terima kasih buat kalian semua..

Thursday, September 30, 2010

Individu gemar tangguh lunaskan hutang dianggap zalim


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) gagal memenuhi sasaran mengutip semula bayaran balik pinjaman berjumlah RM23 bilion yang dikeluarkan sejak 1997 sebaliknya, hanya RM1.8 bilion dapat dikutip berbanding RM3.6 bilion disasarkan, pencapaian tidak sampai 10 peratus.

Kadar kutipan balik pinjaman yang rendah ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab peminjam yang diberi kemudahan tetapi liat membayar balik pinjaman

Sepatutnya, peminjam bersikap lebih positif, berterima kasih kepada PTPTN menyediakan dana besar untuk membiayai pengajian masing-masing. Usahlah jadi kacang lupakan kulit, sebaliknya hargailah inisiatif kerajaan dengan membuat pembayaran balik sebaik tamat pengajian dan berkerjaya

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, amalan berhutang sudah berlaku. Baginda pernah berhutang seekor unta dan kemudian membayar hutang itu dengan unta yang lebih besar dan lebih baik daripadanya.

Kini, berhutang sudah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat. Malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak berusaha untuk melangsaikan hutang mengikut perjanjian yang dibuat hingga penjamin terpaksa memikul beban.

Islam menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik hutang.

Rasulullah SAW mengingatkan orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang adalah termasuk dalam perbuatan zalim. Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang.
Memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila ia bertujuan memenuhi keperluan mendesak, seperti membantu mereka yang sangat memerlukan, menghadapi musibah, bencana alam dan golongan kurang upaya.

Bagi pihak yang berhutang, Rasulullah SAW mengingatkan mereka akan terus terikat dengan pembayaran balik hutang yang dibuat. Dia mesti menjelaskan hutangnya ketika hidup kerana apabila seseorang berhutang meninggal dunia sewaktu masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehinggalah dijelaskan hutang itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jiwa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya (iaitu dia belum dihukum, sama ada kebaikannya atau kejahatannya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Tetapi bagi yang tidak mampu melangsaikan hutang hinggalah ia meninggal dunia, maka soal hutangnya akan menjadi tanggungjawab Baitulmal seperti berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Ada ulama berpendapat hutang tadi berpindah kepada waris simati. Jika anak juga miskin, kemungkinan hutang tadi balik kepada cara yang pertama, iaitu diserahkan kepada kerajaan.

Firman Allah bermaksud: “Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesusahan, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan sedekahkan (sebahagian atau semua) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” Surah al-Baqarah, ayat 280

Dalam masalah hutang, sunat memberi hutang dalam keadaan biasa tetapi wajib dibayar oleh pengambil hutang jika sampai tempohnya. Jika belum cukup tempoh dijanjikan, pemberi hutang tidak boleh memintanya.

Diceritakan Anas, seorang lelaki antara kami memberi hutang suatu barang kepada temannya. Kemudian orang yang berhutang tadi memberi hadiah kepadanya. Hal ini diceritakannya kepada Rasulullah.

Jawab Baginda: “Apabila salah seorang antara kamu memberi hutang sesuatu kemudian diberi hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaannya, maka janganlah diterima hadiah itu dan janganlah naik kenderaan itu, kecuali jika sememangnya antara kedua-duanya itu biasa berlaku demikian sebelum terjadi hutang-piutang itu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli


RM144juta; Persediaan 3 tahun ke Sukan Komanwel, Sasaran cuma 10 emas..berbaloi ke???


RM144 juta! Itulah ‘nilai’ kontinjen negara yang bakal beraksi di Sukan Komanwel New Delhi XIX yang disingkap tirai Ahad ini dan Sukan Asia XVI Guangzhou, November ini.

Angka berkenaan dibelanjakan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menjayakan program Cabaran 2010 bermula sejak 2007 dengan sasaran mengatasi pencapaian terbaik kontinjen negara pada pentas kedua-dua temasya berprestij itu sebelum ini

Sehubungan itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong menuntut atlit yang menggalas cabaran mempamerkan prestasi terbaik bagi membuktikan pelaburan besar kerajaan itu berbaloi

“Kita menyediakan segala-galanya dalam persiapan Cabaran 2010 dan kemuncaknya semakin hampir dengan atlit akan bertanding bermula Ahad ini di New Delhi dan sebulan kemudian di Guangzhou.

Ia akan menjadi penentu sama ada Cabaran 2010 ini berjaya atau tidak,” katanya yang juga chef de mission kontinjen negara ke Guangzhou, semalam.

Zolkples berkata, jumlah perbelanjaan dikeluarkan sejak 2007 membabitkan 25 jenis sukan merangkumi elaun latihan atlit, gaji jurulatih tempatan dan asing serta pembelian peralatan serta meningkatkan kemudahan latihan.

“Jumlah itu juga membabitkan perbelanjaan latihan dalam dan luar negara, latihan pusat serta pendedahan di luar negara,” katanya.
Pencapaian terbaik kontinjen negara di Sukan Komanwel ialah 12 tahun lalu di gelanggang sendiri apabila memenangi 10 pingat emas, manakala Sukan Asia di Doha, empat tahun lalu dengan membawa pulang lapan emas

Oleh Hussain Said


Gengsterisme dan dosa filem Tamil..


SAYA merupakan salah seorang peminat filem Tamil dan Hindustan. Minat itu mula bercambah ketika bersekolah rendah. Regu menonton filem-filem itu adalah ayah. Saya juga menggilai cerita-cerita Kantonis, Mandarin, Jepun dan Korea.

Membandingkan filem-filem tersebut, ternyata filem Tamil memaparkan keunikan tersendiri. Ada beza antara cerita Tamil (Malayalam, Telugu) dan Hindustan. Cerita Tamil sarat dengan derita dan sengsara. Paparan jenayah, rasuah, keganasan dan kemiskinan. Ada nyanyian tetapi selalunya disulami air mata.

Kisah yang dipaparkan berkisar kepada kehidupan seharian dalam masyarakat. Jurang antara dua darjat atau kasta, cinta serta kuasa sering menjadi jalan utama cerita. Lokasi filem Tamil pada tahun 1970-an dan 1980-an adalah kampung, sawah padi, kereta lembu dan rumah buruk. Ada juga ditonjolkan perihal kehidupan masyarakat bandar namun masih berkisar kepada soal kesengsaraan.

Filem Tamil paling dikenali menerusi aksi pergaduhan. Adegan yang dipaparkan memang nampak ganas ditambah dengan kesan bunyi melampau. Watak hero atau penjahat berkain sarung kebiasaannya berwarna putih. Apabila tiba babak pergaduhan si hero akan mengangkat bahagian belakang kain ke hadapan dan menyelitkannya di pinggang. Maka berlangsunglah aksi-aksi ‘dush sana dush sini’, darah menyembur, puluhan penjahat tidak mampu menewaskan seorang hero yang mempunyai kekuatan luar biasa.

Kebiasaannya di peringkat awal si hero akan tewas, namun selepas cedera parah, dia akan bangkit dengan penuh tenaga dan kekuatan membelasah kumpulan penjahat tanya belas jauh sekali ehsan.

Minuman keras dan filem Tamil juga tidak mampu dipisahkan. Ada hero menjadikan minuman keras pengubat lara namun akhirnya ‘bertaubat’. Maknanya di sebalik elemen ganas (yang tidak logik), filem Tamil sentiasa sarat dengan pengajaran.

Hero

Nama-nama hero filem Tamil seperti M. G. Ramachandran yang lebih dikenali sebagai MGR dan Sivaji Ganesan mewarnai filem Tamil di era 60-an hingga 70-an. Hero yang digilai ramai itu berjaya membawa pelbagai watak dan mampu menyentuh perasaan para penonton. Air mata dalam filem Tamil adalah milik aktres dan aktornya. Malah pelakon lelaki (selalunya hero) dalam filem Tamil mampu menangis berjurai air mata sehingga menjadikan panggung sunyi dan sepi.

Teringat satu cerita yang sendiri lupa judulnya di mana Sivaji membawa watak seorang datuk yang menjadi gila gara-gara dihantui kenangan bersama cucu yang dipisahkan daripadanya. Peminat filem Tamil juga pasti tidak lupa pelakon komedi terkenal Nagesh yang menceriakan filem-filem Tamil di sebalik kesengsaraan serta keganasan yang dipaparkan.

Kegilaan terhadap filem Tamil menjadi-jadi apabila muncul Kamal Haasan yang terkenal dengan pelbagai watak, begitu juga Karthik (yang boleh dikategori sebagai kacak ketika zaman kurusnya) dan Ranjinikanth yang sering saja mengunyah sirih apabila memegang watak hero kampung yang memperjuangkan nasib penduduk setempat.

Manakala aktres seperti Seri Devi bermata bundar dengan ikatan sari serta gerak tari seksi menggoda namun masih ada seninya jika dibandingkan dengan goyangan Beyonce.

Menjelang tahun 1990-an, tema dan jalan cerita filem Tamil lebih menarik dan pelbagai sambil digaul dengan elemen moden menjadikan filem tersebut mampu bersaing serta layak ditonton oleh masyarakat antarabangsa. Tentu ramai telah menonton filem Anjali - kisah sebuah keluarga yang berhadapan dengan trauma apabila anak kecil autistik yang disembunyikan selepas kelahirannya hadir dalam hidup mereka. Sememangnya kisah tersebut amat meruntun perasaan dan lari daripada tema biasa filem-filem Tamil pada zaman sebelumnya.

Perlu diakui dunia filem Tamil semakin ‘kontemporari’. Lenggang liuk si penari semakin menghairahkan. Adegan-adegan pergaduhan tetap mendapat tempat, selain tema yang sarat dengan percintaan dan gaya hidup muda-mudi.

Namun jangan lupa paparan skrin dari Hollywood, Filipina, Thailand, Hong Kong malah Malaysia juga cenderung mengetangahkan aksi ganas, seks dan minuman keras. Orang yang menonton filem Tamil turut menonton filem-filem dari negara lain, jadi apakah dosa peningkatan jenayah hanya pada filem Tamil?

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Ketuanan Melayu...Apa itu ‘kuasa Melayu’? Siapa sebenarnya yang hilang kuasa???


ORANG Melayu baru sedar bahawa ‘kuasa Melayu’ di negara ini akan pupus, atau setidak-tidaknya Melayu tidak akan berkuasa lagi di negeri ini. Beberapa tanda digunakan untuk membuat ramalan tentang kemungkinan pupusnya kuasa Melayu di negara ini.

Hasil Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas dianggap oleh orang Melayu sebagai salah satu tanda terhakisnya kuasa politik Melayu apabila UMNO dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti 2/3 dalam parlimen dan jatuhnya negeri kuasa UMNO sejak kemerdekaan ke tangan Pas atau gabungan parti-parti Pakatan Rakyat, dan hilangnya pengaruh politik UMNO di Pulau Pinang. BN mula-mulanya kalah di Perak tetapi disebabkan tiga orang anggota DUN PR keluar parti dan menjadi anggota DUN mesra-BN, maka Mahkamah memutuskan bahawa BN-lah yang layak memerintah di negeri itu. Tetapi orang Melayu kekal memerintah di Kelantan, walaupun parti yang memerintah bukan BN/UMNO tetapi Pas.

Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu. Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Benar, sejak Perjanjian Pangkor tahun 1874, British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States. Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British. Tidak. Raja Melayu tetap bertahta (tidak diturunkan dari tahtanya) dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu (Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah-Perlis) pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’.

Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu makin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Union-nya.

Orang Melayu seluruh Tanah Melayu bangkit menentang rancangan itu, kerana kalau tidak ditentang Tanah Melayu akan menjadi tanah ‘Jajahan British’, raja-raja Melayu akan hilang hak dan kedaulatannya dan akan dijadikan subject raja British dan bangsa Melayu menjadi ‘rakyat British’ sama seperti halnya dengan Hong Kong, tidak lagi sebagai rakyat raja Melayu atau negeri Melayu. Semasa seluruh bangsa Melayu di Tanah Melayu, termasuk Melayu di Singapura, bangkit menentang rancangan Malayan Union itu kaum-kaum lain tidak menyokong protes itu. Mereka mungkin itu adalah masalah orang Melayu, masalah raja dan negeri Melayu, bukan masalah mereka. Pada masa itu mereka bukan rakyat raja atau negeri Melayu. Mereka adalah ‘orang asing’ atau ‘pendatang’. Jadi, mereka tidak turut membantah kerana menganggap Malayan Union itu ialah masalah Melayu bukan masalah mereka. Barangkali mereka suka Tanah Melayu menjadi koloni British dan mereka menjadi ‘rakyat British’ atau ‘British citizens’.

Malayan Union yang gagal itu digantikan dengan kesatuan baru yang disebut Federation of Malaya yang diperintah oleh raja baru, iaitu the British raj (seperti di India) yang diwakili di Tanah Melayu oleh Pesuruhjaya British sebagai ‘ketua eksekutif’. Tetapi Federation of Malaya itu sebenarnya ialah Federation of Malay States atau ringkasnya Persekutuan Tanah Melayu, bukan Persekutuan Malaya. Ini menunjukkan bahawa ‘negeri Melayu’ tidak dihapuskan seperti yang cuba dihapuskan oleh British melalui rancangan Malayan Union-nya. Ada ‘Negeri Melayu’ bererti ada raja Melayu, ada kerajaan Melayu. Kita menyebut ‘sejarah’ ini untuk menangkis pendapat yang mengatakan bahawa sebelum kemerdekaan ‘Negeri Melayu’ atau ‘Kerajaan Melayu’, atau dengan kata lain ‘kuasa Melayu’ sudah tidak ada lagi. Maka orang pun percaya - dan ini termasuk para pemimim Melayu - bahawa dalam tahun 1957 lahirlah sebuah ‘negara baru’ yang disebut negara Federation of Malaya (kemudian dalam tahun 1963, menjadi ‘Persekutuan Malaysia’), tidak lagi ‘persekutuan tanah Melayu’ atau ‘persekutuan negeri-negeri Melayu’. Ini suatu penghinaan kepada bangsa Melayu yang sudah mempunyai negeri atau negara atau kerajaan sejak sekurang-kurangnya abad ke-13 lagi.

Kemerdekaan

Selepas kemerdekaan, UMNO yang pada waktu itu mampu memerintah tanpa bergabung dengan kaum-kaum lain, sanggup berkongsi dengan kaum-kaum lain untuk memerintah negeri ini selepas British meninggalkan Tanah Melayu, demi ‘perpaduan kaum’ (konon!). Dalam PRU pertama (1956), UMNO memenangi lebih daripada 2/3 kerusi Parlimen. Calon-calon dari parti komponen Perikatan, iaitu MCA dan MIC, kalau saya tidak silap, semuanya atau hampir semuanya menang di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Itulah agaknya yang dimaksudkan oleh Melayu sebagai ‘kuasa Melayu’, iatu kuasa politik Melayu. Tetapi mengapakah sekarang orang Melayu takut ‘kuasa’ itu akan hilang? Apakah yang mereka takut: hilang kuasa UMNO atau hilang kuasa Melayu? Dalam Parlimen, orang Melayu masih merupakan golongan majoriti, kalau kita ambil kira kerusi UMNO, kerusi Melayu Pas, dan kerusi Melayu dari PKR. Kuasa Melayu untuk terus menjadi pemerintah di negeri ini tidak semestinya bererti kuasa UMNO sahaja.

Hari ini, sudah mulai banyak orang Melayu yang berkata, apa untungnya rakyat biasa Melayu jika UMNO terus memerintah. Mereka melihat sebahagian orang Melayu yang berkuasa dalam UMNO sudah tidak ada semangat dan jiwa Melayunya lagi, seperti ibu bapa mereka yang berarak menentang Malayan Union. Mereka dilihat tidak berani lagi ‘memperjuangkan’ nasib bangsa Melayu; UMNO baru ini dilihat semakin menyerah dan bertolak ansur dengan apa sahaja kehendak dan tuntutan orang bukan Melayu, termasuk hal-hal yang mereka tidak tuntut namun diberikan juga, konon untuk mengambil hati orang bukan Melayu, sedangkan tuntutan Melayu dituduh sebagai tuntuan ‘rasis’. Sama ada ini hanya persepsi orang Melayu terhadap UMNO sekarang atau ini memang kebenaran, UMNO kenalah kaji dengan jujur dan secara rasional untuk mengetahui sebabnya yang sebenar. Maka dalam keadaan nasib Melayu yang tidak menentu ini, lahirlah NGO Melayu yang dituduh ‘rasis’, iaitu Perkasa. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perkasa lahir kerana mereka menganggap UMNO tidak lagi sanggup atau mampu mempertahankan hak dan kepentingan bangsa Melayu.

Dalam PRU yang lepas banyak penyokong tradisional UMNO lari ke parti-parti lain, khususnya Pas. Apa sebabnya? Apakah mereka sudah kecewa dan hilang kepercayaan kepada UMNO sebagai parti yang dapat membela nasib mereka atau apakah mereka percaya bahawa Pas dapat menjadi parti Melayu sebagai alternatif kepada UMNO? Dasar-dasar apakah yang dibawa oleh Pas yang menarik perhatian mereka?

Masalah

Saya rasa masalah ‘kuasa Melayu’ tidak terletak pada mana-mana parti politik Melayu atau pada soal ‘kuasa politik’ parti semata-mata. Kuasa politik bukan ditentukan oleh parti politik tetapi oleh rakyat, oleh pengundi. Sama ada kita suka atau tidak suka inilah demokrasi. Kuasa politik bukan terletak pada UMNO, atau Pas, atau DAP atau PKR tetapi pada rakyat. Dan rakyat hari ini, terutama golongan muda - ini termasuk pengundi Melayu yang masih merupakan pengundi majoriti di negara ini - nampaknya tidak lagi memilih parti hanya berdasarkan sentimen kaum tetapi berdasarkan soal sama ada parti itu dapat memerintah negara dengan adil, saksama, seimbang, bersih, cekap dan amanah. Mereka melihat apakah parti itu dipenuhi oleh golongan manusia yang perasuah, orang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan sendiri dan kesenangan kaum keluarga dan sahabat handai mereka, atau apakah parti itu dipimpin oleh orang-orang yang bersih dari segala macam rekod moral yang buruk, orang yang bercakap bohong, orang yang lebih mementingkan ekonomi ‘pasaran bebas’, ekonomi mesra pasaran, daripada ekonomi atau pasaran mesra-rakyat. Sehubungan ini saya teringat membaca suatu artikel dalam majalah Newsweek baru-baru ini yang menceritakan dasar ekonomi negeri China. Seorang pegawai tinggi kerajaan China berkata: In China we make the market economy to serve the people and the State, not the market, maksudnya, ‘Di negeri China ekonomi pasaran diarah berkhidmat untuk rakyat dan negara tidak untuk pasaran’. Barangkali kerana inilah China sekarang sedang berkembang untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia mengalahkan negara-negara Barat dan Jepun.

Kalau sesebuah parti Melayu diketahui oleh rakyat semua kaum sebagai parti yang ‘bersih’, yang akan memerintah dengan adil tidak kira kaum, saya kira semua kaum akan tertarik dengan parti itu. Ini soal prinsip, soal moral, bukan soal perkauman.

Jadi, soalnya, apakah dan siapkah yang salah jikalau ‘kuasa Melayu’ akan hilang. Jawabnya ialah, yang salah ialah orang Melayu sendiri, bukan kaum-kaum lain. Diberi kuasa yang banyak oleh rakyat, terutama pengundi Melayu, kuasa itu tidak digunakan dengan baik dan bijaksana; kuasa itu disalahgunakan, sehingga berlaku beberapa banyak skandal berlaku, skandal rasuah, skandal jenayah, skandal ekonomi. Selama 50 tahun orang Melayu mempunyai kuasa untuk mempertahankan hak dan kepentingan Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, dalam soal dasar bahasa, dalam soal budaya dan lain-lain lagi, tanpa menjejaskan kepentingan kaum-kaum lain yang juga perlu diperjuangkan oleh penguasa-penguasa politik Melayu itu dengan adil dan saksama, sebagaimana dituntut oleh Perlembagaan, tetapi sejak mutakhir ini nampaknya keadaan orang Melayulah yang semakin terdesak. Maka lahirlah badan bukan kerajaan Melayu seperti Perkasa untuk mewakili suara dan keadaan rakyat Melayu yang terdesak itu.

Kemiskinan di kalangan orang Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan kemiskinan di kalangan kaum lain juga makin meningkat. Jurang perbezaan antara golongan terkaya dengan golongan majoriti yang susah semakin membesar. Jikalau dasar ekonomi negara ini mesra-rakyat, keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Kita sibuk memajukan keadaan fizikal negara tetapi lupa memajukan keadaan moral rakyat dan negara serentak atau selaras dengan kemajuan materialistik.

Nasihat saya kepada orang UMNO ialah, tumpukan perhatian kepada reformasi atau transformasi moral dan budaya politik dalam UMNO. Ini akan menjadi asas atau ‘model’ untuk membolehkan UMNO menjadi ‘pejuang bangsa Melayu’ yang kredibel dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan dan sosial merentas kepentingan peribadi anggota-anggota parti itu sendiri. Saya tidak berkata bahawa ‘moral’ anggota-anggota dan kepimpinan parti-parti lawan semuanya bersih, hebat, cemerlang, Tidak. Yang penting ialah UMNO sebagai parti Melayu yang terbesar (atau masih terbesar?) hendaklah memperbaiki dan menampilkan imejnya sebagai parti yang benar-benar berjiwa ‘kebangsaan’, parti yang dapat menjadi pilihan utama rakyat, tidak sahaja rakyat Melayu tetapi juga rakyat bukan Melayu berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan merentas kepentingan kaum dan kepentingan peribadi para anggota parti.

Akhir kata, ‘kuasa Melayu’ tidak bererti kuasa untuk orang Melayu yang berkuasa melakukan apa sahaja menurut nafsu mereka, memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan memusnahkan hak dan kepentingan bukan Melayu. Kuasa Melayu bererti kuasa untuk mentadbirkan negara dengan cekap, adil, bijaksana, bersih, bertanggungjawab untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik atau kepentingan golongan dan orang-orang perseorangan yang berkepentingan peribadi. Kuasa Melayu tidak bererti kuasa anti-bukan Melayu, atau hanya kuasa pro-Melayu, tetapi kuasa untuk semua rakyat, kuasa untuk mewujudkan kemajuan, kesejahteraan, kemakmuran untuk semua rakyat. Kalau ini maksud kuasa Melayu, tidak ada sebab mengapa rakyat mesti takut kepada kuasa ini. Yang kita takut ialah, jika kuasa Melayu ini diberikan kepada atau jatuh ke tangan orang Melayu yang tidak layak menerimanya dan tidak mampu menggunakannya dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan negara.

