terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, November 30, 2010

Keluhan seorang remaja 12 tahun..


Baru-baru ini saya berbual dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun. Dia menyatakan kebosanannya berada di rumah sepanjang cuti sekolah.

Menurutnya kawan-kawan yang sebaya dengannya juga menyatakan perkara yang sama. Mereka tidak dapat bertemu semasa cuti sekolah kerana rumah jauh di antara satu sama lain. Jika mahu bertandang sudah tentu memerlukan ibu bapa mereka yang menghantar.

Untuk pergi sendiri tentulah ibu bapa melarang kerana kata mereka "sekarang kat luar tu bahaya bagi budak-budak perempuan, banyak orang jahat.''

Jadi saya bertanya, apa yang dia ingin lakukan masa cuti sekolah. Adakah dia mahu bercuti ke tempat-tempat lain.

Sudah tentu, katanya. Tapi dia faham bahawa kemampuan ibu bapanya untuk membawanya berjalan adalah terhad. Bukan saja dari segi kemampuan kewangan tetapi dari segi mendapat cuti daripada majikan mereka.

Kalau dapat berjalan baguslah, katanya. Dekat-dekat pun tidak mengapa. Tapi apa yang amat diinginkan untuk dilakukan masa cuti ialah membaca buku cerita.

"Membaca buku cerita?" Saya terkejut. Kenapa buku cerita? Tidakkah di rumah sudah ada komputer, laptop, notebook, smartphone dan televisyen yang memiliki saluran untuk kanak-kanak dan remaja? Tidakkah alat-alat teknologi ini jauh lebih menarik untuk kanak-kanak menggunakannya daripada buku cerita?

Tidak, katanya. Dia dan kawan-kawannya walaupun memiliki alat-alat itu di rumah dan sering menggunakannya, tetapi ia cepat menjemukan. Menurutnyalah. Buku cerita lebih menarik.

Ini berita menarik bagi saya. Walaupun dia aktif dalam facebook tapi baginya buku cerita tetap minat paling utama.

Kalau begitu mudah saja. Belilah buku-buku cerita, kata saya. Itu masalahnya, kata dia.

Kedai buku tak banyak. Yang ada jauh-jauh belaka, Untuk pergi ke sana, perlulah ibu bapa mereka yang membawanya. Di kedai buku yang kecil pula, hanya banyak buku ulang kaji sekolah. Untuk pergi ke kedai buku besar, tentulah di pusat-pusat membeli-belah yang jauh-jauh.

Tambahan pula, buku cerita pun bukanlah murah. Ibu bapa hanya dapat membelikan buku-buku cerita sekali sekala. Buku itu dalam masa dua tiga hari habis dibacanya.

Kawan-kawannya yang dari keluarga lebih susah ingin meminjam buku-buku ceritanya. Dia sayang buku-bukunya kerana takut tidak dikembalikan.

Katanya, apabila beri pinjam pada kawan selalunya pasti tidak dikembalikan. Dia bercadang hendak fotostat buku cerita itu dan beri pada kawannya. Tetapi dia kata mahal juga untuk fotostat.

Meminjam

Saya mencadangkan padanya dan kawan-kawan dia, pergilah ke perpustakaan dan meminjam buku.

Katanya, perpustakaan jauh. Untuk ke situ ia perlukan ibu bapa menghantarnya. Lagipun katanya, perpustakaan hanya ada buku cerita lama. Buku-buku baru tidak ada.

Lagipun meminjam buku dari perpustakaan selalu kena denda. Ini kerana untuk ke situ, dia terpaksa bergantung pada ibu bapanya menghantar. Walaupun buku yang dipinjam sudah habis dibaca tetapi bila tidak ada sesiapa menghantarnya, buku itu jadi lewat. Maka kena dendalah. Akhirnya ibu bapanya melarang meminjam buku dari perpustakaan.

Dia juga kata alangkah baik jika sekolah-sekolah ada perpustakaan dan dibuka pada masa cuti sekolah. Ini kerana sekolah tidak jauh dari rumah, berbanding dengan perpustakaan awam.

Saya kata padanya, tidakkah sekolah-sekolah ada perpustakaan? Katanya di sekolah perpustakaan dinamakan pusat sumber. Di dalamnya buku sudah tidak banyak. Yang ada ialah komputer.

Buku-buku yang ada pun buku lama. Buku cerita tidak banyak. Yang ada pun sedikit. Itupun dia dan kawan-kawannya berebut hendak meminjam hingga buku-buku cerita itu menjadi lusuh.

Semasa sekolah pun, tidak ada peluang sangat untuk pergi ke perpustakaan. Waktu rehat pendek. Waktu lepas sekolah dia perlu pergi ke sekolah agama. Pada hari Sabtu pula ada aktiviti kokurikulum.

Lagipun, katanya perpustakaan sekolah jarang-jarang dibuka dan guru-guru tidak begitu menggalakkan murid-murid membaca buku atau menggunakan perpustakaan.

Semasa menjelang cuti sekolah selepas peperiksaan dan tidak ada aktiviti hendak dilakukan, guru-guru hanya menggalakkan murid-murid menghabiskan masa dengan permainan seperti catur dan sebagainya.

Dia bertanya saya mengapa sekolah tidak mampu membeli buku-buku cerita untuk murid-murid sekolah.

Sekolah menghabiskan beribu-ribu ringgit beli komputer yang dikurung dalam sangkar besi kerana takut dicuri tetapi tidak mampu membeli buku cerita yang harganya jauh lebih murah, tanya dia.

Komputer-komputer di sekolah pun jarang digunakan, selalu rosak. Yang ada pun menjadi rebutan. Tetapi katanya dia tidak boleh membaca buku cerita dari komputer. Budak-budak hanya menggunakan komputer untuk bermain game. Memang komputer berguna untuk mendapatkan maklumat tetapi tidak ada buku cerita di dalamnya.

Akhirnya budak-budak hanya menggunakan komputer untuk menonton YouTube, tulis di facebook dan hantar e-mel, katanya.

Dia menceritakan lagi bagaimana semasa guru-guru mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dahulu. Guru-guru dibekalkan dengan alat-alat teknologi. Dari laptop hinggalah kepada paparan skrin yang disambung pada projektor dari komputer.

Menurutnya, seringkali alat-alat itu rosak dan memakan masa waktu belajar. Kini banyak alat-alat itu tersadai.

Kalaulah duit yang banyak itu digunakan untuk beli buku-buku cerita bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, katanya, alangkah baik. - UM

Urusan bank tak lancar walaupun teknologi makin canggih..


TEKAD kelmarin adalah untuk menyelesaikan semua urusan tertunggak. Pertama, mengharungi kesesakan di Jalan Pudu 'mengunjungi' sebuah bank. Tujuan ke situ mahu mendapatkan surat berkaitan pembelian rumah. Selepas berpusing-pusing mencari tempat letak kereta, akhirnya berjaya.

Seorang anak muda gigih memberi 'panduan' cara meletakkan kereta dengan betul. Pakaiannya agak kusam, berjalan pun ala-ala lalok (kata anak muda sekarang) tapi bersungguh-sungguh mengarahkan kereta diletak lurus. Maklumlah, tempat letak kereta berbayar milik persendirian, mahu disumbat sebanyak kereta yang boleh. Maka tidak seinci pun ruang diizinkan kosong. Jalan Pasar Pudu memang agak asing. Lantas perjalanan ke bank berkenaan menjadi kesempatan untuk meninjau kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan. Ada kedai menjual peralatan untuk pusat hiburan. Lampu-lampu ala disko mencuri perhatian. Begitu juga penjual-penjual di kaki lima jalan. Oleh kerana kunjungan ke kawasan itu tatkala matahari pagi masih menyinar, kesibukan di situ masih terasa..Orang ramai berulang-alik membeli barang keperluan. Para peniaga ada yang memunggah barang menjadikan. Jalan Pasar Pudu bukan saja sibuk dengan kegiatan perniagaan, sibuk juga dengan kesesakan lalu-lintas.

Sebaik tiba di bank berkenaan, tujuan ke situ dinyatakan kepada penyambut tetamu yang tersenyum menunggu pelanggan. Dia dengan ramah menunjuk seorang pegawai yang sedang asyik menekan papan kekunci komputer. Kepada pegawai berkenaan terus saja disuarakan matlamat berkunjung ke bank itu. Dia menjawab: ''Kita tak boleh uruskan sebab pegawai yang menguruskan perkara itu bercuti.''

