terima kasih buat kalian semua..

Thursday, December 30, 2010

Apabila cinta bertukar benci..


CINTA sepatutnya membuatkan pasangan kekasih, tunang atau suami isteri berasa bahagia, ceria, gembira dan dihargai. Sebabnya, cinta wujud daripada perasaan baik. Terhasil daripada kasih dan sayang serta saling mempercayai.

Kalau itu asas cinta, kalau kasih sayang yang mengikat sesebuah percintaan kenapa saban hari kita didedahkan dengan laporan mengenai pasangan terutama si wanita dikasari, didera dan ada yang dibunuh dalam perhubungan cinta?

Kenapa perasaan cinta yang sepatutnya menyuburkan rasa kesihan dan saling melindungi bertukar menjadi kejam? Hingga ada pasangan yang disiksa tanpa peri kemanusiaan seperti disimbah dengan asid dan dibakar.

Salah satu puncanya ialah apabila seseorang itu merasakan hubungan cintanya tergugat apabila ada elemen-elemen yang menyatukan mereka kian pudar.

Pakar Psikologi, Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor berkata, perasaan cinta wujud daripada tiga elemen yang ada dalam diri seseorang.

Elemen pertama, katanya, komitmen iaitu perasaan sayang-menyayang antara pasangan.

Kedua, keintiman iaitu keakraban fizikal atau emosi yang membuatkan seseorang terlalu sayang terhadap pasangannya. Yang ketiga keghairahan yang bermaksud sentiasa ingin berdekatan kerana komitmen serta keintiman.

"Setiap pasangan bercinta perlu mempunyai tiga elemen ini untuk memastikan kebahagiaan hubungan mereka berterusan.

"Jika seorang daripada pasangan itu mendapati pasangannya tidak mempunyai ketiga-tiga elemen ini, akan timbul rasa tidak puas hati.

"Kerana inginkan pasangannya menunjukkan ketiga-tiga elemen tersebut dan bimbang kehilangan orang yang dicintai, seseorang itu mampu bertindak ganas sehingga di luar kemampuan dan jangkaannya sebagai seorang yang normal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mariani berkata, bagaimanapun, terdapat juga beberapa faktor lain membuatkan seseorang bertindak ganas kepada orang yang dicintainya.

Adakala, campur tangan keluarga dalam perhubungan sehingga membuatkan pasangan suami isteri atau kekasih tidak mampu berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Keadaan itu mampu menimbulkan persengketaan antara pasangan berkenaan.

Selain itu, katanya, keletihan atau penat juga mampu menjadikan seseorang bersikap lebih kasar dan panas baran terhadap pasangan.

Justeru, tambahnya, bagi menangani masalah keganasan dalam percintaan, setiap pasangan sama ada lelaki atau wanita perlu banyak bermuhasabah diri dan beristifar jika berdepan masalah dan apabila wujud rasa tidak puas hati.

"Orang yang sedang marah sering bertindak di bawah sedar jadi seseorang itu perlu menenangkan diri sendiri agar tindakan yang diambil bagi menangani masalah percintaannya adalah yang terbaik.

"Keluarga adalah individu yang paling rapat dengan pasangan jadi mereka perlu membantu sama ada menasihat atau membawanya bertemu kaunselor.

"Pihak ketiga iaitu keluarga atau kaunselor adalah individu penting untuk menyelesaikan konflik besar dalam sesuatu perhubungan kerana ia adalah contoh kemurungan peringkat awal," ujarnya.

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Jauhi budaya ‘semua baru’..


SETIAP akhir tahun atau awal tahun baru menjelang persekolahan anak-anak, kita dapati dan perhatikan di kedai-kedai, toko-toko atau di pasar-pasar raya dikunjungi ibu bapa atau penjaga yang sibuk bagai menyambut hari raya.

Mereka membeli-belah sakan untuk anak-anak dengan serba baru: kasut baru, uniform sekolah baru, uniform kokurikulum baru, stokin baru dan beraneka macam yang baru-baru belaka.

Situasinya seolah-olah anak-anak didedahkan bahawa budaya ‘baru’ ini bagaikan suatu kemestian. Di kedai-kedai buku sekolah, ibu bapa mengendong berbakul-bakul buku kerja, buku latihan, buku teks tambahan dan peralatan tulis untuk perbekalan sepanjang tahun.

Pada hari pembayaran yuran ibu bapa ke meja guru kelas bagi melunasi segala jenis yuran termasuk derma PIBG yang sepatutnya ikhlas sukarela, tetapi entah siapa yang memeterai menjadikan bagai yuran wajib tahunan atau bulanan. Bayangkan segala-galanya terpaksa dipikul di pundak ibu bapa sekarang agar anak-anak mereka pada masa akan datang tidak merempit, tidak melepak dan menjadi manusia berguna pada suatu hari nanti.

Sebenarnya, ibu bapa tidak usah kalut. Bertenang dan bersabar adalah nilai-nilai murni hasil pembelajaran sepanjang hayat. Mendidik anak-anak bersyukur, reda dan bersederhana adalah juga hasil pembelajaran sepanjang hayat. Mengapa menjelang akhir atau awal tahun, ibu bapa berpusu-pusu ke kedai menggantikan pakaian atau peralatan persekolahan anak-anak serba baru?

lnilah anjakan paradigma yang perlu kita ubah. Agar tidak terkejut atau tersepit dengan perbelanjaan hujung tahun mendadak, ibu bapa boleh melakukan pada pertengahan tahun.

Sekiranya pakaian anak-anak ditukar baru pada bulan Jun atau Julai tahun ini, tidaklah perlu ditukar hujung tahun tetapi diganti pada pertengahan tahun depan. Namun sekiranya pakaian mereka masih boleh dipakai, apakah perlu ditukar? lnilah masanya kita melatih agar anak-anak kita bersederhana, bersyukur dan tahu menilai erti jerih payah ibu bapa mereka.

Begitu juga buku latihan dan peralatan tulis yang kadang kala dibeli tetapi tidak digunakan sepenuhnya sehingga akhir sesi persekolahan. Apakah ini tidak dikatakan membazir? Belilah atas nama keperluan semasa sahaja. Elakkan berlebihan bagi mengelak anak-anak tidak ada nilai rasa menghargai. Buku tambahan termasuk buku kerja pastikan bukan dibeli semberono. Fikirkan siapakah yang bakal mengaut keuntungan di penghujungnya?

Sebenarnya, jika anak-anak kita menumpukan sepenuhnya pembelajaran di bilik darjah dan guru komited melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, tiusyen di luar sekolah tidak diperlukan! Apakah guru kini sudah hilang kebolehpercayaan yang menyebabkan ibu bapa terpaksa beralih arah kepada pusat tiusyen di luar?

Sedarkah ibu bapa bahawa kebanyakan guru-guru tiusyen di luar tidak terlatih sebagai seorang guru bertauliah? Sedarkah ibu bapa banyak pusat tiusyen di luar tidak memperoleh permit dan kelulusan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia? Fikir-fikirkanlah.

Berhubung derma sukarela, PIBG sepatutnya tidak memaksa atau menekan ibu bapa atas alasan keputusan mesyuarat agung tahunan. Mengenakan caj bayaran bulanan sebagai kaedah mengutip derma PIBG bukanlah sesuatu yang bijaksana. Jika derma, katakan derma, jangan ‘disilapmatakan’ dengan istilah yuran.

Sehubungan ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Majlis Permuafakatan PIBG Nasional sewajarnya memantau dari semasa ke semasa agar permasalahan setiap tahun tidak menjadi duri dalam daging yang berpanjangan.

MAHNESSA A. KADIR

Setiausaha Agung, Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur

Wednesday, December 29, 2010

Tawakal jalan terbaik hadapi dugaan hidup


Kita selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.
Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.

Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)
Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.

Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.

Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.

Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’.

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Bilik tidur rangsang hubungan ..


AWAS bagi pasangan suami isteri. Bilik tidur adalah khazanah yang menyimpan banyak rahsia. Justeru, seelok-eloknya janganlah dibiarkan orang lain memasukinya dengan sewenang-wenang termasuk pembantu rumah.

Belajarlah mengemas bilik sendiri dalam usaha untuk memelihara rahsia keutuhan rumah tangga dan hubungan sulit suami isteri.

Bahkan, anda akan pasti rasa puas hati apabila dapat mengindahkan bilik tidur biarpun dengan cara sendiri.

Hubungan suami isteri yang bermula di bilik tidur memberikan rasa keintiman kepada setiap pasangan sekiranya anda memberi lebih rasa kecintaan kepada hubungan itu menerusi beberapa petua menjaga hubungan di bilik tidur.

*Pastikan bilik tidur bersih, berbau harumBiar sekecil mana pun bilik tidur anda, pastikan ia bersih, tersusun dan kemas di mata suami atau anda memandangnya. Pastikan ia berbau harum untuk menerbitkan rasa aroma seronok untuk ke kamar tidur.

*Badan bersih, tidak penatSebelum tidur pastikan anda dan pasangan memakai pakaian yang bersih, berbau harum dan memikat antara satu sama lain. Tidak perlu 'tampal' mekap yang banyak di wajah, cukup sekadar seri muka yang asli. Ketepikan seketika rasa penat selepas seharian bekerja. Masa yang anda luangkan untuk pasangan di tempat tidur adalah amat berguna.

