terima kasih buat kalian semua..

Monday, November 15, 2010

UPSR: Pelajar luar bandar - apakah nasib mereka?


TAHNIAH kepada murid-murid yang berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Catatan cemerlang tahun ini, malah pencapaian dirumuskan sebagai yang terbaik. Kepada ibu bapa yang sebelum ini tak boleh tidur lena memikirkan keputusan anak masing-masing, kini dah boleh senyum lebar. Sekarang ini pastinya sibuk mengisi permohonan untuk anak-anak ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau ke sekolah harian terbaik. Maklumlah persaingan sangat sengit. Hanya 10 peratus daripada 48,327 murid yang mendapat 5A berpeluang ke SBP. Maknanya tak sampai 5000 akan ditempatkan di SBP. Murid cemerlang UPSR dan semua jenis peperiksaan bukan saja di bandar. Murid-murid di luar bandar turut mencatatkan prestasi memberangsangkan. Ramai anak luar bandar mendapat 5A termasuk mereka yang terpaksa mengharungi kepayahan hidup akibat kemiskinan. Walaupun sekadar mengikuti kelas tambahan di sekolah-sekolah, mereka tetap cemerlang. Itu kisah murid-murid cemerlang di bandar dan luar bandar. Pencapaian yang mendapat pujian semua orang walaupun USPR adalah penilaian peringkat awal. Masa depan murid-murid masih terlalu jauh. Pada usia 12 tahun, UPSR menjadi saringan awal untuk membezakan murid cemerlang dan tidak cemerlang.

Dalam membuat ulasan keputusan UPSR, yang mendapat perhatian adalah murid-murid cemerlang. Apa nasib murid-murid yang sekadar mendapat 1A, 2A atau 3A terutama yang tinggal di luar bandar. Semestinya tidak ada tempat untuk mereka di sekolah harian terbaik jauh sekali di SBP. Lebih malang lagi apabila murid-murid kategori tidak cemerlang luar bandar ditempatkan di kelas-kelas tercorot sekolah-sekolah biasa. Kelas utama diisi dengan murid-murid yang mendapat 4A atau 3A tetapi tidak mendapat tempat di SBP atau sekolah harian terbaik. Maka bermulalah diskriminasi dan permainan emosi yang memberi kesan jangka panjang kepada murid-murid tidak cemerlang UPSR terutama di luar bandar. Teringat zaman persekolahan di luar bandar. Rakan-rakan yang tidak cemerlang semasa peperiksaan penilaian darjah 5 tegar membaiki diri masing-masing apabila memasuki sekolah menengah. Ketika itu murid yang mendapat 5A boleh dikira dengan jari. Begitu juga 4A. Namun begitu masih ada murid cemerlang yang tercicir daripada mendapat tempat di SBP. Mungkin kerana tidak banyak SBP ketika itu atau kesilapan di mana-mana sehingga murid cemerlang di luar bandar tercicir. Seorang teman tidak dapat melupakan kisah pahit dia tersingkir daripada memasuki sebuah SBP pada awal 1980-an. Dia melepasi semua ujian kelayakan, namun apabila tiba ujian bahasa Inggeris dia gagal. Betapa dia merasa sangat kecewa. Sebagai murid yang sekolah tempat dia belajar berlantaikan kayu dan kehidupannya sarat dengan kemiskinan, semestinya penguasaan bahasa Inggerisnya lemah. Dia melihat dunia sebagai tidak adil kepada murid sekolah 'hulu' sedangkan matlamat awal penubuhan SBP adalah untuk memenuhi keperluan murid luar bandar sepertinya. Mungkin ramai yang lupa bahawa SBP disediakan untuk memberi peluang kepada anak-anak luar bandar yang persekitaran pembelajaran mereka tidak sempurna meneruskan cita-cita mereka.

Namun teman itu tidak berputus asa. Begitu juga dengan teman-teman lain yang tidak cemerlang di peringkat UPSR. Cabaran di peringkat menengah diteruskan apatah lagi persaingan ketika itu tidak segenting sekarang. Alam persekolahan dapat dilalui dengan jayanya. Selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), peluang menentukan aliran pembelajaran. Yang cenderung kepada kemahiran akan memilih sekolah teknik atau vokasional. Aliran sains, sastera dan perdagangan pula mengisi pembelajaran di sekolah menengah biasa. Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai rakan yang tidak berjaya di peringkat rendah berjaya memasuki universiti. Ada juga yang masuk ke SBP tetapi tersangkut di peringkat diploma. Dari segi kecemerlangan kerjaya juga begitu. Ramai rakan dari sekolah biasa kini mempunyai kerjaya hebat manakala lulusan SBP sekadar kerja biasa.

Namun ada juga pelajar luar bandar yang cemerlang SPM tercicir. Kadang-kadang mereka tercicir bukan disebabkan tidak mempunyai peluang. Sebaliknya desakan serta tuntutan hidup menyebabkan pelajar luar bandar tidak mampu meneruskan kecemerlangan. Justeru perhatian sepatutnya difokuskan kepada pelajar luar bandar - bermula dari UPSR hingga ke SPM.

Oleh Noraini Abd.Razak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...