Saya bertanya: ''Berapa lama dia bercuti.'' Jawab lelaki itu: ''Empat hari.'' Termenung sebentar sambil hati berbisik: ''Alahai petanda urusan tak selesai juga.'' Saya bertanya tidak adakah pegawai lain yang boleh uruskan perkara itu. Jawab beliau tiada. Untuk memudahkan urusan pegawai itu mencadangkan supaya saya membuat surat, kemudian faks ke bank berkenaan, dan sekembalinya pegawai tersebut daripada bercuti, permohonan itu akan diuruskan. Selepas tiga hari urusan dijalankan baru saya boleh mendapatkan apa yang dihajati. Maknanya saya perlu menunggu seminggu untuk urusan yang sebenarnya sangat ringkas. Kehampaan, saya meninggalkan bank itu menuju ke bank satu lagi untuk mendapatkan penyata bank. Memikirkan susah nak dapatkan tempat letak kereta, maka saya memilih berjalan walaupun jarak antara bank agak jauh. Matahari semakin tinggi, saya semakin berpeluh. Terasa nyaman sebaik menginjak kaki ke bank kedua. Saya diminta ke kaunter nombor dua. Sampai giliran terus saya ke kaunter menyatakan hasrat. ''Minta maaf puan kami tak boleh cetak penyata bank hari ini sebab offline.'' Saya pantas menjawab: ''Offline seharian?'' Pegawai berkenaan mengangguk: ''Macam ni la puan, puan buat surat faks pada saya, saya akan maklumkan pada pihak berkenaan, esok puan boleh datang ambil penyata bank. Kalau puan nak hantar orang lain datang ambil saya perlukan kad pengenalan dan nama orang itu.'' Sekali lagi saya kehampaan lantas membatalkan hasrat untuk mendapatkan penyata bank. Sambil berjalan ke tempat letak kereta saya berfikir. Dunia tanpa sempadan, tanpa kertas dan teknologi komunikasi yang semakin canggih rupanya masih ada batas. Bukan semua urusan di hujung jari atau boleh disempurnakan dengan sekali tekan butang pada papan kekunci komputer. Alang-alang berada di luar, saya ingin mencuba satu lagi urusan melibatkan produk bank. Saya berhasrat menyempurnakan wang pendahuluan menggunakan kad debit. Sebaik sampai ke destinasi, saya dilayan rapi. Selesai menandatangani surat perjanjian, saya mengeluarkan kad debit kerana tidak berani membawa wang tunai untuk melunaskan pendahuluan. Kad saya dibawa ke pejabat. Tidak sampai dua minit menunggu, gadis manis yang melayan saya tadi keluar dan memberitahu: ''Maaf puan, kad debit ada masalah, puan dikehendaki menelefon bank.'' Sambil menarik nafas panjang, saya terus menghubungi bank berkenaan dan menceritakan apa yang terjadi. Seperti biasa saya diminta memberi nama penuh, nombor kad pengenalan lama, nama ibu, tempat bekerja dan alamat. Semakan dibuat, baki dalam akaun melebihi wang pendahuluan yang dipinta, maknanya tiada masalah di situ. Saya diminta menunggu lagi kerana semakan seterusnya dipanjangkan ke bahagian teknikal. Selepas lebih 10 minit menunggu saya dimaklumkan aduan saya dikategorikan sebagai urgent dan memerlukan sehari dua untuk dikenal pasti apa puncanya. Saya tidak mahu bercakap banyak melangkah longlai ke pejabat kerana waktu bekerja sudah sampai. Sebelah petang saya menerima panggilan telefon dari pegawai bank berkenaan memaklumkan ada masalah teknikal. Saya dicadangkan supaya memindahkan jumlah yang diperlukan ke kad debit bank lain atau mengeluarkan tunai jika mahu menyegerakan pembayaran wang pendahuluan itu. Katanya, kad debit itu hanya boleh digunakan sehari dua lagi. Mungkin saya memulakan langkah keluar rumah dengan kaki kiri atau memang tidak ada rezeki untuk melunaskan tekad saya pada hari yang berkenaan? Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi. - UM

TV: Iklan asing kian berleluasa!


BEBERAPA tahun lalu, (saya tidak ingat tarikh tepatnya), Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat mengeluarkan garis panduan pembikinan iklan untuk siaran televisyen (TV) mestilah hasil produksi tempatan keseluruhannya. Ertinya daripada syarikat pembuat iklan, krew dan pelakon iklan mestilah rakyat negara ini. Lokasi iklan juga mestilah di dalam negara.

Malah mereka yang memiliki wajah Pan-Asian juga tidak dibenarkan muncul dalam iklan-iklan tempatan.

Peraturan ini sememangnya amat bermanfaat dalam membantu syarikat-syarikat iklan dan juga para pelakon tempatan memperoleh sumber rezeki. Selain itu ia memastikan iklan-iklan yang disiarkan memaparkan identiti Malaysia.

Namun setelah beberapa tahun berlalu, lihat sendiri apa yang terjadi. Apakah bentuk iklan yang kita saksikan dipaparkan di kaca-kaca TV sekarang? Banyak iklan yang 100 peratus memaparkan identiti luar, seperti pelakon, lokasi dan lain-lain. Ini juga bermakna 100 peratus unsur tempatan diketepikan.

Iklan di kaca TV kini kebanyakannya lebih bersifat 'antarabangsa'. Ada 'Mat Saleh', ada Jepun, ada Indonesia, ada dari China. Malah bintang Bollywood pun ada.

Kenapa perlu disiarkan iklan syampu yang memaparkan bintang Bollywood misalnya. Tidak adakah pelakon tempatan yang layak muncul dalam iklan berkenaan? Kenapa juga menggunakan pelakon Indonesia untuk iklan syarikat telefon mudah alih? Ini sekadar contoh. Masih banyak yang lain.

Pada saya, apa yang berlaku sekarang seperti undur ke belakang. Peraturan yang dibuat oleh Mohamed Rahmat adalah sesuatu yang baik, tetapi kenapa kini ia diabaikan? Adakah peraturan ini sudah dimansuhkan dan kita ada garis panduan baru?

Kita sudah mengalami lambakan drama Indonesia atau filem Bollywood. Adakah untuk iklan pun, kita masih memberi keutamaan kepada bintang dari Indonesia dan Bollywood?

Jika iklan-iklan berkenaan dihasilkan di negara-negara berkenaan dan disiarkan di sini, maka ia satu lagi percangggahan peraturan sebelum ini yang memerlukan negara ini sebagai lokasi pembikinan filem-filem iklan tempatan.

Harapan saya pihak berkuasa meneliti perkara ini. Kenapa peraturan yang telah dibuat dipermainkan dengan begitu mudah sehingga mengenepikan kepentingan syarikat dan tenaga kerja tempatan?

Kita tidak ketandusan syarikat, krew dan pelakon tempatan yang mampu berganding bahu menghasilkan iklan terbaik dan lebih memenuhi citarasa kita semua sebagai rakyat Malaysia.

Dalam semangat 'Cintai Malaysia' dan 'Belilah Barangan Malaysia', kita perlu kembali kepada peraturan yang telah ditetapkan. Ini kerana pada pandangan saya peraturan yang dibuat oleh Mohamed Rahmat itu tidak lain tidak bukan demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat negara ini, khususnya dalam berkarya. Wajarkah aturan ini diubah?

LELA SATRIA

Kuala Lumpur

Cara nak dakwah kepada free thinker..


SAYA ada seorang kawan yang free thinker tetapi dia selalu menyebut perkataan takdir, akhirat balasan oleh tuhan dan sebagainya.

Dia amat mengambil berat kebajikan ibu bapanya yang sudah tua dan uzur (terbaring sakit kedua-duanya). Ibu bapanya tinggal di Kuala Lumpur manakala beliau bekerja sebagai jurutera di Singapura dan akan pulang dua minggu sekali menjenguk ibu bapanya. Saya terharu mendengar kisah hidupnya yang disifatkannya tidak bahagia.

Apabila saya menyuruhnya bersabar kerana ini cubaan hidup lalu dia mengatakan cubaan apa kalau hampir 30 tahun masih seperti itu keadaannya.

Dia seperti sedang mencari pegangan agama dalam hidupnya. Apakah buku agama yang sesuai dihadiahkan kepadanya untuk berdakwah kerana beliau suka membaca?

Jawapan:

Dalam diri manusia ada sifat-sifat yang terpuji walaupun orang itu free thinker. Sebab berbuat baik ini adalah tuntutan fitrah manusia. Insan yang baik pasti sukakan kebaikan dan benci kepada kerosakan. Lebih-lebih lagi hubungan anak dengan kedua ibu bapa.

Saya percaya apa yang dilakukan oleh kawan saudara adalah kerana perasaan kasih dan rasa bertanggungjawabnya terhadap kedua ibu bapa. Nilai dan budi yang baik adalah daripada hasil pengasuhan yang baik.

Juga apa yang pasti adalah memang menjadi tanggungjawab seorang anak menjaga ibu bapanya di kala mereka telah lanjut usia. Cuma dia yang faham erti tanggungjawab terhadap menjaga ibu bapa belum sampai pertemuannya dengan hidayah Allah SWT.

Ramai yang saya kenal mereka ini baik lagi berakhlak yang baik tetapi tidak beragama Islam. Mungkin mereka ini selesai dengan manusia tapi tak selesai dengan Allah.

Ini kerana akal yang waras seharusnya digembleng dalam mencari pencipta yang sebenarnya. Orang yang sebegini adalah orang yang benar-benar mempunyai harapan untuk menerima kebenaran.

Ini kerana kehalusan hatinya boleh membawa dia ke jalan yang lebih terang dengan menuju hidayah Allah SWT. Nah, kini tanggungjawab saudara adalah memberi contoh yang baik serta mengajak dia berdiskusi mengenai keindahan Islam. Serta berikan dia buku-buku bacaan yang bersesuaian dengan dia dalam mengenal Islam.

Banyakkan doa mohon Allah berikan dia petunjuk ke jalan Islam. Hidayah ini hak Allah SWT, Dialah yang berhak memberikannya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)

Allah sahaja yang mengetahui siapakah di antara hambanya yang mendapat hidayah. Orang yang mendapat hidayah adalah orang yang dipilih Allah bagi menikmati keindahan dan kehebatan agama Islam.

Alangkah hebatnya kalau kawan saudara mendapat hidayah, dengan ciri dan nilai budi indah yang dimilikinya itu dengan Islam menjadi pegangannya pastinya menjadi insan yang dikasihi Allah SWT.

Secara peribadi ustaz doakan Allah membuka pintu hatinya menerima Islam, begitu juga dengan yang lain. Hidayah Allah sangat besar nilainya, hanya yang pernah mengalami sahaja yang dapat merasakan keunikan dan kemanisannya.

Bagi mendapatkan bahan-bahan bacaan yang boleh membantu dia memahami Islam boleh di dapati ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Di sana memang ada banyak bahan-bahan bacaan yang boleh membantu orang yang sedang mencari jalan agama. Dalam masa yang sama belikan juga buku-buku yang mengisahkan pengislaman seseorang, dan belikan juga terjemahan al-quran yang hanya terjemahan tanpa teks ayat-ayat al-Quran.

Soalan 2:

Bagaimana pula nak mengajar saudara baru solat kerana dia masih belum mampu menghafal surah al-Fatihah?

