terima kasih buat kalian semua..

Sunday, February 28, 2010

Guru tertekan sekolah asyik kejar glamour


SEKOLAH tempat saya mengajar gah dengan pelbagai anugerah yang dimenanginya. Suasana gilang-gemilang disambut dan diraikan penuh kebanggaan oleh pentadbir besar sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Setiap aktiviti yang dibuat semuanya mahu kelihatan cantik, sempurna, berjalan lancar dan seboleh-bolehnya hebat.

Kekadang terfikir juga oleh kami, guru-guru di sekolah ini, apakah ini trend terkini pengetua-pengetua yang sememangnya sukakan `kerja-kerja glamour' atau lebih senang cerita `gilakan nama' berbanding menekankan kepentingan pengajaran dan pembelajaran.

Guru-guru terpaksa mengorbankan pekerjaan utamanya, iaitu mengajar, kepada membuat `kerja-kerja glamour' yang memenuhi selera dan keinginan pengetua. Guru-guru sekolah ini kini cekap dengan kerja-kerja yang menghasilkan sesuatu yang `glamour' tetapi soal mengajar dan melahirkan pelajar yang cemerlang dan bersahsiah hampir sifar.

Sebab itulah, sekiranya dilihat daripada markah yang diperoleh untuk mendapat gelaran anugerah, lebih terarah kelebihannya dari segi keceriaan, dokumentasi dan kokurikulum. Manakala, kurikulum jauh ketinggalan.

Soal keceriaan tidak usah cerita. Guru-guru ibarat `tukang kebun' merangkap `buruh paksa' yang terpaksa mengecat dinding-dinding dengan pelbagai mural impian pengetua.

Kalau tidak puas hati dengan hasilnya, buat sekali lagi. Pantang ada dinding yang kosong, ada sahaja idea hendak mewarnakannya. Setiap penjuru dan sudut penuh dengan bunga-bunga plastik yang kononnya `syurga dunia'.

Maka jadilah sekolah seperti taman bunga dan dindingnya seolah-olah sekolah tadika. Rungutan kami tidak pernah dipedulikan. Pelajar-pelajar bertempiaran seperti anak-anak kambing terlepas kandang kerana guru-guru yang sepatutnya mengajar, sibuk menaip laporan untuk dokumentasi, mengecat dan menanam pokok bunga. Ketua-ketua bidang turut dikerah menghias papan-papan kenyataan.

Setiap kali berlaku upacara di sekolah, tidak kira Sambutan Hari Guru, Hari Kecemerlangan Kurikulum, Hari Graduasi dan sebagainya, maka bertempiaranlah guru-guru membuat persiapan dan persediaan yang canggih-canggih. Tinggalkan pelajar-pelajar di kelas yang hanya diselia dari jauh.

Paling hebat, sekiranya sekolah didatangi para pelawat dari luar, nazir-nazir, orang dari PPD serta JPN dan orang dari kementerian, keadaan seolah menjadi setegang-tegangnya dengan guru-guru terpaksa membuat persiapan menyambut tetamu-tetamu hebat ini.

Bebanan kerja guru semakin bertambah. Tujuannya untuk memelihara apa yang sedia ada. Maka, guru jugalah yang menjadi kerani menaip laporan, tukang sapu di bilik guru, tukang cat tembok, tukang kunci pintu pagar, tukang meronda blok, tukang kutip sampah dan yang paling teruk, tukang jaga tandas pelajar.

Guru bertungkus-lumus berulang-alik ke sekolah tidak kira waktu cuti sekolah, hari minggu, hari Sabtu, dan hari-hari cuti yang telah dikhaskan semata-mata menyiapkan kerja-kerja mengikut kehendak pengetua.

Hendak guna mesin fotostat sekolah untuk hal sekolah pun susah. Inikan pula nak `rezo' latihan-latihan dan nota-nota untuk pelajar. Takut dakwat dan kertas habis agaknya. Bajet yang ada sudah disalur pada keceriaan dan kecantikan sekolah.

Sekolah seperti ini kini semakin tersasar daripada matlamat utama Dasar Pendidikan Negara yang menekankan perkembangan sahsiah pelajar serta mengutamakan kecemerlangan dalam kurikulum. - GURU-GURU TENSION, Cheras, Kuala Lumpur.

Bakal pengantin berhak lihat pasangan sebelum kahwin

APAKAH boleh seorang pemuda itu melihat gadis sebelum meminangnya.

Johari,
Klang, Selangor


KALAU kita lihat di negara barat, lelaki bukan saja boleh melihat si gadis yang hendak dipinang tetapi lebih dari itu ia boleh bawa gadis itu ke sana dan ke mari, ke pesta atas alasan untuk menguji. Pada satu pihak tradisional pula, mereka mengharamkan lelaki melihat wanita yang hendak dipinang itu. Mereka melarang kedua-duanya saling berpandangan sehinggalah tiba saat dikahwinkan.


Sesungguhnya kedua-dua sikap tersebut adalah tercela. Yang benar adalah pendapat pertengahan daripada kedua-dua pendapat berkenaan seperti yang diajar syarak dan diperintahkan oleh Nabi SAW, iaitu agar lelaki hendaklah melihat wanita yang hendak dilamar sebagai mana dalam sebuah hadis yang bermaksud "Pernah seorang lelaki datang kepada Baginda SAW seraya berkata, "Saya telah meminang seorang perempuan Ansar." Lalu Nabi SAW bertanya, "Apakah engkau telah melihatnya?" Dia menjawab, "Belum." Baginda SAW menjawab, " Pergilah engkau melihatnya, kerana pada mata orang-orang Ansar itu (biasanya) ada sesuatu (cacat). (Riwayat an-Nasa'I no.3247).

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi iaitu al-Mughirah bin Syu'bah pernah meminta izin atau memberitahu kepada Nabi SAW bahawa dia hendak meminang seorang wanita, lalu Nabi SAW bertanya, "Adakah engkau sudah melihatnya?" Dia menjawab, "Belum." Kemudian Baginda SAW bersabda, "Lihatlah dia, kerana yang demikian itu lebih menjamin untuk melangsungkan hubungan kamu berdua." (Riwayat al-Tirmizi no.1087).

Ertinya dengan mengikut cara yang dianjurkan dalam hadis, kelak akan terbinalah kerukunan, keharmonian dan keserasian di antara keduanya (suami dan isteri). Ini adalah perintah daripada Nabi SAW. Sabda Baginda lagi, "Apabila salah seorang di antara kamu meminang seorang wanita dan mahu mengahwininya, maka hendaklah ia melihat sebahagian dari apa yang dapat mendorongnya untuk mengahwininya." (Riwayat Abu Daud no.2084)

Daripada hadis di atas, dapatlah kita ketahui bahawa lelaki yang mahu meminang berhak, bahkan harus melihat wanita yang akan dipinang itu dan keluarga si wanita itu hendaklah memberi kemudahan kepadanya untuk melakukannya, sehingga ia (si lelaki) dapat melihat si wanita dan si wanita dapat melihat lelaki tersebut. Seterusnya wanita berhak untuk menerima atau menolak pinangan tersebut. Justeru, kedua-dua belah pihak perlu saling melihat satu sama lain sebelum melaksanakan perkahwinan. Dengan cara itu, kehidupan rumah tangga dapat dibina di atas tapak yang kukuh dan tiang yang kuat.

Boleh juga lelaki melihat wanita yang akan dipinang itu tanpa pengetahuan wanita dan keluarganya, kerana pengetahuan keluarga dan wanita itu bukanlah syarat. Ia juga supaya si wanita tidak tersinggung perasaannya. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, bahawa beliau bercerita mengenai isterinya selepas dikahwininya. Katanya, "Sesungguhnya saya dulu bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya, sehingga saya dapat melihat sebahagian dari sesuatu yang dapat mendorong saya untuk mengahwininya."

Mengapa Rasul bersifat insan?

ANTARA asas penting dalam keimanan kepada para nabi a.s adalah beritikad atau berkeyakinan penuh bahawa mereka manusia dan bersifat dengan sifat-sifat kemanusiaan atau ciri-ciri keinsanan (tabai' basyariyyah).

Tidak bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan atau malaikat, atau makhluk super power yang berlainan dari insan yang bersifat manusia. Banyak pengikut agama cenderung untuk menyifatkan tokoh agama atau pengasas agama mereka dengan ciri-ciri ketuhanan atau malaikat atau super power bagi menggambarkan kehebatan tokoh atau pengasas agama berkenaan. Namun Islam tidak demikian. Nabi Muhammad dan sekelian para nabi disifatkan oleh al-Quran dengan ciri-ciri manusia seperti mana manusia lain, cumanya mereka ditabalkan menjadi rasul atau nabi, diberi wahyu dan kadang-kala diberi pertolongan dengan ayat atau mukjizat dalam keadaan yang getir. Pun begitu dalam sepanjang sejarah para nabi, ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, diseksa, dicederakan, dizalimi dan berbagai-bagai derita yang lain yang selalu menimpa para pejuang. Mereka tidak digambarkan kebal, atau boleh terbang, atau sentiasa dapat menghadirkan perkara-perkara pelik sehingga manusia beriman kerana ketakutan kepada mereka. Jika ada pun pertolongan Allah yang disebut 'ayat' atau mukjizat, perkara tersebut bukannya selalu dan ia sentiasa pula akan dikaitkan dengan kebesaran Allah, bukan kekuatan diri mereka sendiri.

Iktikad atau keyakinan ini diwajibkan oleh al-Quran dan al-Sunnah untuk seorang Muslim tanamkan dalam keimanan mereka. Firman Allah: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahf: 110). Firman Allah lagi: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (Surah al-Anfal: 188). Juga firmanNya: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya ketetapan. (Surah al-Ra'd: 38).

Banyak lagi nas-nas al-Quran yang menegaskan hal ini. Walaupun ciri-ciri keinsanan rasul ini telah menyebabkan sesetengah penentang rasul mengkritik mereka kerana mereka mempunyai sifat dan kehidupan yang sama dengan manusia biasa. Para penentang pula membayangkan para rasul dengan segala keajaiban. Al-Quran merakamkan kritikan mereka. Firman Allah: (maksudnya) Dan mereka berkata: Kenapa dengan Rasul ini? dia makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya. (Surah al-Furqan: 7). Namun, Allah membantah cara fikir mereka ini dengan menjawab: Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul. (Surah al-Isra': 95).

