terima kasih buat kalian semua..

Saturday, July 31, 2010

Bukan semua Skim DG patut berpolitik...Guru aktif politik perlu sekatan mengikut tugas


KEBENARAN diberi kepada guru-guru kategori DG41-DG48 aktif politik merupakan satu lagi 'bonus' diberi kepada golongan pendidik. Kenapa begitu berminat sangat mereka kepada politik hanya individu yang berkenaan sahaja boleh menjawab. Tak bolehkah mereka berkhidmat kepada rakyat melalui gerakan atau pertubuhan yang lain?

Jasa kaum guru pada era penentangan terhadap penjajah dan seterusnya ke era menuntut kemerdekaan tidak dapat dinafikan. Mereka merupakan penggerak strategi di samping penglibatan para wartawan.

Hal ini berlaku kerana mereka berjawatan dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Kurang kita dengar penoreh getah atau petani yang berperanan sebagai 'ketua' dalam gerakan seperti ini.

Sesungguhnya jasa para guru dan wartawan sebagai pejuang terdahulu sangat besar. Jasa mereka tak patut dilupakan. Namun era sekarang telah berubah. Tidak ada lagi penentangan terhadap penjajah. Tidak ada lagi penentangan untuk kemerdekaan.

Cerdik pandai bertambah dan bercambah di sana sini dalam pelbagai bidang. Banyaknya persatuan dengan pelbagai nama dan berjuang atas nama pembangunan. Jadi, adakah persatuan atau pertubuhan sebegini tidak layak lagi 'glamour' dianggotai oleh para guru?

Arahan perintah am menghalang kakitangan peringkat tinggi menyertai politik. Begitu juga terhadap jawatan-jawatan yang berkepentingan walaupun kakitangan itu berada di taraf N27 dan seumpamanya. Kenapa arahan ini dikenakan? Antaranya supaya tidak berlaku konflik tugas.

Dalam pemilihan jawatan dikhuatiri berlaku lobi melobi. Yang mempunyai 'kelebihan tertentu' pasti menggunakan jawatannya untuk menarik penyokong. Perkara sebegini adalah tidak sihat dan pasti menimbulkan kekecewaan kepada yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan. Untuk mendapat sokongan pastinya tipis.

Sehubungan dengan itu, walaupun kategori DG41-48 dibenarkan, tetapi hendaklah diadakan sekatan. Bukan semua pegawai kategori tersebut bertugas di sekolah. Ada yang bertugas di peringkat kementerian, jabatan, di Pejabat Pelajaran Daerah dan pengetua sekolah.

Faham-faham sajalah apabila mereka mempunyai kuasa membuat keputusan atau boleh mempengaruhi kepada keputusan.

Akhirnya saya cadangkan mereka yang berjawatan di peringkat pengurusan tidak dibenarkan terlibat secara aktif dan memegang apa-apa jawatan dalam politik. Hal ini untuk mengelakkan konflik kepentingan. Syorkan mereka bergiat dalam persatuan-persatuan belia dan seumpamanya.

PESARA TUA

Rawang, Selangor

Mengapa terus kunjung kopitiam


JIKA sebelum ini, umat Islam digemparkan dengan insiden pasar raya besar menjual ayam yang tidak disembelih dengan sempurna, kini sekali lagi umat Islam digemparkan dengan sajian yang tidak halal oleh kebanyakan kopitiam.

Jelas terpapar dalam direktori www.halal.gov.my hanya dua kopitiam sahaja yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Justeru, apakah status makanan yang dimakan oleh umat Islam di kopitiam lain?

Sebelum kewujudan kopitiam, umat Islam lebih selesa makan dan minum di kedai-kedai makan orang Melayu Islam dan restoran-restoran mamak. Mereka menikmati makanan tanpa rasa was-was akan halalnya.

Walaupun pelbagai pihak mempersoalkan status halal dan haram makanan yang disediakan oleh kopitiam-kopitiam ini, namun majoriti masyarakat Islam tidak mengendahkannya. Jakim yang turut menyediakan kemudahan menyemak status halal sesebuah kopitiam di laman webnya, tetapi masyarakat Islam lebih percayakan pemilik-pemilik kopitiam yang meletakkan pelekat halal 'yang haram' serta mengupah anak muda Melayu sebagai pekerja mereka.

Sedarlah, bahan mentah terutama daging ayam diperolehi daripada pembekal bukan Islam malahan terdapat kopitiam yang turut menyajikan makanan haiwan eksotik seperti katak yang dilaporkan oleh media massa baru-baru ini. Namun masyarakat Islam terus tidak memandang berat insiden tersebut kerana dikelabui oleh status elit yang dibawa oleh kopitiam.

Jika masyarakat Islam masih menganggap isu halal haram kopitiam sebagai remeh, lihat pula dari sudut bagaimana kopitiam ini sebenarnya secara perlahan-lahan membunuh kedai makan Melayu di bandar-bandar.

Majoriti orang Melayu tidak akan makan dan minum di kedai kopi orang Cina kerana meragui status halalnya tetapi orang Melayu tidak menolak kopitiam. Maka berduyun- duyunlah masyarakat Islam memenuhi kopitiam terutama dari kalangan teknokrat dan korporat Melayu.

Apa pun, yang lebih penting ialah bagaimana masyarakat Islam perlu bersatu menolak kopitiam yang tanpa segan silu terus menyajikan makanan tidak halal kerana mereka anggap masyarakat Islam sendiri sudah tidak mementingkan halal atau haram sesuatu makanan.

Jika kita kasihankan generasi muda Islam yang akan rosak jiwanya kerana terus menikmati makanan tidak halal yang menjadi darah daging mereka, kita harus bertindak "mengajar" kopitiam seluruh negara agar menghormati kedudukan halal makanan orang Islam!

NORHISYAM MOHAMAD

Kota Sarang Semut, Kedah

Friday, July 30, 2010

Siapakah yg dikatakan orang muda dan kenapa hak2 mereka berbeza disebabkan istilah tertentu??


Kita sering mendengar beberapa ayat yang menyentuh mengenai 'orang muda'. 'Dunia ini milik orang muda', 'kita memerlukan tenaga orang muda', dan macam-macam lagi. Masalahnya, siapa itu orang muda? Apa bezanya hak orang muda dan orang tua di Malaysia?

Bagaimana pula dengan belia? 'Belia' tu muda juga kah? Kanak-kanak pula bagaimana? Adakah mereka dari spesis lain? Pernahkah anda rasa nak termuntah, bila seseorang yang rambutnya sudah beruban dan berperut boroi, mengaku dirinya sebagai orang muda dan belia? Bagi sesetengah orang, muda atau tua itu adalah perkara yang subjektif. Kalau umur tua tapi hati muda, maknanya kita masih muda. Banyak juga teknologi moden di zaman serba canggih ini yang boleh mengubah si tua menjadi si muda. Ada juga orang muda yang mahu cepat tua supaya pandangannya diambil serius. Tapi, bagaimana pula dari segi undang-undang?
Saya cuba mencari jawapan siapakah sebenarnya anak muda dari segi undang-undang, tetapi jawapan yang saya temui tidak memuaskan hati saya. Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan bahawa kanak-kanak ialah mereka yang berumur di bawah 18 tahun.

Akta ini juga memperuntukkan bahawa bagi kanak-kanak yang dibicarakan atas mana-mana kesalahan, kanak-kanak tersebut haruslah dibicarakan di mahkamah yang berasingan daripada orang dewasa, kecuali di dalam beberapa keadaan yang khas. Terdapat juga beberapa peruntukan di dalam akta tersebut yang memberikan layanan yang berbeza bagi kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Dahulunya terdapat Akta Kanak-kanak dan Orang Muda, yang mana kanak-kanak ialah mereka yang berumur di bawah 14 tahun, manakala orang muda ialah mereka yang berumur di antara 14 hingga 18 tahun. Tetapi akta ini tidak lagi digunapakai. Menurut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 pula, belia ialah mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun. Ini bermakna, kalau seseorang itu berkahwin pada umur 24 tahun dan mendapat anak pada umur 25 tahun, beliau dan anaknya akan sempat 'membelia' bersama-sama selama setahun.

Hubungan seks Jadi, sekiranya anda berada di antara usia 15 hingga 18 tahun, anda boleh jadi kanak-kanak, orang muda dan juga belia sekaligus, tetapi layanan yang anda dapat adalah berdasarkan situasi. Jika

anda melakukan kesalahan jenayah, anda akan dilayan seperti kanak-kanak, tetapi jika hendak menyertai mana-mana persatuan belia, anda akan dilayan seperti orang dewasa lain di bawah umur 40 tahun. Sekarang, mari kita bercakap tentang seks. Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa sekiranya seseorang melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun, walaupun dengan kerelaan kanak-kanak perempuan tersebut, ia dianggap secara jenayah rogol. Jika kanak-kanak perempuan tersebut berusia di antara 16 hingga 18 tahun, walaupun beliau masih seorang kanak-kanak, ia bukan lagi satu jenayah (jika bukan Islam), tetapi hanyalah masalah moral. Persoal
annya, bagaimana pula jika pasangan seks kanak-kanak perempuan tersebut juga masih di bawah umur? Adakah kita patut melayan kanak-kanak lelaki tersebut sebagai seorang penjenayah, atau pesalah moral? Pada masakini, kebanyakan kes-kes yang melibatkan 'perogol statutori' ini dibicarakan di bawah undang-undang jenayah. Perbezaan-perbezaan layanan ini bukan sahaja dialami oleh orang muda yang masih dianggap kanak-kanak, tetapi juga orang muda yang sudah memasuki kategori belia. Yang menariknya, perbezaan layanan yang mereka perolehi bukannya disebabkan umur, tetapi disebabkan latarbelakang pendidikan yang mereka terima.

Mahasiswa-mahasiswa universiti tempatan kita rata-rata berusia di antara 18 hingga 25 tahun. Mereka termasuk dalam kategori belia. Di dunia luar, mereka akan dilayan seperti orang dewasa yang lain.