Oleh Dr. Hassan Ahmad

Wednesday, September 29, 2010

Miang Bangla kalahkan rebung! Suka pegang kemaluan sendiri depan org..


SAYA amat tertarik dengan artikel mengenai warga asing memenuhi koc wanita dengan selambanya, tanpa menghiraukan ketidaksenangan penumpang-penumpang wanita dengan kehadiran mereka. Warga asing ini sudah tentunya warga Bangladesh dan Nepal (sedikit) kerana mengikut pengalaman saya, kebanyakan warga asing yang miang mengalahkan rebung buluh, hanyalah warga asing dari Bangladesh!

Ini berlainan sekali dengan warga asing dari negara lain kerana mereka lebih suka mengganggu atau mencari pasangan dari negara mereka sendiri terutamanya warga Filipina, Indonesia dan Myanmar.

Warga Bangladesh ini, menurut ibu saya, jika mereka terlihat wanita tua sekalipun terutamanya yang tinggal di bandar-bandar kecil, mereka akan cuba menakut-takutkan mereka beramai-ramai, menegur dan ada yang bersikap kurang ajar dengan menggaru-garu seluar mereka di depan wanita-wanita ini tadi termasuklah di depan ibu saya!

Malangnya maki-hamun wanita-wanita ini, dibalas dengan gelak ketawa gaya ala-ala hero cerita Tamil di India! Memang kurang ajar sikap warga Bangladesh ini. Yang baik boleh dikira dengan jari, dan 95 peratus atau lebih adalah dari kategori yang saya tuliskan tadi.

Ramai dari mereka cedera teruk gara-gara dibelasah warga tempatan kerana mengganggu wanita-wanita tempatan, namun ini tidak mematahkan 'hasrat' teman-teman mereka yang lain kerana itulah sikap mereka di Bangladesh sendiri! Mereka sanggup bertikam dengan rakan mereka sendiri sekiranya wanita idaman mereka terlepas dari genggaman.

Pada pandangan peribadi saya dan juga teman-teman yang pernah tinggal di Bangladesh untuk beberapa tahun yang lalu, warga Bangla di Bangladesh mempunyai beberapa sikap yang lain dari yang lain iaitu miang, kurang ajar baik dari segi percakapan dan perbuatan, panas baran, suka cari pasal dan suka bergaduh.

Golongan berada, tidak bersikap begini kerana mereka menjaga status dan akan mencari wanita yang sama taraf sahaja dan begitu juga dengan golongan kelas pertengahan namun mereka masih mempunyai sikap-sikap yang saya sebutkan di atas. Berlainan sekali dengan golongan kelas bawahan, mereka ini tidak mengira tempat dan waktu akan mengganggu wanita-wanita yang lalu lalang.

Dengan hanya memakai kain pelikat yang lusuh kebanyakan dari mereka ini suka berkumpul dan dengan sengaja mereka akan meramas kemaluan mereka sendiri jika terangsang kerana melihat wanita-wanita muda mereka yang lalu-lalang untuk ke sekolah, ke pasar atau yang berjalan pulang dari bekerja di kilang-kilang berhampiran.

Namun mereka agak takut jika wanita itu dari kelas atasan dan wanita warga asing seperti saya dan teman-teman dari Eropah kerana takut menerima gertakan secara percuma baik dari kami dan pemandu peribadi kami sendiri.

Ketika di Dhaka, teman saya dan saya pernah dengan beraninya menghayunkan payung dan menggertak tiga lelaki warga Bangla kerana mengganggu kami sewaktu ke pasar. Memang mereka benar-benar takut kerana mereka akhirnya dikejar oleh segerombolan warga mereka sendiri kerana perbuatan mereka itu boleh membuatkan mereka yang berjualan di pasar kehilangan pelanggan.

Warga Bangla juga terkenal dengan sikap mereka yang memang suka berpegangan tangan sesama lelaki dan suka meraba dan menggaru kemaluan mereka sendiri terutamanya di tempat-tempat awam. Di dalam bas pula, ini dari pengalaman seorang wanita teman Bangla saya yang belajar di salah sebuah universiti. Penumpang lelaki akan mengasak penumpang wanita dengan sengaja dan akan meramas punggung dan buah dada tanpa segan silu.

Oleh itu ramai penumpang wanita memang gerun untuk menaiki kenderaan awam yang sudah sememangnya serupa tin remuk! Memang kita di Malaysia akan naik angin jika ada lelaki berbuat demikian sebab itulah apabila saya memberitahu ibu dan kakak saya di Malaysia, mereka hanya menggelengkan kepala tanda mengakui betapa teruknya sikap warga Bangla.

Bagaimana perangai mereka di Bangladesh, begitulah perangai mereka di negara kita. Nasihat saya kepada penumpang bas, sistem aliran ringan, monorail dan koc wanita, jangan lupa membawa payung dan kalau hendak menggertak, gertak beramai-ramai dan suruh mereka keluar dari koc wanita sebaik melihat kelibat mereka!

ANTI WARGA MIANG

Kuala Lumpur

Keseronokan dan kemarahan menikmati siaran Astro..


KEMUNCULAN stesen TV berbayar Astro pada tahun 1996 adalah satu pilihan kepada pengguna untuk menikmati kepuasan menonton tanpa gangguan iklan.

Astro mula beroperasi dengan 22 saluran tetapi kini menawarkan 125 saluran berbayar untuk empat bahasa utama di negara kita, ermasuklah lapan saluran Berdefinisi Tinggi (HD) merentasi Malaysia dan Brunei. Setakat ini, Astro mempunyai hampir tiga juga pelanggan

Untuk mendapatkan perkhidmatan siaran Astro, pengguna mesti membayar harga berdasarkan pakej yang ditawarkan oleh syarikat TV ini. Memang hakikatnya, tiada yang percuma pada untuk mendapatkan perkhidmatan Astro. Segala-galanya berbayar. Hendak menyambung atau menamatkan perkhidmatan Astro pun ada kalanya dikenakan bayaran.

Sejajar dengan segala-galanya perlu dibayar, Astro juga sepatutnya menjanjikan perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggannya. Memang tidak dinafikan, dari semasa ke semasa Astro sentiasa menjanjikan kandungan program yang bermutu untuk penonton atau pelanggannya. Tapi seperti yang kita katakan, ia bukan percuma!

Oleh itu, apabila kita berasa agak terganggu apabila beberapa rangkaian dalam Astro sekarang secara perlahan-lahan sudah diresapi dengan iklan. Iklan komersial dan iklan promo. Kedua-duanya tetap mengganggu kepuasan dan keseronokan menonton program Astro.

Oleh kerana pengguna atau pelanggan sudah membayar sejumlah wang, tidak kiralah dalam bentuk pakej apa sekalipun, sepatutnya tidak sebagai penonton tidak ada lagi diganggu dengan penyiaran iklan komersial. Kalau sudah ada iklan komersial, apa bezanya saluran TV di Astro dengan saluran TV percuma seperti TV1 dan TV2 atau TV3, TV9, ntv7 dan 8TV. Semua stesen percuma itu memang patut mencari iklan bagi menampung operasi dan dari situ mereka mencari keuntungan.
Memang ketika ini jumlah atau penyiaran iklan komersial dalam saluran TV Astro belum ketara, tetapi jika dibiarkan atau tidak dikawal, lama-kelamaan ia dilihat sama saja dengan stesen TV percuma. Cuma yang tidak adil bukan saja kepada pengguna yang sudah membayar langganan setiap bulan, tetapi mungkin juga kepada pengendali stesen TV percuma kerana ia sudah mengecilkan pembahagian pengiklanan.

Sekiranya hendak bersaing mencari iklan secara terbuka dengan stesen TV sedia ada, mungkin Astro boleh mengetepikan beberapa salurannya secara percuma juga kepada pelanggan.

Pilihan lain ialah menawarkan satu pakej pada kadar paling minimum iaitu RM10 saja untuk sejumlah saluran. Katakan 10 atau 15 saluran pertama, ditawarkan dengan bayaran serendah RM10, yang boleh dianggap sebagai kos perkhidmatan sahaja seperti untuk pengebilan. Dan untuk menampung kos itu saluran ‘percuma’ ini dibenarkan mencari iklan komersial.

Selain iklan komersial, iklan promosi yang kerap dan lama turut mengganggu keseronokan menikmati saluran Astro. Boleh disiarkan tetapi biarlah berpada-pada. Peranan iklan promo ini adalah untuk mengingatkan penonton tetapi sebagai manusia, apabila terlalu kerap dan berjela-jela, ia seumpama ‘orang yang suka membebel dan berleter’. Kebanyakan orang tidak suka mendengar orang membebel dan berleter.

Astro memang sentiasa inovatif dan kreatif. Oleh itu, banyaklah pakej dan kemudahan sampingan ditawarkan demi memberi kepuasan kepada pengguna atau pelanggannya. Kemudahan yang ditawarkan itu pula seiring dengan perkembangan teknologi penyiaran semasa. Tapi ingat! tidak semuanya percuma...

Antara tawaran terbaru yang ditawarkan ialah pakej Beyond iaitu pengguna boleh mendapatkan saluran tambahan dengan kesan visual atau gambar yang jelas dan jernih. Buat masa ini, mereka yang mendapatkan pakej Beyond ini diberikan lapan saluran tambahan yang mana semua kandungan yang disiarkan menggunakan teknologi Definisi Tinggi (HD). Ia bukan tawaran percubaan sebaliknya pelanggan tetap dikenakan bayaran tambahan RM20 sebulan daripada pakej asal.

Ketika ini ramai pengguna yang menggunakan pakej Beyond merungut kerana kepuasan menonton terganggu apabila siaran Astro secara tiba-tiba terhenti atau tergantung (hanging) untuk selama beberapa minit. Dalam masa satu jam, ia boleh terhenti dengan tidak semena-mena selama tiga atau empat kali. Ia cukup menyakitkan hati.

Khidmat pelanggan Astro pula bukan semuanya ‘mesra pelanggan’. Sesetengahnya pula tidak arif dan tidak faham dengan masalah yang sedang dihadapi oleh pelanggan seperti siaran Astro yang ‘terhenti’ secara tiba-tiba ini. Akhirnya, jawapan yang diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan ialah meminta pengguna menghubungi kontraktor pemasangan Astro dan kesudahannya kita pula dikenakan caj RM50 di atas masalah yang bukan berpunca daripada pelanggan.

Kita menghargai sumbangan besar Astro dalam industri penyiaran negara, tetapi pada masa Astro juga tidak memandang rendah rungutan dan kepuasan pengguna. Astro bernasib baik kerana tidak ada pesaing seperti mana stesen TV berbayar.

Namun begitu, walaupun tidak ada pesaing, apa salahnya Astro mengambil berat dan sabar dengan keluhan pelanggan kerana pada setiap bulan mereka setia membayar langganan. Pelanggan Astro juga bukanlah daripada orang kaya saja...

Oleh Zainuri Misfar


Hari raya suram kerana judi..


