terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 31, 2010

Karenah syarikat insuran menyusahkan mangsa nahas jalan raya!


PADA Disember 2009, saya terlibat dalam kemalangan yang agak teruk. Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, kereta saya tidak begitu bernasib baik. Memandangkan saya terselamat walaupun keadaan kereta begitu teruk, saya mengingatkan diri supaya tidak merungut kerana terpaksa melalui proses laporan polis, tuntutan insuran serta pembaikan kereta.

Walaupun saya bermula dengan sikap optimis, apa yang dialami dalam proses tuntutan insuran dan pembaikan kereta begitu mencabar tahap kesabaran saya. Pertama, saya diberitahu syarikat insuran bahawa kereta saya hanya boleh diperbaiki oleh bengkel didaftar sebagai panel syarikat insuran.

Kedua, memandangkan keadaan kereta saya begitu teruk, bengkel yang dipilih telah memberitahu saya bahawa kos pembaikan adalah agak tinggi. Oleh itu, bengkel mencadangkan supaya syarikat insurans mengisytiharkan kereta saya sebagai ‘tidak boleh diperbaiki’. Pada masa itu, nilai penjualan semula kereta saya berharga lebih kurang RM84,000 manakala anggaran kos pembaikan oleh bengkel adalah sebanyak RM72,000 (tertakluk kepada penilaian penaksir insurans).
Kesabaran saya terus diuji apabila penaksir dilantik syarikat insuran mengambil masa selama dua bulan untuk memberi penilaiannya. Menurut beliau, syarikat insurans berpendapat bahawa kereta saya masih boleh diperbaiki dan kos pembaikan telah dipotong kepada RM54,000 saja, iaitu kurang sebanyak RM18,000 atau 25 peratus daripada sebut harga diberi bengkel.

Lanjutan daripada penetapan harga oleh penaksir insuran, pelbagai lagi masalah timbul yang menyebabkan penangguhan pembaikan kereta saya. Antaranya penangguhan penyediaan dokumen di antara penaksir, syarikat insurans dan bengkel. Ini juga menyebabkan penangguhan dalam pemesanan serta pembekalan alat ganti. Lebih enam bulan berlalu, tetapi kereta saya tetap dalam keadaan yang sama.

Tekanan yang saya alami sepanjang enam bulan memaksa saya memberi notis tindakan undang-undang terhadap syarikat insuran serta bengkel. Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan oleh syarikat insuran bahawa mereka membuat keputusan mengisytiharkan kereta saya sebagai ‘tidak boleh diperbaiki’ seperti dicadangkan sejak awal lagi oleh bengkel. Sejurus kemudian, akhirnya pada Julai 2010, saya menerima wang pampasan daripada syarikat insurans.

Soalan saya ialah setakat mana pemilik kenderaan mempunyai hak memilih sendiri bengkel kereta untuk kerja pembaikan kerana dalam hal ini, saya tidak diberi peluang membuat pilihan.
INGIN TAHU,
Subang Jaya

Ganyang Malaysia: Sikap baik rakyat Malaysia tidak dihargai!!


SEJAK konfrontasi diisytiharkan tamat oleh Indonesia pada 1967 hubungan Malaysia-Indonesia yang dipulihkan kini menjangkau 43 tahun. Dalam tempoh itu, pelbagai isu dan masalah timbul tetapi dapat ditangani dengan baik.

Namun begitu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu yang timbul tampak semakin panas kerana ada beberapa pihak terutama kumpulan pendesak mencetuskan tindakan liar yang boleh mengeruhkan keadaan

Antara isu penting berkaitan dengan Indonesia dan Malaysia ialah isu Ambalat, tarian pendet, isu pekerja Indonesia di Malaysia dan yang terbaru isu membabitkan pegawai maritim kedua-dua negara. Semua tindakan yang berkait dengan sebarang isu seperti protes datangnya dari pihak Indonesia dipercayai didalangi oleh sekumpulan pengacau dengan dipanaskan lagi oleh pihak media.
Antara desakan yang selalu diambil sejak akhir-akhir ini oleh pengacau yang berdemonstrasi di Indonesia ialah menghalau rakyat Malaysia keluar dari Indonesia. Dalam usaha menangani keadaan seperti ini satu kesimpulan boleh dibuat atas sikap Malaysia iaitu Malaysia sangat cermat dan sabar menghadapi sebarang isu berhubung dengan Indonesia. Tiada kenyataan keras dan mengancam pernah dikeluarkan setakat ini. Hubungan antara ketua negara dan antara negara terus terjalin dengan baik.

Seperti pendekatan negara yang banyak bersabar, begitu juga rakyat Malaysia sendiri yang tidak pernah bertindak balas melakukan perhimpunan sejak era konfrontasi. Jika diambil kira ancaman supaya rakyat Malaysia dihalau setiap kali timbul sebarang isu, sudah pasti akan ada tindak balas secara yang sama oleh rakyat Malaysia kerana rakyat Indonesia di negara ini lebih besar bilangannya.

Kedatangan mereka untuk mendapat peluang pekerjaan yang mana sebahagian daripadanya masuk secara haram. Bagaimanapun keadaan ini tidak berlaku, meskipun daripada jutaan rakyat Indonesia di Malaysia, terdapat mereka yang menggugat ketenteraman masyarakat kerana pembabitan dalam jenayah, kerja tak bermoral, menceroboh tanah, dan menunjukkan sikap agresif.

Jika di negara lain khususnya Eropah tindakan protes sering dilakukan penduduk tempatan ke atas pendatang asing. Sikap rakyat Malaysia yang boleh dianggap berkepala dingin atau penyabar ini sudah tentu boleh dihubung dengan kematangan rakyat negara ini berfikir, iaitu tindak balas yang melulu tidak akan mendatangkan faedah dan hanya merugikan.
Menjadi satu tanda tanya kenapa setengah pihak di Indonesia harus bersikap sedemikian. Padahal sudah banyak budi baik negara ini ditaburkan sejak daripada tuntutan ke atas Irian Barat yang mana Malaysia menjadi penyokong kuat Indonesia sehinggalah isu peluang pekerjaan yang diberikan kepada rakyat negara berkenaan.

Dalam era 1970-an dan 80-an, sering didengar orang Indonesia mengungkapkan perkataan seperti ‘universitas di Malaysia hanya gedungnya saja yang besar tetapi kurang dari segi ilmu’. Walaupun diperkecilkan, sikap rakyat Malaysia terus mesra dengan rakyat dari negara itu.

Kadangkala timbul satu kepelikan, kenapa segolongan pengacum ini begitu cepat terangsang dengan sebarang isu berkaitan Malaysia dan Indonesia? Adakah sikap baik yang selalu ditunjukkan Malaysia diambil kesempatan sebagai langkah perlindungan kepada jutaan rakyat Indonesia di Malaysia kerana sering apabila timbul sesuatu isu, akan ada perundingan dua hala yang sudah tentu bersangkut paut dengan kedudukan rakyat Indonesia di Malaysia yang dipinta supaya dilayani dengan baik.

DR HASHIM FAUZY YAACOB,
Fakulti Pengurusan dan
Pembangunan Sumber
Manusia, UTM,
Skudai, Johor

Peniaga bazar Ramadan ambil kesempatan


BULAN Ramadan ini bukan sahaja menguji keimanan umat Islam berpuasa, malah turut memberi peluang kepada orang ramai yang berjinak-jinak untuk berniaga.

Rata-rata kita dapat lihat 'peniaga segera' yang merebut kesempatan berniaga di bazar Ramadan dengan pelbagai juadah. Ada yang sedap dan tidak kurang juga yang tidak menepati selera pengguna.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah tentang harga makanan di bazar Ramadan berhampiran Dewan Seri Tebrau, Johor Bahru.

Dua hari lepas, saya telah membeli cempedak goreng di salah sebuah gerai dengan harga RM4 kerana ia adalah makanan kegemaran.

Alangkah terkejutnya, apabila saya melihat hanya enam ketul sahaja yang dimasukkan dalam beg plastik.

Bila saya tanya, kenapa mahal sangat? Jawab mak cik yang sedang menggoreng cempedak itu, mahal sebab cempedak kahwin.

Pada saya, tidak patut mak cik itu jual mahal kerana harga sebiji cempedak di pasaran sekitar RM4 hingga RM8 sekilogram bergantung kepada jenis dan saiz.

Saya harap pihak berkuasa rajin-rajinlah buat pemantauan di bazar Ramadan kerana ada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan meletakkan harga mahal.

PENGGEMAR CEMPEDAK, BAYU PUTERI.

Apa beza graduan perguruan IPTA dan maktab perguruan!!


SAYA mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) mewakili mahasiswa Sarjana Muda Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ingin memohon penjelasan mengenai beberapa aspek yang menjadi jurang perbezaan antara pelajar pendidikan IPTA dengan IPGM (Institut Perguruan Malaysia) yang lebih dikenali maktab perguruan.

Perkara paling penting iaitu berkenaan pembayaran elaun. Kita sedia maklum, hanya pelajar IPGM saja yang menerima pembayaran elaun, manakala tidak bagi pelajar IPTA. Mengapa? Memang benar pelajar IPTA ada yang menerima biasiswa perguruan persekutuan dan biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Namun tidak semua yang dapat menikmatinya. Pelajar yang gagal memperoleh dua biasiswa berkenaan pula sukar memperoleh biasiswa lain termasuk biasiswa JPA, kerana skop pembelajaran kami hanya untuk menjadi seorang guru dan sukar berkerja dengan badan swasta yang menawarkan biasiswa.
Selain itu, pandangan masyarakat termasuk guru sekolah yang kurang yakin dengan graduan pendidikan selain graduan lepasan IPGM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga satu masalah perlu dipandang serius.

