terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, November 24, 2010

Untuk yg ada anak sekolah: Nasihat untuk isi cuti sekolah anak-anak..


PENGISIAN masa bagi anak-anak kita semasa cuti sekolah akhir tahun lebih sebulan ini perlu dijadualkan dengan bijak dan berhati-hati.

* Jangan sampai ada pelajar ini menghisap rokok dan menjadi penagih pula kerana selalunya ia bermula dengan merokoklah punca permulaan kepada penagihan dadah.

* Pastikan anak-anak kita tidak bergaul dengan kawan-kawan yang boleh merosakkan akhlak mereka terutama sekali yang nakal.

Sekali terjebak dan tersasar jauh bukan mudah untuk dipulihkan. Biar kita tegas sedikit asalkan anak kita terselamat dari gejala sosial yang boleh memporakperandakan institusi kekeluargaaan itu sendiri.

Selalunya ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan seterusnya memberikan nasihat secara berkhemah tetapi tegas.

* Pastikan anak-anak mengulang kaji atau membuat kerja-kerja sekolah sekurang-kurangnya 2 jam sehari.

* Di masa cuti sekolah inilah cuba 'berkawan' dengan anak-anak. Berikan mereka kesempatan bersuara dan memberikan pendapat dan tidak secara langsung kemesraan kekeluargaan dapat dipupuk.

Tidak salahnya jika wang lebih bawa mereka bercuti bersama kerana dari situ rasa kemesraan akan terjalin dan boleh merapatkan lagi hubungan antara orang tua dengan anak-anak.

Disyorkan juga membawa anak- anak yang tinggal di bandar-bandar besar itu bercuti panjang ke kampung asal.

Mereka boleh menikmati dan mengenali kehidupan kampung yang kaya dengan adat resam serta kemuafakatan penduduk kampung itu sendiri tidak dapat dinafikan lagi.

Biarlah anak-anak mengenal ayam itik dan lembu kerbau serta merasakan menjejakkan kaki di dalam sawah bendang atau ikut bersama berkebun ataupun pergi menoreh getah bersama datuk atau nenek mereka. Berilah ruang dan peluang kepada anak-anak kita.

* Elakkan anak-anak remaja kita merempit atau bersosial yang keterlaluan hingga tidak balik kerumah atau balik hingga lewat malam kerana bermacam-macam boleh berlaku.

Kita tidak mahu apabila 'sudah terantuk baru hendak tergadah' dan di masa itu sudah terlambat.

* Diberikan pengajaran agama berhubung kait dengan fardu ain mentelaah kitab suci al-Quran melalui ajaran terus daripada ibu bapa atau dari ustaz dan guru al-Quran.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...