Hilang hak

Akan tetapi, sebaik sahaja mereka mendaftar sebagai pelajar universiti atau kolej tempatan, mereka akan secara automatik kehilangan beberapa hak yang dinikmati oleh rakan-rakan mereka yang mungkin tidak berpeluang untuk ke pusat pengajian tinggi tempatan (atau mungkin lebih bernasib baik kerana mampu belajar di luar negara?).

Hak-hak tersebut ialah, antara lain, hak untuk berekspresi, berpersatuan dan berpolitik (Oh maaf, anda mungkin boleh menikmati hak itu secara terbuka jika anda menyertai parti politik dari pihak pemerintah).

Disebabkan halangan-halangan ini, mahasiswa-mahasiswa kita sering mendakwa bahawa mereka dilayan bagai warganegara kelas kedua di negara sendiri, dan saya tidak menyalahkan mereka. Diseb

abkan perbezaan layanan, beberapa contoh ringkas yang saya beri di atas masih belum cukup untuk kita mengenalpasti siapakah sebenarnya orang muda dan apakah peranan mereka dalam pembangunan negara kita. Sehingga ke hari ini, orang-orang muda Malaysia dianggap cepat dewasa untuk mengenal seks dan jenayah, tetapi dianggap lambat matang untuk mengenal politik atau mengendalikan pertubuhan yang tidak bergantung kepada kerajaan. Bagaimana pula dengan orang-orang muda yang tidak terlibat di dalam mana-mana perkara di atas? Apakah pandangan penggubal undang-undang terhadap mereka?

Apa pula pandangan mereka terhadap penggubal undang-undang dan kerajaan yang menentukan nasib mereka?

oleh: Puspawati Rosman


Puspawati Rosman merupakan aktivis Lawyers for Liberty - sebuah perkumpulan peguam muda bagi mempromosikan hak asasi dan reformasi undang-undang

Dua situasi orang berjunub boleh baca al-Quran


APAKAH hukumnya membaca surah Yasin / Al Quran tanpa mengambil wuduk?

Jawapan: ADA BANYAK hadis yang menjelaskan mengenai larangan membaca al-Quran ketika sedang berjunub. Antaranya, sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, daripada Ali Abi Talib RA yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW membacakan kepada kami akan al-Quran , selama Baginda tidak menanggung hadas besar.”

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah, daripada Ibnu Umar menyebut: “Janganlah hendaknya membaca orang yang berjunub dan orang yang haid akan sesuatu dari al-Quran.”

Membaca al-Quran dengan niat tilawah (membaca), bukan niat zikir dan bukan itlaq saja, iaitu niat membaca dan tidak niat zikir, dengan pembacanya melafazkan huruf-huruf sehingga didengar sekurang-kurangnya oleh pembaca sendiri, dalam keadaan berhadas besar atau junub hukumnya adalah haram.

Tetapi melafazkan al-Quran dalam hati saja atau digerak-gerakkan bibir (kumat-kamit) tanpa memperdengarkan diri sendiri, tidaklah menjadi haram kerana kelakuan itu tidaklah disebut sebagai membaca. Dalam Hasyiatul Bajuri juzuk 1, halaman 144 sebagai berikut:
“Kata Syarih: Yang ketiga, yang haram atas orang haid adalah membaca al-Quran, ertinya dengan bahawa dilanjutkannya dan diperdengarkan dan tidak ada sesuatu yang menghalangi pendengaran. Maka jika dialirkan al-Quran dalam hatinya dengan tidak diperdengarkan akan dirinya, tiadalah menjadi haram kerana sesungguhnya yang demikian itu, bukanlah membaca.”

Untuk pengetahuan kepada saudara yang bertanya, hanya dalam dua masalah seorang yang junub boleh membaca al-Quran. Pertama, individu yang solat fardu dalam keadaan junub, padahal dia Faqidut thahurain (iaitu ketiadaan dua alat pencuci, mahu mandi tak ada air, mahu tayamum tak ada tanah, maka diperkenankan baginya dalam sembahyang itu untuk membaca surah al-Fatihah saja dan tidak boleh membaca surah lain.

Kedua, seorang yang bernazar untuk membaca Yasin pada waktu yang tertentu. Tiba-tiba, waktu yang dia bernazar itu, ia berada dalam hadas besar, lagi ketiadaan air dan tanah, maka diperkenankan baginya membaca Yasin kerana darurat.

Dalam Hasyiatul Bajuri, juzuk 1, halaman 166 seperti berikut: “Tetapi orang yang ketiadaan air dan tanah dapatlah membaca al-Fatihah pada solat yang wajib, dan sepertinya juga bacaan yang wajib di luar solat seperti orang yang bernazar untuk membaca surah Yasin, pada waktu yang tertentu, maka adalah ia pada waktu itu dalam janabah lagi ketiadaan air dan tanah. Maka sesungguhnya dapatlah dibacanya kerana darurat.”

Adapun, membaca al-Quran sesudah membuang air kecil atau besar, ada khilaf (selisih) pendapat ulama mengenai hukumnya. Ada yang menyatakan haram dan ada yang mengatakan makruh. Menurut yang ditarjihkan, yang makruhlah yang muktamad.

Seperti disebut dalam Nihayatul Muhtaj ila Syarhil Minhaj, juzuk awwal, halaman 126 sebagai yang berikut, maksudnya:

“Dan janganlah hendaknya ia berkata-kata ketika buang air besar, baik dengan berzikir atau lainnya, maka berkata-kata di kala itu adalah makruh. Dan meliputi yang demikian itu akan membaca al-Quran ketika membuang air besar.”

Sebuah hadis riwayat Abu Daud, al-Nasa’i dan ibnu Majah, daripada al-Huhajir Qunfuz, yang bermaksud: “Bahawa ia pernah datang kepada Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda sedang membuang air kecil, maka ia pun memberi salam kepada Nabi, maka Nabi tidak menjawabnya sehingga Baginda berwuduk, lalu Baginda menyatakan uzur seraya sabda Baginda, “Sesungguhnya aku benci bahawa aku menyebut Allah kecuali ketika suci.”

Sebuah hadis daripada Anas, beliau berkata, “adalah Nabi SAW apabila Baginda masuk ke tempat buang air, dicabutnya akan cincinnya.”
Dan sesungguhnya sahlah, bahawasanya lukisan cincin Baginda adalah huruf Muhammadurrasulullah.

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed


Selipar 'fung keong' dan pos laju


''Kadang-kadang sebagai ibu kepada seorang anak lelaki, saya harus uruskan benda yang pelik-pelik. Contoh terbaik minggu lepas saya pos laju tali pinggang. Hari ini saya pos laju selipar Jepun pula.

''Perkara ini berlaku sebab anak lelaki saya belum sampai 'level of responsibility' yang saya harapkan dan saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan saudara terdekat.

''Namun saya terus berdoa supaya janganlah satu hari nanti saya perlu pos laju seluar dalam pula.''

Catatan diari seorang ibu perihal anak lelakinya berusia 14 tahun yang kini bersekolah di Ipoh, Perak.

Dia dikurniakan empat cahaya mata, tiga perempuan dan seorang lelaki yang juga anak sulung dalam keluarga. Rutin berulang-alik ke Ipoh bermula awal tahun ini. Anaknya masuk asrama semasa tingkatan dua. Selain Kuala Lumpur-Ipoh, dia juga selalu berulang-alik ke pos laju.

Catatan diarinya tidak berhenti di situ.

''Hari ini budak pos laju nak tengok pula barang yang nak dipos, terpaksalah tunjuk selipar Jepun fung keong depan orang ramai (terglamor seketika, semacam kedengaran siren ambulans di luar pejabat pos mahu mengambilku selepas diserang penyakit malu tahap 4).''

Sempat dia bergurau dalam catatannya sendiri. Sememangnya seorang ibu tidak pernah malu untuk berbuat apa saja untuk anaknya.

Dia memanjangkan lagi notanya. Dikhabarkan di sekolah anaknya tidak disediakan perkhidmatan dobi. Semasa bulan-bulan pertama, baju yang disidai di ampaian terbiar berhari-hari tidak berangkat. Akibatnya baju tersebut hilang. Paling tragis (istilah yang dia gunakan), baju-baju tersebut dikutip oleh warden yang kemudian menjualnya dengan RM2 sehelai.

''Bayangkan duit sekolah buat beli baju sendiri.''

Dimanjakan

Luahan itu memang bukan perkara baru bagi ibu bapa yang mempunyai anak tinggal di asrama terutamanya anak lelaki.

Lebih-lebih lagi jika anak itu biasa dimanjakan, apabila melalui cubaan hidup berdikari pada usia mentah maka terjadilah insiden-insiden hilang barang sampai kadangkala macam tak terjangkau dek akal.

Dalam hal ini, terfikir juga wajarkah seorang anak yang baru berusia 13 tahun dihantar ke asrama. Rasanya terlalu awal memisahkan seorang anak dengan adik-beradiknya yang lain. Tidak mustahil kelak akan menjadi punca kerenggangan hubungan lantaran bersua muka sebulan sekali atau hanya ketika cuti sekolah. Sebab itu ada ibu bapa mengeluh anak yang dihantar ke asrama pada usia terlalu muda mempunyai karakter tersendiri. Tidak begitu gemar bergaul dengan adik-beradik, pendiam dan sedikit mementingkan diri. Adakalanya mereka lebih senang bersama rakan-rakan berbanding menghabiskan masa bersama keluarga. Pernah juga kedengaran, ada anak bersikap demikian kerana memprotes dalam diam lantaran terlalu awal dipaksa berpisah dengan ibu bapa.

Teringat kisah seorang teman. Dia dihantar ke asrama ketika tingkatan satu. Bapanya berkongsi cerita bagaimana ibunya setiap hari bengkak mata gara-gara tidak dapat menahan rindu. Lebih daripada itu memikirkan anak perempuan yang selama ini makan bersuap dan tidur bawah ketiak terpaksa menguruskan diri sendiri. Lama juga keadaan seperti itu berlarutan, akhirnya selepas setahun, anak itu dikeluarkan dari asrama dan bersekolah tidak jauh dari rumah.