Mahasiswa selain UPSI juga melalui prosedur pemilihan yang sama, iaitu perlu mendapat keputusan cemerlang, lulus MEdSI (Malaysian Educators Selection Inventori), dan lulus temu duga.

Malah berapa ramai antara kita yang sedar terdapat 14 IPTA dari 20 IPTA yang menawarkan kursus pendidikan? Masyarakat pada umumnya hanya mempercayai UPSI dan KPLI/DPLI adalah satu-satunya jalan untuk menjadi seorang guru sekolah menengah. Mengapa keadaan ini boleh berlaku?

MOHAMMAD FIRUS ROSOOL GANI, Yang Di-Pertua
Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) UUM

2 berita berbeza..penin2


Nasib rakyat dibela - Daud

KUCHING 29 Ogos - Kerajaan akan terus membela kebajikan rakyat pelbagai kaum di negara ini terutamanya golongan yang kurang bernasib baik supaya mereka turut dapat menikmati kehidupan yang sempurna.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, sejak 47 tahun lepas, kerajaan melaksanakan banyak program pembasmian kemiskinan.

Menurutnya, kadar kemiskinan pada masa tersebut mencecah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di seluruh negara.

"Bagaimanapun, kadar kemiskinan di Sarawak telah berkurangan iaitu hanya tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk di negeri ini pada masa sekarang.

"Jumlah tersebut dapat dikurangkan disebabkan pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan seperti bantuan perniagaan kecil-kecilan, bantuan ibu tunggal, golongan memerlukan dan sebagainya," katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Tupong di sini, semalam.

Daud berkata, kerajaan turut membantu mengurangkan beban golongan miskin menerusi bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan sebagainya.

Pada masa sama katanya, negara ini juga mengamalkan ekonomi terbuka, iaitu sesiapa yang rajin berusaha akan memperolehi kejayaan.

Namun, Daud mengakui masih ramai di kalangan golongan miskin yang tercicir daripada bantuan kerajaan.

"Kerajaan akan terus memantau golongan ini bagi memastikan bantuan disampaikan kepada mereka.

"Malah, golongan berkemampuan juga digalakkan supaya bersama-sama menderma kepada golongan ini bagi meringankan beban yang mereka hadapi," ujarnya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Daud telah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 293 penerima yang terdiri daripada golongan anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan saudara baru dari Kampung Tupong Jaya, Tupong Hulu, Tupong Tengah dan Tupong Batu itu.


Hanya 20 peratus dapat air bersih

MIRI 29 Ogos - Terdapat lebih 82,000 penduduk di Baram. Namun hanya 30 peratus daripada mereka menikmati bekalan air bersih manakala bekalan elektrik pula 20 peratus.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air), Sylvester Entri Muran berkata, selain liputan bekalan air dan elektrik yang belum luas, penduduk di kawasan Baram juga memerlukan akses jalan raya yang baik.

Ujarnya, kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memperuntukan sejumlah RM3.7 bilion bagi membangunkan prasarana asas di pedalaman Sarawak termasuk jalan raya, air dan bekalan elektrik.

"Walaupun peruntukan ini telah disediakan, namun sebahagian daripadanya belum dilaksanakan. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan lebih ramai penduduk Baram menikmati kemudahan asas.

"Sehubungan itu, kita mahu kontraktor dan agensi kerajaan yang berkaitan mempercepatkan perlaksanaan semua projek yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan di bawah NKRA dan pakej rangsangan ekonomi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Projek NKRA di Beluru, Bakong di sini, kelmarin.

Hadir sama Pegawai Daerah Baram, Joseph Belayong, Pengurus Perancangan dan Projek Sesco, Dahlia Madon, pegawai-pegawai kanan dari agensi kerajaan dan swasta.

Tanpa mendedahkan jumlah peruntukan dan jumlah penduduk yang bakal menikmati peruntukan itu, Entri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi memberitahu, kerajaan telah meluluskan peruntukan yang besar untuk dilaksanakan di kawasan Marudi.

Antara kampung dan sekolah yang menikmati kemudahan bekalan elektrik dan air bersih ujarnya membabitkan Rumah Anai, Sekolah Kebangsaan (SK) Manok, Kampung Padang Kerbau, Rumah Majelit, Rumah Bris, Rumah Hilary, Rumah Anthony Kedit, Rumah Ansok, SK Sungai Laong dan SK Sungai Kelabit.

Monday, August 30, 2010

lihatlah gambar ini, betapa pemaafnya org Melayu... walaupun rumah ibadat di simbah cat dan dibaling botol arak!!!


PENGERUSI Jawatankuasa Surau Taman Pulai Impian, Mohd. Hasbi Ismail bersalaman dan menerima permintaan maaf tiga daripada empat remaja Cina yang menyimbah cat dan membaling botol arak ke arah surau berkenaan, di Sikamat, Seremban, semalam. - BERNAMA


SEREMBAN - Majlis berbuka puasa di surau Taman Pulai Impian, Sikamat dekat sini malam semalam berlangsung dalam suasana ceria dan mesra.

Walaupun hujan, ia tidak menghalang kira-kira 200 orang masyarakat Melayu, Cina dan India untuk bersama-sama menikmati juadah yang dihidangkan, di bawah khemah yang disediakan, sebaik azan Maghrib berkumandang.

Majlis anjuran bersama MCA Negeri Sembilan, jawatankuasa surau dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman perumahan itu antara lain bertujuan untuk merapatkan hubungan antara kaum ekoran insiden empat remaja di kawasan itu menyimbah cat dan membaling botol arak pada surau itu Isnin lepas.

Majlis itu bertambah ceria dengan kehadiran empat remaja terbabit berusia 16 dan 18 tahun itu bersama ibu bapa mereka untuk bersama-sama di majlis itu.

Mereka ditahan untuk membantu siasatan polis Selasa lepas.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi MCA Negeri Sembilan Senator Datuk Dr Yeow Chiam Thiam, Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Abdul Halim Hassan dan pengerusi jawatankuasa surau Mohd Hasbi Ismail.

Khamis lepas, MCA Negeri Sembilan mengambil inisiatif membawa ibu bapa kepada empat remaja terbabit iaitu Cheng Kok Foo, 38, Wong Seow Wai, 43, Loh Teck Ai, 53 dan Leong Foong Kuen, 53, ke surau itu untuk memohon maaf kepada jawatankuasa surau dan masyarakat Islam akibat perbuatan anak mereka itu.

Petang semalam, tiga remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini terhadap pertuduhan berkaitan insiden tersebut.

Majistret M. Mageshwary membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 22 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan akhlak ketiga-tiga remaja itu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abdul Halim berkata majlis ini menunjukkan keunikan masyarakat Malaysia yang datang dari latar belakang yang berbeza tetapi dapat duduk bersama-sama dan meraikan antara satu sama lain.

Katanya dengan kepelbagaian kaum dan pegangan agama yang berbeza kadang- kadang berlaku salah faham dan rasa tidak puas hati antara satu sama lain.

"Namun, apa yang penting ialah bagaimana kita menangani perbezaan yang ada.

Kalau ada pertelingkahan, bagaimana kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut.

Justeru itu, saya merakamkan penghargaan kepada pemimpin tempatan dan pihak yang terlibat yang telah berjaya menangani insiden seperti yang semua maklum yang berlaku di kawasan ini.

"Inilah persefahaman dan pemuafakatan yang telah kita jalin sekian lama sejak usaha untuk mencapai kemerdekaan lagi. Kita telah menyelesaikan banyak perkara melalui perundingan, bersemuka, berbincang dan menyelesaikan secara baik. Kerana itu kita perlu terus mengekalkan formula yang telah berjaya mewujudkan keamanan selama ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di negara ini supaya jangan sekali-kali melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan kemarahan rakan-rakan daripada kaum yang lain.

"Jauhi dari perbuatan yang menyentuh sesitiviti kaum dan agama. Pelihara kesucian tempat-tempat ibadat dan jangan cemari tempat-tempat ibadat dengan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan. Hormatilah budaya dan agama masyarakat pelbagai kaum yang ada di negara ini.

"Bagi mencapai matlamat tersebut sikap toleransi, faham memahami dan hormat menghormati perlu menjadi amalan setiap masyarakat yang ada. Usaha-usaha bagi menyatupadukan masyarakat merupakan satu proses yang berterusan. Dari semasa ke semasa proses tersebut berhadapan dengan pelbagai cabaran selari dengan perubahan yang sentiasa berlaku.

"Antara cabaran yang dihadapi masakini ialah kehadiran generasi baru yang tidak lagi memahami semangat pemuafakatan yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dalam usaha untuk kita mencapai kemerdekaan.

"Justeru itu, muncullah tuntutan yang tidak lagi mengambil kira perkara- perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan. Oleh itu, kita perlu berpegang kepada perlembagaan negara dan prinsip Rukun Negara yang menjadi teras bagi memastikan perpaduan masyarakat terus utuh," katanya.

Yeow yang ditemui pemberita berkata MCA dengan kerjasama badan bukan kerajaan di taman perumahan itu akan menganjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan bagi menyatupadukan lagi masyarakat di taman perumahan itu.