Jawapan:

Membaca surah al-Fatihah adalah rukun dalam solat, solat seseorang tidak akan diterima sekiranya tidak dibaca fatihah pada setiap rakaat.

Dalam masalah yang diajukan mengenai saudara baru yang masih belum menghafal fatihah hendaklah solat mengikut orang dengan berjemaah.

Pada masa yang sama berusaha menghafal surah al-Fatihah. Pengalaman saya mengajar saudara baru menghafal fatihah tidak lebih dari tiga hari mereka sudah menghafalnya.

Buat permulaan asal boleh baca dulu, biarpun ada sedikit sebanyak kesalahan yang perlu diperbaiki. Kalau nak tunggu betul-betul sempurna mungkin makan masa.

Dalam pada itu sekiranya ada salah dan silap dalam hafalan fatihahnya adalah dimaafkan kerana dia masih baru dalam Islam dan dalam proses belajar.

Monday, November 29, 2010

Hospital swasta kenakan caj tersembunyi!


SEJAK akhir-akhir ini timbul isu mengenai kos rawatan hospital swasta yang terlalu tinggi sehingga memaksa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan untuk mengkajinya.

Kadar caj yang tinggi di hospital atau klinik swasta memang tidak boleh dinafikan kerana premis terbabit menyediakan perkhidmatan lebih pantas berbanding hospital kerajaan.

Namun apa yang mengecewakan ada hospital atau klinik swasta yang mengenakan caj yang mahal sedangkan perkhidmatan yang diberikan tidak jauh bezanya dengan hospital atau klinik kerajaan.

Tidak mengapalah jika hospital atau klinik kerajaan tidak mampu menawarkan perkhidmatan yang pantas kepada pelanggannya kerana caj yang dikenakan terlalu murah.

Isu yang sedang bermain pada masa kini sedikit sebanyak ada kena mengena dengan apa yang dialami oleh saya baru-baru ini.

Kelmarin, saya ke sebuah hospital swasta terkemuka di bandar ini untuk mengambil ubat anak yang mengalami batuk dan selesema ringan.

Saya pergi ke hospital itu kerana ia merupakan panel kepada syarikat tempat saya bekerja.

Saya tidak bercadang untuk bertemu doktor untuk mendapat khidmat nasihat, sebaliknya hanya mahu mengambil ubat daripada farmasi di hospital itu memandangkan penyakit batuk dan selesema yang dialami anak saya tidak begitu serius.

Setiba di kaunter pendaftaran di hospital berkenaan, seorang staf meminta saya mendaftarkan nama anak kerana dia belum didaftarkan sebelum ini.

Selepas itu, saya diarah menunggu di unit kecemasan sementara menantikan nama anak saya dimasukkan ke dalam fail komputer.

Selepas setengah jam, seorang lagi staf hospital itu bertanyakan sama ada saya mahu mengambil terus ubat di farmasi atau berjumpa doktor terlebih dahulu.

Menurut staf tersebut, jika mahu berjumpa doktor mungkin mengambil masa yang agak lama kerana doktor bertugas sedang merawat pesakit yang dalam kecemasan.

Memikirkan untuk bertemu doktor mungkin mengambil masa yang terlalu lama, saya membuat keputusan untuk terus mengambil ubat.

Selepas mengambil ubat yang diperlukan, saya meminta salinan resit pembayaran daripada pihak farmasi hospital.

Kos keseluruhan yang dikenakan oleh hospital itu ialah sebanyak RM51.

Selepas menyemak resit tersebut, saya terkejut kerana pihak hospital mengenakan caj khidmat nasihat doktor sebanyak RM15 bersama kos dua jenis ubat sebanyak RM21 dan caj pendaftaran RM5.

Saya terus ke unit farmasi itu dengan mengatakan bahawa saya tidak bertemu doktor dan tidak sepatutnya caj itu dikenakan kepada syarikat saya.

Bagaimanapun dengan tersenyum petugas di farmasi itu memberitahu, ia memang polisi hospital berkenaan yang mengenakan caj khidmat nasihat walaupun pesakit tidak bertemu doktor.

Itu sebab dia bertanyakan kepada saya sama ada mahu berjumpa doktor atau sebaliknya sebelum itu.

Polisi itu jelas petugas itu lagi, hanya dikenakan kepada pesakit yang dibayar oleh syarikat panel.

Menurutnya, jika pesakit itu datang ke hospital dengan membayar sendiri, mungkin caj itu tidak dikenakan.

Selepas mendengar penjelasan itu, saya pulang dengan penuh tanda tanya dengan senario itu yang saya anggap sebagai pengambilan untung secara berlebihan daripada pelanggan.

Tidak hairanlah sesebuah hospital swasta mampu meraih untung berkali ganda dengan cara sedemikian.

Bayangkan jika ada 100 pelanggan seperti saya yang datang ke hospital itu pada hari tersebut, ini bermakna, pihak hospital terbabit mampu meraih keuntungan bersih RM1,500 sehari.

Itu baru bab caj khidmat nasihat doktor. Belum yang lain-lain lagi.

Itulah sebabnya banyak hospital atau klinik swasta mampu hidup hanya dengan mengambil syarikat-syarikat panel sebagai pelanggannya kerana banyak caj tersembunyi boleh dikenakan terhadap panelnya.

Sehubungan itu, saya merasakan pihak yang berwajib perlu menyiasat perkara seumpama ini bagi memastikan tiada caj tersembunyi dikenakan terhadap pelanggannya.

ANIZA, Kuantan

Tiada lagi surat sokongan untuk guru nak mohon bertukar..


Guru-guru yang memohon untuk bertukar mengajar di sekolah lain perlu melalui proses pertukaran biasa tanpa menggunakan surat sokongan individu tertentu seperti ahli politik.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, guru-guru perlu mematuhi syarat-syarat pertukaran yang telah ditetapkan seperti sudah berkhidmat selama lima tahun di sesebuah lokasi.

Katanya, faktor kekosongan bagi mata pelajaran penting seperti Bahasa Inggeris akan diberikan keutamaan dan bukannya mengikut kehendak seseorang guru.

''Tidak semua permohonan dianggap berjaya kerana pertimbangan kementerian berdasarkan kriteria ditetapkan dan disokong oleh jawatankuasa yang telah dilantik.

''Jawatankuasa tersebut yang akan membuat pertimbangan berdasarkan keperluan sekolah bagi menguruskan penempatan guru," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebagai contoh, katanya, jika di Kelantan sudah mempunyai guru agama mencukupi, maka sudah tentu permohonan mereka terpaksa ditolak tetapi jika guru Bahasa Inggeris yang memohon, ia akan diterima.

Beliau mengulas surat pekeliling daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang memberikan garis panduan berhubung tindakan ke atas surat sokongan yang diterima daripada pemimpin kerajaan, individu berpengaruh atau mana-mana orang mengenai sesuatu urusan kerajaan.

Abdul Ghafar berkata, guru-guru yang mahu memohon pertukaran penempatan ke sekolah baru perlu mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara itu kerana ia terpakai untuk semua kakitangan awam.

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

Sebab ramai sangat dok komplen! Ini Penjelasan TH mengenai kuota haji..


SAYA merujuk kepada tulisan bertajuk Ubah sistem kuota haji tulisan Noorsyazwan Nazri, Padang Rengas, Perak yang tersiar di ruangan ini pada 4 November 2010.

Lembaga Tabung Haji (TH) menghargai pandangan dan cadangan pengirim mengenai ubah sistem kuota haji bagi membolehkan jemaah berulang beri laluan kepada jemaah sulung ke Mekah.

Pertama, perlu dijelaskan bahawa TH tidak ada merujuk mana-mana satu sistem pengurusan hajinya sebagai sistem kuota. Apa yang ada ialah 'Sistem Pendaftaran Haji Terbuka'. Di bawah sistem ini, umat Islam Malaysia digalak merancang dan mendaftar lebih awal untuk pemergian haji mereka dan tidak hanya mendaftar pada tahun semasa atau menghampiri musim haji dengan harapan agar dapat terpilih pergi haji dalam tahun semasa.

Di bawah sistem ini, mereka yang mendaftar lebih awal mendapat peluang pergi haji lebih awal atau dengan kata lain, yang mendaftar dahulu didahulukan.

Oleh kerana keupayaan pergi haji kini dihadkan oleh kuota haji yang telah disepakati oleh semua negara OIC sejak 1987, maka jumlah pendaftaran haji juga telah disusun mengikut jumlah kuota umat Islam Malaysia iaitu 26,000 orang bagi setiap tahun berdasarkan nisbah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara. (Permohonan telah dikemukakan kepada kerajaan Arab Saudi supaya meningkatkan kuota Malaysia kepada 28,000 berdasarkan jumlah penduduk yang kini berjumlah 28 juta orang).

Kini susunan 26,000 orang setiap tahun telah pun siap dibuat untuk 23 tahun ke hadapan berdasarkan jumlah pendaftaran yang diterima dan berpandukan prinsip yang mendaftar dahulu didahulukan.

Berkenaan larangan pergi haji melebihi sekali, mulai tahun 2010 ini TH telah menguatkuasakan larangan mendaftar haji kepada mereka yang baru balik dari menunaikan fardu haji. Sebagai contoh, mereka yang telah pergi haji pada tahun lepas (1430H) tidak boleh membuat pendaftaran baru kecuali selepas tempoh lima tahun.

Larangan ini adalah sebagai langkah tambahan kepada panduan sedia ada iaitu tidak akan memilih mereka yang telah pergi haji dalam tempoh lima tahun (bagi mereka yang telah mendaftar sebelum 1431H).

Namun demikian, terdapat sejumlah kecil yang diberi kelonggaran khususnya yang berkaitan dengan keadaan berikut:

n Kerana mengiringi mahram yang terpilih pada tahun semasa.

n Kerana mengiringi warga tua yang diberi keutamaan pada tahun semasa (berdasarkan garis usia tertentu yang diputuskan untuk tahun berkenaan).

n Kerana bertugas di bawah Rombongan Haji TH dan syarikat yang dilesenkan (pengelola jemaah haji).