WALAUPUN Syawal sudah hampir ke penghujungnya, tetapi bagi saya kehadirannya setiap tahun mengundang kesedihan. Ketika jiran tetangga sibuk balik kampung, kami sekeluarga berhari raya sendirian sahaja. Tak bererti langsung. Demikian cerita Norlyana dalam email dan ketika kami berbual panjang di telefon baru-baru ini.

‘‘Sebabnya, saya tidak ada kampung untuk kami boleh pulang beraya. Pada saya mereka yang ada kampung memang bertuah tak seperti kami anak beranak, hanya berhari raya di rumah sendiri. Hinggakan di taman perumahan itu keluarga kami sahaja yang tinggal, macam kami jadi pengawal keselamatan di kawasan itu, sebab jiran depan belakang, kiri kanan semua balik kampung masing-masing,

‘‘Sebenarnya kami suami isteri masih ada lagi ibu bapa masing-masing, tetapi keadaan tidak membolehkan kami berhari raya bersama mereka, kami sekadar pulang menjenguk mereka untuk sejam dua lepas itu pulang ke rumah sendiri.

‘‘Sebenarnya rumah ibu bapa saya hanyalah sebuah rumah pangsa dua bilik terletak di Kuala Lumpur yang dihuni oleh 8 orang ahli keluarga. Bayangkan betapa sesaknya rumah kami. Hanya rumah itu sahaja yang mampu ayah beli, memandangkan ayah tidak mempunyai sebarang harta sama ada rumah pusaka atok nenek di kampung.

‘‘Semasa anak-anak saya masih kecil kami masih boleh bermalam di rumah pangsa ayah, tetapi setelah mereka meningkat remaja, keadaan sudah berbeza, sebab adik beradik saya pun ada anak-anak yang dah besar, dah tak muat.

‘‘Akhirnya kami berpakat bergilir-gilir beraya di rumah emak dan ayah, pagi pasukan lain, tengah hari lain, petang keluarga saya, malam dengan anak yang lain pula, barulah nampak adil. Paling utama kami lebih selesa beraya bersama emak dan ayah. Sambil menikmati juadah yang kami bawa untuk di makan bersama.

‘‘Dengan keluarga suami pula saya fikir lepas kahwin dapatlah saya menikmati suasana beraya di kampung. Maklumlah saya berkahwin di kampung, malangnya sangkaan saya meleset sama sekali. Dari keluarga suami saya tahu, rumah mertua saya itu bukan rumah sendiri cuma rumah sewa dan keadaannya memang teruk.

‘‘Memang benar mertua saya orang kampung. Dengar ceritanya dulu mereka ada tanah dan rumah pusaka, tetapi kerana suka berjudi, maka tanah dan rumah pusaka habis dijual.

Jarang

‘‘Tetapi kini, kami langsung tidak dapat balik kampung, bukan kerana anak-anak dah remaja, tetapi kerana dua perkara paling utama. Pertama kerana rumah itu kecil, kedua kerana adik ipar saya yang sakit turut sama tinggal bersama ibu bapa mertua saya.

‘‘Adik ipar saya sakit setelah bercerai dengan isterinya. Dengar cerita yang sahih mereka bercerai sebab ipar saya jual rumah yang dibelinya kerana gila berjudi. Bukan itu sahaja, malah kereta, barang perhiasan isterinya, perabut rumah dan banyak lagi turut jadi mangsanya, kerana gila berjudi.

‘‘Masalah bertambah teruk apabila pekerjaannya turut menjadi korban kerana pinjaman bank tidak dibayar. Apabila keadaan sudah tidak boleh dikawal lagi perceraian pun berlakulah. Setelah segala-galanya hilang, dia jatuh sakit. Sakitnya memang parah, sakit otak, sebab otaknya terlalu banyak berfikir.

‘‘Sejak dia tinggal di rumah ayah lebih kurang tiga tahun lalu kami dah tak boleh balik ke kampung lagi, sebab keadaannya menjadi semakin teruk, kami sentiasa kena maki hamun. Bukan saya saja, tetapi adik-beradik yang lain pun sama. Kadang-kadang sedih juga dengan nasib mertua saya. Entah sampai bila terpaksa pikul beban tersebut.

‘‘Tetapi sedihnya ayah mertua saya tak dapat pengajaran dan mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku ke atas anaknya itu, beliau masih lagi melakukan hobi yang tidak berguna, duit pencen habis berjudi, ‘menangnya sikit tapi kalahnya memanjang. Amal ibadah entah ke mana, sebaliknya lebih bertarungkan nasib di meja berjudi.

‘‘Saya teringin merasa suasana beraya di kampung. Dapat berkumpul adik-beradik dan anak-anak saudara. Tapi saya tidak dapat merasai suasana itu disebabkan perkara yang saya nyatakan tadi.

‘‘Dulu pernah saudara mara mertua marah-marahkan suami saya. Kata mereka kenapa tak belikan rumah untuk emak ayah, kerana mereka masih sewa rumah. Anak-anak dah bekerja takkan tak boleh belikan sebuah rumah untuk mereka.

‘‘Sedangkan suami saya hanyalah seorang kakitangan beruniform makan gaji dengan kerajaan. Banyak mana sangat gajinya? Lainlah kalau kami ada rumah banglo, kereta mewah, banyak harta. Bolehlah kami belikan rumah untuk ibu bapanya.

‘‘Setiap bulan bayar ansuran rumah, ansuran kereta, makan, belanja makan pakai dan sekolah anak-anak. Kadang-kadang hujung bulan gaji tak berbaki langsung.

‘‘Kerana masalah ini nampaknya tak dapatlah kami anak beranak beraya di kampung macam orang lain. Namun punca utamanya kerana judi, bila dah gila judi, gila main ekor, bukan saja duit habis, harta benda pun boleh lesap tergadai.

‘‘Sekarang anak-anak lain nak jumpa emak ayah pun susah sebab takutkan adik yang dah gila tinggal bersama mereka.’’ Demikian cerita Norlyana panjang lebar tentang masalah kehidupannya yang tak dapat berhari raya di kampung bersama mertua. Semuanya gara-gara gila judi, akhirnya tinggal lidah dengan gigi.

Tuesday, September 28, 2010

Kesedaran menguruskan hutang..


Banyak yang boleh diambil pengajaran di sebalik ayat "wang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan wang". Memang benar wang bukanlah satu-satunya penentu kebahagiaan kehidupan seorang manusia.

Ada banyak lagi perkara yang boleh membawa kepada kebahagiaan manusia seperti memperoleh kasih sayang daripada keluarga dan mempunyai anak- anak yang soleh.

Namun demikian, dalam konteks sekarang, realitinya segala-galanya memerlukan wang.

Tanpa wang, mana mungkin kita mampu memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak.

Hatta, tanpa wang jugalah mana mungkin kita mampu membeli tilam dan bantal yang empuk untuk dijadikan "teman" dengkuran menandakan nyenyaknya tidur di waktu malam.

Tidak keterlaluan, bolehlah dikatakan amat bernasib baik bagi golongan yang mempunyai wang yang banyak. Lebih-lebih lagi bagi yang sudah memiliki wang yang banyak sejak kecil lagi, hasil usaha mak dan ayah.

Namun, wang yang banyak sekalipun akan hilang begitu sahaja jika kita tidak dapat mengurusnya dengan baik.

Wang sepatutnya menjadi hamba kepada kita dan bukannya kita menjadi hamba kepada wang. Jika ini dapat dilakukan, wang akan sentiasa "mematuhi" perintah kita sehingga membahagiakan kita.

Malangnya, ramai yang suka menjadikan dirinya "hamba" kepada wang. Sebanyak mana pun wang, ia tidak akan cukup jika ia "memerintah" kita.

Lebih malang lagi, jika kerana wang kehidupan kita menjadi lintang pukang sehingga semuanya tidak kena. Cara mengatur kehidupan sebegini sewajarnya dibuang jauh-jauh.

Justeru, apabila menyebut mengenai wang, kita tidak boleh lari dari hal mengurus wang dengan baik. Ini termasuklah kemahiran mengurus hutang yang selama ini ramai yang mengambil ringan mengenainya.

Buktinya, seramai 46,000 peminjam yang tidak pernah membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kalau tidak silap penulis, rata-rata, mereka adalah generasi muda.

Maklumlah pinjaman PTPTN hanya mula diperkenalkan pada tahun 1997 dan ini bermakna usia peminjam yang paling tua mengikut perkiraan penulis, dalam lingkungan 32 tahun.

Tidak mengapalah yang tidak membayar hutang ini terdiri daripada peminjam yang baru sahaja tamat belajar dan mempunyai keluarga yang berpendapatan rendah.

Tetapi bagaimana pula peminjam yang telah bekerja lama dengan gaji yang cukup lumayan?

Hutang tetap hutang. Kewajipan membayar hutang tetap terletak di bahu penghutang.

Sebab itulah golongan mahasiswa bukan sahaja perlu dididik dengan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan tetapi juga mereka mesti terdidik dari konteks mengurus kewangan terutamanya selepas memperoleh pekerjaan. Ini termasuklah memikirkan bagaimana untuk mengurus segala hutang piutang mereka.

Jika mereka memahami perkara ini dan mempraktikkannya, maka tidak mustahil mereka akan mula memikirkan tentang betapa pentingnya menyediakan simpanan untuk pendidikan anak-anak mereka di kemudian hari agar anak-anak mereka tidak berhutang untuk melanjutkan pelajaran sebagaimana yang berlaku ke atas diri mereka sendiri.

Ini baru hal pinjaman pelajaran, bagaimana pula pinjaman dengan bank seperti pinjaman peribadi dan hutang kad kredit?

Sekali lagi, ramai yang terperangkap dengan hutang sebegini sehingga menyebabkan mereka muflis. Bukan susah pun untuk diisytiharkan muflis.

Hanya dengan jumlah hutang sebanyak RM30,000 dan ke atas, seorang pemegang kad kredit boleh diisytiharkan muflis jika gagal membayarnya.

Maka, tidak menghairanlah ada cadangan agar kadar faedah kad kredit seperti kadar tahunan dan caj kelewatan diturunkan agar tidak membebankan pemegang kad kredit.

Ada juga yang berpendapat bilangan kad kredit dan jumlah maksimum kredit juga patut dihadkan bagi seorang pemegang kad kredit.

Malahan, ada ura-ura yang menyatakan Bank Negara Malaysia akan meningkatkan jumlah pendapatan setahun bagi permohonan kad kredit dari RM18,000 kepada RM24,000.

Kesemua cadangan ini serba sedikit boleh mengurangkan risiko ketidakupayaan membayar balik hutang kad kredit sehingga menyebabkan pemegangnya muflis.

Namun, cadangan ini lebih berbentuk kawalan oleh pihak luar. Adalah lebih baik lagi jika pemegang kad kredit sendiri sedar tentang tanggungjawab mengurus dan membayar hutangnya.

Kesedaran ini seharusnya bermula sejak kecil lagi agar setiap anak-anak kecil ditanamkan sifat integriti dalam semua perkara termasuklah dalam urusan membayar balik hutang.

Jika ia berjaya diterapkan dalam kehidupan seseorang, nescaya walau sebesar manapun hutangnya, beliau tetap berintegriti untuk sedaya upaya membayar balik segala hutang piutangnya dengan penuh rasa tanggungjawab.

