terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, November 30, 2010

Urusan bank tak lancar walaupun teknologi makin canggih..


TEKAD kelmarin adalah untuk menyelesaikan semua urusan tertunggak. Pertama, mengharungi kesesakan di Jalan Pudu 'mengunjungi' sebuah bank. Tujuan ke situ mahu mendapatkan surat berkaitan pembelian rumah. Selepas berpusing-pusing mencari tempat letak kereta, akhirnya berjaya.

Seorang anak muda gigih memberi 'panduan' cara meletakkan kereta dengan betul. Pakaiannya agak kusam, berjalan pun ala-ala lalok (kata anak muda sekarang) tapi bersungguh-sungguh mengarahkan kereta diletak lurus. Maklumlah, tempat letak kereta berbayar milik persendirian, mahu disumbat sebanyak kereta yang boleh. Maka tidak seinci pun ruang diizinkan kosong. Jalan Pasar Pudu memang agak asing. Lantas perjalanan ke bank berkenaan menjadi kesempatan untuk meninjau kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan. Ada kedai menjual peralatan untuk pusat hiburan. Lampu-lampu ala disko mencuri perhatian. Begitu juga penjual-penjual di kaki lima jalan. Oleh kerana kunjungan ke kawasan itu tatkala matahari pagi masih menyinar, kesibukan di situ masih terasa..Orang ramai berulang-alik membeli barang keperluan. Para peniaga ada yang memunggah barang menjadikan. Jalan Pasar Pudu bukan saja sibuk dengan kegiatan perniagaan, sibuk juga dengan kesesakan lalu-lintas.

Sebaik tiba di bank berkenaan, tujuan ke situ dinyatakan kepada penyambut tetamu yang tersenyum menunggu pelanggan. Dia dengan ramah menunjuk seorang pegawai yang sedang asyik menekan papan kekunci komputer. Kepada pegawai berkenaan terus saja disuarakan matlamat berkunjung ke bank itu. Dia menjawab: ''Kita tak boleh uruskan sebab pegawai yang menguruskan perkara itu bercuti.''

Saya bertanya: ''Berapa lama dia bercuti.'' Jawab lelaki itu: ''Empat hari.'' Termenung sebentar sambil hati berbisik: ''Alahai petanda urusan tak selesai juga.'' Saya bertanya tidak adakah pegawai lain yang boleh uruskan perkara itu. Jawab beliau tiada. Untuk memudahkan urusan pegawai itu mencadangkan supaya saya membuat surat, kemudian faks ke bank berkenaan, dan sekembalinya pegawai tersebut daripada bercuti, permohonan itu akan diuruskan. Selepas tiga hari urusan dijalankan baru saya boleh mendapatkan apa yang dihajati. Maknanya saya perlu menunggu seminggu untuk urusan yang sebenarnya sangat ringkas. Kehampaan, saya meninggalkan bank itu menuju ke bank satu lagi untuk mendapatkan penyata bank. Memikirkan susah nak dapatkan tempat letak kereta, maka saya memilih berjalan walaupun jarak antara bank agak jauh. Matahari semakin tinggi, saya semakin berpeluh. Terasa nyaman sebaik menginjak kaki ke bank kedua. Saya diminta ke kaunter nombor dua. Sampai giliran terus saya ke kaunter menyatakan hasrat. ''Minta maaf puan kami tak boleh cetak penyata bank hari ini sebab offline.'' Saya pantas menjawab: ''Offline seharian?'' Pegawai berkenaan mengangguk: ''Macam ni la puan, puan buat surat faks pada saya, saya akan maklumkan pada pihak berkenaan, esok puan boleh datang ambil penyata bank. Kalau puan nak hantar orang lain datang ambil saya perlukan kad pengenalan dan nama orang itu.'' Sekali lagi saya kehampaan lantas membatalkan hasrat untuk mendapatkan penyata bank. Sambil berjalan ke tempat letak kereta saya berfikir. Dunia tanpa sempadan, tanpa kertas dan teknologi komunikasi yang semakin canggih rupanya masih ada batas. Bukan semua urusan di hujung jari atau boleh disempurnakan dengan sekali tekan butang pada papan kekunci komputer. Alang-alang berada di luar, saya ingin mencuba satu lagi urusan melibatkan produk bank. Saya berhasrat menyempurnakan wang pendahuluan menggunakan kad debit. Sebaik sampai ke destinasi, saya dilayan rapi. Selesai menandatangani surat perjanjian, saya mengeluarkan kad debit kerana tidak berani membawa wang tunai untuk melunaskan pendahuluan. Kad saya dibawa ke pejabat. Tidak sampai dua minit menunggu, gadis manis yang melayan saya tadi keluar dan memberitahu: ''Maaf puan, kad debit ada masalah, puan dikehendaki menelefon bank.'' Sambil menarik nafas panjang, saya terus menghubungi bank berkenaan dan menceritakan apa yang terjadi. Seperti biasa saya diminta memberi nama penuh, nombor kad pengenalan lama, nama ibu, tempat bekerja dan alamat. Semakan dibuat, baki dalam akaun melebihi wang pendahuluan yang dipinta, maknanya tiada masalah di situ. Saya diminta menunggu lagi kerana semakan seterusnya dipanjangkan ke bahagian teknikal. Selepas lebih 10 minit menunggu saya dimaklumkan aduan saya dikategorikan sebagai urgent dan memerlukan sehari dua untuk dikenal pasti apa puncanya. Saya tidak mahu bercakap banyak melangkah longlai ke pejabat kerana waktu bekerja sudah sampai. Sebelah petang saya menerima panggilan telefon dari pegawai bank berkenaan memaklumkan ada masalah teknikal. Saya dicadangkan supaya memindahkan jumlah yang diperlukan ke kad debit bank lain atau mengeluarkan tunai jika mahu menyegerakan pembayaran wang pendahuluan itu. Katanya, kad debit itu hanya boleh digunakan sehari dua lagi. Mungkin saya memulakan langkah keluar rumah dengan kaki kiri atau memang tidak ada rezeki untuk melunaskan tekad saya pada hari yang berkenaan? Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi. - UM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...