Akidah

Mengapakah al-Quran menekankan ciri ini? Demikian juga mengapakah Rasulullah saw sentiasa menekan asas akidah ini? Sebabnya yang utama, demi memelihara tauhid atau akidah kepada Allah supaya hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan layak untuk disembah. Manusia apabila tidak dikawal oleh akidah sebegini akan mengheret mereka memuji dan mengagungkan para rasul melebihi batasan yang sepatutnya. Lihat apa yang berlaku kepada Nabi Isa bin Maryam as Kepercayaan atau pujian yang berlebihan membawa mereka menyangkatnya menjadi anak Tuhan. Demikian sesetengah aliran tarekat kerohanian yang melampaui batas dalam memuji guru atau 'tok syeikh'. Sikap berlebih-lebihan memuji itu telah membawa mengagungkan guru atau syeikh melebihi tahap nabi, bahkan menyifatkan guru mereka dengan sifat-sifat ketuhanan seperti mengetahui yang ghaib dan seumpamanya. Bahkan lebih buruk lagi mengheret mereka memohon hajat dan doa dari syeikh mereka sebagai perantaraan dengan Allah, bukan lagi hanya memohon kepada Allah. Sehingga ada yang apabila timbul hajat dalam akan memanggil nama wali itu dan ini. Sehingga nama dan gambaran wali atau syeikh mereka itu lebih mendahului jiwa mereka apabila timbul sesuatu hajat, bukan lagi Allah swt Malangnya, ada dalam kalangan mereka yang menjustifikasikan hal itu dan menyatakan itu disuruh oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan itu sebenarnya ajaran Ahbash dan tarekat-tarekat yang memuja kubur. Jika para wali itu masih hidup pun mereka akan menentang hal ini. Rasulullah SAW sendiri dalam hadis baginda daripada Ibn 'Abbas: "Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: "Apa yang Allah dan engkau kehendaki". Maka baginda bersabda kepadanya: "Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki". (Riwayat Ahmad dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda juga mengingatkan kita: "Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: "Hamba Allah dan rasul-Nya" (al-Bukhari).

Perkara yang kedua, jika rasul itu bersifat dengan sifat ketuhanan atau malaikat, bagaimana mungkin manusia biasa mampu mencontohi mereka, sedangkan mereka dihantar untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia. Maka, tiadalah suri teladan dalam makan-minum, perhubungan suami isteri, teladan ketika gembira, ketika sedih, ketika marah, ketika lapar, ketika sakit, ketika ditindas dan berbagai lagi. Ini akan menjadi alasan untuk manusia tidak mencontohi rasul dan menyatakan bahawa kehidupan beragama yang diajar oleh para rasul itu tidak praktikal untuk diamalkan oleh manusia biasa. Alasan mereka kerana ciri-ciri fizikal yang dimiliki oleh para rasul itu tidak sama dengan manusia biasa.

Hingga mukjizat yang diberikan kepada para rasul itu pun bukan muncul dalam setiap keadaan. Dalam banyak keadaan para rasul menghadapi perjuangan mereka dengan segala usaha dan ikhtiar insani dan bertawakal kepada Allah. Bacalah Surah Yusuf, lihat bagaimana tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ya'kub dan Yusuf. Mereka berusaha keluar daripada ranjau kehidupan itu dengan menerusi proses perjalanan kehidupan seperti mana insan yang lain. Cumanya, kita dapat melihat kesungguhan, tawakal dan keimanan kepada Allah yang sungguh indah. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah dilontar sehingga cedera di Taif, dan cedera dalam peperangan Uhud. Batu-batu yang dilontar di Taif tidak bertukar menjadi tamar, dan pedang yang dihunuskan dalam peperangan menentang baginda tidak pula menjadi roti. Bahkan ada para nabi yang dibunuh oleh Bani Israil. Kesemua itu menutup ruang untuk manusia mengelakkan diri dari mengikuti jejak para nabi atas alasan mereka 'super power' atau tidak serupa dengan kita.

Kata al-Syeikh 'Ali al-Tantawi ketika mengulas sifat-sifat para rasul a.s.: "Para rasul kesemuanya manusia. Mereka dilahirkan seperti mana dilahirkan manusia, mereka mati seperti mana manusia mati, mereka sakit dan sihat seperti mana manusia sakit dan sihat. Mereka tidak berbeza dengan manusia pada bentuk tubuh badan dan anggota, tidak pada perjalanan darah dan pergerakan jantung. Mereka makan dan minum seperti mana manusia makan dan minum. Tidak pada mereka sedikit pun unsur uluhiyyah (ketuhanan), kerana ketuhanan untuk Allah semata. Namun mereka adalah manusia yang telah diwahyukan kepada mereka" (Ali al-Tantawi, Ta'rif 'Am bi din al-Islam, m.s. 161, Mesir: Dar al-Wafa).

Lebih daripada itu kita lihat Allah jadikan mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw ialah al-Quran. Ini kerana baginda adalah nabi yang terakhir. Al-Quran akan berterusan sehingga Kiamat, sedang mukjizat yang mempunyai kaitan dengan fizikal seseorang tidak akan dapat disaksikan lagi dengan ketiadaannya. Mukjizat tongkat Musa sudah tidak dapat disaksikan lagi. Begitu juga mukjizat Isa menghidupkan orang mati dengan izin Allah sudah tiada lagi. Namun, ajaiban al-Quran terus disingkap dari zaman ke zaman. Maka, hendaklah para pendakwah dalam menceritakan tentang kerasulan menegaskan tentang ciri keinsanan Nabi Muhammad saw dan kesinambungan mukjizat al-Quran. Fokuslah mukjizat al-Quran yang terus mencerahkan akal dan menegakkan hujah kebenaran. Mukjizat lain, sekadar hanya menjadi riwayat sahaja.

Saturday, February 27, 2010

Hati2 minum di kopitiam: 2 tempat je yg halal


Masyarakat Islam yang gemar menjamu selera di kopitiam perlu lebih berhati-hati apabila dua kopitiam sahaja yang direkodkan memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berdasarkan laman web halal Jakim, dua kopitiam tersebut ialah Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd. dan Jonker Walk Kopitiam Sdn. Bhd.

Menurut laman web berkenaan tempoh sah sijil Pak Hailam Kopitiam adalah sehingga 15 Februari 2012, manakala Jonker Walk Kopitiam sehingga 15 Februari 2013.

Mengulas mengenai trend menjamu selera di kopitiam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menasihat umat Islam negara ini mengelakkan daripada menjamu selera di premis yang tidak ada sijil halal Jakim.

"Langkah ini bagi saya adalah lebih baik. Cuba lihat logo halal yang dipamerkan. Sekiranya daripada Jakim tidak ada masalah tetapi jika bukan elakkanlah diri daripada makan di tempat berkenaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Masjid Negara di sini hari ini.

Selain itu, Jamil Khir berkata, mereka yang keliru dengan logo halal yang dipamerkan di premis-premis tertentu juga boleh menghubungi Jakim untuk mendapatkan kepastian.

"Logo halal Jakim sahaja yang diiktiraf oleh kerajaan. Oleh itu, saya minta rakyat tidak terkeliru dengan pengeluaran logo halal daripada pihak lain.

"Pengeluarannya juga telah diselaraskan iaitu Jakim akan mengeluarkan logo halal manakala permohonan, audit dan sebagainya akan dilakukan Jabatan Agama negeri-negeri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ciri-ciri logo halal yang diiktiraf oleh kerajaan adalah berbucu lapan di tengah-tengah bulatan.

"Mempunyai perkataan Arab 'halal' di tengah bintang dan diikuti tulisan rumi 'halal'. Bulatan logo tertulis perkataan 'MALAYSIA dalam tulisan rumi dan Arab.

"Dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab," katanya.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

Romeo Lombok culik remaja kita patut dihukum


KISAH cinta lelaki Lombok seakan tragedi bagi rakyat Malaysia kerana sering dipaparkan di akhbar dan televisyen. Terbaru ialah pelakon Bella yang dipaksa berkahwin dengan lelaki berasal dari Lombok dan kini kembali ke pangkuan keluarganya.

Kisah cinta Lombok ini walaupun agak keterlaluan, ia sebahagian budaya masyarakat di sana yang berbangga jika anak lelaki mereka melarikan anak gadis untuk dikahwini. Tetapi, apabila membabitkan gadis bawah umur seperti Bella, kita di Malaysia bertanggungjawab menghentikan perkara ini.

Walau apapun terjadi kepada gadis atau wanita itu sebelum mereka berkahwin sehingga sanggup meninggalkan keluarga, kita perlu melihat adat lelaki Lombok sebagai perbuatan mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat Malaysia.


Pertamanya, ia bukanlah adat mana-mana rakyat negara ini. Keduanya, apabila melarikan anak orang tanpa izin, ia boleh dikatakan satu penculikan mengikut Kanun Acara Jenayah. Tetapi, bagi kes cinta atau atas kerelaan gadis itu sendiri, timbul keraguan sama ada Kanun Acara Jenayah terpakai.

Sudah tiba masanya masyarakat negara ini menyatakan kepada lelaki Lombok bahawa kita sudah muak mendengar alasan 'adat' sebagai sebab mereka melarikan gadis Malaysia. Orang yang tidak mahu memahami adat masyarakat negara ini tidak layak menjejakkan kaki di bumi Malaysia apatah lagi mencari makan di sini.

Saya berasakan kisah Bella sepatutnya menjadi titik noktah kepada kisah tragedi ini dengan memberikan satu isyarat jelas kepada lelaki Lombok yang mereka tidak dialu-alukan kerana gagal memahami adat masyarakat Malaysia.

Bella masih di bawah umur dan jelas apa yang berlaku kepadanya, bertentangan dengan Kanun Acara Jenayah. Jika lelaki Malaysia melakukannya pasti sudah didakwa. Saya merayu kerajaan supaya mendakwa mereka ini dengan undang-undang sedia supaya berasa serik untuk memperlekehkan kita.

Badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan juga hendaklah memainkan peranan membantu mangsa dan memberi kesedaran bahawa lelaki Lombok tidak sepatutnya diterima di sini. Cukuplah bendera kita dibakar dan Negaraku dipersenda segelintir rakyat Indonesia tetapi kita tidak boleh berdiam diri apabila ada segelintir lagi membahayakan generasi muda kita.

MEJ MUHD TAHA,
Kepala Batas, Kedah.

Bantuan kewangan pelajar miskin elok diubah beli keperluan belajar

SAYA bersetuju dengan pandangan 'Pegawai Kerajaan Kumpulan A' yang disiarkan dalam ruangan ini Rabu lalu mengenai cadangan kepada Kementerian Pelajaran supaya tidak menganjurkan kursus jika kurang bajet.

Saya ingin mencadangkan beberapa langkah penjimatan yang boleh dilakukan oleh kementerian bagi mengelak pembaziran wang negara, seperti berikut:

  • Mengubah cara bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Pada masa ini pelajar miskin dan miskin tegar mendapat bantuan KWAPM sebanyak RM200 yang dibayar secara sekali gus serta bantuan bulanan antara RM25 hingga RM50 sebulan bagi sekolah rendah.

    Bantuan bulanan ini juga biasanya dibayar sekali gus apabila pihak sekolah menerima peruntukan. Oleh itu, setiap ibu bapa murid berkenaan akan menerima bayaran antara RM450 hingga RM700 (sekolah rendah) dan RM600 hingga RM900 (sekolah menengah) sekali gus.

    Ia menyebabkan mereka tidak menggunakan wang untuk persekolahan anak, tetapi membelanjakan untuk membeli keperluan keluarga yang lebih utama bagi mereka seperti telefon bimbit dan motosikal. Ini menyebabkan pemberian wang itu tidak mencapai matlamat kerajaan.

    Saya mencadangkan supaya kaedah pemberian diubah dengan cara melantik pembekal atau pihak sekolah atau PIBG untuk membekalkan keperluan sekolah seperti pakaian seragam, pakaian unit beruniform, buku latihan tambahan, kasut dan sebagainya.

