terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, November 10, 2010

Sediakan payung sebelum hujan..Bank Dunia ramalkan ekonomi Malaysia lebih perlahan tahun depan..



Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih perlahan daripada 7.4 peratus tahun ini kepada 4.8 peratus tahun depan walaupun pemulihan yang memberangsangkan tahun ke tahun.

Unjuran itu berdasarkan kepada kelemahan dalam ekonomi global yang menjadi punca ketidaktentuan dalam jangka sederhana.

Pakar ekonomi kanan Jabatan Asia dan Pasifik Bank Dunia, Philip Schellekens berkata, pemulihan kekal sukar memandangkan eksport dan beberapa petunjuk pengeluaran industri merosot pada pertengahan tahun dan akan terus menurun, selari dengan kemelut ekonomi berpanjangan di negara-negara utama.

''Aktiviti ekonomi dijangka terus menyusut pada separuh kedua 2010.

''Pertumbuhan ekonomi negara yang mencapai 7.4 peratus dijangka menurun kepada 4.8 peratus pada tahun depan,'' katanya pada pelancaran Laporan Dwitahunan Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia 2010: Pertumbuhan Terangkum di sini hari ini.

Tambah beliau, permintaan domestik dijangka terus memacu pertumbuhan jangka sederhana dan pengukuhan permintaan daripada G3 dan China kekal menjadi punca ketidakstabilan.

Meskipun kemiskinan telah menjunam, ketidakadilan kekal pada peringkat yang tinggi dan cabaran-cabaran masih wujud kerana Malaysia dalam proses untuk menyertai liga negara-negara berpendapatan tinggi, menurut Pengarah Sektor Pembangunan Insan Asia Timur dan Rantau Pasifik, Emmanuel Jimenez.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yakin Malaysia mampu mencatat pertumbuhan lima hingga enam peratus tahun depan.

Beliau berkata, menerusi tumpuan berterusan dalam mengenal pasti bidang, pelaksanaan dan campur tangan dasar dalam perancangan, negara akan mengekalkan momentum pertumbuhannya.

''Momentum kita baik, ada banyak program. Kita tidak mempunyai masalah dalaman, namun terdapat masalah di rantau ini dan negara maju pula berhadapan cabaran yang akan menjejaskan ekonomi kita pada tahap tertentu.

"Saya yakin unjuran itu adalah sebelum campur tangan dasar baharu. Kami akan mencuba yang terbaik untuk merealisasikan matlamat dan unjuran ini memberikan Malaysia sebab untuk berusaha lebih keras.

"Menerusi dasar tambahan, langkah yang tepat, memastikan projek dilaksanakan dengan penyertaan aktif sektor swasta dan fasa pelaksanaan yang lebih pantas," katanya pada sidang media selepas melancarkan laporan Bank Dunia ke atas ekonomi Malaysia di sini.

Schellekens berkata, jika kerajaan Malaysia melaksanakan secara konsisten reformasi struktur, terdapat peluang peningkatan untuk negara mengekalkan momentum pertumbuhan.

"Malaysia perlu menunjukkan komitmen padu yang akan memacu pertumbuhan, bagaimanapun cabarannya ialah ketidaktentuan ekonomi global," katanya.

Beliau berkata, bagi memenuhi sasaran pertumbuhan Rancangan Malaysia Ke-10, Malaysia perlu mencatatkan peningkatan ketara dalam produktiviti dan pelaburan.

"Dua pendekatan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan menggabungkan dasar pengurangan dengan projek utama swasta, menyediakan platform yang baik,'' ujarnya.

Schellekens berkata, Wawasan 2020 boleh dicapai dengan syarat ETP dilaksanakan sepenuhnya. - utusan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...