terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, November 30, 2010

TV: Iklan asing kian berleluasa!


BEBERAPA tahun lalu, (saya tidak ingat tarikh tepatnya), Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat mengeluarkan garis panduan pembikinan iklan untuk siaran televisyen (TV) mestilah hasil produksi tempatan keseluruhannya. Ertinya daripada syarikat pembuat iklan, krew dan pelakon iklan mestilah rakyat negara ini. Lokasi iklan juga mestilah di dalam negara.

Malah mereka yang memiliki wajah Pan-Asian juga tidak dibenarkan muncul dalam iklan-iklan tempatan.

Peraturan ini sememangnya amat bermanfaat dalam membantu syarikat-syarikat iklan dan juga para pelakon tempatan memperoleh sumber rezeki. Selain itu ia memastikan iklan-iklan yang disiarkan memaparkan identiti Malaysia.

Namun setelah beberapa tahun berlalu, lihat sendiri apa yang terjadi. Apakah bentuk iklan yang kita saksikan dipaparkan di kaca-kaca TV sekarang? Banyak iklan yang 100 peratus memaparkan identiti luar, seperti pelakon, lokasi dan lain-lain. Ini juga bermakna 100 peratus unsur tempatan diketepikan.

Iklan di kaca TV kini kebanyakannya lebih bersifat 'antarabangsa'. Ada 'Mat Saleh', ada Jepun, ada Indonesia, ada dari China. Malah bintang Bollywood pun ada.

Kenapa perlu disiarkan iklan syampu yang memaparkan bintang Bollywood misalnya. Tidak adakah pelakon tempatan yang layak muncul dalam iklan berkenaan? Kenapa juga menggunakan pelakon Indonesia untuk iklan syarikat telefon mudah alih? Ini sekadar contoh. Masih banyak yang lain.

Pada saya, apa yang berlaku sekarang seperti undur ke belakang. Peraturan yang dibuat oleh Mohamed Rahmat adalah sesuatu yang baik, tetapi kenapa kini ia diabaikan? Adakah peraturan ini sudah dimansuhkan dan kita ada garis panduan baru?

Kita sudah mengalami lambakan drama Indonesia atau filem Bollywood. Adakah untuk iklan pun, kita masih memberi keutamaan kepada bintang dari Indonesia dan Bollywood?

Jika iklan-iklan berkenaan dihasilkan di negara-negara berkenaan dan disiarkan di sini, maka ia satu lagi percangggahan peraturan sebelum ini yang memerlukan negara ini sebagai lokasi pembikinan filem-filem iklan tempatan.

Harapan saya pihak berkuasa meneliti perkara ini. Kenapa peraturan yang telah dibuat dipermainkan dengan begitu mudah sehingga mengenepikan kepentingan syarikat dan tenaga kerja tempatan?

Kita tidak ketandusan syarikat, krew dan pelakon tempatan yang mampu berganding bahu menghasilkan iklan terbaik dan lebih memenuhi citarasa kita semua sebagai rakyat Malaysia.

Dalam semangat 'Cintai Malaysia' dan 'Belilah Barangan Malaysia', kita perlu kembali kepada peraturan yang telah ditetapkan. Ini kerana pada pandangan saya peraturan yang dibuat oleh Mohamed Rahmat itu tidak lain tidak bukan demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat negara ini, khususnya dalam berkarya. Wajarkah aturan ini diubah?

LELA SATRIA

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...