terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 22, 2011

Benarkan hanya ejen Islam !!


Saya tertarik mengulas mengenai semakin banyak syarikat insurans konvesional kini berusaha memohon lesen takaful. Sehingga kini sudah sembilan lesen takaful dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi merancakkan industri dan sistem kewangan Islam. Ia adalah satu kejayaan untuk negara kita yang mempunyai komitmen menyedarkan orang Islam memilih produk takaful berbanding konvesional.

Namun dalam hubungan ini saya ingin memohon perhatian dan tindakan BNM agar mewajibkan syarat hanya orang Islam sahaja boleh menjadi wakil untuk memasarkan produk berkenaan.

Banyak kesan negatif jika wakil bukan Islam dibenar memasarkan produk takaful hayat kepada orang-orang Islam. Ia seumpama 'masakan orang Islam' yang boleh dimakan bukan Islam. Tetapi 'masakan bukan Islam' (walaupun halal) harus dielakkan oleh umat Islam dan tentunya dikhususkan kepada bukan Islam.

Begitulah juga kiasan bagi produk takaful dan syarat menjadi wakil takaful haruslah beragama Islam. BNM dan Persatuan Wakil Takaful juga harus mengkaji syarat akad yang mesti dilakukan oleh wakil takaful. Bagaimana situasi ini apabila melibatkan penjualan produk takaful dari wakil bukan Islam kepada orang Islam?

Jika perkara ini dibiarkan, wakil atau ejen bukan Islam akan 'menjaja' ayat al-Quran dalam mencari pelanggan dan memperoleh pendapatan. Contoh ini sudah kita lihat dalam politik apabila ahli politik bukan Islam mencemarkan kesucian agama kita dengan menjaja ayat al-Quran.

Kehadiran agen takaful bukan Islam ini sebenarnya sudah berlaku apabila sebuah syarikat takaful tertentu membenarkan agen bukan Islam memasarkan produk takaful bagi 'meraih' komisyen daripada masyarakat Islam.

Mereka pasti akan memanfaatkan peluang sebagai agen takaful untuk pasaran masyarakat Islam. Cuba pihak BNM bayangkan apabila ejen ini menceritakan kehebatan sistem kewangan Islam dan takaful kepada pelanggan Islam sedangkan mereka sendiri bukan beragama Islam. Secara jelas sebenarnya ia lebih bermotifkan keuntungan dengan memperkudakan produk takaful.

Sehubungan itu, BNM dan Persatuan ejen Takaful perlu tegas dalam hal seperti ini. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan agar nasib agen takaful yang beragama Islam lebih terbela di dalam industri ini.

Malah jika BNM atau syarikat takaful sangat berminat untuk membenarkan ejen bukan Islam menjual produk takaful keluaran syarikat mereka, saya ingin mencadangkan agar ejen bukan Islam ini hanya dibenarkan menjual produk takaful kepada kaum mereka atau pelanggan bukan Islam sahaja. Semoga melalui cara ini, dakwah Islam boleh disebarkan secara tidak langsung apabila wakil dan pelanggan bukan Islam melihat 'kecantikan' produk takaful berbanding konvesional.

Saya mengharapkan agar perkara ini diberikan perhatian khusus. Satu peraturan perlu segera dikeluarkan untuk menjaga nilai dan kemurnian produk-produk takaful serta sistem kewangan Islam.

MAN

Kuala Nerang, Kedah.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...