terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 31, 2010

Filem Melayu mahal bajetnya, namun murah akhlaknya...


MAAF dipohon andai isu yang ingin diutarakan ini bisa mengundang ketidakpuasan hati sesetengah pihak. Namun, jika makin lama dibiarkan, makin tersebarlah virus-virus 'kerosakan' terhadap minda muda remaja kini, khususnya umat Islam di Malaysia. Seperti anai-anai yang memakan batang kayu menyebabkan ia reput, mati dan musnah akhirnya.

Murah. Ya, saya katakan dalam kebanyakan filem arahan Ahmad Idham murah. Kenapa? Bajet yang dikeluarkan untuk menyempurnakan sebuah filem pastinya menjangkau puluhan atau ratusan ribu ringgit. Benar, mahal nilai pembikinannya. Namun pada saya, murah akhlaknya, adabnya serta kesopanannya.

Filem terbaru yang saya tonton adalah Jangan Pandang Belakang Congkak 2. Menarik! Syabas kepada Ahmad Idham. Namun, ada sesuatu yang membelenggu fikiran dan jiwa saya iaitu cara Ahmad Idham mengeksploitasi wanita nyata melampau. Saya seorang wanita pun naik segan dan malu apabila menonton babak yang dilakonkan oleh Nora Danish ketika di sungai sambil diintip oleh Cat Farish dan Lan Pet Pet.

Tambahan pula, rasa amat tidak senonoh apabila babak itu membuatkan para lelaki 'terliur' (dalam tulisan seorang wartawan akhbar) diiringi siulan dan sorakan penonton, lelaki khususnya. Tidak hanya menyalahkan pihak penerbit mahupun pengarah dalam hal ini, pelakon wanita yang terlibat juga mungkin rela dan kurang malunya serta sanggup melakonkan apa sahaja asalkan watak hidup dan lakonan menjadi, sehingga nilai dan maruah sendiri diketepikan.

Selain itu, sebuah lagi filem juga arahan Ahmad Idham terdapat aksi-aksi wanita pelampau yang memalukan. Saya ada menonton sedutan filem tersebut dan berasa ia perlu dipandang serius oleh rakyat Malaysia. Memang filem itu terdapat moral yang ingin disampaikan iaitu perubahan daripada berperangai buruk kepada wanita muslimah. Namun, aksi-aksi sebelum perubahan itu yang tidak berkenan di hati saya dan juga mungkin orang lain.

Antaranya, adegan perempuan seksi berpakaian tak senonoh yang sedang berpesta dengan lelaki, bergesel- gesel badan, menampakkan bentuk dan susuk tubuh sendiri, ditambah dialog, Orang bertudung kerana nak tutup love bite dan juga nasi lemak 50 sen amat memalukan. Ini baru sedutan yang baru ditonton. Apabila ditayangkan, entah apa lagi permasalahan yang timbul.

Saya berasa amat kecewa dengan perkembangan filem Melayu sekarang. Mungkin banyak pengajaran dan moral yang ingin disampaikan kepada penonton.

Namun saya berharap agar pengarah mahupun penerbit dan semua pihak menjaga adab dan batas-batas sepatutnya. Jangan berlakon dengan aksi yang melampau.

Saya amat bersetuju dengan seorang penulis muda yang menyuarakan pendapat beliau tentang filem berunsur keagamaan yang kurang diberi perhatian oleh produksi filem di Malaysia. Filem merupakan salah satu medium utama untuk menyampaikan mesej-mesej berguna dan baik untuk masyarakat.

Mungkin ada pihak yang menganggap hal ini remeh. Namun saya percaya, ramai orang di luar sana menyokong tulisan saya ini. Janganlah terlalu ingin menarik penonton dengan mengeksploitasi atau menggunakan aura wanita mahupun dengan aksi-aksi yang boleh merangsang remaja kita melakukan perkara-perkara sumbang yang telah sedia ada banyaknya (masalah sosial, zina, buang anak dan lain-lain).

Sama-samalah perbaiki mutu kerja masing-masing di masa hadapan, supaya ada hasil dan keberkatan dalam kerja kita. Maaf andai terkasar bahasa kerana apa yang ingin disampaikan adalah berunsur teguran dan pandangan ke arah yang lebih baik. Saya kirimkan sedikit hadis untuk pembaca budiman sekalian.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Nabi bersabda yang bermaksud: Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu.

PELAJAR PRIHATIN

Bahau, Negeri Sembilan



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Tak lulus periksa.. tak bermakna tak pandai..


SUDAH sekian lama hati ini terpanggil untuk memberi komen mengenai sistem pendidikan di Malaysia yang saya rasa agak beku. Sebagai seorang guru yang sudah bertugas selama 16 tahun, saya kasihan dengan pelajar-pelajar yang telah dikelaskan sejak dari sekolah rendah lagi. Dalam hubungan ini terima kasih diucapkan kepada kerajaan kerana menghapuskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Seperti yang kita sedia maklum, anak-anak kita mempunyai kemahiran mendengar, berfikir dan membuat keputusan yang amat berbeza. Yang pandai tentunya boleh ke hadapan dengan cepat, menerima ilmu dengan lancar bak kata orang 'sedikit diajar banyak yang dapat'.

Tetapi golongan ini adalah minoriti di sekolah-sekolah harian biasa. Selebihnya adalah pelajar yang sederhana dan lemah. Adakah layak pelajar yang dikategorikan lemah ini diasak dengan bebanan sukatan pelajaran yang terlalu tinggi, sedangkan di sekolah rendah lagi mereka gagal kuasai?

Cuba bayangkan pelajar yang sentiasa gagal Matematik sejak di bangku sekolah rendah lagi, diasak bertubi-tubi dengan Matematik yang lebih susah di sekolah menengah. Mengapa kerajaan seperti tidak nampak golongan ini dan sering menumpukan kepada prestasi peperiksaan dan melebihkan merangka pelbagai program untuk mereka yang terlebih pandai sahaja? Mereka yang 'santan kelapa' selalunya bermotivasi dalaman dan sememangnya mempunyai matlamat sendiri kerana mereka pelajar bijak yang tahu berfikir dan merancang masa hadapan.

Tetapi cuba anda semua bayangkan apa akan jadi kepada pelajar lemah yang akal mereka tidak sampai menerima ilmu yang sebegitu tinggi? Sudah tentu mereka akan bermain, buat bising, merayau dan ponteng sekolah. Kenapa mereka dipaksa belajar silibus yang sebegitu tinggi? Tidak adakah sebarang usaha untuk golongan seperti mereka diajar silibus yang bersesuaian dengan pencapaian akal dan bakat yang mereka ada?

Sebagai guru saya sedih apabila pelajar saya berkata, Cikgu, kami dah baca tapi tak dapat-dapat juga. Susah sangat nak masuk otak. Mereka bukan malas tetapi tidak dianugerahkan oleh Allah otak yang baik dan latar belakang keluarga yang mungkin kurang memberi motivasi.

Perlu sangatkah golongan seperti mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaan Malaysia (SPM) yang silibusnya agak berat dan mencabar? Pada kebiasaannya golongan yang terlalu lemah ini akan gagal dalam semua mata pelajaran. Kesudahannya mereka belajar selama berbelas tahun tetapi tidak mendapat apa-apa, bukan kerana kebodohan mereka tetapi kerana sistem yang dicipta oleh kita yang terlalu mementingkan sijil.

Apalah salahnya jika golongan yang terlalu lemah ini dikecualikan daripada mengambil SPM. Sediakan satu peperiksaan khas dengan silibus yang bersesuaian dengan kemampuan dan kebolehan mereka.

Golongan seperti mereka tidaklah terlalu ramai, mungkin tiga atau empat kelas yang tercorot. Mungkin sahaja kursus kemahiran boleh diadakan di dalam bangunan sekolah sendiri. Selepas habis tingkatan lima sekurang-kurangnya mereka mendapat 'sesuatu' daripada 'tiada apa-apa'. Mungkin sahaja ilmu yang mereka dapati di sekolah menengah boleh dijadikan sebagai punca pendapatan selepas tamat sekolah.

Cukup-cukuplah kita mengkelaskan generasi muda yang berada di bangku sekolah dengan 'si pandai' di kelas sains dan 'si tidak pandai' di kelas sastera. Ingat! Bukan pelajar yang mengkelaskan diri mereka tetapi kita sebagai golongan terpelajar yang berbuat sedemikian sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Integrasi ilmu sains dan seni perlu dibuat secara menyeluruh. Bukan ahli sains, doktor, arkitek sahaja golongan yang cerdik pandai. Tukang masak, pendandan rambut, juru solek dan pelukis juga golongan cerdik pandai. Mereka mahir di dalam bidang mereka sendiri, punya bakat dan kebolehan tersendiri yang sudah tentunya datang dari Allah. Tidak perlulah kerajaan membuat berpuluh seminar, mengkaji berpuluh teori dan sistem persekolahan negara luar sedangkan jalan penyelesaiannya ada di depan mata.

MASLINA MD NOR

Sekincan, Selangor

* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Kisah Emak lagakan anak-anak..


BEBERAPA kali saya mengulang membaca cerita yang tersiar beberapa minggu lalu ''Ibu sakit anak bersengketa.' Memang cerita biasa, tetapi berapa ramai antara kita yang benar-benar mengambil iktibar daripada kisah yang dipaparkan. Saya tak nafikan kebenaran cerita tersebut.

''Namun apa yang ingin saya kongsi bersama di ruangan ini kisahnya agak terbalik, bukan tidak ada anak yang mahu menjaga ibu mereka bila sakit, tetapi ibu pulak yang banyak ragam memporak-perandakan kehidupan anaknya hingga bersengketa sesama sendiri. Inilah masalah yang saya hadapi berdepan dengan masalah emak sendiri.'' Demikian menurut Shamsiah dalam e-melnya.

''Saya mempunyai empat orang adik-beradik. Emak saya sudah tua, ada tanda-tanda akan diserang penyakit strok. Saya dan suami sering menawarkan diri untuk menjaga emak, kerana saya tahu kalau kita kurang beri perhatian, mungkin penyakitnya akan segera menyerang. Lagi pun ibu pernah tinggal bersama kami, tetapi tak lama, katanya tidak selesa.