Adakah ibu bapa terlalu mementingkan impian sendiri sehingga sanggup mengorbankan perasaan dengan alasan untuk melihat anak berjaya sedangkan hakikatnya anak itu tidak bersetuju diperlakukan sedemikian. Atau pun sememangnya banyak kelebihan menghantar anak ke asrama supaya mereka boleh belajar berdikari. Seorang bapa memberitahu, dahulunya dia juga tinggal di asrama seawal usia 13 tahun. Oleh kerana dia daripada keluarga miskin, maka selepas hari pertama dihantar ke asrama, ibu bapanya tidak pernah menjenguk. Jadual balik kampung bulanannya juga tidak pernah dipenuhi. Dia menghabiskan masa di asrama. Lima tahun begitu. Kemudian menyambung pengajian di universiti, tetapi dia tidak pernah melupakan keluarga jauh sekali mahu berkecil hati lantaran tahu dia menjadi harapan keluarga.

Mungkin agaknya dalam membuat penilaian sama ada menghantar anak ke asrama atau tidak, ibu bapa boleh berbincang. Pandangan anak biar pun baru berusia 13 tahun tidak boleh diketepikan. Tetapi dalam kes rakan yang menjadi pengunjung tetap pejabat pos, antara dia dan anak sememangnya rela berpisah. Si anak mahu tinggal di asrama, namun harapan ibu untuk melihat dia berdikari terlalu awal untuk dipenuhi. Jadi perjalanan ke Ipoh akan diteruskan, manakala kerani-kerani di pejabat pos bakal menjadi kenalan.

Kisah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta


PADA suatu masa dahulu, terdapat tiga bersaudara daripada keturunan Bani Israel. Mereka hidup dalam kemiskinan dan sentiasa dihina. Salah seorang daripada tiga bersaudara itu digelar Si Sopak.

Dia digelar begitu kerana kulitnya dijangkiti penyakit sopak. Saudaranya yang kedua, botak kepalanya. Maka digelarnya Si Botak. Yang ketiga digelar Si Buta, kerana matanya buta.

Pada suatu hari, Si Sopak berkata: "Alangkah bahagianya aku jika kulitku sehalus sutera dan aku pula menjadi kaya."

Allah mendengar kata-kata itu dan mengutuskan malaikat pergi ke rumah Si Sopak dalam bentuk manusia. Malaikat itu bertanya kepada Si Sopak: "Apakah yang engkau inginkan?"

"Kulit yang halus dan sihat daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta agar aku boleh menternaknya nanti," kata Si Sopak.

Malaikat pun menyapu sekujur tubuh Si Sopak. Kulit Si Sopak pun berubah menjadi halus. Selepas itu, malaikat pun menyerahkan seekor unta yang sedang bunting kepada Si Sopak.

Malaikat seterusnya pergi ke rumah Si Botak pula. Si Botak sedang menyesali nasib dirinya yang malang. Kepalanya yang botak kelihatan berkilat.

"Apakah yang engkau inginkan, wahai Botak," tanya malaikat.

"Saya ingin sembuh daripada penyakit botak ini. Biarlah rambut yang halus dan lebat tumbuh. Aku juga inginkan lembu untuk dipelihara," kata Si Botak malu-malu.

Malaikat pun mengusap lembut kepala Si Botak. Dengan izin Allah, tumbuhlah rambut yang lebat. Wajahnya pula menjadi kacak. Malaikat pun menyerahkan seekor lembu betina bunting kepada Si Botak. Si Botak pun memeliharanya sehingga beranak pinak.

Kemudian malaikat pergi pula ke rumah Si Buta. Seperti dua saudaranya yang lain, malaikat bertanya apa yang Si Buta inginkan.

"Aku inginkan mataku yang buta ini disembuhkan oleh Allah. Maka dapatlah aku melihat saudara-saudaraku," kata Si Buta.

Malaikat pun mengusap mata Si Buta. Si Buta pun membuka mata dan alangkah terperanjatnya dia apabila dia sudah dapat melihat. Malaikat pun bertanya kekayaan apakah yang Si Buta inginkan, dan apabila Si Buta meminta kambing, malaikat juga menyerahkan seekor kambing yang sihat dan sedang bunting kepadanya.

Beberapa tahun kemudian, terkenallah ketiga-tiga orang bersaudara itu kerana kekayaan masing-masing. Ternakan mereka memenuhi ladang ternakan masing-masing.

Mereka sekarang sudah digelar Tuan Sopak, Tuan Botak dan Tuan Buta. Kekayaan mereka tersebar di kalangan Bani Israel.

Allah kemudian mengutuskan malaikat untuk turun ke bumi dalam rupa seorang pengemis. Mula-mula sekali, malaikat pergi ke rumah Tuan Sopak.

"Saya ini musafir yang miskin, tuan," kata malaikat. "Tiada bekal untuk pulang. Demi Allah yang mengurniakan paras yang indah dan harta yang banyak, berilah unta seekor kepada saya untuk teruskan perjalanan."

Tuan Sopak jijik melihat musafir di depannya itu. Maka dia pun berkata: "Aku harus menyelesaikan banyak hutang. Aku tidak boleh memberi apa-apa kepada kau.

"Moga Allah mengembalikan keadaan tuan yang asal," balas malaikat yang menyerupai pengemis itu.

Selepas malaikat tersebut beredar, Si Sopak menjadi seperti dahulu. Kulitnya kembali dijangkiti sopak. Ternakan untanya semakin hari semakin susut kerana mati. Akhirnya habislah semua harta kekayaannya.

Malaikat pergi menemui Tuan Botak pula untuk meminta sedekah, Tuan Botak memberi alasan yang sama dengan Tuan Sopak. Maka malaikat pun berdoa agar Allah menjadikan Tuan Botak seperti dulu.

Kepalanya pun menjadi botak kembali. Lembu Si Botak juga mati seekor demi seekor. Maka Si Botak pun kembali miskin.

Malaikat menemui Tuan Buta pula. Lelaki itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila malaikat meminta agar diberikan seekor kambing, Tuan Buta pun berkata: "Dulu aku seorang buta. Allah telah menyembuhkan mataku. Oleh itu, kau ambil mana-mana kambing yang engkau sukai untuk dibuat bekalmu."

Mendengar jawapan itu, malaikat pun berkata: "Jagalah hartamu baik-baik. Sebenarnya Allah hanya ingin mengujimu. Allah telah meredaimu, sedangkan saudara-saudaramu telah mendapat kemurkaan."

Si Buta pun menadah tangan lalu mengucapkan syukur.

p/s: gambar hiasan

Thursday, July 29, 2010

KERA DI HUTAN DISUSUKAN


MALAYSIA masih menghadapi kebanjiran buruh asing. Kini Malaysia memperkenalkan pula dasar memberi kerakyatan penduduk tetap kepada mereka yang mempunyai kelayakan ijazah sarjana dan doktor falsafah.

Setakat ini pun kerajaan Malaysia sudah memberi banyak keistimewaan kepada warga asing yang memiliki kelulusan seperti itu sebelum mengisytiharkan dasar baru itu. Jika sudah diperkenalkan dasar seperti itu maka banyaklah keistimewaan yang diberikan kepada warga asing.

Nampaknya Malaysia sudah menterjemah pepatah yang diungkap nenek moyang ‘kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan’. Tidak cukup memberi biasiswa kepada warga asing yang membuat ijazah sarjana dan PhD, ini pula nak diberi kerakyatan taraf penduduk tetap.

Rakyat tempatan yang membuat ijazah doktor falsafah terpaksa bersusah payah mengeluarkan wang sendiri untuk perbelanjaan pengajian tetapi rakyat luar pula mendapat tawaran biasiswa. Alasan kerajaan bahawa negara memerlukan tenaga berkelayakan untuk membangunkan Malaysia. Jika kerakyatan penduduk tetap diberikan sudah tentulah ada kerja untuk mereka. Malang pula untuk orang tempatan peluang kerja itu diberi kepada golongan itu. Bijak sangatkah warga asing dan boleh diharapkah warga asing itu untuk membangunkan Malaysia?

MINAS

Puchong, Selangor

Beg hilang di LCCT KLIA


Pada 21 Jun 2010, saya bersama-sama rakan-rakan dijadualkan bertolak ke Jakarta. Sewaktu di pemeriksaan badan di sekuriti di terminal LCCT, KLIA, saya beratur menunggu pemeriksaan badan.

Saya telah memasukkan beg ke dalam scanner sebelum menunggu untuk diperiksa. Di dalam beg saya terdapat dompet, kad pengenalan, telefon bimbit, dan wang saku. Sewaktu hendak diperiksa, saya dipintas oleh sekumpulan manusia yang mendakwa mereka sudah terlambat untuk menaiki penerbangan.

Pihak keselamatan membenarkan mereka untuk diperiksa terlebih dahulu. Sewaktu saya telah selesai diperiksa, saya mendapati beg saya sudah tiada lagi di tempat sekuriti.

Saya ingin berterima kasih atas tindakan pantas sekuriti mengecam suspek. Namun setelah siasatan dijalankan selama sejam, kami gagal menemui suspek dan beg saya. Saya lantas tidak dapat terbang ke Jakarta, dan membuat laporan polis sejurus selepas itu.