*Jangan tidur dahuluKerap kali kita dapati ada pasangan yang tidur dahulu sebelum pasangannya terlelap.Apa kata cuba luangkan selama 10 minit untuk berbicara hal-hal berkaitan apa yang berlaku pada hari itu untuk saling menyatakan pandangan. Ada juga pasangan yang sebelum tidur menonton televisyen dari atas katil mahupun membaca buku tanpa mengendahkan pasangan yang berada di sebelahnya. Dalam hal ini berikan pasangan anda masa beberapa minit untuk bermesra sebelum tidur.

*BerdengkurTidur berdengkur juga satu masalah buat pasangan anda yang akan menyebabkan tidurnya terganggu. Jadi berusahalah untuk mengatasi keadaan itu.

*Beri kejutanSesekali beri kejutan kepada pasangan anda di tempat tidur untuk dijadikan kenangan keesokan harinya. Kejutan apa? Mungkin dengan sekuntum bunga, sekotak hadiah kecil, seikhlas ciuman dan cubitan sayang, ia pasti amat bermakna sehingga hari esok. - UM

Berita supaya kita berjaga2...: Ekonomi berkembang lebih rendah?


Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya dijangka mengalami pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus pada tahun depan berbanding jangkaan 7.3 peratus pada tahun ini.

OSK Research berkata, sektor pembuatan dan perkhidmatan diunjur berkembang, masing-masing kepada 6.0 peratus dan 6.8 peratus.

Menurutnya kerajaan akan terus memberi fokus dan sokongan kepada sektor swasta untuk memperkukuhkan perbelanjaan pengguna dan mencergaskan pelaburan swasta.

Menurut firma itu, langkah itu adalah konsisten dengan jangkaannya sumbangan bersih eksport menyusut tahun depan ekoran permintaan luar negara yang agak lembap.

''Dengan unjuran perbelanjaan kerajaan semakin mengetat, ekonomi negara akan bergantung kepada dua enjin pertumbuhan iaitu perbelanjaan domestik dan pelaburan tetap,'' kata firma itu nota penyelidikannya.

OSK Research berkata, langkah untuk meningkatkan peranan pelaburan swasta mengekalkan pertumbuhan memandangkan sumbangan daripada perbelanjaan pelanggan domestik mungkin memberi potensi pertumbuhan terhad.

Jelas firma penyelidikan itu, untuk mencapai pertumbuhan enam peratus seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Malaysia memang perlu meningkatkan sumbangan perbelanjaan pelaburan kepada empat peratus mata bersamaan purata 17 hingga 18 peratus bagi pertumbuhan tahun ke tahun.

Bagaimanapun, firma itu tidak menolak kerajaan berhadapan dengan kesukaran untuk mengurangkan defisit bajet di bawah tiga peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar.

''Kesukaran ini disebabkan penangguhan pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST).

''Penangguhan ini bermakna tiada perluasan dalam cukai kerajaan pada masa depan,'' ujarnya.

Malah, Bajet 2011 turut tidak membincangkan mengenai sebarang perancangan untuk mengurangkan subsidi minyak.

OSK Research menjangkakan, purata kadar inflasi negara pada tahun depan berada pada 2.5 peratus. - UM

Insist on itemised billing at private hospitals..


THE private healthcare industry in this country is a very lucrative business.

As it is a business entity, its core aim is to make money. Many complaints have been made on how these entities charge for their services.

It is not disputed that there are multiple costs in running a hospital. However, this has been exploited by the management of these facilities to get huge returns.

The most common areas where the mark-up is significant are in the medication and lab investigations/diagnostics (x-ray, scan, etc).

There is sometimes a five-fold increase in medicine prices at private hospitals compared to pharmacies outside.

The hospital management is clever in disguising this cost by lumping all the medication in a single statement in the bill, for example as pharmaceuticals/disposables.

Some private hospitals charge a so-called dispensing fee which means that this fee is meant for the pharmacy assistant just to take the medicine from the counter and pass it to you.

The lab investigations is another area where there is gross increase in charges. This is more so after office hours or on public holidays.

The same amount of reagent/materials is used for running the blood sample during office hours; the only extra factor is the labour charge.

Always insist on itemised billing when you frequent private hospitals. Then you will realise who really makes the money.

EXPENSIVE MEDICINE,

Kuala Lumpur.

Tuesday, December 28, 2010

Berapakah sebenarnya harga tiket naiki Menara Kuala Lumpur?


BERAPAKAH sebenarnya harga tiket dikenakan kepada warga Malaysia untuk menaiki Menara Kuala Lumpur?

Saya timbulkan persoalan ini kerana baru-baru ini saya membawa keluarga untuk menaiki menara tersebut. Terpapar di situ harga tiket bagi seorang dewasa ialah RM38 sementara kanak-kanak pula RM28.

Saya agak terkejut kerana tidak menjangka harga tiketnya begitu tinggi. Namun kerana ingin membawa keluarga merasai pengalaman menaiki Menara Kuala Lumpur, saya bayar juga sekalipun terpaksa membelanjakan wang agak banyak. Kami semua tujuh orang, enam dewasa, seorang kanak-kanak.

Apabila saya bercerita kepada rakan-rakan kemudiannya, mereka memberitahu saya harga yang tertera itu adalah untuk pelancong warga asing. Harga untuk rakyat tempatan hanyalah separuh, dengan syarat kita menunjukkan kad pengenalan ketika membeli tiket.

Apa yang saya musykilkan, jika benarlah begitu, kenapa tidak ada tertera harga tiket berlainan bagi pelancong dan bagi rakyat tempatan? Kenapa hanya ditulis harga tiket secara umum?

Atau kenapa tidak ditulis warga tempatan perlu menunjukkan kad pengenalan untuk membolehkan mereka mendapat harga tiket lebih murah? Jika tidak diberitahu, bagaimanakah mereka boleh tahu?

Dalam kes saya dan keluarga, saya sendiri telah memberitahu kepada penjual tiket seorang anak saya adalah masih kanak-kanak, dan penjual tiket bertanya umurnya berapa? Saya beritahu, anak saya dalam Darjah Empat. Sepatutnya dia faham yang kami orang Malaysia. Di negara lain dipanggil 'darjah' jugakah jika belajar di sekolah rendah?

Atau jika tidak pun, bukankah sekurang-kurangnya dia patut bertanya adakah saya warga Malaysia dan meminta menunjukkan kad pengenalan. Sebab penjual tiket itu pun orang Malaysia. Muka saya pun muka Melayu Malaysia.

Namun dia tidak berbuat begitu dan terus meminta saya membayar harga tiket seperti yang tertera.

Saya berharap pihak Menara Kuala Lumpur memberi penjelasan mengenai perkara ini. Janganlah dibiarkan orag ramai dalam kekeliruan.

MAT TARZAN

Kuala Lumpur

Kita semakin dihimpit oleh 'orang asing'


SAYA ingin tahu apa yang berlaku sekarang mengenai 'orang asing' yang membeli rumah di Malaysia.

Di kawasan Taman Bukit Sentosa 2, Rawang, Selangor, penduduk daripada kalangan orang asing ini meningkat dari semasa ke semasa. Saya difahamkan mereka telah membeli rumah-rumah yang dilelong dan sudah mula membawa kaum kerabat ke sini.

Apa ini? Begitu senang orang luar mendapat kemudahan dengan hasil penat lelah kita semua (pembayar cukai).

Mereka sudah mula membina koloni mereka di sini. Persoalan yang berputar di kepala saya ialah bagaimana perkara ini berlaku?

Ada yang kata dengan menggunakan kad pengenalan anak mereka yang sudah pun lama menetap di sini. Dalam masa yang sama, mereka sememangnya mengumpul wang dengan pelbagai cara seperti sistem 'kutu' untuk melunaskan bayaran lelongan rumah.

Cuba kita ke negara jiran, senangkah orang kita untuk berniaga, beli rumah, anak sekolah yang diberi buku rujukan percuma, faedah hospital, boleh bergerak bebas, berani melakukan perkara menyalahi undang-undang?

Susah untuk saya fikirkan, seolah-olah kita sudah dibuli oleh mereka. Semoga Malaysia masih selamat dan dapat mematahkan serta membanteras semua ini dengan berkesan.

Inilah trade off yang kita rakyat Malaysia perlu hadapi dengan status negara maju, kerana ramai warga jiran kita datang mencari rezeki di negara kita. Sebenarnya ia satu perkara yang sihat dan itulah hasrat kerajaan untuk menentukan Malaysia terus mencapai kecemerlangan dalam semua aspek.

Cuma apa yang saya harap dan perlu dibuat agar pihak berwajib berperanan dengan serius mengenai aspek keselamatan dan kesejahteraan bangsa, masyarakat termasuk penduduk tempatan.

Saya tidak mahu adat kita hilang dan mula diserapi oleh adat negara luar. Cuba lihat apa yang berlaku sekarang. Percakapan, budaya, makanan, tata-susila, masalah sosial dan jangan lupa unsur-unsur luar sudah pun lama meresapi dalam sebahagian kekeluargaan masyarakat Malaysia.