''Alasannya, anak saya ramai dan kawasan rumah saya bising. Dia suka tinggal bersama adik Su yang ketika itu baru setahun dua berkahwin. Tetapi sejak emak tinggal bersama adik. Pertengkaran dan pergaduhan sering terjadi antara adik dan suaminya yang berakhir dengan perceraian.

''Saya dapat tahu dari adik, emak suka campur tangan dalam urusan mereka suami isteri banyak. Bila emak keluar dari rumah adik, mereka suami isteri rujuk semula.

''Bila adik Su rujuk dengan suaminya semula tentulah emak tak selesa lagi datang ke rumah adik apalagi hendak tinggal bersama seperti dulu. Jadi emak terpaksa pindah tinggal di rumah anak lelakinya di KL yang merupakan anak kesayangan emak.

''Lagi pun sejak bujang lagi adik Shah pernah berjanji yang dia akan jaga emak apabila emak memerlukannya nanti. Tetapi janji sebelum kahwin, dah beristeri adik mula tak selesa bila emak cakap nak datang ke rumahnya. Beberapa kali emak telefon Sham untuk menjemputnya tapi Sham tak berapa nak layan, alasannya sibuk tak boleh ambil emak tinggal bersama di rumahnya.

Alasan

''Saya tak tahulah apa alasan Shah sebenarnya, tetapi saya tahu emak memang tak berkenan dan tak serasi dengan menantunya, isteri Shah.

''Satu perangai buruk emak suka melaga-lagakan kami adik-beradik. Sebagai contoh emak memburukkan saya pada adik-adik, tapi depan saya emak akan mengutuk dan burukkan adik-adik.

''Terbaru emak mengadu pada adik Su, saya burukkan Su. Apalagi Su datang mengamuk ke rumah saya lantas tuduh saya macam-macam tanpa bertanya. Saya tahu adik tak akan mengamuk macam tu kalau hatinya tak sakit sangat. Sedangkan saya tak pernah mengutuk Su. Ceritanya terbongkar bila adik kata emak yang bercerita. Jadi salah siapa kalau kami adik-beradik berkelahi?

''Di pendekkan cerita, emak memfitnah saya dengan cerita yang tidak pernah saya lakukan. Saya mengambil langkah berdiam diri tetapi macam-macam cerita tak betul timbul satu persatu. Begitu juga dengan Sham.

''Walaupun emak fitnahkan saya macam-macam, tapi saya tetap sayangkan emak. Malah saya kesian bila Shah tak pedulikan makan minum emak. Bayangkan emak sarapan jam 12 tengah hari, itu pun emak terpaksa kejutkan Shah dan isterinya dari tidur di bilik atas. Makan malam pulak jam 11 malam.

''Tetapi kerana emak sayangkan Shah kerana dia anak lelaki harapan, emak tak marah, walau apa pun Shah lakukan pada emak.

''Emak fikir dengan fitnahkan saya maka Shah dan Su akan jaga emak dengan baik, tetapi sayangnya emak tetap dipinggir dan diketepikan.

''Apa yang merunsingkan saya siapa antara mereka akan menjaga emak? Sekarang pun emak dah tersepit kerana fitnahnya. Nak ke rumah saya dia tak sukakan saya, nak ke rumah Su dia bencikan suami Su. Nak tinggal di rumah Shah, mereka suami isteri tak pernah pedulikan emak. Malah menganggap emak kuli mereka. Sementara seorang lagi adik masih bujang, tak boleh nak tumpang.

Saya mahu kami berbaik adik-beradik dapat bergilir menjaga emak. Sikap emak memfitnahkan kami bukan boleh membuatkan emak disayangi, sebaliknya emak akan dibenci dan dipinggirkan.'' Demikian luahan hati Shamsiah. - UM



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Persoalan wuduk di Tanah Suci


DALAM menuju ke Kota Suci Mekah dan melaksanakan ibadat haji, pelbagai permasalahan timbul dari sekecil-sekecil perkara sehingga sebesar-besarnya.

Bermula daripada berniat untuk menuju ke Mekah, bertaubat dan bermusafir hingga kepada selesainya acara ibadat haji seperti tawaf wada', ziarah Rasulullah SAW dan berangkat pulang juga dibahaskan oleh para ulama sama ada daripada segi adab, rukun, tertib, wajib dan lain-lain lagi.

Antara ulama yang terkenal dalam membahaskan hal ini ialah Imam al-Nawawi melalui kitabnya, al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah.

Perbincangan pada kali ini akan dinyatakan secara ringkas memandangkan ruang yang terbatas dan terhad ini.

Wuduk

Wuduk berasal daripada perkataan wadha'ah. Menurut bahasa, ia bererti elok dan berseri, manakala dalam syarak pula adalah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat.

Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. Perkataan wadhu' pula ialah nama air yang digunakan untuk berwuduk.

Berkenaan permasalahan wuduk, isunya adalah bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, adakah ia membatalkan wuduk atau sebaliknya?

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menyebut di dalam kitabnya yang masyhur.

Justeru, sayugia bagi lelaki jangan melalui tempat yang sesak ini. Begitu juga bagi wanita jangan bersesakan di tempat lelaki kerana dibimbangi batal wuduk. Jika salah seorang bersentuh kulit seseorang yang lain, hukumnya batal wuduk yang menyentuh, dan yang kena sentuh ada dua pendapat menurut Imam al-Syafie:

Pendapat pertama: Bahawa hukumnya batal wuduknya. Inilah yang dinaskan dalam kebanyakan kitabnya.

Pendapat kedua: Tidak batal wuduknya. Inilah yang dipilih oleh jemaah yang sedikit daripada ashabnya. Sedangkan pendapat yang terpilih batal iaitu pendapat pertama.

Isu batal wuduk adalah bersentuhan antara lelaki dan perempuan dibahaskan oleh ulama dengan panjang lebar sejak dahulu lagi.

Muzakarah Haji oleh Tabung Haji memutuskan bahawa sekiranya di Mekah pada musim haji ketika tawaf atau berada dalam Masjid al-Haram tidak batal wuduk bersentuh antara lelaki dan perempuan yang ajnabi kerana darurat dan sukar untuk memelihara wuduknya.

Tayamum

Tayamum daripada segi bahasa bererti tujuan, sementara menurut syarak pula adalah menyapu debu tanah yang suci kemuka dan dua tangan dengan niat dan cara yang tertentu.

Imam al-Nawawi berkata: Tidak sah tayamum untuk menunaikan fardu solat kecuali selepas masuk waktu solat. Begitu juga solat sunat rawatib mengikut pendapat yang asah. Dan tidak boleh solat untuk satu tayamum lebih daripada satu fardu solat sahaja. Tetapi dia boleh solat sunat seberapa banyak yang dia mahu sebelum solat fardu atau selepasnya, sama ada dalam waktu atau luarnya.

Apabila seseorang solat dengan tayamum kerana ketiadaan air yang wajib digunakannya, maka tidaklah wajib baginya mengulang solat sama ada musafirnya itu lama atau sekejap.

Jika dia mendapati air selepas solat di mana waktu masih ada atau dalam solat, maka sah solatnya tanpa perlu mengulang.

Jika dia tidak mendapati air atau debu tanah, hendaklah dia solat mengikut keadaan fardu yang satu sahaja. Kemudian dia wajib mengulang solat dengan air atau debu tanah.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut antara sebab yang membolehkan tayamum adalah:

Terhalang daripada menggunakan air sama ada halangan yang nyata, seperti ada air di tempat yang berhampiran tetapi tidak jauh dari situ pula ada musuh yang ditakuti. Ataupun ada halangan syarak, iaitu seperti takut menggunakan air kerana bimbang terkena penyakit dan melambatkan proses penyembuhan.

Dalam keadaan yang demikian, dia bolehlah bertayamum dan tidak wajib menggunakan air. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW tentang seorang yang mendapat luka di kepala dan meninggal dunia selepas dia mandi.

Solat menghormati waktu

Dalam musafir khususnya menuju ke Baitullah al-Haram, menaiki kapal terbang yang mengambil masa antara 7 hingga 8 jam. Kadang-kadang membabitkan waktu solat.

Saat yang sama mungkin merasa kesukaran untuk berwuduk atau menentukan arah tanda kiblat justeru, ada atau tidak solat menghormati waktu?

Jawapan:

l Solat adalah salah satu rukun Islam yang utama, disebut dalam banyak hadis gelaran atau nama yang baik kepada solat seperti tiang seri agama, cahaya, dan lain-lain.

Islam amat cakna dan prihatin terhadap solat supaya dipeliharakannya dalam apa jua keadaan. Saat yang sama ancaman amat keras bagi siapa yang meninggalkan solat dan mengabaikannya atau melakukan sambil lewa.

Justeru, atas dasar inilah melaksanakan ibadat solat perlu walau dalam apa keadaan sekalipun. Dalam Mazhab Syafie terdapatnya solat menghormati waktu antaranya kerana:

i. Orang yang luput dua alat taharah iaitu air dan tanah. Dalam al-Fiqha'la Mazahib al-Arba'ah (1/167) wajib ia'dah (mengulangi) solat bagi yang melakukannya dalam keadaan menghormati setelah mendapati air.

ii. Tersalah mengadap kiblat ketika mengijtihad mengadap kiblat tanpa arah yang betul, hendaklah ia'dah solat.