Berikut ada sedikit perubahan yang saya cadangkan untuk pihak sekuriti;

  • Bertindak tegas dan tidak leka dalam memeriksa penumpang. Ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kelekaan kita. Saya harap penumpang yang sudah terlambat tidak dibenarkan untuk memotong barisan.
  • Kegagalan cctv mengecam suspek dengan baik. Saya hanya dimaklumkan bahawa mereka hanya dapat mengecam suspek berbaju hijau sahaja. Jika mereka mempunyai imej yang baik, mereka pasti mampu merakam wajah suspek dan berhubung dengan pihak imegresen untuk mengimbas kembali wajahnya. Orang ramai biasanya menganggap bahawa lapangan terbang adalah tempat yang selamat, apatah lagi di tempat yang dipenuhi oleh pihak keselamatan.
  • Kegagalan melaporkan kejadian ini segera kepada pihak polis - saya berasa amat hairan sewaktu membuat laporan polis tentang kehilangan beg saya. Ini kerana pihak polis tidak dimaklumkan tentang kejadian ini secepat mungkin.
  • Ketika saya ingin mengetahui hak saya selaku pelanggan di LCCT seperti hak ganti rugi dan sebagainya, saya tidak dilayan dengan baik dan dituduh ingin memburukkan nama mereka. Layanan seperti ini sangat saya kesali. Saya juga tidak diberi kebenaran untuk berhubung dengan pihak atasan.
Saya berharap pihak keselamatan LCCT KLIA boleh memantapkan lagi keselamatan dan pengurusan supaya kejadian ini tidak berulang lagi. Bayangkan betapa peritnya hal ini jika ia berlaku kepada anda..

Dr Nur Asyhraff Mohd Noor

Harta pusaka suami bukan hanya milik isteri


SANIAH (bukan nama sebenar) kehilangan tempat bergantung apabila suaminya Musa (bukan nama sebenar) meninggal dunia akibat serangan jantung. Sebelum kematian Musa, beliau hidup serba sederhana dan bagi menambah pendapatan keluarga, Saniah yang tinggal bersama ibu mentua mengambil upah membuat kuih.

Kehidupan mereka bahagia walaupun masih belum dikurniakan zuriat setelah hampir 15 tahun mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, kematian suami tercinta mengubah sikap Saniah terhadap ibu mentua dan adik-beradik iparnya.
Seminggu selepas Musa meninggal dunia, Saniah mengambil keputusan keluar dari rumah mentuanya dengan membawa semua barangan milik arwah termasuk kereta dan buku simpanan bank. Beliau menyewa rumah di daerah lain, tidak jauh dari rumah mentuanya.

Adik beradik iparnya hairan dengan tindakan Saniah berpindah ke rumah lain dan berusaha menasihatinya supaya terus tinggal dengan ibu mentua yang begitu menyayanginya. Saniah tetap dengan keputusan itu dan yakin dia mampu berdikari dengan harta pusaka peninggalan Musa.

Keluarga Musa memberitahu Saniah bahawa harta arwah perlu dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid dan menasihatinya mendapatkan khidmat pakar seperti AmanahRaya bagi tujuan itu. Namun, nasihat itu tidak dipedulikan Saniah yang menganggap harta peninggalan suaminya menjadi miliknya seorang.

Bagi mendapat kepastian prosedur pembahagian harta pusaka, abang simati, Isa (bukan nama sebenar) datang ke AmanahRaya. Beliau dimaklumkan mengenai cara pengagihan dibuat serta dokumen yang diperlukan bagi menguruskan pembahagian harta pusaka itu.
Isa kemudian ke rumah sewa Saniah untuk mendapatkan beberapa dokumen diperlukan seperti salinan kad pengenalan, sijil kematian suaminya, sijil nikah dan dokumen lain yang disimpan Saniah. Kunjungan Isa tidak disenangi Saniah yang mahu menguruskan sendiri harta pusaka milik arwah suaminya.

Selepas kunjungan iparnya itu, Saniah ke bank untuk mengeluarkan wang simpanan milik arwah berjumlah kira-kira RM20,000. Dia mengharapkan wang itu dapat digunakan untuk membayar tunggakan sewa rumah serta memperbaharui cukai jalan kereta arwah.

Harapan Saniah untuk mengeluarkan wang simpanan itu bagaimanapun tidak tercapai apabila pihak bank meminta Surat Kuasa Mentadbir. Pihak bank menyuruh Saniah ke AmanahRaya untuk memohon Surat Kuasa Mentadbir bagi membolehkan wang simpanan itu dikeluarkan.

Selepas mendengar penjelasan pegawai bank terbabit barulah Saniah sedar kehadiran abang iparnya, Isa, sebelum ini memang untuk membantunya menyelesaikan urusan harta pusaka peninggalan arwah suaminya.

Saniah bergegas ke pejabat AmanahRaya dan memaklumkan bahawa arwah suaminya tidak meninggalkan waris lain kecuali dirinya. Pegawai itu memberitahu, Saniah perlu mendapatkan sijil faraid dan jika tiada waris lain, pihak Baitulmal berhak mendapat tiga perempat bahagian daripada pusaka simati.

Saniah pula akan dapat satu perempat bahagian. Saniah jadi serba salah setelah mendengar penjelasan itu kerana sebelum ini dia yakin jika dia mengaku sebagai waris tunggal, kesemua harta pusaka arwah menjadi miliknya.

Setelah menyedari kesilapan itu, Saniah mengubah kenyataannya dan memberitahu simati mempunyai ibu, seorang abang dan seorang kakak seibu sebapa.

Atas permintaan Saniah, pegawai AmanahRaya membuat perkiraan dan memaklumkan ibu simati berhak mendapat 6/36 bahagian, saudara lelaki kandung (14/36), saudara perempuan kandung (7/36) sementara Saniah sebagai balu mendapat 9/36 bahagian.

Bagi membolehkan AmanahRaya menguruskan pembahagian harta pusaka simati, Saniah dinasihatkan mengisi borang permohonan dan menyertakan salinan kad pengenalan waris, sijil nikah, sijil kematian suaminya serta dokumen lain berkaitan harta pusaka arwah seperti buku simpanan bank dan kad pendaftaran kereta.

Pegawai AmanahRaya juga mencadangkan Saniah berbincang dengan waris yang ada mengenai cara pembahagian harta pusaka. Beliau diberitahu pembahagian wang simpanan di bank boleh dibahagikan mengikut kiraan faraid sementara kereta boleh dipindah milik kepada Saniah jika semua waris bersetuju.

Seminggu selepas pertemuan dengan pegawai AmanahRaya, Saniah datang semula bersama waris simati iaitu mentua dan iparnya. Saniah dengan nada terharu memaklumkan, setelah berbincang dengan semua waris, mereka bersetuju menyerahkan semua harta pusaka milik arwah suaminya kepada beliau.

Dengan persetujuan itu, kereta dan wang simpanan arwah diserahkan kepada Saniah. Melalui Surat Kuasa Mentadbir, Saniah mengeluarkan wang simpanan bank.

Hubungan kekeluargaan antara Saniah dan keluarga arwah suaminya kembali pulih. Saniah menghadiahkan sebahagian wang peninggalan arwah suami kepada ibu mentuanya. Selebihnya digunakan untuk membuka perniagaan dan memulakan hidup baru dengan tekad menjaga ibu mentuanya seperti ibu sendiri.

FAKTA: Fakta Kes
  • Pemilik Harta: Musa (suami/simati)
  • Pemohon: Saniah (balu simati)
  • Bidang kuasa: Seksyen 17 (1), Akta Perbadanan Amanah Raya 1995
  • Harta pusaka: Sebuah kereta dan wang simpanan di bank tempatan
  • Hutang: Tiada
  • Waris dan pembahagian faraid:
    - balu - 9/36
    - ibu - 6/36
    - saudara lelaki - 14/36
    - saudara perempuan - 7/36

  • Haram jual stok lama ikut harga semasa..boleh kena penyakit kusta!!!


    SAYA sudah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan, jadi saya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak sehingga kadang-kadang dapat menampung keperluan setahun. Apabila tiba saat kenaikan harga, maka saya akan mendapat keuntungan lebih.

    Apakah wajar saya menaikkan harga mengikut pasaran semasa dan apakah stok simpanan dikira sebagai perbuatan menyorok barangan yang saya tahu salah di sisi Islam. Harap dapat penerangan.
    Ahmad Munir,
    Kangar, Perlis.

    Jawapan: Agama Islam menghalalkan jual beli selama mana tiada berunsur tekanan dan paksaan terhadap pihak lain. Kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli hendaklah saling reda meredai antara satu sama lain dalam melakukan muamalat jual beli.

    Namun demikian, ada sesetengah peniaga cuba untuk menangguk di air keruh bagi mengaut keuntungan lebih dengan menyimpan bagi tempoh masa tertentu dan menjualkannya pada saat kenaikan harga seperti sekarang.
    Ulama bersepakat menyatakan perbuatan menyorok barang untuk dijual ketika harga mahal adalah perkara diharamkan Islam kerana menyakiti dan menindas pengguna. Ia bertujuan menekan mereka yang berhajat pada ketika itu dan tiada pilihan kecuali membeli pada harga ditetapkan. Malah dapat pula mempermainkan harga barangan.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah menyorokkan barang bagi seseorang sehingga waktu mahal itu sedangkan ia ditegah.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmiz dari Amr Bin Fadzlah)

    Berdasarkan hadis itu, ulama menetapkan hukum diharamkan perbuatan menyorok barang jualan dengan dua syarat iaitu dilakukan di negara penduduknya akan menderita disebabkan adanya komplot itu dan menaikkan harga sehingga menimbulkan kesusahan pengguna semata-mata ingin memperoleh keuntungan berlipat ganda.

    Saidina Umar pernah menyebut: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta.” (Hadis riwayat Ahmad)

    Apa dilakukan saudara tidak termasuk dalam perkara yang dibincangkan kerana saudara menjual secara berterusan tanpa menunggu masa kenaikan harga barang. Sebenarnya saudara sudah mendapat keuntungan jika meletakkan pada harga berpatutan tanpa mengikut harga semasa kerana membeli dengan harga lama dan mendapat banyak potongan membeli dalam kuantiti banyak.

