terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, June 30, 2010

Cikgu Seksi



SETIAP warga pendidik yakni guru di sekolah tidak seharusnya memakai pakaian yang menjolok mata para pelajar.

Seperti orang kata 'cikgu seksi, pelajar seksa'. Setiap guru perlu mematuhi etika berpakaian semasa waktu persekolahan berlangsung.

Masalah ini diutarakan kerana ramai guru terutamanya yang bukan beragama Islam memakai pakaian yang terlalu menjolok mata. Guru-guru ini memakai skirt singkat atas paras lutut, baju yang mendedahkan dada. Cara berpakaian seperti ini seharusnya diharamkan di kawasan sekolah.

Etika berpakaian yang dilaksanakan oleh kerajaan perlu dipatuhi oleh semua guru di Malaysia.

Jika etika ini dipatuhi oleh semua guru, sudah pasti dapat mengurangkan kes rogol antara pelajar dan guru.

Guru-guru ini sepertinya ingin menunjukkan tubuh badan dan akibatnya mereka berkemungkinan besar dirogol oleh pelajar yang bermasalah sosial.

Kementerian Pelajaran perlu mengambil tindakan yang sewajarnya kepada guru-guru yang tidak mematuhi etika ini.

Pengetua dan guru besar perlu memastikan guru-guru mereka sentiasa berpakaian yang sopan semasa di sekolah.

Jangan senyum dan tidak mengendahkannya apabila melihat perkara ini berlaku di sekolah mereka.

AZMEEN

Muar

Tuesday, June 29, 2010

Kisah Enam kali isteri lari tinggalkan suami


KALAU cerita suami tinggalkan anak-anak kita dah biasa dengar, tapi kali ini isteri pulak lari tinggalkan anak-anak, bukan seorang tapi dua, bukan sekali tapi enam kali dia lari. Pelik tapi benar. Begitu cerita Khairi dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon yang terputus beberapa kali terhenti kerana tangisan anaknya.

‘‘Saya kenal dengan Shira 9 tahun lalu ketika sama-sama mengambil kursus jangka pendek dalam bidang ICT di sebuah institut latihan di bandar utara tanah air. Perkenalan itu membawa bibit-bibit percintaan. Namun saya terpaksa menjarakkan diri setelah tahu dia sudah bertunang dengan penjawat awam pasukan beruniform.

‘‘Habis kursus saya balik ke rumah tiba-tiba Shira datang cari saya seminggu kemudian. Keluarganya dapat tahu terus telefon suruh saya hantar Shira balik. Memikirkan dia anak dara orang, saya patuh dan hantar Shira balik nun dia utara. Apa lagi saya dimaki hamun dan dituduh larikan anak dara orang, walaupun anaknya yang lari ikut saya. Mereka tuduh saya mahu batalkan pernikahannya yang tak sampai dua bulan lagi.

‘‘Walaupun saya cuba menjelaskan keadaan, tetapi saya dituduh guna ilmu pikat Shira. Malangnya bila saya balik Shira tetap lari lagi tinggalkan keluarganya. Kena maki lagi. Tapi kali ini saya nekad menikahi Shira. Kami nikah di Songkhla.

‘‘Saya fikir masalah tamat setelah kami nikah, sebaliknya menjadi lebih teruk. Keluarga Shira tetap mahu kami bercerai. Untuk menyelamatkan keadaan saya daftarkan perkahwinan di Perlis, fikirkan senang, rupanya susah.

‘‘Lepas sebulan saya datang bertanya tentang pendaftaran nikah kami, malangnya semua pegawai dan petugas beritahu mereka tak terima permohonan saya, walaupun saya tunjukkan reset penerimaan dari mereka. Tapi semua geleng kepala kata tak tahu. Kata mereka tak ada rekod penerimaan. Pelik sungguh.

‘‘Lagi sakit hati bila mereka sindir saya katanya inilah padahnya larikan tunang orang. Kerana marah saya buat aduan di pejabat Pengaduan Awam. Peliknya di situ pun saya kena sindir. Banyak betul kontek keluarga Shira kat negeri ni.

‘‘Selepas siasat terbongkar rahsia, semua masalah ini rancangan keluarga Shira dan saudara terdekatnya yang bekerja di pejabat agama. Mereka mahu kami bercerai.

‘‘Saya ambil keputusan tinggalkan kampung pindah ke ibu kota, mungkin di sini rezeki kami. Tak sampai tiga bulan saya terima surat dari pejabat agama minta kami hadir ke mahkamah untuk tujuan perbicaran pengesahan perkahwinan kami. Lega!

‘‘Tapi sangkaan kami meleset, sebaliknya ustad ini suruh kami masuk ke pejabatnya bukan mahkamah syariah. Dalam bilik tersebut tersedia menuggu keluarga Shira. Ustad itu paksa saya lafazkan cerai sebanyak 3 kali. Katanya penting untuk pengesahan perkahwinan kami nanti. Tapi saya bukan bodoh. Saya keluar tinggalkan ustad dan keluarga Shira ternganga.

‘‘Hidup kami tambah bahagia bila dikurniakan anak sulung yang sihat. Tetapi masalah baru timbul, tiba-tiba aja Shira mendakwa dia berdosa tak ikut cakap keluarga kerana berkahwinan dengan saya. Belum pun anak berusia setahun dia lari tinggalkan anak dan saya balik ke kampungnya. Nasib ada ibu yang mahu membantu saya jaga anak.

Dihalau

‘‘Saya pergi kampung Shira pujuk dia balik, sebaliknya saya dihalau dan diherdik macam haiwan oleh keluarga Shira. Tak sampai seminggu Shira pulang ke pangkuan kami.

‘‘Namun episod sedih Shira lari tinggalkan saya terjadi lagi ketika anak kami berusia 2 tahun. Sekali lagi saya pujuk, berulang lagi maki hamun saya terima. Kali kedua Shira lari 3 minggu tinggalkan kami.

Sangkaan saya Shira akan berubah setelah usia meningkat, tetapi tetap buat kelakuan yang sama. Dia kembali kepada saya tiga minggu kemudian.

‘‘Kali keempat dia lari tinggalkan kami meninggalkan kesan cukup perit. Saya terkejut bila pulang rumah saya lihat perabut rumah Shira sudah jual kepada jiran tetangga. Lagi pelik kali ini dia tak lari balik kampung, tapi lari ke rumah keluarga angkatnya.

‘‘Ketika itu anak sulung kami berusia 5 tahun yang kedua tak sampai pun setahun. Dan dia baru hamil. Tetapi kemudiannya dia gugurkan kandungannya. Kerana menurut keluarganya kalau hamil menyulitkan proses perceraian. Kerana ketika itu anak kedua masih kecil, saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga mereka.

‘‘Enam bulan kemudian Shira balik ke rumah. Saya benar-benar keciwa, tetapi kerana anak saya terima apa juga yang terjadi. Lagi pun Shira berterus terang kepada saya dia lari kerana tidak bernafsu kepada saya, walaupun ketika itu saya baru berusia 30 tahun. Dia cuma muda dua tahun sahaja daripada saya.

‘‘Shira mengajak saya pergi berubat. Demi keluarga saya ikutkan kehendaknya. Tukang ubat pulak kata keluarga Shira tetap mahu kami bercerai. Macam-macam. Tak lama kemudian dia lari lagi untuk kali kelima.

‘‘Saya cukup menderita bila tak ada pekerjaan. Hidup umpama kais pagi makan pagi, untung ada ibu dan saudara mara mahu membantu. Saya cuba pujuk Shira kembali tapi kali ini dia sudah banyak berubah. Laman Sembang Sosial menjadi kegemaran dan hobinya nombor satu. Kata orang dalam laman itu dia mengaku masih gadis, dengan meletakkan gambarnya untuk tatapan ramai. Nampaknya lebih suka hidup bebas.

‘‘Keluarga Shira gembira dengan perubahannya. Malah mereka menyediakan apa sahaja keperluannya, sama ada pakaiannya, makan minum dan wang ringgit semua sedia. Asalkan tidak bersama saya. Apakah hina sangat saya pada pandangan mereka?

‘‘Saya cuba pujuk Shira kembali. Tapi kakaknya suruh saya ceraikan Shira. Sejarah 9 tahun lalu diungkit kembali, menyalahkan saya 100 peratus membawa adiknya lari. Kini yang jelas Shira semakin ligat dan bebas ke mana sahaja. Makan angin ke KL jadi perkara biasa. Keluarga Shira menasihatkannya, jangan risau pasal anak-anak, bila besar nanti taulah mereka cari emaknya.

‘‘Saya sudah letih memujuk, namun bersyukur kini saya dapat pekerjaan yang baik, walaupun terpaksa mengejar waktu menjaga anak-anak. Kakak bantu saya menghantar anak-anak ke sekolah dan ke tadika. Yang sulung sudah bersekolah.

‘‘Baru-baru ini saya pujuk Shira sekali lagi, melalui telefon tetapi dia minta diceraikan. Saya minta dia supaya fikir masak-masak. Katanya dia sudah lama sedia diceraikan. Saya betul-betul hiba mendengar permintaannya ketika itu di sebelah saya anak sulung kami, sementara yang kecil duduk di riba saya. Hanya air mata menjadi teman saya.

‘‘Kini hancur sudah mahligai yang kami bina selama 9 tahun di atas dasar cinta dan terlalu banyak pengorbanan telah saya lakukan.

