terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 19, 2010

Standard la budaya org Malaysia..: Diesel subsidi masih diseludup..


''Teruk kalau tidak dihentikan, duit ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan yang baik tapi mereka makan pula duit rakyat," kata seorang pegawai perisikan.

Beliau bercakap mengenai penyelewengan diesel bersubsidi untuk nelayan yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Mengikut rekod Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pada 2008, jumlah penyaluran diesel bersubsidi nelayan adalah sebanyak 1.069 bilion liter manakala pada 2009, jumlah penyaluran sejumlah 1.035 bilion liter.

Bagi petrol bersubsidi pula, ia adalah sebanyak 74.15 juta liter telah disalurkan pada 2008. Jumlah ini meningkat kepada 83.72 juta liter tahun lepas.

Ketika ini pengagihan diesel dilakukan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Persatuan Nelayan Negeri dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Subsidi adalah wang yang dibayar oleh kerajaan kepada pengeluar atau penjual sesuatu produk supaya harga runcit produk tersebut rendah berbanding kos sebenar atau harga pasaran.

Subsidi merupakan bantuan untuk meringankan beban kepada pengguna. Dengan lain perkataan, lagi banyak barangan itu dibeli, lagi besarlah subsidi atau beban kewangan yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Soalnya, mengapa kadar penyeludupan tegar diesel subsidi terus berlaku? Menurut sumber, kegiatan penyeludupan minyak diesel khususnya dari Perak menganjur ke negeri utara tanah air memang serius kerana permintaan yang tinggi dari negara-negara jiran.

Sumber itu mendedahkan wujud kegiatan penyeludupan minyak diesel ke sebuah negara jiran dengan menggunakan feri. Katanya, kegiatan yang dipercayai berlarutan sejak beberapa tahun itu dikatakan didalangi oleh pengusaha feri dan pemilik stesen minyak berlesen.

"Beribu-ribu liter minyak diesel dipercayai diseludup ke negara jiran dengan menggunakan feri penumpang berkenaan," katanya.

Menurut seorang pegawai penguat kuasa sebuah kementerian pula, penglibatan stesen-stesen minyak dalam kegiatan penyeludupan diesel subsidi bukan perkara baru.

Pernah dalam satu operasi yang digerakkan oleh agensinya, sepasukan empat pegawai berjaya menahan tiga buah bas ekspres yang sedang mengisi minyak di sebuah stesen di Jalan Jelutong, Pulau Pinang kira-kira pukul 6 pagi.

Bas ekspres tanpa penumpang yang dijadual membuat perjalanan ke selatan tanah air itu mengisi diesel subsidi berjumlah 900 liter yang dianggarkan bernilai RM750.

''Sedangkan, sepatutnya pengusaha kenderaan terbabit menyediakan depot minyak masing-masing bagi memudahkan pemandu mereka mengisi minyak dan bukannya mendapatkan diesel dari stesen minyak," katanya.

Penyeludupan ini, kata beliau, cuma disebabkan oleh satu punca - perbezaan ketara harga diesel subsidi dan diesel industri yang masing-masing sekitar RM0.01 dan RM1.75 yang menghasilkan keuntungan berlipat ganda menerusi perbezaan harga sekitar 70 hingga 80 sen seliter.

Selain stesen minyak, penglibatan nelayan dalam kegiatan tersebut juga tidak boleh ditolak. Pernah, kata beliau, pihaknya menahan beberapa buah kapal tangki yang didapati menjual seliter diesel subsidi pada tahun 2001 pada harga AS$$1.

"Bayangkan berapa keuntungan yang boleh diperoleh daripada penjualan sekitar 100,000 liter diesel subsidi ini," katanya.

Pelbagai modus operandi dikesan dalam penyeludupan itu yang antaranya mengubah suai lori minyak, bas kilang sehinggalah kapal besar termasuk kapal menangkap ikan laut dalam. Dalam sesetengah kes, peti simpanan ikan 'menjadi mangsa'.

"Tapi mereka (sindiket dan dalangnya) tidak pernah serik. Semua ini dibuat demi keuntungan berlipat ganda," katanya.

Meskipun garis panduan dan peraturan telah diperkenalkan kerajaan, namun kegiatan menyeludup diesel subsidi terus berleluasa. Kerana 'memikirkan' keuntungan yang berlipat ganda itulah, maka sindiket penyeludupan diesel subsidi tidak pernah 'mengalah'.

Dia mengambil contoh kejayaan Polis Marin Wilayah Utara merampas sebuah kapal menangkap ikan laut dalam di Batu Maung, Disember 2004 setelah dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan 85,387 liter diesel subsidi bernilai lebih RM300,000.

"Yang peliknya pemilik kapal ini jika dia mahu, boleh memenuhi syarat yang ditetapkan untuk memperoleh kemudahan subsidi diesel kerana memiliki kira-kira 11 buah bot/kapal.

"Tapi kerana hendak 'jalan pintas', maka dia 'membeli' minyak itu daripada pihak tertentu yang sepatutnya menjual bahan itu kepada golongan nelayan," kata beliau sambil menjelaskan prosedur yang perlu dipatuhi oleh pemilik kapal terbabit mensyaratkan dia membeli diesel pada harga industri sebelum dibenarkan membuat tuntutan daripada kerajaan untuk harga subsidi bekalan itu.

Kegiatan menyeludup diesel subsidi menyalahi Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. Badan korporat yang didapati bersalah pula akan didenda sebanyak RM25,000.

Namun dalam beberapa kes, mereka yang dijatuhi hukuman dengan mudahnya pula melunaskan kompaun RM25,000 tersebut.

Oleh ZULKIFLI JALIL

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...