    Diharap saudara dapat pertimbangkan mengikut keperluan semasa dan perikemanusiaan. Hikmah atau falsafah kepada pengharaman ialah untuk menolak kemudaratan ditanggung satu pihak sedangkan pihak lain mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seburuk-buruk hamba adalah mereka yang menyorok barangan, jika ia mendengar harga murah ia murka, dan jika barang menjadi mahal ia bergembira.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)


    Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh


    Wednesday, July 28, 2010

    Beri subsidi dalam bentuk wang


    KERAJAAN telah melaksanakan langkah pertama dalam mengurangkan subsidi dengan menaikkan empat barangan keperluan iaitu petrol, diesel, gula, dan LPG. Umum tahu kerajaan kerugian jutaan ringgit berikutan pengaliran subsidi tersebut ke luar negara disebabkan aktiviti penyeludupan. Langkah-langkah yang lebih efisien dan tegas perlu dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan subsidi hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja.

    Saya berpendapat, kerajaan seharusnya menyalurkan bantuan subsidi dalam bentuk wang tunai kepada semua rakyat. Barangan yang bersubsidi harus dijual mengikut harga pasaran terbuka. Dengan ini, pengaliran subsidi ke luar negara tidak akan berlaku kerana harga barangan tersebut di Malaysia lebih kurang sama dengan harga di negara jiran.

    Langkah ini juga akan memastikan hanya golongan yang berhak sahaja mendapat subsidi kerajaan serta menunjukkan ketelusan kerajaan dalam pemberian subsidi.

    Kerajaan harus tegas dalam isu ini memandangkan rakyat asing semakin ramai yang menetap dan bekerja di negara ini. Pemberian subsidi dalam bentuk wang tunai dilihat dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku selama ini. Akhirnya terpulang kepada rakyat bagaimana untuk membelanjakan subsidi tersebut kerana hasil kerajaan datangnya daripada rakyat dan harus kembali kepada rakyat.

    AMIRUL IMAN ANUAR

    Kulai, Johor

    Jemu tunggu status kelulusan tapisan keselamatan


    SAYA adalah kakitangan kerajaan yang sudah hampir tiga tahun berkhidmat. Apa yang menjadi masalah ialah saya dan pegawai lain yang senasib dengan saya terpaksa menunggu kelulusan tapisan keselamatan yang disyaratkan kepada pegawai yang mula berkhidmat selepas tahun 2007 untuk pengesahan jawatan.

    Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana pihak berkenaan memproses maklumat tapisan keselamatan tersebut? Maklumat tapisan keselamatan tersebut memakan masa sehingga setahun untuk diproses. Kami sudah jemu mendengar jawapan pegawai berkenaan, yang sebenarnya hampir tiada penyelesaian. Saya dan rakan-rakan saya sudah dua kali menghantar maklumat tapisan keselamatan (dua tahun berturut-turut), namun jawapannya tetap sama, maklumat tidak ditemui apabila penyemakan dibuat. Apabila ditanya pegawai berkenaan jawapan yang diterima juga tetap sama, maklumat belum dikemaskan. Jika maklumat belum dikemaskini, mengapa salah seorang daripada rakan kami yang menghantar maklumat tapisan keselamatan bersama kami statusnya telah selesai.

    Perkara lain yang menjadi kemusykilan saya, adakah maklumat tapisan keselamatan kami diuruskan mengikut prosedur yang ditetapkan atau sebaliknya?

    Ini kerana pegawai lain yang baru masuk berkhidmat pada tahun 2010, status tapisan keselamatannya adalah dalam tindakan sedangkan kami langsung tiada maklumat, walaupun sudah berkali-kali kami nyatakan nombor surat rujukan dan tarikh surat tersebut sebagaimana yang diminta.

    Jika dikaji dari sudut khidmat pelanggan Jabatan Kerajaan Malaysia, masa setahun untuk menyelesaikan sesuatu proses maklumat adalah terlalu lama. Lebih-lebih lagi Kerajaan Malaysia menggunakan sistem fail elektronik dan bukannya kaedah manual. Malah yang amat dikesalkan ialah kadar pemprosesan maklumat langsung tidak konsisten, pegawai yang baru sudah selesai diproses, pegawai lama langsung tiada maklumat diterima. Saya mohon pihak-pihak berkenaan membuat pertimbangan yang sewajarnya mengenai perkara ini, agar berlaku kelancaran perkhidmatan di semua peringkat dan suasana menang-menang wujud dalam Sistem Perkhidmatan Kerajaan Malaysia.

    PENJAWAT AWAM KECEWA

    Kedah

    Usah panjangkan selisih faham


    Perkahwinan merupakan sesuatu perkara yang dituntut oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah. Perhubungan suami isteri merupakan satu rahmat dan tanda kebesaran Allah kepada umatnya

    Bagaimanapun dalam melayari kehidupan berumah tangga sudah tentu tidak dapat dielakkan perselisihan faham antara suami isteri sama ada berpunca daripada suami ataupun dari pihak isteri.

    Pasangan seharusnya menyedari bahawa perkahwinan merupakan satu perkongsian hidup dua insan berlainan jantina dan mempunyai latar belakang yang berbeza.

    Akibat perbezaan itu, ia mempengaruhi cara berfikir, sikap, nilai dan cita rasa individu dan seterusnya menimbulkan perselisihan faham dan pertelingkahan.

    Menurut Kaunselor Kolej Kemahiran Tinggi Mara Sri Gading, Batu Pahat, Nor Shadira Jamaluddin perselisihan faham boleh dielakkan sekiranya kedua-dua belah pihak saling menghormati.

    "Dalam kehidupan normal, mana mungkin tidak berlaku pertelingkahan bak kata P. Ramlee sedangkan lidah boleh tergigit inikan pula suami isteri,'' ujarnya tegas.

    Katanya lagi, dunia rumah tangga boleh diibaratkan seperti air lautan ada pasang surutnya. Ada masa air laut bergelora dan ombak akan mengganas menghempas pantai.

    "Begitulah juga dalam kehidupan berumah tangga ada masa kita gembira serta bahagia dan kadangkala pula dirasakan rumah tangga begitu membosankan sehingga berlaku pergaduhan,'' ujarnya lagi.

    Walau bagaimana rapatnya hubungan suami isteri, pasti akan berlaku pertelingkahan kecil atau terbitnya rasa tidak puas hati kerana perkara seperti ini mudah berlaku ibarat lidah dan gigi pasti akan tergigit juga.

    Namun, yang membimbangkan ialah sekiranya perkara seperti ini tidak dibendung akan mengakibatkan hubungan suami isteri retak dan seterusnya hancur.

    Seharusnya dalam pergaduhan antara pasangan, jangan ungkit perkara-perkara yang telah berlaku.

    "Hal sedemikian hanya akan menimbulkan lagi kemarahan antara pasangan, sebaliknya salah seorang perlu bertindak mendiamkan bagi mengelak keadaan terus panas,'' katanya lagi.

    Katanya, dalam pergaduhan, kadang kala ia boleh mematangkan perhubungan suami isteri.

    Namun harus diingatkan supaya elakkan perselisihan di hadapan orang lain termasuk anak-anak kerana ia akan membuatkan mereka mengikuti perangai yang tidak baik itu.

    Dalam perkahwinan kita terpaksa berkongsi segalanya dan melalui perbalahan, kita akan tahu kelemahan dan kelebihan suami atau isteri namun harus diingatkan supaya tidak menggunakan bahasa yang kesat.

    "Walaupun pedih disakiti pasangan namun jangan sesekali mengeluarkan kata-kata yang kotor, lucah, mencarut kepada pasangan sebaliknya berfikirlah secara bijaksana," katanya.

    Perkara negatifnya apabila perbalahan tidak dikawal dan masing-masing mahu menunjukkan ego sendiri, pertengkaran yang berkisar perkara kecil atau remeh-temeh boleh berlarutan kepada 'perang dingin' atau krisis lebih besar.

    oleh ZUHAYATI YAZID

    Larangan membunuh tanpa asas


    Tindakan membunuh sesama Islam tanpa alasan yang benar adalah peristiwa hitam yang terjadi dalam sejarah Islam dari zaman ke zaman. Dewasa ini ia muncul dengan tajuk keganasan, terorisme atau militanisme yang dikaitkan dengan agama Islam.

    Ia menjadi suatu isu besar yang turut mempengaruhi imej dan hubungan Islam dan agama-agama lain. Walaupun kita faham tidak semua label pengganas benar tetapi kita juga tidak dapat menafikan memang ada dalam kalangan penganut Islam, mereka yang bertindak ganas di luar kerangka hukum Islam.

    Dalam memperjuangkan apa yang mereka rasa benar, mereka boleh sampai menghalalkan darah sesama Islam dan mengisytiharkan jihad perang tanpa hak terhadap mereka yang tidak sealiran.

    Menyedari bahaya ini, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam kitab Mafahim Yajib An Tusohhah menyambung perbahasan isu takfir dengan larangan mencaci dan membunuh sesama Islam.

    Beliau menegaskan bahawa membenci, memutuskan hubungan dan memusuhi kaum Muslimin itu adalah haram. Mencaci seseorang Muslim adalah suatu kefasikan dan membunuhnya tanpa alasan yang benar, adalah suatu kekufuran apabila dia menghalalkan perbuatan tersebut.

    Sebagai bukti tegahan dalam permasalahan ini, memadailah diingat hadis melibatkan Khalid ibn al Walid r.a ketika diutuskan kepada kaum Bani Jazimah untuk mengajak mereka kepada Islam. Apabila beliau sampai, mereka pun menemuinya.

    Lalu Khalid r.a berkata kepada mereka: "Masuklah kalian ke dalam Islam!" Mereka menjawab: "Kami adalah kaum Muslimin". Khalid ibn Walid berkata, "(Jika begitu) letakkanlah senjata kalian dan turunlah (dari bukit itu)". Mereka menjawab, "Tidak! Demi Allah, tidak ada sesuatu yang terjadi setelah meletakkan pedang, melainkan pembunuhan. Kami masih belum berasa aman denganmu dan orang-orang yang bersamamu."

    Khalid berkata dengan tegas: "Tidak ada keamanan bagi kalian kecuali jika kalian turun (dari bukit itu)."

    Setelah mendengar ancaman itu, sebahagian mereka pun turun manakala sebahagian yang lain berpecah.

    Dalam riwayat lain disebutkan bahawa, ketika Khalid sampai kepada kaum Jazimah, mereka menyambutnya dengan baik.

