terima kasih buat kalian semua..

Thursday, November 25, 2010

Skandal siber musnah rumah tangga..




INDIVIDU tidak kira lelaki atau wanita ‘ketagihan’ pada laman sosial di Internet mudah terpedaya kerana mereka ini terlibat dengan perhubungan secara maya atau tidak nyata.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syariah, Suzana Ghazali berkata, golongan itu tertipu dengan kebaikan pasangan yang tidak dikenali secara zahir.

Lazimnya setiap individu akan berusaha untuk menonjolkan yang terbaik bagi menambat hati rakan baru yang dirasakan sesuai menjadi teman istimewa.

“Mereka bagaikan Mat Jenin yang berangan pelbagai impian namun tak pernah berusaha untuk menjadikan realiti. Bercinta melalui Internet sentiasa dirasakan ‘wangi’ sebab belum pernah bertemu muka,” ujarnya.

Suzana mengakui empat daripada 10 kes kaunseling rumah tangga dirujuk kepadanya berpunca daripada laman web sosial.

Malah katanya, realiti cinta siber di kalangan suami isteri sekarang ada yang tidak terjangkau oleh fikiran yang waras.

Sebagai contoh, beliau pernah mengendalikan kes pasangan yang bermasalah disebabkan si suami berzina menerusi Internet.

“Suami ini menggunakan e-mel untuk mengirimkan gambar-gambar bogel kepada pasangan. Perhubungan bertemu muka tidak berlaku dan sekadar bertukar gambar bogel masing-masing disertakan dengan ayat-ayat yang merangsang nafsu masing-masing.

“Satu lagi kes yang saya terima pada hujung tahun lepas menyaksikan perkahwinan berusia enam bulan berakhir apabila suami dapat tahu kerja jahat si isteri yang bermesej lucah dengan rakan-rakan siber,” ujar Suzana.

Hakikatnya walau secara siber, tanpa pertembungan dua jasad, arahan syarak agar jangan mendekati zina telah pun berlaku dalam kes-kes di atas.

Bukan saja berdosa tetapi boleh merosakkan kebahagiaan perkahwinan malah merosakkan diri sendiri.

“Mereka yang mendapat kepuasan melalui seks alam siber ini boleh dikategorikan sebagai melalukan onani dan boleh memberikan kesan kepada hubungan seksual suami isteri juga,” jelasnya lagi.

Menurut Suzana, memang tidak salah berinternet cuma perlu pastikan ia sepatutnya menjadi satu kemudahan untuk mempertingkatkan keperibadian dan kecemerlangan, bukan untuk merosakkan diri sendiri dan insan lain.

“Ikhlaskan niat anda untuk menggunakan kemudahan teknologi yang ada ini. Pastikan biar apa juga yang dilakukan, pasangan dan anak-anak lebih diutama.

“Kalau nak cari kenalan, pastikan hubungan betul-betul berjalan dalam keadaan yang dibenarkan oleh syarak dan moral, bukan yang luar biasa hingga meminggirkan amalan budaya tradisi,” tambahnya. - UM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...