Saya menyeru, kita perteguhkan slogan 1Malaysia. Sama-samalah kita pertahankan Malaysia ini dari apa jenis ancaman pun. Mereka yang ada kuasa dan bertanggungjawab dalam apa jua bidang, mohon laksana tugas dengan baik, sempurna dan ikhlas untuk negara tercinta.

Ingatlah jika apa yang kita buat hari hasilnya akan dilihat mungkin 20 tahun akan datang, sama ada baik atau buruk!

Jangan menyesal kalau kita mendapat hasil yang buruk, dengan pelbagai jenis masalah yang sukar dibendung, kerana kita yang mengolah dan merancang serta tidak berusaha secukupnya untuk mencegahnya dari sekarang. Apa yang kita hadapi sekarang pun sudah menampakkan tanda-tandanya.

ZAMAN

Rawang, Selangor

Letih punca kemalangan..


DR. RAYMOND melakukan ujian tertentu bagi menentukan klasifikasi dengkur biasa, sehinggalah ke tahap OSA yang teruk.


Kemalangan yang berpunca daripada rasa letih lazimnya menyebabkan kecederaan teruk. Ini kerana berbanding kemalangan akibat punca-punca lain pemandu yang keletihan bertindak balas lebih lambat dan pertimbangannya mudah terganggu.

Keletihan yang amat sangat lazimnya disebabkan oleh masalah psikologi seperti berasa kekurangan tenaga atau kepenatan.

Dalam kebanyakan kes, keletihan yang amat sangat dikaitkan dengan kebosanan, kesedihan, kekecewaan, kurang tidur atau teruk bekerja.

Rasa letih yang keterlaluan tidak sama seperti rasa mengantuk, tetapi biasanya keinginan untuk tidur akan timbul seiring dengan rasa letih sebegini.

Menurut Dr. Raymond pernafasan yang terhenti-henti sepanjang malam boleh menyebabkan pesakit asyik terjaga.

"Jangankan tidur yang berkualiti, hendak tidur lena pun payah. Oleh sebab tidur yang tidak berkualiti, mangsa OSA biasanya akan menunjukkan beberapa kesan simptom umum pada waktu siang seperti rasa mengantuk, sakit kepala dan letih," katanya.

Dalam konteks ini, dianggarkan hampir 5.55 juta penduduk Malaysia, tidak mengira jantina dan umur, menghasilkan orkestra dengkur setiap malam, sama ada 'berdengkur tetap' ataupun 'berdengkur sambilan'.

Masalah dengkur bukan sahaja mengganggu penghidap malahan orang di sekitarnya, dan mungkin menjejaskan kualiti tidur lebih satu pertiga penduduk negara ini setiap malam.

Sebagai contoh, Albert Enstein memerlukan 10 jam untuk tidur agar dia dapat beraktiviti dengan baik. Presiden Amerika ke-30, Calvin Coolidge memerlukan 11 jam untuk tidur. Ronald Reagan dan Winston Churchill bahkan menganggap tidak cukup hanya tidur pada malam hari. mereka tidur siang.- UM

Monday, December 27, 2010

Nahas Bas: Bertindak, bukan berkempen !!


Kadar kemalangan jalanraya yang melibatkan bas nampaknya semakin menjadi jadi di kalangan rakyat Malaysia. Insiden terkini yang membabitkan kemalangan ngeri di KM15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada pukul 11.40 pagi Isnin lalu dianggap paling tragis. Ia meragut 28 nyawa membabitkan 25 rakyat Thailand dan dua rakyat Malaysia.

Apa yang dikesalkan, bagaikan tiada satu usaha drastik diambil oleh pihak berwajib sebagai langkah jangka panjang. Kini bukan lagi soal kempen sana sini, letakkan pemidang. Semua langkah ini bagaikan mencurah air di daun keladi.

Sekarang sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil langkah tegas bagi membendung kemalangan melibatkan bas, termasuk bas pelancongan, khususnya yang dalam perjalanan di kawasan pelancongan bukit tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands, juga tempat-tempat lain.

Antara langkah yang boleh diambil ialah:

* Melarang bas dua tingkat digunakan untuk laluan bercerun seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands atau tempat lain. Ini kerana kenderaan sukar dikawal dan hilang kuasa garaviti serta imbangan bas, terutama sewaktu laluan menuruni bukit. Minta kerjasama pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meluluskan sesuatu permit perjalanan dan jangan berkompromi dalam soal keselamatan.

* Membuat garisan kuning dalam jarak yang panjang. Dengan adanya garisan kuning ini akan memberi amaran kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan, khususnya ketika melalui kawasan bercerun.

* Garisan putih kebanyakannya sudah pudar. Ini menyebabkan pandangan tidak jelas dan kabur ketika permanduan, apatah lagi pada waktu malam dan ketika hujan. Garisan pudar perlu segera dicat semula.

* Banyakkan papan tanda bersesuaian dipasang di sepanjang jalan ketika menuruni bukit. Pemasangan papan tanda eletronik dianggap paling berkesan kerana ia dapat dilihat dari jauh.

* Pemandu mesti ada rekod perjalanan terakhir mereka sebagai bukti mereka mempunyai rehat yang cukup. Pihak syarikat mesti dikenakan denda maksimum jika masih enggan mematuhi arahan pihak berwajib selain diwajibkan pemandu kedua.

* Selain faktor manusia dan kenderaan, faktor bentuk dan keadaan jalan juga wajar diteliti. Jalan rosak yang tidak dibaiki dalam jangka masa sepatutnya juga menyumbang kepada kemalangan negeri. Sesetengahnya tidak dipasang dengan papan tanda yang lengkap.

* Mengenakan denda maksimum kepada kenderaan berat seperti lori pengangkutan berat meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan. Sudah berapa banyak kemalangan yang melibatkan rempuhan daripada belakang berlaku dengan kematian, namun tiada usaha positif diambil. Kenderaan berat tetap banyak tersadai di tepi jalan.

Hasuni Sudin

Dungun, Terengganu

Jangan suka hati saman, tempat letak kereta tidak cukup!!!


SAYA ingin berkongsi luahan ini untuk menarik perhatian Ketua Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur. Saya adalah penduduk di kawasan Sungai Besi yang pergi ke pasar hanya seminggu sekali dan setiap kali ke pasar kena saman oleh polis.

Saya ingin juga menarik perhatian polis-polis yang baru tamat latihan dan sedang ghairah untuk memenuhi buku saman agar menggunakan pertimbangan dengan memikirkan masalah di kawasan pasar tersebut.

Saya boleh memahami kalau kereta yang disaman menghalang lalu lintas. Sekiranya kereta itu diletak elok tidak perlulah disaman. Lot-lot yang ada tidak mencukupi dengan kepadatan penduduk yang kebanyakan bertumpu di pasar itu sahaja dulu, kini dan selamanya.

Lot-lot yang ada telah digunakan oleh tuan punya kedai berkenaan dengan meletak kenderaan mereka di hadapan kedai masing-masing atau pun dengan kayu/kerusi. Pada masa yang sama ada peniaga yang berniaga membuka khemah di kawasan yang tidak boleh meletak kenderaan. Kenderaan disaman, khemah itu pula tidak disaman. Apa kata saman sekali khemah berkenaan.

Jika mahu sangat menyaman pergilah ke kawasan perumahan polis di Desa Tasik yang banyak lagi melakukan kesalahan, bawa motor tanpa topi keledar dan meletak kenderaan sesuka hati.

Kepada Ketua Balai Polis Sungai Besi sediakanlah lot-lot yang mencukupi (walaupun bukan bidang kuasa) serta kenderaan yang hendak ke pasar boleh meletakkan di kawasan dalam balai polis. Juga Balai Polis Sungai Besi menyediakan satu kaunter untuk membayar saman-saman ini dan tidak perlu susah-susah untuk mencari tempat membayar saman.

Kalau bekerja di Batu Caves hendak membayar saman di Kuala Lumpur cuba bayangkan. Hendak membayar saman, banyak kerenah.

PENGUNJUNG PASAR

Sungai Besi, Kuala Lumpur

Pendidikan seks tidak perlu!! Anda nak anak anda belajar tentang seks di sekolah???


SUBJEK khusus isu pendidikan seks masih lagi berlegar-legar di ruang akademik di negara ini. Sama ada ia wajar atau tidak untuk dilaksanakan, pihak-pihak yang berkenaan sudah pun membentangkan hujah masing-masing. Jika ditanya kepada ibu bapa, berbagai-bagai reaksi dapat dilihat. Semua mengharapkan yang terbaik buat anak-anak. Justeru pelaksanaan pendidikan seks bagi mereka haruslah menyajikan seribu satu manfaat berbanding mudarat.

Menyorot kembali silibus pendidikan di sekolah-sekolah milik penuh kerajaan di Malaysia, para pelajar sudah pun disediakan senarai panjang subjek-subjek yang harus dipelajari dan dikuasai. Daripada ilmu bahasa hinggalah kepada ilmu kehidupan dan ilmu kerohanian. Satu demi satu pengetahuan didedahkan kepada mereka untuk memenuhi keperluan sebagai manusia, ahli masyarakat dan juga yang paling penting sebagai khalifah di muka bumi ini.