    Makan tengah hari perlu diberikan kepada semua pelajar kerana hampir setiap hari murid sekolah pulang lewat menghadiri pelbagai kegiatan seperti kelas Kafa, kelas tasmiq (Program j-Qaf), kelas tambahan, kokurikulum dan sukan.

    Ibu bapa yang bekerja sendiri tidak bermasalah membawa bekal makanan kepada anak mereka sebelum menyambung aktiviti itu. Dengan melantik pembekal makanan waktu tengah hari tentu akan membuka peluang kepada usahawan baru dan merancakkan ekonomi negara.

  • Mengubah cara pemberian biasiswa pelajar Tingkatan Enam. Majoriti pelajar Tingkatan Enam mendapat biasiswa antara RM770 hingga RM1,100 setahun. Setiap kali pelajar mendapat wang biasiswa, akan berubahlah jenama telefon bimbit mereka.

    Sekali lagi matlamat kerajaan tidak sampai dan yang kaya adalah tauke perniagaan. Saya mengesyorkan supaya pemberian biasiswa dihentikan, tetapi digantikan dengan memberi kelengkapan pembelajaran seperti buku rujukan, pakaian, kupon tambang bas, makanan percuma, komputer riba dan sebagainya kepada semua pelajar.

  • Saya juga mencadangkan pemberian biasiswa kepada pelajar kolej matrikulasi, institusi pengajian tinggi (IPT) dimansuhkan dan digantikan dengan kemudahan kelengkapan pembelajaran seperti buku rujukan, komputer riba, kupon tambang bas, makanan percuma dan lain-lain keperluan kepada semua pelajar IPT.

Saya juga dimaklumkan pelajar IPT sanggup makan mi segera kerana berjimat untuk membeli pakaian, telefon bimbit atau laptop berjenama.

Cadangan ini jika dilaksanakan akan membuka peluang perniagaan baru kepada pembekal terutama Bumiputera, kesihatan pelajar lebih terjamin.

PEGAWAI KERAJAAN KUMPULAN B,
Besut, Terengganu.

Simply too cheap to pay for security

I REFER to the letter “Lawless in the name of security” (The Star, Feb 24).

The writer says it is wrong to assume that residents who do not participate in the gated and guarded scheme are not concerned about security.

He says they are concerned but do not subscribe to lawlessness in the name of security.

My view is that if they are so concerned about security, they should show up at the residents’ association meetings to put forward their views on how the scheme can be implemented with the least inconvenience, and also suggest ways to solve the lawlessness issue.

They should be committee members and see for themselves the attitude of some residents. Some even refuse to see us when we approach them to highlight the security scheme.

Just the mention of money will scare them even though they own expensive cars.

Take a look in your area and see how many residents switch on their back lights at night. Imagine how hard it is to ask them to switch on their porch lights too.

Residents who are really concerned about security will come for meetings and even those who do not attend will show their support by joining the security scheme because they are worried about their safety.

They will demonstrate their concern by switching on at least their back lights after midnight.

Residents who are not security conscious will come up with common excuses such as they are only renting the house or they cannot afford to pay. Some even tell you point blank that they are not interested.

Assuming that 85% of the residents agree to a security scheme, what about the other 15%? Are they concerned? Your guess is as good as mine.

FA,

Petaling Jaya.

Wednesday, February 24, 2010

2 kisah berita pelik dan berbeza pasal tol hari ini..


PLUS catat keuntungan tinggi

KUALA LUMPUR 23 Feb. - PLUS Expressways Bhd. (PLUS), penyedia perkhidmatan operasi lebuh raya mencatatkan keuntungan sebelum cukai tinggi sebanyak RM1.62 bilion bagi tahun yang berakhir pada 31 Disember 2009, meningkat 7.1 peratus daripada RM1.516 bilion pada 2008.

Perolehan juga tinggi sebanyak RM3.17 bilion, meningkat 7.1 peratus daripada RM2.96 bilion pada 2008. PLUS dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini berkata, pihaknya berjaya mengatasi set Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi peningkatan lorong-kilometer dengan mencatatkan pertumbuhan 33.5 peratus, melepasi sasaran 30 peratus.

Ia dicapai menerusi pemulaan projek lebuh raya sulungnya di India, Bhiwandi-Kalyan Shil Phata Highway, pada 22 Ogos 2009 dan pembelian pegangan strategik dalam Indu Navayuga Infra Project Private Ltd., syarikat konsesi bagi Padalur-Trichy Highway, India.

Mengenai KPI bagi pertumbuhan pendapatan, kumpulan itu mengatasi sasaran lima peratus bagi Tahun Kewangan 2009 dengan mencatatkan pertumbuhan 6.5 peratus yang disumbang oleh pertumbuhan kuantiti trafik tinggi.

PLUS akan mencadangkan 10 sen sesaham sebagai dividen tunggal akhir dalam mesyuarat agung tahunan akan datang bagi memenuhi komitmen dividennya untuk tahun kewangan 2009.


Hakikat kenaikan tol sukar dielakkan

MUSIM sambutan Tahun Baru Cina minggu lalu memperlihatkan berpuluh ribu kenderaan memenuhi lebuh raya utara selatan, timur dan barat.Ketika kita sibuk bercuti ke kampung halaman dan menikmati perjalanan pergi dan balik yang lancar, ada satu perkara yang mungkin kita lupa. Kita tidak mengambil peduli bahawa rangkaian lebuh raya di Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara dan juga Asia selepas Jepun dan China.

Pun begitu, pengguna perlu diingatkan bahawa perjalanan lancar itu ada harganya. Harga perjalanan akan bertambah mahal.

Tahun ini, 10 lebuh raya dijangka akan menaikkan kadar tol termasuk di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang akan mengkaji kadar harga tol untuk pertama kali.

Kadar tol Jambatan Pulau Pinang tidak dinaikkan sejak 25 tahun manakala LPT akan menyemak kadar tolnya selepas enam tahun.

Menurut bekas Menteri Kerja Raya, kadar tol lebuh raya di Malaysia adalah paling murah di dunia. Purata tol dianggar daripada RM0.11 per km di LPT sehingga RM0.14 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Jika dibandingkan dengan tol Jambatan Suramadu yang menyambung Surabaya dan Madura di Indonesia berharga 30,000 rupiah (RM11.04) bagi 5.4 km, ini bermakna pengguna membayar RM2.04 per km apabila mengguna jambatan tersebut berbanding menggunakan jambatan ketiga terpanjang di dunia iaitu Jambatan Pulau Pinang yang mengenakan kos hanya RM0.26 per km.

Jika dibuat perbandingan dengan lebuh raya Subic-Clark-Tarlac sepanjang 94 km yang merupakan lebuh raya terpanjang di Filipina, kos bagi kenderaan persendirian menyeberangi jambatan itu ialah RM0.15 per km.

Bagi pengguna jambatan Bangabandhu sepanjang 5 km di Bangladesh yang menghubungkan bahagian timur dengan utara negara tersebut, mereka perlu membayar lebuh raya bertol itu pada harga AS$6 atau RM20.40 bagi kenderaan kelas 1 manakala trak dan lori membayar maksimum AS$18 (RM61.20) bagi satu perjalanan. Ini bermakna sebuah kereta persendirian membayar kira-kira RM4.08 per km.

Bayangkan tiga negara yang kategori pendapatan rakyatnya lebih rendah daripada Malaysia tetapi terpaksa membayar kos tol lebih tinggi daripada kita.


- apalah salahnya jika kadar dikurangkan utk mengurangkan tekanan bebanan rakyat..plus masih dok buat untung besar dan sentiasa meningkat setiap tahun..dahlah rega minyak pun bakal naik bulan mei ni..wahai kerajaan, bantulah rakyat yg tersepit ini..

Harga ikan dijangka naik selepas 1 Mac

Pemborong ikan tempatan memberi amaran harga ikan melambung selepas 1 Mac ini sekiranya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bertegas mahu menguatkuasakan penggunaan kotak ikan berinsulasi bermula tarikh berkenaan.

Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia yang mewakili semua 40 pemborong ikan tempatan dalam mesyuaratnya di sini, semalam, membuat keputusan akan memberhentikan pengimportan ikan dari negara jiran jika kotak ikan plastik yang digunakan sekarang tidak dibenarkan digunakan.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Yusoff Ismail, berkata secara purata, pemborong tempatan mengimport kira-kira 1,000 tan ikan dari negara jiran setiap hari menampung keperluan tempatan.

- para nelayan diberi subsidi diesel..juga diberi elaun rm200 sebulan..harapan rakyat ialah supaya harga ikan murah di pasaran..tapi adalah ini berlaku??? kenapa tidak beri pada para pesawah yg masih rendah harga padinya elaun seperti ini untuk menggalakkan lebih ramai org tanam padi dan kurangkan import beras negara, lebih baik duit tu diberi pada rakyat, sekurang2nya dapat kurangkan garis kemiskinan para petani...sekadar pandangan dangkal..

HOSPITAL DIKURANGKAN KOS

Kerajaan mahu mengurangkan kos pembinaan hospital di negara ini sehingga satu pertiga tanpa mengabaikan kualiti dan kemudahan yang disediakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta agar penanda aras bagi setiap katil diletakkan pada RM500,000 berbanding RM1.5 juta sekarang.

Katanya, kos setiap katil itu dikira berdasarkan jumlah kos keseluruhan pembinaan hospital dan dibahagikan dengan jumlah katil yang disediakan.

"Jika kos setiap katil sangat tinggi maka pihak hospital terpaksa mengenakan bayaran yang tinggi atau mengalami kerugian dan dalam kes hospital kerajaan akan melibatkan duit pembayar cukai," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan persidangan antarabangsa "Continuing Professional Development" bertema "Ke Arah Kejururawatan Bertaraf Dunia" di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Senator Kohilan Pillay, Timbalan Pengerusi Eksekutif International College of Health Sciences (ICHS), Daud Ahmad dan Dekan Fakulti Kesihatan dan Penjagaan Sosial, Universiti Canterbury Christ Church (CCCU) dari United Kingdom (UK), Hazel Colyer.

Tsu Koon berkata, kerajaan akan lebih mengutamakan prinsip 'berbaloi untuk nilai wang' dalam usahanya mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat seiring dengan tema gagasan 1Malaysia.

"Tiada gunanya jika hospital kelihatan cantik dengan kos yang tinggi, tetapi tidak mampu menawarkan perkhidmatan yang lengkap," katanya.

Katanya lagi, melalui cara itu juga, peruntukan boleh diagihkan kepada perkara lain seperti membina lebih banyak pusat perubatan dan menambah peralatan kemudahan kesihatan selain pembangunan sumber manusia yang agak ketinggalan.

Oleh AHMAD FADZIL ZAINOL ARIFFIN

- selepas bajet kementerian pelajaran, kementerian kesihatan pula dilihat mengikut jejak..harap keperluan rakyat tidak diabaikan walaupun kos dikurangkan..mudah saja, buat tender terbuka..jgn dok bagi kontrak design n build, insyaallah dapat kurangkan kos..juga elakkan pemberian tender melalui wahyu2 peringkat tertinggi...tepuk dada tanya selera

isu guru - Kementerian Pelajaran tak perlu anjur kursus jika kurang bajet

SAYA setuju Kementerian Pelajaran mengamalkan perbelanjaan berhemah kerana mahu semua kementerian dan badan lain tidak membazir dan tiada ketirisan kewangan negara.