‘‘Saya dengar banyak cerita pasal Shira di kampungnya, maklum pekan kecil, semua orang kenal antara satu sama lain. Kerana itulah saya cuba memulihkan nama baiknya, saya mahu dia jadi isteri yang baik.

‘‘Tetapi keluarganya sentiasa menghalang, apakah saya ini begitu hina pada pandangan mereka? Hinggakan anak-anak saya juga tidak di terima? Apakah mereka terlalu agong?’’ demikian cerita Khairi panjang lebar tenang kehidupannya yang sentiasa dibenci oleh keluarga isterinya.

Hairan juga kerana biasanya setiap ibu sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anaknya setelah berumah tangga dan membantunya apabila menghadapi musibah, bukannya mendoakan mereka supaya bercerai berai. Apa lagi menjadi dalang dan penghasut

Dilema pencen


NILAINYA mungkin sedikit dan kurang daripada jumlah wang gaji penuh yang dinikmati ketika masih bekerja sebagai penjawat awam. Namun, jumlah berkala diterima setiap bulan, menjadikan wang pencen diterima setiap bulan memberikan nilai tersendiri dan begitu bermakna bagi yang menerima habuan itu

Justeru, tidak hairanlah setiap kali apabila membincangkan isu pencen sentiasa ada beberapa perkara dibangkitkan, termasuklah ada yang akan mendakwa diri teraniaya atau dinafikan haknya. Selain itu ada juga yang meraih rasa simpati dan minta dikasihani serta meluahkan rasa ingin menuntut keadilan.
Pada masa sama, ada beberapa pihak atau individu yang berpendapat, sekali gus membuat permintaan dan tuntutan supaya pembayaran pencen untuk beberapa aspek tertentu dikaji serta dinilai semula. Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia, Datuk Yeow Chin Kiong, menegaskan pada masa ini pembayaran pencen di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia jika dibandingkan dengan negara lain. “Pertama, penjawat awam langsung tidak perlu mencarum sesen pun sepanjang dalam perkhidmatan. Berbanding di kebanyakan negara Asia yang lain sudah pun memulakan pencaruman seperti ditetapkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), malah hampir banyak negara lain di dunia turut menggunakan kaedah itu bagi tujuan pembayaran pencen. “Skim pencen perkhidmatan awam di Malaysia tidak perlukan caruman, sebaliknya semua wang itu menunggu selepas kakitangan terbabit bersara. Singapura contohnya, skim pencen yang tiada caruman diperkenalkan hanya untuk beberapa perkhidmatan tertentu saja, manakala yang lain perlu buat caruman. Ini kerana belanja pembayaran pencen adalah banyak,” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini. Di Malaysia, pembayaran pencen setahun membabitkan perbelanjaan kira-kira RM9,000 juta bagi 580,000 pesara tanpa ada satu sen pun caruman daripada kakitangan awam dan inilah antara kebaikan pembayaran pencen di negara ini. Kedua, pencen di negara ini dibayar seumur hidup untuk balu dan duda. Hampir tiada negara di dunia memperkenalkan skim pembayaran pencen sedemikian. Kerajaan juga sentiasa memperbaiki skim pencen di negara ini dari semasa ke semasa, malah apabila ada kenaikan gaji untuk kakitangan awam, pesara juga turut menikmatinya. Selain itu, beliau berkata, ada banyak lagi kebaikannya dan ia memang lumayan untuk pesara, namun pembayaran pencen kepada kakitangan awam pada masa kini turut menyebabkan tanggungan kerajaan meningkat setiap tahun. Oleh itu, katanya, kakitangan perlu hargai apa yang diberikan dan perlu memberikan khidmat yang terbaik. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pencen adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 147, yang menjelaskan pemberian pencen, ganjaran atau elaun lain kepada anggota perkhidmatan awam atau balunya, anaknya, orang tanggungannya atau wakil dirinya. Yeow berkata, individu yang layak menerima faedah disebabkan kematian anggota atau pesara yang dipanggil pencen terbitan adalah balu, duda, anak yang di bawah usia 21 tahun dan masih belum berkahwin, termasuk anak tiri tanggungan, anak angkat, anak tak sah taraf dan anak cacat. Pencen terbitan itu diperuntukkan di bawah seksyen 14 dan 15 Akta 227 serta seksyen 15 dan 16 Akta 239. “Individu yang layak menerima pencen ditentukan oleh undang-undang. Pertama, pencen dibayar apabila pegawai meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan dan kedua, selepas penjawat awam berkenaan tamat berkhidmat selepas cukup tempoh umur persaraan. Pembayaran pencen tidak ada beza antara lelaki atau wanita. Jika suami mati, isteri dapat dan begitulah sebaliknya. “Maksimum pembayaran pencen ialah 60 peratus daripada gaji akhirnya ketika berkhidmat. Namun, sehingga bilakah penghujungnya pembayaran itu perlu dibuat, tidaklah diketahui. Jika ditakdirkan pesara atau balu mahupun duda berkenaan hidup lama, maka selama itulah pencen itu dibayar kerana ada yang hidup sehingga usia 100 tahun,” katanya. Mengenai pencen terbitan kepada anak, Yeow berkata, pembayaran akan diteruskan selagi mereka tidak mencapai umur 21 tahun atau berkahwin mengikut mana yang terdahulu. Bagi anak yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan mendapatkan ijazah pertama, pencen terbitan akan diteruskan selagi mereka tidak berkahwin atau berhenti menuntut atau mendapat ijazah itu mengikut mana yang terdahulu. Namun, berbeza bagi anak cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal atau tidak berupaya menanggung diri sendiri, pencen terbitan akan diteruskan. “Untuk anak misalnya, bagi yang bertemu jodoh umur 16 tahun dan sudah berkahwin, tidak layak terima pencen itu kerana konsepnya ada orang lain tanggung. Tetapi kalau mencapai umur 21 dan masih belajar di mana-mana IPT bagi peringkat ijazah pertama, masih boleh menerima pencen itu. Ini berdasarkan yang mana terkemudian,” jelasnya lagi. Yeow turut memberitahu, selain anak kandung pencen terbitan juga layak diterima oleh anak angkat, anak tiri dan anak tak sah taraf. Bagi anak tak sah taraf, jika Islam lazimnya mudah diketahui kerana anak itu akan mempunyai bin atau binti ‘Abdullah’, manakala bukan Islam masih boleh tetap menerima, andai diketahui ia sememangnya adalah anak penjawat awam terbabit. Sementara, bagi pesara yang meninggal dunia dan mempunyai lebih daripada satu balu serta semua dikahwini ketika masih dalam perkhidmatan, bermakna masing-masing layak menerimanya mengikut bahagian ditetapkan. Namun, pencen kepada balu/duda di mana perkahwinannya dengan gemulah (arwah) dilangsungkan dalam persaraan serta anak hasil dari perkahwinan itu akan dihentikan setelah 12 setengah tahun dari tarikh bersara. Katanya, kerajaan juga berhak membahagi-bahagikan mana-mana bahagian pencen terbitan yang dihentikan kepada penerima yang layak. Heret krisis keluarga KISAH suami isteri yang sudah lama mendirikan rumah tangga dan bercerai mungkin sudah menjadi cerita biasa. Namun, perceraian yang berlaku itu mungkin boleh menjadi episod sedih dan malang kepada wanita itu jika berkahwin dengan seorang penjawat awam yang hampir mencecah tempoh persaraan. Bayangkan nasib dan perasaan bekas isteri itu, selepas berkahwin lebih berpuluh-puluh tahun serta sentiasa memberikan sokongan dan banyak berkorban menjaga rumah tangga demi memastikan suami dapat berkhidmat dengan baik sehingga mendapat peluang kenaikan pangkat; tiba-tiba diceraikan dalam usia semakin meningkat senja. Akibat perceraian itu, pencen yang sepatutnya dinikmati bersama suami bagi menghabiskan sisa-sisa usia, sebaliknya satu sen pun tidak dapat dikecapi. Lebih membuatkan hati bekas isteri itu terhiris jika bekas suami mempunyai isteri baru yang dikahwini sebelum bersara. Lalu, sudah pastilah wang pencen itu dinikmati isteri baru itu. Ini kerana menurut peruntukan yang ditetapkan, isteri diceraikan sekali pun sehari sebelum tempoh persaraan oleh penjawat awam terbabit, sekali gus tidak layak atau boleh menerima pencen. Jika pesara itu berkahwin sehari sebelum pesara pula, isteri yang baru dikahwini boleh atau layak menerima pencen. Dalam hal ini, ramai yang pasti akan bersimpati dengan nasib bekas isteri berkenaan kerana ‘kesenangan’ waktu tua yang sepatutnya dikecapi tiba-tiba ‘dirampas’ oleh orang lain. Mengulas senario itu, Yeow berkata, sememangnya kes sedemikian menyedihkan, malah turut bersimpati dengan nasib yang dialami bekas isteri terbabit. Namun, Yeow menegaskan peruntukan itu memang jelas menyatakan perkara itu dan sewajarnya undang-undang yang ada di hormati oleh semua pihak. “Perceraian suami isteri adalah satu detik putusnya hubungan seorang penjawat awam dengan pasangannya walaupun sudah 20 atau lebih 30 tahun berkahwin. Apabila berlaku perceraian yang pasti, ia memberikan kesan dalam hak menerima pencen kepada janda atau bekas suami terbabit. “Dalam satu kes, ada janda yang sepanjang hidup bersama menjadi mangsa panas baran suami dan kerana tidak tertahan lagi seksaan dihadapi, akhirnya wanita itu menuntut diceraikan. Selepas dua bulan diceraikan, bekas suami yang bekerja sebagai penjawat awam meninggal dunia. Wanita itu datang dan mengadu, menyesal bercerai. Katanya, dia sudah diseksa bertahun-tahun takkan tidak boleh tahan dalam tempoh dua bulan. “Dengan nada sebak wanita itu berkata lagi, dua bulan lalu dia bertaraf isteri dan sepatutnya ketika itu dirinya bertaraf balu dan bukan janda yang tidak mendapat hak apa-apa. Tetapi harus ingat, kes itu bukan saja berlaku kepada isteri, ada juga suami yang menerima nasib sama,” katanya. Yeow berkata, hakikatnya undang-undang pencen tidak mahu membabitkan hal rumah tangga yang penuh dengan seribu liku. Malah, sehingga kini pihaknya belum lagi bercadang untuk mengubah atau meminda undang-undang dan akta yang berkaitan dengan hal seumpama itu kerana perkara seperti itu perlu dikaji betul-betul serta dinilai sedalam-dalamnya sebelum sebarang perubahan atau pindaan dibuat. “Apa saja yang JPA buat pun akan ada yang tidak puas dan ada pihak berasa dirinya kerugian. Contohnya, katakan si A sudah lama berkahwin dengan Aminah kemudian bercerai dan berkahwin dengan Aisyah. Jika pencen itu dibahagikan kepada Aminah apa pula kata Aishah, lebih-lebih lagi dialah yang menjadi dalang perceraian itu. Aisyah yang akan berasa usahanya sia-sia, tentu tidak berpuas hati apabila tidak dapat pencen berkenaan. “Kesimpulannya kita kena berhati-hati. undang-undang ada pendirian dan semua pihak kena menghormatinya. Tetapi akta pencen akan sentiasa dilihat dari semasa ke semasa dan dari semua sudut. Namun, kita tidak mahu memperuntukkan sesuatu akta yang lebih timbul banyak masalah, lebih-lebih lagi membabitkan kematian. Kesannya juga adalah pada institusi kekeluargaan itu sendiri,” katanya. Yeow turut tidak menafikan, meskipun pembayaran pencen di Malaysia adalah yang terbaik, ada kala ia turut mengundang permasalahan tersendiri seperti berlakunya perebutan dalam sesebuah keluarga, timbul ketidakpuasan hati, berlakunya penganiayaan dan sebagainya. Katanya, bagi menyelesaikan masalah yang timbul perkara itu akan dirujuk ke bahagian pencen dan individu terbabit akan diberikan penjelasan keadaan sebenar, hakikatnya yang berhak tetap berhak dapat serta begitulah juga sebaliknya. “Jika jenazah pun ada yang berebut, apatah lagi duit. Perebutan pencen bukan saja berlaku khusus kaum tertentu saja, tetapi membabitkan semua kaum. Contohnya, perebutan antara anak dengan emak kandung atau emak tiri, abang dan adik serta sebagainya. Bukan itu saja, ada kes anak ambil pencen ibu atau ayahnya, kemudian meletakkan mereka di rumah kebajikan. Jika anak itu ambil wang pencen dan membayarnya kepada rumah kebajikan bagi menjaga orang tua tidak mengapa juga, tetapi masalahnya, dia ambil pencen itu dan bayar kereta barunya. Itu yang menjadi masalah. “Selain itu ada juga kes si abang yang bekerja tidak mendapat pencen mengadu, mengapa diberikan pencen bapa kepada adiknya sedangkan dia sudah pun berkahwin. Ini juga masalah kerana anak yang menerima pencen terbitan itu sebenarnya bertanggungjawab memberitahu kami jika sudah berkahwin ataupun berhenti menuntut,” katanya. Yeow berkata, selain itu perebutan pencen terbitan juga boleh timbul apabila ada kes ‘balu baru muncul’ selepas kematian pesara. Kadang-kadang, pencen sudah dibayar bertahun-tahun kepada isteri pertama, tiba-tiba muncul balu kedua yang tuntut hak. Dalam kes ini, undang-undang membenarkan bayaran dibuat jika individu itu berhak, sekalipun baru muncul. Keadaan boleh menjadi kecoh apabila ada pihak yang menuntut, manakala satu lagi pihak pula mempertikaikan, malah masing-masing cuba mengemukakan bukti. Misalnya, mendakwa perkahwinan itu tidak sah dan sebagainya, malah ada yang kemukakan dokumen palsu untuk menuntut hak. “Kes seumpama itu memang pernah berlaku. Dalam keadaan tertentu masalah bertambah rumit dan jadi kecoh sehingga kami hendak bantu pun payah. Tetapi sebagai pihak bertanggungjawab, bagi kami yang berhak tetap dibantu. Masalah utama kami, tentulah untuk mendapatkan kesahihan kerana hendak bertanya kepada pegawai berkenaan pun tidak boleh kerana sudah pun meninggal. “Inilah yang menyusahkan dan keadaan ini lazim berlaku bagi kes berkahwin di seberang serta disorokkan. Sememangnya, ada individu ingin menyembunyikan perkahwinan itu walaupun ada syarat yang menetapkan, dia perlu memberitahu majikan. Sama ada pandai sembunyikan atau tidak mahu beritahu, bukan persoalan utama tetapi jika perkahwinan itu diketahui ia akan menjadi lebih senang. “Pihak terbabit harus ingat jika perkahwinan itu tidak daftar, hak isteri kedua untuk mendapatkan pencen boleh dipertikaikan. Bagaimanapun, kedudukan wanita itu sebagai isteri boleh dibuktikan dengan dokumen sah,” katanya. INFO: Tujuan skim pencen
  • Memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap perkhidmatan cemerlang seseorang anggota yang sudah dicurahkan kepada kerajaan dengan penuh taat setia, dedikasi dan amanah;
  • Berbentuk satu ikatan ke atas anggota perkhidmatan awam agar mereka terus berkhidmat dengan kerajaan;
  • Memberi jaminan saraan hidup kepada anggota setelah mereka bersara daripada perkhidmatan kerajaan;
  • Memberi saraan hidup kepada orang tanggungan anggota yang meninggal dunia sama ada ketika dalam perkhidmatan kerajaan atau selepas mereka bersara; dan
  • Mewujudkan satu bentuk skim pampasan yang terbuka kepada anggota yang dikehendaki bersara atau meninggal dunia akibat mengalami kecederaan atau menghidap penyakit kerana terdedah kepada bahaya tertentu ketika menjalankan tugas rasmi mereka