Tidak cukupkah senarai panjang ini untuk membantu anak-anak mentah ini menapis dugaan nafsu yang menjebak mereka ke kancah zina? Begitu pendekkah waktu yang ada sehinggakan mereka tidak sempat diajar apakah cara yang lebih baik selain membuang anak di tong sampah dan lorong-lorong gelap?

Saya yakin, berbagai-bagai persoalan telah didasari saat fikrah untuk mewujudkan subjek ini diutarakan. Sebagai pelajar yang masih lagi menuntut walaupun angka usia sudah berganjak agak jauh, ingin sekali saya berkongsi pendapat dan pandangan bersabit isu ini.

Pendidikan seks bukanlah sesuatu yang buruk atau menjengkelkan pada pandangan saya. Saya sendiri pernah melalui zaman kanak-kanak yang mana minda penuh pertanyaan, dan beberapa tahun lalu meninggalkan dunia remaja yang dialami penuh keterujaan untuk mengetahui dan mencuba sesuatu yang baru. Itulah fitrah manusia. Pihak yang berkenaan cuba memenuhinya dengan mewujudkan satu medium agar para pelajar dapat didedahkan dengan salah satu ilmu kehidupan yang begitu halus dan sensitif, agar mereka dapat mengelakkan diri daripada tersasar jalan.

Namun pada pandangan saya, dengan adanya subjek-subjek sedia ada iaitu pendidikan agama, pendidikan moral, sains, biologi, pendidikan kesihatan dan tidak ketinggalan pendidikan sivik, itu sudah memadai untuk memandu anak-anak muda menyelamatkan amukan nafsu dan keterujaan diri daripada berzina dan seterusnya membuang bayi, kerana itulah teras utama kepada pendidikan seks.

Mari kita sama-sama renungkan. Adakah agama membenarkan kita melakukan seks sebelum nikah? Tidak. Adakah orang yang berakhlak mulia, mempunyai nilai moral yang tinggi sanggup membuang bayi yang baru lahir untuk menjadi santapan semut dan anjing? Tak mungkin. Adakah sains menerangkan tentang bagaimana bayi wujud dalam rahim seorang perempuan? Ya.

Dengan terjawabnya soalan-soalan ini dan banyak lagi melalui subjek-subjek yang sedang diajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, bukankah ia sudah memadai untuk membendung isu zina dan buang anak? Apa yang perlu dilakukan hanyalah memperkasakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek-subjek ini. Apa yang dapat diperhatikan, para guru mengajar, para pelajar mendengar. Apabila tiba musim peperiksaan, pengetahuan-pengetahuan yang didapati di dalam kelas cumalah dihafal dan dikeluarkan semula ke atas kertas jawapan. Yang difahami dan disimpan di dada buat pedoman menempuh hidup hanyalah secebis cuma.

Saya ingin menarik perhatian kepada cara pengajaran sebuah universiti antarabangsa di negara ini. Bersesuaian dengan namanya, para penuntut di sini didedahkan dengan ilmu agama dan juga persekitaran yang Islamik. Dalam kelas pula, selain menceduk ilmu daripada hasil tulisan para cendekiawan yang majoritinya adalah orang Barat bukan Islam, para penuntut turut dipandu dan dilatih untuk melihat teori dan aplikasinya melalui sudut pandangan Islam. Mereka didedahkan dengan bagaimana seorang Muslim seharusnya memandang dan berfikir tentang sesuatu isu itu.

Langkah mengintegrasikan ilmu kehidupan dengan ilmu kerohanian ini amatlah wajar untuk dijadikan panduan, kerana apalah gunanya ilmu yang melangit tinggi jika jiwa kosong. Mendapat tempat pertama dalam kelas, semua A dalam peperiksaan mahupun pointer 4.00 bukanlah ukuran sebenar kejayaan, tetapi bagaimana hidup dijalani dengan bahagia dan tenang. Bukankah melakukan seks sebelum pernikahan petanda ketidakmampuan mengawal nafsu dan diri? Tidakkah keterlaluan jika dikatakan membuang bayi petanda masalah psikologi, atau kecelaruan minda?

Perkara teras yang ada masih belum kukuh, rasanya lebih elok diperbaiki daripada sibuk-sibuk menambah cabang yang belum tentu dapat mengatasi masalah yang sudah sedia ada. Takut-takut mencambahkan masalah baru pula. Rohani dan jiwa yang perlu dididik dan diperkuat dengan ilmu agama dan moral; membezakan yang mana baik, yang mana buruk, yang mana betul, yang mana salah. Ilmu inilah yang sebenarnya memandu bagaimana ilmu kehidupan akan diterima, diproses dan digunakan.

NADIAH KAMAL

Kuala Lumpur

Dating bersama isteri dapat eratkan hubungan..



SUDAH berapa lama anda dan pasangan tidak meluangkan masa berdua-duaan pada hujung minggu? Kenapa sebelum kahwin kita berusaha untuk bersiar-siar bersama-sama tetapi selepas kahwin memberikan pelbagai alasan?

Jadi, apa salahnya pada hujung minggu, anda dan pasangan keluar berdua-duaan.

Selain menyeimbangkan masa mahupun mengembalikan nostalgia masa lalu, keluar dating dengan pasangan dapat memberikan ruang dan masa berbual bersama, menyelami hati masing-masing dan memberikan sedikit rasa kemesraan.

Tidak semestinya keluar dating ini memerlukan duit poket banyak, memadailah dengan mengunjungi tempat yang berpatutan dengan bajet anda.

Tapi sebelum keluar pastikan anak-anak diurus dengan sebaiknya atau mendapatkan penjaga untuk mereka.

Aktiviti ketika berdating

- Makan bersama

Tidak kisahlah anda hendak makan waktu apa, sarapan, tengah hari, petang mahupun malam.

Kalau makan malam pastinya ia makan di bawah sinaran cahaya , romantiknya.

- Bermain boling atau ke taman bunga

Bagi yang tidak pandai bermain boling, saat inilah pasangannya boleh memberi tunjuk ajar. Cubalah, pastinya pegangan-pegangan sayang daripada pasangan anda itu menjadi.

- Ambil gambar kenangan

Sediakan kamera untuk merakam gambar kenangan anda berdua. Gambar ini akan meninggalkan kenangan dengan pasangan ketika bersama.

- Menonton wayang

Juga satu kelebihan bagi mereka yang inginkan perhubungan yang hangat. Mungkin boleh menonton cerita yang agak romantik. Bukan cerita itu yang penting tetapi saat bersama itu yang mustahak.

Panduan ketika berdating

- Tampil dengan perubahan

Biarpun tidak memerlukan pakaian yang mahal dan terdedah, penampilan tidak perlu terlalu over. Cukup sekadar dilihat oleh pasangan anda sesuatu yang baru dan menyenangkan hati. Pakailah sedikit mekap untuk penyeri sekiranya anda di rumah kelihatan kusut-masai.

- Berpegangan tangan

Apa yang nak dimalukan untuk berpegangan tangan. Pada waktu ini semua orang akan melihat betapa intimnya anda dengan pasangan.

- Jangan jadi bisu

Pastikan sepanjang bersama pasangan, banyak perkara dibincangkan. Bukanlah perkara yang terlalu berat untuk difikirkan tetapi topik yang menjadikan saat anda bersama itu indah - UM

Sunday, December 26, 2010

Berhutang untuk pergi haji???


DEMIKIANLAH maksud di sebalik bacaan Talbiah (Labaikka Allahumma Labaik) yang dilaung-laungkan oleh para jemaah haji selama mereka berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Iaitu bermula selepas berniat ihram di miqat sehinggalah melontar jamrah Kubra atau sehingga melakukan tawaf rukun.

"Datang kerana menyahut panggilan Mu" itu tentu sekali mempunyai implikasi daripada aspek syarie dan falsafah haji itu sendiri.

Dari aspek syarie soal kedatangan ke Tanah Suci itu berkait rapat dengan soal kemampuan. Ini sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 97.

Tidak dinafikan soal kemampuan seseorang itu untuk mengerjakan haji sering mendapat perhatian pelbagai pihak apabila tidak kurang merasakan mereka perlu berhutang untuk menunaikan haji. Jika tidak berhutang sampai bila-bila pun mereka tidak mungkin berpeluang menunaikan haji.

Sementelah usia masih muda, badan masih sihat dan kuat, apa perlunya menunggu ke Tanah Suci kerana bimbang jika pergi pada usia bersara atau tua, badan sudah tidak kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran fizikal dan mental yang menunggu di Mekah mahupun Madinah.

Di tambah lagi 'seruan telah sampai' dan keinginan telah membuak-buak dan tidak boleh ditahan-tahan lagi. Maka pergi tetap pergi walaupun terpaksa berhutang.

Dalam masalah ini pendakwah bebas terkenal, Datuk Daud Che Ngah berkata Islam telah menetapkan mengenai soal kemampuan untuk menunaikan haji itu adalah bebas daripada berhutang.

Begitu pun hukum berhutang untuk menunaikan haji adalah harus, dibolehkan pergi. Malah, jika ibadat itu dapat dilakukan dengan baik maka tentunya sahaja ibadat haji itu sah.