Saya tertarik dengan dua berita yang disiarkan akhbar menyatakan guru makan nasi bungkus ketika kursus serta Ketua Pengarah Pelajaran sendiri mengadakan program kementerian di sebuah sekolah, bukan di hotel.

Saya antara panel mesyuarat dan bengkel yang diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Damansara baru-baru ini turut mengalami nasib sama.

Saya tidak kisah untuk berulang-alik dari rumah di Klang, Selangor ke BTP untuk menghadiri mesyuarat yang bermula pada jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

Malangnya, kami hanya disediakan biskut kering dan air panas untuk dibancuh dengan minuman 3+1 sebagai sarapan.

Namun, ada panel yang tidak sesuai mengambil menu berkenaan kerana menghidap diabetes. Adakah ini langkah penjimatan terbaik diambil Kementerian Pelajaran?

Oleh kerana makan tengah hari tidak disediakan, kami keluar mencari gerai, malah terpaksa ke kawasan yang sukar mendapat tempat letak kereta.

Minum petang pula sama menunya dengan sarapan dan dihidangkan dengan kacang goreng.

Saya mencadangkan kalau Kementerian Pelajaran tidak mempunyai kemudahan dan kewangan jangan anjur mesyuarat, bengkel atau kursus untuk mengelak pegawai perkhidmatan pelajaran atau guru teraniaya dan rasa terhina.

Saya bimbang kegiatan kokurikulum yang mungkin diadakan turut membebankan guru yang ditugaskan membawa pelajar ke lokasi pertandingan.

Saya turut bimbang kenderaan rasmi dan peribadi guru menjadi pengangkutan pelajar menyertai sesuatu pertandingan tanpa dibayar sesen pun.

Saya mohon agar kesatuan guru meneliti kebajikan kami dan jangan cuma untuk meningkatkan profesion keguruan sedangkan guru dilayan bagai pegawai kelas bawahan.

Janganlah tenaga guru diperah, namun kebajikan mereka tidak dijaga.

PEGAWAI KERAJAAN KUMPULAN A,
Klang,
Selangor.

isu guru - Langkah jimat biar berpada

SAYA sebagai guru menyokong kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, bahawa langkah penjimatan amat perlu ketika ini. Namun, saya berharap janganlah terlalu berjimat sehingga guru dan pelajar terseksa.

Sebagai contoh, guru tidak diberi tuntutan apabila menjalankan aktiviti anjuran Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri atau Kementerian Pelajaran.

Dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi, bagaimana kami mahu menyara keluarga. Jika disebut pengorbanan, guru sudah melakukan yang terbaik terhadap anak didik, sedangkan tuntutan diminta tidak setimpal mana.

Saya percaya kenyataan ini akan disokong oleh rakan sejawat. Kami juga tidak mampu bergerak sendirian tanpa bantuan kewangan kerajaan. Guru hanya mahukan perhatian agar tugas dapat dilakukan dengan lebih baik.

MFA_282,
Muar, Johor.

Pantau autonomi Sekolah Berprestasi Tinggi

SEKALUNG tahniah harus diberikan kepada 20 pengetua dan guru besar bersama pasukan kakitangan sekolah kerana berjaya menyenaraikan sekolah mereka sebagai kumpulan pertama dinobatkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negara ini.

Dengan kesungguhan dan kerja kuat tersebut, pasukan pentadbiran serta kakitangan sekolah diberikan kuasa autonomi terhadap banyak perkara, termasuk soal pengajaran dan pembelajaran.

Sememangnya suatu usaha yang berbaloi dengan keringat dan pemikiran yang berusaha keras mencapai tahap yang amat membanggakan itu. Semua ini adalah demi kemajuan pendidikan generasi bangsa Malaysia yang akan datang.

Walaupun usaha murni ini merupakan satu langkah yang amat baik, timbul pula beberapa kebimbangan serta persoalan terhadap kuasa autonomi yang boleh dianggap besar terhadap pengurusan sekolah.

Sudah pasti, semua pengetua dan guru besar di negara ini mengimpikan status yang berprestij ini. Bagi mereka yang telah dinobatkan akan sedaya mungkin mempertahankan mahkota yang dianugerah oleh kementerian.

Bagi mempertahankan gelaran tersebut sudah pasti beberapa formula dibuat oleh pihak sekolah sendiri. Antara perkara yang dikhuatiri ialah kuasa autonomi ini membuatkan sekolah tidak dapat dikawal oleh pejabat pelajaran negeri atau daerah.

Kebebasan mentadbir, urusan kewangan serta kaedah pembelajaran menjadikan pengetua punya kuasa mutlak ke atas semua urusan.

Selain itu, prestasi pelajar juga merupakan perkara yang paling penting dalam menentukan kompetensi prestasi sekolah. Adalah dikhuatiri dengan status autonomi ini SBT akan mengenakan syarat tambahan serta perkara yang tertentu bagi mengekalkan kecemerlangan pelajar.

Jika ini yang berlaku sudah pasti pelajar yang lemah atau kurang cemerlang akan dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT meskipun sekolah itu merupakan sekolah harian yang sepatutnya pelajar itu bersekolah.

Secara tidak langsung, hak pelajar tersebut telah dinafikan dan hilanglah amalan demokrasi pendidikan. Sekali gus dasar pendidikan negara tidak dapat disuburkan dengan sempurna.

Seperkara lagi, jika tidak dikawal dengan sempurna SBT akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis Melayu.

Ini kerana kuasa autonomi yang diberikan merupakan lesen yang besar kepada pengetua dan guru besar untuk menentukan perbelanjaan persekolahan bagi yang bersekolah di SBT.

Sudah pasti bermacam-macam yuran perlu dibayar oleh ibu bapa pelajar untuk memasti prestij sekolah berkenaan terjaga dan terus unggul di tempatnya.

Jika pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau sederhana, sudah pasti tanggungan pembiayaan sekolah tidak mampu disara oleh keluarga berkenaan.

Akhirnya, akan berlaku keciciran atas alasan ketidakupayaan menyekolahkan anak kerana biaya yang tinggi.

Dalam situasi hari ini juga sudah terdapat keluarga yang tidak mampu menyekolahkan anak kerana tidak berupaya menyediakan perbelanjaan persekolahan yang saban tahun meningkat.

Oleh yang demikian, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak meminta Kementerian Pelajaran meneliti semula bidang kuasa autonomi yang diberikan kepada semua SBT.

Penilaian menyeluruh adalah perlu bagi memberikan manfaat yang sewajarnya kepada semua pelajar di samping tidak mengetepikan soal kemajuan dan kebajikan pelajar Melayu.

Ini bukan bermakna pelajar Melayu kini tidak mampu bersaing atau berjuang menuju kecemerlangan.

Tetapi sebagai masyarakat majoriti di negara ini serta 'tuan' yang diuar-uarkan, sedikit keistimewaan dan kelebihan adalah perlu untuk memastikan kelangsungan demokrasi pendidikan disuburkan di negara ini serta falsafah pendidikan negara tercapai dengan jayanya.

MOHAMAD ASRI SHAFII

Exco GPMS Perak

SIS cetus isu akidah

SISTERS-in-Islam (SIS) terkenal dengan kontroversi yang menongkah arus dan terbaru membantah hukuman sebat syariah kepada tiga pesalah wanita yang berzina.

Di mana wajarnya Islam diletakkan dalam organisasi itu sedangkan kenyataan mereka tidak melambangkan keislaman?

SIS tak perlu mempersoalkan hukuman itu, bahkan justifikasi bantahan kerana diskriminasi kepada wanita adalah tidak benar. Pesalah mengaku insaf dan bertaubat. SIS perlu bertaubat atas kenyataan yang membantah hukuman Allah

Banyak gerakan yang mengancam akidah termasuk SIS. Saya syorkan kepada jemaah masjid tubuhkan Brothers-in-Islam untuk mempertahankan Islam daripada diperlekeh.

ISKANDAR ZULKARNAIN,
Kuching.

'Dengarlah rintihan kami'

Masyarakat tidak kira di kota atau desa kini memperkatakan mengenai kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang meliputi pelbagai kecanggihan multimedia seperti gajet dan sebagainya.Lebih jauh daripada itu, mereka turut membicarakan tentang jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) bagi mempercepatkan kadar penerimaan sesuatu maklumat.

Namun, selepas negara mencapai kemerdekaan lebih setengah abad lalu, masih ada rakyat yang bukan sahaja tidak mengenali ICT atau HSBB, malah ada yang tidak pernah melihat jalan raya berturap terutama di kalangan warga emas di kawasan pedalaman Pahang.

Keadaan yang menyedihkan ini dapat dilihat terutama bagi penduduk di pedalaman Hulu Tembeling yang ketinggalan dalam bidang infrastruktur.

Terdapat beberapa kampung di pedalaman Hulu Tembeling antaranya Kampung Bantai, Kampung Gusai, Kampung Mat Daling, Kampung Pagi, Kampung Tuit, Kampung Pengau dan Kampung Kuala Sat yang didiami lebih 8,000 penduduk yang 90 peratus daripada mereka adalah Melayu manakala selebihnya, Orang Asli.

Sejak negara merdeka, penduduk di lima kampung terbabit masih menjadikan denai dan sungai sebagai alat perhubungan untuk ke sesuatu tempat.

Berada di perkampungan tersebut bagaikan kembali semula ke era 1950-an atau 1960-an.

Suasana di perkampungan mereka tidak ubah seperti kita menonton sebuah filem epik Melayu seperti Raja Bersiong atau Hang Tuah.

Selepas berdekad-dekad lamanya, penduduk Hulu Tembeling tidak henti-henti meminta dan merayu kerajaan negeri supaya menyegerakan pembinaan jalan raya berturap bermula dari Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling sejauh kira-kira 100 kilometer.

Harapan mereka dengan wujudnya jalan raya itu, projek pembangunan akan turut dirasai di kawasan berkenaan.

Golongan warga emas di kawasan pedalaman itu menegaskan, perjuangan mereka sejak merdeka untuk melihat sebatang jalan raya dibina bagaikan tidak kesampaian.

Menurut mereka, cadangan dan rintihan penduduk kawasan terbabit seolah-olah diketepikan sedangkan tempat lain sudah menikmati kemudahan tersebut.

Seorang warga emas dari Kampung Bantai, Abu Zaman Yusup, 86, berkata, walaupun projek jalan raya kerap diuar-uar ketika berkempen menjelang pilihan raya tetapi sehingga kini belum ada tanda-tanda projek pembinaan jalan raya akan dilaksanakan di perkampungan mereka.

Ketiadaan jalan raya, katanya, menyebabkan penduduk kampung terbabit masih menggunakan bot penambang melalui Sungai Tembeling yang mengambil masa sehingga tujuh jam untuk sampai ke bandar terdekat iaitu Jerantut.

Kesulitan itu juga, jelasnya, menggendalakan urusan penghantaran hasil pertanian ke bandar atau ke luar Hulu Tembeling.

Lebih memburukkan keadaan, ujarnya, apabila berlaku musim tengkujuh dan banjir akan mengundang risiko keselamatan kepada penumpang bot penambang.

