terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 19, 2011

Akibat Kereta kerap rosak, bengkel diarah bayar ganti rugi kepada pelanggan..


Setelah tidak tahan dengan kerenah pemilik bengkel yang sentiasa berdalih apabila dipersoalkan mengenai kerosakan keretanya selepas tiga kali dibaiki di bengkel sama, menyebabkan seorang pekerja swasta, Nik Abdullah Nik Aris melaporkan perkara itu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Menurut Nik Abdullah, kereta jenis Proton Wira miliknya mengalami kerosakan teruk apabila terlibat dalam satu kemalangan di Sepang pertengahan tahun lalu.

Katanya, untuk membaik pulih kenderaannya ketika itu, trak penunda telah menghantar kereta tersebut ke Lam Koon Sum Car Service Center Sdn. Bhd. yang terletak di Balakong dekat sini.

"Bagaimanapun selepas dihantar hampir sebulan, kereta saya masih gagal disiapkan. Setelah itu saya menghubungi bengkel tersebut dan mereka berjanji untuk menyiapkan kereta saya.

"Pada mulanya, pihak bengkel mendakwa kereta saya tidak dapat dibaiki kerana kerugian penuh berjumlah RM15,000 sedangkan insuran kereta saya hanya menanggung kos setakat RM10,000 sahaja," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pendengaran di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini hari ini.

Menurut Nik Abdullah, selepas mengambil keputusan untuk tidak membaiki kenderaannya di bengkel tersebut, beliau dimaklumkan kerugian penuh kenderaannya telah dikurangkan kepada RM6,000.

"Selepas itu saya setuju untuk membaiki kenderaan di situ, namun selepas mengambil kenderaan yang siap dibaiki pada Julai tahun lalu, saya dapati kereta tidak dibaiki dengan sempurna.

"Saya kemudian menghantar kembali kereta ke bengkel sebanyak tiga kali, namun keadaannya tetap sama dan saya hampir ditimpa kemalangan selepas kereta yang dinaiki tiba-tiba 'mati' dan berasap semasa di jalan raya," katanya.

Setelah merasakan tertipu dan dipermainkan, Nik Abdullah kemudian membuat laporan polis di balai polis Kajang sebelum dinasihatkan anggota bertugas membaiki kereta tersebut di bengkel lain serta menuntut ganti rugi di TTPM.

"Saya kemudian menghantar kereta ke sebuah bengkel lain untuk dibaiki dan perbelanjaannya hanya RM2,900 berbanding kos yang dikenakan sebelum ini iaitu RM4,900.

"Oleh itu, saya menuntut ganti rugi sebanyak RM2,900 daripada pihak Lam Koon Sum Car Service Center Sdn. Bhd. dan saya bersyukur kerana berjaya dalam tuntutan tersebut hari ini," katanya.

Setelah meneliti hujah kedua-dua pihak, Presiden TTPM, Siti Naa Aishah Hambali memerintahkan Lam Koon Sum Car Service Center Sdn. Bhd. membayar RM2,900 kepada Nik Abdullah kerana gagal melaksanakan tanggungjawab membaiki kereta pelanggannya dengan sempurna.

Dalam penghakimannya, Siti Naa Aishah berkata, Lam Koon Sum Car Service Center Sdn. Bhd. diperintah membayar jumlah itu kepada Nik Abdullah dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dibuat.

Dalam pada itu, Siti Naa Aishah turut menasihati wakil bengkel tersebut supaya menjalankan peniagaan dengan jujur dan tidak menjadikan pengguna sebagai mangsa keadaan.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...