"Ini sebagaimana resolusi yang dicapai dalam Muzakarah Ibadat Haji Tahun 2006 menerusi pembentangan sebuah kertas kerja mengenai berhutang untuk mengerjakan haji.

"Berhutang dibenarkan apabila si peminjam didapati mempunyai cagaran, iaitu dalam bentuk simpanan dalam Skim Perkeso, Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), elaun saraan (pencen), ganjaran pekerjaan dan sebagainya.

"Semua ini dapat menampung hutang terutama apabila si peminjam ini tadi ditakdirkan tuhan meninggal dunia di Tanah Suci semasa mengerjakan haji," katanya.

Maka ia tidak akan meninggalkan beban kepada waris untuk membayar hutang haji kerana si mati ada meninggalkan simpanan dalam akaun-akaun tersebut.

"Si peminjam mempunyai jaminan dalam bentuk wang cuma tidak sampai masa untuk dikeluarkan," katanya.

Namun, tegas Daud, hutang si mati tidak boleh dilunaskan berdasarkan tuntutan insurans nyawa.

"Kecuali jika melalui Insurans Takaful kerana ia menepati kehendak-kehendak syariat berbanding insurans konvensional dikhuatiri mengandungi unsur gharar," katanya.

Maka yang penting berhutang itu tidak melanggar perkara yang haram dan tidak akan membebankan orang lain.

"Seeloknya andai berlaku kematian, yang ditinggalkan harta untuk waris bukannya hutang yang boleh membebankan pula kepada orang lain untuk menanggungnya," katanya.

Begitupun kata Daud, berhutang untuk mengerjakan haji bukan sebahagian daripada falsafah dan keindahan pengajaran daripada ibadat haji itu sendiri.

"Ini sebagaimana yang Allah telah tegaskan dalam surah di atas tadi, iaitu soal kemampuan. Walaupun wajib seseorang itu mengerjakan haji jika dia mampu. Andai tidak mampu maka boleh ditangguhkan sehingga dia benar-benar mampu tanpa perlu berhutang," katanya.

Ini kerana apabila membicarakan soal 'berkuasa' untuk mengerjakan haji terdapat 12 syarat di dalamnya.

Antaranya termasuklah mestilah jemaah itu seorang Islam, berakal (tidak gila), baligh (capai umur mukalaf), bukan hamba sahaya (merdeka) dan berkuasa (mampu) dengan lain perkataan bukan berhutang.

"Berkuasa di sini pula sama ada dengan pertolongan orang lain dan kedua dengan kemampuan diri sendiri.

"Kemampuan diri sendiri ini tertakluk kepada syarat; ada perbelanjaan yang halal, ada kenderaan untuk pergi dan balik, ada tambang menambang (kos pengangkutan), sihat tubuh badan, aman dalam perjalanan dan berkesempatan dari aspek masa," kata Daud.

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Saturday, December 25, 2010

Adab-adab malam pertama..


DALAM Islam, pernikahan adalah perkara yang agung dan suci. Al-Quran menyebutnya sebagai mitsaqan ghalizan atau ikatan yang kuat. Malah Islam tidak hanya mengatur persoalan hubungan suami dan isteri secara umum. Ia juga mengkaji pelbagai persoalan yang dianggap bersifat peribadi.

Semuanya bertujuan mewujudkan kebahagiaan suami dan isteri dalam hidup berumah tangga.

Menurut penulis buku berjudul Indahnya Malam Pengantin, Ummu Nayla, perkataan itu hanya disebutkan tiga kali dalam al-Quran iaitu, pada perjanjian Allah SWT dengan para Nabi-Nya iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW (dalam surah al-Ahzab ayat tujuh).

Yang kedua semasa Allah mengangkat bukit Thur ke atas kepala Bani Israel dan menyuruh mereka bersumpah setia di hadapan Allah (surah an-Nisa ayat 154).

Sementara yang ketiga apabila Allah menyatakan perihal ikatan pernikahan (surah an-Nisa ayat 21).

Menyentuh soal pernikahan, salah satu perkara yang sering menjadi topik perbualan atau perbincangan malah juga paling banyak mitos berkaitannya ialah bab adab malam pengantin atau malam pertama.

Hakikatnya, pengetahuan berkenaan cara melalui atau melayari malam pertama yang indah dan penuh keberkatan adalah amat penting. Ini kerana, hubungan intim yang dilakukan pada malam tersebut, menentukan kemesraan hubungan intim pada hari-hari akan datang, seterusnya membina keharmonian rumah tangga.

Selain itu, hubungan intim yang dilalui pada malam pertama itu diharap akan dapat melahirkan anak-anak soleh dan solehah, yang mampu menegakkan Islam di muka bumi.

Justeru, setiap umat Islam terutamanya yang bakal bernikah, lebih-lebih lagi pada musim-musim cuti persekolahan hujung tahun ini, perlu memahami adab malam pertama dari perspektif Islam.

Semoga dengan memahaminya, malam pertama dapat dilalui dengan indah dan penuh berkat serta meninggalkan kesan yang mendalam pada hati kedua-dua pasangan mempelai.

Realitinya, ilmu berkaitan malam pertama tidak diajar secara menyeluruh dan tidak mencukupi, apa lagi yang dijelaskan dari sudut pandangan Islam.

Ini berkemungkinan kerana hal ini dianggap sesuatu yang perlu dipelajari sendiri atau diturunkan oleh orang tua-tua kepada bakal-bakal pengantin. Ditambah, topik ini bukannya yang biasa dibincangkan secara terbuka atau terang-terangan.

Padahal, setiap orang yang mahu dan bakal bernikah serta melalui malam pertama perlu mempunyai ilmu yang cukup agar malam pertama dilayari bukan semata-mata aktiviti fizikal tetapi juga sebagai aktiviti mental.

Apabila persetubuhan hanya berfungsi sebagai aktiviti fizikal, apa yang diperoleh oleh pasangan itu hanyalah kenikmatan semasa orgasma. Tidak ada ketenangan hati dan ketenteraman jiwa semasa menjalani kehidupan bersama dalam rumah tangga.

Oleh itu, suami dan isteri perlu menyedari ada keindahan lain di luar daripada persetubuhan yang dapat menyempurnakan kebahagiaan rumah tangga.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: "Allah menciptakan kehadiran suami dan isteri sebagai bentuk kebahagiaan. Kehadiran suami ataupun isteri lebih indah daripada jimak."

Semoga kehadiran suami mempunyai makna yang berharga bagi isteri. Mari kita sama-sama contohi rumah tangga Ali bin Abu Talib dan Fatimah az-Zahra.

Rumah tangga mereka mempunyai gambaran yang mempesonakan. Ali berkata: "Apabila aku memandang isteriku, Fatimah az-Zahra, hilang kesusahan dan kesedihanku."

Sesungguhnya setiap daripada kita sebenarnya mengharapkan serta sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar perkahwinan yang dibina kekal ke akhir hayat.

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Bila seseorang itu meninggal dunia...bilakah masanya perlu disempunakan jenazahnya???


SAYA keliru dengan tata cara mengendalikan jenazah. Jika seseorang itu meninggal dunia pada pukul 5 petang dan akan dikebumikan tengah hari esoknya, adakah jenazah itu perlu dimandikan dahulu atau tunggu pagi esok baru dimandikan. Apa pula saranan Islam dalam menyegerakan urusan jenazah ini?

JAWAPAN

Pengurusan jenazah hendaklah dilakukan bila sudah ditetapkan pengebumiannya. Sekiranya seseorang itu meninggal pukul 5 petang dan ahli keluarga telah sepakat mengebumikan pada keesokkan hari pukul 10 pagi. Maka, pengurusan jenazah dengan memandi, menkafannya seeloknya keesokkan hari sebelum pukul 10 pagi.

Namun demikian, tiada halangan untuk menguruskan jenazah pada petang atau malam walaupun akan dikebumikan keesokkan hari.

Dari sudut afdalnya diuruskan jenazah sebelum dikebumi. Maksudnya sesudah dimandi, dikafan dan disolatkan terus ke tanah perkuburan. Pandangan inilah yang lebih afdal.

Ini kerana beberapa sebab antaranya ialah, untuk menjaga kebersihan jenazah, seperti yang diketahui semasa dimandikan jenazah disunatkan urut perut dan menekan secara perlahan bagi membersihkan perut, dengan demikian akan keluar najis (sekiranya ada), kalau tidak akan diistinjak bagi memastikan kebersihan dubur.

Sambil itu jenazah dimandikan dengan air yang bersih, kemudian disabun dan dijirus dengan air yang bersih, untuk yang akhirnya dijirus dengan air kapur barus. Manakala ketika dikafan pula diselang seli dengan taburan sebuk cendana dan minyak atar.

Semua ini dilakukan ketika memandikan jenazah dan mengkafankannya adalah semata-mata memastikan agar jenazah bersih dan dalam keadaan yang terhormat ketika dikembalikan.