    Lalu Khalid r.a berkata: "Siapakah kalian? Sudah Muslim, atau masih kafir?"

    Mereka menjawab: "Kami adalah Muslimin. Kami telah mendirikan solat, kami juga membenarkan kenabian Nabi Muhammad SAW, kami telah membangunkan beberapa buah masjid di halaman rumah kami, dan melaungkan azan di dalamnya."

    Dalam satu lafaz, mereka tidak mengatakan, Aslamna (kami telah masuk Islam), tetapi menyebut Soba'naa! Soba'naa! (Kami telah meninggalkan agama kami dahulu, kami telah meninggalkannya)".

    Kemudian Khalid berkata kepada mereka: "Mengapa kalian masih menyandang pedang?"

    Mereka menjawab: "Sesungguhnya di antara kami dan sebahagian orang-orang Arab ada permusuhan. Kami takut, jikalau kalian adalah mereka. Maka kami pun tetap menyandang pedang."

    Khalid r.a berkata: "(Sekarang) letaklah pedang kalian." Mereka akhirnya meletakkan senjata.

    Kemudian Khalid berkata kepada angkatan tenteranya: "Tawanlah mereka". Maka sebahagiannya ditawan, sebahagian lagi diikat dan kemudian dibahagi-bahagikan di antara sahabat-sahabatnya.

    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

    Seludup diesel menjadi-jadi di sempadan Malaysia


    SAYA sebagai rakyat Malaysia terlalu sedih melihat bagaimana minyak di kawasan sempadan dipunggah masuk ke negara jiran tanpa had sekarang.

    Mulai 1 Ogos semua kenderaan dari negara jiran tidak lagi dibenarkan membeli minyak RON95 dan mereka hanya boleh membeli minyak RON97 yang diapungkan harganya.

    Bagaimana dengan diesel? Kebanyakan kenderaan negara jiran menggunakan diesel.

    Saya mohon kerajaan memperlihatkan satu peraturan yang lebih tegas bagi mengatasi masalah kerugian subsidi kerajaan mengalir keluar negara.

    Sekarang rakyat asing beroperasi dengan motosikal berkuasa besar untuk memunggah minyak keluar, harap pihak berkuasa lebih kerap menjalankan operasi membanteras kegiatan ini.

    MAT ALI

    Rantau Panjang

    Kelantan

    Tuesday, July 27, 2010

    Suami layan SMS kekasih lama..


    PERASAAN seorang isteri ada kalanya tidak difahami oleh suami sehinggakan mengheret mereka memendam rasa. Kebanyakan suami tidak pandai menjaga hati isteri jauh sekali menghargai perasaan mereka.

    Begitulah yang berlaku kepada Ina (bukan nama sebenar) dalam kisahnya kepada saya.

    Kita ikuti kisah hidup Ina.

    "Semuanya bermula selepas suami didatangi oleh kekasih lamanya yang telah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang cahaya mata.

    "Perkahwinan aku dengan suami dikurniakan sepasang cahaya mata yang sedang meningkat dewasa. Rumah tangga yang kami bina atas rasa cinta selama hampir 18 tahun menuju jalan yang tidak berpenghujung.

    "Hubungan kami semakin dingin, Pelbagai usaha dibuat untuk menanganinya secara berhemah sayangnya semua menemui jalan buntu.

    "Semuanya gara-gara suami bermain kayu tiga dengan bekas kekasihnya yang juga isteri orang.

    "Alasan hanya kawan yang sering terbit daripada mulut suami tidak meyakinkan aku. Hati aku seringkali tercalar dan terluka oleh tindak tanduknya yang aku anggap telah melampaui batas.

    "Rumahtangga yang dibina tidak seindah dan tidak sebahagia dahulu. Cinta kasih kami dikhianati oleh suami sendiri hanya kerana kehadiran kekasih lamanya.

    "Kejujurannya selama ini terhadap aku mulai punah. Segala-galanya berubah dalam sekelip mata sahaja.

    "Kisah sedih aku bermula pada satu malam apabila tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu nada SMS di telefon bimbit suami.

    "Aku bingkas bangun dan terus mengambil telefonnya, bimbang ada SMS yang penting terutama pada waktu malam selepas dibuka, aku terbaca satu SMS yang berbunyi, "belum lagi, kenapa?" Waktu itu jam telah menunjukkan pukul 12 tengah malam.

    "Aku jadi bingung dengan SMS tersebut, lantas aku terus mendail nombor yang tercatit di skrin telefon suami. Hati aku tersentak dan terkejut apabila nombor yang aku dail itu dijawab oleh seorang wanita.

    "Hancur luluh hati hatiku jadinya. Aku terus menangis dan tak mampu untuk menyahut suara yang aku dengari itu.

    "Aku terus membelek lagi telefon suami dan sekali lagi hati aku hancur berderai apabila terbaca SMS suami untuk wanita tersebut dengan pertanyaan: "Dah tidur ke?" kepada wanita tersebut.

    "Aku yakin suami telah biasa menghubungi wanita itu melalui SMS di tengah-tengah malam. Aku mengejutkan suami dan menanyakan tentang SMS itu.

    Suami hanya menjawab: "Tak ada apa-apa, cuma kawan biasa saja." Dia juga memaklumkan pada aku yang wanita tersebut kekasih lamanya.

    "Pada malam itu tidurku terganggu, aku langsung tidak boleh melelapkan mata. Aku menangis sepuas--puas hati kerana selama ini aku tidak percaya yang suami akan perlakukan demikian kepada aku.

    "Selama ini aku menyangkakan suami seorang yang baik, jujur dan sayangkan aku dan keluarga. Tapi sangkaan aku selama ini meleset sama sekali.

    "Pintu hati aku semakin hari semakin tertutup rapat untuknya.

    " Adakah aku dianggap isteri yang zalim sekiranya hati aku tidak dapat dibuka lagi untuk suami?

    "Selama ini aku tidak pernah terfikir untuk bersikap tidak jujur pada suami. Bagi aku suami adalah segala-galanya dalam hidupku.

    "Aku menghabiskan usia yang ada bersama-sama suami dan anak-anak. Setiap saat, setiap minit dan setiap hari yang dilalui aku sering menjadikan mereka yang teristimewa di hati aku lebih daripada segala-galanya.

    "Aku tidak pernah kisah dengan apa yang suami beri dan apa yang suami lakukan terhadap diri aku. Aku buat apa yang termampu untuk suami.

    "Selepas kejadian itu, hubungan kami menjadi dingin, dia menuduh aku benci kepadanya pada hal dia menjadi punca segala kekalutan yang kami lalui sekarang. Apakah ini yang dinamakan suratan atau kebetulan.

    "Hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Aku diuji oleh Tuhan sekali lagi. Kejadian ini berlaku pada aku pada pagi yang hening.

    "Sewaktu aku sedang sibuk menjalankan tanggungjawab di pejabat, aku dikejutkan dengan satu panggilan dari seseorang. Orang itu memberitahu suamiku sedang berdua-duaan dengan wanita tersebut.

    "Tangisan tidak dapat dibendung lagi. Airmata aku jatuh bercucuran tanpa aku sedari yang aku berada di pejabat waktu itu. "Aku tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dibuat.

    "Syukur pada Tuhan kerana menganugerahkan aku dengan sikap sabar yang cukup utuh.

    "Aku dikurniakan oleh Allah satu kekuatan yang entah dari mana datangnya. Tapi persoalannya sekarang sampai bila agaknya kesabaran dan kekuatan ini mampu ditanggung?

    "Aku mahu dilepaskan seandainya dia masih mahu kembali kepada kekasihnya itu. Aku tidak mahu menjadi penghalang cinta antara mereka berdua.

    "Tapi sayang, suami hanya mendiamkan diri seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku menjadikan aku tertanya-tanya apa sebenarnya yang dia mahu dalam hidupnya.

    "Mungkin juga aku bukan isteri pilihannya dan sepatutnya dia memilih kekasih lamanya untuk menjadi isterinya dan bukannya aku.

    "Semuanya telah ku korbankan untuk dia, tapi dia mencabar kesetiaan dan kejujuran aku selama ini terhadap dirinya.

    "Ya Allah, apa yang harus aku lakukan. Aku sudah tidak berdaya lagi dengan dugaan ini. Walaupun selama ini aku pasrah dengan dugaan-Mu namun berikanlah aku sedikit ruang untuk mengecapi kebahagiaan di dunia ini, dunia yang hanya sementara ini.

    "Kehidupan aku sentiasa dipenuhi dengan rasa duka tanpa belaian kasih ibu yang kembali menghadap Ilahi ketika usiaku 6 tahun. Namun dugaan yang dilakukan oleh suami kali ini benar-benar meruntun hati dan terlalu pahit untuk ditelan.

    "Kepada suamiku, tidak bolehkah kamu menjaga hati dan perasaan isterimu ini?

    "Aku juga pernah menghubungi wanita tersebut tapi malangnya dia tidak pernah mahu menjawab panggilan aku.

    "Nasihatku kepadanya, sedarlah dunia yang kecil ini sentiasa berputar dan ia hanya untuk sementara sahaja. Pembalasan dari Tuhan sekarang ini tidak perlu tunggu waktu jasad terpisah dari badan. Sampai masa anda akan menerima ujian-Nya juga. Renung-renungkanlah.

    "Di sebalik kedukaan yang ada aku tetap tidak putus berdoa agar satu hari nanti saya akan dapat kembali kebahagiaan yang pernah dikecapi sebelum ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan memakbulkan permintaan dan doa saya," Ina menamatkan ceritanya.

    Saya amat bersimpati dengan Ina dan saya berdoa agar Ina diberi kekuatan dan kesabaran untuk melalui ujian ini. Semoga kisah Ina akan menjadi iktibar dan tauladan kepada para suami yang tidak menghargai pengorbanan dan kejujuran isteri.