  • Oleh Nor Affizar Ibrahim

  • Monday, June 28, 2010

    Jangan pandang remeh sakit perut


    TAHUKAH anda sakit perut yang berpanjangan boleh membawa maut sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan segera? Selalunya, masyarakat hari ini beranggapan mereka menghadapi keracunan makanan atau tersalah makan sekiranya mengalami sakit perut.

    Sedangkan antara tanda-tanda keracunan makanan ini ialah ia hanya akan muncul dalam masa dua hingga 24 jam selepas makan.

    Ia juga bergantung kepada tahap keracunan dan mereka yang mengalaminya mungkin juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta penyahhidratan.

    Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut atau usus yang disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar.

    Menurut Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, kesakitan pada bahagian perut atau abdomen boleh berpunca daripada pelbagai keadaan yang memberi kesan kepada pelbagai organ.

    Bahagian abdomen adalah terdiri daripada bahagian bawah tulang rusuk, tulang pelvik ke bawah serta kedua-dua sisi badan.

    Biarpun kesakitan pada bahagian abdomen boleh datang daripada tisu di dinding yang mengelilingi rongga abdomen, sakit di bahagian ini selalunya digunakan untuk menerangkan kesakitan yang berasal dari dalam rongga abdomen.

    ‘‘Sekiranya tersalah makan, biasanya anda akan alami cirit-birit atau sakit perut pada awal pagi, sekitar pukul 3 atau 4 dan ia mengambil masa lapan jam selepas makan untuk mengalami tanda-tanda tersebut.

    ‘‘Kebiasaannya anda tidak akan terus mendapat cirit-birit kerana jenis bakteria dan virus yang ada boleh menyebabkan kita muntah-muntah dahulu, iaitu kurang daripada dua hingga tiga jam selepas makan.

    ‘‘Sekiranya anda keracunan makanan, ia akan mengambil satu hingga dua hari untuk baik tetapi kalau ia berpanjangan dan melebihi satu hingga dua minggu, kita kena buat siasatan dan tengok kenapa ada masalah cirit-birit yang berpanjangan,’’ ujarnya ketika ditemui di Kelana Jaya, baru-baru ini.

    Tambah beliau, sekiranya jangkitan ataupun kesakitan masih belum reda ia pasti mempunyai masalah lain seperti sama ada disebabkan oleh masalah metabolik yang menyebabkan cirit-birit, mahupun masalah penyakit radang usus yang boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit yang berpanjangan disertai pendarahan ataupun kuman di usus oleh parasit seperti ameba yang boleh menyebabkan masalah cirit-birit serta kejadian nanah di hati.

    Jelas beliau lagi, bagi penyakit gastrik pula, sekiranya ia merupakan ulser yang memudaratkan, ia perlu dibedah segera.

    Pesakit juga dinasihatkan menjalani pemeriksaan endoskopi (OGDS) ataupun pemeriksaan segera jika keadaan dilihat membahayakan kesihatan dan nyawa.

    Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya gastrik (dispepsia) dengan ulser atau tanpa ulser, mahupun kanser yang berpunca dari aktiviti bakteria helicobacter pylori yang berada di dalam perut dalam jangka masa yang lama, tanpa disedari.

    ‘‘Jangan ambil mudah terhadap gastrik kerana gastrik juga boleh memudaratkan dan juga boleh membawa maut,’’ katanya.

    Untuk itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menganggap sakit perut satu penyakit yang remeh dan diminta berjumpa dengan doktor pada kadar yang segera.

    Menurut Dr. Abdul Malik lagi, sekiranya sakit perut yang dihadapi tidak beransur pulih, eloklah sekiranya dirujuk kepada pakar bedah untuk langkah seterusnya.

    ‘‘Kesakitan pada bahagian abdomen yang kerap mestilah dirujuk kepada pakar perubatan. Ini membolehkan doktor membuat pemeriksaan ke atas perut dan tempat-tempat yang berkenaan untuk mengenal pasti punca serta jenis penyakit yang dihadapi.

    ‘‘Perlu diingatkan, banyak perkara boleh menyebabkan sakit perut ini termasuklah nanah di dalam perut,’’ tambah beliau.

    Anda juga dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat, diet yang berkhasiat serta makanan yang seimbang yang boleh membantu mencegah atau mengurangkan keasidan gastrik, sembelit serta masalah penghadaman lain.

    Ini sekali gus memelihara perut anda daripada terkena pelbagai jangkitan kuman serta virus yang tidak diingini.

    Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

    Suara Hati Pengundi Atas Pagar


    SAYA merujuk kepada tulisan Hamdan Rukun, Enggor, Perak dalam ruangan Forum Utusansemalam. Sebagai anak muda Melayu dan pengundi atas pagar, saya ingin menarik perhatian semua agar tidak terlebih tidur dalam menilai kemampuan pihak pembangkang.

    Secara peribadi saya beranggapan tulisan Hamdan Rukun ini lebih mengangkat dan melenakan jika dibaca oleh parti pemerintah dan bukan semuanya boleh dijadikan ukuran. Hamdan Rukun membuatkan parti pemerintah terhibur dan terasa berada di zon selamat.

    Izinkan saya memberi sedikit pandangan daripada anak muda Melayu, pekerja profesional dan para pengundi atas pagar, tujuh sebab pembangkang mahu pilihan raya segera.

    Pertama: 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' bukanlah satu fenomena indah jika rakyat melihat banyak lagi kelemahan pentadbiran yang menyakitkan hati rakyat. Ketidaktegasan dan berbolak-balik penguatkuasaan berkenaan keselamatan rakyat, keperluan asas rakyat, dasar-dasar pemerintah yang seringkali mengejutkan malah mengundang kegusaran rakyat, keikhlasan dalam pelaksanaan yang tidak seperti yang diharapkan. Turun dan lihatlah sendiri keadaan sebenar rakyat di bawah ini.

    Kedua: Apalah yang difahami tentang keluk ekonomi oleh orang kampung, ekonomi melonjak setinggi mana sekalipun tidak membawa sebarang makna jika harga keperluan asas harian mendongak naik. Perkhabaran baik tentang ekonomi makro dan mikro negara, hanya santapan baik untuk pelabur dan anak muda berpelajaran, namun hanya membawa kemarahan dan keluhan setiap hari bagi penduduk di pedalaman, nelayan dan pekerja kilang. Kenyataan kebankrapan negara hanya menjadi bahan ketawa dan sindiran bagi kami, sudah pasti boleh dilampiaskan ke dalam undi nanti.

    Ketiga: Mesyuarat bahagian membawa kepada mesyuarat peringkat kebangsaan sekalipun, tidak akan ke mana-mana jika yang hadir itu ada di antaranya membawa agenda untuk menjadi cepat atau lebih kaya. Itu kenyataannya dan orang kampung pun tahu tentang itu. Kenyataan ramai anak muda hadir mesyuarat bahagian, sangat merisaukan. Patut ditanya, siapa mereka? Dari golongan mana mereka? Apa resolusi rakyat dibawakan oleh mereka? Tanyakan jika ada suara bangsa dan rakyat dibawa ke poket mereka? Apa intipati bangsa dan rakyat yang dibawakan oleh mereka kepada pemerintah di atas? Apa mereka ini mampu membawakan undi kami kepada mereka? Kami golongan muda pengundi atas pagar sedia untuk ketawa.

    Keempat: Isu atau intipati lama yang dibawakan oleh pembangkang inilah sebenarnya isu yang patut diambil kira oleh parti pemerintah. Isu kemudahan rakyat, masalah sosial bangsa yang sudah pun hancur. Ketiadaan penonton atau kurangnya sambutan ceramah pembangkang bukan isu untuk menilai sokongan bagi pembangkang. Jangan dipandang ringan mereka ini. Mereka membakar semangat dengan isu, mengundang kemarahan dan sakit hati rakyat kepada pemerintah. Provokatif ini yang sebenarnya terbitan undi kelak. Golongan muda peduli tentang isu-isu dibawakan mereka, sekalipun tidak mahu datang ceramah, mereka tahu isu ini kerana rakyat merasainya dan bukannya pihak pemerintah.

    Kelima: Berterus-terang saya katakan, tidak siapa pun peduli Datuk Seri Anwar Ibrahim dan imejnya jika perut semakin diikat, jika keperluan semakin tersekat dan kehidupan semakin tersepit. Tidak kiralah golongan muda di bandar atau di luar bandar. Golongan muda lebih risaukan masa depan kerjaya berbanding survival bangsa. Kecelaruan perjuangan terhadap bangsa hanya menjadi bualan bisikan bagi kami yang mempunyai majikan berlainan bangsa. Ke mana bangsa kami akan datang? Memilih salah tidak memilih pun tetap bersalah. Kunci di tangan parti pemerintah.

    Keenam: Dasar yang digariskan oleh pembangkang dalam simposium atau muktamar atau apa pun nama persidangan tidak menjadi dasar yang kuat untuk didengari oleh golongan muda seperti kami sekarang. Dasar parti pemerintah juga sama. Tanyakan kepada kami sejauh mana dasar parti ini mempengaruhi undi kami jika tiada pelaksanaan telus, ikhlas, tegas dan konsisten. Apatah lagi kepada penggubalnya? Tidak kiralah di pihak parti pemerintah atau pembangkang. Dasar anda semua masih tidak jelas kepada pengundi atas pagar. Lebih jauh lagi, kami bertanya, apakah dasar anda sebenarnya?

    Ketujuh: Negeri dikuasai pembangkang tidak menampakkan sebarang kejayaan. Kerana hanya kegagalan yang dihidangkan oleh media kepada rakyat. Kami golongan muda profesional berbisik sesama sendiri sampai bila media sedar yang kami tahu kami digula-gula. Kami tahu apa itu Internet. Orang kampung bertanyakan kepada kami cerita sebenar di sebalik laporan media, bukankah itu membuktikan mereka juga tahu apa itu manipulasi. Semakin banyak manipulasi media massa sebenarnya hanya mengundang kemarahan rakyat. Percayalah ini semua sebenarnya mengumpul kemarahan dan mengundang dendam dalam jiwa kami golongan muda pengundi atas pagar.

    Secara peribadinya, kenyataan tulisan Hamdan Rukun lebih emosi dan mengajak pihak pemerintah untuk terus alpa. Sebenarnya golongan muda profesional pengundi atas pagar seperti kami hanya inginkan keikhlasan pihak pemerintah dalam semua langkah. Konsisten dan telus. Itu sudah cukup untuk parti pemerintah memperoleh sokongan daripada kami.

    SHUIBDIERA

    Kuala Lumpur

    Sunday, June 27, 2010

    Bulu lebat tanda penyakit


    LELAKI berbulu lebat mungkin dianggap macho, tetapi keadaan sebaliknya bagi wanita. Malah, berbanding lelaki, wanita berbulu lebat lazimnya mengundang perhatian kerana dianggap memalukan. Apakah ini biasa atau petanda masalah kesihatan? Dari segi perubatan, masalah pertumbuhan bulu berlebihan ini dikenali ‘hirsutism.’ Corak pertumbuhan dan sebarannya mirip lelaki dan lebih ketara pada bahagian muka, dada, sekitar areola, punggung, paha serta sekitar alat sulit

    Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, Prof Dr Shah Reza Johan, berkata secara amnya penyebab hirsutism terbahagi kepada beberapa punca iaitu pengeluaran atau penghasilan hormon androgen berlebihan, komplikasi pengambilan ubat-ubatan selain impak penyakit kronik yang dialami individu berkenaan. “Faktor pertambahan hormon androgen pula dicetuskan oleh pelbagai masalah lain, misalnya obesiti,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Jelas Dr Shah Reza, bagi wanita, hormon androgen dikeluarkan oleh kelenjar adrenal dan juga ovari dengan fungsi asalnya untuk mengawal nafsu syahwat. Sistem pengeluaran hormon ini kompleks dan dikawal oleh kelenjar di otak, pituitari dan juga hipotalamus. Ada beberapa keadaan yang akan menyebabkan berlakunya pertambahan androgen iaitu masalah obesiti, sindrom ovari polisistik, gangguan hormon, hiperprolaktinemia, penyakit akromegali, hiperplasia kongenital adrenal dan sindrom Cushing. Menurut Dr Reza, hirsutism boleh berlaku akibat barah ovari juga barah kelenjar adrenal. Barah jenis ini menyebabkan berlakunya peningkatan paras hormon adrogen dalam tubuh wanita. Selain itu, pengambilan sesetengah jenis ubat juga boleh memberikan kesan sampingan berlakunya hirsutism dan juga hipertrikosis. KeadHipertrikosis adalah keadaan bulu-bulu yang tumbuh di tempat yang bukannya di bawah pengaruh hormon androgen. Jelas Dr Shah Reza, hirsutism ada kalanya bersifat kekal namun bergantung kepada penyebabnya. Bagaimanapun, secara umum kesan hirsutism sukar pulih. Ia mungkin boleh dikawal atau dirawat secara pembedahan dan pengambilan ubat-ubatan. “Apabila hirsutism berlaku, bulu-bulu yang ada hanya dapat dihapuskan secara fizikal, manakala rawatan penyakit yang menyebabkan hirsutism akan membantutkan pertumbuhan bulu-bulu baru. “Secara kosmetik, bulu yang berlebihan ini boleh dikurangkan secara ‘bleaching’ atau diwarnakan supaya kurang jelas kelihatan, cukur, cabut serta secara elektrolisis dan juga perawatan laser terutama bulu yang tumbuh di muka,” katanya. Namun bagi rawatan pengambilan ubat-ubatan, ia memerlukan rundingan lanjut dengan doktor. Pil cegah kehamilan pada dos estrogen yang tinggi boleh membantu. Bagaimanapun, ada banyak lagi senarai ubat-ubat boleh digunakan, tetapi perlu mendapat preskripsi oleh doktor supaya kesan samping dapat diminimumkan. Dr Shah Reza berkata, hirsutism juga boleh dialami wanita hamil walaupun ia agak jarang ditemui. Ini kerana wanita hamil alami paras hormon estrogen dan progesteron yang tinggi. “Tetapi ada juga wanita hamil yang mengalami masalah hirsutism disebabkan peningkatan hormon prolaktin. Penyakit kencing manis semasa mengandung juga memungkinkan keadaan hirsutism,” katanya. Hirsutism ketika hamil juga boleh dikaitkan dengan masalah ‘hypereactio luteinalis’ iaitu berlakunya peningkatan paras hormon lelaki androgen ketika wanita itu berbadan dua. “Namun, bagi wanita hamil ia adalah satu keadaan peralihan yang berkaitan dengan hormon prolaktin. Oleh itu, jangan rungsing kerana ia bersifat sementara. Begitu juga jika hirsutism yang berlaku akibat hypereactio luteinalis,” katanya. FAKTA: Punca pertambahan hormon adrogen
    • Obesiti - Ia berkait rapat masalah insulin yang gagal memainkan peranan secukupnya.
    • Sindrom Ovari Polisistik - Wanita yang mengalami sindrom ini biasanya mendapati diri mereka sukar hamil. Tubuh mereka cenderung gemuk, kulit berminyak, berjerawat, haid sedikit serta tidak menentu. Wanita yang mengalami sindrom ini mempunyai ovari yang berpolisistik serta paras hormon androgen yang tinggi.
    • Masalah gangguan hormon seperti penyakit endokrin hipotiroid.
    • Hiperprolaktinemia - Paras hormon prolaktin tinggi dalam badan. Hormon ini lazimnya berkait rapat dengan pengeluaran susu, walaupun wanita itu tidak hamil.
    • Penyakit Akromegali - Disebabkan peningkatan abnormal hormon tumbesaran dan juga kegagalan insulin.
    • Hiperplasia kongenital adrenal - Ketiadaan atau ketidakhadiran enzim-enzim tertentu dalam badan yang menyebabkan lebih banyak hormon lelaki androgen terhasil.
    • Sindrom Cushing - Membabitkan peningkatan abnormal hormon-hormon steroid termasuklah hormon lelaki androgen
    • Oleh Hafizah Iszahanid

    Berjaga malam boleh membawa kepada masalah kesuburan lelaki..


    APA yang anda rasa sepanjang seminggu berlangsungnya Piala Dunia kali ini? Keseronokan, teruja, letih atau sebaliknya lesu kerana terpaksa berjaga malam? Silap jika ada yang beranggapan berjaga malam itu hanya sekadar merencatkan tumpuan kerana kurang tidur. Sebaliknya ia juga berisiko mendedahkan peminat bola ini kepada pelbagai masalah lain, khususnya kesihatan tubuh badan serta mental. Kajian yang dilakukan oleh Yayasan Kesihatan Mental di England ketika berlangsungnya Piala Dunia 2006 mendapati 70 peratus penonton sentiasa berasa kecewa manakala 58 peratus berasa marah. Demam Piala Dunia itu memberi kesan kepada emosi, perhubungan, identiti dan jati diri. Apatah lagi dengan perbezaan waktu siaran dengan waktu perlawanan dan tuntutan kerja pada keesokan harinya, ramai yang datang ke pejabat rasa letih dan longlai. Sekumpulan penyelidik Jerman yang dipetik American Journal of Clinical Nutrition, melaporkan kalangan dewasa yang lazimnya menikmati tidur lapan jam tetapi hanya beroleh tidur empat jam akibat aktiviti berjaga, terdedah kepada ancaman kesihatan seperti bertambah berat badan. “Setiap dewasa memerlukan waktu tidur sekurang-kurangnya tujuh jam. Banyak kajian membuktikan kaitan tempoh tidur yang sedikit dengan risiko tinggi kegemukan. Mereka juga berasa lesu pada keesokan hari yang membataskan kegiatan seharian mereka, termasuk melakukan aktiviti seperti bersenam,” kata ketua penyelidik, Dr Sebastian Schmidt. Namun, kajian klinikal di China mendapati 15 peratus masalah ketidaksuburan lelaki adalah berpunca daripada tabiat berjaga malam dalam tempoh yang lama. Apabila anda kerap tidak boleh tidur selepas jam 1 pagi, ia akan menyebabkan metabolisme tubuh tidak berfungsi. Ia menyebabkan tabiat berjaga malam dalam tempoh yang panjang sama kesannya dengan tabiat merokok dan mengambil alkohol. Malah, ia juga mengganggu sistem tubuh yang menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan endokrin, penurunan tahap imun tubuh, fungsi seksual malah menjejaskan jumlah sperma lelaki dan lebih serius ia boleh membawa kepada masalah ketidaksuburan. Ketaksuban untuk tidak melepaskan walau satu minit pun pandangan dari kaca tv menyebabkan ada yang sanggup menahan kencing. Menahan kencing tentu saja menyebabkan tekanan pada pundi kencing sekali gus menyebabkan air kencing kembali ke buah pinggang dan menyebabkan salur kencing mengalami masalah keradangan. Pundi kencing dan radang pada pundi kencing akan menyebabkan radang yang kronik pada kelenjar prostat. Malah, lebih banyak tekanan, kekecewaan dan keseronokan ketika Piala Dunia menyaksikan lebih banyak anda merokok. Rokok dengan kandungan nikotin dan toksin yang banyak akan mengakibatkan bilangan sperma merosot. Jika anda merokok 20 batang sehari, hanya 50 peratus saja sperma anda sihat. Selebihnya sperma akan mengalami masalah kualiti atau berlaku perubahan struktur kromosom. Piala Dunia juga dikaitkan dengan peningkatan kes serangan jantung. Satu kajian pada 2002 di Switzerland mendapati berlakunya peningkatan kematian disebabkan serangan jantung pada Piala Dunia 2002 berbanding tahun sebelumnya. Sementara kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan The New England mendapati ketika Piala Dunia 2006 di Jerman, wujudnya kaitan antara tekanan emosi dan kes serangan jantung sehingga dua kali ganda. Oleh itu, tidak salah rasanya jika anda mengambil langkah-langkah bagi mengelak sebarang risiko kesihatan. INFO: Tip sihat kaki bola
  • Hadkan pengambilan snek atau makanan ringan
  • Utamakan buah-buahan segar atau jenis kering
  • Awasi kalori dan lemak yang terkandung dalam kekacang. Elakkan snek kekacang yang mengandungi garam
  • Pilih minuman atau jus buah-buahan dan minum banyak air atau teh kosong tanpa gula.
  • Jauhi tabiat merokok. Jika perlu, basuh muka, minum air atau tarik nafas panjang bagi mengurangkan keinginan merokok.
  • Lakukan senaman ringan seperti mengangkat kaki atau bergerak ketika menonton perlawanan.
  • Pastikan kedudukan badan yang betul ketika duduk bagi mengelak kebas

  • Oleh Hafizah Iszahanid

  • Saturday, June 26, 2010

    Balasan pengikut firaun


    ALLAH SWT memerintahkan Nabi Musa supaya menyampaikan kepada Firaun bahawa sekiranya Firaun tidak berhenti melakukan kezaliman dan enggan beriman terhadap Allah, maka Allah SWT akan menurunkan seksa dan azab kepadanya.

    Lalu Nabi Musa menghadap Firaun bagi menyampaikan perintah Allah itu kepadanya. Namun Firaun bersama pengikutnya enggan menurut perintah tersebut.

    Beberapa hari selepas Nabi Musa menghadap Firaun, Allah menurunkan azab seperti yang telah dijanjikan. Allah mendatangkan kemarau yang berpanjangan ke atas bumi Mesir.