Oleh Rohami Shafie

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia


Kesian...25 tahun masih minum air perigi...


Ramai penduduk kampung hidap penyakit kulit

KOTA BELUD: Selepas kira-kira 25 tahun, lebih 2,000 penduduk empat kampung di sini tidak lagi sanggup meminum air dari sumber perigi dan telaga tiub yang kini didakwa berkeladak dan kotor.

Kebimbangan mereka bertambah berikutan kes demam denggi yang kini berada di tahap membimbangkan berikutan penyenaraian daerah ini sebagai kawasan panas iaitu tertinggi kes wabak itu di Sabah.

Kampung terbabit adalah Kampung Labuan, Wakap, Tanjung Pasir dan Tanjung Wakap dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan serta Parlimen Kota Belud.

Tinjauan mendapati kesan lumut tebal yang melekat pada tangki plastik dan aluminium untuk menyimpan air dari sumber telaga tiub sudah cukup untuk menceritakan kesan kekotoran air berkenaan.

Kandungan air yang berkeladak dan keruh membimbangkan penduduk terutama yang menetap dekat paya air tawar dan sawah, kemungkinan ia mengandungi bahan kimia kesan racun serangga, baja pertanian dan najis ternakan.

Seorang penduduk Kampung Labuan, Basirin boyoh, 60, mendakwa pada 1980 hingga 1985, kampung itu mempunyai bekalan air mencukupi dari sumber paip namun mula tersekat sejak 1986.

Katanya, Jabatan Bekalan Air (JBA) daerah tidak memberi alasan menghentikan bekalan air ke kampung mereka sedangkan penduduk setempat terus membayar bil air yang disifatkan sebagai membayar `angin' kerana meter air bergerak kesan angin bukan air.
Beliau berkata, sejak itu mereka menggunakan bekalan air perigi sebelum majoriti penduduk menggunakan telaga tiub iaitu kaedah mengepam air dari bawah tanah menggunakan pam air elektrik mulai 1990.

"Kami tidak tahan lagi minum air kotor dan bimbang menjejaskan kesihatan terutama bayi dan kanak-kanak. Kami harap JBA daerah bertindak segera menyalurkan bekalan air paip. Kami hairan kerana paip hampir setiap tahun dinaiktaraf tetapi tiada bekalan air disalurkan," katanya.

DUN Usukan diwakili Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Japlin Akim manakala Ahli Parlimen Kota Belud adalah Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Seorang penduduk Kampung Tanjung Pasir, Atung Makar, 60, mendakwa ramai penduduk kampung berkenaan mengalami penyakit kulit dipercayai kesan penggunaan telaga tiub.

"Ini kerana telaga tiub dikesan menyedut semua air bertakung di bawah tanah kemungkinan termasuk kesan racun serangga, baja pertanian dan najis ternakan.

"Kami mahu Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia negeri menganalisis kandungan air berkenaan bagi memastikan ia selamat digunakan. JBA daerah juga hendaklah bertindak segera menyalurkan bekalan air paip," katanya

Oleh Mohd Azrone Sarabatin




Dua jururawat jaga 40 pesakit di hospital kerajaan..


PADA Ramadan lalu, bapa saya dimasukkan ke Wad 9 Hospital Bukit Mertajam. Apa yang menjadi kemusykilan, Wad 9 yang sesak dengan pesakit pada waktu pagi hanya diawasi empat jururawat terlatih.

Lebih menyedihkan pada syif malam hanya dua jururawat ditugaskan.

Cuba bayangkan hanya sebilangan kecil jururawat bertugas menjaga 40 pesakit. Kasihan saya melihat jururawat bertungkus-lumus menjaga pesakit. Jangan dimarahi jururawat itu jika mereka tidak dapat memberikan senyuman ketika bertugas.

Pengurusan hospital patut lebih peka dengan nasib kakitangan bawahan.
Syabas kepada jururawat di Wad 9 yang sentiasa bertungkus-lumus memberikan khidmat terbaik kepada pesakit walaupun kepenatan.

PRIHATIN,
Pulau Pinang

Panduan mengambil anak angkat dan Tips bagaimana menjadikan anak angkat sebagai mahram kita..


Pengambilan diharuskan tetapi tidak boleh dibin atau dibintikan kepada penjaga

SETIAP bayi lahir ke dunia ibarat kain putih. Ibu dan bapalah selepas itu mencorakkan anak itu dengan lukisan indah mendamaikan atau rupa abstrak yang sukar difahami.

Bersyukur bagi anak yang dilahirkan menerusi ikatan perkahwinan. Tetapi bagi anak dilahirkan tanpa ikatan sah suami isteri atau digelar anak luar nikah, tidak seharusnya anak itu terpalit keburukan, dek kejahilan ibu dan bapanya.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan seramai 17,303 anak luar nikah atau tidak sah taraf didaftarkan di kalangan Melayu seluruh negara pada 2009, iaitu peningkatan 762 kes berbanding 2008 (seramai 16,541 orang), manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Menyelamatkan anak luar nikah ini daripada terus menerima palitan dosa daripada ibu bapanya, diambil sebagai anak angkat mungkin jalan terbaik, tetapi tidak dinafikan ada stigma buruk terhadap anak angkat.

Walaupun anak angkat diambil di kalangan anak luar nikah, anak yang lahir ke dunia adalah suci, cuma didikan yang mempengaruhi cara kelakuan anak itu kelak.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Felo Pusat Kajian Zakat Malaysia, Dr Mohd Afendi Mat Rani berkata, melihatkan jumlah anak luar nikah meningkat, tidak salah pasangan suami isteri budiman mengambil anak itu sebagai anak angkat lantaran perbuatan murni itu amat dituntut syarak.

Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggungjawab adalah digalakkan di sisi syarak. Jika diambil anak angkat kerana sifat kasihan kepadanya seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan oleh orang yang bertanggungjawab adalah disuruh di sisi syarak.
Cuma perlulah dijaga peraturan syarat syarak sebagaimana berurusan dengan bukan mahram, seperti tidak boleh melihat auratnya dan tidak boleh bersunyian dengannya.

Keluarga angkat yang membela anak angkat dengan penuh kasih sayang akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat nanti. Sebaiknya jika anak angkat itu belum berusia dua tahun, hendaklah dijadikannya mahram dengan jalan susuan.

Jika bapa angkat masih bujang, berikan saudaranya yang perempuan menyusukan anak itu sebanyak lima kali kenyang. Dengan itu anak angkat berkenaan akan menjadi anak saudara susunya dan apabila menjadi mahram susuan maka haruslah ia tinggal bebas di dalam rumah dan auratnya sama seperti aurat saudara kita sendiri, katanya mengulas mengenai pengambilan anak angkat.

Hari ini bukan saja anak luar nikah semakin banyak bilangannya didaftarkan, pada masa sama wanita hamil luar nikah yang tidak mahukan anak berkenaan akibat terlanjur dibuang ke tempat tertentu. Menangani masalah ini, ramai pasangan serta orang dewasa yang ingin mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

Mohd Afendi berkata, pada asalnya, dalam Islam mengambil anak angkat adalah perkara yang diharuskan, namun ada kalanya dilarang dan ada kalanya disuruh syarak.

Mengulas lanjut, katanya, mengambil anak angkat untuk dijadikan sama seperti anak sendiri adalah dilarang oleh syarak seperti mana dilarang menukar bin anak angkat berkenaan.

Anak angkat tetap bukan anak kita sekali pun kita tersangat sayang kepadanya. Hukumnya tetap tidak sama dengan anak sendiri. Anak angkat adalah ajnabi (bukan anak sendiri) manakala anak sendiri adalah mahram. Dalam keadaan tertentu, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat, katanya.

Isu digalak atau tidak mengambil anak angkat, sebenarnya, terpulang kepada keluarga angkat yang mungkin memerlukan anak kerana kesunyian dan sebagainya.

Mohd Afendi berkata, ibu bapa wajar menjelaskan kedudukan anak berkenaan kerana adalah tidak baik jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, iaitu pada kira-kira usia baligh.

Tetapi ia tidaklah perlu dihebohkan satu kampung. Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Namun begitu, menjadi keharusan bagi seseorang yang mengambil anak angkat untuk meletakkan namanya pada kanak-kanak itu tanpa ada perkataan bin atau binti. Sebagai contoh, nama anak itu diletakkan sebagai Siti Aminah Abdul Rahman dan bukan Siti Aminah Binti Abdul Rahman, katanya.

Tidakkah anak itu berasa ragu kelak melihat namanya tiada bin atau binti? Perkara itu, kata Mohd Afendi tidak akan menjadi isu jika bapa angkat menjelaskan secara jujur berhubung keadaan sebenar. Ini kerana sewajibnya anak itu hendaklah di bin atau binti nama bapanya yang sebenar jika anak sah taraf.

Di dalam Islam mengambil anak angkat adalah perkara yang diharuskan, namun dari segi meletakkan nama bapa angkat sebagai bapa adalah haram. Ini kerana wajib meletakkan nama bapa yang sebenar. Hal ini adalah berkaitan dengan anak yang sah taraf, namun jika anak itu adalah anak yang tidak sah taraf seperti anak yang dikandung dan dilahirkan sedangkan ibunya tidak berkahwin lagi, maka anak itu hendaklah diBINkan atau diBINTIkan dengan Abdullah atau ibunya, katanya.

Mengenai isu pemberian nafkah kepada anak angkat dan anak sendiri serta keperluan lain, ia tetap tertakluk pada ibu bapanya. Tiada perbezaan antara anak sendiri dan anak angkat namun jika tidak mahu menanggung anak angkat, hendaklah melepaskan tanggungjawab berkenaan dengan menyerahkan semula anak angkat itu kepada ibu bapanya atau warisnya yang sah atau mana-mana individu atau pertubuhan yang bertanggungjawab ke atas anak angkat itu. Apa yang penting kebajikan, keselamatan dan pendidikan anak angkat itu terjamin sehinggalah dia dewasa.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada, katanya.

INFO: Proses mengambil anak angkat
  • Pengesahan anak angkat ialah melalui dua kaedah, iaitu pertama, permohonan dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas menerima seseorang kanak-kanak untuk dipelihara. Permohonan perlu dibuat kepada Mahkamah Seksyen atau Mahkamah Tinggi dengan melantik peguam untuk urusan mendaftar Notis Pengangkatan.
  • Akta yang diguna pakai bagi proses pengesahan pengangkatan cara ini merujuk kepada Akta Pengangkatan 1952 (akta 257).
  • Kedua ialah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (akta 253).
  • Permohonan untuk pengesahan ini hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam penjagaan keluarga pelihara.
  • Bagi keluarga yang beragama Islam, permohonan untuk pengesahan anak pelihara hanya boleh dibuat melalui Akta 253, iaitu Akta Pendaftaran Pengangkatan saja.
  • Permohonan untuk pengesahan pengangkatan hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam jagaan pemohon. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara.
  • Pengambilan anak angkat secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM menurut Seksyen 35 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada seminggu selepas pengambilan. Jika gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan, denda maksimum adalah sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
  • Merujuk kepada permohonan bagi mendapatkan anak pelihara, dari 2006 hingga 2008, sejumlah 176 orang pemohon mengemukakan permohonan kepada JKM; iaitu 112 pemohon berbangsa Melayu, 48 pemohon berbangsa India dan 16 pemohon berbangsa Cina.