Begitu juga yakin tersilap kiblat secara pasti maka wajib ia'dah 1/201. Imam al-Nawawi dalam al-Idhah hal. 80 juga menyebut hal yang sama - UM

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Saturday, October 30, 2010

Kod etika pakaian: Tiada aurat, terpelihara umat


Percaya atau tidak, zaman ini bukan sahaja wanita yang didiskriminasikan namun lelaki yang lebih dominan sebagai pendiskriminasi turut menjadi mangsa diskriminasi. Contoh yang paling ketara adalah dalam bab kod etika pemakaian di tempat awam khususnya di pusat pengajian tinggi dan jabatan-jabatan kerajaan. Saya mengambil contoh di beberapa IPTA dalam negara seperti UUM yang begitu terkenal dengan ketegasan mereka dalam memastikan pelajar mereka khususnya siswa mematuhi kod etika pakaian. Tali leher sememangnya diwajibkan bagi pelajar lelaki bahkan mereka tidak dibenarkan membuat urusan rasmi apatah lagi menghadiri kelas jika tidak bertali leher. Lain pula halnya kepada siswi. Satu-satunya universiti yang mempunyai kod etika pakaian yang jelas dan patuh syariah adalah UIAM yang mana mereka mewajibkan pelajar mereka bukan sahaja menutup aurat bahkan mereka diwajibkan bertudung dalam masa yang sama. Keadaan ini tidak berlaku di universiti lain yang lebih menitik beratkan pemakaian tali leher kepada siswa berbanding pemakaian tudung dan penutupan aurat kepada siswi. Tidak keterlaluan jika saya katakan, antara sebab jenayah seksual meningkat adalah kerana sikap wanita-wanita dalam berpakaian. Di sana sini kita boleh melihat siswi begitu bebas memperagakan kepelbagaian feksyen pakaian ke kelas tanpa ada sebarang sekatan. Pembukaan aurat begitu menjadi budaya walaupun siswi tersebut adalah seorang Melayu Islam. Isu mereka tidak ingin menutup aurat di luar kampus adalah isu lain. Namun pemakaian yang patuh syariah di kampus semestinya diwajibkan oleh pihak pengurusan universiti kerana mereka akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Saya juga yakin kita semua tahu menilai antara kewajipan pemakaian tali leher siswa dan penutupan aurat para siswi, yang manakah lebih utama dan relevan serta akan diredai oleh Allah. Jangan sampai kita terpaksa menanggung dosa yang orang lain buat di akhirat nanti. Dengan itu saya menyarankan kepada pihak pengurusan semua universiti membuat undang-undang kecil di bawah kuasa yang diperuntukkan kepada mereka agar mewajibkan pemakaian yang menutup aurat seperti baju kurung, jubah dan bertudung kepala kepada siswi Melayu Islam dan pakaian yang sopan kepada siswi bukan Islam. Kepada kumpulan aktivis mahasiswa Islam setiap universiti khususnya, wajib menjadikan isu ini isu yang diperjuangkan sepanjang zaman dan desakan mesti dibuat sehingga ia diwartakan menjadi undang-undang sah universiti di seluruh negara

Rausyan Zikir

* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Ibadah korban sunat, cukup sekali dilaksanakan seumur hidup


KETIKA ini, banyak iklan mengenai ibadat korban dipaparkan. Bolehkah ustaz menjelaskan hukum melakukan korban? Apakah ada dalam al-Quran dan hadis?

YUSRI

Ukay Perdana. Jawapan:

Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 36 yang bermaksud: “Dan Kami jadikan unta sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu, menyembelih unta yang ada kebaikan bagi kamu, oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas 3 kakinya, maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta..”

Dalam surah lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban.” (surah al-Kauthar ayat 2).

Berkorban atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih haiwan tertentu pada Aidiladha dan dua atau tiga hari sesudahnya adalah antara tuntutan agama yang ditegaskan dalam ayat al-Quran di atas.

Imam Abu Hanifah menilainya wajib bagi setiap orang yang mampu berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah beliau berkata: “Sesiapa yang memiliki kemampuan dan tidak mahu berkorban, maka hendaklah ia tidak mendekati tempat solat kami.”
Menurut fahaman penganut mazhab Hanafi, ancaman ini menunjukkan wajibnya berkorban. Mazhab lain pula menilainya sebagai sunat muakkad (iaitu sunat yang amat ditekankan melakukannya) berdasarkan sekian banyak hadis. Antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, “Aku diperintahkan berkorban, sedangkan itu sunat bagi kamu sekalian.”

Ibn Abbas berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang menjadi kewajipan atas diriku dan ketiganya adalah sunat bagi kamu sekalian, iaitu (solat) witir, menyembelih korban dan solat Duha.”

Menurut Mazhab Syafie, sunat ini cukup dilaksanakan sekali seumur hidup. Di samping itu, disunatkan pula setiap ketua keluarga atau seorang ahli keluarga berkorban untuk dirinya (sekiranya belum dilakukan) atau atas nama seorang ahli keluarganya. Kalangan ulama juga sepakat bahawa haiwan yang boleh dikorbankan mestilah unta, lembu atau kerbau. Haiwan-haiwan itu boleh dikongsi iaitu seekor bagi tujuh orang. Kambing pula tidak boleh dikongsi iaitu seekor seorang.

Haiwan itu selayaknya yang sihat dan sempurna, baik jantan mahupun betina. Mengenai hukum memakan daging korban yang disembelih, majoriti ulama membolehkannya. Jika korban itu dilakukan untuk memenuhi nazar, maka imam Abu Hanifah dan imam Syafie melarang orang yang bersangkutan dan keluarganya memakan dagingnya. Dalam mazhab Maliki, Hambali dan Hanafi disunatkan bagi orang yang berkorban untuk menggabungkan antara memakannya dan membahagikannya. Bahkan, seandainya dia memakan semuanya atau menyimpannya selama tiga hari kemudian, maka yang demikian itu dibolehkan menurut Mazhab Hanafi dan Maliki, walaupun hukumnya makruh.

Bagi Mazhab Hanafi dan Hambali, disunatkan untuk membahagi daging korban, iaitu sepertiga untuk diri dan keluarganya, sepertiga untuk teman-teman (walaupun kaya) dan sepertiga untuk fakir miskin.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 36 surah al-Haj yang bermaksud: “...Kemudian jika ia (haiwan yang dikorbankan itu) tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta…”

Imam Malik tidak menetapkan kadar tertentu. Penganut mazhab ini berpegang pada sekian banyak hadis yang menganjurkan agar memakan, memberi makan dan menyisihkannya untuk disimpan. Hadis yang dimaksudkan itu terkandung dalam kitab, antaranya Kitab Nayl al-Awtar yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa Nabi SAW bersabda: “Aku tadinya melarang kamu semua menyimpan daging korban lebih tiga hari kerana adanya addhafat. Kini, sudah datang kelapangan daripada Allah. Maka simpanlah semahu kamu.”

Menjual sesuatu yang berkaitan dengan haiwan korban tidak dibenarkan sama ada kepala, daging, kulit atau bulunya. Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa menjual daging haiwan korban, maka tidak ada (iaitu tidak sah) korbannya.” Hadis ini riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi. Begitu juga tidak dibenarkan memberikannya sebagai upah kepada penyembelih. Tetapi harus memberikannya sebagai hadiah kepadanya atau kepada orang yang wajar menerimanya.
Selain itu, yang berkorban atau yang lainnya dapat memanfaatkan kulit haiwan korban untuk dibuat rebana atau produk lain. Wallahua’lam. - BH

* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Thursday, October 28, 2010

Amalan tabur bunga atas kubur adalah harus


APAKAH pandangan ustaz mengenai adab menziarahi pusara? Bagaimana dengan perbuatan menabur bunga dan daun pandan di pusara dan bagaimana dengan bacaan ayat suci yang sepatutnya? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak tahu di mana pusara ibu atau bapa kerana kematian berlaku ketika anak masih kecil? Apakah memadai dengan sedekahkan ayat suci al-Quran?

MD RADYUWAN, Kuala Lumpur

Imam al-Bukhari meriwayatkan, daripada Ibn Abbas, bahawa Nabi Muhammad SAW melalui dua kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang di azab dan tidaklah kedua-duanya di azab kerana dosa besar. Adapun yang ini di azab kerana tidak menjaga (kebersihan) daripada kencing manakala yang ini pula kerana suka mengadu domba.” Lalu Nabi SAW meminta pelepah dan mematahkannya (menjadi) dua bahagian. Kemudian Baginda memacakkan di atas (kubur) ini satu dan di atas (kubur) ini satu.

Kalangan sahabat Nabi bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan hal ini?” Baginda menjawab: “Mudah-mudahan diringankan azab itu daripada kedua-duanya selama pelepah kurma itu belum kering.”

Hadis kedua pula riwayat Muslim daripada Jabir, Rasulullah SAW melalui dua kubur dan Baginda dengan mukjizatnya berkata, kedua-duanya penghuni kubur ini sedang diseksa...lalu Baginda meminta pelepah tamar yang masih basah dan mematahkan menjadi dua bahagian dan memacakkan pada setiap kubur, lalu bersabda,” Aku berharap syafaatku dapat meringankan azab kedua-duanya, selama pelepahnya masih basah.”
Daripada kisah hadis itu, sebenarnya kalangan ulama berselisih pendapat atau pandangan mengenai hukum meletakkan pelepah di atas kubur. Pandangan segolongan ulama yang menegah menyatakan perbuatan itu disyariatkan khusus untuk Nabi Muhammad SAW.

Keberkatan ada pada Nabi SAW saja. Syaikh Ahmad Syakir (dalam syarah Sunan al-Tirmizi) berpendapat amalan menabur bunga dan meletak kalungan bunga ini diambil dari amalan masyarakat Kristian.

Pandangan ulama yang mengharuskan pula mengatakan perbuatan itu diharuskan kepada semua orang Islam. Syeikh Atiyah Saqar (iaitu seorang Mufti Lajnah Fatwa al-Azhar) berkata: “Ini adalah masalah antara golongan mengharuskan dan golongan yang menegah. Saya melihat tiada tegahan pada perkara ini selagi mana ia beriktikad (menyakini) bahawa yang memberi manfaat dan mudarat itu hanyalah Allah SWT. Apa yang kita hadiahkan kepada si mati seperti doa, sedekah dan lain-lain lagi adalah ‘min babil asbab’ semata-mata mengharapkan rahmat Allah SWT.

Justeru, perbuatan menaburkan bunga sebagai menggantikan pelepah dan ranting basah adalah harus. Bagaimanapun, jika bunga itu dibeli dengan harga mahal semata-mata untuk melakukan perbuatan itu, dibimbangi ia akan jatuh kepada haram disebabkan membazir.