Sekiranya mereka terpilih di bawah salah satu kategori ini, TH tidak dapat menghalang mereka mengikuti kaedah asas muassasah oleh kerana mahram atau jemaah yang mereka iringi hanya mampu untuk mengikut kaedah asas muassasah.

ABDUL RASHID HUSSEIN

Pengurus Besar Hal Ehwal Awam

Lembaga Tabung Haji

Sunday, November 28, 2010

Suami hanyut kerana ayat2 cinta..


WALAUPUN saya sudah berkahwin lebih 20 tahun, tetapi hingga kini saya masih tak faham perangai orang lelaki terutama suami saya. Dari muda hinggalah tua dekat nak bersara ni masih suka layan ayat-ayat cinta berasmaradana.

“Masa muda gila dok bercinta dengan kawan-kawan sepejabat, bila dah tua langkah semakin jauh, dok main SMS dan catting asmara entah dengan siapa-siapa. Semua dia layan.” Demikian cerita Norsara dalam e-melnya.

“Bab tangkap dia tengah layan SMS dah banyak kali, masa muda lagi teruk, sanggup ambil cuti bawa kekasih makan angin hingga ke Melaka, Kuantan dan ke Ipoh. Kalau di PD tak usah nak cakaplah. Banyak kali. Bila kita suruh dia ambil cuti masa raya atau cuti tahun memanjang cuti dah habis.

“Sejak muda lagi, ketika kami berusia 30-an anak baru dua orang saya dah beri kata dua kepada suami saya, Zabry kalau teringin sangat nak kahwin lagi, saya tak akan sekat saya izinkan. Tapi dengan syarat ceraikan saya, sebab saya tak mahu banyak tanggung dosa bergaduh dengan suami atau dengan madu. Sebab saya tak boleh kawal perasaan saya, jadi daripada buat dosa lebih baik berpisah cara baik.

“Tapi dia mati-mati menafikan tak akan kahwin lain, dia saja suka berkawan. Kawan apa? Kalau bawa kekasih pergi bercuti. Saya tak mahu tanggung dosa dia buat maksiat. Dia nafikan juga, katanya dia tahu dosa pahala takkan nak rosakkan anak dara orang atau isteri orang. Kalau bukan muhrim buat apa berdua-duaan ke hulu ke hilir? Itukan berdosa namanya. Sekali rahsia terbongkar setahun dia baik, lepas itu bila kita terlupa dia buat hal lagi hinggalah kawan-kawan beritahu aktivitinya.

“Terbaru, dua tahun lepas dia berasmara dengan seorang wanita, fikirkan anak dara rupanya isteri orang. Bila terbongkar dia mati-mati menafikan. Saya tak larang kalau dia nak kahwin lagi, sebab saya tak mahu dia buat dosa. Tapi dia nafikan.

“Kerana dah lama hidup dengan Zabry saya dah masak dengan perubahan kelakuannya kalau tengah bercinta, khayal memanjang, telefon tak lepas di tangan, tapi sepandai-pandai tupai melompat jatuh juga ke tanah. Bila rahsia terbongkar, saya telefon wanita tersebut, terus terang saya katakan saya dah meluat dengan Zabry, saya suka kalau dia cepat kahwin dengan Zabry, jadi suruhlah Zabry masuk meminang.

Perempuan

“Terkejut perempuan tu, katanya dia hanya berkawan saja, tak ada niat nak kahwin. Kalau tak ada niat apa pasal SMS kata, ‘‘I rindu, I sayang kat u! , I miss u!, I tak boleh tidur tanpa u!’’ Itu maknanya hubungan anda dah erat jadi eloklah cepat-cepat kahwin. Tapi dia kata baru kenal enam bulan takkan nak kahwin. Lebih terperanjat bila diberitahu dia isteri orang, dia selalu hubungi Zabry kerana nak minta nasihat.

“Saya katakan minta nasihat pasal masalah rumah tangga jangan cari orang lelaki, lebih besar masalahnya, kan lebih baik rujuk pejabat agama, kepada ibu bapa mungkin mereka boleh tolong. Zabry hanya pandai mengayat cinta, buat perempuan jatuh cinta dan menyembah ke kakinya.

“Katanya, suaminya keras kepala dan ada kekasih lain. Nasihat siapa pun dia tak terima. Saya suruh dia bincang baik-baik minta cerai dengan suami lepas idah kahwin dengan Zabry, habis masalah. Katanya suaminya tak mahu ceraikan dia. Kenapa tak minta fasakh, bukan minta nasihat pada Zabry, dia bukan penyelesai masalah, tetapi menambah masalah. Dan dia suka ambil kesempatan atas masalah wanita. Ini bukan kali pertama dah banyak kali.

“Selepas tahu masalah wanita tersebut, saya bincang dengan Zabry, kalau dia kasihankan wanita tersebut, kahwinlah, mungkin hidupnya lebih aman. Tapi macam biasa Zabry memang tak mahu kahwin. Katanya dia cuma berkawan sahaja. Saja suka-suka. Tapi sampai bila?

“Saya nasihatkan Zabry, jangan suka mainkan hati wanita, kita ada anak perempuan yang dah remaja, apa perasaan kita kalau hati anak kita dipermainkan oleh lelaki lain dan dianiaya satu hari nanti. Ingatlah pembalasan Allah. Saya tak mau anak saya menderita oleh kerana perbuatan ayahnya. Tapi Zabry buat pekak.

“Kerana tak tahan dengan perangainya, saya buat pengaduan ke mahkamah syariah. Saya mahu dia dinasihati. Tapi Zabry buat pekak telinga dan buta hati. Sekali pun dia tak pernah pergi. Dia anggap saya main-main. Hinggalah saya minta fasakh dan pindah tidur berasingan. Baru dia tahu saya serius.

“Peristiwa itu berlaku awal tahun lepas hingga kini dah setahun berlalu, memang nampak ada perubahan, tapi tak tahulah untuk sementara atau Zabry dah insaf. Dia mengaku cuma suka-suka, tak pernah serius dengan wanita-wanita tersebut. Dan tidak akan ceraikan saya sebab dia takut hari tuanya nanti dia menderita.

Dia tak mahu kahwin pada usia dah nak bersara, tak ada penyakit nak cari penyakit, tak ada beban kayu digalas. Kini dia nampak dah berubah, tapi tak tahulah setahun dua lagi. Namun perasaan sayang saya padanya dah tinggal 30 peratus. Kalau dia buat hal lagi, saya akan ucapkan padanya sayonara!”

Demikian cerita Norsarah panjang lebar. Katanya, buat apa sayang pada suami yang kita dah pasti dia tak sayangkan kita, lebih baik hidup sendiri lebih tenang. - UM

Saturday, November 27, 2010

Pandai2lah rancang perbelanjaan anda!! Inflasi naik 2% pada Oktober


Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober tahun ini naik dua peratus kepada 114.7 daripada 112.5 pada bulan yang sama tahun lepas.

Berbanding dengan bulan sebelumnya, IHP naik sebanyak 0.3 peratus.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober, IHP meningkat 1.7 peratus kepada 113.8 dibandingkan dengan 111.9 pada tempoh yang sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Jabatan berkenaan, kenaikan sebanyak 1.7 peratus dalam IHP disebabkan oleh peningkatan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks pakaian dan kasut serta komunikasi yang masing-masing susut 1.4 peratus dan 0.2 peratus.

Kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks makanan dan minuman bukan alkohol (2.3 peratus), pengangkutan (1.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0 peratus).

Peningkatan lain ialah indeks minuman alkohol dan tembakau (3.4 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan dan restoran dan hotel masing-masing sebanyak 1.9 peratus, kesihatan dan pendidikan masing-masing sebanyak 1.7 peratus, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.6 peratus). - UM

Friday, November 26, 2010

Perlukah tutup sekolah teknik?


BARU-BARU ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan satu perubahan besar terhadap dasar pelajaran teknik dan vokasional yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bertujuan memperkasakan lagi pendidikan teknik dan vokasional.

Pengeluaran pelajar yang mempunyai kemahiran dalam bidang vokasional akan ditingkatkan lagi daripada 10 peratus kepada 20 peratus pada masa akan datang. Ini merupakan satu perkembangan yang baik, dan saya selaku rakyat Malaysia menyokong penuh dasar ini, terutamanya dalam usaha negara kita mencapai Wawasan 2020.

Selaku bekas seorang penuntut Sekolah Menengah Teknik (SMT), apa yang menjadi kemusykilan saya ialah cara dasar ini dilaksanakan. Ia kelihatan begitu tergesa-gesa tanpa membuat kajian yang lebih mendalam, tanpa mendapat pandangan pelbagai pihak yang lebih arif dalam bidang ini.

Kita telah mempunyai pengalaman dalam dasar Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Kerugian yang besar telah dialami oleh rakyat di atas perlaksanaan satu dasar yang tergesa-gesa tanpa kajian yang menyeluruh dan mengambil kira pendapat pelbagai pihak.

Mengikut perancangan yang akan dilaksanakan, semua sekolah vokasional akan dinaik taraf, manakala semua sekolah teknik, termasuk sembilan buah sekolah teknik yang asal, akan ditukar menjadi kolej teknikal. Pelajar akan diambil daripada lepasan tingkatan tiga dan mengikuti pengajian selama tiga tahun dalam sesuatu bidang kemahiran. Pelajar yang dipilih pula terdiri daripada mereka yang tidak berkemampuan dalam bidang akademik, jadi mereka lebih banyak didedahkan dalam bidang kemahiran tertentu.

Saya merasa amat terkilan sekiranya perancangan ini menjadi satu kenyataan. Penutupan SMT yang telah begitu banyak melahirkan jurutera, arkitek, akauntan, doktor sejak tahun 70-an hingga sekarang adalah sesuatu yang merugikan negara.

