terima kasih buat kalian semua..

Thursday, December 16, 2010

Berpada-pada beri diskaun pada penjenayah..


Konsep plea bargaining atau tawaran pengakuan bersalah yang memberi peluang tertuduh menikmati hukuman ringan sehingga 50 peratus akan dilaksanakan secara formal dalam prosiding mahkamah tidak lama lagi.

Tawaran diskaun hukuman ini mengundang seribu pertanyaan tentang konsep due process (proses undang-undang) yang telah diamalkan di negara yang turut diamalkan oleh kebanyakan negara-negara komanwel lain-lain.

Apa yang mengejutkan, menurut Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi pengurangan sehingga separuh daripada hukuman maksimum itu melibatkan semua jenis tuduhan jenayah termasuk kesalahan yang menetapkan hukuman mati mandatori.

Soalnya adakah mangsa meminta diskaun 'belas kasihan' kepada penjenayah (Orang Kena Tuduh) yang sama ada membunuh, meliwat, merompak mahupun mangsa yang diragut. Bagaimana pula reaksi peguambela-peguambela yang bijaksana bereaksi dengan tawaran diskaun 50 peratus untuk bakal-bakal anak guam mereka.

Adakah akan wujud peguam yang memberitahu anak guam beliau sanggup dibayar 50 peratus juga seandainya anak guamnya sanggup mengaku salah. Sudah pasti anak guamnya akan berkata buat apa melantik Peguam jika mereka sudah diberi keistimewaan oleh mahkamah.

Sebagai contoh kes liwat atau mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah dihukum penjara selama tempoh dua puluh tahun dan sebat.

Jika 50 peratus diskaun, ini bermakna Orang Kena Tuduh akan dikenakan hukuman selama 10 tahun dan mungkin tidak akan disebat kerana sudah dengan rela hati mengaku. Soalnya, adakah keadilan dapat diberi kepada mangsa dengan mempercepatkan masa mahkamah untuk melupuskan kes.

Walaupun masa menjadi faktor penentu untuk kes diselesaikan, ia lebih adil kepada pihak yang dituduh mendapat pertimbangan dan penghakiman.

Diskaun 50 peratus ini hanya akan menyebabkan pihak yang tidak mampu mengupah peguam bela terus mengaku demi menyelamatkan wang ringgit mereka daripada dikorbankan untuk dibuat pembayaran yuran guaman dan kos pengfailan pembelaan di mahkamah.

Wang ringgit di zaman ini lebih bernilai untuk membayar kos kehidupan berbanding dengan masa yang berlalu setiap detik tanpa nilai kepada seorang yang dituduh berbuat jenayah.

Diskaun 50 peratus untuk hukuman bagi pesalah kali pertama memang baik bagi menjimatkan masa mahkamah tetapi kita perlu mempunyai batas dan sempadan untuk memberi diskaun dalam segala hal.

Sudahlah saman kesalahan jalan raya diberi diskaun, adakah kita perlu memberi diskaun hukuman kesalahan manusia dengan manusia semata-mata untuk melupuskan kes-kes tertunggak (backlog).

Pandangan semua pihak terutama mangsa perlu juga diambil kira walaupun kes jenayah dijalankan oleh pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara.

Kita ambil contoh kes terbaru yang melibatkan pihak yang melupuskan mayat mangsa hanya dikenakan hukuman tidak sampai 10 tahun, sedangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa bukan setakat 10 tahun tetapi selama-lamanya.

Seluruh rakyat yang normal akan berasa sedih apabila berlaku kematian manusia yang tidak berdosa akibat jenayah dan mereka akan tertanya-tanya sama ada hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah adil atau sebaliknya.

Masa mungkin menghapuskan ingatan terhadap sesuatu peristiwa tetapi sebagai umat Islam di negara Islam biarlah perbicaraan penuh diberikan kepada pesalah, agar hukuman seberat-beratnya dapat dikenakan setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Sebaik-baiknya proses perundangan rutin dijalankan walaupun masa menjadi taruhan.

Pindaan akta berkenaan memang bukan sahaja menguntungkan penjenayah, malahan masa mahkamah dapat dijimatkan jika penjenayah kali pertama mengaku salah.

Namun ingatlah, dalam kita merasionalkan hukuman jenayah dengan pengakuan bersalah yang pantas dan murah, cuba fikirkan nasib mangsa ragut yang anaknya menjadi yatim dan suaminya menjadi duda kerana anak atau isteri meninggal akibat jenayah ragut.

Hanya kerana, pemuda yang kali pertama didakwa di mahkamah telah mengaku salah meragut dan diberi diskaun hukuman tidak sampai satu jam prosiding berlangsung.

Soalnya penjenayah ditahan di penjara dalam tempoh yang singkat, sang anak dan duda mahupun lain-lain mangsa akan menjalani hukuman 'penjara kemarahan ' seumur hidup mereka. Silap-silap orang lain yang dihukum orang lain yang terseksa.

Kaji semula diskaun hukuman tersebut, kerana masalah tidak akan selesai di hiliran (downstream) jika di huluan (upstream) beratus kes sedang menanti untuk berlaku dan dibawa ke mahkamah.

Lama-kelamaan, orang akan berkata mari kita lakukan jenayah sebab kali pertama kita berbuat jenayah ada diskaun 50 peratus untuk tempoh hukuman berlangsung.

Malangnya masa jenayah berlaku tidak pula mereka berkata 'berikan 50 peratus duit yang ada dalam bank awak, ini satu rompakan'.

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...