''Penduduk tertanya-tanya mengenai status pembinaan jalan raya selepas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memasang papan tanda projek jalan raya antara Kampung Tuit dengan Kampung Pagi pada tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Abu Zaman menjelaskan, ketiadaan alat perhubungan itu juga mengakibatkan sebahagian penduduk masih dibelenggu kemiskinan tegar.

Dia sendiri telah membawa usul pembinaan projek jalan raya itu dalam sembilan mesyuarat agung UMNO cawangan di kawasan itu sejak hampir 20 tahun lalu tetapi tiada maklum balas diterima sehingga kini.

''Saya tidak bersekolah tetapi saya tahu bahawa sesebuah kawasan dan kampung itu tidak boleh dibangunkan jika masih tiada jalan raya dan kemudahan lain," katanya.

Abu Zaman yang uzur itu mengakui tidak pernah menikmati pembangunan sejak dilahirkan dan amat berharap kerajaan negeri merealisasikan segera projek jalan raya tersebut.


Penduduk di Hulu Tembeling masih menggunakan bot penambang dengan mengeluarkan perbelanjaan yang mahal untuk berurusan di bandar Jerantut.


Seorang lagi penduduk Kampung Bantai, Japrun Ali, 49, berkata, jika wujud jalan raya, petani dapat memasarkan produk pertanian mereka ke pasaran lebih luas, sekali gus menambah pendapatan dan menghapuskan kemiskinan tegar.

''Sejak merdeka, kami tidak mendapat pembangunan dan sewajarnya kerajaan melaksanakan segera projek berkenaan sesuai dengan tanggungjawab sosial demi kebajikan penduduk Hulu Tembeling," katanya.

Sehubungan itu, Japrun berharap, projek jalan raya itu dapat disegerakan bagi memacu pertumbuhan pembangunan sekali gus mengubah taraf hidup penduduk yang masih dibelenggu kemiskinan.

Seorang penduduk Kampung Pagi, Abdul Jamil Md. Yassin, 52, berkata, selama ini, ramai pemimpin dan pegawai kerajaan yang berkunjung ke kampung berkenaan memberi jaminan untuk mempercepatkan projek berkenaan tetapi janji hanya tinggal janji.

''Seingat saya, sudah banyak kali pilihan raya, pemimpin tempatan dan pegawai kementerian berjanji akan menyegerakan projek jalan raya tetapi sehingga kini belum dilaksanakan. Sampai bila kampung kami akan terus disisihkan dengan dunia luar," ujarnya.

Penduduk Hulu Tembeling, katanya, menaruh harapan tinggi kepada kerajaan untuk menyegerakan projek jalan raya berkenaan sebagai salah satu usaha mencorak pembangunan kawasan pedalaman itu.

Sementara itu, pengusaha bot penambang di Kampung Mat Daling, Abdul Rani Saidi, 54, berkata, pengangkutan sungai cukup membebankan apabila mereka terpaksa menanggung kos petrol dan penyelenggaraan enjin yang semakin meningkat pada masa ini.

''Semua itu memberi kesan kepada kenaikan tambang yang menyebabkan penduduk hanya ke bandar Jerantut untuk berurusan sekali dalam sebulan.

''Walaupun menerima subsidi, kos tambang pergi balik dari Kuala Tahan ke Hulu Tembeling ialah sebanyak RM600 bagi penduduk tempatan dan untuk pelancong ialah RM900 sekali perjalanan," katanya.

Justeru, jelas Abdul Rani, kos itu akan dapat dikurangkan jika ada jalan raya ke kawasan pedalaman Hulu Tembeling selain ia lebih selesa dan pantas.

''Pelancong juga boleh menikmati keindahan alam sekitar dan budaya penduduk tempatan," katanya.

Penduduk Kampung Pengau, Abdullah Ismail, 66, menjelaskan, ketiadaan pembangunan di kawasan itu menyebabkan kebanyakan penduduknya miskin.

''Tengoklah rumah saya ini, dibina 30 tahun lalu dengan kayu hutan dan kulit pelupuh serta tidak mampu dibaiki semula lantaran ketiadaan duit apatah lagi saya uzur dan tidak mampu bekerja," katanya.

Menurutnya, kemunduran Hulu Tembeling menyebabkan golongan belia berhijrah ke tempat lain untuk mencari kehidupan baru yang lebih selesa.

Seorang lagi warga emas kampung itu, Abd. Hamid Dahaman, 73, berkata, isu jalan raya antara topik hangat apabila penduduk bertemu pemimpin dan pegawai kerajaan yang hadir di kampungnya.

''Ketiadaan jalan raya membantut semua urusan harian penduduk terutama membabitkan pengeluaran hasil pertanian dan perniagaan sedangkan perkara itu kerap disuarakan oleh pemimpin untuk memajukan penduduk luar bandar," katanya.

Dia berharap pemimpin dan pegawai kerajaan mendengar segala rintihan penduduk di Hulu Tembeling yang amat dahagakan pembangunan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak ketika diminta mengulas masalah tersebut mengakui masih ramai penduduk di kawasan Hulu Tembeling berada pada paras kemiskinan tegar.

Menurut beliau, sehingga kini, seramai 112 keluarga berpendapatan di bawah RM250 sebulan yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) dan ketua keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai dikenal pasti di kawasan itu.

''Kita sedang berusaha mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan tegar menerusi pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dijalankan," jelasnya.

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

Kedudukan ayahanda, bonda Nabi SAW

ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita diberi peluang melalui hari-hari bulan Rabiulawal yang sarat dengan kenangan dan ingatan terhadap Nabi dan kekasih kita Saiduna Muhammad SAW.

Memperingati dan meraikan kelahiran baginda SAW adalah suatu tanda dan bukti kecintaan kita terhadap baginda yang menjadi salah satu pokok ajaran dalam agama kita. Malangnya, tetap ada di sana, suara-suara yang mempertikaikan keperluan dan keutamaan menyambut Mawlid Nabi SAW.

Insya-Allah, di kesempatan yang akan datang ruangan ini akan membincangkan secara khusus berkenaan isu ini yang sepatutnya sudah tidak perlu ditimbulkan lagi.

Ruangan ini terpanggil untuk menjelaskan suatu persoalan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kita terlibat dengan perbuatan yang menyakiti Nabi SAW lantas bercanggah dengan dakwaan cinta-kasih kita terhadap baginda SAW.

Persoalan yang dimaksudkan adalah dakwaan bahawa ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang musyrik serta ditempatkan ke neraka.

Kami terpanggil untuk menyentuh soal ini apabila mendapati dakwaan sebegini boleh menimbulkan kekeliruan.

Masyarakat Arab jahiliah

Zaman Jahiliah yang meliputi era kegelapan masyarakat Tanah Arab adalah suatu zaman yang dipenuhi dengan unsur syirik dan kepercayaan animisme yang tebal.

Manusia pada zaman tersebut melakukan amal ibadat berdasarkan kepercayaan nenek moyang mereka yang telah menyeleweng sekian lama.

Diriwayatkan bahawa pegangan asal masyarakat Arab pada peringkat awalnya ialah ajaran Nabi Ibrahim a.s. Lama-kelamaan ajaran ini ditinggalkan dan dipercayai bahawa bermulanya era penyembahan berhala ketika di bawa masuk ke Tanah Arab oleh Amru ibnu Luhay yang terkesan dengan cara penyembahan berhala masyarakat asing.

Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam al Bidayah wa al Nihayah: "Adapun hal keadaan masyarakat Arab itu, mereka tetap sentiasa berada di atas agama Nabi Ibrahim AS sehinggalah 'Amru ibnu 'Amir al Khuza'i memerintah Mekah selepas merampas kuasa menjaga kaabah daripada datuk Nabi SAW. Maka 'Amru ibnu 'Amir telah mengasaskan penyembahan berhala dan amalan-amalan kaum jahiliah yang sesat."

Kesesatan ini tersebar meluas sehinggalah ia dihapuskan oleh Allah melalui perutusan Rasulullah SAW.

Ahli fatrah

Setelah sekian lama amalan penyembahan berhala berterusan dan jarak perutusan seorang nabi dengan nabi yang lain terlalu jauh, maka masyarakat penyembah berhala ini mendapat keuzuran daripada sebarang petaklifan.

Mereka inilah yang digelar sebagai ahli fatrah iaitu manusia yang hidup di suatu zaman yang tiada di sana perutusan sebarang rasul.

Golongan ini walaupun melakukan penyembahan berhala, akan tetap terselamat daripada seksaan neraka menurut jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan firman Allah SWT: Dan Tidaklah kami mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan buat mereka seorang Rasul yang menyampaikan seruan Islam. (al Isra': 15)

Agama dan kepercayaan

Dalam keadaan masyarakat yang begitu tebal kepercayaan mereka terhadap amalan penyembahan berhala, terdapat juga agama dan kepercayaan lain yang diamalkan di zaman jahiliah di antaranya; agama kaum Yahudi dan Nasrani yang telah terseleweng daripada acuan asalnya.

Demikian juga tidak sunyi pada zaman tersebut daripada sekelompok manusia yang masih berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s yang masyhur dikenali sebagai agama hanif.

Ajaran ini tidaklah tersebar luar sehingga menjadi amalan yang tersebar di seluruh Tanah Arab, akan tetapi ia tetap dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan anak cucu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sentiasalah ada dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS, satu golongan manusia yang tetap di atas fitrah (beriman) menyembah Allah.

Ada banyak fakta sejarah yang diriwayatkan yang mendokong beberapa hadis nabi SAW bahawa ramai di kalangan datuk moyang baginda SAW yang berpegang dengan agama hanif tanpa mencampuradukkan ia dengan amalan penyembahan berhala.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Adalah Adnan, Ma'ad, Rabi'ah, Mudhar, Khuzaimah dan Asad berada di atas agama Ibrahim AS, janganlah sesekali kamu menyebut perihal mereka melainkan dengan ucapan yang baik.

Daripada perbahasan di atas secara ringkasnya kita mendapati bahawa kebanyakan mereka yang meninggal dunia sebelum perutusan Rasulullah SAW adalah terselamat daripada seksaan neraka, sama ada mereka dari kalangan penyembah berhala mahupun yang berpegang dengan ajaran Nabi Ibrahim.

Oleh yang demikian, tidak bolehlah kita melaung-laungkan suara bahawa nenda, ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah dari kalangan penghuni neraka. Kerana ia secara jelas bersalahan dengan i'tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menyentuh tentang perbahasan akidah ayahanda dan bonda Rasulullah SAW, pendapat yang tepat dan terpilih adalah mereka ini dari kalangan yang mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim a.sdaripada anak cucu Adnan. Ini juga kerana tidak terdapat nas yang thabit yang menunjukkan bahawa mereka adalah penyembah berhala.

Bahkan fakta-fakta sejarah yang dikutip daripada kitab-kitab sirah banyak merakamkan bukti yang jelas bahawa mereka adalah golongan yang beriman.

Dalam dalil yang umum pula, keimanan mereka dinyatakan melalui firman Allah SWT: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Ismail), orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. (al-Baqarah: 128)

Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir al-Tobari di dalam tafsirnya, daripada Mujahid mengenai pentafsiran ayat 35 surah Ibrahim yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala.

Ibnu Jarir berkata: "Allah telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim untuk anak-cucunya, maka tiada seorang pun dari kalangan zuriatnya yang menyembah berhala".

Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam tafsirnya, Sufyan ibn 'Uyainah r.a ditanya: Adakah terdapat salah seorang daripada zuriat Nabi Ismail a.s yang menyembah berhala?

Beliau menjawab: Tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT (bermaksud): Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)

Allah SWT berfirman (maksudnya): Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud. (al Syu'ara': 219)

Mengenai penafsiran ayat ini, Ibnu Abbas RA berkata: "Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Baginda SAW sebagai seorang nabi".

Ibnu Abbas r.a mentasirkan firman Allah SWT ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang nabi ke sulbi nabi seterusnya yang tergolong dari kalangan para sajidiin (mereka yang sujud dan beriman kepada Allah).

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah aku dilahirkan daripada perzinaan kaum Jahiliah walau sedikitpun dan tidaklah aku dilahirkan melainkan daripada hasil pernikahan seumpama Islam".

Diriwayatkan dalam Dalail al Nubuwwah daripada Ummu Sama'ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah SAW ketika gering dan Muhammad ketika itu berusia lima tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya seraya berkata: "Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak daripada ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih, dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum jahiliah".

Mengambil kira pelbagai hujah berkenaan isu ini, jelaslah bahawa ruang untuk mengelakkan tanggapan buruk terhadap nasib kesudahan ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah terbuka luas bagi kita.

Marilah kita mengambil sikap yang lebih selamat yang sebenarnya menjadi sikap ulama-ulama terbilang dulu dan kini termasuklah, Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al Suyuti r.a yang dilaporkan berkata: "Aku berfatwa sesungguhnya yang layak (dii'tikadkan), bahawa bonda Rasulullah SAW beriman dan mentauhidkan Allah serta kesudahannya adalah sepertimana mereka yang menganut agama hanif pada zaman jahiliah iaitu agama Nabi Ibrahim al-Khalil yang tidak melakukan amalan menyembah berhala".

Kita juga mendapati Mufti Mesir, Sheikh Dr. Ali Juma'ah dalam koleksi fatwanya (Al-Bayan Lima Yushghilu al-Azhan, ms.170) mengajak kita untuk memahami nas-nas yang bercanggah dengan kesimpulan ini dengan takwilan yang lebih selari dengan nas-nas yang lebih kukuh dan lebih sesuai dengan ketinggian darjat Nabi SAW.

Semoga kita sentiasa digolongkan di kalangan mereka yang memelihara kemuliaan dan menunaikan hak Baginda SAW dengan sebaik-baiknya.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Anak-anak sekarang semakin melampau!

Sana sini kita mendengar kisah anak-anak yang mengabaikan ibu bapa. Sama ada mereka menjaganya dengan separuh hati atau tidak langsung mengambil berat keadaan tetap sama. Bukan setakat mengabaikan tanggungjawab sikap biadab juga makin ketara.

Mana tidak, bercakap dengan ibu bapa menggunakan bahasa yang kasar dan tidak sedap di dengar. Namun kerana sayang dan takut kehilangan anak ibu bapa mengambil sikap berdiam diri.

Begitu mukadimah saya minggu ini, mengupas permasalahan yang dikirim oleh Kak Ani(bukan nama sebenar ) berusia awal 50-an.

Kak Ani ingin berkongsi kisah sedihnya yang menjadi mangsa anak yang hanya pentingkan wang ringgit dan isteri kesayangan tetapi mengabaikan dirinya.

Begini kisah Kak Ani.

"Saya mempunyai dua orang anak seorang lelaki berusia 28 tahun telah berkahwin dan seorang perempuan berumur 22 tahun.

"Kedua-duanya telah bekerja dan mempunyai jawatan tinggi di sebuah bank dan jabatan kerajaan. Alhamdulillah anak perempuan saya menjadi, sederhana orangnya dan amat menyayangi saya.

"Sedihnya abang pula yang buat hal..hidup mewah dan menjadi 'hamba' isteri.

"Anak lelaki saya sangat boros dan mengamalkan gaya hidup mewah dan terlalu mengikut kata isteri. Anak perempuan saya setiap bulan memberi saya sejumlah wang untuk disimpan sedangkan anak lelaki tidak pernah memberi wang belanja. Tapi saya faham dia ada keluarga.

"Separuh wang yang diberikan anak perempuan saya simpan untuk sakit demam atau masa susah. Ingat sebelum kena berjimat sebelum habis itulah amalan saya.

"Malangnya anak lelaki saya selalu meminjam wang daripada saya. Setiap bulan mesti dia akan datang meminjam. Mereka suami isteri bekerja. Anak baru seorang, masakan tidak cukup dengan gaji yang boleh dikatakan lumayan.

"Semasa susah saya menjadi tempat menyelesai masalah tapi apabila senang saya dilupakan. Datang menjenguk pun jarang walaupun jarak rumah tidak sampai 20 kilometer.

"Satu hari dia datang ke rumah untuk meminjam. Saya memberi pelbagai alasan tidak mahu bagi tetapi gagal apabila dia merayu-rayu di hadapan saya.

"Ya la hati seorang ibu, mana boleh tahan jika melihat anak bersedih kerana ada masalah kewangan. Mahu tidak mahu saya bagi juga. Anak perempuan saya marah-marah sebab saya selalu mengalah dengan pujuk rayu abangnya.

"Katanya saya tidak boleh berterusan begitu sebab lama-kelamaan abangnya tidak akan berubah, asyik datang meminjam sahaja. Saya faham niat dia baik tetapi dia tidak faham hati seorang ibu sebab dia belum berkahwin.

"Saya tidak ada pilihan lalu memberi anak lelaki saya pinjam wang tetapi dengan syarat dia mesti pulangkan dalam masa sebulan. Dia setuju. Sayangnya sudah enam bulan berlalu, belum nampak tanda dia akan membayarnya semula.

"Satu hari saya memanggilnya ke rumah. Apabila dia datang saya beritahu dia yang saya hendak guna duit yang dia pinjam untuk membayar cukai pintu dan cukai tanah.

"Dia marah-marah dan menengking saya. Katanya, kalau ibu tidak ada duit, ibu gadai sahaja barang-barang kemas yang banyak itu. Simpan pun bukan boleh di bawa mati.

"Bayangkan anak sulung yang saya tatang dan tolong setiap kali menghadapi masalah kewangan berkata demikian kepada saya. Sedih hati saya hanya Tuhan yang tahu, tetapi walaupun pahit kena telan juga.

"Dia mengungkit-ngungkit duit yang dia pernah bagi saya sebelum ini. Sedangkan saya sebagai ibu langsung tidak pernah mengungkit tentang penat dan letih menjaga dan membesar dia sehingga berjaya dan menjadi manusia.

"Itulah anak-anak sekarang. Saya amat sedih dengan perbuatannya itu. Sudahlah dia tidak mengambil berat dan menjaga saya dan asyik dengan isterinya yang cantik itu saja, kita pula disalahkan kerana tidak menolongnya.

"Nak tolong macam mana lagi? Semuanya saya sudah lakukan untuk dia. Sehinggakan anak perempuan saya merajuk dan menangis melihat abangnya berkelakuan begitu kepada saya.

"Apa hendak saya lakukan lagi? Saya tahu hidupnya jadi begitu kerana terlalu mengikut kehendak isterinya yang mata duitan dan mahu hidup mewah.

"Saya amat sedih dengan tingkah lakunya terhadap saya. Tapi saya tetap berdoa semoga satu hari nanti dia akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Biarlah apa pun yang dia hendak buat saya reda. Saya tahu ramai ibu bapa di luar sana yang menghadapi masalah seperti saya tetapi terpaksa kunci mulut kerana sayangkan anak.

"Duit ringgit boleh dicari tetapi anak..... Sesiapa pun yang mengalami keadaan seperti saya akan berkata demikian. Lainlah jika seorang ibu itu sudah tidak ada kasih dan sayang lagi kepada zuriat yang dikandugnya selama sembilan bulan sembilan hari itu.

"Buruk baik dia tetap anak, saya tidak akan berhenti berdoa dengan harapan satu hari nanti dia akan kembali menjadi anak yang baik dan soleh. Insya-Allah," Kak Ani menutup ceritanya.

Cerita Kak Ani menjadikan saya terkedu seketika. Mungkin ini hari kak Ani, hari kita belum tentu macam mana. Apa pun saya harap Kak Ani dapat terus bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Tidak ada seorang ibu juga yang mahu melihat anaknya menjadi anak yang tidak menghargai ibu bapa.

Namun kita perlu menerima hakikat, dalam setandan pisang tidak semua elok dan boleh dimakan, ada juga yang tidak elok. Itu semua kerja Allah.

Saya percaya doa seorang ibu sangat mujarab. Terus berdoa dan jangan putus asa. Buat anak-anak yang dilahirkan untuk melihat nikmat didunia ini, insaflah, hargailah ibu bapa dan laksanakan tanggungjawab anda kepada mereka selagi anda bernafas.

Dalam keghairahan mengejar kerjaya dan kemewahan jangan bahawa sesungguhnya terdapat seorang insan yang tidak dapat menandingi apa juga di alam maya ini, iaitu ibu bapa anda. Sesungguhnya syurga itu di bawah telapak kaki ibu!

Peningkatan kes jenayah warga asing ancaman baru rakyat tempatan

Kerajaan tak boleh terlalu ghairah galak kemasukan pelancong sedangkan mekanisme penguatkuasaan lemah untuk pantau aktiviti melencong

PELANCONGAN atau keselamatan dalam negara, mana lebih utama? Jika diamati kepada rekod keluar masuk warga asing ke negara ini pada tahun lalu iaitu sebanyak 28 juta orang, ia pastinya menggambarkan satu kejayaan membanggakan kepada sektor pelancongan.

Namun, jika diamati dalam satu aspek lain pula, ia seharusnya mendatangkan kebimbangan kerana pada masa sama, indeks jenayah di kalangan warga asing juga tidak sedikit dan boleh dikatakan menjadi ancaman kepada rakyat tempatan sendiri.


Meskipun peratusan kes jenayah warga asing berbanding indeks jenayah dalam negara keseluruhannya tidak sebesar mana, apakah ia tidak cukup mendatangkan kegusaran apabila pada tahun lalu saja, sebanyak 105 kes bunuh membabitkan mereka.

Malah, peratusan kes samun berkumpulan menggunakan senjata api oleh warga asing juga agak tinggi sehingga lebih 30 peratus daripada keseluruhan angka kes berkenaan.

Kenapa mereka begitu berani melakukan jenayah di negara kita? Adakah kerana kelemahan penguatkuasaan atau ada faktor sokongan lain yang mendorong mereka memilih untuk membuat onar di Malaysia.

Contohnya, berdasarkan statistik terkini dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ada lima warga negara luar yang begitu banyak melakukan jenayah di sini iaitu Indonesia, Bangladesh, Filipina, Myanmar dan Vietnam yang diakui menjadi warga asing paling ramai berada di negara ini.

Kes jenayah di kalangan warga Indonesia umpamanya paling membimbangkan iaitu 45 kes bunuh, 48 kes rogol, 23 kes cabul kehormatan, samun berkawan bersenjata api (21 kes), samun berkawan tanpa senjata api (236 kes) dan rusuhan (27 kes).

