terima kasih buat kalian semua..

Friday, December 3, 2010

Derma organ, mengharapkan belas ihsan orang lain...


SAHABAT ini baru berusia 49 tahun. Tentu sekali dalam usia sebegini dia tergolong dalam kategori produktif. Malah dalam usia sebeginilah dia sepatutnya mula menikmati kehidupan lebih selesa.

Tapi takdirnya tidak tertulis begitu. Pada Ogos tahun lalu, doktor mengesahkan ginjalnya gagal berfungsi akibat komplikasi penyakit kencing manis yang dideritainya sejak 10 tahun lalu.

Sejak itulah, dia perlu menjalani rawatan rutin hemodialisis. Tiga kali seminggu, tanpa gagal dia menjalani proses membersihkan darah di sebuah pusat perubatan swasta. Jika terlewat, risikonya besar.

“Saya kena terima hakikat,” luah sahabat ini yang kini kehidupannya berubah 180 darjah. Dulu dia sentiasa kelihatan segak. Kini, wajahnya seperti terbakar - ciri khas pesakit dialisis.

Dulu dia aktif dalam serba-serbi aktiviti. Kini untuk menaiki tangga pun memerlukan kerahan sekuat tenaga. Dulu, hidupnya banyak diluangkan di pejabat dan kini mesin dialisis adalah teman setianya.

Sudah lebih setahun dia yang mempunyai lima orang anak itu tidak pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur. Dia pun sudah tidak lagi memasang impian untuk keluar negara seperti yang sering dilakukannya sebelum ini. Boleh dibayangkan kesukaran yang terpaksa ditempuhinya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Sahabat ini tidak keseorangan. Di Malaysia (angka yang dicatat pada 2009), seramai 21,169 pesakit ginjal bergantung kepada mesin dialisis. Kira-kira 6,000 pula dalam senarai menunggu mendapatkan ginjal baru.

Dianggarkan sebanyak 10 peratus pesakit buah pinggang baru muncul setiap tahun. Maknanya, setiap tahun pesakit dialisis akan bertambah. Bertambahlah juga penunggu ginjal baru.

Mendapatkan ginjal dari China dan India? Daripada rakan-rakannya, sahabat ini mendengar pelbagai cerita. Ia bukan usaha mudah selain berisiko dan kosnya pula tinggi antara RM70,000 hingga RM250,000 satu buah.

Tambahan pula China, yang sebelum ini menjadi tempat berharap pesakit dialisis telah mengharamkan pemindahan organ kepada rakyat asing sejak 2008. India pula mengambil langkah sama pada 1994.

Memang boleh membeli dan melakukan pembedahan ginjal secara sembunyi-sembunyi yang didalangi sindiket itu. Menurut sahabat ini, ada yang berjaya, ramai pula yang gagal.

Menurut laporan Hospital Kuala Lumpur (HKL), hampir 1,000 rakyat Malaysia yang membeli dan melakukan pembedahan organ di China dan India berdepan risiko jangkitan penyakit - radang hati, HIV dan hepatitis B selain komplikasi organ baru tidak berfungsi.

Lantas apa pilihan pesakit dialisis yang jumlahnya begitu ramai itu? Berdasarkan rekod Pusat Sumber Transplan Nasional HKL, walaupun jumlah pengikrar untuk menderma organ sejak 1997 hingga Mei 2009, mencatatkan seramai 128,556 orang tetapi jumlah penderma sebenar cuma 14 orang sehingga Mei 2009.

Sebab itulah, cadangan Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ supaya organ mereka yang maut dalam kemalangan jalan raya didermakan, perlu difikirkan secara serius.

Dengan angka kemalangan maut di seluruh negara antara 6,000 hingga 7,000 orang setahun, cadangan itu tentu boleh membantu ramai orang termasuk pesakit dialisis.

Bagi pesakit dialisis seperti sahabat ini, cadangan daripada pengerusi jawatankuasa berkenaan, Tan Sri Lee Lam Thye telah membuka harapan baru kepada mereka untuk mengharungi hidup secara lebih baik.

Memang banyak sensitiviti dalam isu berkaitan pendermaan organ ini. Daripada angka dan keberkesanannya, kempen derma organ yang dijalankan sejak 1997 itu, masih gagal menarik simpati rakyat Malaysia.

Lam Thye sendiri menyifatkan jumlah pengikrar menderma organ amat kecil berbanding 28 juta penduduk Malaysia. Mungkin kita masih kekurangan kaunselor, contohnya untuk memberi penjelasan kepada individu atau warisnya yang berpotensi untuk mendermakan organ mereka.

Bagi sahabat ini dan mereka yang senasib, memberikan harapan untuk menjalani kehidupan lebih baik adalah satu kurniaan yang tidak terhingga.

Hidup mereka bukanlah ‘setakat ini’ kerana bermacam cara boleh dilakukan untuk membantu golongan sebegini. Hari ini mungkin nasib mereka, esok pula mungkin kita pula yang mengharapkan ihsan organ orang lain.

Oleh Zulkefli Hamzah

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...