Adab anak angkat:
  • Menerima hakikat kedudukannya sebagai anak angkat dengan sebaik mungkin dan tidak sama sekali menganggap kedudukan itu sebagai kekurangan. Bahkan ia hendaklah dianggap sebagai kelebihan kerana ia berpeluang menikmati peluang hidup dan membesar dalam sebuah keluarga yang sempurna.
  • Apabila mengetahui kedudukan itu, seseorang anak angkat hendaklah memastikan ia memelihara aurat dan batas pergaulan dengan anggota keluarga angkat, iaitu berasaskan kedudukan mereka sebagai bukan mahram. Bagi menyelesaikan isu pergaulan dan aurat ini, dicadangkan supaya ibu angkat menjadikan anak angkat sebagai anak susuan.
  • Ia hendaklah berusaha berbakti dan berbuat baik dengan sepenuh daya serta usaha kepada keluarga angkatnya sebagai tanda berterima kasih atas segala jasa serta bakti mereka memelihara dan memenuhi segala keperluannya selama ini

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


Wanita hamil kena fidyah puasa


PADA bulan Ramadan lalu, isteri saya hamil lapan bulan tetapi dia tidak lagi lengkap mengqada puasanya yang lepas.

Jika dia tidak mampu untuk mengqadakan puasanya sekarang, adakah boleh dia mengqada puasanya selepas bersalin nanti (selepas raya)?

Ini kerana sekarang dia bimbang akan merasa keletihan yang amat sangat apabila berpuasa.

Jawapan

Jawapan bagi masalah yang pertama, boleh, Islam adalah agama yang penuh kerahmatan Allah SWT tidak membebankan hambanya dengan sesuatu kefarduan yang hambanya sendiri tidak mampu melakukannya.

Dalam persoalan saudara, sekiranya isteri saudara tidak dapat melangsaikan puasa yang tertinggal pada tahun ini. Maka selepas Ramadan dia perlu qada dan membayar fidyah satu cupak bagi setiap hari yang lepas.

Alasannya, Allah SWT memberi kelonggaran bagi ibu mengandung dan ibu yang menyusukan anak sekiranya dikhuatiri susu kering atau mendatangkan mudarat kepada anak maka si ibu boleh berbuka. Syaratnya, ganti puasa bersama membayar fidyah.

Jika si ibu khuatir akan keselamatan atau kesejahteraannya lalu berbuka puasa maka dia hendaklah mengqadakan puasa yang tertinggal tanpa membayar fidyah.

Seperkara yang harus diketahui, sekiranya bulan Ramadan yang Allah SWT fardukan puasa memberi keizinan untuk berbuka puasa bagi mereka yang ada keuzuran syarie apatah lagi di bulan bukan Ramadan.

Maksudnya jika isteri saudara gagal menggantikan puasa sebelum Ramadan kerana khuatir keselamatan bayinya maka dia boleh menangguhkan qadanya selepas dia bersalin.

Selepas ini janganlah tangguh qada puasa sampai Ramadhan 1432 hijrah pula. Memang betul Allah beri hambanya peluang dengan memberi kelonggaran (rukhsah) beribadat dalam keadaan yang sihat dan sejahtera, oleh itu janganlah hendaknya kita mengambil peluang dengan mencipta bermacam alasan.

Di antara rahmat Allah yang agung kepada hamba-hamba-Nya yang lemah, Allah memberi rukhsah kepada mereka untuk berbuka, dan di antara mereka adalah wanita yang hamil dan menyusukan anak.

Daripada Anas bin Malik al-Ka'biy r.a sabda baginda yang bermaksud: "Kuda Rasulullah SAW telah datang kepada kami, lalu aku pun datang bertemu Rasulullah saw, dan aku temui baginda sedang makan. Baginda bersabda: "Hampirlah ke sini dan makanlah" Aku berkata, "Sesungguhnya aku sedang berpuasa" Maka baginda bersabda: "Dekatkan diri kamu ke sini, aku akan memberitahu kamu berkenaan dengan puasa. Sesungguhnya Allah SWT telah menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah iaitu memberi kelonggaran) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajipan berpuasa. Demi Allah, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengucapkan keduanya atau salah satu dari keduanya. Aku benar-benar menyesal kerana tidak memakan makanan Nabi SAW. (Riwayat at-Tirmidzi (715), an-Nasaie (4/180), Abu Dawud (3408), Ibnu Majah (16687). Sanadnya hasan sebagai mana pernyataan at-Tirmidzi).

Berpandukan hadis di atas, jelas baginda selaku pembawa syariat dan pengasasnya memaklumkan bahawa wanita yang hamil dan wanita yang menyusukan bayi boleh berbuka puasa dan menggantikannya pada hari-hari lain.

Keringanan dalam hadis ini adalah bagi mereka yang ada keperluan untuk meninggalkan puasa. Jika ada yang mahu terus berpuasa walaupun di dalam Islam Allah SWT mahukan hambanya atau penganut agamanya ini benar-benar faham falsafah ibadah dengan melaksanakan ibadat sebagai jambatan menghubung hamba dan pencipta untuk mencapai keredaan Allah.

Oleh itu Allah SWT tidak membebankan hambanya dengan suatu ibadat yang sukar untuk dilakukan. Walaupun pada akal manusia pasti akan berkata apalah susah sangat nak berpuasa, tahan makan minum dari terbit fajar (masuk waktu subuh) sampailah (tenggelam matahari) waktu maghrib.

Walaupun nampak mudah ada di sana individu-individu diberi kelonggaran menangguhkan puasanya dan berpuasa pada hari yang tiada halangan syarie untuknya dari berpuasa.

Antaranya, orang bermusafir melebihi dua marhalah, ibu yang mengandung, ibu yang menyusukan anak, orang tua yang uzur dan keadaan-keadaan yang diizinkan syarak.

Diizinkan berbuka puasa bagi wanita yang menyusukan bayi kerana ia boleh membawa si ibu kepada keadaan dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.

Mungkin juga akan akan ada kesan-kesan yang lain antaranya seperti tekanan darah rendah, letih, menggigil, rasa loya, pening-pening dan rasa haus yang teruk yang berpunca dari dehidrasi. Apabila terdapat keadaan sebegini, maka dibenarkan berbuka.

Kekurangan susu pula adalah akibat daripada dehidrasi yang teruk. Namun, ada beberapa kajian menunjukkan puasa Ramadan tidak membawa kepada dehidrasi bagi ibu yang menyusukan anak. Kecuali jika si ibu kurang menitik beratkan amalan sahur dan tidak minum air yang cukup dalam selang waktu yang lama sebelum berpuasa.

Jika menurut kajian di atas, punca kekurangan susu tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan puasa kecuali berlakunya dehidrasi.

Dalam banyak keadaan, kerisauan ibu yang takut letih dan kekeringan susu menyebabkan mereka kurang menyusukan bayi mereka semasa puasa. Kurangnya rangsangan kepada payu dara membawa kepada kurangnya susu.

Monday, September 27, 2010

Benarkah jenazah org yg bunuh diri tak perlu disembahyangkan???


Gejala tak lagi perbuatan individu cetek agama tapi terpelajar, profesional

BUNUH diri oleh orang Islam sering dikaitkan dengan kerapuhan agama dan tidak dinafikan andaian itu ada benarnya tetapi ia bukan faktor utama kerana ada fenomena bunuh diri masih meninggalkan persoalan sukar dijawab hingga kini.

Terutama apabila tindakan itu dilakukan mereka yang berpengetahuan agama, membuatkan pihak di sekeliling perlu membuat penilaian sewajarnya. Malah Arab Saudi juga berdepan dengan masalah bunuh diri yang berleluasa, negara terletaknya tanah suci Makkah dan Madinah.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Badli Shah Alauddin, berkata bunuh diri kini menjadi masalah global termasuklah umat Islam. Kejadian itu juga menimbulkan polemik berterusan apabila dikaitkan dengan faktor agama kerana perbuatan itu sudah dimaklumi hukumnya sekali gus membangkitkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat.

“Kerenggangan atau kurang ilmu pengetahuan agama dikatakan sebab seseorang mengambil tindakan membunuh diri. Tetapi jika diteliti daripada perkembangan berlaku di seluruh negara, banyak lagi faktor mendorong seseorang itu berbuat demikian.

“Sukar mengandaikan apabila di kalangan yang hebat ilmu agamanya turut terbabit dengan kejadian bunuh diri seperti berlaku di Arab Saudi di lokasi yang tidak terfikir kita,” jelasnya.

Katanya, awal 2009, Arab Saudi digemparkan kes profesor bidang Sejarah dan Kebudayaan di Universiti Ummul Qura, Makkah, Prof Nasser al-Harithy, 50, yang dijumpai mati tergantung pada kipas siling di pejabatnya dengan serban.
Agak menghairankan apabila dia mengambil tindakan sebegitu memandangkan lokasi universiti berhampiran dengan Padang Arafah, terletak 30 kilometer dari Masjidilharam. Siasatan menunjukkan punca dia mengambil tindakan itu disebabkan menanggung hutang mencecah 8 juta riyal.

Menurut laporan Laura Bashraheel (Arab News bertarikh 1 Disember 2009) berkenaan kes bunuh diri, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengeluarkan statistik agak mengejutkan iaitu ada 295 kes bunuh diri pada 2008 terdiri daripada 259 lelaki dan 36 perempuan. Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 2006 iaitu 266 kes bunuh diri dicatatkan.

Menurut laporan itu lagi, golongan wanita kebiasaannya membunuh diri dengan cara meminum ubat dengan dos berlebihan, minum racun dan peluntur. Bagi lelaki pula, kebiasaannya memilih cara menggantung atau menembak diri sendiri.

Selain itu, pendedahan Pakar Rujuk (Kanan) di Hospital Psikiatrik Jeddah, Dr Saad al-Khateeb menunjukkan golongan terpelajar antara paling ramai membunuh diri termasuk profesional seperti doktor dan peguam selain pegawai polis dan pemilik hotel.

Nisbah satu kes bunuh diri yang berlaku dalam setiap 40 saat di seluruh dunia jelas menunjukkan seriusnya permasalahan ini. Di Jepun saja, setakat enam bulan pertama tahun ini 15,906 orang membunuh diri dan di Korea Selatan, negara yang statistik bunuh dirinya menjadi antara tertinggi di dunia, menyaksikan 15 hingga 44 rakyatnya mati bunuh diri bagi 100,000 penduduknya.

Artis Korea Selatan antara yang tertinggi gemar membunuh diri dengan terbaru aktor Park Yong-Ha yang menggantungkan dirinya menggunakan kabel pengecas telefon bimbit.

Negara kita juga tidak terkecuali. Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Bagi tempoh sama di Singapura, nisbahnya adalah 15 hingga 20 orang bagi setiap 100,000 mati bunuh diri.

Badli Shah berkata, perbuatan membunuh diri bukan termasuk perkara mensyirikkan Allah tetapi tergolong dalam perbuatan maksiat berstatus dosa besar dan pelaku dosa besar dikenali sebagai golongan fasik.

Beliau berkata, ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat jenazah golongan fasik ini sama ada jenazah itu terdiri daripada golongan yang tidak solat, tidak berzakat, penzina, peminum arak dan termasuk juga bunuh diri.

