terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, December 15, 2010

Saman trafik lama sudah dilangsai tapi masih perlu dibayar?


SEBAGAI rakyat Malaysia, saya sangat berbesar hati dan berterima kasih di atas usaha murni pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman trafik dengan kadar insentif setinggi 50 peratus.

Ini merupakan usaha terpuji dalam meringankan beban rakyat secara amnya. Pasti ramai yang telah mengambil inisiatif untuk segera melangsaikan hutang saman trafik masing-masing yang tertunggak sekian lama demi tidak disenaraihitamkan dalam pelbagai urusan berkaitan lesen, cukai jalan kenderaan dan sebagainya apabila tamat tempoh tawaran pembayaran saman oleh PDRM.

Untuk menyemak status saman, pihak PDRM memberi pilihan semakan melalui SMS, di kaunter Trafik PDRM, atau melalui khidmat online.

Saya turut mengambil peluang ini untuk menyemak apakah saya sendiri ada mempunyai sebarang saman tertunggak. Saya telah menyemak status saman melalui laman sesawang www.rilek.com.my dan www.dapat.com.

Didapati bahawa terdapat dua saman tertunggak yang direkodkan pada tahun 2003 dan 2006. Apabila diteliti status saman-saman tersebut seperti tarikh, lokasi dan jumlah kompaun yang perlu dibayar, saya kesal kerana kedua-dua saman tersebut diyakini telah pun dilunaskan sekian lama.

Keyakinan itu ditambah dengan usaha saya pada awal tahun 2007 untuk menyemak dan melangsaikan saman-saman tertunggak dengan pihak PDRM dan JPJ sebelum saya ke luar negara melanjutkan pengajian pada tahun tersebut.

Saya yakin ramai lagi individu lain yang mengalami masalah yang sama seperti saya dan tercari-cari kembali resit-resit saman yang telah dibayar mungkin selama 10 tahun ke belakang!

Dalam kes saya, malangnya, saya tidak lagi menyimpan resit pembayaran saman-saman tertunggak tersebut, kerana ia telah dilupuskan beberapa tahun lepas. Maka, saya tidak lagi mempunyai bukti pembayaran untuk ditunjukkan kepada pihak PDRM.

Saya akan cuba membuat rayuan bertulis kepada pihak PDRM berkaitan saman-saman tersebut sebelum saya membuat pembayaran. Bukan kerana saya tidak mampu melunaskannya, tetapi lebih kepada usaha untuk tidak 'membayar saman yang sama untuk kali kedua'.

Harapan saya agar pihak PDRM dapat membuat post-mortem dan semakan yang teliti mengapa permasalahan seperti ini berlaku. Mungkin perlu ada mekanisme yang lebih mantap dalam mengemaskinikan sistem komputer yang menyimpan maklumat-maklumat saman trafik.

Dengan cara ini, tidaklah rakyat seperti saya berasa terbeban dan teraniaya.

Robin Hood

Gemereh, Segamat

2 comments:

  1. Mereka pastinya akan berubah... Sekian lama masih begitu juga... Kalau mereka pandai, mereka tak jadi polis

    ReplyDelete
    Replies
    1. Awak kalau xpandai pon...masih ada yang melakukan tanggunjawab dengan betol...jaga bahasa tu...bukan semua...bukan semua bodo....awak yang melebelkan org bodo pon awak tu bodo jugak....

      Delete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...