Kalau dahulu ibu bapa amat berbangga sekiranya anak mereka terpilih untuk memasuki SMT kerana prestasinya yang amat baik selepas sekolah berasrama penuh, kini tidak lagi. Sumbangan yang begitu besar diberikan oleh SMT kepada kemajuan negara telah dilupakan, malah penutupannya merupakan sesuatu yang begitu tragis kepada kami.

Mengapa pihak Kementerian Pelajaran perlu menutup sekolah teknik? Sepatutnya ia perlu dinaik taraf dan ditambah. Apakah pihak kementerian tidak melihat sumbangan yang telah diberikannya kepada kemajuan negara?

SMT telah berjaya melahirkan begitu ramai profesional, terutamanya jurutera, kerana sistem pelajaran yang disediakan di sana adalah amat sesuai untuk mendedahkan pelajar dalam bidang kejuruteraan berbanding sekolah menengah biasa dan sekolah vokasional.

Di SMT, pelajar diajar tentang asas kejuruteraan di mana sukatannya hampir sama dengan apa yang bakal dipelajari pada peringkat universiti. Ini secara tidak langsung menyediakan minda mereka dan memupuk minat mereka dengan lebih mendalam dalam sesuatu bidang kejuruteraan, pertanian dan perdagangan.

Apa yang mendukacitakan, sejak kebelakangan ini status dan sumbangan SMT telah mula dilupakan bukan sahaja oleh masyarakat malahan pihak Kementerian Pelajaran sendiri. Ini mungkin disebabkan perubahan sistem pelajaran kita di mana selepas pelajar tamat pengajian di peringkat matrikulasi, mereka telah ditawarkan bidang pengajian yang jauh menyimpang daripada apa yang dipelajari semasa di SMT.

Contohnya, pada peringkat sekolah teknik, mereka mengambil jurusan mekanikal, tetapi selepas tamat matrikulasi dan melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mereka ditawarkan bidang perniagaan pula. Bukankah ini merupakan pembaziran yang amat besar dan merugikan pelajar kita? Potensi dan bakat mereka seolah-olah tidak diambil kira oleh pihak IPTA. Apa gunanya mereka membuang masa mempelajari bidang kejuruteraan di peringkat sekolah, sedangkan hak mereka dinafikan selepas memasuki IPTA?

Faktor inilah yang membuatkan ibu bapa semakin kurang berminat memasukkan anak mereka ke SMT kerana untuk menjadi jurutera, pelajar sekolah biasa pun boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. Tiada apa-apa keistimewaan bagi mereka yang memasuki SMT.

Harapan kami sebagai alumni SMT, Kementerian Pelajaran mengkaji semula kesan perubahan yang akan dilaksanakan. Perkasakanlah semua SMT, jadikanlah ia sebagai sebuah sekolah elit seperti sekolah berasrama penuh supaya kita dapat melatih bakal tenaga kerja profesional pada peringkat sekolah lagi.

Janganlah kita hanya mengejar untuk melahirkan pekerja berkemahiran semata-mata dengan memfokuskan sekolah vokasional, tetapi menutup sekolah teknik. Buatlah kerjasama dengan IPTA di mana pelajar cemerlang dapat meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan tertentu tanpa perlu memasuki kolej matrikulasi seperti yang dilakukan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada suatu masa dulu.

Ini kerana lepasan SMT sememangnya telah didedahkan dengan ilmu kejuruteraan. Mengapa mereka perlu membuang masa untuk ke kolej matrikulasi. Dengan cara ini saya percaya imej SMT akan dapat dikembalikan dan minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah ini akan bertambah.

Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil perhatian serius mengenai perkara ini supaya negara kita tidak hanya mempunyai bilangan pekerja mahir yang tinggi, tetapi juga jurutera yang mencukupi menjelang 2020.

ROMLI ABU SEMAN

Alor Setar, Kedah.

Pantau bengkel-bengkel kereta tipu pelanggan!!


BARU-BARU ini saya telah menghantar kenderaan di sebuah bengkel kereta di Desa Pandan, Kuala Lumpur untuk memperbaiki beberapa kerosakan yang kerap berlaku kebelakangan ini. Dua bulan lepas, saya ada membaiki kereta saya di Taman Nirwana, Ampang tetapi pada hari tersebut bengkel di Taman Nirwana tutup lalu saya menghantar kereta ke Desa Pandan.

Dengan mengambil masa yang agak singkat, pekerja bengkel tersebut terus menyatakan kerosakan yang dialami. Yang memeranjatkan saya ialah kerosakan itu adalah yang sama dengan yang telah saya baiki di bengkel Taman Nirwana sebelum ini.

Ditambah lagi dengan beberapa kerosakan yang saya rasa boleh dibaiki namun pekerja tersebut terus mencadangkan untuk ditukar. Katanya lebih senang tukar daripada dibaiki kerana takut rosak semula.

Apabila ditanyakan harganya, saya sekali lagi terperanjat kerana ia lebih mahal hampir 30 peratus daripada bengkel di Taman Nirwana sedangkan produk dan barang yang hendak ditukar adalah sama jenamanya.

Yang menjadi persoalan saya, apakah bengkel membaiki kereta di Taman Nirwana telah memasang dan memberikan produk yang bukan asli pada harga yang murah ataupun bengkel di Desa Pandan memberikan harga yang tinggi kepada produk yang sama?

Tujuan saya lontarkan pandangan ini ialah kenapa saya masih lagi tertipu dengan bengkel-bengkel membaiki kereta? Malah, kerap sangat tertipu dengan bayaran perkhidmatan yang dikenakan, yang kadang kala tidak munasabah harganya namun ia masih dibayar kerana saya harus menggunakan kenderaan tersebut untuk bekerja.

Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang ditipu oleh 'peniaga terhormat' ini, mungkin ramai lagi pengguna yang kurang pengetahuan mengenai pembaikan kereta, ditipu ketika berurusan dengan bengkel kereta ini terutamanya di sekitar Kuala Lumpur.

Kerajaan harus berbuat sesuatu dan bertindak segera dalam menjaga kepentingan dan hak-hak rakyat serta pengguna kenderaan daripada terus ditipu oleh peniaga-peniaga yang tidak berhati perut.

Bagaimana kerajaan hendak memastikan kereta di jalan raya berada dalam keadaan baik agar ia dapat mengurangkan kemalangan jika masih terdapat bengkel-bengkel membaiki kenderaan yang mengenakan bayaran yang terlampau tinggi dengan kualiti barangan yang belum tentu terjamin ketahanannya.

Malah, saya tidak hairan jika berlaku kemalangan secara tiba-tiba, mungkin kerana enjin ataupun brek kenderaan tidak berfungsi dengan baik. Bagi pemandu yang mahir sekalipun pasti akan panik, bagaimana pula dengan pemandu yang kurang mahir atau tidak bersedia untuk menghadapi kemalangan?

Jika kemalangan itu berlaku atas sifat kesilapan mekanik kereta dan kebetulan mangsa cuma mengalami kecederaan kecil, maka bolehlah dia mengadu atau membuat pemeriksaan teliti terhadap keadaan kenderaannya. Pemandu atau pemilik kenderaan itu juga boleh membuat aduan mengenai kesilapan manusia yang tidak membaiki atau membekalkan alat ganti yang tidak berfungsi dengan baik.

Bagaimana pula jika mangsa kemalangan tersebut meninggal dunia? Tidak siapa tahu punca kemalangan itu boleh berlaku walaupun sebab-sebab kemalangan tersebut mungkin kerana kelalaian pembekal alat ganti kenderaan yang tidak menghantar produk atau jenama yang tahan lasak atau kesilapan mekanik yang tidak memasang semula eksesori kenderaan dengan betul.

Oleh itu, siapakah yang hendak pastikan setiap pengguna kenderaan ini dibela?

Kebelakangan ini, sering kali kita terbaca mengenai kes-kes kemalangan yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa, yang berpunca daripada pemasangan alat ganti yang tidak berkualiti dan tidak tahan lama sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Berapa banyak lagikah kemalangan yang harus berlaku yang tidak ketahuan puncanya (selain dari kesilapan sendiri atau berlumba) yang akan mengakibatkan kerajaan kerugian berjuta ringgit dan keluarga yang kehilangan tempat bergantung, ibu bapa yang kehilangan anaknya ?

Apakah tindakan kerajaan, selain memberi 'kempen kesedaran,' membuat pelbagai sekatan jalan raya namun jumlah kemalangan masih juga tinggi?

Apakah kerajaan hendak nafikan bahawa punca-punca kemalangan adalah daripada kesilapan bengkel-bengkel kereta yang tidak bertanggungjawab dan hanya mencari keuntungan semata-mata?

Bertindaklah sekarang sebelum nyawa kita melayang 'kerana' sikap tidak bertanggungjawab bengkel-bengkel kereta ini.

Ghazali Simpol,

Kuala Lumpur.

Kerajaan wajar rancang program hadapi krisis makanan mulai sekarang..