"Saya percaya tak kenal maka tak cinta, biarlah kita wujudkan satu landasan untuk kaum Melayu, Cina dan India kenal mengenali di antara satu sama lain. Di sini saya pasti dengan kewibawaan kerajaan Barisan Nasional (BN), kita mesti boleh capai matlamat ini," katanya.

Mohd Hasbi pula berkata beliau amat gembira kerana majlis itu dapat dijalankan dengan lancar di mana satu toleransi telah ditunjukkan oleh pelbagai kaum yang tinggal di taman perumahan itu.

Katanya melalui majlis itu satu hubungan baru telah dibina bagi perpaduan kaum Melayu, Cina dan India terutama di taman perumahan itu. - BERNAMA

KURANGKAN PEKERJA INDONESIA !!!


SAYA berasa terpukul dan kecewa dengan tindakan rakyat Indonesia yang sentiasa mencemuh dan menghina Malaysia walaupun kita serumpun dan banyak memberi peluang pekerjaan kepada rakyatnya.

Sejak 10 tahun lalu, saya telah membayar pembantu rumah gaji minimum RM600 dan sekarang RM750-RM800. Kami sekeluarga sentiasa melayan pekerja Indonesia seperti keluarga tetapi ada di antara mereka mengambil kesempatan di atas kebaikan kita.

Saya menyeru bersungguh-sungguh kepada kerajaan supaya mengambil langkah serius dan bukannya ‘hangat-hangat tahi ayam’ bagi mengurangkan pergantungan kepada rakyat asing khususnya rakyat Indonesia dan Bangladesh dalam pelbagai bidang termasuk domestik dan restoran. Pusat penjagaan kanak-kanak yang berwibawa dan profesional dengan bantuan majikan perlu diwujudkan atau diwajibkan dengan segera. Saya merayu kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri agar mengambil tindakan yang lebih holistik bagi menangani masalah pergantungan kepada rakyat asing ini dan bukan hanya apabila isu kejiranan dibangkitkan semula. Tindakan ‘melatah’ sementara ini amat membahayakan keselamatan negara kita dalam jangka panjang.

NORAIDA RAMLI

Shah Alam

Sunday, August 29, 2010

INDONESIA LEMPAR TAIK SEBAB CEMBURU!!!!


DILAHIRKAN di tanah air Malaysia, membuatkan saya sangat terhina dengan perbuatan segelintir masyarakat Indonesia yang memperlihatkan kebodohan mereka.

Dengan pendidikan yang telah saya terima sejak di bangku sekolah lagi, saya dapati negara jiran kita itu sentiasa merasa tidak puas hati dan cemburu melihat kemajuan negara kita.

Namun, apa yang peliknya, negara kita sendiri seperti terlalu menatang bagai minyak yang penuh pada negara jiran kita ini. Baru-baru ini, walaupun Indonesia telah meletakkan syarat untuk mengambil pembantu rumah warganegara mereka, kita tetap mahu kehadiran mereka walaupun telah tersiar di sana-sini bahawa mereka ini sanggup melakukan apa sahaja terhadap anak-anak bangsa kita yang masih kecil.

Entah sedar atau tidak, sebenarnya kehadiran warga asing ke negara kita telah menimbulkan pelbagai kekacauan dan kekecohan.

Kini, Jalur Gemilang yang kita cintai dilakukan persis kain buruk, dipijak-pijak. Sanggupkah kita hanya melihat tanpa sedikit pun terdetik di dalam hati kita semangat cintakan tanah air?

Tolonglah, saya merayu kepada semua warganegara agar bangun demi menjaga maruah negara kita. Andai kita terlalu memperlihatkan keindahan negara lain, siapa lagi yang akan menjaga hak negara yang kita cintai ini? Tanpa kita bersatu padu, mampukah kita akan terus berada dalam negara seaman dan semaju ini sekarang? Renungkanlah.

ISMO CINTAKAN MALAYSIA

Keda

BANTAH CADANGAN PRESIDEN MCA: Kita tak boleh sewenang2 nak bagi kerakyatan!!


SAYA membantah cadangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek agar kerajaan Malaysia memberikan taraf kerakyatan secara automatik kepada pemegang kad pengenalan merah yang telah berusia melebihi 60 tahun seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini.

Tidak kira berapa umur dan dari mana asal usul pemohon, sama ada dari China, Indonesia, Singapura, hatta Amerika Syarikat sekalipun, setiap pemohon wajiblah memenuhi setiap syarat yang ditetapkan terutamanya taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, fasih berbahasa Melayu dan mengakui hak-hak istimewa bumiputera sebagai penduduk asal negara ini.

Harus diingat bahawa menetap di Malaysia bukanlah sekadar melarikan diri dari kesempitan hidup di negara asal atau mengaut kekayaan di negara ini semata-mata, malah perlulah sanggup berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan asas-asas penubuhan dan menghayati sejarah negara ini.

Sekiranya tidak sanggup untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, usahlah bermimpi untuk menjadi warganegara Malaysia. Pergilah memohon kerakyatan daripada negara lain.

Saya yakin adalah lebih baik Malaysia mempunyai bilangan warganegara yang sedikit daripada memiliki warganegara yang tidak taat dan boleh mengancam kemakmuran negara.

AZLANSYAH AMAN

Masjid Tanah, Melaka

ANTARA NASI DAN NAJIS : Lepas ni Jika Tsunami di Indonesia tak perlu lah kita terhegeh2 nak pergi bantu!!!


JIKA berlaku musibah gempa bumi atau tsunami, rakyat Indonesia janganlah mengharap atau sedih sekiranya tiada bantuan dari Malaysia. Bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpada-padalah memberi bantuan. Bantulah mereka yang boleh mengenang budi. Telah banyak kali hati rakyat Malaysia diguris tetapi kita masih bersabar dan bertolak ansur. Rakyat Malaysia memang prihatin, toleransi dan suka membantu. Kita bukan tamak dan rakus tetapi sekiranya seinci tanah kita diceroboh, atas dasar hak dan undang undang, tindakbalas perlu diambil.

Kepada rakyat Indonesia di Malaysia, anda sepatutnya berdemonstrasi di hadapan kedutaan anda dengan menjulang Jalur Gemilang tanda sokongan kerana dapat menumpang hidup selesa di bumi Malaysia yang makmur ini. Maklumkan kepada warga anda di seberang bahawa anda diberi makan di sini dan kenapa warga Malaysia di sana diberi najis?

Pihak berkuasa juga perlu tegas dalam menyekat kedatangan pendatang tanpa izin (PATI). Ingatlah Jalur Gemilang telah dipijak, dibakar, dipalit najis, kalau hati kita benar-benar tersentuh dengan peristiwa itu, maka kuat kuasa peraturan dan undang-undang dengan lebih tegas. Jika kemasukan secara haram bermakna mereka tidak bertamadun dan tidak jujur dan akan mendatangkan banyak masalah. Jangan biarkan Malaysia dipenuhi dengan orang-orang yang tidak bertamadun. Kepada kerajaan Malaysia, berilah pemastautin tetap (PR) kepada pendatang yang berkualiti sahaja. Janganlah disebabkan taraf perkahwinan maka yang sengkek pun diberi PR. Buat baik berpada-pada.

HABA

Melaka

Isu Pendatang Haram: Tiru la macam Korea Utara, Kasi Penjara 8 Tahun Dgn Kerja Berat dan Denda RM 1.92 juta


Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter berlepas pulang dari Korea Utara hari ini setelah mendapatkan pembebasan seorang rakyat AS dan jaminan daripada Pyongyang bahawa ia mahu menyambung semula rundingan mengenai pelucutan senjata nuklear.

Pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu meninggalkan negara komunis tersebut bersama-sama Aijalon Mahli Gomes, seorang lelaki kulit hitam yang dipenjarakan pada April lalu kerana memasuki Korea Utara secara haram dengan menyeberangi sempadan dari China.

Media rasmi di Korea Utara dan China melaporkan, bekas Presiden itu sudah berlepas pulang tetapi perkara itu belum disahkan oleh Carter Center.

"Atas permintaan Presiden Carter dan dasar kemanusiaan, Encik Gomes diberi pengampunan oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il,'' menurut satu kenyataan Carter Center.

Gomes ditahan pada Januari lalu dan kemudian dikenakan hukuman penjara lapan tahun dengan kerja berat dan denda berjumlah kira-kira AS$600,000 (RM1.92 juta) kerana memasuki Korea Utara secara haram.

Menurut Carter Center, Gomes dijangka kembali ke Boston pada petang ini untuk ditemukan semula dengan keluarganya.

Carter tiba di Pyongyang kelmarin dalam misi kemanusiaan untuk Gomes dan pejabat beliau serta pegawai S menegaskan usaha itu tidak ditaja oleh kerajaan AS.

Namun media kerajaan Korea Utara hari ini berkata, Pyongyang menyuarakan kesediaan menerusi Carter untuk menyambung semula rundingan pelucutan senjata nuklear yang dibekukan sejak April tahun lepas.

Korea Utara pernah menyuarakan kesediaan sama sebelum ini tetapi mengenakan syarat-syarat ketat yang ditolak oleh kerajaan AS dan Korea Selatan.