    Pesanan saya, terimalah mereka seadanya untuk menjadi suri dalam hidup dan terangilah hidup mereka dengan penuh kasih sayang kerana kehadiran mereka di dunia ini adalah sebagai pelengkap dalam kehidupan seorang lelaki yang dipanggil suami.

    Pantau pakaian artis luar negara


    SAYA ingin mengambil perhatian pihak berkuasa berkenaan penganjuran konsert MTV World Stage Live In Malaysia yang akan berlangsung pada 31 Julai ini. Konsert ini akan membariskan persembahan artis luar negara iaitu Tokio Hotel, Katy Perry dan Wonder Girls.

    Saya secara peribadi berharap agar artis yang membuat persembahan mematuhi etika berpakaian seperti yang ditetapkan.

    Ini kerana negara kita mempunyai budaya dan cara kita sendiri menikmati hiburan. Saya berharap pihak yang terbabit menghormati sensitiviti umum berkaitan penganjuran konsert ini.
    WARGA PRIHATIN,
    Putrajaya

    Ikhlas kerja pasti diberi ganjaran setimpal


    SAYA tertarik memberi maklum balas berhubung tulisan Opin Hampa bertarikh 24 Julai lalu dalam ruangan ini bertajuk Lulus PTK tak semesti naik gaji.
    Opin hampa kerana tidak mendapat kenaikan gaji walaupun lulus PTK dengan keputusan IV.

    Saya juga mengalami keadaan sama apabila lulus PTK dengan keputusan IV pada 2007 tetapi tidak mendapat anjakan gaji pada tahun berikutnya. Namun, belum sempat anjakan gaji dibuat, saya mendapat kenaikan gred secara time-based pada 2008. Bukan saja tidak mendapat anjakan gaji PTK bagi gred sebelumnya, saya juga menjadi bahan ejekan rakan sekerja kerana lulus PTK tetapi tidak mendapat anjakan gaji.

    Sesungguhnya ini cabaran kepada kita kerana berasa semua usaha seolah tidak dihargai, namun saya pasrah dan bersyukur kerana kenaikan gred secara time-based lebih besar anjakan gajinya berbanding kenaikan gaji berdasarkan keputusan PTK. Saya percaya jika memang rezeki ia tetap datang walau bagaimanapun caranya.

    Alhamdulillah, pada tahun selepas itu saya mengambil PTK bagi gred baru dan mendapat IV seterusnya layak menerima anjakan gaji.

    Itulah yang dikatakan kalau sudah takdir rezeki, kita pasti mendapat hak
    kita akhirnya.
    Saya berharap saudara tidak kecewa kerana sesungguhnya saudara bertuah kerana mendapat kenaikan pangkat walaupun tidak sempat menerima anjakan gaji PTK. Saya pasti anda sudah melepasi gred gaji hakiki melebihi anjakan gaji PTK yang sepatutnya diterima pada gred 17.

    Berkhidmat dengan jujur dan ikhlas. Hanya satu kuncinya, setiap kali menghadapi peperiksaan, saya niat apa yang saya lakukan ikhlas dan mengharapkan ia demi kebaikan keluarga.

    CAMAR TUAH,
    Tawau, Sabah

    Puasa nisfu Syaaban bidaah


    Rasulullah berpuasa paling banyak dalam Syaaban selepas Ramadan. Apa maksud atau falsafah di sebalik perbuatan baginda ini?

    SHUKRAN: Sememangnya daripada segi psikologi, kita mahukan yang terbaik dalam beribadat apabila masuk bulan Rejab, Syaaban hingga ke Ramadan. Sebab itu, kita ghairah beribadat.

    Antara falsafah kenapa Nabi Muhammad SAW berpuasa sunat lebih dalam bulan Syaaban berbanding bulan lain adalah sebagai tanda perhambaan kita kepada Allah.

    Setiap ibadat yang dilakukan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah yang menciptakan kita dan sekelian alam ini.

    Selain itu, baginda juga mahu menggambarkan bahawa kita sedang memasuki satu fasa yang amat bererti dalam hidup iaitu Ramadan.

    Cuma jangan pula kita berlebihan-lebihan dalam beribadat sehingga melebihi amalan baginda SAW.

    Kita tidak nafikan kemampuan sesetengah orang berpuasa selama tiga bulan iaitu dari bulan Rejab, Syaaban hinggalah Ramadan.

    Nabi SAW ada bersabda yang maksudnya: Agama Islam itu mudah, tidak ada seseorang yang lebih suka mengambil berat dalam agama melainkan dia akan kalah sendiri.... (riwayat Bukhari).

    Disebabkan banyak kelebihan Syaaban, ada yang menunggu bulan ini terutama wanita untuk qada puasa. Betulkah cara sedemikian?

    SHUKRAN: Tidak ada masalah untuk tunggu Syaaban baru mahu qada puasa. Namun, sebaik-baiknya puasa yang ditinggalkan itu segera diqada.

    Sebabnya, ia adalah hutang kita dengan Allah. Hutang ini perlu segera dijelaskan.

    Adalah tidak betul untuk menangguhkan yang wajib (qada puasa) semata-mata untuk mendapat yang sunat (kelebihan puasa dalam bulan Syaaban).

    Adalah dibimbangi sesuatu berlaku kepada kita sebelum sempat tibanya bulan Syaaban sudah pasti ia akan menyusahkan kita dalam urusan mengqada puasa itu tadi.

    Suka juga saya menjelaskan, bahawa bagi orang yang tiada keuzuran tetapi sengaja meninggalkan puasa Ramadan, puasa qadanya itu tidak akan menyamai puasa Ramadan.

    Ia sebagai mana hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Siapa yang berbuka puasa satu hari daripada Ramadan tanpa rukhsah dan sakit, dia tidak mampu menggantikannya dengan puasa seumur hidup sekalipun dia melakukannya". (riwayat Tirmidzi)

    Ramai umat Islam yang berpuasa pada nisfu Syaaban. Namun, ada pendapat mengatakan perbuatan ini sebagai bidaah. Benarkah?

    SHUKRAN: Sememangnya perbahasan ulama dalam bab ini tidak pernah habis bermula daripada Imam Syafie sehinggalah Imam Syatibi.

    Begitulah dalam bab fikah. Sebab ia melibatkan kefahaman maka ia akan berubah apabila masa dan tempat serta keadaan persekitarannya berbeza.

    Kalau kita mengaitkan puasa pada 14 atau 15 Syaaban itu sebagai datang daripada Rasulullah SAW, maka itu bidaah. Sebabnya, tidak ada hadis yang mengaitkan puasa hari tersebut dengan nisfu Syaaban. (Nisfu bermaksud setengah atau separuh)

    Jadi, kalau kita nak puasa pada tarikh tersebut boleh saja. Cuma jangan dikaitkan dengan puasa nisfu. Terutama bagi mereka yang melazimi berpuasa pada hari 13, 14 dan 15 setiap bulan.

    Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi SAW telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara iaitu puasa tiga hari setiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan), dua rakaat Dhuha dan solat witir sebelum aku tidur. (riwayat al-Bukhari)

    Sebenarnya kita mewarisi ikhtilaf ulama sejak dulu lagi yang dikenali sebagai hadis mauduk (palsu). Sebab itu, ulama fikah dulu ambil pendirian syadid (keras) dalam bab ini. Tujuannya untuk mengelak ia berleluasa.

    PADA bulan Syaaban banyak amal kebajikan diperoleh mereka yang mengambil kesempatan beramal. Bulan yang sering dijadikan persediaan menyambut Ramadan turut menjadi bulan umat Islam berebut melakukan amal kebajikan.

    Apabila Syaaban berhasil mendorong melaksanakan pelbagai kebajikan dengan amalan mengikut sunnah seperti memperbanyakkan berpuasa sunat, maka Ramadan yang menyusul dapat dilalui dengan mudah dan selesa untuk menunaikan kewajipan berpuasa.

    Ulama mengatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk membersihkan diri, Syaaban membersihkan hati dan Ramadan membersihkan jiwa.
    Mengenai malam Nisfu Syaaban, Imam Syafii menyatakan dalam Kitabnya Al-Umm: Sudah sampai kepada kami, ada orang yang mengatakan sesungguhnya doa dimakbulkan oleh Allah pada lima malam: malam Jumaat, malam Hari Raya Aidil Adha, malam Hari Raya Aidil Fitri, malam pertama bulan Rejab dan malam 15 Syaaban.

    Imam Syafii berkata: Saya suka kepada kelebihan yang dinyatakan pada malam itu dengan syarat ia tidak dianggap wajib.

    Sahabat, tabiin dan ulama bersungguh beribadah pada malam itu. Kitab Durratun Nasihin menyebut: Jibril datang kepadaku pada malam Nisfu Syaaban dan berkata: Wahai Muhammad, pada malam ini pintu langit dan pintu rahmat sedang dibuka, oleh itu bangun dan kerjakan sembahyang kemudian angkat kepalamu serta kedua-dua tanganmu ke langit.

    Aku (Rasulullah SAW) bertanyakan: Wahai Jibril, apakah gerangan malam ini? Jibril menjawab: Pada malam ini sudah dibuka tiga ratus pintu rahmat, maka Allah Taala mengampuni semua orang yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, melainkan tukang sihir, kahin (tukang tenung), orang suka bermusuhan, peminum khamar (arak), orang yang melacur dirinya, pemakan harta riba, orang derhaka kepada ibu bapa, orang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan hubungan silaturahim. Maka sesungguhnya mereka tidak akan diampuni sehingga mereka itu mahu bertaubat dan meninggalkan pekerjaan (maksiatnya) itu.
    Beribadah pada malam Nisfu Syaaban boleh dilakukan dengan memperbanyak membaca al-Quran, berselawat kepada Rasulullah SAW, berzikir dan berdoa. Ketahuilah malam Nisfu Syaaban adalah termasuk salah satu masa perkenan dan mustajab doa.

    Doa yang dibaca Rasulullah SAW pada malam Nisfu Syaaban antara lain bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa-Mu dan murka-Mu, dan aku tidak mengira pujian kepada-Mu, seperti mana Engkau memuji kepada-Mu sendiri. Maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau reda.

