terima kasih buat kalian semua..

Friday, December 3, 2010

Hilang gelap timbul terang..


Berhadapan dengan masalah kewangan antara punca sering berlakunya ‘perang mulut’ di antara suami isteri.

Pengurusan dalam perbelanjaan memerlukan strategi yang teliti, seelok-eloknya ia mestilah bermula dengan menabung atau melabur sebagai persediaan menghadapi hari muka yang kemungkinan menghadapi kesempitan.

Bagaimanapun tidak semua pasangan suami isteri sedar akan perkara ini sebaliknya berbelanja melebihi kemampuan.

Akibatnya kewangan menjadi tenat dan suasana rumah tangga mula goyah akibat masing-masing saling menuding jari ke arah satu sama lain.

Kisah ini turut dilalui Sharif (bukan nama sebenar), namun dia bertindak bijak dengan mendahulukan segala hutang piutang setiap bulan sebelum berbelanja untuk perkara lain.

Cara Sharif mungkin boleh dijadikan teladan. Kita ikuti pengalaman Sharif untuk panduan bersama.

“Setiap bulan apabila dapat gaji saya melangsaikan semua hutang terlebih dulu. Saya bimbang tersalah guna wang gaji akan membebankan diri sendiri.

“Isteri saya suri rumah sepenuh masa dan kami tidak mempunyai pendapatan sampingan. Pernah juga saya terfikir untuk melakukan kerja-kerja sambilan tetapi masa tidak mengizinkan.

“Saya tidak boleh menyerahkan segalanya kepada takdir yang tersurat, kerana sebagai ketua keluarga sesuatu mesti dilakukan untuk keselesaan, keluarga sangat penting .

“Saya kemudian mengambil keputusan mencadangkan isteri saya berniaga secara kecil-kecilan. Modal telah saya berikan, sayangnya apa yang saya harapkan tidak kesampaian disebabkan isteri saya tidak berminat untuk berniaga.

“Entah bagaimana harus saya jelaskan, segalanya saya lakukan demi kami sekeluarga. Emak dan ayah saya juga perlu beri perhatian, setiap hujung bulan wang perbelanjaan dikirim untuk mereka walaupun mereka tidak meminta. Sebagai anak saya wajib menyempurnakan tanggungjawab.

“Berat mulut saya hendak membuka mulut meminjam wang dari abang dan kakak apabila kesempitan perbelanjaan, maklumlah mereka juga seperti saya yang mempunyai keluarga.

“Kerana terdesak saya tebalkan muka dan meminjam juga dari mereka sedangkan hutang yang tertangguh belum lagi dilangsaikan. Walaupun mereka tidak pernah bersungut, terpalit juga rasa malu.

“Pernah seorang jiran meminta isteri saya menjaga seorang anaknya kerana mereka suami isteri bekerja dengan bayaran yang agak tinggi tetapi isteri saya menolak dengan alasan sibuk dengan kerja-kerja rumah yang sampai bila-bila pun tidak akan selesai.

“Hendak seribu daya dan jika malas seribu alasan itu yang boleh saya katakan kepada isteri. Amat bertuah bagi mereka yang mempunyai isteri yang rajin membantu keluarga.

“Orang asing yang datang ke negara kita boleh hidup senang dengan berniaga, mengapa kita merempat di negara sendiri? Ini yang selalu saya fikirkan.

“Puas saya berbincang dengan isteri tetapi tidak mendapat apa-apa respon, akhirnya saya mengambil keputusan untuk berkongsi dengan adik saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Habis waktu kerja saya akan ke gerai menolong adik saya dan itulah rutin saya setiap hari kecuali hujung minggu saya akan bersama keluarga. Jika kita rajin berusaha akan ada ganjarannya, itu prinsip saya.

“Tidak pernah saya memaksa isteri untuk membantu saya dan adik dalam menguruskan perniagaan kami. Saya yakin satu hari nanti dia akan sedar apa yang saya buat adalah untuk kebahagiaan kami.

“Pada suatu petang, saya ke gerai adik untuk menolongnya dan saya bersyukur kerana isteri saya sedang menolong menguruskan kedai makan kami. Alhamdulillah, hajat saya dimakbulkan Allah.

“Setelah hampir beberapa bulan kami berniaga dengan bantuan isteri, akhirnya saya berjaya mengumpul wang dan mampu untuk melangsaikan hutang-hutang.

“Sejak semuanya selesai, tidur saya nyenyak dan tidak lagi terganggu dengan mimpi yang menakutkan kerana asyik memikirkan bagaimana hendak melangsaikan hutang atau meminjam wang kerana kesempitan.

“Impian saya di suatu ketika kelak, gerai akan saya tukarkan kepada restoran. Saya akan usahakan ke arah itu dan insya-Allah semoga terzahir impian saya.

“Kini saya sedar adalah lebih baik menyimpan perasaan sebenar dan lakukan sesuatu yang kita inginkan sehingga berhasil. Pesanan saya, elak daripada menyakiti hati orang lain.

“Sesuatu masalah akan lenyap sekiranya kita dapat mengelak daripada berlakunya perbezaan pendapat. Semoga Allah terus memberi saya kekuatan untuk menghadapi hidup ini dengan lebih tabah,” demikian Sharif menamatkan ceritanya.

Syabas Sharif di atas kesabaran dan semangat anda yang begitu tinggi. Saya kagum kerana anda seorang lelaki, suami dan bapa yang bertanggungjawab.

Sukar mencari lelaki yang bertanggungjawab seperti anda. Mudah-mudahan apa yang anda lakukan akan menjadi contoh kepada kaum Adam di luar sana.

Sikap baik dan usaha murni anda sebagai ketua keluarga bakal menjadikan anda seorang manusia yang dihargai di dunia dan akhirat.

Mereka yang mahu melalui perubahan dalam hidup mereka demi keluarga harus mencontohi apa yang anda lakukan.

Pelajaran tinggi, wang banyak bukan tiket untuk berjaya dalam perniagaan. Yang penting usaha, rajin dan sabar. Saya percaya setiap usaha yang baik akan Allah SWT permudahkan.

Sikap isteri anda juga harus dipuji. Saya percaya sikap anda menjadi pendorong kepadanya untuk ikut serta membantu berniaga.

Doa saya semoga hidup anda sekeluarga sentiasa di dalam perlindungan-Nya jua! Salam - UM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...