terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 2, 2011

Bukan lembap tetapi pemalas !!


Suami banyak bergantung kepada isteri urus rumah tangga

"SUDAHLAH kita yang mengandung dan melahirkan anak, kerja, kita pun kerja kerana nak membantu, tolong tolonglah sikit uruskan hal rumah. Ini tidak, kita juga kena buatkan semua," keluh si isteri, Azura, 46, (bukan nama sebenar) yang sibuk menguruskan perihal rumah dan anak-anak sedangkan suaminya hanya sibuk menonton bola di televisyen.

Situasi dan perihal rumah tangga seperti itu kini bagaikan satu fenomena yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan moden. Tambah pula, rata-rata wanita sungguhpun bergelar isteri turut memiliki kerjaya hebat, bijak dan boleh hidup berdikari.
Tidak dinafikan bukan semua lelaki seperti itu, tetapi perihal segelintir lelaki seperti ini semakin menjadi-jadi sekarang. Suami pemalas, mengambil kesempatan dan tidak mengendahkan kebajikan rumah tangga.

Bagaimana ia boleh berlaku dan mengapa ia berlaku? Apakah disebabkan zaman serba moden, kerjaya semakin memuncak di kalangan wanita dan sikap negatif lelaki yang terbawa-bawa sejak kecil, zaman bujang hingga ke alam rumah tangga. Perkara itu mungkin tidak berlaku ketika awal perkahwinan dan kemunculan anak pertama tetapi ia tetap berlaku apabila sudah lama dalam perhubungan kekeluargaan.

DALAM rumah tangga, siapakah sebenarnya perlu menguruskan hal berkaitan seperti membayar bil, mengurus perbelanjaan rumah dan perbelanjaan anak? Mungkin ramai yang lebih memihak kepada suami yang perlu menguruskan hal berkenaan sementara si isteri memberi tumpuan terhadap tugasan seperti menjaga anak selain menguruskan hal-ehwal dalaman rumah.
Percaya atau tidak, kini semakin ramai wanita memikul tugas dan peranan yang seharusnya dilakukan suami. Ini mungkin adil malah tidak perlu dipertikaikan jika si isteri bertindak sebagai suri rumah tangga sepenuh masa sementara suami bekerja menyerahkan wang secukupnya untuk perbelanjaan harian.

Namun, bagaimana pula jika ia berlaku di kalangan isteri yang bekerja yang turut mempunyai pendapatan sendiri tetapi perlu menguruskan segala urusan rumah sepenuhnya kerana suami merasakan ia tanggungjawab isteri? Malah, isteri lebih berperanan sebagai ketua keluarga, menyumbangkan pendapatan untuk perbelanjaan keluarga dan menguruskan segala-galanya. Suami? Goyang kaki, berpeluk tubuh! Lembap atau pemalas sebenarnya lelaki begini?

Kata wanita:

Bagi penolong pengarah syarikat swasta, Aida S Kadir, 40, perkara itu semakin banyak berlaku pada wanita yang bekerja malah bergaji lebih tinggi daripada suami.

Hal menguruskan rumah tangga tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada isteri melainkan suami itu adalah orang kurang upaya atau terlantar sakit, tambahnya.

“Selagi sihat, sebaik bergelar suami, kena tahu tanggungjawab. Tak salah kalau gaji lebih rendah, tapi perkara yang perlu, memberi nafkah kepada anak isteri harus dilunaskan. Perlu rajin berusaha untuk menambah pendapatan dan tak bolehlah melepaskan beban pada isteri.

“Bagi lelaki yang sememangnya tahu mereka agak lembap dan pemalas, perlu mengubah sikap negatif itu sebelum memulakan langkah ke alam rumah tangga lagi. Ini bagi mengelakkan daripada menyusahkan pelbagai pihak terutama isteri dan keluarga. Paling utama, jangan hanya meletakkan seks sebagai perkara utama selepas berkahwin tetapi bila tiba bab tanggungjawab fizikal, sering mengelak,” katanya.

Kata Aida, susah untuk mengubah lelaki begini jika ia dibesarkan dengan persekitaran yang tidak mendorongnya untuk rajin bekerja dan berusaha. Nasihat orang di sekeliling tidak banyak membantu. Mereka sendiri harus mengubah sikap terutama jika ingin memasuki alam perkahwinan.

“Sikap yang perlu ada pada lelaki ialah kepemimpinan yang bukan hanya pada sesetengah perkara saja. Ia turut membabitkan kesetiaan kepada isteri,” katanya yang turut menasihatkan wanita supaya tidak terlalu beri `muka’ pada lelaki begini sejak dari awal perhubungan.

Bagi kakitangan syarikat swasta, Norhayati Abd Ghani, 28, yang juga ibu kepada seorang cahaya mata, tidak menafikan situasi itu berlaku terutama dalam era semakin moden dan lelaki sudah menganggap tugas mengurus rumah tangga adalah tanggungjawab yang perlu turut dipikul isteri.

Malah, katanya, ada yang sanggup melepaskan bebanan itu ke bahu isteri selepas `menyogok’ wang secukupnya dengan alasan mereka sudah melunaskan tanggungjawab memberi nafkah secukupnya.

“Hal itu berlaku berikutan kebanyakan wanita sekarang sudah pandai berdikari dan mampu melakukan semuanya sendiri. Secara sedar, ia berlaku ketika zaman sebelum berkahwin lagi. Wanita bujang yang tinggal sendiri menguruskan hal keperluan seperti membayar pelbagai bil, menunaikan tanggungjawab terhadap ibu dan bapa, menguruskan hal kerosakan dan masalah yang berlaku di rumah, menyediakan kelengkapan rumah dan sebagainya.