Selain itu ketika menziarahi pusara, anda juga harus membaca al-Fatihah dan surah Yasin. Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca surah Yasin bagi masyarakat Muslimin (yang akan atau sudah) meninggal dunia. Wallahua’lam.

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Kisah kedatangan Islam ke AS dan masjid yang mula2 dibina..


DI SEBALIK keriuhan isu pembinaan masjid dan pusat kebudayaan Islam berdekatan tapak serangan 11 September 2001, hakikatnya sejarah penghijrahan orang Islam yang turut memainkan peranan penting dalam membangunkan Amerika Syarikat (AS) tidak boleh diabaikan.

Menurut catatan sejarah penghijrahan orang Islam ke AS pada awalnya melibatkan golongan kulit hitam yang dibawa masuk sebagai hamba abdi.

Kajian menunjukkan pada penghujung abad ke-18 sahaja, lebih 500,000 hamba abdi kulit hitam telah dibawa masuk. Dianggarkan lebih 30 peratus hamba lelaki dan 15 peratus daripada hamba wanita beragama Islam Islam.

Dari segi angka 200,000 hamba adalah golongan kulit hitam yang tetap berpegang dengan ajaran Isl am.

Namun akibat dari tipu helah dan kelicikan Barat telah mengakibatkan golongan kulit hitam ini dijual dan dijadikan hamba abdi untuk kepentingan mereka.

Catatan

Antara catatan terawal yang masih wujud tentang perkembangan golongan Islam kulit hitam adalah yang dihasilkan Omar Ibn Said yang tiba di AS pada 1807 dan tinggal di ladang gandum di North Carolina.

Dilahirkan di Futa Tooro atau kini dikenali sebagai Senegal, Omar telah menulis beberapa buku dalam bahasa Arab antaranya Bismillah, This Is How You Pray, dan penulisan tentang Surah 110 dalam al-Quran.

Terdapat versi yang mengatakan beliau telah memeluk agama Kristian hasil pemberian terjemahan kitab Injil oleh tuannya, James Owen namun kesahihan perkara itu masih belum jelas.

Kajian sejarah menunjukkan masjid pertama telah dibina di sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai Ross, di Dakota Utara.

Pekan Ross yang kini hanya memiliki 48 orang penduduk telah menyaksikan peristiwa bersejarah dalam perkembangan Islam di AS sehingga terbinanya sebuah masjid hasil penghijrahan warga Syria sejak lewat kurun ke-18.

Seorang petani dari Syria, Hassan Juma merupakan penduduk Islam terawal di pekan tersebut sebelum lebih ramai lagi warga Syria berhijrah dan kemudian menetap di pekan Ross..

Kehadiran mereka telah membentuk komuniti Islam yang besar di pekan berkenaan namun pada masa yang sama mereka tetap menghormati kumpulan agama dan penduduk lain.

Setelah sekian lama terpaksa menunaikan solat hanya di bahagian bawah tanah rumah mereka akhirnya penduduk di situ bergotong royong membina sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Ross pada 1929.

Sejak itu masjid tersebut digunakan oleh masyarakat Islam di situ untuk pelbagai majlis dan keraian tanpa timbul sebarang sengketa dan salah faham dengan penganut lain.

Penglibatan

Namun sejarah masjid berkenaan terkubur apabila dirobohkan pada 1978 akibat kurangnya penglibatan umat Islam di sana.

Ini berlaku akibat perkahwinan campur antara masyarakat berbilang agama yang menyebabkan ada antara mereka memeluk agama lain.

Selain itu kepupusan bahasa Arab serta tidak ada lagi orang Islam yang datang untuk mengerjakan solat Jumaat turut menjadi punca masjid itu dirobohkan.

Masjid tersebut telah dibina semula di tapak yang sama pada tahun 2005.

Malangnya langkah tersebut hanya sebagai tanda bahawa ia pernah mencatat sejarah sebagai masjid pertama di AS, tanpa ada umat Islam yang menggunakannya.

Satu lagi masjid terawal yang dibina dikenali sebagai The Mother Mosque of America. Masjid yang dibina pada 1934 juga dikenali sebagai The Rose of Fraternity Lodge dan Moslem Temple.

Terletak di Cedar Rapids, Iowa, ia merupakan masjid yang masih kekal sehingga kini yang juga kedua tertua dibina selepas Masjid Ross.

Masjid itu menjadi pusat kegiatan Islam selama 40 tahun sebelum bangunan Islamic Center of Cedar Rapids dibina bagi pada 1971.

Berikutan itu masjid tersebut tersebut telah dijual dan pembelinya membiarkan iai terbiar untuk beberapa lama.

Namun pada 1991 Islamic Council of Iowa yang diketuai oleh Imam Taha Tawil dan Dr. Thomas B. Irving telah membeli bangunan tersebut sebelum ia dibaik pulih dan kekal menjadi Pusat Kebudayaan Islam sehingga sekarang.

Sesungguhnya isu mengenai pembinaan masjid dan pusat kebudayaan Islam dekat tapak serangan 11 September, 2001 dan ancaman pembakaran al-Quran oleh paderi dari Florida hanyalah satu mainan politik murahan pihak-pihak tertentu yang takut kepada perkembangan Islam yang semakin meluas di AS.

Yang jelas sumbangan penduduk Islam di negara itu tidak boleh diketepikan.

Adalah diharapkan mereka dapat melihat bahawa Islam itu adalah agama yang meliputi cara hidup dan bukan membabitkan keganasan seperti yang dilakukan oleh beberapa pihak yang terpesong fahamannya tentang keindahan Islam.

Oleh Hafizahril Hamid

gambar: Masjid Ross pada awal 1929..



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Wednesday, October 27, 2010

RM600 upah baru amah Indonesia?


RAKYAT Malaysia dikhabarkan rundingan syarat baru pengambilan amah dari Indonesia termasuk kadar upah masih belum selesai. Maknanya, belum ada kata putus berapa gaji yang mesti dibayar kepada amah dari negara jiran itu.

Oleh itu kadar upah setakat ini masih tertakluk kepada paras lama – RM500 gaji tahun pertama manakala seterusnya atas budi bicara majikan.

Bagaimanapun keluhan seorang pembaca menerusi emelnya kepada saya agak mengejutkan. Begini bunyinya:

Sebenarnya saya sedang cari pembantu rumah baru nak ganti pembantu rumah yang nak dihantar balik hujung bulan ini. Masa tanya ejen, dia kata gaji untuk pembantu rumah baru RM500 saja. Malah pembantu rumah adik saya yang saya tolong bawa pergi perbaharui pasport pun bayar RM500.

Tapi bila nak perbaharui pasport sebab nak perbaharui permit yang hampir luput tarikh, saya diminta isi borang kontrak dengan pembantu rumah. Saya mengisi di bahagian gaji RM500.

Bila nak serah borang di kaunter, pegawai bertugas suruh saya batalkan jumlah gaji yang saya tulis dan ganti dengan RM600. Kalau tak mahu, pegawai itu tidak akan proses untuk perbaharui pasport. Malah ketika menunggu di situ kami diberi penerangan bahawa gaji pembantu rumah adalah RM600. Jadi pembantu rumah adik saya yang mendengar penerangan itu apabila sampai rumah terus beritahu gaji dia kena bayar RM600.

Yang saya tidak faham, kerajaan kita tak ada pun buat perjanjian dengan kerajaan Indonesia kadar baru gaji amah dari negara itu adalah RM600. Macam pembantu rumah yang saya nak hantar balik ini memang tak boleh buat kerja, dan saya tidak rasa dia layak dibayar gaji RM600. Saya harap perkara ini dapat diperjelaskan.

Sememangnya dalam pengetahuan kita rundingan mengenai gaji amah dari seberang serta syarat-syarat lain masih berlangsung. Tiada ketetapan mahupun keputusan. Majikan-majikan di Malaysia masih menunggu, begitu juga rakyat Indonesia yang ingin bekerja di sini.

Dalam suasana tidak pasti, ramai juga majikan dan bakal majikan di negara ini tidak senang duduk. Maklumlah, permintaan untuk mendapatkan amah warga Indonesia memang tinggi.

Di negara jiran itu yang menunggu giliran untuk dibawa masuk ke Malaysia juga ramai. Kelewatan kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung terma dan syarat menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengenakan syarat sendiri.

Tanpa disedari, seperti mana aduan pembaca ada syarat untuk memproses memperbaharui permit pembantu rumah iaitu kepada RM600. Tentunya perkembangan terbaru itu sangat tidak adil kepada majikan di negara ini. Tanpa hitam putih majikan terjerat dengan syarat tersebut.

Umpama ditelan mati emak diluah mati bapa, ada majikan terpaksa akur. Dalam keadaan tidak pasti juga, amah yang sedang berkhidmat mula memasang angan-angan untuk melonjakkan gaji berganda. Mulalah buat kerja tak betul, mulalah mogok apabila dikhabarkan semasa bersembang dengan rakan-rakan gaji mereka sepatutnya RM600.

Misalnya dalam kes pembaca yang membuat aduan itu, tentunya amah yang mendengar taklimat menggunakan maklumat tersebut untuk mendesak majikannya menambah gaji atau mogok tak buat kerja rumah jika upahnya tidak dinaikkan.

Majikan di negara ini tidak kisah membayar upah sebanyak itu jika amah yang bekerja dengan mereka pandai membuat kerja rumah. Sekurang-kurangnya cekap melakukan kerja-kerja asas termasuk mengendalikan perlatan elektrik.

Namun sehingga kini majikan di Malaysia sering tidak diberi amah gred A. Gred B pun tidak. Majikan di sini terpaksa berpuas hati dan makan hati dengan amah gred C yang tidak tahu membaca dan menulis selain kekok melakukan kerja-kerja rumah.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab kerajaan di kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin sebelum lebih banyak pihak mengambil kesempatan menetapkan syarat-syarat sendiri yang ternyata merugikan satu pihak sahaja.

Oleh Noraini Abd. Razak



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Kenapa warga Iran suka sangat bawak masuk dadah ke Malaysia???


