terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, December 1, 2010

Bolehkah solat jenazah lelaki, jenazah wanita bersama???


BOLEHKAH disembahyangkan dua jenazah iaitu lelaki dan wanita sekali gus? Kalau boleh, apakah hujah atau alasannya?

Wan
Terengganu.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata: “Sesiapa yang mengiringi jenazah seorang Muslim dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada Allah SWT serta ia terus menunggu sampai jenazah itu disembahyangkan dan selesai dikubur, maka ia pulang membawa pahala sebanyak dua qirat.

Setiap qirat menyamai Gunung Uhud. Dan sesiapa yang pulang hanya sampai jenazah itu disembahyangkan dan tidak menyaksikan (menghadiri) pengebumiannya, maka ia pulang dengan membawa satu qirat.”

Kembali kepada pertanyaan saudara iaitu harus untuk menyembahyangkan dua jenazah lelaki semuanya atau perempuan semuanya atau sebahagian perempuan dan sebahagian lelaki, asalkan niatnya benar. Maka sekiranya diniatkan 10 jenazah, padahal yang sebenarnya 11 jenazah, maka wajib diulang kembali solat jenazahnya.

Sekiranya kita membuka kitab fekah Nihayatul Muhtaj, jilid ke-2, halaman ke 461, ada menyebut (iaitu yang bermaksud): “Jika ia beriktikad bahawa jenazah itu sepuluh orang, sedangkan (ternyata) ada sebelas jenazah, maka hendaklah dia mengulangi sembahyang itu semuanya kerana ada antara jenazah itu yang tidak disembahyangkan kerana ia tidak ditentukan. Jika ia beriktikad bahawa mereka itu sebelas, sedangkan (ternyata) sepuluh jenazah, maka yang paling kuat (zahir) adalah sah.”
Ada sebuah hadis yang menerangkan dan menjelaskan berkenaan dengan sahnya menyembahyangkan beberapa orang jenazah sekali gus iaitu:

Diriwayatkan Amar Maula Harith bin Naufal, beliau berkata: “Sudah hadir (didatangkan) jenazah anak lelaki dan seorang wanita, maka di depankan (jenazah) anak lelaki daripada pihak yang mengiringi kaum dan diletakkan (jenazah) wanita di belakangnya. Lalu disembahyangkan atas kedua-duanya sekali gus. Sedang pada kaum itu ada (sahabat-sahabat seperti) Abu Sa’id al-Khudri, Ibnu Abbas, Abu Qatadah dan Abu Hurairah r.anhum. Maka aku bertanya mereka mengenai hal itu: “Maka mereka menjawab: Itu (adalah) sunnah.” (Hadis ini riwayat al-Nasa’I dan Abu Daud).

Dan diriwayatkan daripada Ammar pula: “Bahawa Ummu Kalthum, anak perempuan Ali, dan anak lelakinya, Zaid bin Umar, dikeluarkan jenazah keduanya, maka menyembahyangkan ke atas kedua-duanya oleh Amirul Madinah. Maka diletakkan (jenazah) perempuan di hadapan lelaki, sedangkan kalangan sahabat Rasulullah SAW pada ketika itu masih banyak. Dan di sana ada al-Hasan dan al-Husin. (Hadis ini riwayat Sa’id)

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...