“Kebanyakan lelaki sukakan wanita yang pandai berdikari dan boleh menguruskan segala-galanya. Kononnya, wanita boleh membantu dan menguruskan hal berkenaan apabila ketiadaan mereka (suami) nanti. Keupayaan itu akhirnya menjadi kebiasaan dan suami mengambil kesempatan, hanya ‘pejam mata’ membiarkan si isteri menguruskan semuanya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Norhayati berkata, kes seperti itu tidak seharusnya berlaku. Tiada istilah lelaki atau suami lembap sebaliknya pemalas dan tidak endah menguruskannya.

“Bagi mengatasi masalah itu, pasangan suami isteri perlu ada komunikasi dan sifat bertolak ansur. Perbincangan teratur supaya kedua-dua pihak tidak terikat dan tertekan dengan situasi seperti itu yang sebenarnya boleh mengundang kepada pertelingkahan dan perceraian.

“Suami perlu memahami tugas isteri dan tidak terlalu berfikiran sempit serta kolot yang kononnya isteri perlu menguruskan hal rumah tangga sepenuhnya selepas diberi wang perbelanjaan yang mencukupi. Walaupun isteri bekerja membantu suami, istilah ‘setinggi mana pun pendidikan dan kerjaya isteri akhirnya ke dapur juga' sudah tidak boleh dipakai lagi.

“Ini kerana apabila isteri bekerja, perlu ada kerjasama tanpa mengira tugas yang perlu atau tidak seharusnya buat. Sikap yang perlu ada bagi seorang suami ialah bertanggungjawab, berfikiran terbuka dan memahami tugasan isteri, begitu juga sebaliknya,” katanya yang menerapkan nilai saling faham memahami dengan suami.

Sementara itu, bagi pegawai bank, Farah Diba Yusoff, 31, pula berkata, sikap suka mengarah dan mengelak daripada menjalankan tanggungjawab sinonim dengan lelaki. Namun, lelaki lembap dikatakan tergolong dalam dua jenis iaitu memang semula jadi lembap sejak lahiriah dan yang memilih untuk menjadi lembap supaya boleh mengelakkan diri daripada dipertanggungjawabkan.

Katanya, kebanyakan wanita moden kini lebih bertindak pantas selain tidak suka melengah-lengahkan kerja lalu mereka akan membuat semua kerja, termasuk pembayaran bil, urusan bank dan sebagainya apabila melihat si suami lambat menguruskan perkara berkenaan.

“Sebagai suami isteri perbincangan secara diplomasi adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Kerja akan jadi lebih mudah jika perbincangan berlaku dengan baik. Suami perlu lebih tegas walaupun si isteri jauh lebih bijak atau berkerjaya lebih tinggi daripada suami.

“Lumrahnya, lelaki sudah ditakdirkan untuk menjadi ketua keluarga dan pemimpin, jadi sahutlah tanggungjawab itu dan jangan jadi pengecut atau mengambil kesempatan di atas ketangkasan isteri,” katanya.

Kata lelaki:

Bagi seorang perekabentuk industri dan usahawan, Zafrul Izzaq A Aziz, 28, berkata faktor tekanan hidup yang mencabar dan gaya hidup yang tinggi mengubah norma kehidupan. Lelaki tidak bertanggungjawab, rendah maruahnya kerana mengabaikan peranan sebagai pendukung utama keluarga. Amanah diberikan tidak disempurnakan dengan baik.

“Lelaki dikatakan lembap adalah disebabkan oleh perancangan kehidupan tidak diurus dengan baik. Kalau adapun, mereka memiliki disiplin diri lemah dalam mematuhi apa yang dirancangkan. Bagaimanapun, yang penting pasangan suami isteri harus saling bekerjasama dan saling faham memahami.

“Bagi menyelesaikan pemasalahan itu, perlu adanya jalan perbincangan secara terbuka dengan membuang ego selain selesai menggunakan akal tanpa menurut perasaan. Jika masih tidak boleh, sebolehnya dilanjutkan kepada penyelesaian kaunseling. Elakkan terjadinya perkara yang lebih parah seperti perceraian,” katanya.

Pengurus Projek, Nik Rafizal Nik Ab Rahim, 35, tidak menafikan ada kes yang mana suami hanya memberi nafkah dan semua urusan dilaksanakan isteri. Secara positif, ia efektif atau praktikal jika suami saja yang bekerja. Tetapi, jika kedua-duanya bekerja, seharusnya bebanan itu dikongsi bersama dari segi kewangan dan urusan rumah tangga yang lain.

“Jangan tetapkan pembahagian tugasan yang perlu dibuat sebaliknya setiap pasangan perlu faham akan tanggungjawab masing-masing. Contohnya, isteri membasuh kain dan suami bantu menjemur kain berkenaan.

“Selain itu, pembahagian kewangan pula bergantung kepada pendapatan masing-masing. Kebiasaannya suami perlu mengeluarkan wang lebih untuk perbelanjaan isi rumah. Contohnya dalam sebulan, lima tin susu perlu dibeli untuk anak kecil. Cara membahagikannya, suami beli tiga atau empat tin susu dan selebihnya dibeli isteri. Contoh ini mungkin berbeza jika isteri mempunyai pendapatan yang tinggi dan melebihi suami,” katanya.

Oleh Hidayah Mohammad


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...