SEBAGAI sebuah negara Islam, kehadiran Iran di pentas politik dunia sering dianggap sebagai “pengacau” oleh negara-negara di Barat terutama Amerika Syarikat (AS).

Sejak dari tercetusnya Revolusi Iran pada 1979 hingga memungkinkan tertubuhnya Republik Islam Iran, negara tersebut senantiasa ke hadapan dalam menonjolkan diri sebagai sebuah kuasa baru di kalangan negara Islam.

Dari sebuah negara Islam yang kaya dengan hasil minyak hingga kepada negara kuasa nuklear baru yang senantiasa mendapat tekanan Barat, itulah antara contoh imej yang cuba ditonjolkan Iran bagi menunjukkan kebenciannya terhadap Barat.

Melihat kepada barisan pemimpinnya, dari zaman Allahyarham Ayatollah Khomeini hinggalah Mahmoud Ahmadinejad, mereka tidak pernah sunyi dari menimbulkan kontroversi.

Kritikan pedas, sindiran tajam malah ada yang hingga mencemuh tanpa rasa segan silu Zionis Israel di pentas antarabangsa merupakan sebahagian asam garam keberanian yang ditonjolkan pemimpinnya.

Itu imej dan gambaran yang sering diperdengarkan kepada kita namun selain semua itu Iran juga turut dikenali antara pengimport utama dadah di dunia.

Malah penglibatan rakyatnya dalam soal pengimportan dan penyeludupan dadah di Malaysia juga sudah semakin membimbangkan.

Menurut statistik terbaru, penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam masa dua tahun ini dengan 138 rakyat negara itu diberkas tahun ini berbanding 16 tangkapan pada tahun 2009.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, daripada jumlah itu, 121 tangkapan terdiri daripada “keldai dadah”, iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah, dan bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.

“Dadah jenis syabu turut diseludupkan menggunakan kargo udara iaitu penerbangan dari Teheran melalui transit Dubai, Armenia, Kish, Doha, Colombo, sebelum tiba di Malaysia,” katanya.

Pastinya di sebalik imej negara Islam yang dipertonjolkan kisah penglibatan rakyat Iran dalam kegiatan pengedaran dadah mencacatkan usaha yang dilakukan kepimpinannya.

Namun Iran juga seperti kebanyakan negara-negara lain tetap berhadapan dengan masalah penduduk miskin yang kemudiannya cuba meraih jalan mudah dengan mengedar dadah.

Pendapatan sebagai petani dan guru yang diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dikenal pasti punca menyebabkan ramai warga Iran sanggup menjadikan diri sendiri sebagai ‘kurier’ untuk membawa dadah ke Malaysia kerana upah yang lumayan.

Siasatan yang dijalankan oleh pihak polis negara ini mendapati, mereka mendapat upah lumayan antara AS$1,500 dolar (RM5,100) dan AS$2,000 dolar (RM6,800) bagi setiap penghantaran.

Meskipun menyedari risiko dihukum gantung sampai mati jika ditangkap, tetapi upah dijanjikan menyebabkan mereka terpengaruh.

Keldai dadah

Berdasarkan kenyataan polis pada awal tahun ini, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, siasatan mendapati kebanyakan mereka yang ditahan adalah petani dan guru di negara asal.

“Mereka bukan hanya diberi upah lumayan bagi menyeludup syabu dalam bagasi tetapi dadah yang ditelan. Setiap bungkusan kecil dadah ditelan akan dibayar AS$20 dolar (RM68) dan purata seorang mampu menelan antara 80 hingga 100 bungkusan kecil dadah dalam perut,” katanya.

Menurut beliau, lambakan dadah jenis syabu dari luar negara ke pasaran tempatan ketika ini dipercayai mempunyai kaitan dengan peningkatan permintaan di negara ini selain dipengaruhi oleh kejayaan polis melumpuhkan makmal pemprosesan dadah dan sindiket pengedaran dadah dari semasa ke semasa.

Berikutan kekurangan bekalan dadah, menyebabkan sindiket dadah dari Iran mengambil kesempatan untuk menyeludup syabu ke Malaysia melalui penerbangan.

Menurutnya, harga pasaran syabu mencecah sehingga RM250,000 sekilogram sebelum ini tetapi sindiket dadah Iran mampu menawarkan harga serendah RM100,000 hingga RM175,000.

“Sindiket dadah Iran boleh menawarkan harga syabu lebih murah berkemungkinan disebabkan kos penghasilan dadah itu yang rendah di negara berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun tidak semua dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan kerana ada antaranya dalam proses dihantar ke China, Filipina dan lain-lain negara.

Hakikatnya Iran bukan sebuah negara pengeluar dadah seperti mana Mexico dan beberapa buah negara Amerika Latin. Iran sebenarnya menjadi kawasan transit penyeludupan dadah yang berasal dari Afghanistan.

Masalah ini bukan sesuatu yang baru kerana dadah telah menjadi satu komoditi utama di Afghanistan sejak sekian lama. Masalah ini turut membebankan Iran yang mana kawasan sempadan dengan Afghanistan sering digunakan untuk menyeludup masuk dadah untuk pasaran Turki dan Eropah.

Dalam erti kata lain kini Iran digunakan sebagai kawasan transit dadah keluaran Afghanistan sebelum ia diseludup pula ke negara lain termasuk Malaysia.

Masalah ini diterukkan lagi dengan kemiskinan di dua negara ini, memungkinkan mereka yang mencari jalan mudah untuk kekayaan terjebak dalam pengedaran dadah. Akibatnya kegiatan rasuah berleluasa terutama membabitkan pihak berkuasa serta pengawal sempadan.

Keuntungan lumayan dari hasil dadah juga telah mengakibatkan munculnya kumpulan mafia-mafia dadah antara dua negara bersempadan ini.

Berikutan itu adalah pemandangan biasa jika kita melihat di bandar di sempadan Iran seperti Zahedan yang terletak di dalam wilayah Seistan-Baluchistan menjadi tapak penyeludupan utama.

Walaupun gambar Ayatollah Khomeini memenuhi bandar ini, namun sebaik matahari melabuhkan tirainya, aktiviti pemunggahan dan penyeludupan dadah berleluasa walaupun ada masanya trak yang membawa dadah dan anggota polis sering saja berselisih di jalanan.

Dari bandar Zahedan, harga sekilo candu hanya sekitar AS$100 (RM320) sebelum meningkat kepada AS$600 (RM1,920) di Teheran. Harga ini meningkat berkali ganda kepada AS$2,400 (RM7,680 ) apabila tiba di Turki. Candu ini kemudiannya akan diperhalus menjadi heroin dengan menggunakan acetic anhydride.

Bagi harga pasaran di Eropah pula heroin yang mempunyai ketulenan sekitar 35 peratus, dijual pada harga AS$30 (RM96) sekilogram. Menariknya 90 peratus dadah yang digunakan di Eropah datangnya dari Afghanistan.

Kita boleh lihat sendiri perjalanan perniagaan dadah ini melalui proses yang cukup teratur dari mula ia ditanam oleh petani-petani miskin di Afghanistan yang kemudian di seludup ke sempadan Iran sebelum menjadi satu perniagaan yang cukup menguntungkan dari Eropah hinggalah Malaysia.

Dalam penyelesaian masalah ini kesukaran timbul akibat dari Afghanistan itu sendiri terlalu bergantung kepada perniagaan dadah. Usaha untuk menggantikan tanaman berkaitan dadah ini masih gagal akibat dari kurangnya bantuan dan kesungguhan dari negara-negara Barat membantu.

Ditambah pula dengan kedudukan Iran yang dilabel sebagai negara paksi kejahatan, pastinya negara seperti AS tidak akan bersungguh dalam membantu menyelesaikan masalah penyeludupan dadah.

Yang pasti akibat dari keinginan untuk keluar dari kemiskinan dan mencari kemewahan singkat menyeludup dadah, mengakibatkan manusia sanggup merentas benua dan sempadan malah berkorban nyawa di tali gantung.

Oleh HAFIZAHRIL HAMID



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Monday, October 25, 2010

Apa sudah jadi dengan kualiti jalan raya kita?


SUDAH terlalu banyak aduan dibuat. Sekian banyak laporan mengenainya dipaparkan menerusi media. Orang ramai juga sudah tidak berupaya menggeleng kepala dan mengeluh namun semuanya seperti mencurah air di daun keladi.

Isunya ialah tentang kualiti jalan raya di Lembah Klang terutama di ibu negara. Entah mengapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kualiti jalan raya kita merudum.

Banyak jalan raya mengalami kerosakan. Berlubang, lekuk, terbonjol, tidak rata atau compang- camping dan tidak diselenggara dengan baik.

Susurilah jalan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, sebahagian Shah Alam dan banyak lagi kawasan di Lembah Klang, anda boleh nilai sendiri keadaannya. Itu belum mengambil kira jalan di sekitar taman-taman perumahan, yang lebih menjengkelkan.

Bukan sedikit kes nahas motosikal akibat jalan rosak dan berlubang. Bukan kecil juga tekanan yang dihadapi oleh orang ramai. Ini termasuk kos penyelenggaraan untuk kenderaan semakin tinggi kerana asyik mengalami hentakan kuat.

Isu kualiti jalan ini sudah menjadi bahan momokan dan sinikal orang ramai. Sampai ada yang berkempen gunakan sahaja kenderaan pacuan empat roda di Lembah Klang, pasti perasaan anda lebih tenang.

Agaknya kita lebih suka mendongak di atas (bangunan pencakar langit) tetapi mengabaikan di bawah (hal-hal yang lebih asas). Sedangkan untuk melihat kehebatan sesebuah bandar raya, lihatlah dahulu jalan rayanya. Itu juga cerminan imej sesebuah negara.

Bukan itu sahaja, ramai yang membuat perbandingan kualiti jalan kita dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, yang kini jauh lebih baik. Suatu ketika dulu, kualiti jalan raya Malaysia menjadi contoh bagi banyak negara serantau.

