terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 16, 2011

Benarkah makhluk asing wujud di angkasa lepas ????


ADA mendakwa makhluk asing dari angkasa lepas wujud. Benarkah dakwaan itu.
AID, Johor.

Jawapan:

Allah SWT berfirman dalam surah asy-Syura ayat 29 bermaksud: “Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang ia biakkan pada keduanya daripada Daabbah (makhluk yang melata). Dia berkuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).”

Ayat ini adalah umum mengenai makhluk Allah SWT yang bertebaran di langit dan bumi. Dari segi bahasa, kalimah Daabbah (makhluk yang melata) diambil daripada kata akar yang bererti berjalan dengan sangat halus. Secara pastinya, perkataan Daabbah tidak digunakan dalam erti malaikat.
Menurut pakar bahasa al-Quran, ar-Raghib al-Ashfahani, perkataan itu digunakan bagi haiwan yang berjalan, tetapi banyak digunakan untuk serangga.

Ada juga ulama tafsir yang memahami kata langit pada ayat terbabit dengan awan dan Daabbah ialah burung seperti dikemukakan Muhammad Thahir dalam kitab tafsirnya, at-Tahrir.

Pada pandangan saya, pendapat itu tidak didukung ayat ini dan ayat al-Quran lain. Ayat ini menggunakan bentuk jamak bagi langit, ia bukan semata-mata langit yang kita lihat. Di samping itu, pada ayat 38 surah al-An’am, Allah SWT membezakan antara Daabbah dengan burung seperti dalam firman-Nya: “Tiada satu Daabbah di bumi dan tidak pula burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya melainkan umat juga seperti kamu..”

Apa yang dimaksudkan dengan Daabah? al-Quran menyatakan kalimah Daabah bermakna umum, tidak diertikan dengan sesuatu. Justeru, sukar kita menentukannya. Ada baiknya kita renung sikap ditunjukkan Khalifah Umar ketika membaca surah ‘Abasa ayat 25 hingga 32 iaitu: “Sesungguhnya Kami (Allah) benar-benar mencurahkan air dari langit, kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun yang lebat dan buah-buahan serta Abba sebagai kesenangan untuk kamu dan binatang ternakmu.”

Menurut riwayat ini ada tongkat di hadapannya lalu beliau patahkan tongkat itu kerana kesal tidak faham makna perkataan abba. Tetapi, beliau sedar dan berkata kepada dirinya:

“Demi Allah, ini (mencari sesuatu di luar jangkauan akal) adalah bersikap berlebih-lebihan. Padahal tidak rugi andai tidak mengetahui makna abba.”

Menurut Muhammad Abduh, Saidina Umar tidak melarang kajian makna kalimah al-Quran atau membincangkan permasalahan berkaitan dengannya.

Beliau ingin mengajar mengimani kandungan al-Quran sekalipun tidak mampu memahami secara terperinci. Banyak ayat al-Quran tidak jelas bagi generasi terdahulu, tetapi kini jelas maknanya kerana perkembangan ilmu.

Mungkin ia tidak jelas, tetapi akan jelas pada masa akan datang dengan penemuan baru. Siapa tahu penjelajahan manusia ke angkasa dapat memberikan maklumat yang lebih tepat dan memuaskan. Wallahua’lam.

Dan boleh jadi, jawapan yang tepat buat kita sekarang adalah firman Allah SWT yang menjadi pengajaran bagi manusia iaitu: “Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang ada di semua langit” - al-Israk ayat 55 - Bharian

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...