    Ini mengakibatkan tanam-tanaman tidak tumbuh dan Sungai Nil yang besar dan luas menjadi kering kontang. Maka berkuranglah sumber makanan sehingga berlakunya kemarau dan kebuluran yang teruk.

    Namun begitu, Firaun bersama pengikutnya tetap berdegil. Tidak sedikit pun mereka mengendahkan azab yang diturunkan oleh Allah SWT itu. Orang yang beriman telah menyuruh Nabi Musa memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan, maka Allah menurunkan hujan kepada mereka.

    Apabila Allah menurunkan hujan dan menyuburkan segala tanaman, Firaun dan pengikutnya mendakwa itu adalah hasil usaha daripada mereka. Sedangkan ketika berlakunya kemarau, mereka menyatakan bencana itu disebabkan oleh Nabi Musa. Firaun bersama pengikutnya semakin sombong.

    Oleh kerana kesombongan mereka itulah, Allah SWT menurunkan pula taufan yang dahsyat sehingga menenggelamkan segala tanaman mereka. Disebabkan terdesak, para pengikut Firaun datang menemui Nabi Musa.

    "Wahai Nabi Musa, selamatkanlah kami daripada azab ini. Sekiranya engkau menyelamatkan kami, kami akan menerima ajaranmu," janji pengikut Firaun. Mendengar kata-kata pengikut Firaun itu, Nabi Musa berasa amat gembira. Lalu baginda memohon kepada Allah agar dihentikan bencana itu.

    Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa dan segala tanaman mereka kembali subur. Namun, mereka telah mengingkari janji.

    Lantas Allah SWT menurunkan pula belalang dan kutu-kutu yang tidak terkira banyaknya untuk memusnahkan tanaman mereka. Sekali lagi mereka terpaksa meminta Nabi Musa. Namun memungkiri lagi.

    Selepas itu mereka menderita pula menanggung pelbagai penyakit. Ada di antara mereka yang darahnya keluar bercucuran dari mulut dan ada mengalir dari hidung dan telinga. Tanpa segan silu mereka datang lagi menemui Nabi Musa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Penyayang. Dia telah menghentikan azab itu. Namun mereka masih tidak mahu beriman.

    Akhirnya Allah telah menukarkan pula air Sungai Nil menjadi darah. Air itu digunakan sebagai sumber keperluan mereka. Akan tetapi air itu hanya menjadi darah apabila kaum Qibti yang mengambilnya. Peristiwa itu berlaku selama tujuh hari. Sekali lagi mereka datang menemui Nabi Musa.

    Dengan penuh kepercayaan terhadap mereka, maka Nabi Musa sekali lagi berdoa kepada Allah SWT. Kemudian Allah yang Maha Pengampun telah menghilangkan malapetaka ke atas mereka. Segala seksaan yang hebat itu lenyap. Namun, mereka masih lagi enggan menerima ajaran Nabi Musa.

    Setelah Allah SWT menurunkan segala seksaan dan bala kepada mereka, namun ramai lagi yang tidak mahu beriman kepada ajaran Nabi Musa.

    Walaupun begitu, terdapat sebahagian lagi yang telah menerima ajaran tersebut. Firaun tidak boleh menghalang mereka yang telah beriman ini kerana Allah telah menetapkan hati dan keimanan mereka kepada-Nya.

    - sumber utusan

    Ragging dahulu dan sekarang...


    BERITA kematian seorang pelajar, Mohamad Naim Mustaqim akibat didera di Maktab Tentera Sungai Besi tentu sekali mengejutkan.

    Walau apa pun siasatan yang dilakukan, pelajar tersebut telah meninggal dunia dan mereka yang bertanggungjawab wajar dihukum. Amalan kuno yang dikenali ragging ini memang kerap berlaku di sekolah atau kolej berasrama. Begitu juga pergaduhan sesama pelajar. Apa yang boleh dikatakan daripada perkara ini adalah kecuaian pihak yang menjaga maktab, kolej atau sekolah berkenaan. Saya rasa ibu bapa pelajar tersebut bukan sahaja patut membuat laporan polis tetapi wajar mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak pentadbiran maktab tersebut termasuk pegawai-pegawai mereka yang bertanggungjawab terhadap kecuaian tersebut. Tentera dikenali atas sifat disiplin mereka tetapi nampaknya sikap kurang disiplin telah menular ke dalam maktab tentera. Kalau tindakan undang-undang tidak diambil, perkara ini akan berlaku lagi. Pelajar-pelajar yang membuli pelajar yang meninggal dunia ini bukan saja patut dibuang tetapi dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka, walaupun mereka mungkin dianggap juvenil.

    Saya ingat semasa saya memasuki Institut Teknologi Mara (ITM, sekarang UiTM), 40 tahun yang lalu, sudah ada amalan ragging di kolej atau asrama sekolah. Dahulu, semasa pelajar baru memasuki ITM, kami semuanya dibuli oleh pelajar senior. Kononnya, diadakan minggu orientasi tetapi seminggu itu adalah minggu mendera pelajar baru lelaki atau perempuan. Kami akan dikejutkan dari tidur pada pukul 3 pagi dan disuruh memakai seluar dalam sahaja untuk turun ke tingkat bawah tempat kediaman kami semasa itu di flat Seksyen 14, Petaling Jaya (PJ). Semasa itu, asrama pelajar ITM terletak di luar kampus dan kerana itu, pelajar perlu menyewa rumah atau flat di luar dan sekitar kawasan Petaling Jaya seperti Petaling Garden, Petaling Tin, Jalan Klang, Seksyen 17 PJ dan Seksyen 14, PJ. Sabun basuh kain akan ditabur di atas simen bangunan flat tersebut dan kami disuruh berenang atas sabun tersebut. Ia satu perbuatan yang menyeronokkan pelajar-pelajar senior. Maklumlah orang sedang sedap tidur dibangunkan dan disuruh berenang atas simen yang bersabun. Sesetengahnya tidak sedar lagi apa yang berlaku pada masa itu. Pelajar-pelajar senior masa itu bergaya semacam gangster.

    Pada satu ketika, terdapat seorang pelajar dari Sarawak yang telah dibuli berlebihan oleh salah seorang ketua pelajar senior. Pelajar Sarawak tersebut telah berlari ke biliknya dan mengambil pedang panjang dari bawah katilnya serta mengejar ketua pelajar senior tersebut. Memang umur ketua pelajar senior itu panjang kerana jika tidak, sudah tentu dia hilang kepalanya pada malam tersebut.

    Selain itu, pelajar senior juga menyumbat kepala kami ke dalam lubang tandas dan dengan megah mereka mengatakan itu adalah 'royal flush'. Saya melihat mereka ini berani kerana mereka ramai dan pelajar baru belum bersatu lagi pada masa itu.

    Pelajar perempuan juga tidak ketinggalan dibuli oleh pelajar wanita senior. Mana-mana pelajar baru wanita yang cantik sikit akan teruk dibuli kononnya mereka menjadi ancaman kepada pelajar senior wanita dari segi berebutkan pelajar lelaki. Daripada apa yang diceritakan oleh pelajar wanita yang dibuli oleh pelajar wanita senior kepada saya, mereka juga digerakkan pada awal pagi dan disiram dengan air pancutan yang deras ke dalam alat sulit mereka.

    Semua perbuatan itu kononnya untuk membuang sikap angkuh dan sombong pelajar yang baru masuk. Dari mana pemikiran itu mereka peroleh, kita tak tahulah kerana apa yang saya lihat, selepas beberapa tahun peristiwa tersebut, ketua 'ragger' lelaki pada masa itu sekarang berjalan pakai tongkat dan memakai pacemaker untuk jantungnya, manakala ketua pelajar wanita senior itu pula sakit teruk dan telah pun meninggal dunia. Pada saya, itulah balasan Allah SWT di atas perbuatan mereka. Pada saya juga, amalan sebegini memang patut dihentikan kerana tidak mendatangkan faedah, sebaliknya boleh mendatangkan mudarat seperti apa yang berlaku kepada Muhammad Naim.

    Saya rasa, ibu bapa yang ada anak-anak mereka yang tinggal di asrama sekolah sekarang elok memantau anak-anak mereka kerana duduk di asrama ini, ada baik dan ada juga buruknya. Secara peribadi, saya tidak berasa menempatkan anak kita di asrama satu amalan yang baik. Anak perempuan saya semasa di Maktab Rendah Sains Mara di Taiping, Perak, beberapa tahun lalu selalu dipulau bersama kawan setianya kerana mereka kerap bercakap dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan pelajar di maktab tersebut bercakap dalam bahasa Melayu. Bayangkanlah, mereka dipulau kerana selalu bercakap dalam bahasa Inggeris. Inilah jenis sikap pelajar Melayu kita. Kalau seseorang pelajar tersebut tidak kuat semangat dan berani, mereka akan terpengaruh dengan kumpulan yang berfikiran picik dan jumud. Kumpulan yang begini memang wujud di asrama-asrama kita. Nasib baik bagi anak saya, dia memperoleh 'tali pinggang hitam' taekwando semasa di sekolah menengah dan sesiapa pelajar yang cuba mencari pasal dengan dia, memang menerima padahnya.

    Saya menyarankan anak-anak kita diberikan latihan mempertahankan diri kerana bukan saja ini baik untuk mempertahankan diri mereka daripada perbuatan pelajar jahat dan kaki buli, malahan di sekolah menengah sendiri pun kita pernah terbaca cerita pelajar dibuli oleh beberapa orang. Selain daripada kebolehan untuk mempertahankan diri daripada pelbagai ancaman, latihan tersebut menyemai sifat disiplin dan keyakinan diri.