STATISTIK terbaru Bank Dunia menunjukkan berlaku kenaikan ketara harga barang makanan global antara 80 hingga 90 peratus sejak 1995. Kadar ini dijangka terus meningkat hingga 2030 tetapi sukar diramal peratusan kenaikannya. Pastinya unjuran ini cukup membimbangkan kita. Mahu atau tidak, negara kita perlu menempuh realiti ini dengan membuat persediaan mencukupi. Amaran Bank Dunia ini perlu diberikan perhatian serius dan harus menjadi isyarat kepada semua pihak, termasuk kerajaan supaya membuat perancangan mulai sekarang bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kita menyambut baik gesaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, kelmarin supaya kerajaan membuat persediaan rapi dan strategik bagi menghadapi kemungkinan berlaku krisis bekalan makanan dunia pada 2030. Keprihatinan beliau membuktikan kerajaan sentiasa bersiap sedia menghadapi keadaan itu. Antara langkah yang dilaksanakan ialah kerajaan membelanjakan RM4 bilion membiayai program penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) bagi meningkatkan jaminan bekalan dan keselamatan bahan makanan di negara ini. Malah, Ongkili mengakui kementeriannya sendiri membelanjakan RM2.7 bilion sebagai persediaan menghadapi krisis bekalan makanan pada tempoh berkenaan untuk menjayakan program R&D, tanaman komersial berasaskan bioteknologi, 18 projek di bawah Dana Tekno, 305 projek di bawah Dana Sains dan lima projek di bawah Dana Inovasi. Pembabitan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan sektor swasta amat diperlukan dalam menyokong program ini, terutama meningkatkan nilai tambah sektor pertanian bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Ketika ini penduduk dunia berjumlah hampir tujuh bilion dan daripada jumlah itu, kira-kira 27 juta adalah penduduk Malaysia. Dengan jangkaan keperluan makanan semakin meningkat dengan jumlah sumber semakin meruncing, penduduk dunia pada 2025 dianggar lapan bilion dan akan mencecah 9.4 bilion pada 2050. Pertambahan penduduk bermakna dunia memerlukan jumlah makanan yang lebih banyak dan pastinya timbul krisis kemanusiaan jika bekalan tidak mencukupi. Dengan unjuran rakyat negara ini pada 2060 berjumlah 70 juta, timbul persoalan berhubung kemampuan Malaysia menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk rakyatnya. Seiring pengenalan lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) sebagai pelengkap Model Baru Ekonomi (MBE) oleh kerajaan bagi memacu Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi pada 6 September lalu, sewajarnya kerajaan menimbang untuk menubuhkan makmal khas melaksanakan transformasi pertanian nasional dalam usaha memenuhi keperluan makanan untuk tempoh 2020 dan tahun berikutnya. Ini adalah tugas berat kerajaan yang memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, khususnya sektor swasta bagi menggerakkannya. Serentak itu, perancangan, kaedah, teknologi dan pelaksanaan program pertanian berskala besar mesti dikaji semula. Malah, dasar baru pertanian komoditi dan makanan perlu digubal bagi menggariskan tindakan atau program segera membangunkan sektor itu bagi memenuhi keperluan masa depan negara. Dasar ini mesti memasukkan pelan penyelesaian jangka panjang, termasuk mengatasi ancaman semula jadi atau bencana yang menjejas atau memusnahkan hasil pertanian termasuk tanaman padi yang menjadi sumber utama makanan. - BH

Thursday, November 25, 2010

Penunggang motosikal tidak berpeluang sertai peraduan anjuran stesen minyak..ini tak adil!!


SAYA ingin menarik perhatian berhubung stesen-stesen minyak yang membuat beberapa pertandingan, promosi dan cabutan bertuah untuk mendapat lebih ramai pelanggan mengunakan jenama minyak mereka.

Rata-rata pertandingan, cabutan bertuah dan promosi yang mereka buat itu hanya berfokus kepada yang memiliki kereta. Misalnya, untuk memenangi hadiah seperti kereta mewah atau wang ratusan ribu ringgit, pelanggan-pelanggan harus mengisi minyak tidak kurang daripada RM30 dengan sekali pembelian untuk melayakkannya mengambil bahagian dalam pertandingan.

Saya, salah seorang penunggang motosikal daripada sejumlah tiga juta motosikal yang menggunakan jalan raya, tidak dapat mengambil bahagian kerana motosikal kami hanya mampu diisi minyak maksimum RM15 sahaja.

Kami juga memerlukan minyak, minyak enjin selain membeli makanan dan minuman daripada stesen-stesen minyak ini. Kenapa kami diketepikan dan seperti tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan dan cabutan bertuah itu?

Berilah kami penunggang motosikal peluang untuk mengambil bahagian dalam cabutan bertuah itu. Berilah kami hadiah-hadiah seperti topi keledar berjenama, but motor, jaket keselamatan atau sejumlah wang yang berpatutan.

Pemberian hadiah seperti topi keledar, jaket dan sarung tangan lebih bermakna kepada kami kerana kami lebih terdedah kepada kemalangan dan perlanggaran. Alat-alat ini boleh mengurangkan kecederaan kami.

Kerajaan sering menjalankan kempen keselamatan jalan raya untuk penunggang motosikal. Sudah tiba masanya pihak stesen minyak ini membantu dengan memberi pelbagai hadiah melalui pertandingan dan cabutan bertuah.

DANINOOR

Kuala Lumpur

Anda tahu siapa wanita yang mendapat pendapatan paling tinggi????

























Oprah Winfrey dinamakan sebagai wanita yang meraih pendapatan tertinggi di Hollywood.

Hos rancangan televisyen itu mengalahkan artis seperti Beyonce Knowles, Lady Gaga dan Madonna, mengumpul AS$324 juta (RM 1.001 bilion) daripada empayar medianya, termasuk rancangan bual bicaranya sendiri dan majalah untuk mengungguli senarai dikumpul majalah Forbes.
Oprah, 56, mengumpul kekayaan lebih banyak berbanding bintang lain jika kelima-lima mereka digabungkan bersama, dengan Beyonce meraih AS$89 juta (RM275.14 juta), Britney Spears (AS$65 juta – RM200.95 juta), Lady Gaga (AS$64 juta – RM197.86 juta) dan Madonna mengumpul AS$59.9 juta (RM185.18 juta).
Pendatang baru di bawah usia 30 tahun membuat tanggapan besar dalam 10 senarai teratas, dengan Gaga mengalahkan mereka yang kekal dalam senarai iaitu Sandra Bullock, satu-satunya aktres dalam senarai dan Ellen DeGeneres.

Miley Cyrus dan Taylor Swift turut menempatkan diri dalam senarai itu, dengan hos televisyen Hakim Judy berada di tangga ke-10. – Agensi

Senarai Top 10 Wanita Hollywood yang meraih pendapatan tertinggi 2010

1. Oprah Winfrey: $324 juta (RM1.001 bilion)
2. Beyonce Knowles: $89 juta (RM275.14 juta)
3. Britney Spears: $65 juta (RM200.95 juta)
4. Lady Gaga: $64 juta (RM197.86 juta)
5. Madonna: $59.9 juta (RM185.18 juta)
6. Sandra Bullock: $59.2 juta (RM182.93 juta)
7. Ellen DeGeneres: $56 juta (RM173.04 juta)
8. Miley Cyrus: $48 juta (RM148.32 juta)
9. Taylor Swift: $46 juta (RM142.14 juta)
10. Judge Judy: $46 juta (RM142.14 juta)

Skandal siber musnah rumah tangga..




INDIVIDU tidak kira lelaki atau wanita ‘ketagihan’ pada laman sosial di Internet mudah terpedaya kerana mereka ini terlibat dengan perhubungan secara maya atau tidak nyata.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syariah, Suzana Ghazali berkata, golongan itu tertipu dengan kebaikan pasangan yang tidak dikenali secara zahir.

Lazimnya setiap individu akan berusaha untuk menonjolkan yang terbaik bagi menambat hati rakan baru yang dirasakan sesuai menjadi teman istimewa.

“Mereka bagaikan Mat Jenin yang berangan pelbagai impian namun tak pernah berusaha untuk menjadikan realiti. Bercinta melalui Internet sentiasa dirasakan ‘wangi’ sebab belum pernah bertemu muka,” ujarnya.

Suzana mengakui empat daripada 10 kes kaunseling rumah tangga dirujuk kepadanya berpunca daripada laman web sosial.

Malah katanya, realiti cinta siber di kalangan suami isteri sekarang ada yang tidak terjangkau oleh fikiran yang waras.

Sebagai contoh, beliau pernah mengendalikan kes pasangan yang bermasalah disebabkan si suami berzina menerusi Internet.

“Suami ini menggunakan e-mel untuk mengirimkan gambar-gambar bogel kepada pasangan. Perhubungan bertemu muka tidak berlaku dan sekadar bertukar gambar bogel masing-masing disertakan dengan ayat-ayat yang merangsang nafsu masing-masing.

“Satu lagi kes yang saya terima pada hujung tahun lepas menyaksikan perkahwinan berusia enam bulan berakhir apabila suami dapat tahu kerja jahat si isteri yang bermesej lucah dengan rakan-rakan siber,” ujar Suzana.

Hakikatnya walau secara siber, tanpa pertembungan dua jasad, arahan syarak agar jangan mendekati zina telah pun berlaku dalam kes-kes di atas.

Bukan saja berdosa tetapi boleh merosakkan kebahagiaan perkahwinan malah merosakkan diri sendiri.

“Mereka yang mendapat kepuasan melalui seks alam siber ini boleh dikategorikan sebagai melalukan onani dan boleh memberikan kesan kepada hubungan seksual suami isteri juga,” jelasnya lagi.

Menurut Suzana, memang tidak salah berinternet cuma perlu pastikan ia sepatutnya menjadi satu kemudahan untuk mempertingkatkan keperibadian dan kecemerlangan, bukan untuk merosakkan diri sendiri dan insan lain.

“Ikhlaskan niat anda untuk menggunakan kemudahan teknologi yang ada ini. Pastikan biar apa juga yang dilakukan, pasangan dan anak-anak lebih diutama.

“Kalau nak cari kenalan, pastikan hubungan betul-betul berjalan dalam keadaan yang dibenarkan oleh syarak dan moral, bukan yang luar biasa hingga meminggirkan amalan budaya tradisi,” tambahnya. - UM

Perceraian meningkat angkara Facebook???


MEMANG belum ada satu kajian spesifik di negara ini yang boleh mengesahkannya,. Namun, jika dilihat secara rambang, jaringan sosial dalam Internet seperti Facebook, Twitter dan Myspace ternyata boleh mendatangkan mudarat kepada keharmonian rumah tangga jika penggunaannya disertai dengan niat yang salah.

Gambaran terhadap kes ini dapat dilihat daripada jumlah kes perceraian yang meningkat tahun demi tahun.

