terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, January 11, 2011

Anak kurang pandai tapi baik..dan anak pandai tapi perangai setan..mana satu pilihan anda????


SESI persekolahan yang baru dibuka seminggu lalu, seharusnya menjadi titik permulaan kepada ibu bapa dan guru-guru untuk meningkatkan lagi kecemerlangan anak-anak dan pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Keghairahan ibu bapa dan guru yang mengejar kejayaan akademik pelajar perlu diseimbangkan dengan sahsiah yang baik kerana ia perlu bagi melahirkan generasi berilmu yang mempunyai norma-norma kemanusiaan yang tinggi.

Kita tentu tidak mahu melahirkan seorang jurutera, peguam, arkitek yang tidak menghormati ibu bapa, guru malah orang tua.

Kita juga tidak mahu melahirkan doktor yang tidak menyayangi pesakit seperti keluarga mereka sendiri dan bersikap angkuh dengan jawatan tinggi masing-masing.

Tentu juga kita tidak mahu melahirkan seorang guru, pemimpin, pegawai tinggi kerajaan, eksekutif, pegawai bank, malah pekerja rendah dan kerani yang bersikap mementingkan diri tanpa mempedulikan nasib golongan miskin.

Keghairahan dan keseronokan ibu bapa meraikan kejayaan anak-anak mereka dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, hanyalah bersifat sementara sekiranya kejayaan tersebut tidak diiringi dengan sahsiah dan peribadi yang baik pelajar terbabit.

Kesibukan pihak sekolah mengatur program kecemerlangan akademik juga perlu selari dengan pencapaian pelajar agar mereka yang tergolong dalam kumpulan lemah tidak terlepas.

Banyak program kokurikulum yang dijalankan di sekolah sebenarnya memberi peluang kepada pelajar yang tidak berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan untuk menunjukkan potensi mereka dalam bidang bukan akademik.

Ibu bapa dan guru tidak perlu terlalu kecewa sekiranya anak-anak tidak mencapai kejayaan dalam peperiksaan tetapi perlu lebih kecewa sekiranya pelajar yang berjaya tersebut tidak ada nilai-nilai budi bahasa dan adab sopan yang tinggi.

Ibu bapa juga disarankan agar tidak memberi terlalu banyak tekanan selain meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak supaya berjaya dalam akademik semata-mata.

Masyarakat perlu memandang serius perkara ini supaya kita tidak terlalu mengagungkan pencapaian akademik pelajar semata-mata.

Mereka perlu turut memberi sokongan sekiranya anak-anak ingin terlibat dalam aktiviti sukan, persatuan dan kelab yang banyak membentuk sahsiah, peribadi dan keterampilan serta menjadikan pendidikan tidak formal untuk mengharungi cabaran masa depan.

Ungkapan segelintir ibu bapa yang mengatakan penglibatan pelajar dalam kokurikulum tidak memberi banyak manfaat perlu dikikis.

Bagi sekolah yang tidak dapat melahirkan ramai pelajar cemerlang, perlu diambil kira status pelajarnya.

Ada sesetengah ibu bapa beranggap sekiranya semua pelajar cemerlang mendapat keseluruhan A seperti yang diharapkan pihak sekolah, siapa pula yang akan bekerja di sektor yang menjana ekonomi negara seperti pertanian dan perikanan?

Pada pendapat saya, sekiranya pelajar yang mendapat 5E dalam UPSR tetapi hadir ke sekolah, boleh mengenal ABC, tidak pandai menipu, tidak terlibat dengan sebarang masalah disiplin, menghormati guru dan ibu bapa juga sebenarnya suatu kejayaan mereka.

Ia tidak dapat dilihat oleh kebanyakan orang berbanding dengan golongan terpelajar yang menyalahgunakan ilmu dan kemahiran mereka.

Pihak pentadbiran sekolah perlu memberi kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada guru dan pelajar yang terlibat aktif dalam kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Pihak sekolah pula jangan hanya tumpukan kepada program akademik semata-mata demi untuk pencapaian dalam pelajaran.

Jika dilihat di universiti, mahasiswa cemerlang akademik tetapi kurang penglibatan dalam kegiatan luar, sukar untuk menempuh alam pengajian yang lebih memerlukan mereka berdikari serta menampilkan kebolehan sampingan untuk bersaing sesama mereka.

Mahasiswa yang cemerlang akademik diikuti penglibatan aktif dengan persatuan, kelab dan sukan bermula di peringkat sekolah, dilihat lebih dominan dan popular di kalangan mereka.

Justeru, tahun 2011 ini diharapkan akan membuka lembaran baru kepada pemikiran ibu bapa, pelajar, guru mahupun masyarakat mengenai kepentingan pendidikan yang seimbang dari segi JERI untuk membentuk sahsiah pelapis negara dan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

GENERASI PEMIKIR

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...