Bagaimanapun tawaran terbaru menerusi Carter itu diumumkan sejurus selepas seorang duta kanan China yang terlibat dengan isu nuklear itu melawat Pyongyang dan ketika Jong-il dilaporkan mengunjungi China, satu-satunya penaung diplomatik dan ekonomi Korea Utara. - AFP

Kakitangan kerajaan dilihat banyak buang masa layari Facebook


WALAUPUN saya tidak bekerja di sektor kerajaan, saya kerap berurusan melalui perkhidmatan atas talian (online) atau berurusan secara langsung. Inisiatif serta inovasi daripada pihak kerajaan yang banyak memberi tumpuan dalam meningkat mutu sistem penyampaian perkhidmatan amat baik bagi memudahkan lagi urusan antara sektor kerajaan dan swasta mahupun masyarakat keseluruhan.

Bagi sektor swasta, visi dan misi utama adalah peningkatan keuntungan bagi mengukuhkan daya saing manakala sektor kerajaan pula adalah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI)

Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat, pendedahan dan kebolehan bagi mengaplikasi teknologi baru adalah dilihat tidak jauh beza bagi sektor swasta dan kerajaan

Sungguhpun begitu, minda dan sikap profesionalisme adalah perkara yang membezakan antara kakitangan kerajaan dan swasta. Tidak semua agensi kerajaan yang saya maksudkan di sini mencerminkan keadaan sedemikian, tetapi secara majoritinya dilihat asyik leka menggunakan Facebook dalam waktu pejabat.

Tidak dinafikan laman sosial seperti Facebook menjadi pilihan utama bagi ruang untuk bersosial seperti berkongsi sesuatu bersama rakan dan kenalan. Tetapi sekiranya penggunaan itu mengatasi tugas-tugas yang perlu diselesaikan sehingga membelakangkan tanggung jawab yang diamanahkan, adalah mustahil agensi berkenaan dapat mencapai matlamat yang disasarkan.

Mungkin ini antara sebab timbulnya aduan agensi kerajaan lambat memproses sesuatu permohonan, maklum balas lewat dikeluarkan, panggilan tidak berjawab dan sebagainya. Ramai kenalan dan rakan saya yang menjadi anggota kerajaan sendiri akui penggunaan Facebook adalah perkara uta ma yang diberi tumpuan seawal masa kerja bermula, baik dari kakitangan peringkat bawahan hinggalah ke peringkat profesional.

Apakah ada sesebuah agensi kerajaan menetapkan KPInya adalah penggunaan Facebook? Adalah diharapkan golongan yang terbabit dapat mengubah minda dan sikap profesionalisme supaya menjadi pekerja yang lebih beretika ke arah memartabatkan mutu penyampaian kerajaan setanding sektor swasta bagi pertumbuhan sosioekonomi yang mapan.
ARIF,
Kuala Lumpur

Hapuskan saja dasar permit import (AP)


SAYA bersetuju dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad agar dasar permit import (AP) dihapuskan. Sekiranya Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) merasakan mereka masih tidak mampu untuk bersaing dalam industri automotif, ini menunjukkan dasar yang dibuat ini telah gagal dan tidak perlu diteruskan.

Nampaknya selepas beberapa tahun kita masih lagi tidak mampu dan masih mengharapkan tongkat sampai bila-bila.

Dalam perniagaan, tambahan pula yang mendapat keistimewaan kerajaan sepatutnya ia akan memberi keuntungan yang mudah. Kita tidak untung sekiranya keuntungan yang didapati tidak digunakan untuk menambahkan modal pusingan.

Hasrat kerajaan membantu ialah supaya mereka yang dibantu ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di samping dapat membayar cukai kepada kerajaan. Tetapi sekiranya mereka sendiri pun masih tidak dapat berdiri sendiri, bagaimana pula mereka dapat membantu rakyat yang memerlukan pekerjaan dan membayar cukai.

Ketidakupayaan mereka ini untuk bersaing juga menyebabkan kerajaan dan rakyat rugi dan kita tidak mendapat apa-apa hasil daripada dasar ini bahkan terpaksa terus membantu.

Bagi saya lebih baik ditamatkan saja AP ini kerana ia tidak menguntungkan dan hanya memberi masalah kepada peniaga bumiputera ini. Atau berapa tahun lagikan mereka ini perlu dibantu? Atau mungkin juga kita belum berjumpa usahawan tulen.

TIADA AP

Kedah

Saturday, August 28, 2010

Macam Gampang!! Jalur lebar Celcom memang lembap!!!


TUJUAN saya menulis ini kerana ingin meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap mutu perkhidmatan jalur lebar Celcom.

Adakah kelajuan capaian Internet dikawal dan tidak seperti yang ditawarkan dalam pakej? Ini kerana capaian Internet saya kerap kali terganggu dan perlahan.

Apa gunanya saya ambil pakej laju (tinggi), tetapi sebenarnya tidak laju.

Untuk makluman saya mengambil pakej: C-Broadband Advance (Data Only) - RM98. Tujuan utama saya melanggan jalur lebar Celcom adalah untuk mempermudah dan menyegerakan semua urusan melalui Internet serta paling penting urusan berkaitan dengan perniagaan saya.

Saya sebagai pengguna sudah dua kali membuat aduan dan susulan melalui talian 1111 dan kepada pejabat cawangan Celcom di Seksyen 9, Shah Alam.

Kesan atau perubahan yang diberikan, tidaklah seperti yang diharapkan. Saya tidak tahu sama ada dipertingkatkan ataupun tidak. Pada saya sama sahaja.

Penggunaan pada sebelah malam, lebih-lebih lagi pada malam minggu terlalu perlahan dan ada kalanya tidak boleh online langsung.

Jika alasan yang diberikan talian sesak, saya memiliki akaun persendirian, bukannya berkongsi. Lagipun itu bukan masalah kami. Kami membayar perkhidmatan dan kelajuan capaian Internet yang ditawarkan. Sepatutnya sebagai pengendali, pihak Celcom telah dan lebih bersedia serta boleh menjangkakan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

PENGGUNA TERKILAN

Shah Alam, Selangor

Kesian sahabat2 kita di Sarawak!!! Terima bantuan kebajikan RM150, kos pengangkutan ke bank RM200


Gara-gara ketiadaan mesin pengeluar wang automatik (ATM) terdekat, kira-kira 200 penerima elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kawasan Baram, Mulu dan Bario mengadu mengalami kesukaran untuk mendapatkan bantuan bulanan itu.

Sebahagian besar penerima bantuan ini yang majoritinya terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan miskin tidak mengambil bantuan itu kerana tidak mampu membiayai kos pengangkutan.

Lokasi bank yang paling dekat adalah di Miri dan Marudi, namun hanya dapat dihubungkan menggunakan pesawat, bot atau jalan balak yang memakan masa sehari suntuk.

Setiap bulan, mereka mendapat bantuan antara RM60 hingga RM450 bergantung kepada keadaan yang dihadapi, sedangkan kos mengambil wang itu mencecah RM200, lebih tinggi daripada jumlah elaun.

Bagi penerima elaun yang tinggal di Mulu, mereka tiada pilihan iaitu menggunakan bot panjang sehari suntuk ke Marudi atau menggunakan pesawat ke Miri semata-mata mengeluarkan wang tersebut.

Situasi yang sama turut dialami penduduk di tanah tinggi Bario yang bergantung dengan pengangkutan udara sama ada ke Miri ataupun Lawas.

Bagi penerima dari Baram, mereka terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa lima hingga enam jam untuk sampai ke Miri, itupun bergantung dengan keadaan jalan balak.

Philip Lakai dari Kampung Ramapuh, Bario berkata, baru-baru ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan kepada kira-kira 40 penduduk terdiri daripada OKU, warga emas dan miskin.

''Kami berterima kasih dengan usaha kerajaan, namun ketiadaan ATM menimbulkan satu lagi masalah besar kepada kami. Bagaimana kami mahu mengeluarkan elaun itu?"

''Apa yang kami terima kurang daripada kos yang kami keluarkan untuk mengambil bantuan itu. Bayangkan penerbangan pergi balik ke Miri mencecah RM200 manakala pengangkutan darat antara RM200 hingga 400," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sehubungan, Philip mencadangkan agar pihak kerajaan atau agensi berkaitan mencari jalan untuk memudahkan penduduk yang jauh di pedalaman mengambil elaun bantuan itu termasuk menyediakan ATM yang boleh digunakan di luar bandar.

Bapa kepada Paris Khiasan Laji seorang remaja Penan OKU, Laji Lupung dari Batu Bungan, Mulu berkata, mereka tidak mampu turun ke Miri kerana tidak mampu membeli tiket pesawat walaupun ia hanya mengambil masa 45 minit untuk sampai.

''Bank yang paling dekat adalah di Marudi, itupun perjalanan mengambil masa 10 jam (pergi dan balik) menggunakan bot panjang. Namun jika musim kemarau, perjalanan lebih mencabar kerana paras air sungai yang cetek," keluhnya.

Menurut Laji, setiap bulan anaknya menerima kira-kira RM150 elaun bulanan, namun ia tidak berbaloi kerana tambang bot yang mencecah RM200 untuk setiap perjalanan.

Kisah Penciptaan Nabi Adam AS


PADA suatu ketika, Allah menitahkan malaikat Jibrail ke bumi mengambil sebahagian tanahnya mencipta Adam.
Tetapi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi bimbang Adam berbuat maksiat kepada Allah.

Lalu Jibrail kembali menemui Tuhan, ia tidak dapat berbuat apa-apa, mendengar sumpah bumi. Kemudian, Allah memerintah malaikat Mikail, jawapan bumi tetap sama dan Allah menitah pula malaikat Israfil, tetapi bumi masih enggan dan masing-masing kembali dengan tangan penuh hampa.