Timbalan Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustafa berkata, sebanyak 27,110 kes perceraian telah direkodkan daripada 135,136 perkahwinan yang telah didaftarkan pada tahun 2009.

Punca utamanya ialah pasangan gagal menjalankan tanggung jawab masing-masing. Walaupun tidak diperincikan bentuk kegagalan tersebut, sedikit sebanyak jelas pengabaian tanggung jawab itu memang ada hubung kait dengan ‘ketagihan’ sama ada suami atau isteri dengan laman web sosial masing-masing.

Ini hasil daripada temu bual ringkas yang penulis sendiri jalankan dengan beberapa rakan yang juga dikenali menerusi laman web Facebook.

Itu tidak termasuk kes-kes nyaris bercerai kerana salah faham dan cemburu dari hasil hubungan sama ada suami atau isteri di laman Facebook masing-masing.

Di Amerika Syarikat, satu kaji selidik dari Akademi Pengacara Perkahwinan Amerika (AAML) harus diberi perhatian. Hasil kajian mereka menemukan bukti jumlah perceraian meningkat gara-gara aktiviti suami atau isteri di Facebook, Myspace dan Twitter.

Presidennya, Marlene Eskind Moses, dipetik sebagi berkata, sebarang komen yang diletakkan oleh bekas pasangan akan gunakannya sebagai bukti di mahkamah.

Kajian tersebut juga mendapati pasangan yang sedang dalam proses perceraian atau perebutan hak penjagaan anak akan turut mengadu hal tersebut pada rakan di jaringan sosial.

“Dalam satu kes yang pernah berlaku, seorang wanita yang bercerai ingin menuntut hak penjagaan anaknya telah kehilangan hak tersebut kerana dia memberitahu mahkamah dia sudah bertunang dengan pasangan baru.

“Padahal di Facebook dia mengatakan dia sudah berpisah dengan teman lelaki yang suka menderanya dan kini sedang mencari lelaki kaya sebagai ganti.

“Saya memang terkejut bagaimana seorang itu tidak berfikir dahulu sebelum menaip di Facebook masing-masing terutama mereka yang dalam proses perbicaraan mahkamah,” kata Naib Presiden AAML, Kenneth Altshuler.

Mengikut perincian yang diperolehi daripada data kajian AAML, 66 peratus kes perceraian adalah dari Facebook, Myspace 15 peratus dan Twitter (lima peratus).

Maka tidak hairanlah, beberapa ulama Mesir mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, kerana kesan negatifnya kepada pasangan suami isteri.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


Facebook medan meluahkan perasaan

RUANG dinding laman sosial seperti Facebook menjadi tempat menyuarakan apa saja pendapat dan rasa hati sama ada gembira dan sedih. Malangnya tanpa disedari ia mendedahkan aib sendiri.

Menurut pendakwah bebas, Zaharuddin Abd Rahman, terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik Facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka.

“Kemudian, status tersebut mendapat komentar daripada rakan-rakan. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebagainya melalui status mereka.

“Sebagaimana yang disebut oleh ramai ‘pakar’ dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai melepaskan tekanan dalam diri,” ujar kenyataannya yang dipetik dari laman web Zaharuddin.net.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata, perbuatan tersebut tanpa disedari tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam.

“Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumah tangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui Facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya.

Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibu bapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.

“Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti saudara-mara pihak atau pihak kaunselor rumah tangga.

“Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan runtuhkannya hanya kerana Facebook,” nasihat Zaharuddin.

Isteri disenarai hitam PTPTN, kadar faedah 8%!!


ISTERI saya adalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tahun 2002 dan tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pada tahun 2005.

Walaupun telah mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semasa peringkat pengajian diploma, beliau tidak dapat menunggu proses yang agak panjang untuk mendapatkan biasiswa sekali lagi semasa menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Oleh itu kerana terdesak memerlukan wang untuk meneruskan pengajian, beliau memohon pinjaman PTPTN.

Pada tahun 2009, saya amat terkejut apabila nama isteri saya telah disenaraihitamkan oleh PTPTN. Kami cuba ke pejabat PTPTN di Damansara untuk membuat rayuan tetapi tidak dilayan.

Akhirnya, kami memutuskan untuk mengeluarkan wang KWSP isteri saya sebanyak lebih RM8,000 untuk membuat bayaran. Setelah selesai urusan pengeluaran wang KWSP, kami menunggu surat daripada PTPTN mengenai baki pinjaman dan pelan pembayaran bulanan. Namun surat tak kunjung tiba.

Baru-baru ini, PTPTN mengumumkan mengenai proses Pembiayaan Ujrah satu peratus. Saya sedar isteri saya tidak layak memohon kerana sudah disenaraihitam. Saya cuba menghubungi PTPTN, manalah tahu boleh membuat rayuan.

Malangnya saya dikejutkan lagi dengan satu berita. Isteri saya bukan sahaja tidak layak memohon Pembiayaan Ujrah satu peratus, malah dikenakan faedah lapan peratus setahun kerana telah disenaraihitam!

Bayangkanlah, pinjaman hanya RM21,000, setelah disenaraihitamkan meningkat menjadi lebih RM24,000. Keluarkan wang KWSP sebanyak RM8,000, hutang masih lagi lebih RM16,000. Sekarang dikenakan pula faedah sebanyak lapan peratus setahun! Sampai bila isteri saya boleh habis bayar hutang? Adakah PTPTN mahu isteri saya berhutang seumur hidup?

Jika beginilah pendekatan PTPTN supaya peminjam membayar hutang, maka ramailah lagi peminjam akan melarikan diri. Bukannya isteri saya tidak mahu bayar, tetapi kadar faedah melampau membuatkannya rasa tertekan.

SUAMI PENYAYANG

Seri Kembangan, Selangor.

Wednesday, November 24, 2010

Hospital swasta tidak wajar guna kelebihan pakar kenakan caj tak munasabah !!


KEGAGALAN pengguna kad kredit atau individu yang membuat pinjaman bank untuk membayar kos perubatan tinggi di hospital swasta, membayar balik hutang mereka yang didedahkan Berita Harian kelmarin tidak seharusnya berlaku. Ibarat pepatah Melayu, ukur baju di badan sendiri, kita seharusnya membuat pilihan bersesuaian dengan kemampuan kewangan kita. Kegagalan mengurus kewangan dengan bijak akan menyebabkan diri terjebak dengan bebanan hutang. Tidak dinafikan faktor menunggu terlalu lama di hospital kerajaan untuk mendapat rawatan menyebabkan ramai sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan rawatan segera di hospital swasta, khususnya membabitkan mereka yang disayangi atau keluarga terdekat diserang penyakit kronik. Dalam laporan itu, Ketua Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamed Akwal Sultan berkata penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman. Sebaliknya, penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan di hospital swasta menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu. Kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan, walaupun kosnya lebih tinggi. Mereka berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan dan mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

Kita bersimpati dengan mereka yang terpaksa menanggung beban hutang serta bil kad kredit yang melambung gara-gara untuk mendapatkan rawatan terbaik di hospital swasta. Sudah banyak aduan dan rungutan orang ramai mengenai caj rawatan hospital swasta yang sesetengahnya terlalu tinggi dan tidak munasabah. Kita tidak boleh menyalahkan pengguna semata-mata, yang sanggup berhutang termasuk menggunakan kad kredit bagi melunaskan caj hospital yang tinggi. Soal keselamatan dan nyawa, siapa juga sanggup berkorban dan melakukan apa saja. Tiada siapa yang sanggup melihat orang tersayang menderita menanggung kesakitan dan bertarung nyawa. Mereka sudah tentu mahu memberikan rawatan terbaik walaupun terpaksa berhutang demi menyelamatkan nyawa. Jaminan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang akan mengkaji isu caj hospital swasta semalam, pastinya memberi kelegaan kepada banyak pihak, khususnya mereka yang kurang berkemampuan. Orang ramai bukanlah mengharapkan caj hospital swasta diturunkan serendah seperti yang dikenakan di hospital kerajaan, tetapi caj itu biarlah berpatutan dan munasabah. Tiada siapa boleh menafikan perkhidmatan serta kemudahan di hospital swasta jauh lebih baik berbanding hospital kerajaan. Itulah yang menjadi faktor utama menyebabkan caj di hospital swasta lebih tinggi selain daripada khidmat doktor pakar yang mereka tawarkan, tetapi janganlah menjadikan kelebihan itu untuk menekan pengguna. Hospital swasta perlu juga mengambil kira sekelumit tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, janganlah terlalu memikirkan soal keuntungan dengan menyerap sedikit kos bagi membantu mengurangkan beban kewangan keluarga pesakit. Kita harap perbincangan di antara Kementerian Kesihatan dan pengusaha hospital swasta mampu memberi keputusan positif, termasuk mengenakan caj yang lebih munasabah dan berpatutan. - BH

Banyak masjid tidak belanjakan wang sedekah??


AKHIR-AKHIR ini kita melihat kecenderungan masyarakat menyumbang kepada masjid sebagai sedekah jariah untuk melahirkan rasa syukur mereka kapada Allah yang memberikan rezeki saban hari. Ini selain kutipan yang biasa dilakukan pada hari Jumaat sewaktu solat Jumaat.

Sebahagian mereka ini menyumbang sedekah dengan harapan pahalanya akan sampai kepada ibu bapa bapa di alam barzah.

Malangnya Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid gemar memendam wang tersebut dalam akaun masjid bagaikan satu kebanggaan untuk dipamerkan di papan kenyataan masjid untuk menunjukkan kehebatan mereka mengumpul wang yang banyak.

Sesetengah masjid mengumpul wang sehingga melebihi suku juta tanpa dibelanjakan secara bermanfaat bagi menyampaikan maksud penderma. Ini berlaku kerana semua kemudahan masjid sudah lengkap dan tidak perlu diubahsuai apa-apa lagi. Sedarkah mereka perbuatan ini umpama menyekat satu niat baik anak-anak kariah yang menderma dengan tujuan dapat meringankan azab ibu bapa di alam barzah?