Itu baru kes jenayah kekerasan sedangkan mereka juga jaguh dalam jenayah harta benda iaitu sebanyak 429 kes curi dan 174 kes pecah rumah, namun jaguh sebenar dalam kes jenayah harta benda dimonopoli warga Filipina dengan 617 kes curi dan 267 kes pecah rumah.

Warga Bangladesh pula lebih cenderung melakukan jenayah seksual dengan 10 kes rogol dan 27 kes cabul kehormatan, manakala warga Myanmar dan Vietnam lebih banyak terbabit dengan kes rusuhan iaitu 32 dan 34 kes masing-masing.

Semua angka itu mungkin tidak sebesar mana tetapi apabila sudah semakin ramai warga asing terutama dari lima negara itu semakin agresif mengancam keselamatan rakyat tempatan, langkah drastik perlu diambil dengan melihat semula kaedah kemasukan pelancong ke negara ini.

Walaupun diakui kes jenayah di kalangan warga Indonesia dan Filipina sangat tinggi, kemasukan rakyat negara itu ke negara ini terus meningkat dengan masih banyak sektor dimonopoli oleh warga dua negara itu.

Justeru, memang tepat sekali nada kerisauan yang dilontarkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam yang melihat perlunya pengawalan lebih tegas dalam kemasukan warga luar ke negara ini.

Beliau turut menekankan betapa konflik antara pelancongan dan keselamatan dalam negara sering menjadi satu isu yang sukar ditangani, namun sudah sampai masanya kerajaan melihat bagaimana mekanisme yang sesuai dilaksanakan supaya tidak terus berlaku lambakan warga asing di Malaysia.

Malah, beliau sendiri kelihatan teruja ketika menyebut angka 28 juta rekod keluar masuk warga asing ke negara ini pada 2009 yang disifatkan sebagai terlalu banyak dan menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kes jenayah dalam negara.

Tidak cukup dengan ancaman jenayah kekerasan dan harta benda, kemasukan terlalu ramai warga asing ini juga sebenarnya turut memberi kesan negatif kepada pelbagai aspek lain termasuk pendedahan kepada produk bahaya dari luar seperti ubatan dan alat perangsang seks yang kini dilihat begitu banyak dijual di kaki lima sekitar Kuala Lumpur.

Azrul Affandi Sobry

Review selection process of high performing schools

I appreciate the response from the Education Ministry regarding the selection criteria for High Performing Schools (HPS), “A fairly good way to select choice schools” (The Star, Feb 21).

However, the letter does not adequately address the concerns and grouses raised about being fair and equal. Selection based on “towering personalities, awards received, networking programmes and benchmarking”, among others, is vaguely outlined and clearly rules out schools that are without the proper amenities and funding.

As it is, there already is such a wide disparity among schools.

It would seem fairer if performance is evaluated as a pro­cess and not seen and measured as an end-product. This means it should be tracked over a speci­fied period of time and only then will we truly see how well the school has performed or improved.

Measuring performance based on status quo will definitely and immediately put a lot of schools at a disadvantage. The ministry reported that of the 14 secondary schools selected, 10 are residential schools, which is hardly surprising.

Given the fact that secondary schools clearly outnumber residential schools, it goes to show how lopsided the picture is. Nobody is begrudging these schools their awards but that does not mean all is well with the selection process.

Personally, I feel residential schools are in a league of their own and should not be grouped with other schools for this purpose. And saying that there will be 80 more HPS in 2012 does not really placate because that is not the issue at hand.

I hope the ministry will invest more thought into this exercise and give due consideration to the concerns raised, while scrutinising the validity of suggestions given.

Do not let a lack of foresight derail good intentions and initiatives. Examine objectively whether the end justifies the means.

The ministry may mean well but its purpose is defeated if the exercise leaves teachers and schools demoralised or disgruntled by the selection process. After all, everyone wants what is best for our schools.

SANDRA RAJOO,

Ipoh.

Sunday, February 21, 2010

Awasi cuaca panas


CUACA panas dan kering yang melanda negara sejak awal tahun ini dilaporkan bakal menjadi lebih terik apabila kedudukan fenomena matahari berada tegak di garisan Khatulistiwa dengan tempoh siang dan malam di hemisfera selatan serta utara hampir sama berlaku pada 21 Mac ini.

Keadaan panas itu menyebabkan keadaan terik baik di utara tanah air manakala di beberapa kawasan di Johor menyaksikan catuan air akibat paras air sungai yang merosot.

Apapun, anda perlu berhati-hati dengan keadaan cuaca panas melampau ini yang boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan andai tidak membuat persiapan menghadapinya.


Bagi sesetengah orang terutama yang berada dalam kumpulan berisiko seperti warga tua, bayi dan kanak-kanak selain mereka yang berhadapan dengan masalah jantung dan tekanan darah tinggi, cuaca panas melampau boleh membawa kepada komplikasi kesihatan lain.

Antara risiko cuaca panas melampau adalah masalah dehidrasi iaitu kehilangan air daripada tubuh juga mineral lain dalam darah seperti potassium dan sodium yang berperanan dalam fungsi organ iaitu ginjal, otak dan jantung.

Malah ramai yang tidak tahu, masalah kehilangan air atau dehidrasi juga boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan selain menjejaskan pernafasan dan denyut nadi.

Dalam keadaan normal, peluh yang terhasil apabila kita panas membantu menyejukkan tubuh apabila ia tersejat di permukaan kulit. Bagaimanapun, jika hari terlalu panas, terlalu berpeluh akan menyebabkan sistem ini gagal. Suhu tubuh berpotensi meningkat ke tahap yang bahaya.

Ia boleh menjadi punca berlakunya keletihan atau kepanasan melampau. Malah boleh menyebabkan sakit kepala, pening dan kejang otot.

Bagaimana untuk mengelakkan masalah ini?

1) Minum banyak air

Disebabkan anda kehilangan air dalam tubuh, anda juga perlu menggantikannya semula. Dalam keadaan biasa, seseorang yang memiliki berat badan 58 kilogram sepatutnya meminum lapan gelas air sehari. Iaitu berdasarkan peraturan biasa, untuk setiap 0.9 kilogram berat badan, anda memerlukan 28.4ml air.

Bagaimanapun, dalam cuaca yang panas, pengambilan air patut ditingkatkan. Sebaiknya nikmati air suam atau mungkin jus buah-buahan tetapi bukan minuman berkarbonat. Minuman berkarbonat atau alkohol hanya akan membuatkan anda kehilangan lebih banyak cecair dalam badan. Minuman ais juga sepatutnya dielakkan kerana ia boleh menyebabkan kekejangan pada perut.

2) Ubahsuai diet anda

Elakkan makanan pedas atau berat. Makanlah makanan sejuk terutama salad atau buah-buahan yang mengandungi kandungan air yang tinggi.

3) Rasional dalam melakukan senaman

Jangan bersenam atau beriadah pada waktu petang yang panas. Anda mungkin boleh memilih waktu lain yang lebih sesuai.

4) Pilih pakaian yang sesuai

Pastikan anda memakai baju dengan warna-warna terang, longgar dan diperbuat daripada kain kapas. Baju berwarna gelap menyerap haba.

5) Elakkan perangkap haba

Parkir kereta anda di kawasan yang tertutup. Kalau boleh berada dalam kawasan berhawa dingin. Jika perlu keluar dari pejabat atau rumah, pastikan anda sentiasa membawa air.

Fakta
Kesan haba panas pada tubuh


  • 20 darjah Celcius - selesa, denyut nadi normal.

  • 25 darjah Celsius - peluh biasa.

  • 30 darjah Celsius - Ketidakselesaan.

  • 40 darjah Celsius - Kepanasan melampau, berpeluh, denyut nadi pantas, letih.

  • 45 darjah Celsius - Kepanasan melampau, peluh terhenti, panas dan kulit kering.

  • Oleh Hafizah Iszahanid

    Berkorban demi mertua

    SERONOK sangat saya baca kisah minggu lalu meminta setiap isteri belajar cara memikat ibu mertua, cadangan Norsyuhaila memang baik dan amat menyenangkan kalau mertua kita mahu terima kita akhirnya. Tetapi jangan jadi macam mertua saya bertahun-tahun kita sanjung dan berbuat baik dengannya, tetapi dia tak peduli, sebaliknya dia mahu kami suami isteri bercerai.

    ''Apa saya tak buat, bantu suami pinjamkan duit semata-mata membesarkan rumah dapurnya yang sedia besar, buatkan kabinet dapur, bantu sekolah adik-adik ipar sampai masuk ke IPTA, pendek kata selama lapan tahun saya berkahwin, duit simpanan saya memang habis, berhutang dengan emak saya lagi ada, tapi dia tetap puji anaknya yang bagi duit, tak fikir langsung pengorbanan saya.

    ''Semua bantuan saya dia kata duit anaknya, sedangkan gaji saya lebih tinggi sebab saya lulusan universiti sedangkan anaknya kolej pun tak lulus, jadi fikir sendirilah mana anaknya nak cari duit bantu emaknya setiap bulan, kalau saya tak bantu.'' Demikian cerita Zamzarina dalam e-melnya kepada penulis Isnin lalu.

    ''Saya bukan nak salahkan Norsyuhaila tapi nak ceritakan bukan semua mertua senang ditawan hatinya, kalau dia sendiri tidak sanggup menerima menantunya sebab dia ada pilihan lain. Nak kata saya tak berduit saya bekerja, ada kelulusan, rupa paras pun bukanlah buruk sangat, saya tak pernah membantah apa lagi melawan cakapnya, saya pakai ilmu tutup mulut, apa dia marah saya diam, itupun dia tak suka.

    ''Akhirnya setelah lapan tahun berumahtangga dan hidup pun tak aman, kerana suami pun dah seronok sangat nak kahwin lagi satu kerana takut membantah cakap ibu, kami pun bercerai, sebab pertama saya tak sanggup bermadu.

    ''Biarlah orang kata saya berdosa, tetapi setelah saya fikirkan masak-masak saya ambil jalan lebih baik bercerai, daripada buat dosa kerana saya tahu suami saya Fikri memang tak mampu nak tanggung kami empat beranak.

    ''Setiap bulan dia kata tak cukup duit sebab kena hantar pada emak dan bayar pinjaman bank. Sayalah yang kena bayar sewa rumah, duit penjaga anak-anak, belanja anak-anak ke sekolah dan taska, makan minum, dan macam-macam lagi sebab itulah saya hanya mampu beli kereta Kancil sahaja. Dalam pada tu nak kahwin lagi bakal isterinya cuma kerja kerani di syarikat kecil di kampungnya. Jadi daripada pikul beban lebih besar biarlah saya berkorban.

    ''Pada mulanya memang saya bantah, tapi orang lelaki ini semakin kita bantah semakin kuat semangatnya nak kahwin lagi, selepas berfikir panjang akhirnya saya buat keputusan pujuk suami ceraikan saya dengan baik. Alasan saya kerana faham emaknya memang tak sukakan saya. Mulanya memang dia naik angin, tetapi setelah saya pujuk tidak akan buat tuntutan nafkah anak-anak kalau dia tak mampu, maka dengan mudah dia mengikut dan setuju menceraikan saya.