    Para pelajar hari ini bukan lagi macam zaman dulu. Terlalu banyak pengaruh yang menjadi ikutan mereka. Media saja mengajar mereka macam-macam. Kalau panggung wayang ada sekatan bagi mereka di bawah umur 18 tahun dan tidak boleh menonton wayang berunsur ganas dan seks, mereka boleh menonton dengan membeli VCD dan DVD haram yang dijual berleluasa. Pergi saja ke mana-mana taman selera, tentu kita akan didatangi oleh mereka yang menjual bermacam jenis VCD secara haram ini, secara terang-terang.

    Membimbing anak-anak pada zaman ini bukan satu perkara yang mudah. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil berat tentang apa yang berlaku terhadap anak-anak mereka. Jika boleh, periksa beg sekolah mereka kerana kita tidak tahu apa yang kita boleh jumpa di dalam beg sekolah mereka. Kalau anak-anak dipaksa memberikan duit kepada kaki buli, mereka kadang-kadang tidak berani mengadu kepada ibu bapa. Itu sebabnya walaupun anak-anak kita sudah mencapai umur 16 tahun sekalipun, kita perlu mengambil tahu apa yang berlaku dan apa kegiatan mereka

    - sumber utusan

    Friday, June 25, 2010

    Kisah Isteri Curang: Isteri Terjebak Maksiat


    APABILA tersiar kisah isteri ditangkap khalwat oleh suami serta isteri menjalinkan hubungan sulit dengan remaja lelaki, ia bukan saja memalukan kaum hawa tetapi juga umat Islam seluruhnya.

    Ketika kajian mengenai gejala sosial di kalangan remaja dijalankan pakar akademik dan pelajar di institusi pengajian tinggi, ‘ibu’ remaja pula turut sama terjebak ke kancah kehidupan gelap. Oleh itu, wajar juga dilakukan kajian punca isteri menghampiri zina sedangkan boleh berkasih sayang dengan suami masing-masing, malah mendapat keberkatan Allah SWT

    Ramai isteri yang tidak kasihkan suami. Ada juga berkahwin tanpa rasa cinta dan rasa hormat yang tinggi terhadap suami. Benar, ada yang baru mengenali hati budi suami dan keluarganya hanya selepas majlis akad, sebab itulah banyak masalah dikatakan timbul selepasnya. Tetapi kepada Muslimah yang arif ajaran agama, mereka akan berusaha sedaya upaya membina persefahaman dan keharmonian dalam rumah tangga, malah menjadi benteng untuk menghalang anasir jahat yang mengganggu ketenteraman istana cinta mereka.

    Apa pun alasan, ada caranya untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan tetapi tidak membebaskan diri daripada mentaati suami. Islam tidak pernah membenarkan isteri menduakan suami yang halal dinikahinya ketika masih dalam tempoh perkahwinan, begitu juga suami. Syuraih, seorang alim dan ahli fikah meriwayatkan bahawa beliau mengahwini seorang wanita dari Bani Handhalah. Pada malam pertama sebagai suami isteri, mempelai menunaikan solat sunat dua rakaat dan memohon Allah SWT memberi kebaikan serta kesejahteraan kepada mereka. Sesudah solat, si isteri menghadapkan wajahnya tepat ke arah suaminya Syuraih dan berkata: “Sesungguhnya aku adalah wanita yang asing bagimu dan belum mengetahui kebiasaanmu. Terangkan apa yang menjadi kesukaanmu supaya aku dapat memberikannya dan jelaskan kebencianmu supaya aku dapat menjauhinya.” Meskipun tidak pernah mengenali antara satu sama lain, sebagai Muslim yang patuh kepada perintah agama, Syuraih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan sebaiknya.

    Ia ditambah pula dengan anugerah seorang isteri solehah, yang tahu mendiamkan dirinya di tempat paling sunyi di hati suaminya sehinggakan selama 20 tahun usia perkahwinan mereka, Syuraih tidak pernah melihat kecelaan pada isteri yang dinikahinya. Walau bagaimana buruk pun seorang suami, jika boleh dinasihati dan mampu berubah ke arah kebaikan, isteri harus istiqamah memberi bimbingan. Walaupun tugas mendidik isteri adalah tanggungjawab suami, isteri juga berkewajipan menasihati suami. Kebanyakan isteri hari ini memiliki latar belakang pendidikan tinggi dan dengan ilmu yang ada memudahkan usaha mengharmonikan rumah tangga melalui kerjasama suami, isteri serta keluarga. Isteri perlu menjadi nilai tambah yang positif terhadap kekurangan suami.

    Sering kali apabila berhadapan masalah atau tidak mendapat perhatian suami, isteri mula mencari keseronokan di luar syariat. Keadaan ini juga berlaku disebabkan masing-masing tidak memenuhi tanggungjawab sehingga ada yang terabai. Hubungan yang tidak syarie antara suami atau isteri dengan bukan mahram menjadi sesuatu yang biasa dalam masyarakat. Perbuatan ‘main kayu tiga’ kini bukan dilakukan lelaki atau suami saja, tetapi sudah berjangkit kepada isteri. Isteri sudah berani menunjuk belang tanpa memikirkan harga diri, apatah lagi maruah suami dan masa depan anak. Justeru, suami dan isteri mesti lebih prihatin terhadap pasangan masing-masing kerana pernikahan adalah ikatan yang mulia dan bukan perjanjian biasa. Ia tidak akan terurai hanya kerana dunia dan pesonanya, malah perkahwinan merapatkan langkah kita ke syurga.

    Oleh Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh

    Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

    Percayakah anda dengan suami anda 100%???




    Seorang isteri boleh merasakan perubahan tingkah laku seorang suami, lebih-lebih lagi jika membabitkan seorang orang ketiga.

    Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Aza (bukan nama sebenar) minggu ini.

    "Saya berusia awal 30-an, baru berkahwin ketika kejadian berlaku sekitar 2006. Suami pernah menipu tetapi kelentongnya terbongkar tanpa perlu saya siasat, semua berlaku secara semula jadi.

    "Ketika itu saya mengandung. Suami bekerja di Kuala Lumpur. Dia banyak keluar daerah, utara, selatan, Pantai Timur dan juga Malaysia Timur.

    "Semasa di Kedah dia buat hal dengan seorang kerani di sebuah pejabat swasta. Walaupun tidak nampak apa-apa perubahan, naluri seorang isteri tetap nampak perubahan suami, tambahan pula saya sedang mengandung lima bulan.

    "Satu hari dia menghantar saya ke pejabat. Dalam perjalanan telefonnya asyik berdering, tapi dia langsung tidak peduli. Apabila saya menyuruh dia menjawab, katanya tidak apa.

    "Lalu saya teringat selama ini kalau telefon berbunyi semasa saya ada, dia menjawabnya dengan elok, ini lain pula sikapnya. Saya mula curiga tetapi masih tidak komen apa-apa. Tetapi dia yang rasa rimas.

    "Esoknya, kejadian sama berulang. Kali ini jawapannya menyakitkan hati saya. Katanya, "Saya sedang bawa kereta nak hantar isteri ke pejabat," hati saya sejuk sebab dia sebut nak hantar isteri ke pejabat.

    "Esoknya berlaku lagi. Kali ini saya hilang sabar. Saya tanya, siapa yang selalu telefon pagi-pagi itu.

    "Berkali-kali saya desak dia bercerita, akhirnya dia mengaku perempuan yang menelefon itu suka kepadanya walaupun tahu dia sudah ada isteri.

    "Masuk hari keempat saya terima panggilan dari seorang perempuan. Ketika itu saya bekerja. Dia bagi tahu saya dia telefon dari Kedah memberitahu dia ada hubungan dengan suami saya.

    "Saya nak bagi tahu kakak yang saya dan abang Z ada hubungan. Kami dah sebulan lebih berkawan.

    "Mendengar pengakuan tidak malunya itu saya macam hendak bersalin hari itu juga...sakit hati Allah saja yang tahu.

    "Saya tanya perempuan tu, dia tau ke yang suami saya itu sudah beristeri? Dia dengan tidak malunya berkata, saya tau… abang Z dah bagi tahu saya.

    "Bayangkan sikap anak dara kita sekarang, hilang maruah diri dan tidak ada rasa malu langsung.

    "Pulang kerja, saya dijemput suami. Saya tidak cepat melatah. Selagi belum ada bukti, saya tidak akan serang suami sewenang-wenangnya.

    "Saya mesti cari bukti. Dalam kereta, saya minta pinjam telefon bimbit dia, alasan saya hendak sambung bermain game yang saya terhenti malam tadi.

    "Sebenarnya saya buka mesej dia, satu persatu saya periksa, yang keluar dan yang masuk. Semuanya dari perempuan itu, antaranya ajak makan, minum dan macam-macam lagi.

    "Saya menggigil macam nak terajang saya dia keluar kereta.

    "Sampainya hati dia buat saya macam itu. Dalam keadaan saya tengah mengandungkan anak dia tergamak menduakan saya.

    "Panas saya sampai tahap kritikal. Saya tunjukkan semua yang ada dalam telefonnya. Terkebil-kebil matanya.

    "Apa lagi nak jawab, semuanya sudah ada depan mata. Akhirnya dia mengaku....skripnya tidak menjadi, lakonannya juga tidak mantap, akhirnya tembelangnya pecah.

