terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, December 8, 2010

Tingkatkan mutu peralatan golongan OKU..


TIDAK dapat dinafikan kesaksamaan dan keadilan gagasan 1Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya disasarkan kepada mereka yang sempurna sifat dan kemampuannya, tetapi turut mencakupi golongan kelainan upaya atau OKU.

Berucap merasmikan Karnival Jualan Produk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kelmarin, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa golongan OKU tidak akan dipinggirkan dalam menikmati agenda pembangunan negara yang telah dirangka.

Di Malaysia, jumlah sebenar OKU tidak dapat dipastikan kerana masalah mendapatkan statistik yang lengkap. Bagaimanapun, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), golongan OKU merupakan 10 peratus daripada jumlah penduduk di dunia. Sebanyak 80 peratus daripada golongan ini berada di negara-negara membangun.

Berdasarkan statistik PBB itu, maka golongan OKU di Malaysia dianggarkan seramai 2.8 juta orang, iaitu 10 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia seramai 28 juta orang.

Mengikut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pada 1995 terdapat sejumlah 56,000 OKU yang berdaftar dan jumlah ini meningkat hampir dua kali ganda kepada 105,000 pada 2001. Kaum Melayu mencatatkan angka tertinggi dengan 62,482 orang, diikuti Cina seramai 22,734 dan India 9,920.

Antara jenis kecacatan yang dikenal pasti adalah pekak (13,220), buta (19,848), fizikal (34,990), mental (36,140) serta lain-lain kecacatan (1,096). Pada tahun 2004 sejumlah 132,000 orang telah berdaftar dengan JKM dan angka ini mencecah kepada 280,000 pada tahun 2010.

Walaupun jumlah ini meningkat, namun ia masih lagi tidak menggambarkan keadaan sebenar bagi golongan OKU di negara ini. Sebagaimana dinyatakan di atas, komitmen kerajaan Malaysia dalam membela kebajikan dan nasib OKU memang tidak dapat dinafikan lagi.

Kerajaan sentiasa mengambil berat nasib golongan ini dengan memperkenalkan pelbagai polisi dan program bagi memastikan mereka tidak disisih dan menikmati hidup sebagaimana orang normal.

Malah kerajaan secara berterusan telah merangka pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi memenuhi kehendak golongan ini.

Walaupun demikian, masih terdapat banyak ruang untuk meningkatkan lagi taraf hidup golongan ini. Bersumberkan gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, maka salah satu sumbangan yang boleh diberikan masyarakat Malaysia ialah mereka bentuk dan mengeluarkan produk dan peralatan yang diperlukan mereka.

Sumbangan ini diharap dapat memenuhi kehendak golongan OKU yang mengimpikan kehidupan yang lebih teratur, sempurna, selamat dengan persekitaran yang lebih baik dan selesa. Sumbangan dalam bentuk idea kreatif yang boleh diterjemahkan dalam bentuk produk dan peralatan untuk OKU juga akan mengubah persepsi masyarakat yang selalunya beranggapan rekaan yang baik dan ciptaan yang baru hanya sesuai untuk orang normal sahaja.

Dengan pengeluaran produk dan peralatan di negara kita, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada produk dan peralatan yang diimport sepenuhnya dari luar negara yang begitu mahal dan sukar didapati di sini.

Produk dan peralatan buatan tempatan kelak boleh diseragam, ditambah baik dan dimodenkan supaya ia dapat memenuhi keperluan dan selera moden golongan OKU. Walaupun pada hari ini terdapat banyak pilihan produk dalam pasaran dengan pelbagai reka bentuk, warna dan harga, namun ia dilihat tidak dapat memenuhi antropometri (ukuran dan keselesaan) sebenar OKU di Malaysia.

Terdapat beberapa produk dan peralatan yang diimport perlu diubahsuai dengan ukuran dan saiz badan OKU di Malaysia. Tambahan pula, setiap OKU mempunyai kecacatan yang berbeza antara satu sama lain dan sudah tentu memerlukan ukuran yang pelbagai. Perkara seperti ini sebenarnya telah lama berlaku dan kesulitan ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Memandangkan Malaysia mempunyai ramai tenaga pakar profesional dalam bidang yang berkaitan dengan reka bentuk dan pengeluaran produk seperti jurureka, arkitek dan jurutera, maka mereka disarankan agar dapat berganding bahu bersama merealisasikan hasrat murni ini.

Penglibatan profesional lain seperti doktor, ergonomis, saintis dan pakar-pakar dalam bidang-bidang yang ada kaitan langsung dengan perkembangan barangan baru juga diperlukan untuk memantapkan impian ini.

Jika kita mengambil contoh produk yang berkaitan dengan kecacatan fizikal, produk dan peralatan yang akan direka dan dikeluarkan kelak tidak akan hanya terhad kepada produk bersaiz besar untuk kegunaan harian seperti katil, meja, kerusi dan perkakas bilik mandi sahaja.

Malah ia boleh diperluaskan kepada peralatan kecil yang digunakan seharian dan kerap oleh mereka seperti pinggan mangkuk, sudu garpu, peralatan menulis, melukis dan lain-lain.

Selain itu, peralatan untuk membantu pergerakan seperti troli, kerusi roda dan skuter serta peralatan berkaitan postur dan pediatrik harus diberi keutamaan. Selain dapat digunakan sepenuhnya oleh golongan OKU, produk dan peralatan ini juga boleh dimanfaatkan oleh golongan lain seperti orang-orang tua atau golongan yang menghidap kecacatan tidak kekal akibat kemalangan, peperangan atau bencana alam.

Adalah menjadi harapan suatu hari nanti negara kita dapat mengeluarkan produk dan peralatan sendiri khusus bagi golongan OKU. Produk dan peralatan yang akan dikeluarkan kelak akan memberi pertimbangan utama kepada fungsi, ergonomik, aspek keselamatan, di samping berkualiti dan mempunyai nilai estetik yang tinggi.

PROF.MADYA DR.MARZUKI IBRAHIM

Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM Kelantan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...