Sebahagian ulama seperti Umar Abdul Aziz dan juga al-Auza’i berpandangan, jenazah orang fasik tidak boleh disolatkan. Imam Abu Hanifah dan sahabatnya bersetuju dengan pendapat ini namun dalam kes tertentu seperti solat ke atas jenazah golongan pemberontak (al-Baaghi) dan memerangi Islam (al-Muharib).

Bagaimanapun, secara sepakat, ulama termasuk Imam Malik, Syafi’i, Abu Hanifah serta jumhur ulama berpendapat jenazah orang fasik tetap wajib disolatkan.

Antara dalilnya, sabda Nabi SAW diriwayatkan ad-Daruqutni dan at-Tabrani yang bermaksud: “Solatlah kamu di belakang sesiapa saja yang mengucapkan Laa ilaaha illallah dan solatlah oleh kamu sesiapa saja yang mengucapkan Laa ilaaha illallah.”

Imam Syaukani dalam hal ini mengulas: “Solat jenazah ke atas orang fasik telah ditunjukkan oleh hadis itu”, sementara Imam Nawawi menyatakan, telah hampir mencapai ijmak bahawa orang yang mati kerana bunuh diri tetap perlu disolatkan dan dikuburkan di tanah perkuburan orang Islam.

“Maka dalam konteks sekarang maka elok kita melihat kepada pendapat jumhur ulama kerana dalilnya lebih kuat (rajih). Justeru, jenazah orang fasik tetap wajib hukumnya disolatkan. Hujahnya, mereka adalah Muslim, bukan kafir,” katanya.

Namun katanya, bagi pemimpin atau tokoh masyarakat seperti khalifah dan ulama, sebaiknya tidak mensolatkan jenazah orang fasik sebagai satu bentuk hukuman serta pelajaran atas jenazah yang bersangkutan sekali gus kecaman supaya yang hidup tidak meniru perbuatan tercela itu.

Badli Shah berkata, berdasarkan penjelasan pendapat serta huraian itu jelaslah jenazah orang bunuh diri tetap wajib disolatkan kaum Muslimin dan tidak ada larangan kecuali wujud dalil khusus melarangnya.

Di samping itu, ada pandangan ulama, Rasulullah SAW tidak mensolatkan orang bunuh diri kerana itu hukum khusus kepada baginda tetapi tidak orang lain seperti kes orang mati meninggalkan hutang yang Rasulullah SAW tidak mensolatkannya tetapi memerintahkan penyempurnaan solat jenazah kepada sahabat lain.

Oleh Hasliza Hassan


Kebanyakan orang lebih takutkan hantu daripada balasan azab Allah


FILEM hantu yang mengundang kepercayaan tahyul dan khurafat serta boleh membawa kepada perbuatan syirik menjadi juadah hidangan hari raya masyarakat Islam di Malaysia sejak 1 Syawal yang lalu. Berbagai gambaran hantu seperti pocong dan zombie yang ditayangkan kepada khayalak penonton semasa menyambut Aidilfitiri kelihatan tidak begitu sesuai dengan suasana hari raya yang hendaknya diisi dengan kegembiraan dan kesyukuran sambil memuji kebesaran Ilahi.

Akibatnya hari ini ramai orang lebih takutkan hantu daripada balasan azab Allah SWT ke atas segala dosa dan nista yang sengaja dilakukan. Malah perbuatan dosa yang mengundang malapetaka sosial kepada negara kini dilakukan secara terang-terangan tanpa segan-silu lagi.

Di sana sini maksiat berleluasa, terbaharu jejantas pejalan kaki di Mersing Johor dijadikan tempat melakukan perbuatan zina terkutuk. Fenomena seperti ini juga boleh dilihat dengan mudah terutama di musim cuti dan hujung minggu di mana pasangan muda-mudi mengambil kesempatan cuti untuk memadu asmara di kawasan rekreasi seperti air terjun, hutan lipur dan kawasan pantai peranginan yang menjadi tumpuan ramai.

Tentu sekali ia perlakuan menjijikkan apatah lagi jika dilakukan oleh umat Islam yang baharu sahaja selesai menerima pendidikan di bulan Ramadan.

Sehubungan dengan itu, semua pihak digesa mengambil peduli akan kemungkaran yang berlaku di sekeliling mereka. Ini kerana amanah menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar bukan hanya terpikul di bahu pihak berkuasa seperti polis dan penguat kuasa majlis agama Islam semata-mata. Begitu juga ia bukan hanya tanggungjawab imam, ahli jawatankuasa masjid dan golongan agamawan. Ia merupakan tugas semua yang jika tidak ditunaikan akan dipersoalkan di hari kemudian.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dengan maksudnya; "Barang siapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan jika tidak mampu maka hendaklah dengan hati yang demikian itu adalah selemah-lemah iman".

Malah jika ada gesaan daripada beberapa pemimpin masyarakat India supaya gansterisme di kalangan mereka dibanteras habis-habisan mengapa tidak ia diperluaskan juga kepada membanteras habis-habisan gejala tidak bermoral seperti berkhalwat, zina dan bersekedudukan di kalangan umat Islam yang kronik serta mengundang pula kepada tindakan keji buang bayi yang tidak berperikemanusiaan.

Selain hantu lakonan yang banyak disiarkan oleh stesyen televisyen masa kini terdapat pula sebilangan manusia yang benar-benar dirasuk oleh hantu syaitan hingga tergamak melakukan pembunuhan kejam terhadap rakan seperniagaan, jiran tetangga, ibu dan ayah serta kerabat terdekat.

Perbuatan bunuh-membunuh seperti yang banyak ditayangkan di filem-filem seolah-olah menjadi mainan oleh penjenayah masa kini, lebih-lebih lagi jika terdesak untuk berbuat demikian.

Lebih merunsingkan apabila jenayah pembunuhan terancang seperti yang berlaku kepada Datuk Sosilawati dan ramai yang lain dilakukan oleh golongan profesional seperti peguam yang sepatutnya berkhidmat untuk masyarakat dan negara demi menegakkan keadilan sejagat.

Untuk itu juga pengamal undang-undang Muslim terutamanya, dinasihat supaya tidak hanya mementingkan keuntungan berlipat kali ganda dengan menipu dan mengambil hak orang lain.

Kalaupun mungkin dengan perlakuan salah itu mereka terlepas daripada hukuman ketika di dunia, hukuman di hari akhirat yang lebih dahsyat menanti dengan pasti. Dan apabila tiba saat itu tiada sesiapa yang kebal daripada hukuman sehingga besar atau kecil sesuatu kesalahan tetap akan dipertanggungjawabkan.

Berdasarkan hukum karma juga jika sesuatu perkara terdahulu dilakukan bukan disebabkan nafsu, kerakusan dan sifat-sifat yang buruk maka pelakunya akan mendapat kenikmatan dan kebahagiaan. Manakala jika disebabkan nafsu dan segala sifat yang buruk, maka pembuatnya akan menerima padah. Ini juga bertepatan dengan kepercayaan dalam agama Hindu bahawa setiap manusia harus bertanggungjawab atas segala yang dilakukan dan akan menerima balasan yang setimpal.

Akhirnya masyarakat Islam perlu menyedari bahawa hantu yang sebenar iaitu Iblis serta kuncu-kuncunya kini berkeliaran di merata tempat. Sejak 1 Syawal yang lalu Iblis telah dibebaskan daripada dibelenggu dan kini berusaha sedaya upaya untuk merosakkan akidah dan pemikiran manusia ke arah kesesatan.

Untuk itu hanya golongan Mukmin yang beroleh ganjaran takwa dan teguh keimanannya mampu menangkis serangan bertubi-tubi musuh Iblis yang dilaknati oleh Allah SWT.

Sedarlah juga betapa manusia yang bertopengkan hantu syaitan lebih berbahaya berbanding Iblis dan sekutunya yang hanya berupaya memujuk dan menjuruskan manusia kepada melakukan sesuatu kejahatan kemudian berlepas tangan daripada usaha buruk mereka itu.

In berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud "(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika dia berkata kepada manusia: Berlaku kufurlah engkau! Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!" (Surah al-Hasyr:16)

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CiTU), UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Minum arak..tapi tak makan babi..sebab babi haram...


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca yang budiman sekalian. Sebelum nukilan ini diteruskan ingin saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin sekiranya anda ada rasa terguris atau marah dengan penulisan saya sebelum ini.

Sesungguhnya yang baik itu semuanya adalah dari Allah Taala dan yang buruk itu semuanya dari Anwar Ibrahim. Oh ya sebelum saya lupa juga Selamat Menyambut Hari Malaysia pada 16 September dengan tema tahun ini “Harapan Menuju ke Putrajaya, Harapan Tinggal Harapan.”

Kali ini penulis akan cuba membincarakan isu yang cukup sensitif yang melibatkan orang-orang Melayu. Mengikut perlembagaan takrifan orang Melayu itu mestilah beragama Islam, jadi tak usahlah anda nak beria-ria terasa semangat Asabiyyah sebab tajuk perbincangan kita berkisarkan Melayu.

Pasti ada yang mempersoalkan apa kejadahnya si Zaidel ini tiba-tiba membincangkan mengenai perkara-perkara yang cukup sensitif di kalangan orang Melayu. Yakni dua perkara yang haram untuk diminum mahupun dimakan di sisi Islam. Tidak, bukanlah niat saya untuk mempersoalkan Majlis Fatwa Kebangsaan atau mana-mana ahli politik yang bergelar Tuan Guru, akan tetapi sekadar pemerhatian saya mengenai sensitiviti yang jauh berbeza di kalangan orang Melayu mengenai dua perkara yang haram ini. Sebagai contoh mari kita lihat situasi di bawah ini.

Encik Romzi Talib Ibrahim (rekaan semata-mata) pergi makan di Restoran Makanan Laut Wong Kah Siang 888 (rekaan semata-mata) dan mula memesan makanan kepada pelayan berbangsa Myanmar yang jauh lebih fasih berbahasa kebangsaan dari kebanyakan rakyat Malaysia.

“Ni, ketam ni ketam laut ke ketam dua alam ni?”

“Ni ketam laut encik bukan ketam batu yang sungai tu.”

“Betul ke ni?”

“Ye encik semua makanan sini makanan laut yang halal” jawab Pelayan itu.

“Awak takde letak apa-apa minyak babi ke apa ke?”

“Minyak babi tak letak dengan ‘seafood’ encik, lagipun minyak babi mahal, rugi.”

“OK bagus, kalau macam tu bagi saya ketam cili, kailan, nasi tiga dengan ikan ni satu”

“Minum apa encik?”

“Ah kasi Carlsberg satu jug.”

Walaupun terkedu dengan pesanan Encik Romzi yang cukup mengelirukan, Mazhab manakah agaknya yang diambil kira ketika memesan makanan (Barangkali Mazhab Ayah Pin), namun kenyataan ianya begitulah. Yakni, orang Melayu ni anehnya yang begitu sensitif tentang soal babi tidak mempunyai sebarang masaalah tentang soal arak, maka di sinilah perbincangan kita bermula tentang mengapa dan pemikiran orang Melayu boleh jadi begitu.

Antara babi dan arak

Di dalam minda orang Melayu secara umumnya bila disebut babi, tidak seperti orang-orang China. Mindanya tidak akan membayangkan masakan-masakan enak babi panggang dengan kulit coklat merekah lagi berminyak. Akan tetapi terbayang di mindanya seekor binatang yang hodoh, gemuk serta memakan sampah, sisa kumbahan najis dan bau busuk yang mencemar sungai serta alam sekitar.