Lalu yang terakhir, Allah menyuruh malaikat Izrail ke bumi. Kata Allah: " Hai Izrail engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah.

Meskipun bumi menyumpah dengan ucapan bagaimanapun jangan engkau undur. Katakan kamu melakukan atas perintah dan atas nama-Ku."

Apabila Izrail ke bumi dan menyampaikan perintah Allah, bumi akhirnya akur tanahnya diambil.

Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, dia kembali ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman: "Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah, dan kelak Ku-tugaskan engkau mencabut roh manusia."

Maka Izrail bimbang dibenci manusia. Lalu Allah berfirman: "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku Yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh, terbakar atau sakit."


Tanah bagaimana dijadikan Adam?

1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Mugaddis

2. Tanah Bukit Tursina

3. Tanah Iraq

4. Tanah Aden

5. Tanah Al-Kautsar

6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah

7. Tanah Paris

8. Tanah Khurasan

9. Tanah (Babylon)

10. Tanah India

11. Tanah syurga

12. Tanah Tha'if

Kata Ibnu Abbas :

1. Kepala Adam dari tanah Baitul Muqadis, kerana di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.

2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.

3. Dahinya dari tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah.

4. Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.

5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.

6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat manis.

7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.

8. Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.

9. Perutnya dari tanah Babylon. Di situlah tempat seks (berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.

10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.

11. Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.

12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situlah iman, keyakinan, ilmu dan kemahuan.

13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap syahadah, bersyukur dan mendoakan kepada Tuhan.

Bagaimanakah prosesnya :

1. Ketika Allah menjadikan Adam, tanah itu bercampur air tawar, air masin, air hanyir, angin, api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan pelbagai macam "sifat".

2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan di dalam "Alam Malakut".

3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari sifat nur sifat Allah, dan dirasmi dengan air hujan "Barul Uluhiyah".

4. Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air "Kudral-Izzah-Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal". Lalu diciptakan menjadi tubuh Adam yang sempurna.

5. Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk ke tubuh Adam, ia malas dan enggan, malah berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar.

Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk, akhirnya ia menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam masih di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit kita sekarang ini.

Kerana Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia.

Hal ini kita biasa lihat meskipun orang kulitnya hitam, warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang.

Tujuh buah liang di kepala dan dua liang di bawah badan letaknya.

Tujuh buah letaknya di kepala: dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut.

Yang dua macam di bawah: sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima pancaindera:

1. Mata alat penglihatan

2. Hidung alat penciuman

3. Telinga alat pendengaran

4. Mulut alat perasa manis, masin dan sebagainya.

5. Anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.

Selepas roh masuk tubuh Adam perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.

Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail memasukkan roh ke tubuh Adam. Dahulu Izrail ditugaskan mengambil tanah untuk Adam, dan kini mencabut nyawa manusia.

Selepas meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusun urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kiri dan ke kanan.

Dan juga melihat ke bawah di mana bahagian badannya masih adalah tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia.

Ketika itu Adam mendengar malaikat mengucapkan tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan. Ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka.

Ketika itulah Allah mengajarnya mengucap Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam yang pertama kepada Allah.

Lalu Allah berkata: "Yarkhamukallah" yang ertinya: "semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan

"Yarkhamukallah".

Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal bahagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras.

Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa".

Maka, ketika roh itu sampai di perutnya, terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasa lapar.

Kemudian terus roh itu meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, kian lama kian bagus dan halus.

Apabila kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah adalah jenis makhluk manusia yang pertama.

Wajahnya cukup cantik, semua malaikat kagum melihat Adam yang menawan. Adam diarak malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni langit pertama hinggalah ketujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.

http://rahimcjkk.blogspot.com/

Kesian sahabat kita di Sabah, terpaksa beli air 20 liter 20 sen setiap hari!!!


SEMPORNA: Walaupun terpaksa menghadapi ranjau kehidupan berikutan ketiadaan bekalan air bersih sejak sebelum dan selepas negara merdeka, penduduk di Pulau Bum-Bum, Larapan, Sumandi, Salakan, Sebangkat, Sibuan, Kulapuan dan Dinawan tetap tabah menghadapi cabaran.

Selama ini, sumber air diperoleh penduduk dengan membelinya di jeti pekan selain bergantung kepada air hujan bagi memastikan urusan harian terutama memasak berjalan lancar

Sudah menjadi lumrah untuk mereka mandi sekadar cukup membersihkan kotoran di badan kerana penggunaan air perlu dijimatkan.
Bagi Isdawan Hayawan, 45, hidup di rumah atas air di Pulau Larapan, kira-kira 10 batu nautika dari jeti di pekan ini, tidak pernah menjanjikan bekalan air bersih kerana beliau terpaksa menadah hujan dalam tangki atau ke pekan membeli bekalan.

Isdawan membeli kira-kira 20 liter air dengan harga 20 sen, setiap hari, namun ia tidak mencukupi bagi kegunaan isteri dan tujuh anaknya.

Berdasarkan perkiraan kasar, mereka sekeluarga memerlukan 10 tong untuk mandi selain menjadi sumber sebagai air minuman, memasak dan mencuci pakaian.

Ia bermakna Isdawan terpaksa membelanjakan RM2 sehari untuk membeli 10 tong air dan diangkut pulang menggunakan perahu.
Dengan air itulah isterinya menjerang untuk diminum selain memasak. Jika air hujan yang ditadah kehabisan, isterinya terpaksa menggunakan air yang dibeli untuk mencuci pakaian.

"Kalau musim hujan, senang sedikit hidup kami kerana tong dipenuhi air hujan. Kalau musim kemarau, jangankan nak mencuci pakaian, hendak memasak pun tiada air.

"Saya terpaksa berbelanja kadang-kadang sampai RM250 sebulan semata-mata untuk membeli air. Di pulau ini tiada empangan atau loji air, yang ada hanya laut.

“Mereka yang tinggal di kawasan bukit jauh dari pantai terpaksa menggali telaga," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui membeli air di sebuah rumah tidak jauh dari jeti belakang Pasar Semporna di sini, baru-baru ini.

Bagi Abdul Bajin, 54, dari Kampung Balimbang, Pulau Bum-Bum, kira-kira tiga batu nautika dari sini, sebagai penduduk pulau, beliau dan keluarganya tidak pernah mengimpikan untuk menikmati kemudahan bekalan air bersih seperti masyarakat di tanah besar.

“Nasib kami di pulau tidak sama dengan mereka yang tinggal di tanah besar. Kalau di tanah besar, mereka boleh menikmati bekalan air dengan mudah, kami di pulau menganggapnya sebagai mimpi yang tak akan menjadi kenyataan.

"Mahu tak mahu, kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli air. Kalau musim kemarau, hidup kami bertambah sengsara. Selain terpaksa membeli air, kami juga perlu menampung kos petrol perahu dan bot berulang-alik membeli air," katanya.

Penduduk Pulau Dinawan, Sandiko Abdul, 56, berkata beliau dan penduduk lain adalah yang paling sengsara berbanding pulau lain kerana terpaksa mengangkut air dari jeti ke rumah masing-masing pada jarak perjalanan kira-kira satu setengah jam berikutan lokasi pulau itu yang paling jauh, kira-kira 40 batu nautika.

“Kami ada menggali telaga dan menadah air dalam tong, tetapi kalau tiba musim kemarau antara Januari hingga April, semuanya kering kontang. Mahu tak mahu, kami terpaksa membeli air di pekan ini.

“Kami meminta kerajaan melihat masalah kami ini. Kami faham, susah untuk kerajaan memasang paip air dasar laut dari tanah besar ke pulau tetapi bebanan kami boleh dikurangkan kalau kerajaan menyediakan bot besar atau kapal kecil yang boleh membekalkan air ke pulau.

"Memanglah cadangan saya ini nampak macam mengarut tetapi apa lagi cara yang boleh kerajaan bantu kami kalau tidak dengan cara itu," katanya.

Oleh Hassan Omar


Friday, August 27, 2010

Bedebah!!! Tak hormat Ramadan!!


SHAH ALAM: Bungkus dan makan di lokasi tersorok atau memberanikan diri makan di kedai makan yang beroperasi pada waktu siang – itulah antara sikap segelintir umat Islam yang enggan berpuasa atau menghormati Ramadan.

Tinjauan Sentral di satu lokasi di Seksyen 7, mendapati ada individu membeli makanan untuk dibungkus seawal jam 1 tengah hari sedangkan waktu berbuka puasa sekitar jam 7.20 petang

Sentral yang menunggu satu jam di lokasi mendapati enam penunggang motosikal berhenti di hadapan kedai dan meninggalkan semula kedai itu dengan bungkusan makanan di tangan

Tidak ada perasaan takut mahupun segan apabila mereka dilihat memasuki kedai itu dengan selamba untuk membeli makanan.

Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Mira mendakwa beliau pernah terserempak remaja menunggang motosikal membeli makanan bungkus di kedai itu secara tergesa-gesa.

“Saya tidak tahu niat pemuda berkenaan sama ada mahu terus makan atau simpan makanan itu untuk hidangan berbuka puasa.

“Agak menghairankan kerana makanan itu dibeli pada waktu tengah hari dan ia agak awal untuk hidangan berbuka puasa,” katanya sambil berharap amalan tidak berpuasa itu tidak berleluasa dalam masyarakat Islam kerana ia berdosa dan memalukan.
Katanya, agak keterlaluan jika ada masyarakat Islam yang membungkus makanan dengan niat menjamahnya pada waktu siang walaupun bukan di khalayak ramai.

