terima kasih buat kalian semua..

Thursday, December 16, 2010

Perkahwinan bawah umur perlu izin mahkamah..



PERKAHWINAN adalah ikatan suci antara lelaki dan wanita selari dengan kejadian manusia berpasangan. Perkahwinan juga sunnah Rasulullah SAW yang patut dituruti setiap umat yang berkemampuan.
Diriwayatkan oleh Aisyah, bermaksud: “ Nabi SAW bersabda: Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku.” (Hadis riwayat Al-Imam Ibnu Majah)

Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW, namun ada perkara yang tidak boleh diketepikan sehingga meminggirkan matlamat menyatukan pasangan lelaki dan wanita.

Antaranya, perkahwinan anak bawah umur yang masih berlaku dalam masyarakat. Mengikut mazhab Syafie, cukup umur atau baligh apabila budak lelaki bermimpi keluar mani dan perempuan didatangi haid ataupun mereka cukup berusia 12 tahun.

Berdasarkan sejarah, Rasulullah SAW menikahi Aisyah yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Diriwayatkan Aisyah yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi mengahwini Aisyah ketika ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, tiada umur khusus ditetapkan untuk berkahwin dan ini bermakna tidak salah berkahwin pada usia muda. Namun, melihat realiti di Malaysia, undang-undang syariah menetapkan had umur minimum untuk berkahwin 18 tahun bagi lelaki dan perempuan (16 tahun).

Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUUKIS) memperuntukkan: “Tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim syariah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Perkahwinan kanak-kanak di bawah umur perlu mendapat kelulusan bertulis mahkamah syariah dan tiada perkahwinan boleh dijalankan tanpa kebenaran mahkamah syariah.

Peruntukan seksyen itu tidak bertentangan dengan pendapat empat mazhab kerana pemerintah atau ulil amri boleh membuat undang-undang demi kepentingan umum.

Hakikatnya, kebenaran mahkamah bertujuan memberi peluang menyelidik latar belakang, keadaan fizikal dan kemampuan pasangan bawah umur yang ingin berkahwin.

Ini bagi menjaga kepentingan kanak-kanak itu kerana perkahwinan bukan perkara main-main dan wali perlu ada asas kukuh untuk mengahwinkan anak gadisnya. Hanya apabila mahkamah berpuas hati kebenaran berkahwin diberi.

Mengikut peruntukan, ‘dalam keadaan tertentu’ bermaksud wali ada alasan kukuh mengahwinkan anaknya yang boleh dipertimbangkan mahkamah sebelum memberi kebenaran. Antaranya anak bermasalah moral dan tidak boleh dikawal.

Dalam keadaan ini, bagi menyelamatkan kanak-kanak itu daripada terus bergelumang maksiat, harus bapa sebagai wali mengahwinkan anaknya.

Segelintir masyarakat mungkin menimbulkan persoalan mengapa umur minimum ditetapkan undang-undang sedangkan Saidatina Aisyah berkahwin pada usia enam tahun dan bersama Rasulullah apabila berusia sembilan tahun.

Saidatina Aisyah antara orang terawal memeluk Islam selain terbabit dalam perang Uhud dan Badar, malah pengetahuan ilmu al-Quran dan hadis membuktikan kematangan walaupun masih muda.

Berbanding remaja hari ini yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan, dikhuatiri tidak mampu menangani masalah atau melayari hidup berumah tangga. Umur belasan tahun dalam dunia hari ini adalah waktu mereka bersekolah.

Perkahwinan bukan sekadar menghalalkan yang haram, tetapi mengandungi tanggungjawab perlu dilaksanakan pasangan yang berkahwin memenuhi tuntutan batin serta keperluan zahir.

Tanggungjawab itu mungkin tidak dapat difahami sepenuhnya seseorang yang masih mentah. Sedangkan dalam berumah tangga, kematangan fikiran perlu bagi menyelesaikan konflik rumah tangga yang dihadapi kelak.

Rentetan daripada tanggungjawab itu boleh menyebabkan tekanan fizikal dan mental apabila mereka gagal menjalankan peranan seperti diharapkan hingga akhirnya menjurus kepada perceraian.

Perkahwinan bukan untuk sehari dua. Oleh itu, pihak yang ingin berkahwin termasuk ibu bapa perlu memastikan pasangan bawah umur ini benar-benar bersedia memikul tanggungjawab yang dituntut kepada suami dan isteri supaya perkahwinan memberi kesejahteraan untuk semua.

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...