terima kasih buat kalian semua..

Friday, November 19, 2010

‘Wang bantuan habis buat tambang’


PENDUDUK dari Mulu terpaksa menggunakan perahu dalam perjalanan sehari suntuk untuk mengambil elaun di bandar Marudi.


MIRI – Tidak berbaloi dan merugikan. Itu antara luahan kira-kira 200 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana terpaksa berbelanja besar setiap kali ingin mengambil elaun itu berikutan ketiadaan mesin pengeluar wang automatik (ATM) berhampiran tempat kediaman mereka.

Mereka merupakan penerima bantuan e-Kasih yang menetap di kawasan pedalaman dan terpencil termasuk Baram, Bario dan Mulu.

Setiap bulan, mereka mendapat bantuan antara RM60 hingga RM450 bergantung kepada keadaan hidup masing-masing. Namun, kos untuk ke bandar raya ini bagi mengambil wang itu mencecah sehingga RM200, lebih tinggi daripada jumlah elaun yang diterima.

Justeru, sebahagian besar penerima bantuan itu yang majoritinya golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan miskin tidak mengambil bantuan itu kerana tidak mampu membiayai kos pengangkutan.

Meskipun mendapat bantuan, kalangan penerima terbabit berpendapat ia tidak memadai kerana kos untuk mengambil elaun tersebut amat tinggi lantaran kampung mereka terpencil dan jauh di pedalaman.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi bank yang paling dekat ialah di Miri dan Marudi. Namun untuk pergi ke bandar-bandar itu perlu menggunakan pesawat Twin Otter, bot atau jalan balak yang mengambil masa sehari suntuk untuk sampai.

Bagi penerima yang tinggal di Mulu pula, mereka tiada pilihan iaitu terpaksa menggunakan bot panjang sehari suntuk ke Marudi atau menggunakan pesawat ke Miri semata-mata untuk mengeluarkan wang tersebut.

Situasi yang sama turut dialami penduduk di tanah tinggi Bario yang bergantung dengan pengangkutan udara sama ada ke Miri atau Lawas.

Bagi penerima dari Baram, mereka terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa lima hingga enam jam untuk sampai ke Miri dan bergantung kepada keadaan jalan balak.

Laji Lupung, seorang Penan dari Batu Bungan, di Mulu, berkata, mereka tidak mampu untuk ke Miri kerana terpaksa membeli tiket pesawat walaupun ia hanya mengambil masa 45 minit untuk sampai.

“Bank yang paling dekat ialah di Marudi manakala perjalanan mengambil masa 10 jam (pergi dan balik) menggunakan bot panjang.

“Namun, jika musim kemarau, perjalanan lebih mencabar kerana paras air sungai yang cetek,” katanya yang mempunyai anak lelaki berusia 15 tahun yang lumpuh sejak kecil.

Menurut Laji, setiap bulan anaknya menerima bantuan kira-kira RM150. Namun katanya, ia tidak berbaloi untuk diambil kerana tambang bot yang mencecah RM200 untuk setiap perjalanan.

Sehubungan itu katanya, dia terpaksa mengambil bantuan tersebut tiga atau empat bulan sekali kerana tidak mampu membayar tambang.

Penghulu Philip Lakai dari Kampung Ramapuh, Bario, berkata, baru-baru ini JKM meluluskan bantuan kepada kira-kira 40 penduduk terdiri daripada OKU, warga emas dan miskin.

Menurutnya, penduduk Bario amat berterima kasih dan menghargai usaha kerajaan menyalurkan bantuan, namun ketiadaan mesin ATM menimbulkan satu lagi masalah besar kepada penduduk yang tinggal di kawasan terpencil.

“Bagaimana kami mahu mengeluarkan bantuan itu? Apa yang kami terima (elaun) kurang daripada kos yang kami keluarkan untuk mengambil bantuan itu.

“Bayangkan penerbangan pergi balik ke Miri mencecah RM200 manakala tambang pengangkutan darat sekitar RM800 dengan mengambil masa 14 jam melalui jalan balak yang berbukit-bukau,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak kerajaan atau agensi berkaitan memikirkan alternatif lain untuk memudahkan penduduk yang jauh di pedalaman mengambil elaun bantuan itu termasuk menyediakan mesin ATM yang boleh digunakan di luar bandar.

“Mungkin kerajaan boleh mewujudkan pejabat pos mini di kawasan terdekat atau strategik bagi memudahkan penerima mengambil elaun tersebut tanpa perlu bersusah payah turun ke Miri atau Lawas,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Eda Beran di Baram, Elizabeth Deng berkata, sebelum ini pihaknya bekerjasama dengan JKM untuk menghantar elaun bulanan tersebut ke kawasan Baram, namun sejak pertengahan tahun ini ia dihentikan.

“Kita tidak dapat mengharapkan JKM untuk menghantar elaun tersebut setiap bulan kerana kos pengangkutan yang amat tinggi. Selain itu, sebahagian kawasan penerima ini terlalu jauh dan mengambil masa yang lama untuk sampai,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Baram berkata, kawasan Bario, Mulu dan Baram memerlukan kemudahan ATM untuk memudahkan mereka mengeluarkan wang.

“Di kawasan Tutoh Apoh misalnya, penerima elaun datang dari 10 kampung berasingan yang terletak berjauhan. Begitu juga di Bario yang mempunyai kira-kira 15 kampung dan sebahagian besar daripadanya tidak mempunyai akses jalan dan tidak dapat dihubungi langsung,” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar Long Lama, satu-satunya pekan yang dekat dengan penduduk Baram, disediakan kemudahan ATM bagi memudahkan mereka mengeluarkan wang selain di Bario dan Taman Negara Gunung Mulu.

Menurut Elizabeth, setakat ini tiga buah bank menguruskan pengeluaran elaun tersebut iaitu Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank.

“Sebelum ini saya sudah berbincang dengan sebuah bank dan setakat ini masih menunggu maklum balas. Ada bank yang berminat untuk memasang ATM di Taman Negara Gunung Mulu, malah pihak pengurusan sedia beri kerjasama,” tambahnya.

Oleh RANIA PARAN

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...