“Ramadan hanya datang sekali dan sepatutnya kita banyakkan amalan pada bulan mulia ini. Tunjukkanlah teladan kepada masyarakat apabila kita berpuasa,” katanya.

Pelajar, Mohd Hilmi Basal, 23, pula berpendapat tindakan pihak berkuasa agama sudah cukup tegas terhadap mereka yang tidak berpuasa tetapi masih ada umat Islam yang melanggar perintah Allah.

“Saya harap pihak berkuasa agama dapat mengenakan tindakan setimpal ke atas mereka yang membeli makanan bungkus dan benar-benar tidak berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, peniaga yang beroperasi pada sebelah siang untuk menjual makanan kepada bukan Islam juga perlu peka kepada mereka yang mengambil kesempatan untuk membeli makanan daripada mereka.

Katanya, walaupun pelbagai tindakan sudah diambil kepada mereka yang tidak berpuasa, kesedaran kepentingan berpuasa perlu hadir daripada diri sendiri.

“Denda atau tindakan tegas daripada majlis agama Islam antara tindakan yang baik tetapi ia tidak akan membawa sebarang makna jika mereka tidak insaf,” katanya.

Sementara itu, sehingga kelmarin, tiada tangkapan terbaru selain 17 orang yang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana tidak berpuasa dalam tempoh lapan hari puasa Ramadan.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nurhamizah Othman, berkata mereka ditahan kerana makan dan minum di tempat terbuka antaranya kopitiam, restoran India, restoran Cina dan premis kilang.

Katanya, mereka ditahan kerana melanggar Enakmen Jenayah Syariah 1995 Seksyen 19 iaitu makan, minum atau menghisap rokok di tempat terbuka atau tempat awam pada Ramadan.

“Selain 17 tangkapan ini, JAIS turut memberikan arahan untuk beredar kepada 41 individu yang berada di restoran selain diberikan nasihat berhubung kewajipan berpuasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nurhamizah berkata, JAIS sehubungan itu memohon kerjasama masyarakat agar melaporkan sebarang kegiatan membabitkan orang Islam yang tidak berpuasa melalui hotline JAIS di 1800-88-2424.

Katanya, mereka yang mengetahui lokasi mana-mana premis yang sengaja menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa boleh membuat aduan terus kepada JAIS.

Beliau seterusnya meminta wanita yang uzur dan tidak boleh berpuasa agar menghormati Ramadan dengan tidak makan atau minum di khalayak ramai.

“Kita akan terus memantau kegiatan umat Islam yang tidak berpuasa setiap hari sepanjang Ramadan ini di beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti melalui sistem penggiliran rondaan JAIS.

“Antara kawasan terbabit adalah sekitar Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya

Oleh Nor Hatina Shuib dan Nor Azizah Mokhtar


Pasangan guru kerugian hampir RM1,000 sebulan kerana bertugas berasingan


SAYA adalah seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Perak. Dalam suasana Ramadan yang penuh berkat ini, saya rasa terpanggil untuk meluahkan rasa isi hati saya selaku seorang guru yang terpisah dengan isteri dan keluarga atas faktor penempatan tempat berkhidmat yang berbeza.

Tahun ini adalah tahun ketiga saya bertugas di Perak sementara isteri saya yang juga seorang guru berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur

Sejak 2006, saya dan isteri memohon pertukaran dari Kuala Lumpur ke Perak. Alhamdulillah, pada awal 2008 permohonan saya diluluskan tetapi agak malang bagi isteri saya kerana gagal dalam permohonan pertukarannya

Saya bertukar ke Perak dan isteri masih di Kuala Lumpur dengan harapan isteri akan menjejak langkah saya pada tahun berikutnya. Setiap dua kali setahun sesi permohonan pertukaran dibuka, isteri saya tidak ketinggalan untuk membuat permohonan pertukaran.

Walaupun isteri saya mempunyai kesemua alasan dan faktor yang membolehkannya bertukar termasuk menghadapi masalah kesihatan, permohonan isteri masih gagal.

Dalam tempoh hampir tiga tahun ini, saya atau isteri terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak pada setiap minggu dengan tempoh perjalanan hampir empat jam. Biasanya saya yang akan ke Kuala Lumpur kerana isteri menghadapi masalah untuk menguruskan anak kecil sambil memandu.

Dalam usia menjangkau 45 tahun, saya rasakan fizikal saya sudah tidak mampu untuk menahan beban dan penat yang ditanggung setiap kali saya berulang alik ke Kuala Lumpur dan Perak. Ditambah dengan faktor kewangan turut menghambat tumpuan dan mental saya.
Saya kehilangan hampir RM1,000 sebulan hanya untuk pembayaran sewa rumah kedua di Kuala Lumpur dan pembelian minyak petrol ketika berulang alik. Dengan jumlah sebanyak itu, saya merasakan ia sebagai satu kerugian dan penganiayaan kepada orang yang senasib seperti saya.

Atas dasar perikemanusiaan, saya memohon agar Kementerian Pelajaran lebih peka dengan nasib dan masalah yang dialami oleh warganya seperti saya. Untuk Kementerian Pendidikan, saya sarankan agar jawapan untuk keputusan surat permohonan pertukaran iaitu pertukaran anda tidak diluluskan atas kepentingan pendidikan hendaklah dimansuhkan.

Kementerian bolehlah fikirkan jawapan yang lebih rasional. Sudah berbelas tahun saya memberi perkhidmatan terbaik untuk kepentingan pendidikan dan amatlah wajar giliran saya pula untuk menerima perkhidmatan terbaik dari pihak kementerian untuk kepentingan saya pula.

GURU PENAT,
Perak

Lebarkan jalan elak kemalangan!!!


KEMALANGAN jalan raya adalah satu tragedi dan akan menjadi tajuk utama akhbar apabila menjelang hari raya atau hari keramaian dan kadang-kadang pada hari biasa juga. Kita akan membaca berita yang menyayat hati hampir setiap hari, amat menyedihkan dan kadang-kadang sesuatu tragedi tidak dapat kita terima.
Setiap kali kemalangan yang dahsyat berlaku, rasa insaf apabila memandu dan berbagai-bagai komen yang kita dengar.

Banyak yang akan menyalahkan sikap pemandu saja. Komen yang kita dengar hanyalah berkisar kepada perkara remeh dan mempersoalkan sikap pemandu saja. Banyak juga komen yang akan cuba melakukan sesuatu terhadap sistem jalan raya. Selalunya janji ini hanya tinggal janji dan akan diulang kembali apabila menjelang hari raya lagi. Janji jarang ditepati dan dilupakan saja apabila sesuatu peristiwa hilang dari ingatan. Kempen untuk mengurangkan kemalangan jalan raya juga tidak kurang hebat. Hampir sepanjang tahun berbagai-bagai kempen akan diusahakan dan pelbagai pameran dianjurkan dan juga pelbagai hadiah serta nasihat diberikan terutama peralatan memandu seperti topi keledar, pelekat kereta dan poster amaran yang sangat menarik

Hasil daripada kempen, mungkin juga ada pengurangan tetapi tidak dapat dikenal pasti keberkesanannya. Pelbagai strategi akan dilakukan oleh pihak Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

Ini juga tidak dapat banyak membantu untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Saman demi saman akan dikeluarkan oleh polis kepada setiap kesalahan dengan tujuan untuk memberi pengajaran. Cara ini juga tidak dapat menakutkan pemandu untuk terus melakukan kesalahan jalan raya. Mereka sanggup membayar dan akan mengulang semula kesalahan dalam tempuh terdekat.

Setelah sekian lama bermacam-macam cara dan kaedah dilakukan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Sudah sampai masa dan ketika satu cara dan kaedah yang lain dari yang lain perlu difikirkan.
Satu kaedah yang tidak pernah dicuba ialah membesarkan saja jalan yang sedia ada kepada jalan yang lebih lebar. Pada masa sekarang kaedah reka bentuk jalan mengikut arahan teknik (jalan) 8/86 yang mana minimum lebar jalan untuk JKR R6 untuk kelajuan 120 km/jam adalah 3.5 meter.

Reka bentuk jalan JKR R5 dengan kelajuan 100 km/jam adalah perlu mempunyai lebar minimum 3.5 meter. Lebar jalan JKR R4 kelajuan R3 dengan kelajuan 70 km/j perlu mempunyai kelebaran minimum 3.0 meter manakala jalan JKR R2 untuk kelajuan 60 km/j perlu kelebaran minimum 2.75 meter. Reka bentuk jalan R1 dengan kelajuan 40 km/j perlukan lebar minimum 5.0 (jalan kecil single-lane untuk jalan kampung) dan JKR R1a pula dengan kelajuan 40km/j perlu lebar minimum 4.5 meter (jalan kecil single-lane untuk jalan ke kuari).

Walaupun arahan teknik hanya menyatakan lebar minimum, pihak berkuasa yang membina jalan akan memilih lebar jalan yang minimum. Ini mungkin dilakukan dengan pertimbangan kos pembinaan jalan dan lebar tanah yang ada. Ini akan dilakukan oleh sesiapa saja ketika membuat pertimbangan untuk membuat jalan dilakukan.

DATUK PROF MADYA DR ABU BAKAR MOHAMAD DIAH,
Ketua Pegawai Eksekutif,
Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersialan (R&DCIC), Jabatan Ketua Menteri Melaka

Thursday, August 26, 2010

bas ekspres tidak profesional!! berenti ikut suka hati!!! Bila nak sampai..