Yang lebih menjadi persoalan ialah kerja-kerja penurapan semula jalan oleh kontraktor. Biasanya tidak sempurna, seolah-olah seperti tiada pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Lalu tersemat banyak soalan di kepala Awang. Apa yang tidak kena, mengapa jadi begitu, apakah kita sudah tidak tahu menurap permukaan jalan setelah setengah abad merdeka dan apakah kita tidak lagi cekap mengurus jalan raya?

Apakah ada unsur rasuah, mungkinkah PBT mengambil mudah aspek kualiti jalan di laluan rakyat dan hanya mengutamakan lalu VIP atau orang kenamaan?

Berapa banyak pula wang yang telah dihabiskan hanya untuk melakukan kerja-kerja penurapan yang sama dan berulang kali di tempat yang kerap rosak jalan rayanya?

Apakah ada konspirasi pihak tertentu dalam PBT dengan kontraktor jalan raya untuk sengaja menurap jalan secara sambil lewa agar dapat melakukannya banyak kali dan mengaut untung berlebihan?

Bagaimana pula penguatkuasaan kita sehingga lori simen boleh berulang kali mengotorkan jalan dengan limpahan bancuhan simen? Agak aneh jika PBT tidak efisien, sedangkan mereka amat proaktif dalam mengutip cukai dan mengenakan kompaun. Lagi persoalan yang berlegar, apa yang pihak berkenaan termasuk Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis lakukan? Tidakkah mereka sensitif kepada persekitaran? Sedarkah bahawa PBT yang sebenarnya merosakkan imej kerajaan di mata rakyat.

Inilah juga soalan-soalan yang spontan keluar daripada mulut orang ramai, yang sangat kecewa dengan kisah kualiti jalan raya di Lembah Klang. Di sebalik kesungguhan untuk menjadi negara maju, kualiti jalan raya kita hanya bertaraf kelas tiga. Itulah realitinya. - UM



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

FB: Bahagia atau bahana?

“TAK ada facebook? Alah, ketinggalan zamanlah kau ni, tak modenlah.”

Dialog biasa yang kita dengar kalau berani berterus terang kepada teman-teman bahawa kita tidak pernah mewujudkan akaun facebook (FB) sendiri.Pendek kata, kalau mahu berasa seiring dengan masa dan tak mahu ‘dimalukan’ oleh kawan-kawan.

Saya membuka akaun FB pada awal 2009. Saya perlu berterimakasih kepada Mark Zuckerberg kerana mewujudkan laman sosial ini. Di situlah, saya berjaya mencari hampir 100 teman-teman lama sewaktu di alam persekolahan.

Juga berkomunikasi dengan saudara mara, jauh dan dekat. Ada kenduri kendara, ada keluarga bertambah bilangan ahli, kawan-kawan kemalangan dan sebagainya, di sinilah ‘pusat sumber’ kita. Sementelah FB secara percuma, apa yang nak dirisaukan, balun sajalah sampai tutup mata (tidur).

Pun, ada yang tidak senang dengan FB, barangkali mereka yang menerima natijah negatif daripada laman sosial ini.

Saya tidak nafikan, dalam kebaikan yang dibawa, FB turut sama membawa sejuta masalah, gejala negatif dan tidak sihat. Ada orang menjadikan FB sebagai luahan perasaan yang tidak munasabah. Tidak kurang yang mahu menunjuk-nunjuk harta benda, kemewahan dan kesenangan diri.

Lebih dahsyat lagi, ada juga yang menjadikan FB sebagai medium menghina manusia lain tanpa usul periksa. Bicara tanpa bertentang mata, pasti akan ada saja khilaf penerimaannya.

Malah yang lebih keterlaluan, pergaduhan suami isteri pun disampaikan dalam FB. Saya pernah membaca status seperti ini di FB “Dah bertahun-tahun kahwin, sudah banyak aku berkorban, apa yang aku dapat?” Malah, ada yang minta cerai dalam laman sosial ini. Masya Allah. Kalau saya, saya terus menyekat diri daripada menjadi sahabat kepada orang sebegini.

Tak kurang juga ada teman yang telah ‘membuang’ saya daripada senarai secara tiba-tiba, hanya semata-mata kerana saya tidak menjawab soalan dia, “Sudah makan ke belum? Buat apa tu? Sihat ke hari ini?” Huhuhu! Sedih!

Kalau setakat persoalan yang sebegitu dan kebetulan kita tiada masa untuk melayan, apakah ‘berdosa’ kalau kita tidak memberi respons? Entahlah labu!

FB akan membawa kebaikan kalau kita gunakan ia ke arah kebaikan. Tetapi ia menjadi sebaliknya kalau kita menjadikan FB sebagai ruang sembang memudaratkan.

Justeru, berhati-hatilah untuk menerima teman yang memohon berada dalam list anda. Tak semua yang mendaftar sebagai teman itu ikhlas dan jujur. Ada juga yang hanya mahu menjadi pengintip, mencari kelemahan dan kekurangan kita, kemudian menyebarkannya kepada pihak lain.

Ada juga yang masuk ke senarai kita hanya semata-mata untuk menulis yang bukan-bukan. Isu perkauman, isu lucah, isu politik yang merapu, macam-macam lagi onar.

Berselindung di sebalik nama palsu, gambar metafora dan fotografi unik, orang seperti ini tidak boleh berada dalam senarai teman sosial kita. Ia hanya akan mengundang seribu kemungkinan yang kita sendiri tidak boleh jangkakan.

Oleh itu, terimalah kawan yang anda sudah pasti membawa kebaikan, memberi motivasi dan berinteraksi dengan darjah silaturahim yang tinggi. Walaupun hanya berteman di alam maya, adalah sangat penting untuk kita mempunyai teman sosial yang baik.

Seperti nasihat seorang abang senior saya “Layanlah orang dengan betul dan yang betul-betul orang sahaja, ya Along.” - UM



* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

Wednesday, October 20, 2010

Bahana cinta dari chatting..


"TELEFON dan komputer alat penghubung dan lambang kemajuan. Namun alat itulah juga punca segala-galanya, menghubungkan dan memutuskan. Ada orang bercerai melalui telefon, ada yang berkenalan melalui Internet. Begitulah yang berlaku pada saya, bukan bercerai tetapi dapat kawan.

‘‘Mula-mula chatting, tak sangka pulak lama-kelamaan jadi seronok akhirnya jatuh cinta dengan lelaki bernama Sam yang mengaku bujang. Peristiwa ini berlaku kira kira lapan tahun lalu. Walaupun perkenalan di alam maya dan berjauhan, tapi kami serius dalam masa tak sampai setahun.’’ Demikian cerita Nooratila dalam emelnya.

‘‘Bila dah seronok chatting mulalah nak ajak jumpa, seorang di utara seorang di selatan. Tapi kata Sam itu semua bukan masalah, kita boleh naik kereta, bas ataupun keretapi untuk berjumpa. Zaman ini semua dah canggih yang jauh boleh didekatkan.

‘‘Dipendekkan cerita KL jadi destinasi lokasi pertemuan kami. Bila empat mata bertemu maka ikatan cinta kami menjadi semakin kuat. Ketika itu tidak ada siapa boleh memisahkan kami.

‘‘Bila dah berjumpa terasa macam serasi pulak, ketika inilah telefon menjadi alat pilihan pertama. Malangnya telefon juga jadi alat merosakkan hubungan kami.

‘‘Sangkakan cinta kami ibarat panas hingga ke petang, rupanya ribut taufan di tengah hari. Semuanya bermula bila gelora cinta memaksa saya menghubungi Sam. Nak jadi cerita panggilan saya hari itu dijawab oleh seorang wanita. Sepantas kilatsaya kenalkan diri sebagai teman sepejabat, apabila wanita itu bertanya.

‘‘Di talian saya terdengar tangisan anak-anak. Wanita itu menjawab suaminya masih mandi. Nak pitam saya cuba kawal perasaan marah, sebab dah kena tipu. Sam rupanya suami orang. Malam itu saya menangis kerana sedih ditipu.

‘‘Esoknya saya serang Sam di telefon, mengaku bujang konon rupanya dah beranak pinak. Sam ajak jumpa di KL nak terangkan semuanya. Nak pujuklah tu.Cinta punya pasal saya pergi jumpa dia di KL.

‘‘Saya pun tak tahu macam mana saya boleh terus percayakan Sam sedangkan saya tahu dia dah kahwin.

‘‘Satu hari entah macam mana saya terkantoi, isteri Sam dapat nombor telefon saya, apa lagi sebu perut saya kena sumpah seranah. Saya terpaksa diam, dah tahu salah sendiri layan suami orang. Tapi bukan salah saya seorang, Sam yang mengaku bujang, kalau dari awal saya tahu dah kahwin, tak ada pasal saya nak layan dia.

‘‘Tetapi kalau hati dah suka nak buat macam mana, sampai sekarang kami masih berhubungan, dah tak boleh berpisah lagi. Bayangkan kini dalam diam tak diam hubungan kami mencecah lapan tahun. Dulu duduk berjauhan kini dah dua tahun saya berpindah dekat dengan negeri Sam. Dan sudah pasti kami sering berjumpa.

‘‘Lepas kerja dia ikut saya balik kami makan malam bersama. Kecuali kalau ada hal. Hujung minggu Sam datang jumpa saya. Dia buat alasan ada kerja lebih masa, kerja luar daerah dan macam-macam asalkan dapat bersama saya.

‘‘Dek kerana dah frust isteri Sam pun layan komputer, dia cerita pasal suaminya curang. Dari situ saya dapat emelnya, kami berhubung, dia tak tahu saya, sebab saya menyamar. Melalui komputer saya dapat tahu dia bencikan suaminya, dia kutuk suaminya curang, dia dah bosan dan tak kisah kalau berpisah pun.

maki hamun

‘‘Sebenarnya hubungan saya dengan Sam dah erat, malah kami pernah pergi bercuti ke luar negara bersama selama dua minggu tanpa pengetahuan isterinya. Banyak gambar kami bersama, kalau isterinya tengok pasti dia minta cerai, tetapi saya masih sabar dan lihat apa tindakan dia dan Sam sendiri.

