semasa perlawanan menentang China.

Tetapi itulah lumrah dalam sukan bola sepak dengan sebab dan takdir yang tidak diduga. Sekiranya skuad kita tidak ditimpa perkara-perkara tersebut, saya juga tidak fikir kita mampu melakukan sesuatu, jauh sekali untuk menghadiahkan sebarang pingat untuk negara.

Bukan untuk memperkecilkan dan memandang rendah susah payah pemain berjuang tetapi pernahkah kita tahu dan ambil peduli tentang perkembangan skuad negara selepas memenangi emas di Sukan SEA Laos.

Apakah rancangan seterusnya selepas kejayaan emas itu? Apakah strategi dan langkah terbaik untuk memastikan skuad tersebut meningkat? Betul, ada beberapa pemain dihantar ke Slovakia tetapi adakah keseluruhan pemain dalam skuad emas?

Pada saya, kita ke sana hanya seperti melakukan perlawanan biasa menguji kekuatan yang kita sendiri sudah tahu keputusan perlawanan tersebut. Iaitu kita akan kalah kerana skuad kita belum menjadi skuad yang kuat.

Pada saya biarlah kita perkuatkan skuad kita dahulu dengan tunjuk ajar dan bimbingan latihan dalam membentuk pemain yang kalau boleh sempurna di segenap aspek, baik dari segi teknik jaringannya, bertahan, kreatif dalam membuat dan mencipta gerakan dari tengah, hantaran silang yang betul dan sebagainya.

Selain itu taktikal daripada jurulatih yang lebih moden dan berkesan perlu kita pelajari. Kita perlu menjadikan mana-mana negara maju sebagai negara sahabat dan negara usahasama dalam mempelajari dan mendalami ilmu bola sepak.

Saya juga telah menyarankan seluruh pemain ini tidak perlu kembali ke skuad negeri kerana selagi mereka bermain di situ beginilah corak dan teknik yang mereka bawa selagi mereka menyarung jersi kebangsaan.

Percayalah ia tidak akan mengubah apa-apa, jauh sekali pemain itu semakin maju. Kalau kita rasa kita sudah steady dan sudah agak kuat setelah memenangi emas Sukan SEA, pernahkah kita terfikir sebenarnya kita masih jauh ketinggalan banyak aspek berbanding Jepun, China dan Iran yang kita hadapi baru-baru ini.

Sampai bila corak permainan kita hanya akan bertahan dan sesekali cuba menyerang apabila bertemu kuasa bola sepak Asia dan sampai bila apabila bertemu pasukan tersebut, sebelum kalah kita akan berkata, janganlah cuba hendak harapkan apa dan cuba untuk membandingkan dengan pasukan Malaysia.

Seperkara lagi, kita juga cepat memberi andaian dan mengharapkan mana-mana pemain di dalam Liga Malaysia yang diketahui hebat akan memberi impak besar dan juga masalah besar terhadap pasukan lawan. Walhal pemain itu hanya hebat di dalam liga tempatan sahaja kerana tiadanya pendedahan yang banyak terhadap perlawanan antarabangsa selain teknik dan bakat pemain itu sendiri hanya sesuai di dalam Liga Malaysia.

Saya sampai sekarang sebenarnya masih tidak berpuas hati dengan prestasi skuad dan jujur saya katakan saya sendiri tidak terlalu gembira dan teruja selepas negara memenangi Sukan SEA. Masih banyak kekurangan pemain-pemain skuad Sukan SEA dan Sukan Asia ini.

Saya bukanlah hendak mengkritik tetapi sekadar memberi pandangan agar pemain, jurulatih, persatuan dan rakyat Malaysia terus berjuang dalam meningkatkan mutu bola sepak negara.

MATTHIAS SAMMER Kampung Pandan, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...