MERUJUK kepada aduan oleh Eksekutif Muda bertajuk Bas ekspres jadi bas henti-henti, yang disiarkan dalam ruangan ini semalam, saya juga ingin menyuarakan pendapat mengenai perkara sama.

Saya adalah perantau yang bertugas di Desaru dan mula menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam syarikat pengangkutan terkemuka negara itu terutama bas ekspres untuk pulang ke Kuala Lumpur sejak 2006

Terdapat beberapa perkara yang saya rasa wajar diambil serius oleh syarikat pengangkutan terbabit iaitu memastikan bas ekspres adalah sebenar-benarnya bas ekspres. Kegiatan mengambil dan menurunkan penumpang sesuka hati boleh melambatkan waktu perjalanan dan menjadikan pengurusan waktu kami tidak cekap

Selain itu, petugas kaunter wanita anda terlalu sombong dan tidak mesra. Tidak kira kepada yang muda atau orang tua, bahasanya kasar ini berdasarkan pengamalan saya sendiri.

Tambahkan bas dan juga waktu perjalanan, kerana ia adalah satu-satunya jalan menghubungkan bandar pelancongan terpencil ini dengan kawasan bandar. Permintaan terhadap pengangkutan ini sememangnya tinggi. Tambahan pula, kawasan ini menempatkan beberapa sekolah berasrama, kolej pendidikan dan pekerja swasta dan perkhidmatan awam yang selalu berulang alik.

Untuk perjalanan dari Desaru ke Kuala Lumpur, sudah masanya mengubah hentian rehat di Machap ke hentian lain yang lebih praktikal dan banyak pilihan kerana makanan di sini di jual dengan harga yang agak mahal.

Pernah terjadi, nombor tiket yang saya beli sama dengan nombor tiket pembeli lain (berkongsi tempat duduk) untuk perjalanan dari Larkin ke Bandar Penawar. Akibatnya saya diberi dua pilihan sama ada berdiri sepanjang perjalanan atau sukarela turun dan menunggu bas lain dengan tiket diganti percuma sedangkan itu bukannya kesalahan saya.
Saya mengharapkan agar masalah ini dipandang berat oleh pihak pengurusan syarikat terbabit.

AINULL MARDHIAH,
Bandar Penawar

Celaka Ulat tiket warga asing lagak samseng..Berani Pukul Penguatkuasa JPJ!!!


Sindiket ulat tiket dikesan beroperasi di Hentian Bas Bukit Jalil dekat sini, dan mengupah warga asing, terutama dari Indonesia, Myanmmar dan Bangladesh yang berlagak samseng serta bertindak ganas terhadap pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan yang mendedahkan perkara itu, berkata sepanjang bulan ini saja, pihaknya menahan 200 ulat tiket, termasuk lapan warga asing yang memasuki negara ini secara haram

Semua 200 ulat tiket ditahan itu hanya membabitkan operasi di Bukit Jalil dan kita percaya kegiatan sama turut berlaku di seluruh negara. Ini masalah serius yang perlu diberikan perhatian kerana dikhuatiri mendatangkan banyak masalah pada masa depan, lebih-lebih lagi dengan sikap agresif dan ganas mereka

Ada insiden pegawai dan anggota saya cedera dibelasah kumpulan ulat tiket warga asing ini kerana tidak berpuas hati dengan operasi dibuat JPJ, katanya selepas melawat Depoh Konsortium Transnasional Berhad (KTB) di sini, semalam.

Beliau berkata, sindiket itu turut menyebarkan khabar angin kononnya kehabisan tiket bas untuk beberapa destinasi semata-mata mahu mencetuskan suasana panik di kalangan orang ramai.

Kita sedang menyiasat aduan mengenainya. Kita percaya sindiket itu sengaja bertindak demikian untuk melariskan tiket haram mereka.

Tahun lalu, ada mangsa yang teruk kena tipu. Mereka bukan saja terpaksa membayar tiket mahal, malah bas ditunggu tidak muncul sampai pagi raya, katanya.
Solah berkata, rekod pihaknya menunjukkan setakat ini hanya tiket bas bagi perjalanan ke Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Alor Star habis dijual, namun beliau dimaklumkan beberapa pengusaha bas akan menyediakan bas tambahan.

Kita yakin jumlah bas mencukupi tahun ini, namun jika berlaku krisis, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedia mengeluarkan lesen perubahan sementara (LPS) bagi bas pekerja dan bas sekolah, manakala lesen jangka pendek (LJP) untuk bas persiaran, katanya.

Sementara itu, Solah berkata, 4,500 pegawai dan anggotanya akan ditempatkan di 202 laluan maut yang dikenal pasti di seluruh negara sempena musim perayaan ini.

Kita turut melancarkan operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di 79 depoh dan bengkel bas sejak 20 Ogos lalu, bagi memastikan pengusaha bas sentiasa peka terhadap aspek penyelenggaraan kenderaan mereka kerana ia membabitkan nyawa penumpang, katanya.

Oleh Hardi Effendi Yaacob


Kisah 100 unta upah bunuh Rasulullah dan Anak2 Pemuda yg berani syahid!!!


SELAMA tiga hari tiga malam Rasulullah SAW dan sahabat karib baginda, Abu Bakar As Siddiq menyembunyikan diri dalam Gua Tsur sebeluh berhijrah ke Madinah.

Sudah pasti ketika itu mereka diselubungi perasaan takut, bimbang dan cemas.

Ini kerana kafir Quraisy benar-benar melancarkan gerakan mencari mereka berdua untuk dibawa pulang sama ada dalam keadaan hidup mahupun mati.

Dahulu komplot untuk membunuh baginda di rumahnya di lakukan oleh 11 pemuda yang terpilih.

Tetapi kali ini tawaran dibuka kepada sesiapa sahaja untuk memburu dan membawa pulang Nabi Muhammad.

Tawarannya cukup lumayan sehingga menyebabkan seluruh pemuda Quraisy keluar dan masing-masing berpecah menuju ke seluruh pelosok dan ceruk kawasan untuk mencari dan menangkap baginda.

Tawaran 100 ekor unta itu menyebabkan ramai para pemuda yang gagah perkasa sama ada berjalan kaki, menunggang kuda mahupun unta keluar untuk mencari dan memburu baginda.

Mereka sanggup memanjat dan mendaki bukit-bukit, menuruni lembah-lembah yang tandus dan kering malah sehingga melepasi sempadan daerah dan wilayah semata-mata keghairahan untuk merebut tawaran yang cukup lumayan itu.

Ketika itulah sebagaimana yang diceritakan oleh isteri baginda, Saidatina Siti Aishah sama ada kedudukan baginda selamat atau tidak, semuanya diberitahu melalui laporan harian yang dibuat oleh seorang anak Abu Bakar, iaitu Abdullah.

"Abdullah adalah seorang anak muda yang mahir dan tangkas. Setiap malam ketika malam semakin larut, suasana senyap sepi apabila semua mula dibuai mimpi, anak muda itu akan keluar secara senyap dari Kota Mekah dan segera menuju ke Gua Tsur.

"Di gua itu, Abdullah akan terus melaporkan apa yang beliau intip dan dengar terutamanya dari mulut pemimpin Quraisy mengenai sebarang rancangan mereka sejak bapanya dan Rasulullah berjaya melarikan diri.

"Kemudian pada waktu sahur, Abdullah akan segera meninggalkan gua tersebut dan pulang ke Kota Mekah.

"Beliau kemudiannya berpura-pura seperti baru bangun tidur, seolah-olah setiap malam anak muda ini tidak ke mana-mana.

"Abdullah kemudiannya akan mula menjalankan kerja-kerja pengintipan di sana sini untuk dilaporkan kepada Rasulullah dan Abu Bakar pada malam hari," kata Aishah.

Bagaimana pula dengan makan minum Rasulullah dan Abu Bakar selama berada dalam gua itu?

Amir bin Fuhayrah, seorang lagi anak muda yang berani yang bertanggungjawab dalam hal itu.

Dia bertindak berani kerana jika tertangkap pastinya umur tidak akan panjang kecuali mati dikerjakan oleh musuh-musuh Rasulullah.

Dia merupakan hamba milik Abu Bakar yang kerjanya setiap hari menggembala kambing. Selepas waktu Isyak, Amir akan menghalau kambing-kambingnya berdekatan dengan kaki Bukit Tsur dan apabila keadaan didapati selamat, Amir akan memerah susu-susu kambing tersebut lalu ditinggalkan kepada Abdullah yang akan datang kemudian untuk dibawa kepada Rasulullah dan Abu Bakar.

Apabila tugasnya sudah selesai, Amir akan membawa pulang kambing-kambing dan begitulah yang beliau lakukan hampir setiap malam untuk memastikan baginda dan tuannya dapat minum susu kambing sebagai penggalas perut.

Segala jejak yang ditingalkan oleh Amir dan kambing-kambing tersebut di sepanjang perjalanan pulang, semua telah dipadam atau dihilangkan oleh Abdullah.

Maka tiada sesiapa dapat mengesyaki tindakan berani kedua-dua anak muda itu kerana masing-masing akan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Walaupun ada sesetengah riwayat menceritakan bahawa seorang lagi anak perempuan Abu Bakar, iaitu Asma sendiri yang sanggup bersusah payah setiap malam secara curi-curi membawa bekalan makanan untuk bapanya dan Rasulullah.

