terima kasih buat kalian semua..

Friday, December 3, 2010

TV jadi ahli keluarga paling mencurigakan!!!


Zionis guna televisyen sebagai alat propaganda paling zalim untuk rosakkan imej Islam

BABAK berkucupan antara dua bibir hampir menjadi menjadi kelaziman di ruang tamu kita. Watak wira menendang musuh dan melepaskan tembakan bertubi-tubi bukan asing. Bagi yang putus cinta, tentu asyik menonton filem romantik yang syahdu dan melankolis. Jejaka menarik tangan dara, mengucup jemarinya dan berlalu. Air mata pun bercucuran dan plot demi plot semakin mengharukan isi keluarga. Bagai tenggelamnya kapal Titanic, masing-masing sendu di ruang tamu. Bagi si kecil pula, watak Doraemon, Hagemaru, Ninja Boy, Spiderman dan Detective Conan menjadi teman paling akrab. Ia mencuri dua jam sehari masa kanak-kanak di seluruh dunia.

Segalanya ada di ruang tamu. Televisyen atau lebih akrab sebagai TV bukan sekadar alat penyebar maklumat atau hiburan semata-mata. Ia menjadi sebahagian ahli keluarga pada masa kini. TV lazimnya diletakkan pada sudut paling penting di sesebuah rumah. Ruang tamu yang sepatutnya menjadi tempat tetamu berkunjung menjadi dewan menonton seisi keluarga.
Katakan apa saja mengenai program TV, kita terlalu ghairah meraikan ahli keluarga paling baru kerana pelbagai program menarik. Malaysia kini mempunyai enam saluran TV percuma dan sebuah stesen satelit. Hampir 27 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia mempunyai TV. Bagi yang berada, mereka mempunyai beberapa TV yang diletakkan di ruang tamu, dapur, bilik tidur utama dan bilik anak.

Seorang teman yang fanatik TV menyediakan bilik kalis bunyi untuk menempatkan alat pandang dengar. Kos bilik audio visualnya lebih RM100,000. Bilik dilengkapi pendingin hawa ditampal notis pada pintu no food, no drink, no smoking! Bilik yang jarang dimasuki anak dan isterinya sering dikunjungi kenalan untuk menonton tayangan 3D filem format Blueray. Dia akan ceria apabila melihat temannya terpegun terhadap kecanggihan alat pandang dengar di kediaman pinggir bukit itu. Dia berjaya memanfaatkan TV sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Siaran TV sudah membentuk budaya baru masyarakat kita. Tradisi saling mengunjungi ketika lebaran diganti dengan keselesaan menonton TV. Majlis perkahwinan yang sepatutnya terbuka kepada perkenalan dan pengukuhan persahabatan semakin dicabar jeritan karaoke yang mencuit hati hadirin.

Ketika kejohanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan pada Jun dan Julai lalu, hampir tiga bilion penghuni planet bumi menjeritkan perkataan ‘gol’ selama 30 hari. Bayangkan TV sudah menjalar di ruang tamu, kopitiam dan restoran untuk merayakan kejohanan paling unggul di dunia. Bayangkan lebih separuh daripada lima bilion penghuni dunia menonton sekurang-kurang sekali perlawanan di kaca TV ketika Piala Dunia berlangsung.
Ketika George W Bush mengisytiharkan Perang Teluk untuk mengganyang Saddam Hussein dan Iraq, seluruh dunia terpaku melihat saluran CNN, BBC dan Al Jazeera menayangkan keangkuhan Amerika Syarikat meranapkan negara Islam yang kaya dengan tradisi sejarah tamadun purba.

Tanpa simpati, agensi berita yang lazimnya dikuasai Zionis mendedahkan kejahatan pemimpin Islam dan perlunya ‘bersekutu’ dengan Bush untuk menjayakan kempen memerangi keganasan. TV menjadi alat propaganda paling zalim untuk menghalalkan tindakan terhadap umat Islam. Hari ini pelbagai propaganda Zionis menjadi agenda utama di TV dan dibawa terus ke ruang tamu kita. Perkahwinan mewah bukan sekadar membabitkan kerabat istana Britain dan artis dunia, malah merasuk sebahagian rakyat Malaysia. Perkahwinan tajaan menjadi tradisi baru. TV sudah berjaya membentuk kesan kehidupan mencurigakan.

Jika dulu TV dikaitkan dengan pendidikan dan kecanggihan bermaklumat, kini TV mempunyai sisi lain yang mencurigakan. Imej lelaki lembut hampir setiap hari berada di mata anak. Imej jalang dan kebendaan sering membayangi kemurnian alat komunikasi moden. Saluran beritanya pula menayangkan khabar dari Amerika dan blok Barat kepada Dunia Ketiga yang lazimnya mundur dan perlu bantuan. Kita pun semakin teruja di ruang tamu kerana TV menjadi ahli keluarga yang amat mencurigakan!!

Oleh Imlan Adabi


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...