terima kasih buat kalian semua..

Friday, January 21, 2011

Banyak tonton TV punca anak lambat bercakap !!


ANAK lambat bercakap memang boleh membuatkan si ibu berasa risau. Tambahan pula jika melihat kawan-kawan sebayanya sudah petah berbicara dan bertanya itu dan ini seperti orang dewasa lagaknya.

Kerisauan ibu tersebut mungkin tikda berasas kerana keupayaan seseorang kanak-kanak itu untuk bercakap berbeza antara seorang dengan yang lain.

Malah ia juga berkait rapat dengan faktor persekitaran dan kesihatan mereka.

Pakar Terapis Pertuturan dan Bahasa Hospital Perubatan Gleneagles Ampang, Mohd. Firdaus Mazalan berkata, terdapat sesetengah kes anak lambat bercakap kerana faktor genetik yang mana ayah atau ibunya ketika kecil juga lambat bercakap juga.

''Oleh itu, adalah sesuatu yang normal kepada seseorang anak itu apabila lambat bercakap kerana ibu dan bapa juga mempunyai sejarah lambat bercakap,'' terangnya ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika ditanya tentang tahap usia yang boleh diklasifikasikan sebagai kanak-kanak itu lambat bercakap, Firdaus menjelaskan, usia dua tahun adalah paling lambat bagi kanak-kanak normal untuk bercakap.

''Biasanya bagi kanak-kanak yang normal usia setahun mereka sebenarnya sudah boleh bercakap walaupun dalam keadaan yang pelat,'' ujarnya serius.

Kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun biasanya sudah memulakan perkataan pertama mereka dan dalam lingkungan usia 18 hingga 36 bulan, kanak-kanak sudah mula memahami 'semantik' sesuatu perkataan dan mula menggunakannya sedikit demi sedikit.

Pertuturannya meningkat seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman.

Bagaimanapun sekiranya pada usia tersebut mereka masih tidak mampu lagi bercakap segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan atau nasihat yang sewajar.

Terang Firdaus lagi, keadaan ini juga berlaku kerana kanak-kanak berkenaan sedang memberi tumpuan untuk menguasai sesuatu kemahiran baru.

"Biasanya doktor akan membuat pemeriksaan yang menyeluruh sebelum diserahkan kepada pakar terapi pertuturan untuk tujuan pemulihan.

"Selain itu kurang galakan dan sokongan ibu bapa juga boleh menyebabkan kanak-kanak lambat bercakap.

''Keadaan ini biasanya berpunca daripada terlalu banyak masa dihabiskan tontonan televisyen menyebabkan mereka kurang terdedah untuk komunikasi dengan orang sekeliling,'' ujarnya lagi.

Daripada aspek kesihatan, anak yang kurang atau lambat bercakap mungkin menghadapi masalah jangkitan pendengaran atau disahkan mempunyai masalah pendengaran.

Malah, kanak-kanak yang mempunyai masalah 'oral-motor' juga menghadapi kesukaran menggunakan lidah, bibir dan dagu untuk mengeluarkan perkataan.

Selain itu kanak-kanak yang selalu bermain sendiri dan kurang terdedah kepada hubungan sosial juga menghadapi masalah sama.

Begitu juga jika ibu bapa menggunakan dwi bahasa di rumah menyebabkan anak-anak akan lambat bercakap.

''Oleh itu, disarankan kepada ibu bapa supaya tidak menggunakan bahasa rojak kepada anak-anak apabila di rumah.

''Hal ini berlaku kerana tahap pemikiran anak-anak masih lemah dan menyebabkan mereka terus untuk memilih tidak bercakap,'' akuinya lagi.

Ditanya mengenai kaedah untuk merawat masalah lambat bercakap ini, Firdaus menjelaskan banyak kaedah boleh di gunakan termasuklah kaedah membuat latihan, terapi mainan dan juga penggunaan gambar.

Oleh ZUHAYATI YAZID

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...