Mungkin sebahagian AJK masjid sendiri tidak berilmu untuk mentadbir dan tidak tahu cara mana hendak membelanjakan wang tersebut. Salah siapakah ini? Adakah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAI) negeri dan daerah yang sepatutnya memberi satu garis panduan bagaimana hendak membelanjakan wang masjid yang besar itu? Atau adakah kerana kedegilan pihak AJK sendiri enggan mematuhi arahan JHEAI?

Jika masjid benar-benar digunakan sebagai tempat beribadat dan institusi kebajikan kapada masyarakat, kita akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Islam khususnya. Banyak perkara yang boleh kita lakukan saperti menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membantu membiayai maahad tahfiz, atau membantu kewangan sekolah-sekolah agama rakyat.

Juga untuk membantu menaik taraf surau-surau di bawah kariah masjid tersebut seperti memasang permaidani, membaiki tempat wuduk dan membina tandas awam yang lebih sempurna. Juga membina surau-surau sementara daripada kontena di tapak-tapak pasar malam bagi kemudahan peniaga.

Mereka juga boleh membiayai pelajar-pelajar kita melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, menyumbang kapada saudara-saudara baru yang disisihkan keluarga serta menyumbang kapada mangsa banjir yang menginap di masjid sebagai tempat perpindahan. Ini semua adalah tugas-tugas yang mesti sentiasa difikirkan oleh AJK masjid yang memegang amanah daripada anak kariah.

Sikap sesetengah AJK masjid yang mengunci surau dan masjid selepas subuh hingga maghrib amat dikesali. Sepatutnya barang-barang berharga di masjid dan surau perlu disimpan dan dikunci di dalam jerejak besi yang dipasang di dalam dan luar masjid. Masjid atau surau tidak sewajarnya dikunci di waktu siang. Adakah harga sebuah kipas angin dan pembersih hampagas lebih mahal daripada pahala dua rakaat solat sunat yang dilakukan oleh seorang musafir?

Sewajarnya surau dan masjid menjadi stesen persinggahan musafir yang memerlukan pelbagai kemudahan selesa.

Pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri dan Daerah juga perlu memantau akaun-akaun besar masjid. Persepsi AJK masjid juga perlu berubah bahawa wang masjid tidak akan habis dan kering kerana ramai anak kariah akan terus menyumbang. Yang penting mereka perlu berbelanja dengan sewajarnya.

MUHAMMAD ABDULLAH

Alor Star, Kedah.

Kisah sedih anak mengenai ibunya di hospital kerajaan...


SAYA mencoretkan surat ini kerana teringatkan emak yang sedang sakit di hospital Putrajaya dan ditemani seorang adik (seorang pekerja kerajaan) yang bercuti hujung minggu.

Hati ini gusar mengenangkan emak yang sudah dua minggu terlantar di sana.

Dia dimasukkan ke hospital pada pukul 3 pagi, 6 November lepas kerana mengalami bengkak dari pinggang hingga hujung kaki ditambah lagi dengan masalah sesak nafas.

Seminggu di sana, tidak banyak perubahan yang berlaku cuma bengkak dari pinggang ke lutut sudah surut tetapi dari lutut hingga ke bahagian bawah masih lagi bengkak.

Tiub saluran kencing dimasukkan untuk memantau keluar masuk air di dalam badan emak saya. Emak tidak kuat untuk bangun kerana kakinya masih bengkak.

Masuk dua minggu, keadaan emak masih sama tetapi dia kelihatan gembira lantaran ramai datang menjenguk bertanyakan khabar termasuk adik-beradik, sahabat-handai, AJK tertinggi sebuah parti politik merangkap bos.

Hari Khamis lalu saya ke sana seperti biasa, emak ceria sahaja nampaknya. Bertanyakan jajan buatnya tetapi tiada saya bawakan, pesan saya makan sahaja apa yang disediakan oleh pihak hospital takut jajan yang dibawa itu nanti memudaratkan.

Emak sedikit merajuk tetapi dalam masa yang sama menghabiskan juadah makan malam yang disediakan. Sebelum waktu melawat habis emak berpesan kepada saya untuk membawakan syampu dan sabun esok, memintakan saya untuk memandikannya kerana dua minggu terlantar emak tidak mampu untuk pergi ke bilik air.

Pada pendapat saya keadaannya sudah beransur pulih kerana sudah mampu untuk bangkit ke tandas.

Pada keesokan harinya (Jumaat (9/11/10) waktu tengah hari, saya kembali ke hospital (emak tidak mahu mandi pagi-pagi, sejuk katanya).

Sambil menjinjing syampu dan sabun mandi saya terus menuju ke katil emak. Emak sedang tidur pada firasat saya, matanya tertutup rapat, mungkin emak penat kerana doktor dan jururawat baru selesai melakukan pemeriksaan.

Tiba-tiba, tidak sampai beberapa minit kemudian emak membuka matanya, emak menyatakan sesuatu yang saya tidak faham atau mungkin tidak dengar.

Mengucap dua kalimah syahadah saya dibuatnya, rupanya emak saya diserang strok!

Saya hampir menangis tetapi saya tahankan kerana tidak mahu emak semakin sedih. Emak meminta maaf kerana padanya dia menyusahkan sahaja (padahal sampai mati pun jasanya takkan pernah terbalas oleh saya).

Makan pun emak tak mampu lantaran separuh badannya sudah lumpuh. Saya suapkan bubur buat emak, mak lapar katanya.

Keesokan paginya adik saya memberitahu sesuatu yang sangat mengejutkan!

Doktor yang datang merawat emak saya saban hari tidak mengetahui yang emak saya diserang strok!

Sudahlah 24 jam terlantar kesakitan tambah menyakitkan lagi apabila doktor yang datang bertanyakan sejak bila emak berkeadaan sedemikian padahal mereka yang bekerja di sana untuk memantau kondisi pesakit, masakan tiada seorang pun tahu apa yang berlaku pada emak saya.

Saya terkilan, sangat terkilan dengan doktor dan jururawat yang bertugas.

Ini menguatkan lagi skeptikal masyarakat tentang kekurangan mutu khidmat hospital kerajaan. Saya bukan berat sebelah kerana saya juga penyokong kerajaan, menikmati segala kemudahan yang disediakan, alhamdulillah syukur ucap saya.

Bukan menidakkan usaha kerajaan untuk memperkasakan hospital mereka tetapi bagi saya nyawa emak lebih penting.

Setelah berbincang dengan ayah dan abang yang sentiasa risau dengan keadaan emak, pagi ini kami nekad untuk memindahkan emak ke hospital swasta.

Kami bukan daripada golongan berada cuma tahap biasa sahaja, sekadar cukup makan cukup pakai, tetapi duit kami boleh cari, emak hanya ada satu!

Untuk pengetahuan semua emak saya memiliki 'tiket emas' untuk memasuki hospital kerana bapa seorang pesara kerajaan, sampai waktu ini emak saya masih antara pemegang jawatan tertinggi dalam Wanita UMNO, penggerak jentera parti yang sanggup berkorban apa sahaja untuk parti itu, kami sudah terbiasa ditinggalkan lantaran emak amat aktif melengkapkan wadah perjuangan politik beliau.

Tetapi pada saat ini kami dalam perjalanan untuk memindahkan emak ke hospital bukan kerajaan kerana pada pendapat saya nasib emak tidak terbela di sana.

Sungguh ironik bukan?

SITI HARAYANI

Hospital Putrajaya jawab dakwaan gagal urus pesakit

PUTRAJAYA 23 Nov. - Hospital Putrajaya hari ini menolak dakwaan bahawa pihaknya gagal mengesan serangan strok yang dihadapi seorang pesakitnya yang dimasukkan ke Wad 4B sejak 7 November lalu.

Pengarahnya, Dr. Nora'i Mohd. Said berkata, pesakit berkenaan dimasukkan ke hospital itu kerana mengalami kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik akibat komplikasi penyakit diabetes.

"Pesakit berasa lemah akibat kehilangan kandungan air dalam badan dan berasa letih ekoran kesan sampingan biasa daripada bius 'diuretics' yang diberikan kepadanya.

"Namun hampir dua minggu di wad, keadaannya beransur pulih. Justeru dakwaan mengatakan doktor tidak mengetahui bahawa pesakit baru diserang strok adalah tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Dr. Nora'i, pada 19 November lalu, pesakit mengadu lemah tetapi pemeriksaan klinikal sistem saraf dan musculoskeletal adalah normal.

Bagaimanapun, semasa rondaan pada pagi 20 November, barulah disahkan pesakit mengalami strok melalui tanda-tanda klinikal.

"Seperti yang diketahui, penyakit strok berlaku secara tiba-tiba dan diagnosis hanya boleh dibuat dengan sokongan pemeriksaan klinikal oleh doktor menerusi kaedah imbasan otak.

"Serangan boleh berlaku walaupun pesakit dirawat di hospital disebabkan oleh faktor risiko kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang yang kronik," jelas beliau.

Beliau bagaimanapun meminta maaf di atas kesulitan yang dialami pesakit serta berterima kasih kepada pengadu kerana membangkitkan perkara itu demi meningkatkan prestasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Hospital Putrajaya.

Dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini, seorang anak yang menamakan dirinya Siti Harayani mendakwa doktor gagal mengesan ibunya mengalami strok selepas tempoh 24 jam.

Dakwanya, doktor yang datang merawat setiap hari tidak mengetahui ibunya diserang strok kerana bertanyakan kepadanya sejak bila ibunya mengalami penyakit itu.

Pengadu kemudiannya mengambil keputusan memindahkan ibunya ke hospital swasta kerana beranggapan nasib pemegang jawatan tinggi dalam Wanita UMNO itu tidak terbela di hospital kerajaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...