    "Dek kerana kecewa saya keluar dari rumah dan menumpang di rumah sewa kawan bujang. Tidak tahu mengapa saya sudah tidak boleh pandang lagi wajahnya.

    "Dia datang mencari saya. Menangis-menangis cakap tidak akan buat lagi, dia mengaku bersalah dan sayangkan saya dan anak dalam kandungan.

    "Saya berikan syarat, sekarang juga dia kena selesaikan masalah dia dengan perempuan itu. Saya mahu dia bawa saya jumpa perempuan itu dan ceritakan perkara sebenar.

    "Pertemuan itu diatur. Kami berjumpa enam mata. Tahu apa perempuan itu kata kepada saya.

    "Akak lah perempuan paling tamak di dalam dunia yang pernah saya jumpa.

    "Selepas kejadian itu suami banyak berubah. Dia menjadi lebih penyayang dan mengambil berat. Kes perempuan itu senyap begitu sahaja.

    "Kami kini sangat bahagia bersama anak perempuan kami, yang berusia 4 tahun. Walaupun sekarang tidak ada tanda-tanda yang dia akan mengulangi perbuatannya itu tetapi saya selalu berjaga-jaga dan ada perasaan curiga.

    "Sekarang saya tidak percaya lagi seratus peratus kepadanya. Sekali terkena, dua kali beringat.

    "Saya terus memeriksa apa yang ada dalam telefon dan beg duit dia, apa dia tulis dalam diari semuanya saya periksa.

    "Saya berharap kejadian itu benar-benar menyedarkan suami dan saya berdoa supaya rumah tangga kami akan kekal sehingga ke akhir hayat, insya-Allah!," demikian Aza menutup ceritanya.

    Hebat betul kisah Aza. Saya bangga dan kagum dengan keberanian yang Aza tunjukkan dalam menjaga haknya.

    Ada masa kita sebagai wanita perlu berani bertindak jika ingin mencari kebenaran. Jangan menjadi 'hamba' kepada lelaki yang hanya mengambil kesempatan terhadap kebaikan wanita.

    Semoga kisah Aza menjadi iktibar kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan berumah tangga sehingga ke penghujung usia.

    Menutup kata, sesungguhnya kebahagiaan terletak kepada keberanian untuk mencari kebenaran dalam sebuah kehidupan yang telus, ikhlas dan harmoni. Salam

    - sumber utusan

    Thursday, June 24, 2010

    Kekalkan peperiksaan untuk nilai kematangan pelajar


    CADANGAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada dasarnya memang baik. Tujuannya amat murni, dengan harapan agar guru dapat memberikan pendidikan yang tulen berdasarkan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, pelajar pula dapat disemaikan dan dimantapkan dengan nilai mencari ilmu, mengukuhkan jati diri, bernilai murni dan pelbagai lagi aspek kehidupan yang akhirnya melahirkan insan kamil

    Dewasa ini, apa yang kita lihat di kebanyakan sekolah, guru dan pelajar hanya bersungguh-sungguh mengajar dan belajar semasa anak didik ini berada di dalam kelas untuk peperiksaan saja. Pada masa inilah guru mengadakan kelas tambahan, pihak pentadbir melaksanakan pelbagai program peningkatan akademik, manakala ibu bapa memberikan perhatian kepada anak mereka yang bakal menghadapi peperiksaan

    Namun, bagaimana pula halnya dengan kelas yang pelajarnya tidak menduduki peperiksaan? Terlalu kurang program malahan kelas tambahan jarang diadakan. Ibu bapa pula kurang memberi perhatian kepada anak ini kerana tiada peperiksaan awam yang harus ditempuhi. Oleh itu, jika sepanjang 11 tahun pelajar berada di sekolah dan hanya akan menduduki peperiksaan SPM saja, bayangkan apa yang akan berlaku terhadap pelajar dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan Empat? Yakinlah, komitmen semua pihak akan berkurangan untuk memberi didikan yang sewajarnya kepada anak didik ini. Saya yakin, niat Muhyiddin merangkap Menteri Pelajaran agar semua pelajar dapat menimba ilmu sebanyak mungkin di sekolah tanpa terlalu bergantung kepada latihan menjawab soalan pada sepanjang tahun. Apa yang penting dalam sistem pendidikan kita ialah mengurangkan kandungan sukatan pelajaran tetapi sebaliknya bagi setiap tajuk diberikan penekanan yang lebih mendalam. Misalnya, bagi mata pelajaran sains, apa salahnya, hanya dikekalkan 50 peratus sukatan pelajaran saja, tetapi bagi setiap tajuk disertakan dengan ilmu tambahan, dikaitkan dengan kehidupan dan isu semasa. Oleh itu, peperiksaan harus dikekalkan bagi memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas tetapi bentuk soalan haruslah berubah yang menjurus kepada semua pelajar dapat menjawabnya cuma kualiti jawapannya saja yang dapat membezakan kematangan mereka. Saya berharap, Kementerian Pelajaran tidak tersalah langkah seperti yang berlaku menghapuskan yuran peperiksaan akhirnya ramai yang tidak menghargai peperiksaan itu, memberikan buku teks percuma kepada semua pelajar sama ada miskin dan kaya, menghantar ke sekolah komputer, LCD, CD, VCD dan akhirnya terbiar begitu saja di bilik kelas atau di dalam stor. Semuanya ini mengundang perbelanjaan yang besar tetapi kesannya amat minimum. GURU C2, Johor

    Ujian ke atas murid bantu terap minat membaca


    SAYA agak terkejut apabila kerajaan ingin memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR daripada sistem pendidikan negara. Bagi saya ia adalah satu tindakan yang agak melulu dan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak. UPSR sebagai contohnya digunakan sebagai ujian untuk menguji kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Ia adalah asas untuk digunakan oleh semua pelajar pada masa akan datang. Jika tiada ujian diadakan, bagaimana untuk kita mengetahui adakah sukatan yang diajar guru berjaya atau tidak

    Bagi PMR, ia wajar dimansuhkan kerana memadai untuk menjadikan SPM sebagai kayu ukur dalam prestasi pelajar di sekolah menengah. Masyarakat kita sebenarnya hidup dalam masyarakat yang berasaskan peperiksaan

    Dalam sektor kerajaan sendiri, ada peperiksaan PTK yang akan menentukan kenaikan pangkat dan gaji bagi penjawat awam. Peperiksaan juga akan mendorong pelajar untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran mereka. Begitu juga kakitangan awam sendiri. Budaya membaca sukar dibentuk jika tidak ada sedikit unsur paksaan yang dilakukan secara halus menerusi peperiksaan yang bakal mereka hadapi. Walaupun kini beberapa gerakan membaca dilakukan oleh pertubuhan buka kerajaan (NGO) seperti Baca@LRT, Baca@Komuter dan sebagainya, tetap ia tidak cukup kerana golongan sasaran sebenarnya ialah golongan pelajar. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika budaya membaca tidak dipupuk ketika masih muda. Ia lebih sukar apabila pada tahap yang lebih dewasa dengan ada pelbagai jenis hiburan pada zaman ini. Diharap kerajaan dapat meneliti kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan agar bangsa Malaysia akan terus berjaya pada masa akan datang. MOHD SHAMSURIYADI MAMAT, Kuala Kangsar, Perak

    Tau berapa harga iPhone 4 at US??


    Telefon bimbit generasi baru iPhone keluaran Apple dijangka mendapat sambutan hangat apabila mula dipasarkan di negara ini esok dengan premis-premis yang menjualnya dijangka mencatat jualan laris.

    "Permintaan awal untuk iPhone baru adalah luar biasa tinggi. Kami meramalkan berlakunya satu lagi 'acara Apple' yang menyaksikan orang berbaris panjang, premis yang sesak dan kehabisan stok," kata penganalisis pasaran Deutsche Bank, Chris Whitmore dan Joakim Mahlberg dalam satu nota kepada pelabur.

    Apple mencatat rekod kehabisan jualan dalam sehari melalui tempahan iPhone dalam talian semasa pelancaran awal minggu lalu dengan 600,000 tempahan dalam masa 24 jam.

    AT&T yang merupakan pengedar iPhone di Amerika Syarikat berkata, jualan pra-tempahan untuk iPhone 4 adalah '10 kali lebih tinggi daripada iPhone 3GS pada tahun lalu'.

    Penganalisis Deutsche Bank meningkatkan jangkaan tentang jualan iPhone 4 dengan anggaran 44 juta unit dijual tahun ini dan 55 juta pada tahun depan.

    Sebilangan orang telah pun mula beratur di luar Apple Store di tengah bandar San Francisco sejak Isnin lalu untuk menjadi orang pertama mendapatkan iPhone 4.

    Di Jepun, pengedar telefon bimbit, Softbank turut berhadapan masalah pra-tempahan dengan barisan panjang menyerupai ular di premis-premisnya dan gedung dalam taliannya dibanjiri permintaan.

    Ketua eksekutif Apple, Steve Jobs mengumumkan pelancaran iPhone baru itu awal bulan ini. Ia mempunyai ciri perbualan video, rakaman gambar dan video berdefinisi tinggi dan resolusi skrin yang lebih jelas.

    iPhone 4 yang dijual pada harga AS$199 (RM644) bagi model 16 gigabait dan AS$299 (RM967) bagi model 32 gigabait, akan mula dipasarkan di 18 buah negara pada bulan depan dan 24 negara lagi pada Ogos ini. - AFP

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...