Asma sememangnya seorang srikandi Islam yang tidak pernah menghitungkan keselamatannya sendiri demi membantu perkembangan Islam.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Alim hanya di bulan Ramadhan!!!


SEANDAINYA mahu melihat masjid, surau dan madrasah penuh dengan jemaah, maka bulan puasalah masanya. Malah sesetengah tempat terpaksa didirikan khemah-khemah khusus untuk berterawih.

Lazimnya, yang mengimamkan sembahyang fardu dan sunat terawih sepanjang Ramadan adalah imam-imam import.

Malah rata-ratanya terdiri dari kalangan para hafiz yang mempunyai suara yang baik dan gaya bacaan yang menarik.

Masjid, surau dan madrasah yang imamnya dianggap 'sedap' dan 'berjelira' akan penuh sesaklah dengan para jemaah.

Memilih imam yang betul bacaan dan sempurna tajwidnya memang wajar kerana bukan sahaja membaca dan membaiki bacaan, termasuk membetulkan bacaan al-Quran dengan golongan yang pakar, tetapi mendengar bacaan al-Quran, terutama yang betul bacaannya adalah juga suatu ibadah.

Bagaimanapun kalau pun imam itu seorang tahfiz yang sedap suaranya, ditambah pula dengan pandai berlagu tetapi bacaannya kurang tepat dan tajwidnya tidak betul, apatah lagi kalau bacaan al-Fatihah tidak mengikut cara Rasulullah SAW baca, maka makmum kena menegur. Bacaan al-Fatihah adalah fardu dalam sembahyang.

Yang kena dipilih bukan kerana sedap imam mengalunkan bacaan dengan macam-macam lagu tetapi ketepatan sebutan dan tajwidnya serta niat berterawih itu sendiri atas dasar apa kena diutamakan, kerana tujuan ibadah kepada-Nya atau kerana 'sedap' dan berjelira dengan imam.

Harus diingat bahawa sembahyang fardu atau sunat yang diterima oleh Allah adalah hanya sembahyang kerana Allah, bukan kerana imam yang memiliki ciri-ciri di atas semata-mata.

Kalau sembahyang kerana imam, ia lari daripada tujuan dan konsep sembahyang itu sendiri yang tidak ada kerana lain selain daripada kerana Allah. Niat adalah kunci utama dalam ibadah. Punah niat, punah ibadah. Bila beribadat dalam keadaan punah, layakkah kita mengharapkan pahala?

Dalam pada itu beribadat tidak boleh bermusim, sebaliknya ia kena berterusan dan berkesinambungan mengikut keupayaan kita. Allah dan Rasul-Nya tidak memberatkan kita dalam beribadat. Kita digalakkan beribadat mengikut kemampuan.

Kalau rasa larat dan tidak sampai menyiksakan diri, berterawihlah sehingga 20 rakaat. Tetapi kalau sekadar mampu setakat lapan rakaat, maka buat lapanlah. Kuantiti tidak penting, yang perlu ditekankan adalah kualiti ibadah.

Kalau kerana waktu-waktu masa lalu, menyebabkan kita sekadar hanya hafal surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, maka berusahalah supaya kita betul-betul hafal surah-surah berkenaan sehingga benar-benar tepat bacaannya.

Paling penting kena dipastikan bacaan al-Fatihah kena betul dan tepat. Ia adalah rukun dalam sembahyang. Tidak betul bacaan al-Fatihah, sembahyang tidak sah.

Tetapi kalau setelah belajar habis-habisan namun sebutan tetap tidak tepat kerana masalah lidah kita, maka jangan berdukacita kerana Allah akan tetap menerimanya sebagai betul asalkan kita tidak berhenti belajar untuk membetulkannya.

Bacalah ayat-ayat yang kita hafal itu sepanjang masa, kecuali pada tempat dan dalam keadaan kita diharamkan membaca ayat al-Quran, kita tetap akan dapat ganjaran pahala yang besar kerana membaca al-Quran. Jangan hanya bersungguh-sungguh sekadar sepanjang bulan Ramadan sahaja.

Kalau sekadar sepanjang bulan puasa sahaja kita tidak lekang daripada membaca al-Quran dan berjemaah di masjid tetapi selepas itu hilang dan sembahyang waktu pun sudah tidak berjemaah lagi dan kita mula isi masa dengan menyanyi dan bersiul, ia akan bersifat seperti mahu menipu Allah.

Mengapa pada bulan puasa kita menjadi pengibadah yang tegar, kita sanggup beriktikaf di masjid dan berqiamullail? Jawapannya, kerana mahu mencari satu malam serba berkat, yakni malam Lailatul-Qadar yang lebih baik daripada 1,001 bulan.

Bila habis Ramadan, maka harapan untuk bertemu Lailatul-Qadar sudah tidak ada, kena tunggu Ramadan akan datang pula. Soalnya apakah masih ada usia kita untuk bertemu dengan Ramadan akan datang?

Lagi pun dari segi logiknya, apakah hanya dengan tegar beribadat sepanjang bulan puasa sahaja maka Allah akan mempertemukan dengan malam yang sangat istimewa itu? Apatah lagi kalau sebaik sahaja habis bulan puasa kita kembali pada tabiat asal, tidak lagi ke masjid melakukan solat berjemaah.

Bagaimanapun daripada tidak buat langsung, lebih baik buat jugalah kerana Allah itu Maha Pemurah. Tetapi sebaik-baiknya kalau mahu jadi pengibadah tegar yang dimulakan pada Ramadan kali ini biarlah ia statik dan berkesinambungan dengan kualiti ibadah yang dipastikan meningkat saat demi saat.

Oleh RAMLI ABDUL HALIM

Punca Utama Pasangan Bercerai..Semua Kerana $$$$$$!!!!


Masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi dikenal pasti sebagai punca utama kes perceraian pasangan muda di ibu kota.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, berkata kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan.

Biasanya pasangan terbabit adalah mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru. Mereka khususnya suami tidak bersedia dalam aspek kewangan, lebih-lebih lagi sara hidup yang tinggi di ibu kota berbanding pendapatan yang mereka peroleh

Selain pendapatan yang agak rendah, ada juga kes pasangan tidak mempunyai gaji sekali gus tidak berupaya menyusun perbelanjaan keluarga yang meliputi kos tempat tinggal, belanja harian selain kehendak lain, katanya kepada Sentral di sini.

Che Mat berkata, kebiasaannya pihak suami yang menghadapi masalah kewangan berikutan kira-kira 75 peratus isteri masih mengharapkan pasangan masing-masing membiaya sebahagian besar keperluan keluarga.

Lebih memburukkan keadaan apabila pasangan muda ini menyelesaikan masalah mereka bersendirian tanpa merujuk kepada mereka yang berpengalaman, katanya,

Selain faktor kewangan, katanya, perceraian juga berlaku akibat asas pendidikan agama yang longgar seperti tidak bersolat, tiada pegangan agama yang betul dan kurang pengetahuan dalam membentuk keluarga berasaskan ajaran Islam.
Mereka hanya bergantung kepada kursus praperkahwinan selama dua hari yang diwajibkan ke atas mereka.

Kursus itu sebenarnya belum cukup untuk menyediakan mereka untuk mengharungi kehidupan sebenar berumah tangga, katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka disaran mengukuhkan lagi pengetahuan dengan mengikuti pelbagai kursus lanjutan lain seperti kursus keibubapaan dan kursus berkaitan rumah tangga.

Beliau juga tidak menafikan pengaruh rakan dan campur tangan keluarga khususnya ibu bapa juga menjadi antara faktor keruntuhan rumah tangga pasangan muda di ibu kota.

Selain faktor itu, ada juga kes perceraian disebabkan suami atau isteri berlaku curang terhadap pasangan masing-masing, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan kes perceraian di ibu kota yang direkodkan JAWI turun secara mendadak apabila sehingga Julai tahun ini hanya membabitkan 64 kes berbanding 1,828 kes sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di ibu kota setiap tahun dianggarkan 20,000 orang dengan kira-kira 10,000 orang adalah golongan muda.

Tujuh tahun pertama usia perkahwinan adalah tempoh paling kritikal kerana hampir 28 peratus perceraian berlaku dalam jangka waktu berkenaan.

Kebanyakan kes perceraian dalam tempoh itu pula membabitkan pasangan muda berumur bawah 30 tahun ke bawah," katanya.

Beliau berkata, penurunan bilangan pasangan bercerai sepanjang tahun ini berbanding tahun lalu adalah disebabkan kesan daripada pelbagai kempen dan penguatkuasaan berterusan dilaksanakan JAWI pada tahun lalu sehingga kini.

Antaranya, program Dakwah Bil Hal yang dilancarkan pada 2009; kempen Rakan Muda Masjid; kempen mengimarahkan masjid; kempen pasukan sukarelawan masjid selain program bertemu komuniti kurang bernasib baik dan bermasalah yang kesemuanya mensasarkan penyertaan golongan muda.

Semua kempen ini bermatlamat menangani krisis akhlak dan moral dalam kalangan generasi muda dan saya percaya dengan meningkatkan kekerapan siri ceramah serta kempen berkaitan untuk mereka, kesedaran mengenai kepentingan menerapkan gaya hidup berlandaskan ajaran Islam boleh ditingkatkan.

Ia sekali gus membantu JAWI menurunkan lagi kadar perceraian sehingga 15 peratus lagi menjelang 2015, katanya.

Oleh Nurhasyima Hasim


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...