terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 5, 2010

Status ibu bukan bermakna ada hak mutlak ke atas anak..


TELINGA Razila, panas bila Shafik menempelaknya. Mengata dirinya ego, sengaja mencabar kelakian Shafik, walhal ketika hidup berkelamin, dua anaknya, Nadira, 6 dan Nadiza, 5, tidak langsung diendahkan.

“Masa kita bersama dulu, ada awak kisah mengenai hidup anak-anak? Sudahlah awak main cinta dengan jantan lain, bila budak-budak ini telefon bertanya khabar, awak buat tidak tahu saja. Tahun lepas ada awak datang jenguk sambutan hari jadi Nadiza?” kata-kata Shafik itu bagaikan mencucuk-cucuk telinga Razila

Pedih hatinya terasa bagai disiat-siat. Saat itu mahu saja dia bersujud di kaki Shafik meminta maaf daripada bekas suaminya itu.
Sambil mengesat air mata, Razila akhirnya terpaksa akur keputusan mahkamah, yang meletakkan hak penjagaan dua anaknya itu pada bekas suami, lantaran Razila dilihat tidak layak menjadi pelindung.

Perhitungan Razila tersasar, apabila memikirkan gelaran ibu kepada dua anaknya itu membolehkannya secara automatik mendapat hak penjagaan anak dan Shafik hanya menerima hak lawatan, tetapi sebaliknya pula berlaku ke atas dirinya. Hari itu dia mendapat pengajaran baru.
“Ada pasangan yang bercerai berjaya menyelesaikan dengan baik urusan jagaan anak-anak. Namun ada juga yang mengambil pendekatan keras, berebut, memburukkan pasangan di depan anak-anak, bergaduh dan ada yang melarikan anak-anak walaupun selepas diputuskan oleh mahkamah siapa berhak ke atas jagaan itu.

“Ini sangat menyedihkan seolah-olah anak adalah barang yang tidak bernyawa dan tidak mempunyai perasaan. Sebenarnya dalam perebutan hak ke atas anak-anak, sama ada kita sedar atau tidak, anak-anak menjadi mangsa yang penuh konflik dalam jiwa mereka. Antara kasih kepada ayah dan kasih kepada ibu. Saya berharap selepas ini kamu berdua boleh memberikan kasih-sayang kepada anak-anak kamu ini tanpa menyimpan sedikit pun dendam,” kata hakim, bagaikan mengatakan “betapa dangkalnya fikiran kamu Razila”.
“Awak boleh kata awak sayangkan anak-anaknya, sebab awak ibunya. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan sahihnya, tetapi hakikatnya awak tidak menunjukkan contoh dan idola seorang ibu yang wajar dicontohi apabila mengabaikan tanggungjawab seorang ibu serta isteri. Banyak kerja mulia, kenapa awak memilih untuk menjadi GRO?” kata Shafik.

Beribu alasan pun diberikan Razila, hujahnya bagaikan menegakkan benang basah sebab dia memilih jalan hitam, bukan cara terpuji berlandaskan agama Islam. Atas alasan itu jugalah yang menyebabkan talak jatuh ke atasnya dua tahun lalu.

Razila hanya mampu menangis teresak-esak sambil membiarkan dua orang anaknya berlalu dibawa Shafik. Walaupun Nadira dan Nadiza turut meraung, Shafik pantas memainkan peranan membawa mereka beredar.

Ada titis jernih di penjuru mata Shafik tetapi apakan daya, Razila sudah telalu jauh terpesong daripada landasan hidup sebagai wanita muslimah. Kereta Shafik meluncur laju, meninggalkan Razila berendam air mata.

“Aku tidak berdendam denganmu Razila. Datanglah bila kamu mahu berjumpa dengan anak-anak”. Ringkas kiriman pesanan ringkas daripada Shafik itu serta-merta menyebabkan dia bertambah sayu.

Sayu memikirkan Shafik masih seperti Shafik dulu, yang tidak pernah jemu memberinya sokongan untuk kembali ke pangkal jalan, cuma hatinya yang keras bagai batu, kaku bagaikan tidak bernyawa.

Tetapi SMS diterima petang itu cukup berlainan sekali dirasakan. “Masihkah ada ruang kemaafan untukku Shafik?,” katanya bertanya kepada diri sendiri.
Ketika itu wajah Shafik, Nadira, dan Nadiza bertukar ganti. Antara wajah tawa, serta menangis ketika dimarahi ketika datang dekat ingin bermanja dengan Razila, bagaikan menjerut tangkai hatinya.

“Bukan hak siapa yang sepatutnya menjadi taruhan tetapi kebajikan anak adalah paling penting untuk diperhatikan. Kita seharusnya meletakkan kepercayaan dan mematuhi keputusan ditetapkan. Keputusan mahkamah sewajarnya diikuti kerana ia adalah pemutus kepada sebarang pertikaian. Apa yang penting adalah perceraian antara ibu bapa janganlah menjadi alasan untuk menghancurkan jiwa anak-anak.

“Alangkah baik jika hubungan ibu bapa berakhir tetapi anak-anak tetap merasai kasih sayang yang sama kerana urusan hak jagaan dan nafkah mereka diputuskan dengan baik antara ibu dan bapa mereka,” penerangan didengar di mahkamah pagi tadi masih basah di telinganya.

Deringan telefon bimbitnya menjerit entah kali ke berapa, panggilan pelanggan setia bernama Datuk KK, menanti untuk diangkat, langsung pula tidak diendahkan. Tangisan Razila pun bertambah kuat. Kegagalan tuntutan itu amat menginsafkan dirinya yang selama ini alpa dalam mencari keseronokan yang dikecapinya sementara cuma. Saat itu mungkin juga menjadi petanda kasihnya terhadap Shafik dan anak-anak kembali bertaut. - BH

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...