Ini sangat berbeza dengan menguruskan jenazah sehari sebelum dikebumikan tidak dapat dijamin, kerana ada kemungkinan najis keluar dari tubuh jenazah. Bagi mengelakkan dan mengekalkan kebersihan dan penghormatan jenazah adalah lebih utama diuruskan sebelum dikebumikan. Seperkara lagi, ketika manusia lahir dari perut ibunya ke atas dunia ini dia dalam keadaan kotor, berdarah, basah dengan air ketuban, keluar dari rahim ibunya. Biarlah ketika manusia ini pulang ke alam barzakh dalam keadaan suci bersih.

Islam tidak menggalakkan penangguhan pengkebumian jenazah, malahan penangguhan itu adalah satu penyeksaan kerana roh dan jasadnya telah terpisah. Kedua-duanya tiada lagi tugas di atas dunia jasad akan ke tanah manakala roh akan menghadap Allah SWT di alam yang telah ditetapkan. Menjadi tanggungjawab ahli keluarga bagi menyegerakan pengurusan dan pengkebumian jenazah yang telah terpisah roh daripadanya.

Menyempurnakan dan menyegerakan pengurusan jenazah (dimandikan, dikafankan, di sembahyangkan dan dikebumikan) adalah salah satu tuntutan Islam. Ini adalah kerana bila jenazah ini orang beriman dan soleh menyegerakannya adalah baik kerana mempercepatkan jenazah ini diletakkan disalah satu taman-taman Syurga. Kubur menanti dengan gembiranya orang yang soleh. Begitu pula jika jenazah ini orang jahat maka menyegerakannya adalah kerana untuk melepaskan tanggungjawab kita.

Abu Hurairah r.a : Diriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya: Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu). (riwayat Muslim)

Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga jenazah itu disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda SAW bersabda: Seumpama dua gunung. (riwayat Muslim)

Hadis Rasulullah SAW di atas jelas menuntut agar menyegerakan pengurusan jenazah. Bertangguh dalam menguruskan jenazah adalah tidak digalakkan, sekiranya bertangguh sehingga berhari-hari tanpa alasan yang munasabah hukumnya haram. Kalau sekadar menunggu sanak saudara yang berdekatan tiba tidak mengapa. Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili berpendapat: "Tidak mengapa sekiranya berlaku kelewatan dalam pengkebumian jenazah atas alasan menunggu sanak saudara (harus), ini bagi membolehkan mereka mendoakan jenazah tersebut. Tetapi tidak terlalu lewat sehingga menyiksa jenazah." - UM

Letih dengan nahas bas di Malaysia..


KEMALANGAN bas di Malaysia sudah berada di tahap kritikal dan tidak bermusim lagi. Kemalangan bas persiaran di jalan Cameron Highlands ke Simpang Pulai melibatkan 27 orang terkorban dengan 22 mati serta-merta bukan lagi suatu tragedi ringan.

Ia wajib dipertanggungjawabkan oleh semua yang terlibat termasuk pihak berkuasa.

Malangnya, tindakan lemah pihak kerajaan menangani isu ini secara serius menyebabkan ia menjadi malapetaka berterusan dan dilupakan selepas sesuatu tragedi berlaku.

Pada tahun ini begitu banyak kes kemalangan maut bas terutamanya bas ekspres dan persiaran tetapi apakah tindakan konkrit pencegahan daripada pihak berkuasa seperti Kementerian Pengangkutan, JPJ, Miros dan PDRM terhadap isu ini?

Semakin hari, semakin banyak nyawa terkorban sehingga tidak mengira lagi sesiapa termasuk melibatkan pelancong asing. Tidakkah ini memperlihatkan kelemahan sistem pengangkutan awam negara? Sehingga kini dikhabarkan belum ada peraturan khas yang digubal melibatkan pengendalian bas jenis dua tingkat sama ada melibatkan kursus/lesen khas untuk pemandu, permit pengendalian dan syarikat pembuat badan bas.

Secara kasar boleh dikatakan faktor pemandu memandu laju dan struktur bas mengambil tepat sebagai faktor penyebab kemalangan selain faktor dorongan melibatkan struktur jalan raya dan persekitaran.

Malangnya pihak berkuasa kelihatan 'malas' mengkaji secara ilmiah untuk bertindak dan bertegas.

Tindakan hangat-hangat tahi ayam sejurus selepas tragedi seperti peralatan kotak hitam, larangan perjalanan malam, sistem GPS dan entah apa lagi tindakan bersifat 'kosmetik' dihebahkan untuk menyejukkan hati pengguna.

Kerajaan dilihat tidak serius mengkaji secara ilmiah dan berkesan seperti melaksanakan pencegahan dua faktor penyebab utama kemalangan maut bas; iaitu pemandu memandu laju/ hilang kawalan dan struktur bas.

Saya mencadangkan suatu tindakan ketat seperti berkerjasama dengan pengeluar chasis bas, Miros dan Puspakom untuk memasarkan bas yang dilengkapi kotak gear hanya berkelajuannya 100-110 km/j (berbanding sekarang boleh mencecah 140-160km/j) tanpa menjejaskan kuasa mendaki (RPM enjin).

Alternatif kedua ialah mewajibkan pengeluar bas di negara ini memprogramkan unit ECU (Engine Control Unit) enjin bas supaya gabungan kuasa enjin (RPM) dan kelajuan di atas jalan ialah pada had yang ditetapkan.

Pada ketika ini hampir semua enjin bas berkuasa tinggi generasi baru (EURO 2 ke atas seperti model MAN, SCANIA, VOLVO, UD dan HINO) menggunakan kaedah teknologi CAN-digital engine control yang sukar dicapai oleh pemandu atau mekanik biasa kerana ia melibatkan program perisian berlesen dan perkakasan komputer berkemahiran khas.

Pihak berkuasa boleh menggunakan tag-seal pada kotak elektronik enjin ini supaya jika ada usaha untuk menceroboh dan mengubahsuai secara tidak bertauliah pengusaha bas akan dikenakan tindakan undang- undang.

Kaedah mengunci pedal minyak atau sekatan pelarasan minyak pada pedal atau sistem pam penyuntik minyak (fuel injection pump) adalah perkara mudah yang boleh diubah suai bila-bila masa oleh pemandu dengan kerjasama mekanik.

Kedua, ialah faktor struktur bas. Jika diperhatikan hampir semua kes kemalangan ngeri dan maut bas melibatkan kegagalan struktur utama badan kerangka bas seperti bumbung tercabut dan ranap, dinding tidak kukuh dan keluasan struktur cermin penumpang. Kegagalan struktur utama ini akan menambahkan mangsa tercampak, digilis bas itu, tertusuk objek luar dan dihempap struktur bumbung.

Berdasarkan situasi ini apakah pula fungsi berkesan pihak MIROS, JPJ sebagai penyelidik masalah dan Kementerian Pengangkutan sebagai penggubal dasar menguatkuasakan undang-undang tegas untuk mewajibkan pengilang badan bas hanya boleh membina bas yang mematuhi Piawai R66 (EU Rollover Test Standard), seterusnya mengharamkan kaedah joint-welding pada struktur bumbung sehingga ke chasis bas.

Selain itu juga, semua bas mesti diwajibkan memasang tali pinggang keselamatan pada setiap tempat duduk seperti yang dilaksanakan di negara-negara Eropah.

Pengusaha bas yang mampu membeli bas berkelulusan R66 ini sahaja yang diberikan permit beroperasi dan seterusnya memastikan persaingan syarikat yang serius dalam industri ini sahaja boleh memberikan perkhidmatan kepada pengguna.

Berbanding sekarang ini, syarikat yang tiada kemahiran dan kesungguhan dalam industri ini masuk untuk menyempitkan margin keuntungan sehingga menjejaskan syarikat yang berkemampuan.

Tragedi demi tragedi melibatkan bas awam di negara ini sudah dilihat sebagai bom jangka yang akan membunuh bila-bila masa. Pihak berkuasa seharusnya mesti bertindak segera supaya kualiti industri bas di negara ini seiring dengan kemajuan negara.

PEMERHATI JALANAN

Nibong Tebal, Pulau Pinang

Thursday, December 23, 2010

Di puncak piramid skim cepat kaya..



SEBUAH kereta sports Nissan Fairlady berhenti di hadapan restoran. Ia tidak diletak di dalam petak tetapi melintang. Bukannya tidak ada kosong, cuma ia ‘sengaja’ dipamerkan sedemikian rupa. Keluar dua lelaki berusia awal 20-an. Berpakaian kemeja dan seluar hitam dengan tali leher berwarna kuning. Butang lengan dikancing rapi. Janggal sedikit kerana waktu sudah 1 pagi.

‘‘Kau tidak mahukah kereta sports macam itu? Duit banyak, perempuan pun ramai hendak jadi teman,” kata seorang tukang rekrut di meja sebelah kepada dua pemuda dalam suara yang lantang, tanpa mempedulikan penulis dan rakan-rakannya yang turut sama terkesima melihat aksi ‘gaya, mutu dan keunggulan’ dua model tersebut.

‘‘Mereka itu pemilik kereta atau car-jockey?,” kata seorang teman dalam suara perlahan tetapi sudah cukup mencetuskan ketawa di meja kami. Itulah malam bersejarah, rupa-rupanya. Satu acara merekrut besar-besaran untuk satu skim jualan langsung (MLM) sedang berlangsung di sebuah restoran di Shah Alam dan menjadi lebih dramatik dengan aksi ‘pemilik’ Nissan Fairlady itu.