    Doa itu dibaca Rasulullah SAW dalam sujud di waktu malam ketika sembahyang sunat di rumahnya. Baginda SAW membaca doa itu dalam sujudnya sambil matanya menitiskan air mata kerana perasaan takutnya kepada Allah SWT.

    Antara kelebihan malam Nisfu Syaaban ialah pada malam itu pintu langit dan pintu rahmat dibuka bermula daripada awal malam sehingga waktu Subuh.

    Allah mengampunkan segala dosa yang pernah dilakukan oleh orang yang menghidupkan malam itu dengan melakukan ibadah kecuali orang yang syirik kepada Allah, menyimpan dendam dalam hati, ketagih arak dan orang yang sentiasa berzina.

    Pada malam berkenaan juga amalan yang dilakukan dalam tempoh setahun diangkat kepada Allah, ditulis siapa yang akan hidup dan siapa yang akan mati, orang yang menghidupkan malam itu dengan beribadah akan dimasukkan ke dalam syurga.

    Bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat banyak melakukan kesalahan mengenai malam Nisfu Syaaban dengan berebut-rebut datang ke masjid atau surau untuk mendapat fadilat malam itu.

    Biasanya diadakan majlis bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali selepas sembahyang Maghrib dan selepas bacaan yasin pertama, diniatkan memohon panjang umur, memohon dijauhkan bala bencana (bacaan Yasin kedua) dan diniatkan memohon murah rezeki yang halal (bacaan Yasin ketiga).

    Difahamkan amalan sambutan malam Nisfu Syaaban yang kaifiatnya seperti ini tidak diamalkan di tempat lain melainkan di Malaysia dan sekitar Nusantara. Ada kalanya mereka membaca surah Yasin begitu cepat dan pantas sehingga mengabaikan hukum tajwid.

    Ini berlaku kerana ingin mengejar bilangan tiga kali bacaan. Al-Quran melaknat mereka yang membacanya dengan tidak betul hukum tajwid kerana al-Quran mestilah dibaca dengan tartil.

    Firman Allah bermaksud: Dan bacalah al-Quran dengan penuh tartil. (Surah al-Muzammil, ayat 4)

    Kita digalakkan sembahyang, berdoa, beristighfar, membaca al-Quran dan melakukan amalan disuruh Allah untuk kebaikan dunia dan akhirat. Nabi SAW tidak menetapkan bacaan surah Yasin seperti disebutkan itu.

    Sering juga kita mendengar khutbah yang disampaikan khatib semasa sembahyang Jumaat dengan memperingatkan jemaah supaya jangan terlalu taksub dengan amalan Nisfu Syaaban dan ini bererti ada kesalahan sering dilakukan ketika tibanya malam Nisfu Syaaban.

    Syaaban adalah satu bulan hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta dianggap pintu gerbang Ramadan yang penuh berkat.

    -sumber Utusan dan Bharian

    62% pengundi muda ‘atas pagar’


    Seramai tujuh juta pengundi muda akan menjadi faktor penentu dalam keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

    Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Makmal Pemuda BN telah memberi wawasan tentang pemikiran golongan pengundi muda dengan kebanyakan mereka mengambil pendirian non-partisan (tidak memihak) berhubung politik negara.

    Berikutan majoriti golongan belia bukan penyokong mana-mana parti, kajian itu mendapati tiga daripada lima pengundi muda atau 62 peratus daripada mereka masih ‘duduk atas pagar’ mengenai parti pilihan mereka.

    Hasil kajian ke atas kira-kira 1,000 responden dari seluruh negara itu serta cadangan dasar telah disampaikan oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.

    Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik khas selama dua bulan mulai Mac lalu itu bagi membantu parti pemerintah menggubal dasar bersesuaian dengan keperluan generasi muda di negara ini.

    Hasil laporan itu akan diumumkan kepada awam pada satu mesyuarat bersama Perdana Menteri dijadual pada 20 Ogos ini.

    Kebimbangan utama yang disuarakan oleh responden adalah berkaitan dengan pekerjaan, pendidikan, peningkatan kos hidup dan pengangkutan awam.

    “Golongan belia ini akan mengundi mana-mana calon yang mereka fikir lebih baik pada pilihan raya umum akan datang,” menurut hasil kajian itu.

    Hasil kajian itu adalah serangkai dengan arah aliran politik semasa yang ditonjolkan oleh pelbagai pemerhati dan penganalisis politik termasuk Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.

    “Pengundi muda kini lebih berpandangan terbuka dan membina dan mereka tidak menilai sesuatu isu berdasarkan ideologi politik. Sokongan mereka mudah berubah atau bertindak kepada situasi pada bila-bila masa,” kata Abu Hassan.

    Menurutnya, generasi muda tidak lagi berpegang kepada kata-kata atau janji ahli politik tetapi sebaliknya menilai bagaimana parti-parti berkenaan menangani pelbagai isu.

    Bagi Khaw Veon Szu, Pengarah Institut Pembangunan Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR), iaitu kumpulan pemikir Parti Gerakan, pula, beliau percaya kebanyakan belia di negara ini masih cenderung kepada pembangkang, walaupun perangkaan 60 peratus pengundi belia ‘atas pagar’ seperti dilaporkan oleh Mahkamah Pemuda BN.

    “Saya percaya pengundi muda ‘atas pagar’ sebenarnya pada kadar 30 peratus dan saya tidak kata ia akan mencecah sehingga 60 peratus,” katanya.

    “Pengundi sentiasa berubah secara bulanan tetapi ia hanya sekadar mana tahap perubahan itu.

    “Konsensus secara umum bagi golongan muda dan ligat itu pada amnya mereka memihak pembangkang,” katanya.

    Veon Szu berkata, pembangkang mempunyai sedikit ‘simpanan tetap’ dalam masyarakat Cina dan ini dijelaskan mengapa mereka begitu gigih mendaftar pengundi baru dan muda kerana mereka menganggap golongan itu adalah tambahan kepada ‘simpanan tetap’ mereka.

    Bagi memenangi hati pengundi muda, katanya, BN tidak mempunyai masa tetapi sebaliknya perlu mempunyai rancangan drastik bagi mengejar usaha pembangkang mendaftar pengundi baru.

    Salah satu sektor yang boleh membawa impak segera dan berkesan yang boleh meninggalkan kesan mendalam dalam minda dan hati pengundi muda adalah rombakan dasar pendidikan.

    Bagaimanapun, sebilangan pemerhati politik dan ahli parti berpendapat bahawa apa yang BN perlu sekarang ialah penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan oleh golongan ini dan bukan satu lagi kajian untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh belia.

    “Anda tidak perlu menjalankan satu kajian untuk mengetahuinya. Sebagai seorang pemuda, saya boleh beritahu apa yang golongan pemuda inginkan – pekerjaan, keselamatan, kualiti hidup yang lebih baik dan urus tabir yang cekap,” kata seorang pemimpin pemuda dari sebuah parti komponen BN.

    Bagaimanapun, sebarang bentuk kajian adalah penting dan dapat membantu BN merangka strategi bagi membantu golongan itu di peringkat bawahan.

    Usaha kajian seperti itu adalah langkah tepat seperti dilakukan oleh Pemuda MIC di mana lebih ramai pemimpin muda diberi tanggungjawab di peringkat cawangan dan bahagian.

    Ketua Pemuda MIC, T. Mohan, berkata pada 21 Ogos ini, sebanyak 50 cawangan pemuda baru dengan pemimpin baru akan dibentuk selain mendaftar ahli baru sebagai pengundi jika mereka mencapai umur 21 tahun.

    “Sebelum ini, kita terpaksa menunggu sehingga seseorang itu melepaskan jawatan atau meninggal dunia. Tetapi kini, kita melakukan rombakan dan maklum balasnya adalah baik.

    “Kami kini mempunyai pengerusi cawangan berusia antara 20-an dan 30-an,” katanya.

    Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, kecenderungan pengundi muda kepada parti pembangkang sebahagian besarnya disebabkan faktor ‘tolakan’ dari BN dan bukan faktor ‘tarikan’ oleh pembangkang.

    “Perebutan mendapatkan sokongan pengundi muda masih terbuka luas. Pengundi muda akan memilih calon yang dapat membuktikan kelebihan yang ada pada diri mereka,” katanya.

    Oleh itu, Siew Fook berkata, pembangkang menumpukan kepada dua pendekatan iaitu pendaftaran pengundi baru secara agresif dan memaklumkan kepada golongan itu bahawa mereka boleh membuat keputusan dengan apa yang mereka fikirkan penting.

    Pensyarah Sains Politik, Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI), Dr. Ong Kian Ming berkata, Pemuda BN tidak mempunyai rancangan bersepadu untuk membabitkan golongan pemuda serta gagal mengetengahkan dasar untuk mereka.

    “Misalnya, isu biasiswa. Kita tidak lihat sebarang usaha bersepadu untuk menyelesaikan isu itu sehingga pengumuman oleh Perdana Menteri,” katanya.

    Pada 10 Julai lalu, Najib mengumumkan bahawa semua pelajar yang memperoleh keputusan 9A+ dan ke atas pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan atau luar negara.

    Kian Ming berkata, golongan muda nampaknya lebih cenderung kepada pembangkang tetapi parti pembangkang tidak boleh mengambil mudah berikutan keputusan pilihan raya umum lepas menunjukkan sedikit peningkatan sokongan golongan muda kepada BN.

    ‘‘Pada PRU 1999 dan 2004, corak pengundian golongan muda menunjukkan penurunan sokongan terhadap BN tetapi pada 2008, terdapat sedikit peningkatan sokongan kepada BN, khususnya dari generasi selepas reformasi berusia antara 21 dan 30 tahun,’’ katanya.

    Bagaimanapun, katanya, masih ada banyak cabaran bagi pihak pembangkang dan pemerintah tetapi kedua-dua pihak itu telah menampilkan beberapa pemimpin muda yang berjaya mendekatkan diri dengan golongan belia di negara ini. – Bernama

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...