‘‘Sam tak tinggalkan saya sebab dia tahu siapa yang banyak bantu dia selama ini. Jadi biarlah dia buat keputusan. Siapa yang belikan laptop untuk anaknya masuk kolej, siapa bayar yuran kolej dan asrama anaknya. Dan siapa yang banyak bantu Sam yang sering kekurangan duit untuk menguruskan kehidupan keluarganya.

‘‘Isteri Sam tak pernah ambil tahu daripada siapa suaminya dapat duit untuk membiayai perbelanjaan anaknya melanjutkan pelajaraan. Dia tak pernah peduli dalam banyak hal urusan rumahtangga, sebab semua Sam uruskan. Tiap-tiap minggu saya dan Sam akan belikan barang keperluan dapur mengikut kehendak isterinya.

‘‘Kami pernah terlanjur, sebab itu susah nak berpisah, saya pernah ajak Sam kawin, tapi alasan dia takut tak boleh berlaku adil. Malangnya saya tak boleh berpisah dengan Sam. Dan saya tak nampak lelaki lain kecuali Sam.

Sam banyak habiskan masa dengan saya. Setiap hari dia balik ke rumahnya jam 10 malam. Kami makan tengah hari dan malam bersama. Jadi berapa jam sangat dia dengan isterinya di rumah selepas ditolak waktu bekerja?

‘‘Kalau difikirkan memang saya bodoh layan suami orang dan habiskan banyak wang tanggung anak bini orang, tapi saya tak ada teman lelaki lain. Tak tahu sampai bila saya mesti hidup begini, menagih cinta suami orang dan janji kahwin yang belum pasti.

‘‘Kadang tu bila tidur sendirian saya sering terfikir bila agaknya Sam mahu ambil saya sebagai isterinya yang sah. Kerana saya sudah menunggu terlalu lama, umur pun semakin meningkat, jadi sampai bila saya mesti bersabar?”

Demikian luahan hati Nooratila bercinta dengan suami orang. - UM

* The views expressed here are the personal opinion of the writer.

RON 95 punca kebakaran akibat kemalangan?

UTUSAN Malaysia semalam menyiarkan satu lagi berita korban kemalangan jalan raya mengakibatkan dua orang terbunuh di Butterworth. Salah seorang daripadanya yang memandu van rentung apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan kenderaan lain.

Minggu lepas satu keluarga enam orang juga rentung selepas berlaku kemalangan di Kampar, Perak. Beberapa minggu sebelum itu, tiga orang pemuda rentung selepas berlaku kemalangan di Kuala Lumpur.

Sepanjang ingatan saya, banyak lagi kejadian yang serupa berlaku akhir-akhir ini. Tentu ada yang tak kena, mengapa berlaku kebakaran kenderaan dalam satu-satu kemalangan? Adakah kenderaan kita sudah tak selamat lagi? Bagaimana dengan pembuatan tangki petrol kenderaan sekarang, adakah dibuat menurut piawaian? Ini semua harus dijawab oleh pembuat-pembuat kenderaan bagi meyakinkan pembeli.

Satu punca yang saya fikir menjadi penyebab semua kejadian ini ialah berlakunya pertukaran minyak petrol kenderaan dari RON92 kepada RON95. RON95 mengandungi octane yang lebih tinggi berbanding RON92.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim, dalam jawapannya kepada soalan seorang Senator di Dewan Negara Julai lalu menyatakan, RON95 mengandungi benzene sebanyak lima peratus mengikut spesifikasi EURO 2M. Negara kita adalah negara tropikal yang sentiasa panas berbanding dengan -negara Eropah. Adakah kita ada membuat penyesuaian?

Benzene dalam petrol ialah sebagai octane booster. Saperti yang kita tahu, benzene adalah bahan yang sangat mudah terbakar. Data-data keselamatan bahan atau dalam bahasa Ingerisnya, Material Safety Data Sheet (MSDS) menunjukkan flash point benzene adalah rendah iaitu -11.1 Deg. C (12.0 Deg. F).

Ini menunjukkan jika terdapat spark ketika impak dalam kemalangan, tumpahan petrol akan memudahkan kenderaan terbakar.

Walaupun Timbalan Menteri sudah memberi jawapan kepada persoalan ini, tiada salahnya satu kajian dibuat oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama syarikat minyak bagi menentukan keselamatan pengguna. Apabila ia berlaku terlalu kerap sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Esa Adam

Bandar Sunway, Selangor



* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Suara Hati... Suara Hati tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan ini.

Tuesday, October 19, 2010

Bahana sotong kangkung...Peniaga Padang Kota Lama cekik darah


PADA 17 September lalu saya bersama isteri dan dua anak pergi ke medan selera di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Selepas lama tidak makan di medan selera itu terasa rindu pula sebab sebulan berpuasa dan berhari raya. Sesampai saja kami di meja gerai laksa, kami diserbu oleh beberapa peniaga yang menawarkan makanan mereka

Saya meminta laksa dan isteri pula meminta sotong kangkong, selepas laksa sampai saya terus membayar harga makanan dan minum

Apabila sotong kangkong yang dipesan sampai berserta sotong bakar yang tidak dipesan, isteri saya bertanya berapa harganya, namun kata peniaga itu ‘makanlah dulu’.

Selepas selesai makan dan dikira harganya berjumlah RM32. Terkejut beruk isteri saya. Sotong kangkong yang lebih banyak kangkong dari sotong dan sotong bakar yang hanya antara tujuh dan lapan keping saja tetapi begitu mahal harganya.

Inilah dikatakan ‘kena sembelih’, selalunya harga antara RM8 ke RM12 saja. Kami bukan orang jauh cuma tinggal di Seberang Jaya, Pulau Pinang ini pun boleh terkena.

Saya berharap pihak berkuasa berkenaan datanglah ‘melawat’ peniaga di medan selera ini dan pada gerai yang tidak mempamerkan tanda harga, ambillah tindakan sepatutnya.
Apapun, kepada semua pengunjung sama ada orang tempatan atau luar, berhati-hatilah dan jangan malu bertanya harga makanan yang mahu di pesan. Jangan terkena sembelih seperti keluarga saya.

SENYUM TAWAR,
Pulau Pinang

p/s: gambar di atas sekadar hiasan
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

Elak tunai haji terlalu kerap..kasi chance la pada orang lain..


KEUPAYAAN segelintir umat Islam di negara ini menunaikan haji sehingga berkali-kali, bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sayangnya keghairahan ini menyebabkan ada segelintir yang tidak berpeluang walaupun ia adalah pemergian untuk kali pertama bergelar tetamu Allah.

Adakah kita boleh meletakkan kegagalan ini sebagai belum ada rezeki lagi?

JAWAPAN:

Bagi mereka yang pergi dengan muassasah tidak akan berlaku mengambil peluang orang. Ini kerana sistem yang ada pada tabung haji akan mengutamakan mereka yang belum pernah pergi menunaikan ibadah haji.

Sebab itu bila seseorang mendaftar untuk menunaikan haji diberitahu akan tahun yang ditawar untuknya menunaikan haji. Kadang-kadang ada yang terkejut tahun ditawarkan oleh tabung haji untuk seseorang menunaikan haji.

Contohnya, apabila saya mendaftar pada tahun ini iaitu 2010 di Tabung Haji untuk menunaikan haji saya diberitahu tahun saya layak ialah pada tahun 2020, ini anggaran, tetapi kebanyakan jemaah yang daftar tidak menunggu begitu lama, mungkin juga dia mendapat tawaran menunaikan haji pada tahun 2015.

Maksudnya, Tabung Haji sentiasa berusaha memberi keutamaan kepada jemaah yang berdaftar yang belum menunaikan haji.

Namun demikian, orang Islam wajar mengetahui bahawa mengerjakan kefarduan-kefarduan agama itu merupakan perkara pertama yang dituntut ke atas mukalaf terutamanya rukun-rukun agama sebagaimana melakukan ibadat sunat termasuk dalam perkara disukai oleh Allah SWT dan mendekatkan kepada keredaan-Nya.

Isu mengerjakan haji berulang kali pernah mendapat perhatian Ketua Persatuan Ulama Islam Sedunia, Fadhilah Sheikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi yang memberi pendapat berikut:

Pertama: Allah SWT tidak akan menerima ibadah-ibadah sunat selagi tidak ditunaikan ibadah wajib.

Berdasarkan kepada ini, kita lihat setiap orang yang mengerjakan haji atau umrah secara sunat, dalam keadaan begitu mereka agak bakhil mengeluarkan zakat yang difardukan kesemuanya atau sebahagiannya. Dengan itu, haji dan umrah mereka tertolak dan tidak diterima.

Begitu juga orang yang menanggung bebanan hutang dengan peniaga-peniaga dan berhutang dengan orang yang menjual kepadanya sesuatu barangan dengan bayaran bertangguh tetapi tidak membayar pada waktunya ataupun membuat pinjaman kewangan tetapi tidak melangsaikannya.

Oleh itu dia tidak boleh menunaikan haji secara sunat ataupun umrah sebelum membayar hutang-hutangnya.

Kedua: Allah tidak menerima ibadat sunat yang boleh membawa kepada perbuatan haram kerana terselamat daripada dosa melakukan perkara haram didahulukan daripada mendapat pahala melaksanakan ibadat sunat.

Jadi, apabila para jemaah haji yang melaksanakannya secara sunat mengakibatkan sekian ramai orang Islam teraniaya akibat terlalu sesak sehingga berlaku banyak kesulitan, merebaknya penyakit dan sesetengah mereka ada yang tersungkur mati sehingga para jemaah haji terpijak mereka dalam keadaan tidak sedar ataupun mereka sedar tetapi tidak mampu untuk menginjak ke depan atau ke belakang.

Adalah menjadi kewajipan mengurangkan kesesakan selagi ada jalan ke arah itu.

Langkah yang paling utama ke arah mengurangkan kesesakan adalah menghalang mereka yang sudah pun menunaikan haji beberapa kali supaya dapat memberi ruang kepada orang lain yang belum melaksanakannya.

Ketiga: Menolak kemudaratan itu lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan terutamanya apabila kemudaratan bersifat umum sedangkan kemaslahatan tersebut lebih bersifat khusus.

