terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 24, 2011

Bila isu IPP hendak diselesaikan?


RUNDINGAN yang masih berjalan di antara kerajaan dengan penjana kuasa bebas (IPP) berkaitan kajian semula kandungan perjanjian pembelian tenaga (PPA) mungkin terlalu ekstrem hendak disamakan dengan rundingan damai Asia Barat. Ini kerana tiada siapa yang mahu digambarkan sebagai penindas atau pengaut kesempatan daripadanya, walaupun ia nampak sama dari segi lamanya tempoh ia berlarutan.

Yang nyata, ia mendatangkan kerisauan rakyat. Apakah kesan daripada rundingan tersebut (sama ada gagal atau sebaliknya) bakal mendatangkan implikasi terhadap bil elektrik mereka? Apatah lagi rakyat masih terkedu dengan kenaikan 5 sen harga minyak petrol yang pasti memberi impak pada harga barangan. Isu penyelarasan kadar caj air telah menyaksikan kesesakan lalu lintas di ibu negara baru-baru ini.

Jadi, bagaimana dengan bil elektrik? Ini soalan utama rakyat marhaen. Menurut laporan media, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, Kabinet telah secara prinsipnya bersetuju dengan semakan semula tarif elektrik, cuma belum ada keputusan mengenai masa pelaksanaannya. Semakan semula tersebut selaras dengan pengurangan subsidi seperti yang terkandung dalam Pelan Transformasi Kerajaan.

Namun pada masa yang sama, terdapat rungutan berkaitan isu beban yang ditanggung oleh TNB iaitu membeli tenaga dari IPP pada harga sama rata, tanpa mengira ia membeli banyak atau sedikit daripada mereka. Lebih menghairankan bila ia membabitkan syarikat minyak negara, Petronas yang merungut terpaksa menanggung beban subsidi gas berjumlah RM116 bilion, di mana IPP adalah penerima manfaat terbesar. Hairan bukan kerana ia membabitkan formula matematik yang rumit, sebaliknya membabitkan ilmu perdagangan yang sama sekali di luar buku teks yang diajar kepada pelajar sejak lebih dua dekad yang lalu.

Program IPP diperkenalkan selepas insiden bekalan elektrik terputus selama 48 jam di seluruh Semenanjung pada 1992. Siasatan kemudiannya mendapati TNB tidak bersalah atas dakwaan cuai, namun reputasinya rosak teruk. Monopoli TNB bagi penjanaan kuasa dimansuhkan dan program IPP diperkenalkan bagi mengembalikan margin keselamatan bekalan yang mencukupi.

Lima IPP yang memeterai perjanjian PPA dengan kerajaan pada 1993 dan dikategorikan sebagai IPP generasi pertama ialah YTL Power Generation Sdn. Bhd., Genting Sanyen Power Sdn. Bhd., Segari Energy Ventures Sdn. Bhd., Powertek Bhd. dan Port Dickson Sdn. Bhd. Sejak 2006, kerajaan telah berusaha merundingkan semula PPA dengan pemegang konsesi IPP generasi pertama ini tetapi masih buntu. Tempoh konsesi akan tamat pada akhir tahun 2015.

Terdapat dua kaedah pembayaran kepada IPP iaitu pembayaran kapasiti (CP) dan pembayaran tenaga (EP) yang merupakan struktur pembayaran lazimnya bagi penjana tenaga di seluruh dunia. CP bermaksud pembayaran kepada pemilik penjana kerana menyediakan loji. Komponennya merangkumi kadar tetap O&M (FOR), pulangan atas ekuiti dan khidmat penjelasan semula hutang EP pula adalah pembayaran kepada IPP untuk menampung kos operasi loji jana kuasa, selain membayar kos bahan api.

Kos bahan api adalah pass through iaitu apa sahaja kos bahan api yang diperlukan bagi menjana elektrik akan dicaj kepada pengguna.

Huraian di atas berkait rapat dengan dakwaan pihak tertentu baru-baru ini bahawa kerajaan membazirkan RM15.1 bilion duit rakyat untuk membayar IPP. Apa yang sebenarnya ialah subsidi bahan api (yang lebih murah berbanding harga gas di pasaran) oleh Petronas diberikan kepada semua loji jana kuasa di Semenanjung, termasuk loji milik TNB. Jadi subsidi bahan api yang didakwa sebagai pembaziran itu sebenarnya disalurkan kepada pengguna seperti kita menerusi mekanisme pembayaran di atas.

