terima kasih buat kalian semua..

Monday, December 13, 2010

WALAUPUN HARGA GULA NAIK..MASIH ADA KEDAI MAKAN YG BAIK HATI JUAL MINUMAN ANTARA 30-80 SEN..YG HERANNYA MASIH UNTUNG!!

Kak Nah masih jual teh tarik 30 hingga 80 sen


Sinah Sulaiman (kanan) melayan pelanggan di kedainya di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 12 Dis. - Setiap kali kenaikan harga barangan diumumkan, pasti ia disusuli kenaikan harga makanan dan minuman di kedai-kedai makan.

Tetapi bagi peniaga gerai makan di Kampung Losong Atap Zin dekat sini, Sinah Sulaiman, 50, dia tidak pernah menaikkan harga makanan dan minuman sejak 20 tahun lalu.

Pada masa sama, dia masih mendapat keuntungan setimpal.

Baginya, perniagaan bukan untuk sehari dua tetapi berterusan dan pelangganlah yang akan menentukan hidup atau matinya perniagaan.

Semua harga minuman seperti teh tarik, kopi, Milo dan Nescafe hanya dijual dengan harga 30 sen hingga 80 sen manakala makanan seperti karipap, kuih gulung berinti dan kuih mek comel masih dijual RM1 untuk lima biji.

Sinah tidak menang tangan melayan pelanggan apabila gerainya dibuka seawal pukul 5 pagi hingga 7 petang.

Dia juga menjual lebih 50 jenis makanan seperti roti canai, nasi lemak, nasi dagang, laksam dan pelbagai jenis kuih-muih.

"Ada pelanggan memberitahu, perniagaan Kak Nah akan lingkup jika terus kekalkan dengan harga lama.

"Tetapi Kak Nah bersyukur, kedai saya bukan saja sentiasa penuh dengan pelanggan malah mampu membayar gaji empat pekerja," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya dekat sini hari ini.

Ditanya kenapa dia keberatan menaikkan harga, Sinah memberitahu, ia akan meresahkan pelanggan yang kebanyakan bekerja sendiri seperti nelayan, petani dan buruh.

"Hari ini kedai Kak Nah dikunjungi pelbagai latar pelanggan termasuk pegawai tinggi kerajaan, pekerja swasta dan pelajar sekolah kerana kak Nah jaga kualiti," kata ibu kepada lima orang anak itu.

Dengan jarak kedai kira-kira 200 meter dari Muzium Terengganu dan di kiri jalan menuju ke Taman Tamadun Islam (TTI), pengunjung boleh singgah bersarapan pagi dua keping roti canai dan segelas teh tarik dengan harga RM2.

"Apa yang diutamakan di kedai ini adalah kepuasan pelanggan terhadap harga dan jaminan kualiti makanan serta konsep mesra pelanggan.

"Murah bukan bermaksud kualiti dan keenakan makanan juga rendah. Roti canai dan teh tarik restoran ini setanding dengan restoran mewah," ujarnya.

1 comment:

  1. Alhamdulillah. Inilah contoh usahawanita Islam yang berjaya. Semoga ianya menjadi contoh kepada para peniaga Islam yang lain.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...