    ''Kerana kami bercerai cara baik, sebulan sekali dia datanglah jengok anak-anak kami yang tiga orang ini, bawa mereka jalan-jalan makan-makan di restoran makanan segera. Tetapi selepas setahun, mula jarang nampak muka. Alasannya sibuk, tetapi sebenarnya dia sibuk bila dapat anak baru. Tanggungjawab bertambah isteri pulak tak bekerja.

    ''Saya faham masalahnya yang selalu tak berduit tu, walaupun emaknya memang tak minta duit lagi, sebab anak-anak yang lain dah bekerja. Namun setahun sekali pun dia tak pernah beri duit untuk perbelanjaan sekolah, dan pakaian baru untuk anak-anaknya berhari raya, paling tidak dia bagi duit RM50 seorang.

    ''Katanya dia tak perlu bagi sebab saya dah buat perjanjian tak akan tuntut nafkah anak-anak ketika bercerai dulu. Saya pun tak minta. Tetapi saya cuma nak tanya di manakah tanggungjawab seorang lelaki yang bergelar ayah? Dia sanggup tengok anak-anaknya hidup susah daripada memberi bantuan.

    ''Walaupun pada awalnya hati saya begitu kecewa, sedih dan amat hiba dengan apa yang terjadi, namun setelah memikirkan lebih banyak masalah akan menimpa hidup saya apabila jadi menantu yang tidak disukai, akhirnya saya reda dengan keputusan saya.

    Keputusan''Saya juga yakin keputusan saya tepat apabila saya menoleh ke belakang setelah enam tahun berpisah, hidup saya menjadi lebih senang, anak-anak tidak susah diasuh dan dibesarkan, pelajaran mereka meningkat, malah mereka lebih memahami masalah dan kepayahan saya mendidik mereka seorang diri. Mereka tak banyak kerenah.

    ''Kini pendapatan saya bukan sahaja meningkat lebih baik, malah kedudukan saya lebih stabil sebab fikiran saya tidak berserabut kerana sentiasa tidak berduit setiap bulan selain menjadi bahan cacian, kebencian ibu mertua yang sentiasa tidak puas hati dengan saya kerana mengambil anaknya menjadi suami.

    ''Kalau dulu saya cuma mampu beli kereta Kancil, kini saya pakai kereta 1.6, baru. Sedangkan bekas suami saya mampu beli kereta 1.3 terpakai. Jadi kalau bekas mertua saya ada otak tentu dia boleh buat perbandingan apakah saya selama ini menyusahkan anak lelakinya, atau sayalah yang paling banyak membantu dan berkorban untuk membantu keluarganya.

    ''Sebenarnya sejak dulu lagi saya bukan banyak duit sangat, tetapi emak ayah saya tak pernah minta saya duit, kecuali saya yang memberi. Malah emak ayah saya sentiasa membantu kalau dia lihat saya dalam kesempitan semasa saya berkahwin dulu.

    ''Bukan niat saya, semua mertua suka minta duit anaknya, lagi pun itu hak mereka kalau nak minta duit anaknya, sebagai isteri saya tak boleh sekat. Tetapi jangan sampai menyusahkan hidup anak-anak. Berpada-padalah. Anak cucu kita pun nak hidup juga.

    ''Namun saya bersyukur kerana dikurniakan oleh Allah otak yang baik dan saya dapat melanjutkan pelajaran hingga ke tahap yang baik. Kemudian saya mendapat pekerjaan yang baik. Jika tidak hidup saya tentu berbeza, sudah tentu saya jadi suri rumahtangga sepenuh masa yang mungkin hidupnya penuh dengan penderitaan zahir dan batin apabila suami kahwin dua dan mendapat mertua yang membencinya.

    ''Di sinilah bezanya kehidupan kalau kita bekerja. Saya dapat mencorakkan kehidupan cara mana yang saya sukai mengikut kehendakNya. Di samping itu apa yang lebih penting saya dapat mendidik dan membimbing anak-anak saya mendapat kehidupan dan pelajaran yang lebih baik. Apa akan jadi kepada kehidupan mereka ditakdirkan saya tidak bekerja sedangkan ayahnya kahwin dua, tentu lebih susah lagi.

    ''Memikirkan masalah inilah saya lebih rela berkorban jadi ibu tunggal, asalkan hati mertua saya lebih tenang kerana anaknya berkahwin dengan menantu pilihannya dan tidak menderhaka kerana tidak mengikut pilihan ibunya. Kini tentu bekas mertua saya boleh membuat penilaian sendiri setelah melihat kehidupan anaknya berbanding saya.'' Demikian cerita Zamzurina kerana menjadi menantu bukan pilihan mertua.

    Bahagialah mereka yang bertuah mendapat mertua yang berhati mulia dan bertimbang rasa, namun tidak dinafikan ada juga menantu cuba pijak kepala mertua apabila mertua yang terlalu baik. Ada yang sanggup jadikan mertua macam kuli.

    A few slick moves and everyone is a winner

    MY suggestions on the proposed fuel subsidy is a win-win situation for the rakyat:

    • Withdraw all fuel subsidies for vehicles;
    • Allow the price of petrol to float and to be determined by global pricing;
    • Withdraw all APs for vehicles;
    • All future APs for reconditioned and new cars be placed under an auction system similar to Singapore’s so that the Government benefits from the auction revenue; and
    • Reduce import and excise duties for vehicles by 50% of the current rate and another 30% in the next three to five years.
    This scheme can please the rakyat despite the complete withdrawal of the fuel subsidy. The end result – cheaper cars.

    DATUK DR DAVY WOO,
    Subang Jaya.

    Friday, February 19, 2010

    Tuntut ganti rugi jika mungkir janji kahwin


    "SAMPAI hati awak tiba-tiba berubah hati! Pelamin dah sedia, kad jemputan sudah diedar, tiba-tiba tak nak kahwin dengan saya." Mungkin inilah kata-kata berbaur kecewa yang terluah daripada pihak yang menjadi mangsa mungkir janji untuk berkahwin.

    Bukan sahaja mangsa akan berasa sedih dan kecewa, tetapi juga berasa malu dan menanggung kerugian dari sudut wang ringgit dan material. Sesetengahnya akan mengalami trauma untuk jangka masa tertentu dan ia pastinya akan turut dialami oleh ahli keluarga lain terutama ibu bapa dan adik-beradik.

    Jangan menganggap kekecewaan dan kerugian ini sebagai suatu kemalangan yang perlu ditanggung deritanya oleh pihak mangsa tanpa sebarang pembelaan undang-undang. Berdasarkan kepada mafhum ayat al-Quran dalam surah al-Maidah, ayat satu yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala janji-janji kamu...", Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan satu seksyen dalam perkara pertunangan berkenaan dengan remedi terhadap pemungkiran janji untuk berkahwin.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa: "Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa apa-apa sebab yang sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan mahkamah".

    Perkahwinan bukan perkara main-main yang boleh dipandang ringan. Ia melibatkan nasib, malah setiap inci perkara dalam kehidupan seseorang dalam meneruskan rutin hariannya. Disebabkan ia suatu perkara yang amat penting, maka agama Islam menyediakan satu medium yang tujuannya adalah untuk memberi tempoh kepada kedua-dua pihak berkenalan dan melihat sejauh mana wujudnya potensi keserasian kepada pihak-pihak yang terlibat untuk membina rumah tangga dan keluarga. Baginda Rasulullah SAW menyarankan supaya pertunangan yang dijalinkan itu dirahsiakan. Tujuannya agar maruah dan nama baik kedua-dua belah pihak dapat dijaga dan dipelihara sekiranya didapati tidak wujud persefahaman atau keserasian antara mereka yang terlibat. Ataupun, perkahwinan tidak dapat dilangsungkan atas sebab-sebab yang munasabah menurut syarak.

    Sebagai agama yang menekankan soal adab dan akhlak, maka seharusnya tempoh pertunangan dilalui dalam jangka masa yang munasabah, kerana ia dapat memberi masa yang selesa kepada kedua-dua belah pihak untuk membuat penilaian dan keputusan. Sekalipun pembatalan pertunangan perlu dilakukan oleh sebelah pihak, namun seelok-eloknya biarlah ia dilakukan secara berhemah dan beradab serta dilakukan awal sebelum pihak satu lagi membuat sebarang persediaan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

    Namun, sekiranya pembatalan pertunangan atau mungkir janji untuk berkahwin dibuat tanpa alasan munasabah, apatah lagi sebelah pihak telah pun membuat persediaan untuk mengadakan majlis pernikahan, maka berdasarkan peruntukan undang-undang yang dinyatakan sebelum ini, pihak yang dimungkiri janji boleh membuat tuntutan ganti rugi melalui Mahkamah Syariah.

    Ganti rugi yang akan ditaksirkan oleh pihak mahkamah adalah berdasarkan kepada segala perbelanjaan dan persediaan yang telah dilakukan oleh pihak berkenaan berhubung dengan majlis perkahwinan tersebut. Pihak yang mungkir janji juga bertanggungjawab untuk memulangkan semula segala hadiah pertunangan yang diterima, sekiranya ada. Dan jika barang tersebut sudah tiada atau lupus umpamanya makanan atau barang kosmetik yang telah digunakan, maka ia perlu ditaksirkan dan dibayar menggunakan wang sebagai ganti rugi.

    Dalam kes Aishah lawan Jamaluddin (1978), pihak lelaki telah mungkir janji untuk berkahwin dengan pihak perempuan. Aishah menuntut pembayaran mas kahwin berjumlah RM25, belanja kahwin RM800 dan mendakwa dia berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan. Kadi Besar Kedah ketika menjadi hakim bagi kes berkenaan telah membuat keputusan dengan memerintahkan pihak Jamaluddin untuk membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan dan Aishah juga berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan yang dihadiahkan kepadanya. Selain itu, hakim juga memerintahkan supaya Jamaluddin membayar kos baju pengantin kepada Aishah yang telah disiapkan untuk perkahwinan dan juga RM400 sebagai pembayaran untuk membaiki rumah yang dilakukan khusus bagi persediaan majlis perkahwinan.

    Dalam kes Salbiah Othman lawan Haji Ahmad Abdul Ghani (2002), pihak perempuan sebagai pihak yang telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan ganti rugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan. Dalam tuntutan Salbiah terhadap ganti rugi keaiban, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak permohonan beliau kerana percaya bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tuntutan atau permohonan ini dan Mahkamah Tinggi Sivil adalah forum yang lebih layak untuk membicarakannya. Ini disebabkan hal tersebut berkaitan dengan ganti rugi am kerana keaiban, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan sebagainya.

    Bagaimanapun, pihak mahkamah telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan yang merangkumi barangan runcit dan basah.

    Rumusan kepada perbincangan ini adalah satu pengajaran kepada kita supaya tidak melakukan satu-satu perkara mengikut kepentingan sendiri semata-mata tanpa memikirkan perasaan dan kesejahteraan orang lain apabila ia melibatkan sebarang janji. Bagi mereka yang dimungkiri janji, ubatilah hati dan kekecewaan dengan inti pati hadis Rasulullah SAW yang memberi maksud bahawa: "Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mereka telah bersetuju." Maksud ini membawa nilai bahawa kesedihan mereka dibayar dengan perlindungan undang-undang sebagaimana yang telah disyariatkan.

    Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI

    Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...