terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 13, 2011

Asid: senjata murah paling bahaya !!


MUDAHNYA beli asid! Itu perkara pertama yang terlintas di fikiran penulis selepas berkunjung ke sebuah kedai perkakasan untuk cuba mendapatkan asid atau cuka getah.

Ketika masuk ke kedai itu bersama dua rakan, penulis terus bertanya kepada penjual di situ di mana cuka getah dan tanpa apa-apa soalan terus dibawa ke bahagian rak yang menempatkan produk berkenaan.

Ketika ditanya, penjual itu memberitahu sesiapa pun boleh membelinya tanpa perlu menunjukkan apa-apa lesen atau surat kebenaran.

Ketika diasak dengan pelbagai soalan berhubung penjualan bahan berbahaya itu secara terbuka dan tidak dikawal penjual itu hanya menjawab sambil ketawa : "Mahu untung ma..."

Malah bahan berbahaya itu juga harganya boleh dikatakan cukup murah, iaitu kurang dari RM10. Jadi tidak hairanlah ia merupakan antara senjata popular bagi sesetengah individu untuk melunaskan dendam atau melepaskan nafsu amarah mereka.

Sebab itu juga golongan berpendapatan rendah biasanya yang didapati kerap menyalah-gunakannya sebagai senjata untuk menyerang seseorang.

Mengikut Wikipedia Bahasa Melayu, asid adalah suatu sebatian kimia yang mempunyai sifat masam dan menghakis.

Perkataan asid itu sendiri berasal dari perkataan Latin, Acidus yang bererti masam.

Asid mampu melarutkan banyak benda seperti logam, kapur, besi, magnesium dan zink selain berupaya menukarkan warna sesetengah tumbuhan.

Bahan penting itu turut digunakan dalam bidang penting negara termasuk pertanian seperti di kalangan penoreh getah yang memerlukan asid formik atau bahasa pasarnya, cuka getah untuk membekukan hasil getah cair yang dikumpul mereka sebelum dihantar ke kilang.

Ekoran kepekatan, kesan terbaik dan harganya yang murah, cuka getah menjadi pilihan di kalangan pengusaha bidang pertanian untuk keperluan hasil tanaman mereka.

Namun apabila asid itu disalahgunakan oleh orang tertentu untuk tujuan membalas dendam atau melepaskan rasa marahnya, maka kesannya amat tragis.

Pengamal Perubatan, Dr. Rushmini Maris Ismail yang diminta mengulas isu simbah asid berkata, bahan penghakis itu sangat merbahaya jika terkena pada kulit manusia.

Katanya, kesan kecederaan yang ditinggalkan apabila terkena asid adalah akibat kulit terbakar.

Kebakaran ke atas kulit katanya, boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kepanasan disebabkan api, korosif (berpunca daripada terkena asid, alkali atau bahan kimia) dan renjatan elektrik (berpunca daripada arus elektrik).

"Jika mengikut isu serangan asid yang anda kemukakan, kebakarannya dikategorikan sebagai nombor dua iaitu korosif.

"Kesan yang dialami amat serius. Ia menyebabkan kulit melecur, mematikan tisu yang terkena asid, kulit tanggal dan meninggalkan parut yang teruk.

"Bagaimanapun, kesan serius itu juga bergantung kepada tahap peratus kebakaran sama ada peringkat pertama iaitu tidak terlalu teruk, peringkat kedua (merosakkan 30 peratus anggota badan) dan peringkat ketiga (lebih daripada 30 peratus dan membabitkan bahagian muka),"

Dr. Rushmini berkata, kesan paling teruk sudah tentu jika mangsa berada di peringkat ketiga yang mana menyebabkan kulitnya hancur, salur darah rosak dan dijangkiti kuman selain mengalami nyahhidrat.

Ia menyebabkan keadaan luaran dan dalaman tubuh mangsa rosak sehingga boleh menyebabkan kematian.

"Jika berlaku simbahan asid terutama pada peringkat yang serius, doktor akan terlebih dahulu memasukkan jumlah air yang banyak ke dalam tubuh mangsa bagi mengelakkannya terus mengalami nyahhidrat.

"Kemudian, doktor akan merawat luka bagi mengelakkannya dijangkiti kuman sebelum memberikan makanan tambahan kepada mangsa.

"Biasanya, kesan simbahan asid akan sembuh selepas beberapa tahun terutama jika berada pada peringkat yang teruk," ujarnya.

Selain itu, jelasnya, rawatan pembedahan dan membaik pulih kulit luar serta anggota mangsa yang terjejas akibat simbahan asid hanya akan dimulakan selepas lukanya benar-benar sembuh.

Menurut Rusmini, apa yang penting sebagai panduan, seseorang yang terkena asid perlu mencuci bahagian kulit yang terkena dengan air yang banyak.

Jika terkena pada pakaian, katanya, tanggalkan ia secepat mungkin bagi mengelakkan bahan itu terkena pada badan.

Mangsa perlu bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera dan bagi mengelakkan kesan cedera bertambah teruk.

Yang pasti jika tidak menemui ajal, mangsa serangan asid akan trauma seumur hidup.

1 comment:

  1. Btul juga.. Sepatutnya bahan yang berbahaya begini perlukan pengawasan dalam penjualan dan pembelian...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...