Ia mungkin satu lakonan, mungkin juga benar kereta itu dimiliki dengan sah oleh model MLM berkenaan. Mereka ini telah menjadikan restoran itu sebagai ‘pusat merekrut’. Calon-calon rekrut disuruh datang ke situ atau dibawa ke situ. Yang sudah menjadi ahli, hadir dalam pakaian serba hitam. Yang belum jadi ahli, kelihatan tekun (atau khayal) mendengar kempen dan propaganda. Ahli-ahli baju hitam ini bersalam pun ala-Hip Hop. Tangan digenggam dan badan dipeluk. Mereka jelas terhutang budi antara satu sama lain, mungkin saling memakmurkan diri masing-masing. Rata-rata mereka ini muda-muda belaka.

Beberapa bulan kemudiannya, kumpulan ini dibongkar oleh pihak berkuasa sebagai skim MLM piramid atau skim cepat kaya. Restoran tersebut kini kembali lengang walaupun beberapa watak dulu dilihat masih minum di situ, tetapi tidak lagi berpakaian serba hitam.

Anda mungkin pernah dipelawa menyertai skim MLM seumpamanya. Seorang teman mengaku pernah menyertai hingga tiga skim MLM. Tiga-tiga wang mukanya hangus. Sampai tiga baru hendak insaf? Ada pula seorang kenalan kini renggang dengan temannya, gara-gara hangus beratus ribu dalam skim cepat kaya seumpamanya.

Penulis sendiri pernah dipelawa, malah diperdaya kononnya untuk mengadakan temuramah. Rupa-rupanya kena duduk dengar ceramah MLM. Tidak mengapa, orang itu sendiri sedar kesilapannya dan tidak lagi berani tunjuk muka.

Oleh kerana pengalaman sebegini, perniagaan MLM lebih banyak mendatangkan persepsi negatif pada kebanyakan kita. Namun, kita harus terbuka minda yakni memang wujud syarikat MLM yang sahih dan fokus terhadap penjualan produk atau perkhidmatan, malah memiliki banyak produk serta sering dipertingkatkan menerusi inovasi atau penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Industri MLM ini turut diiktiraf oleh kerajaan sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara. Jumlah dagangan dalam MLM dijangka mencecah RM10 bilion pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-10, setelah tahun lalu mencatat RM5 bilion.

MLM yang tidak baik ialah yang memfokuskan semata-mata kepada pelantikan ahli baru yang diistilahkan sebagai downline. Calon-calon dijanjikan dengan pelbagai tahap komisen lumayan jika dapat melantik tiga orang, kemudian bantu tiga orang itu untuk dapatkan tiga orang lain dengan anda di atas. Produk? Tidak mengapa. Itu soal kedua. Lagi pun, siapalah berminat hendak menjual produk seperti ‘kopi 50 dalam satu’, ‘minyak lintah penambah nikmat’ dan lain-lain, yang kelakar bunyinya dan mendatangkan rasa segan pula hendak menjualnya.

Mengawal selia

Dalam konteks ini, kerajaan dilihat proaktif dalam mengawal selia industri yang popular ini daripada terus menerus disalah guna menjadi skim piramid cepat kaya. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal membentangkan pindaan Akta Jualan Langsung 1993 pada sidang Parlimen sekarang. Harap sempat dan tidak dihambat dek isu politik yang hanya menguntungkan individu tertentu, bukan rakyat jelata.

Fenomena MLM piramid cepat kaya ini bukan eksklusif di Malaysia semata-mata. Ia bukan dicipta oleh Pak Man Telo, walaupun namanya akan selama-lamanya dikaitkan dengan skim itu. Sebaliknya ia adalah fenomena global. Malah di Amerika Syarikat, skim piramid diistilahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti & Bursa (SEC) sebagai ‘skim Ponzi’.

Skim Ponzi diambil dari nama Charles Ponzi yang menipu ribuan penduduk New England supaya melabur dalam skim spekulasi setem pos pada 1920-an. Ketika itu, kadar faedah tahunan bank adalah sebanyak 5 peratus. Ponzi menjanjikan para pelabur bahawa dia boleh menyediakan pulangan sebanyak 50 peratus dalam tempoh hanya 90 hari. Pada awalnya, Ponzi membeli kupon pos antarabangsa bagi mengabui mata orang ramai untuk mempercayai skimnya itu. Dengan dana baru diperolehi dari pelabur baru, ia digunakan bagi membayar pelabur awalnya. Ponzi menerima publisiti tambahan bila berita keuntungan itu tersebar. Pelabur pertama tadi menggandakan pelaburannya. Kesudahannya sama seperti kes Pak Man Telo. Tidaklah diketahui jika Pak Man Telo ada mengkaji formula Ponzi berkenaan semasa hayatnya.

Namun apa yang nyata, walaupun kes itu sudah berlaku 80 tahun dulu (30 tahun di Malaysia), masih ramai yang terpedaya. Semuanya gara-gara mahu cari jalan pintas ke arah kesenangan dan kekayaaan. Duit banyak tetapi dungu. Mana ada perniagaan di dunia ini yang menjamin pulangan luar biasa sebegitu besar dalam tempoh singkat. (Jual dadah atau perempuan bukan perdagangan sah atau halal.

Kedunguan orang mahu kaya cepat dengan cara singkat itu pun bukan eksklusif di Malaysia. Di AS pada tahun lalu, SEC memfailkan 60 tindakan perundangan membabitkan skim Ponzi atau yang berbentuk pembayaran Ponzi, termasuk mendakwa Robert Allen Stanford yang dituduh mengendalikan skim Ponzi bernilai AS$8 bilion serta Bernard L. Madoff yang kini menjalani hukuman penjara 150 tahun setelah didapati bersalah atas tuduhan yang serupa.

Skim piramid cepat kaya ini ada pelbagai. Sang penipu akan terus mengambil kesempatan atas kedunguan dan ketamakan orang dengan mencipta pelbagai nama baru serta atas bermacam platform perniagaan, seperti MLM ini. Jika anda ditawarkan skim MLM, siasatlah dulu dengan pihak berkuasa mengenai kesahihannya. Paling mudah ialah dengan menolak selamba bila tukang rekrut menekankan soal downline berbanding jualan produk atau muncul kereta sports diletak melintang di hadapan anda. - UM

Oleh Johardy Ibrahim

Wednesday, December 22, 2010

Berhati-hati bila bernazar..


SAYA ada kemusykilan tentang bernazar. Sebelum berkahwin, saya ada bercita-cita bila anak sulung saya lahir, saya ingin berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Atas alasan membantu ekonomi keluarga, suami ingin saya terus bekerja. Kemudian saya berhasrat untuk berhenti kerja apabila anak sulung saya masuk tahun satu, atas alasan yang sama, saya tidak berhenti kerja sehingga kini (anak saya telah berumur 10 tahun).

Saya musykil apakah hasrat atau cita-cita saya itu dikira sebagai nazar yang tidak saya laksanakan kerana saya dapati pencapaian akademik anak saya itu agak lemah berbanding adik-adiknya. Adakah tidak tertunainya nazar itu punca kelembapan anak saya? Apakah yang harus saya lakukan?

JAWAPAN

Mengikut apa yang saya faham bahawa puan pernah bercita-cita untuk berhenti kerja bila dikurniakan cahaya mata. Niat yang sebegini tidak dikira nazar, kerana ini adalah hajat puan jika keadaan mengizinkan puan akan berhenti kerja tapi puan tidak dapat berhenti kerana kekangan hidup.

Nazar hendaklah dalam perkara ta'abbudiy (Ketaatan dalam melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT), berhenti kerja bukan suatu ketaatan kepada Allah SWT. Nazar yang ta'abbudiy ialah melafazkan niat nazar dengan suara yang agak boleh didengari oleh telinga sendiri.

Nazar yang disunatkan dan disukai Allah SWT ialah Nazar tabarrur, nazar berbuat kebajikan atau ketaatan, dengan berniat "Demi Allah aku akan bersedekah tiga ekor kambing." Nazar sebegini juga dinamakan nazar taqarrub, nazar mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Manakala pencapaian anak yang tidak cemerlang tiada kaitannya dengan niat puan. Jangan sesekali puan anggap ini sebagai hukuman Allah SWT. Sedang Allah SWT sangat pengasih lagi penyayang. Pencapaian anak-anak pastinya tidak sama. Kadang-kadang kita sebagai ibu bapa sangat ghairah untuk melihat keputusan yang sangat cemerlang daripada anak-anak kita.

Saya kira kita salah, sebab terlalu awal kita menghukum anak-anak itu kerana tidak cemerlang, atau tidak sehebat anak-anak orang lain. Mungkin juga pencapaian yang tidak cemerlang berpunca daripada kaedah didikan yang salah. Usaha lagi puan, Insya-Allah akan ada jalan keluar.