Subsidi bahan api itu diwujudkan kerana kerajaan mahu tarif elektrik kekal di paras rendah untuk pengguna. Dalam erti kata lain, rungutan Petronas itu ialah kerana ia tidak dibenarkan menjual gas kepada IPP pada harga pasaran, sekali gus mendatangkan keuntungan kepada IPP semata-mata. Pada Petronas, ini tidak adil.

Tetapi bukan soal subsidi yang menjadi isu tumpuan di sini. Sebaliknya perihal kandungan perjanjian PPA antara TNB dengan IPP yang 'berat sebelah'.

Penulis sebuah portal berita berbahasa Cina, Neo Chee Hua merumuskan: ''...dalam isu subsidi gas dan bekalan elektrik, IPP menjadi penerima manfaat terbesar, sementara Petronas, TNB, kerajaan, malah rakyat perlu menanggung kerugian akibat daripadanya''. Beliau memetik laporan Jeff Rector, penyelidik dari Universiti Stanford di bawah Program Mengenai Pembangunan Tenaga dan Keberkekalan, berjudul Pengalaman Pelaburan IPP di Malaysia, pada 2005 bahawa syarat take or pay yang digariskan dalam PPA menyatakan bahawa TNB bertanggungjawab untuk membiayai kuasa elektrik IPP, sama ada bekalan tersebut 'diperlukan atau tidak'.

Menurut laporan ini, kesemua IPP fasa pertama menjana kuasa elektrik dengan gas semula jadi, yang dibekalkan Petronas secara khususnya. Syarat PPA menyatakan bahawa risiko kenaikan kos gas semula jadi ditanggung sepenuhnya oleh Petronas. Malah, dalam PPA untuk IPP generasi pertama, bekalan elektrik ditetapkan pada harga antara 13.7 sen dan 15.5 sen per kilowatt-jam, jelas lebih tinggi daripada kos yang dihasilkan TNB sendiri.

Harga ini ditetapkan dengan mengambil purata anggaran inflasi untuk tempoh 21 tahun. Maka dengan ini, untuk beberapa tahun pada peringkat awal secara khususnya, IPP akan mengaut keuntungan yang besar dan keuntungan akan berkurangan apabila sampai ke peringkat akhir tempoh 21 tahun ini. Malah, IPP berpeluang untuk menjelaskan kos permulaannya (modal) pada peringkat awal tempoh 21 tahun ini, dan terus menikmati keuntungan setahun demi setahun kemudiannya.

Selain itu, Jeff Rector mendedahkan bahawa lima buah IPP fasa pertama dijamin dengan pulangan 20 peratus dalam perjanjian konsesi ini. Tetapi, IPP ini memperoleh pulangan yang lebih tinggi daripada 20 peratus itu.

Kelembapan kemajuan yang dapat dicapai dalam rundingan PPA ini tidaklah pelik sangat. Semua tahu kontrak yang dimeterai sukar ditamatkan sewenangnya, apalagi ia berkait rapat dengan imej 'mesra perniagaan' yang hendak disampaikan oleh kerajaan ke mata dunia, selain risiko gangguan kepada sistem perdagangan seperti sektor perbankan yang telah menjamin banyak ekuiti dalam sektor tenaga.

Implikasinya kepada kerajaan ialah selagi kemelut dengan IPP ini tidak dimuktamadkan, ia akan terus menjadi liabiliti di mata rakyat yang makin lantang mempersoalkan bagaimanakah perjanjian berat sebelah sebegini boleh dimeterai pada 1993 dan kerajaan harus menanggung isu ini dalam pentas politik tatkala ia menjadi 'peluru mudah' bagi parti pembangkang untuk terus menerus menembak kredibiliti kerajaan.

Terdapat beberapa isu yang sedang dirunding dalam PPA iaitu IPP mahu memastikan loji-loji mereka terus digunakan selepas tamat konsesi pada akhir 2015. Kerajaan pula mahu membaiki kelemahan syarat-syarat asal dalam PPA. Apa pun yang sedang berlaku dalam rundingan sekarang, IPP tahu bagaimana imej mereka di mata rakyat, apatah lagi ia sering menjadi senjata kepada parti pembangkang dalam siri ceramah mereka.

Pesanan ringkas kita kepada IPP ialah 'bertolak-ansurlah demi rakyat. Jadikan rakyat keutamaan lebih daripada soal keuntungan mutlak peribadi.'

Oleh JOHARDY IBRAHIM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...