terima kasih buat kalian semua..

Saturday, December 25, 2010

Letih dengan nahas bas di Malaysia..


KEMALANGAN bas di Malaysia sudah berada di tahap kritikal dan tidak bermusim lagi. Kemalangan bas persiaran di jalan Cameron Highlands ke Simpang Pulai melibatkan 27 orang terkorban dengan 22 mati serta-merta bukan lagi suatu tragedi ringan.

Ia wajib dipertanggungjawabkan oleh semua yang terlibat termasuk pihak berkuasa.

Malangnya, tindakan lemah pihak kerajaan menangani isu ini secara serius menyebabkan ia menjadi malapetaka berterusan dan dilupakan selepas sesuatu tragedi berlaku.

Pada tahun ini begitu banyak kes kemalangan maut bas terutamanya bas ekspres dan persiaran tetapi apakah tindakan konkrit pencegahan daripada pihak berkuasa seperti Kementerian Pengangkutan, JPJ, Miros dan PDRM terhadap isu ini?

Semakin hari, semakin banyak nyawa terkorban sehingga tidak mengira lagi sesiapa termasuk melibatkan pelancong asing. Tidakkah ini memperlihatkan kelemahan sistem pengangkutan awam negara? Sehingga kini dikhabarkan belum ada peraturan khas yang digubal melibatkan pengendalian bas jenis dua tingkat sama ada melibatkan kursus/lesen khas untuk pemandu, permit pengendalian dan syarikat pembuat badan bas.

Secara kasar boleh dikatakan faktor pemandu memandu laju dan struktur bas mengambil tepat sebagai faktor penyebab kemalangan selain faktor dorongan melibatkan struktur jalan raya dan persekitaran.

Malangnya pihak berkuasa kelihatan 'malas' mengkaji secara ilmiah untuk bertindak dan bertegas.

Tindakan hangat-hangat tahi ayam sejurus selepas tragedi seperti peralatan kotak hitam, larangan perjalanan malam, sistem GPS dan entah apa lagi tindakan bersifat 'kosmetik' dihebahkan untuk menyejukkan hati pengguna.

Kerajaan dilihat tidak serius mengkaji secara ilmiah dan berkesan seperti melaksanakan pencegahan dua faktor penyebab utama kemalangan maut bas; iaitu pemandu memandu laju/ hilang kawalan dan struktur bas.

Saya mencadangkan suatu tindakan ketat seperti berkerjasama dengan pengeluar chasis bas, Miros dan Puspakom untuk memasarkan bas yang dilengkapi kotak gear hanya berkelajuannya 100-110 km/j (berbanding sekarang boleh mencecah 140-160km/j) tanpa menjejaskan kuasa mendaki (RPM enjin).

Alternatif kedua ialah mewajibkan pengeluar bas di negara ini memprogramkan unit ECU (Engine Control Unit) enjin bas supaya gabungan kuasa enjin (RPM) dan kelajuan di atas jalan ialah pada had yang ditetapkan.

Pada ketika ini hampir semua enjin bas berkuasa tinggi generasi baru (EURO 2 ke atas seperti model MAN, SCANIA, VOLVO, UD dan HINO) menggunakan kaedah teknologi CAN-digital engine control yang sukar dicapai oleh pemandu atau mekanik biasa kerana ia melibatkan program perisian berlesen dan perkakasan komputer berkemahiran khas.

Pihak berkuasa boleh menggunakan tag-seal pada kotak elektronik enjin ini supaya jika ada usaha untuk menceroboh dan mengubahsuai secara tidak bertauliah pengusaha bas akan dikenakan tindakan undang- undang.

Kaedah mengunci pedal minyak atau sekatan pelarasan minyak pada pedal atau sistem pam penyuntik minyak (fuel injection pump) adalah perkara mudah yang boleh diubah suai bila-bila masa oleh pemandu dengan kerjasama mekanik.

Kedua, ialah faktor struktur bas. Jika diperhatikan hampir semua kes kemalangan ngeri dan maut bas melibatkan kegagalan struktur utama badan kerangka bas seperti bumbung tercabut dan ranap, dinding tidak kukuh dan keluasan struktur cermin penumpang. Kegagalan struktur utama ini akan menambahkan mangsa tercampak, digilis bas itu, tertusuk objek luar dan dihempap struktur bumbung.

Berdasarkan situasi ini apakah pula fungsi berkesan pihak MIROS, JPJ sebagai penyelidik masalah dan Kementerian Pengangkutan sebagai penggubal dasar menguatkuasakan undang-undang tegas untuk mewajibkan pengilang badan bas hanya boleh membina bas yang mematuhi Piawai R66 (EU Rollover Test Standard), seterusnya mengharamkan kaedah joint-welding pada struktur bumbung sehingga ke chasis bas.

Selain itu juga, semua bas mesti diwajibkan memasang tali pinggang keselamatan pada setiap tempat duduk seperti yang dilaksanakan di negara-negara Eropah.

Pengusaha bas yang mampu membeli bas berkelulusan R66 ini sahaja yang diberikan permit beroperasi dan seterusnya memastikan persaingan syarikat yang serius dalam industri ini sahaja boleh memberikan perkhidmatan kepada pengguna.

Berbanding sekarang ini, syarikat yang tiada kemahiran dan kesungguhan dalam industri ini masuk untuk menyempitkan margin keuntungan sehingga menjejaskan syarikat yang berkemampuan.

Tragedi demi tragedi melibatkan bas awam di negara ini sudah dilihat sebagai bom jangka yang akan membunuh bila-bila masa. Pihak berkuasa seharusnya mesti bertindak segera supaya kualiti industri bas di negara ini seiring dengan kemajuan negara.

PEMERHATI JALANAN

Nibong Tebal, Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...