Namun suka saya perjelaskan sedikit maklumat dan perincian nazar ini seperti berikut. Sabda Rasulullah SAW daripada Aisyah ra daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah, dan sesiapa yang bernazar untuk mengingkari perintah Allah (berbuat maksiat) maka janganlah menderhakai-Nya. (al-Bukhari, no:6565, Abu Daud, no:3265, al-Tarmidzi, no: 1564, Ibn Majah, no: 2126 ).

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ketahuilah), apa sahaja Yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja Yang kamu nazarkan maka Sesungguhnya Allah mengetahui-Nya dan (ingatlah), orang-orang Yang zalim itu tidak ada sesiapa pun Yang dapat menolongnya. (al-Baqarah: 270).

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi Yang Diwajibkan Tuhan kepada-Nya), serta mereka takutkan hari (akhirat) Yang azab seksa-Nya merebak di sana sini. (al-Insan:7)

Nazar mempunyai dua macam iaitu;

l Nazar mutlak

Mewajibkan diri dengan sesuatu ketaatan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas apa yang diperolehi dan yang telah berlaku, sama ada berbentuk nikmat atau terhindar dari bala. Contoh bernazar setelah Allah melepaskannya dari kesengsaraan dan kesedihan atau Allah mengurniakannya dengan rezeki.

Nazar ini lafazkan setelah memperoleh nikmat atau terhindar dari sesuatu bala'. Nazar begini hukumnya adalah diharuskan. Manakala menurut Maliki disunatkan.

l Nazar mu'allaq

Iaitu bernazar untuk mentaati Allah swt sekiranya dia dikurniakan sesuatu yang dihajatinya atau dengan ketaatan atas sesuatu yang akan datang (belum berlaku). Juga bermaksud jika impiannya terlaksana. Nazar yang bersyarat begini hukumnya adalah makruh menurut kebanyakan ulama Syafi'i, Hanbali dan Maliki.

Ini kerana perbuatan taat yang mahu dilakukan bergantung kepada tercapai atau tidaknya apa yang dimahukan. Ternyata di sini bahawa amalannya itu bukanlah untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi dengan niat sebagai barang ganti.

Seolah-olah, Jika Allah laksanakan kemahuan aku, aku akan mendekatkan diri kepada-Nya, jika tidak, maka aku tidak lakukan. Ia disebut sebagai orang yang bakhil dan berkira-kira dengan Allah SWT.

Sebenarnya bagi saya kebanyakan apa yang kita nazarkan dalam mencapai sesuatu hajat perlu berhati-hati supaya tidak mengundang kemurkaan Allah SWT. Ini kerana ada di antara kita yang suka bernazar kemudian memungkiri nazarnya selepas mendapat apa yang dia mahu. Dengan demikian kita telah menanggung hutang dengan Allah SWT.

Peliknya manusia ini masa minta dan mohon kepada Allah SWT memang bersungguh-sungguh, tapi apabila sudah dapat, mereka buat-buat terlupa. Saya sedari hal ini apabila ada yang bertanya bahawa dia pernah bernazar pada tahun 1990. Nazarnya telah diperkenankan oleh Allah SWT pada tahun 1991 tapi sampai sekarang belum menunaikan nazarnya.

Sebab itulah saya fikir bahawa walaupun bernazar ini suatu yang harus dalam Islam tetapi ia seolah-olah mensyaratkan perlakuan kebajikan itu dengan sesuatu pemberian daripada Allah SWT. Sedang Allah SWT sangat luas pemberiannya yang kalau manusia hitung pasti tidak dapat membalasnya.

Oleh itu seperkara kena ingat di sini, jika nazar yang diucapkan disertakan dengan iktikad bahawa nazar yang dibuat ini memestikan hasratnya tercapai, atau beriktikad bahawa Allah SWT memperkenankan hasratnya disebabkan oleh nazarnya itu, maka iktikad seperti ini adalah satu niat yang buruk, keji dan rosak. Ia hampir kepada kufur. Ia termasuk di dalam dosa besar. - UM

Tuesday, December 21, 2010

Bayar saman atas ketidakcekapan komputer PDRM..


BILA membaca luahan Robin Hood Gemereh Segamat dalam ruangan Forum pada 15 Disember 2010 bertajuk Saman trafik lama sudah dilangsai masih perlu dibayar amat meruntun kesayuan, kekecewaan dan kemarahan hati saya.

Ketika menyemak senarai saman untuk dibayar, ekoran tawaran istimewa 50 peratus oleh kerajaan bagi tujuan membaharui cukai jalan minggu lepas, saya berasa amat kecewa.

Bayangkan saman yang telah dilangsaikan tahun 2002 masih terpacak dan terpampang dalam cetakan saman PDRM. Dua kereta yang telah dijual lapan tahun lepas masih menjadi igauan saman.

Saya yakin telah membayar saman tersebut dan diberi resit perakuan bayar berlogo PDRM berwarna biru yang masih segar dalam ingatan. Ia adalah ekoran saya telah disenaraihitamkan untuk membaharui cukai jalan, tambahan pula pada masa itu PDRM telah mengadakan operasi bukan sahaja menyenaraihitam pesalah saman ekor malah operasi menahan pesalah trafik di rumah atau di pejabat.

Apakah barang kali ketidakcerdikan saya tidak menyimpan resit yang berusia hampir lapan tahun atau ketidakkecekapan sistem komputer PDRM yang menyebabkan saya dan ramai lagi menjadi mangsa untuk melangsaikan saman yang telah dibayar.

Adakah pengiktirafan ISO 9001: 2000 dalam kepala surat Cawangan Trafik PDRM hanya hiasan sahaja tanpa memenuhi amalan Prosedur Kerja Wajib, Prosedur Kerja Sokongan dan Prosedur Kerja Operasi menyebabkan kami menjadi mangsa.

Betul undang-undang menyatakan mesti dibuktikan dengan resit pembayaran tetapi ada masanya pertimbangan akal juga penting dalam merasionalkan kebenaran telah membayar saman tersebut.

Contohnya, bagaimana boleh saya membaharui cukai jalan dan lesen sekiranya saya disenaraihitamkan dalam operasi tahun-tahun lepas.

Bebanan untuk membayar saman yang telah dibayar mencecah ribuan ringgit, ditambah pula dengan bebanan persiapan belanja anak-anak ke sekolah dan persiapan perkahwinan anak. Alahai takdir atas ketidakcekapan komputer PDRM.

Kini masih mencari wang untuk bayar saman yang telah dibayar.

PESALAH TRAFIK ANIAYA

Sungai Buloh, Selangor

Thursday, December 16, 2010

Tribunal Pengguna tak mesra pengguna !!


SAYA ingin melahirkan rasa tidak puas hati dengan khidmat Tribunal Pengguna Kuantan, Pahang. Ini kerana pada bulan November baru-baru ini saya ada memfailkan tuntutan ke atas sebuah syarikat menjual komputer kerana note book yang dibeli telah ditukar komponen dalamannya hingga menyebabkan kerosakan dan kehilangan segala fail kerja serta peribadi selama 10 tahun.

Lebih malang lagi jaminan pekilang terbatal dan mereka enggan menggantikan hard disk yang rosak kerana ia bukan yang asal. Sehubungan itu saya membuat tuntutan kerugian dan meminta mereka bertanggungjawab.

Saya telah kemukan bukti resit/invois pembelian dan memberi hujah bahawa komputer tersebut tidak pernah dibuka sebelumnya oleh mana-mana pihak selain penjual atau pihak yang menyediakan khidmat servis jaminan untuk mengelakkan jaminan terbatal.

Saya juga telah mengemukakan bukti menafikan dakwaan penjual yang komputer tersebut telah dibuka oleh pihak lain sehingga pelekat jaminan koyak. Setelah diperiksa dengan teliti didapati tiada pelekat jaminan diletakkan oleh pihak penjual semenjak saya mula menerima note book tersebut (ia menunjukkan pihak penjual telah membuka dan menukarkan komponen dalaman) dan saya pamerkan kepada Tribunal Pengguna.

Saya juga telah memberi penjelasan kepada Presiden Mahkamah Tribunal Pengguna (seorang wanita) bahawa komponen dalaman note book tidak boleh diperiksa dengan terperinci berbanding komputer PC kerana jika dibuka pelekat jaminannya akan koyak dan terbatal jaminannya.

Malangnya segala hujah saya ditolak mentah-mentah sebaliknya segala hujah pihak penjual telah diterima bulat-bulat walaupun hujah mereka sengaja dibuat-buat. Keputusan yang dibuat oleh Tribunal Pengguna sangat lemah dan tidak berwibawa.

Saya juga seolah-olah dicabar oleh kakitangan tribunal agar membawanya ke Mahkamah Tinggi sekiranya tidak berpuas hati. Saya rasakan macam ada sesuatu yang tidak kena sehingga Tribunal Pengguna ini menjadi tidak mesra pengguna dan tidak mustahil ia akan menjadi 'Tribunal Tidak Berguna' kepada pengguna yang tertindas.

Sehubungan itu saya sarankan agar agensi-agensi kerajaan seperti SPRM atau sebagainya datang membuat tinjauan tertentu ke atas Tribunal Pengguna bagi memastikan ia benar-benar adil dan berguna kepada rakyat yang menuntut hak mereka.

PENUNTUT KEADILAN

Kuantan, Pahang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...