Pada masa yang sama apabila disebut arak, tidak pula terbayang wajah kanak-kanak yang mati akibat dari pemandu mabuk, atau air kencing iblis apatah lagi anggur basi yang dipijak kaki perempuan anak dara tua dari Eropah. Apa yang terbayang ialah Encik James Bond dengan berpakaian cantik memesan Martini yang dikocak, bukan dikacau.

Terima kasih kepada media massa barat yang menayangkan serta membawa budaya yang mengaitkan sesuatu yang haram itu kepada perkara-perkara yang menarik maka penerimaan terhadap arak itu adalah lebih baik dari babi dan saya syak ini berlaku bukan sahaja di Malaysia. Lagipun pernahkan anda melihat seorang pengintip antarabangsa memesan “bak kut teh” sambil ditemani gadis jelita? Sesungguhnya tidak!

Alang-alang dah haram....

Saya sendiri juga pernah mempersoalkan perkara ini, yang mana alang-alang dah buat benda haram, contohnya seperti meminum minuman keras, kenapa pula hendak menjaga tentang soal halal-haram yang lain. Sebab saya pernah terjumpa dengan dua golongan yang boleh dikatakan sedikit aneh yang mana, golongan pertama, lelaki Melayu yang main perempuan tetapi tidak minum arak, golongan kedua adalah Melayu minum tapi langung tak berani main perempuan sebelum berkahwin, zina dijauhi, apa kejadahnya?

Memang pelik kalau difikirkan akan tetapi pernah saya menerima jawapan bernas yang saya pasti merupakan corak pemikiran secara umum orang Melayu.

“Dah satu dosa tu cukuplah yang nak tambah-tambah lagi buat apa, ye lah aku dah buat salah, itu kelemahan aku tapi yang menggatal nak tambah dosa berbakul-bakul apa kejadahnya?”

Haram tetap haram

Sebab itu apabila saya terdengar golongan Melayu minoriti yang berbincang soal keMelayuan dan hukum Islam sambil memegang segelas wine merah hasil dari kekayaan kontrak DEB (kini menjadi pengkritik DEB) yang menyatakan sebenarnya batas undang-undang serta golongan haluan kanan yang menyebabkan Melayu secara umumnya tertekan untuk tidak menjadi lebih “liberal” itu adalah suatu kenyataan yang tidak berapa tepat.

Sebagai contoh kita lihat dalam kes sebat Kartika, yang mana walaupun dari segi suasana politik sekarang, masih tidak mendapat tentangan keras dari orang Melayu secara umumnya dan sesetengah pihak agak terkejut apabila tidak mendapat sambutan golongan perempuan Melayu muda. Yang nampak adalah golongan bukan Islam yang lebih kehadapan, malah lebih membuatkan isu ini kelam adalah apabila Kartika sendiri tidak melakukan apa yang sesetengah pihak harapkan apabila dia lebih pasrah dari marah, insaf dari bantah.

Kerana walaupun anda menjerit soal hak asasi manusia, soal hak wanita dan sebagainya, sebagai orang Islam perbuatan itu sendiri telah dianggap salah, iaitu meminum arak, apatah lagi di halayak ramai. Mentalitinya mudah, yang haram tetap haram walaupun kadang-kadang kita tidak berasa selesa denganya.

Kesimpulan

Barangkali itulah kesimpulan yang dapat kita lihat dari segi pemikiran orang Melayu secara umumnya (saya kata umumnya, bukan semua). Paling kurang pun, kesimpulan yang saya buat berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tanpa apa-apa kajian mahupun statistik.Kalau tidak bersetuju nyatakanlah tanpa segan silu.

Bagi saya menarik melihat “paradoks” atau percanggahan pemikiran yang ada di kalangan orang Melayu dan ini bukan sahaja terbatas terhadap tajuk di atas sahaja. Sebagaimana ada perempuan yang tidak bertudung tidak membantah hukum hudud dan lelaki lembut (mahu jadi perempuan) boleh hadir menunaikan sembahyang Jumaat.

Bukan saya menghalalkan apa-apa tindakan di atas, cuma sekadar merenung sesuatu yang di perhatikan sejak sekian lama, pelik tapi benar. Barangkali kesimpulan yang terbaik boleh saya terbitkan adalah suatu ayat yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu: “Orang Melayu ni boleh ajak minum, boleh ajak makan babi tapi jangan harap langsung nak suruh dia keluar Islam.”

Zaidel B or Sinatra_Z is an electronics engineer and he blogs at Catatan Seekor Lipas. http://www.lipassepi.blogspot.com/

Benarkah kebolehan berbahasa mandarin sangat diperlukan bila nak mohon jawatan??? Atau ianya hanya sekadar helah...


SELAGI ada warga yang tidak hormati bahasa kebangsaan selagi itulah timbul kesangsian Melayu terhadap mereka.

Banyak sudah diperkatakan betapa negara ini dilamun perasaan perkauman yang sungguh menebal. Terlalu banyak tuduhan khususnya dalam pelbagai portal berita dan blog kononnya orang Melayu saja yang mendapat segala faedah dari negara penuh rahmat ini.

Apakah tohmahan demikian benar? Apakah benar bukan Melayu tidak mendapat apa-apa pun faedah di sini? Apakah mereka ini sentiasa ditindas? Apakah benar orang Melayu tidak menerima bukan Melayu sebagai rakyat negara ini untuk hidup dan bergiat dalam serba-serbi kegiatan ekonomi, sosial dan politik?

Adakah mereka ini disekat mencari nafkah dan menimba rezeki mereka? Apakah mereka yang juga mempunyai hak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan sudah tidak dilindungi lagi atau hak mereka sudah terhakis?

Kiranya semua tohmahan ini tidak benar kenapakah tuduhan-tuduhan demikian berterusan saja dibuat? Jadi apakah keadaan yang sebenarnya wujud dalam negara ini?

Sepatutnya semua rakyat boleh lihat sendiri keadaan sebenar. Rakyat berketurunan Cina dan India tidak pula dipaksa menukar nama atau mengetepikan budaya dan adat resam mereka. Demikian pula mereka tidak juga dipaksa berasimilasi dengan Melayu iaitu penduduk teras negara ini.

Malah hingga penggunaan bahasa kebangsaan pun tidak dipaksakan ke atas mereka walaupun ia ditetapkan sebagai salah satu faktor penting memupuk negara bersatu padu ketika dilepaskan daripada belenggu penjajahan pada 1957 dahulu.
Ketetapannya ialah semua rakyat negara ini perlu boleh bertutur dan membaca bahasa kebangsaan sebagaimana juga sekolah aliran kebangsaan digalakkan dengan kelonggaran diberikan kepada wujudnya sekolah aliran Cina dan Tamil bagi yang telah sedia ada saja dengan syarat mereka hanya boleh terus beroperasi di atas tapak yang sedia ada juga.

Malangnya hingga sekarang ini pun masih ada yang mendabik dada sebagai warga negara ini, tetapi selepas sudah menikmati kemerdekaan lebih 53 tahun masih ada sebilangan besar yang tidak boleh bercakap bahasa Malaysia termasuk golongan profesional. Apa susah sangat hendak belajarnya kalau dilihat pekerja asing dari Bangladesh atau India yang berada sini beberapa bulan saja pun sudah boleh bercakap Melayu dengan baik?

Apa kesimpulannya? Bukankah ini menggambarkan masih ada rakyat negara berketurunan Cina dan India yang tidak pernah bercampur gaul dengan Melayu hingga hendak bertutur bahasa kebangsaan pun tidak boleh?

Demikian juga apakah tidak ada golongan cerdik pandai dan profesional bukan Melayu yang juga tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan? Bagaimana hal begini boleh berlaku? Apakah orang Melayu tidak cukup liberalnya hingga membenarkan hal demikian ini berterusan saja berlaku?

Apa sudah jadi dengan ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa? Nampaknya bagi mereka itu ia tidak perlulah.

Lihat saja bagaimana beberapa syarikat tertentu termasuk syarikat multinasional berterusan tidak menghormati bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini apabila risalah yang mereka edarkan pun hanya menggunakan Bahasa Inggeris dan Mandarin. Apakah mereka ini bukan wujud di Malaysia? Kenapakah mereka ini begitu angkuh sekali memperlekehkan bahasa Malaysia?

Bukankah ini menunjukkan sikap yang amat jelek terhadap negara mereka sendiri? Kita boleh faham penggunaan bahasa Inggeris yang sedang digalakkan. Tetapi kenapa bahasa Mandarin diguna misalnya untuk risalah membangunkan perumahan di Shah Alam yang diedarkan ke rumah di Shah Alam juga, yang mana majoriti penduduknya adalah orang Melayu?

Apakah mereka tidak mahu orang Melayu sebagai pelanggan mereka? Tetapi kenapa diedarkan ke rumah orang Melayu? Kalau demikianlah halnya baik orang Melayu boikot saja barangan keluaran mereka ini.

Demikian juga dengan beberapa kedai makan, kenapa menunya dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin saja? Ia memberi petanda seolah-olah mereka ini tidak mahu pelanggan Melayu. Anehnya ada yang tidak mendapat sijil halal, tetapi gamak pula yang memaparkan sijil halal yang palsu? Apa hasratnya sebenar kalau bukan mahu menipu orang Melayu/Islam?

Kita harus lihat apa motif mereka. Kenapa gamak melakukan begini? Selagi ada rakyat negara ini termasuk yang menerajui pelbagai syarikat termasuk syarikat multinasional yang beroperasi di sini berterusan perlekehkan bahasa kebangsaan dan berterusan mendewakan bahasa Mandarin selagi itulah wujud kesangsian di kalangan Melayu terhadap kesetiaan mereka ini terhadap negara yang mereka sendiri akui sebagai tanah tumpah darah mereka.

Tanah tumpah darah apanya kalau papan tanda nama jalan pun hendak diadakan dalam bahasa Mandarin, malah sudah pun dilaksanakan?

Apakah bahasa Mandarin bahasa negara ini? Bagaimana pula dengan syarikat yang menetapkan syarat penguasaan bahasa Mandarin untuk mendapat pekerjaan? Apa perlunya pengetahuan bahasa Mandarin misalnya bagi sebuah kedai di MegaMall yang mana ramai antara pengunjungnya terdiri daripada orang Melayu? Inilah yang menjadi persoalan.

Kononnya mereka perlukan orang yang tahu bahasa Mandarin untuk boleh dengan mudah berurusan di negara China. Apakah jurujual di kedai pun hendak berurusan dengan negara China?

Kalau dilihat secara objektifnya sememangnya banyak yang tidak kena dengan Melayu yang begitu akomodatif terhadap orang lain hingga orang pijak bahasa negeri ini pun mahu diterima saja?

Selagi begitu menebal dengan sikap totok tidak mahu menerima hakikat bahawa kita berada di Malaysia yang mana majoriti rakyatnya adalah Melayu dan yang mana bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya adalah bahasa Melayu, selagi itulah timbul kesangsian orang Melayu terhadap mereka ini. Kiranya perkara pokok ini pun mereka tidak hormati bagaimana mereka boleh mengharapkan negara ini menghormati mereka?

Bersama Rejal Arbee


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...