terima kasih buat kalian semua..

Thursday, December 16, 2010

Merevolusi pemikiran masyarakat tentang tandas..


RAMAI pengunjung asing yang datang ke Malaysia memberi gambaran yang baik tentang negara ini. Tetapi pandangan mereka jauh berbeza terhadap keadaan tandas awam dan tandas di kedai-kedai dan restoran. Di sebalik pelbagai kempen kebersihan tandas, kita seperti tidak mencapai apa yang diharapkan dan budaya kebersihan tandas nampaknya semakin jauh daripada memuaskan.

Tidak memeranjatkan melihat kepada laporan audit baru-baru ini yang dijalankan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan yang melaporkan bahawa 51.6 peratus daripada 5,764 tandas awam yang diaudit didapati tidak memuaskan.

Seseorang hanya perlu menggunakan tandas awam untuk melihat sendiri betapa jijik keadaannya. Tandas awam di kompleks membeli-belah juga tidak banyak berbeza walaupun orang awam terpaksa membayar untuk kemudahan tersebut. Pengusaha makanan sentiasa cuba meningkatkan kualiti makanan yang dijual tetapi tidak mengindahkan langsung tentang kualiti kebersihan tandas.

Ia bertitik tolak kepada persoalan penyelenggaraan, cara penggunaan dan yang paling penting ialah budaya kebersihan.

Terkecuali tandas awam di Lebuhraya Utara Selatan, tandas awam di lebuh raya lain juga secara umumnya tidak memuaskan dan masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan. Di sebelah pihak ia dilihat dari sudut masalah penyelengaraan manakala di sebelah pihak yang lain ialah isu pengguna yang tidak tahu mengguna tandas awam dengan betul.

Akibat tidak menjalankan penyelengaraan dengan baik, terdapat kunci pintu tandas yang tidak berfungsi malah penyangkut pakaian yang berada di dalam juga didapati hilang.

Sudah tiba masanya, masyarakat dididik bagaimana menggunakan tandas awam dengan betul. Wujud keperluan bagi menerapkan budaya kebersihan tandas awam supaya ia lebih mesra pengguna.

Secara ringkas kita memerlukan satu revolusi terhadap budaya kebersihan untuk kita lakukan demi menjaga kebersihan tandas dan tidak mengotorkannya. Kita perlu merevolusikan pemikiran tentang isu tandas. Kita tidak boleh mempunyai kefahaman bahawa tandas ialah tempat yang kotor dan kita tidak perlu melakukan apa-apa berkenaan dengannya.

Sebaliknya, kita sepatutnya menerima kenyataan bahawa kita perlu menjaga kebersihan tandas awam setiap masa walaupun ia adalah tempat dianggap kotor.

Tandas bukan sahaja yang menjadi isu malah longkang, jalan dan lorong belakang, taman awam, perhentian bas dan teksi juga sangat memerlukan penyelenggaraan dan keselamatan yang diabaikan.

Sudah tiba masanya kerajaan tempatan, agensi kerajaan, pihak swasta dan setiap rakyat Malaysia untuk mengenal pasti kekurangan dari segi keselamatan, perkhidmatan dan penyelenggaraan.

Penyelenggaraan dan perkhidmatan tidak pernah dijadikan peradaban negara walaupun Malaysia secara umumnya semua maklum bahawa sebuah negara membangun yang mempunyai infrastruktur bertaraf dunia.

Demi memastikan Malaysia menjadi negara dunia kelas pertama dengan infrastruktur kelas pertama bertaraf dunia, kita memerlukan juga perkhidmatan dan penyelengaraan bertaraf dunia.

Menambah baik imej negara bukan sahaja terletak dibahu pihak berkuasa, pemilik bangunan dan industri perkhidmatan semata-mata, ia juga adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat dan rakyat negara ini.

Oleh Lee Lam Thye

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...