terima kasih buat kalian semua..

Saturday, December 25, 2010

Bila seseorang itu meninggal dunia...bilakah masanya perlu disempunakan jenazahnya???


SAYA keliru dengan tata cara mengendalikan jenazah. Jika seseorang itu meninggal dunia pada pukul 5 petang dan akan dikebumikan tengah hari esoknya, adakah jenazah itu perlu dimandikan dahulu atau tunggu pagi esok baru dimandikan. Apa pula saranan Islam dalam menyegerakan urusan jenazah ini?

JAWAPAN

Pengurusan jenazah hendaklah dilakukan bila sudah ditetapkan pengebumiannya. Sekiranya seseorang itu meninggal pukul 5 petang dan ahli keluarga telah sepakat mengebumikan pada keesokkan hari pukul 10 pagi. Maka, pengurusan jenazah dengan memandi, menkafannya seeloknya keesokkan hari sebelum pukul 10 pagi.

Namun demikian, tiada halangan untuk menguruskan jenazah pada petang atau malam walaupun akan dikebumikan keesokkan hari.

Dari sudut afdalnya diuruskan jenazah sebelum dikebumi. Maksudnya sesudah dimandi, dikafan dan disolatkan terus ke tanah perkuburan. Pandangan inilah yang lebih afdal.

Ini kerana beberapa sebab antaranya ialah, untuk menjaga kebersihan jenazah, seperti yang diketahui semasa dimandikan jenazah disunatkan urut perut dan menekan secara perlahan bagi membersihkan perut, dengan demikian akan keluar najis (sekiranya ada), kalau tidak akan diistinjak bagi memastikan kebersihan dubur.

Sambil itu jenazah dimandikan dengan air yang bersih, kemudian disabun dan dijirus dengan air yang bersih, untuk yang akhirnya dijirus dengan air kapur barus. Manakala ketika dikafan pula diselang seli dengan taburan sebuk cendana dan minyak atar.

Semua ini dilakukan ketika memandikan jenazah dan mengkafankannya adalah semata-mata memastikan agar jenazah bersih dan dalam keadaan yang terhormat ketika dikembalikan.

Ini sangat berbeza dengan menguruskan jenazah sehari sebelum dikebumikan tidak dapat dijamin, kerana ada kemungkinan najis keluar dari tubuh jenazah. Bagi mengelakkan dan mengekalkan kebersihan dan penghormatan jenazah adalah lebih utama diuruskan sebelum dikebumikan. Seperkara lagi, ketika manusia lahir dari perut ibunya ke atas dunia ini dia dalam keadaan kotor, berdarah, basah dengan air ketuban, keluar dari rahim ibunya. Biarlah ketika manusia ini pulang ke alam barzakh dalam keadaan suci bersih.

Islam tidak menggalakkan penangguhan pengkebumian jenazah, malahan penangguhan itu adalah satu penyeksaan kerana roh dan jasadnya telah terpisah. Kedua-duanya tiada lagi tugas di atas dunia jasad akan ke tanah manakala roh akan menghadap Allah SWT di alam yang telah ditetapkan. Menjadi tanggungjawab ahli keluarga bagi menyegerakan pengurusan dan pengkebumian jenazah yang telah terpisah roh daripadanya.

Menyempurnakan dan menyegerakan pengurusan jenazah (dimandikan, dikafankan, di sembahyangkan dan dikebumikan) adalah salah satu tuntutan Islam. Ini adalah kerana bila jenazah ini orang beriman dan soleh menyegerakannya adalah baik kerana mempercepatkan jenazah ini diletakkan disalah satu taman-taman Syurga. Kubur menanti dengan gembiranya orang yang soleh. Begitu pula jika jenazah ini orang jahat maka menyegerakannya adalah kerana untuk melepaskan tanggungjawab kita.

Abu Hurairah r.a : Diriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya: Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu). (riwayat Muslim)

Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga jenazah itu disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda SAW bersabda: Seumpama dua gunung. (riwayat Muslim)

Hadis Rasulullah SAW di atas jelas menuntut agar menyegerakan pengurusan jenazah. Bertangguh dalam menguruskan jenazah adalah tidak digalakkan, sekiranya bertangguh sehingga berhari-hari tanpa alasan yang munasabah hukumnya haram. Kalau sekadar menunggu sanak saudara yang berdekatan tiba tidak mengapa. Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili berpendapat: "Tidak mengapa sekiranya berlaku kelewatan dalam pengkebumian jenazah atas alasan menunggu sanak saudara (harus), ini bagi membolehkan mereka mendoakan jenazah tersebut. Tetapi tidak terlalu lewat sehingga menyiksa jenazah." - UM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...