Menjadi kewajipan untuk menghalang kemaslahatan sesetengah individu yang berulang kali melakukan haji yang menyebabkan berlakunya kemudaratan umum kepada puluhan ribu jemaah haji yang mengancam nyawa dan tubuh mereka dan juga membabitkan orang yang melakukan ibadah haji secara sunat.

Oleh hal demikian, adalah menjadi kewajipan menghindari kemudaratan ini dengan cara menghalang perkara-perkara yang boleh membawa kepadanya iaitu kesesakan yang teruk.

Keempat: Sesungguhnya perintah melakukan ibadat sunat yang berkait dengan kebajikan itu luas dan banyak. Allah SWT tidak menyempitkannya untuk hamba-hamba-Nya. Orang-orang mukmin yang melihat (dengan mata hati) itulah orang-orang yang memilih di antara pintu-pintu kebajikan mengikut keadaan yang sewajarnya dan lebih menepati masa dan keadaan dirinya.

Oleh itu, apabila menunaikan haji secara sunat mendatangkan penganiayaan atau mudarat melibatkan sesetengah manusia, maka Allah SWT memberi ruang lain kepada orang Islam agar dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa menganiaya sesiapa.

Contohnya melalui sedekah, membina madrasah, membantu badan-badan dakwah dan sebagainya.

Namun demikian, adalah sukar menghalang orang ramai dari melakukan ibadat haji sunat. Ini kerana mungkin orang yang pernah ke Mekah untuk menunaikan haji dapat merasakan kenikmatan menunaikan ibadah haji.

Sebab ada di antara kawan-kawan saya tiap-tiap tahun menunaikan haji. Kebanyakan jemaah haji Malaysia yang menunaikan ibadah haji bagi kali kedua dan seterusnya pergi melalui pakej-pakej haji melalui agensi pelancongan yang telah ditetapkan dengan kos yang agak mahal berbanding muassasah.

Sebenarnya mereka tidak berniat untuk mengambil peluang orang lain tetapi mereka mampu ke Mekah setiap tahun untuk ibadat haji.

Kebiasaannya, Tabung Haji mengagihkan sejumlah kuota kepada agensi pelancongan untuk mengendalikan ibadat haji.

Dengan demikian mereka akan menyediakan pakej-pakej yang pelbagai harga, terpulang kepada orang ramai untuk memilih pakej yang mereka mampu. Ini tiada kaitan mengambil peluang orang lain. - UM



* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

Khusus untuk wanita: HRT atasi gangguan simptom menopaus..



SETIAP insan yang bergelar wanita pasti akan mengalami proses terhenti pusingan haid atau lebih dikenali sebagai menopaus apabila usia mereka menjangkau 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun pemahaman wanita di Malaysia mengenai kitar biologi normal itu masih cetek dan jauh ketinggalan berbanding di negara luar, membuatkan mereka sentiasa takut menempuhinya.

Lebih teruk, mendengar perkataan menopaus sudah cukup membuatkan kebanyakan wanita tidak senang duduk dan berfikiran negatif untuk melalui detik itu.

Perasaan bimbang, kurang ceria, tiada keyakinan diri, malu, sedih, tidak selesa dan tertekan terus menyelubungi diri seolah-olah menopaus adalah kemuncak segala masalah.

Diakui menopaus mampu menyebabkan pelbagai simptom yang menyumbang kepada masalah kesihatan secara mental dan fizikal yang kronik termasuk kerap kencing, panas, kemerahan wajah, berpeluh dengan banyak, tekanan perasaan, hilang ingatan, peningkatan berat badan dan osteoporosis.

Namun pemahaman tepat secara mendalam mengenai menopaus akan membantu wanita untuk lebih bersedia menempuh saat itu dengan tenang.

Pemahaman itu juga untuk mendidik keluarga, rakan dan syarikat korporat untuk sama-sama menyokong serta membantu mereka yang mengalaminya agar dapat melahirkan masyarakat yang sihat secara mental serta fizikal.

Golongan wanita harus sedar, menopaus boleh dirawat melalui kaedah perubatan moden untuk menangani atau mengurangkan simptom-simptomnya.

Presiden Persatuan Menopaus Malaysia (MMS), Dr. Ho Choon Moy berkata, satu daripada kaedah yang amat berkesan dalam merawat simptom menopaus adalah melalui Rawatan Penggantian Hormon (HRT).

Katanya, HRT merupakan satu sistem rawatan perubatan moden untuk mengatasi gangguan dialami seseorang wanita menopaus yang disebabkan kekurangan hormon estrogen.

Penggantian itu, jelasnya dilakukan dengan cara memasukkan hormon estrogen melalui beberapa kaedah sama ada secara oral, injeksi atau krim vagina.

"Dengan menjalani HRT, seseorang wanita yang mengalami menopaus akan dapat mengatasi gangguan ini bagi jangka masa pendek dan panjang.

"HRT juga menjadikan dinding vagina lebih elastik yang sangat membantu ketika wanita melakukan hubungan seksual.

"Pada masa sama, HRT membantu otot lebih kuat dan lentur yang mana mampu memperbaiki tekstur rambut serta menjadikan kulit lebih halus dan elastik," katanya yang juga Pakar Perunding Obstetriks dan Sakit Puan Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur.

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN



* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

Tahukah anda bahawa memberi kondom percuma yg diedarkan di perkampungan sukan Komanwel sudah menjadi satu tradisi..adakah ini termasuk di Malaysia???


Thousands of condoms clog Games village drains: Reports



Thousands of flushed condoms threaten to choke the Commonwealth Games village’s drainage system, media reports said, in the latest problem to hit the venue from hidden snakes to outbreaks of dengue.

Games organisers, who won a race against time to ready the village, are now battling to clear clogged drains after thousands of non-biodegradeable contraceptives were flushed down toilets in the first week of the event.

“If that is happening, it shows that there is use of condoms and I think that is a very positive story. Athletes are being responsible,” Commonwealth Games Federation President Mike Fennell told a news conference today.

“We all know that encouraging safe sex is a very important thing to do.”

Games organisers had provided 8,000 free condoms in the village, and the provision appears to be in high demand. One official told the Mail Today newspaper today that over 4,000 had already been snapped up by eager athletes.

Shoddy construction work, fears over an outbreak of dengue fever and worries about security had meant many teams delayed their move into the village before the Games began. However, blame for the latest problem lies firmly with the athletes.

Following a decision to provide free condoms at the 1992 Olympics in Barcelona, it has become something of a tradition.

At the Sydney Olympic Games in 2000, athletes quickly used up the 70,000 free condoms provided, forcing organisers to supply another 20,000, while at the 2004 Games in Athens, the provision was doubled to 130,000.

At both the Beijing Games in 2008, and the Vancouver Winter Olympics in February, 100,000 condoms were provided for athletes. – Reuters



* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.

Monday, October 18, 2010

Kisah Kematian Abu Jahal..


ABU Jahal atau namanya yang sebenar adalah Abu Hakam bin Syams. Beliau adalah pemimpin Quraisy yang sangat kuat dalam menentang usaha Rasulullah SAW untuk menyebarkan Islam.

Beliau mendapat gelaran Abu Jahal kerana sikapnya yang jahil dengan kebenaran.

Apabila beliau mendengar bahawa Rasulullah serta umat Islam di Madinah cuba menyekat kafilah Abu Sufian, beliaulah orang yang paling lantang mengapi-apikan permusuhan kaumnya dengan Rasulullah.

Abu Jahal selalu memaki dan memburuk-burukkan Rasulullah di hadapan kaumnya. Beliau sangat sombong dan selalu bercakap besar.

Beliau pernah berkata bahawa, beliau dan pengikut-pengikutnya tidak akan kembali sebelum tiba di Badar.

Mereka akan tinggal di sana selama tiga hari tiga malam, berpesta dengan riang ria sambil memotong kambing dan meminum khamar (arak), serta dihiburkan dengan syair-syair merdu yang dinyanyikan oleh wanita-wanita yang dibawa oleh mereka.

Semasa dalam Perang Badar, beliau dikawal oleh tentera-tentera yang ditugaskan khas untuk mengawalnya.

Abdul al-Rahman bin Auf menceritakan bahawa telah datang kepadanya dua orang pemuda iaitu Muaz bin Amru dan Muawiz bin Afra bertanyakan perihal Abu Jahal. Lalu ditunjukkan kepada mereka kedudukan Abu Jahal.

Berlakulah pertembungan yang sengit antara kedua-dua pemuda itu dengan Abu Jahal. Muaz terus memukul dan memenggal separuh daripada kaki Abu Jahal.

Tiba-tiba anak Abu Jahal telah menetak sebelah tangannya sehingga terkulai, lalu Muaz mengheret tangannya yang tergantung itu dan ditanggalkan terus daripada badannya.

Muaz pun terus mengasak Abu Jahal dengan pedangnya sehingga terhumban jatuh dan hampir menemui ajal. Sementara Muawiz pula terus berperang sehingga gugur sebagai seorang syahid.

Setelah selesai peperangan, Rasulullah memerintahkan orang-orang Islam supaya mencari Abu Jahal. Akhirnya Abdullah bin Mas'ud menjumpai Abu Jahal yang ketika itu masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Abdullah meletakkan kakinya ke atas leher Abu Jahal dan memegang janggut beliau lalu memenggal kepala Abu Jahal dan dibawa ke hadapan Rasulullah.

Lalu baginda pergi ke tempat jasad Abu Jahal yang tersadai itu dan berkata, "Inilah dia Firaun umat ini".

Melihat kepala Abu Jahal itu maka, Rasulullah SAW pun turun dari tunggangan baginda. Rasulullah mengadakan sujud syukur serta memuji kebesaran Allah SWT apabila musuh nombor satu Islam itu akhirnya mati di tangan tentera Islam.

Kematian Abu Jahal bermakna lumpuhnya kepimpinan kaum Musyrikin Quraisy Mekah. Sehingga kini nama Abu Jahal masih disebut-sebut sebagai orang yang menjadi musuh Rasulullah. Begitulah tragisnya kematian Abu Jahal di tangan tentera Muslimin. - UM



* The views expressed here are the personal opinion of the columnist / writer.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...